[SNEAK PEEK] Lelaki Dingin

Lelaki Dingin oleh Rinsya Chasiani

SEPERTI yang aku duga, Azli turut serta dalam meja bulat mesyuarat antara syarikat penerbitan kami dan Miracle Production. Macam terlalu pelik pula bila aku jejak ke sini sebab kerja. Kali terakhir aku bertemu dengan Azli masa nak pulangkan cincin beberapa bulan yang lepas.

Perbincangan berjalan dengan lancar dan masing-masing bersikap profesional dan ‘baik-baik’ saja. Bos mungkin tak sedar lelaki di depannya itu bekas tunangku tapi aku pun sebenarnya tak nak dah ingat peristiwa dulu.

“Kalau dah ada respond dari pihak televisyen untuk novel ini nanti kami akan contact Encik Fuadlah. Yang satu ni insya-Allah kami akan proceed untuk filem. Terima kasih untuk proposal yang terbaik dari encik.”

“Oh, ini bukan saya yang tulis, orang kanan saya yang buat.” Encik Fuad melirik ke arahku memberikan aku penghargaan walaupun untuk menulis proposal itu bukanlah sesuatu yang sangat berat. Tidak seberat menulis novelnya.

“Cik Qariah yang tulis?”

Aku hanya sekadar tersenyum tipis, tidak mahu berlebih-lebihan di hadapan orang-orang penting syarikat Miracle Production lebih-lebih lagi di hadapan Azli.

“Editor saya tapi dia dah jadi puan baru-baru ni.”

“Oh, tahniah. Selamat pengantin baru.”

Nak aje aku balas apa yang barunya dah lama dah. Tapi hanya ungkapan terima kasih yang terbit dari bibirku sambil mataku sempat melirik ke wajah Azli. Dia hanya tersenyum di sisi bos besar syarikatnya.

“Ada apa-apa makluman kita akan beritahu lebih lanjutlah. Tentang proposal ni kami mungkin akan tambah dan kurangkan atau ubah suai untuk tatapan meja TV3. Dan untuk penulis skrip yang novel Bertepuk Sebelah Tangan ni, dapat aje kami terus minta dia buat pembedahan ke atas novelnya untuk tindakan lanjut.”

Selesai perbincangan, Azli segera menghampiriku dan menegurku.

“Ingat tak nak masuk pejabat I.”

“Ini pejabat you.” Aku mengamati kiri dan kanan kerana setahu aku ini bilik mesyuarat, bukan bilik dia.

Azli tergelak kecil. “Okey I kalah,” ucapnya ringan dan tidak mengandungi maksud lain. Aku ikut senyum juga.

“Encik Azli kenal rapat ke dengan Riah?” soal bos tiba-tiba.

“Oh, bekas tunang. But no worries, we are in good terms.”

Itu kenyataan dia, dia tak tahu kenyataan dari pihakku. Walaupun aku sudah berumah tangga dan masalah aku dan keluarganya berakhir dengan baik tapi aku kalau boleh tak nak terlibat dengan lelaki bernama Azli. Rasa bersalah sebenarnya masih berlegar dalam diri terutamanya kepada ibu Azli yang ikhlas mahukan aku sebagai menantu.

“Eloklah kalau hubungan antara pekerja saya dan Encik Azli baik,” balas Encik Fuad walaupun dia kelihatan agak terkejut pada awalnya.

“Riah balik pejabat terus?” tanya Encik Fuad menilik jam di tangan. Sudah hampir pukul 4 petang.

“Saya terus balik rumah, awak boleh balik rumah juga. Turun ke pejabat pun dah jammed sampai aje entah-entah dah tak ada orang,” komen Encik Fuad selesai mengemas failnya.

Aku mengangkat telefon untuk on data Internet. “Balik teruslah kut.”

“Apa kata kita high tea?” Tiba-tiba Azli mempelawa. Encik Fuad mengangkat keningnya.

Mesej-mesej ringkas dari WhatsApp kubaca laju.

“I’m sorry, Encik Azli. Banyak hal kat rumah.” Encik Fuad menolak sopan. Aku mengangguk juga.

“Saya pun,” ucapku jujur.

“Riah, bukan lama, kita boleh borak-borak. Dekat depan pejabat ni aje.”

