Dimuat naik gambar nasi bungkus ke Instagram dengan caption, ‘Nak makan tengah hari dengan encik suami.’ Lalu, ditekan butang Share dari aplikasi tersebut.
Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana dia mahu Ridzuan tahu, hati dan seluruh jiwa Khaleeda ini adalah milik Ridzuan seorang biarpun mulutnya tidak pernah canang pada semua orang.
Sebaik sahaja sampai di bengkel Ridzuan, Khaleeda sudah mengukir senyum. “Mesti dia tak sangka aku datang terjah.” Penuh di tangannya dengan makanan. Ingat nak makan sekali, tanda pujuk. Fikirnya, tengah makan nanti selitlah ayat minta maaf. Dia pun tengah lapar ni.
Baru sahaja pintu kereta dibuka, muncul Kamarul dengan menahan pintu keretanya dari tertutup semula.
“Selamat pengantin baru.” Dihadangnya dengan tangan agar Khaleeda tak boleh lari atau tutup pintu kereta sekalipun.
“Awak?” Ruang yang terbatas menyukarkan Khaleeda untuk meloloskan diri.
“Terkejut? Tak sangka kan, saya boleh muncul macam ni,” kata Kamarul tanpa ada sekelumit senyum pun.
Sementara itu, Oped yang perasan kemunculan kereta Khaleeda, mula panik apabila terlihat kelibat Kamarul berdiri di luar pintu pemandu.
Apa lagi, berlarilah dia dapatkan Ridzuan di pejabat sambil jarinya laju menuding ke arah bahu jalan.
“Kenapa awak mungkir janji? Kenapa awak kahwin dengan sepupu awak? Bila kita putus?” soal Kamarul bertubi-tubi dengan wajah yang agak tegang.
“Pilihan orang tua,” jawab Khaleeda lembut.
Gedegang! Kamarul tak puas hati. Ditumbuknya bumbung kereta sehingga membuatkan Khaleeda sedikit menjerit kerana terkejut.
“Awak tipu! Kenapa awak curang? Siapa izinkan awak kahwin? Sejak bila awak dengan dia bercinta? Apa kurangnya saya? Perempuan jenis apa awak ni?” marah Kamarul berapi-api.
“Saya ingat, awak lain dari betina-betina yang saya kenal. Rupanya sama!” marah Kamarul lagi. Sakit. Marah. Jiwanya memberontak.
“Woi!” jerkah Ridzuan. Ditumbuknya Kamarul sehingga lelaki itu jatuh ke jalan.
Kamarul bangkit dan mula membalas. Hatinya jadi panas apabila Ridzuan muncul.
“Rid, jangan. Please!” Bukan begini kesudahan kisah cinta yang Khaleeda mahukan sebenarnya.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com