. . .
“AAAARRRRGGHHH!”
Menjerit kesakitan wanita itu apabila tulang rangkanya dikuak. Azabnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Seorang lelaki berambut panjang dengan wajah yang penuh contengan, berdiri di sebelah wanita itu sambil merenung bahagian belakang tubuh wanita itu yang menyerlahkan dua paru-parunya setelah kulit, daging dan tulang rusuknya dibuka. Perlahan-lahan lelaki itu menarik tali-tali yang bersambung dengan cangkuk besi yang tajam yang mencangkuk kedua-dua pergelangan tangan dan tendon kaki wanita itu agar tubuh wanita itu tergantung di siling. Wanita itu memekik sekuat hati dek kesakitan yang tidak terperi itu.
“AAAARRRRGGHHH!”
Melengking pekikan wanita itu yang tergantung di siling sementara lelaki berambut panjang itu diam memerhatikan darah yang mengalir daripada tubuh wanita itu menitik ke lantai. Lelaki berambut panjang itu seolah-olah menikmati penyeksaan yang dialami wanita itu.
“AAAARRRRGGHHH! OOOORRRGHHHH! AAAARRRRGGHHH!”
Suara vokalis Al Jassasah menerobos ke rongga telinga Ain membuatkan dia tersentak daripada tidur. Nafasnya turun naik. Tubuhnya basah dengan peluh. Dia menanggalkan fon telinga yang bersambung dengan Walkman yang memutarkan lagu kumpulan Al Jassasah.
Ain termenung seketika mengenangkan mimpinya tadi. Dia bangkit dari katil dan masuk ke bilik air lalu membasahkan mukanya sebelum merenung refleksi dirinya pada cermin. Dia termenung seketika, cuba mengingat kembali secara terperinci mimpi ngeri tentang wanita yang sengsara diseksa lelaki berambut panjang. Ain merasakan dia pernah melihat lelaki berambut panjang itu. Dia meninggalkan bilik air dan menuju ke bilik stor di dapur. Peti yang tersimpan memorabilia kumpulan Al Jassasah dibuka. Foto-foto kumpulan tersebut dibeleknya satu per satu sebelum matanya terhenti pada foto lelaki yang bergambar secara solo. Ain teringat nama lelaki itu.
Jai Sjalsatare!
Ain meneliti foto-foto Jai Sjalsatare yang lain dan dalam masa yang sama cuba mengingat kembali lelaki berambut panjang dalam mimpinya. Adakah Jai Sjalsatare itu lelaki yang muncul dalam mimpinya? Ain mengambil foto itu dan menyimpan barang-barang yang lain. Dia kembali masuk ke bilik tidurnya dan duduk di bibir katil sambil merenung foto itu. Ain menoleh ke arah Walkman di tepi bantal. Kelihatan kaset di dalamnya masih lagi berputar kerana dia lupa untuk mematikannya tadi. Ain mencapai fon telinga dan memakainya.
“AAAARRRRGGHHH! OOOORRRGHHH!”
Melengking suara si penyanyi kumpulan Al Jassasah mendendangkan lagu itu. Ain mencapai kulit album dan meneliti senarai lagu dalam album itu. Hanya ada empat buah lagu dan lagu yang sedang didengarnya ketika ini bertajuk Sacrifice of the Unknown. Tidak ada lirik pada kulit album itu, maka Ain tidak pasti lagu itu berkisarkan tentang apa. Namun, daripada penelitiannya pada muka album itu yang memaparkan satu upacara korban, dia menelah itulah yang menjadi tema album ini dan lagu-lagunya.
Upacara korban!
Ain kembali teringatkan wanita yang menerima seksaan dalam mimpinya. Apakah mimpinya itu sekadar mimpi atau manifestasi daripada album Al Jassasah ini?
. . .
Baca e-book penuh di e-sentral.com
Ingin baca siri ini dari mula? Dapatkan koleksi penuh siri Kru Paranormal
Penulis: Khairul Nizam Khairani
Penerbit: PTS Publications