“Secret Recipe tu?” Aku macam ada kenangan buruk kat sana.

“Jom I belanja.”

Encik Fuad mengangkat beg. “Encik Azli, I balik dulu. Riah jangan lupa esok meeting untuk PBAKL.”

“Okey.” Aku cakap dengan nada yang lemah. Malas betul dengar perkataan meeting dari Encik Fuad, seperti satu beban yang berat sebab masa tu akan keluarlah statistik jualan buku-buku yang dah diterbitkan dalam 3 hingga 6 bulan.

“Jom.”

“Eh, I tak cakap setuju pun.” Aku pandang ke arah Azli tajam.

“Lah, kat depan sana aje pun bukannya jauh. 15 minutes should be okey, lagi pun I memang dah lapar. Jom.”

“Tapi I ada hal.”

“You memang berdendam ke dengan I ni?” Azli gelak mengejek.

Sabar ajelah aku… Menyampah betul kena ejek-ejek begini.

“I dah kahwin okey.”

“Yeah… Sure you are happy. Me too. I got married last week.” Dia cakap dengan nada bersahaja.

“You dah kahwin?” Aku membulatkan mata.

“Sorry tak bagi tahu just in case you akan patah hati jadi I tak jemput.”

Aku kemam bibir. “Perasan!” ucapku memeluk tubuh. Dia ketawa sambil memerhatikan ku.

“You macam biasa, kalah budak sekolah masih pakai beg sangkut kat belakang. Cuba pakai heels dan beg tangan.”

“Lets talk about your high class wifey.” Aku membalas sindirannya semula.

“Jom kita high tea.” Azli angkat bahu dan menarik komputer dari atas meja mesyuarat.

Aku ikut juga langkah lelaki itu walaupun hati terasa berat. Mesej ringkas pesanan Ainal memintaku untuk ke galeri lukisan yang baru saja kubaca tadi hilang dari ingatan sama sekali.

///

“HOW’S life?”

“Cuba tengok ke depan, tak boleh nak jenguk belakang aje. I dah move on.”

“I pun.” Dia balas ayat aku.

“You move on pasal apa?”

“Pasal kena reject berkali-kali oleh bekas tunang. Dia kahwin dengan lelaki yang entah siapa-siapa tiba-tiba muncul tak bagi alert langsung.”

“I ke? Tu dikira sebagai move on ke?” Aku tanya soalan bodoh. Azli tergelak.

“I gurau aje. I’m happy now.”

“Siapa isteri you sekarang?”

Aku tak minat makan kek tapi hari ini boleh pula menjamah kek berperisa kopi. Sedap juga.

“My mom punya calon juga.”

“Oh, bukan I seorang calon mithali dia?” Aku terkejut dan mengusiknya sekaligus.

“You tahu I ni anak yang taat.”

“Anak yang taat tapi masih duduk dengan perempuan lain bila dah ada tunang dan isteri.” Aku ungkit balik perangai tak baik dia.

“Bukannya serius pun. Berkawan. You aje yang over sensitive. Tak selidik tapi terus menyalahkan.”

Aku tersentak dengan kata-katanya. “Ya ke? Mungkin Allah nak tunjuk yang kita memang tak berjodoh.”

“Hmmm… You buat assumption sendiri, kalau you tanya baik-baik pada I dan tolak ansur, mungkin aje kita dah selamat ijab.”

Aku termangu mendengar kata-kata Azli. Benarkah aku seorang yang begitu? Tanpa aku sedari?

Azli memandangku lama. “I macam curious sikit dekat husband you dan macam mana you treat your husband.”

“Hah?”

“Rumah tangga ni nampak simple tapi rumit. I nak kenal wife I tu macam ayam dan itik. Kami berbeza sangat. She’s being nice to me but our relationship is very complicated, especially with all the things that had happened.”

“Siapa suruh kahwin tak kenal-kenal dulu.” Aku menyalahkannya pula.

“I risau aje nanti melepas macam you dulu, tak sempat kenal hati budi dah lari. Yang kali ni terus kahwin senang cerita.” Boleh pula gitu. Cakap aje nak kahwin buat apa dia nak libatkan aku dalam kisah hidup dia.

