[SNEAK PEEK] KEKASIHKU JANGAN MARAH

KEKASIHKU JANGAN MARAH Oleh Zan Zarida

HARI ini, Safi akan menghadiri temu duga untuk jawatan pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta. Dia sudah bersedia sejak semalam lagi.
Blaus dan seluar siap licin bergosok. Dia akan memakai tudung yang dibeli di gerai tudung Pasaraya Tesco. Tudung berwarna biru itu mudah dan selesa dipakai. Tidak payah susah-susah hendak gosok dan pin. Sarung sahaja, sudah terletak elok tanpa perlu lilit sana sini.
Begitulah Safi yang suka pada sesuatu yang ringkas dan praktikal. Dia paling tidak suka membuang masa bersiap lama-lama. Wajahnya sudah cukup sempurna dan tidak perlukan solekan tebal. Apa yang penting adalah keyakinan diri yang datang dari dalam dan bukan bergantung pada faktor luaran yang selalunya tidak kekal lama.
Minggu lepas, staf Syarikat Excel yang beribu pejabat di Wisma IJH, Ampang Avenue telah menghubunginya dan beritahu tarikh dan waktu temu duga.

Seawal jam 8.00 pagi lagi dia keluar rumah kerana tidak mahu terlambat. Biar cepat sampai, asal jangan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Sebaik tiba di syarikat itu, sudah ada beberapa orang calon yang sedang mengisi borang di hadapan kaunter penyambut tetamu. Ingatkan dia datang awal, rupanya ada yang lebih pantas daripadanya. Dalam hati dia berdoa semoga ada rezekinya bekerja di sini.
Setelah menyapa penyambut tetamu dan perkenalkan diri, Safi juga diberikan borang untuk diisi. Tanpa membuang masa, dia menulis maklumat yang diminta dalam borang tersebut. Dia tidak mengambil masa yang lama, siap sahaja terus diserahkan kepada penyambut tetamu tadi. Resumenya juga dikepilkan sekali walaupun sebelum ini dia sudah hantar melalui e-mel.
Kemudian Safi duduk di sofa menanti giliran bersama calon yang lain. Lebih setengah jam juga dia menunggu, barulah namanya dipanggil. Dia melangkah penuh yakin menuju ke bilik temu duga. Memandangkan pintu sedia terbuka, dia terus masuk dan memberi salam.
Dua orang lelaki serentak menjawab salamnya. Salah seorang kelihatan begitu serius memandangnya. Safi berasa tidak selesa apabila diperhati begitu. Bertambah gusar apabila dirinya tidak dipelawa untuk duduk.
“Safi Awadah Bt. Ismail?” tanya lelaki berwajah serius.
“Saya encik,” sahut Safi sambil menanti soalan yang akan dikemukakan.
Pada masa yang sama sempat juga dia menelek wajah lelaki itu. Memang lelaki yang memenuhi cita rasanya. Walaupun nampak tegas, tetap ada aura tersendiri.
“Terima kasih sebab berminat bekerja di syarikat ini. Tapi maaf, awak tak berjaya dalam temu duga ini.”
“Hah?” Safi membulatkan matanya. Dia dipanggil temu duga semata-mata hendak mendengar perkataan ‘anda tidak berjaya?’ Buang masa sahaja dia datang ke sini!
“Awak tak berjaya,” ulang lelaki itu.
“Apa ni, encik? Encik tak temu duga dan tak tanya saya apa-apa soalan pun. Alih-alih beritahu saya tak berjaya?” soal Safi yang terkejut dan tidak berpuas hati dengan apa yang baru lelaki itu sampaikan.
“Siapa awak nak pertikaikan keputusan saya?” balas lelaki itu sambil meletakkan borang yang Safi isi tadi ke tepi.
“Tak ada la… paling-paling pun tengoklah dulu resume saya. Tanya soalan dan pengalaman saya, lepas tu barulah buat keputusan.” Safi cuba mengawal suaranya.
“Ini syarikat saya, suka hati sayalah nak pilih siapa!” Wajah lelaki itu turut berubah apabila Safi bagai sengaja menaikkan darahnya.
“Penat aje saya bersusah payah datang ke sini. Lebih baik tak payah telefon suruh datang temu duga! Dahlah lama kena tunggu giliran, tak sampai seminit dah kata saya tak berjaya?” Safi membebel dengan rasa geram.
“Dah habis cakap?” sindir lelaki itu pula.
“Encik memang tak adil buat saya macam ni, tau tak?” marah Safi, bagai terlupa dengan siapa dia berbicara. Tiba-tiba dia beremosi pula.
“Mona!” jerit lelaki serius itu dengan suara yang agak kuat.
Tidak lama kemudian, seorang wanita bergegas masuk. “Ada apa bos?”
“Sila tunjuk jalan keluar pada Cik Safi Awadah ni,” arahnya tanpa memandang Safi mahupun perempuan yang bernama Mona itu.
“Baik bos,” jawab Mona kemudian memandang Safi. Dia mempersilakan gadis itu untuk keluar dari bilik temu duga dengan isyarat tangan.
“Sampai hati encik buat saya macam ni. Tak apa, hari ni hari saya. Suatu hari nanti akan tiba hari encik pulak. Masa tu baru encik tahu apa rasanya bila ditolak tanpa sebab,” ujar Safi penuh kesal.
“Maaf ya. Saya takkan bekerja dengan orang lain, Cik Safi Awadah!”
“Huh, jangan sombong! Tengok gaya, memang sah encik ni tak kahwin lagi dan tak cukup kasih sayang, kan?” perli Safi dengan beraninya.
Lelaki itu angkat kening dan cuba menahan rasa marahnya. Bengang apabila Safi timbulkan isu yang tiada kena-mengena langsung.
“Encik jugak tak lepas dari ditemu duga bakal pak mentua. Saya doakan encik jadi sewel sebab tak ada yang akan terima encik jadi menantu. Tak pun, terus bertukar jadi serigala jadian sebab tak puas hati!” sambung Safi dan terus berlalu. Puas sungguh hati dia dapat kenakan lelaki berlagak itu.