“Azri pula.” Aku tanya pasal adik dia pula.

“Tu lawak lagi. My mom dah list down nama-nama calon dan Azri ni jenis yang tak dengar cakap. Dia lari dari rumah. Sekarang dah tak tahu ke mana pergi.”

Aku cuba mengingat lagi memori yang dah nak kabur tu. Pelik bila dengar cerita Azli yang berbeza dengan apa yang kusimpan di dalam memori. Tak salah, Azri tu pendiam dan sangat mendengar kata orang tua. Tapi walaupun aku satu sekolah dengan dia masa sekolah menengah, kami bukannya rapat sangat. Luaran yang kita pandang bukannya seratus peratus serupa dengan apa yang ada di dalam.

Lagipun, bila diingat-ingat balik… Dari Azri la aku tahu tentang Azli yang ada affair kat belakang aku. Azri snap gambar dan bagi tahu aku kat mana Azli tengah dating masa tu. Aku pun terhegeh-hegehlah dengan muka bijak pandai terus ke tempat tu. Bila dah depan mata tak berani pula aku mengamuk depan Azli dan makwe dia. Last-last aku balik bawa berbakul-bakul tension dan stres kat bahu.

“Hubby you jenis diam-diam dan penyabar kan?” Azli bertanya ingin tahu.

Betul apa yang Azli cakap tapi aku tak nak beri apa-apa komen dan ulasan tentang Ainal sebab aku tak nak Azli tahu apa-apa pasal Ainal. Ainal tu memang pendiam, dan penyabar. Hati terusik bila terlintas wajah Ainal dalam kepala. Wajah kacak Ainal beberapa hari seolah-olah hilang cahaya. Langsung tak bermaya dan hilang serinya.

“At least dia bukan playboy.” Aku sindir Azli.

Azli ketawa. “You with your own assumption. Please change. I bukan playboy, cuma peramah.” Dia membetulkan kata-kataku lagi.

“Bukan peramah, tapi sosial.” Aku balas balik.

Azli pecah ketawa. “Cakap betul-betul, you masih benci I, kan?”

“Buang masa aje nak benci you.”

“Dulu siap panggil abang lagi.”

Wajahku merona merah. Mengingatkan pasal benda lama tu buat aku hilang akal. Kenapalah dulu aku panggil dia abang? Sengal!

“I kalau kenang benda dulu memang sakit hati aje,” luahku mengeluh kecil. Azli masih dengan senyuman lebarnya.

“At least you grow up. Kadang-kadang apa yang kita pandang pada luarannya sahaja. Dalamnya masih banyak benda yang kita tak tahu. At least you tahu I ni bukan jenis kaki perempuan dan playboy seperti yang you fikirkan. I mesra, I boleh berkawan dengan sesiapa. Pasal I tak selalu contact you tu sebab you jarang di depan mata dan I tak tahu nak cakap hi atau hello sebab you macam jenis yang menjaga kehormatanlah kan? I takut sikit nak dekat perempuan jenis you. Tapi I cakap eh, isteri I sekarang ni lagi alim dari you. Dia ceramah 30 minit setiap hari. Dekat mesej pun siap bagi kata-kata motivasi.”

“Allah dah janji kita akan dapat yang lebih baik bila kita bersabar. Buktinya you dapat yang lebih elok dari I.” Aku merendah diri.

“Eh, I tak cakap. You yang cakap.” Dia terus menegakkan tubuh.

Entah kenapa aku gelak walau dalam hati tercuit sakit.

You with your own assumption. Please change.

Aku terkaku sebentar memikirkan kata-kata Azli yang berlegar-legar dalam kepalaku. Telefon bimbit kubuka dan nama Ainal tertera sebagai pemanggil lima kali. Aku masih silent telefon dan bodohnya aku terlupa dengan ajakan Ainal untuk keluar tadi.

“Sorry, I kena balik dah.” Aku cakap dengan nada tergesa-gesa.

Bodoh! Bodoh!

Kenapa aku boleh lupa pasal suami sendiri?

“Jammed teruk ni.”

“Tak apa. I balik dulu. Ada janji,” ujarku sambil memandang kereta di jalan raya berhadapan dengan pejabat yang seakan tidak bergerak.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338150/Lelaki-Dingin’