****

SETELAH gadis itu beredar, Idan melepaskan keluhan. Dia turut menggeleng beberapa kali. Ketika ini memang berbagai perasaan yang datang menyerangnya. Marah dan geram sudah tentu, tetapi ada sesuatu yang buat dia berasa galau di hati.
Seketika dia menoleh di sebelahnya.
“Apa pandang-pandang?” Idan terus menegur Zahim, pengurus projek, merangkap sahabat baik dan sepupunya juga.
Zahim masih tersenyum. Geli sungguh hatinya dengan sesi temu duga sebentar tadi. Bukan senang hendak kenakan Idan Jauhari yang serius memanjang. Sekali kena tembak dengan gadis yang entah dari ceruk mana, terkejut dan terdiam juga lelaki itu.
“Lebih baik kau jangan nak gelakkan aku. Karang ada jugak yang kena humban dari tingkap tu,” ugut Idan pula. Tidak suka apabila Zahim asyik tersenyum-senyum. Memang sah lelaki itu sedang mengutuk dirinya dalam diam.
“Tahulah kau tu tengah tahan rasa geram, tapi janganlah sampai nak humban aku pulak,” balas Zahim dan cuba menahan dirinya dari tertawa.
Andai datang angin puting beliung Idan, teruk dia kena!
“Huh!” Idan mendengus.

Ini kali pertama dia kena sembur dan dimalukan. Nasib hanya Zahim dan dirinya yang ada dalam bilik itu. Kalau tidak, malu satu dunia. Memang satu minggu dia tidak masuk pejabat!
“Sebenarnya aku tak fahamlah dengan kau ni. Tak baik tau layan seorang gadis yang baik macam tu. Kau patut beri peluang kat dia. Dia bukannya tak ada kelulusan.” Zahim memberikan pendapatnya.
“Kau takkan faham dan tak pernah akan faham!” tegas Idan sambil membelek telefon pintarnya.
Ada mesej masuk daripada kakaknya yang mengajak dia makan tengah hari. Namun, dia terpaksa menolak kerana ada perkara yang perlu diuruskan.

“So, terangkanlah. Bukan setakat dia, aku pun tak puas hati,” ujar Zahim.
Dia memang tidak bersetuju langsung dengan tindakan Idan. Kasihan dengan gadis itu. Susah-susah datang temu duga, akhirnya ditolak tanpa sebab yang munasabah. Andai dirinya berada di tempat gadis itu, mahu sahaja dia mencapai borang yang diisi dan baling ke muka Idan!
“Aku mencari pembantu peribadi yang serba boleh. Banyak kriteria yang dia kena penuhi,” balas Idan mempertahankan keputusannya.
“Itu aku tahu, yang peliknya kau terus buat keputusan sebaik dia masuk bilik ni. Ke ada sebab lain?” tanya Zahim dan terus mencapai borang yang diisi oleh gadis yang bernama Safi Awadah itu.
Gambar berukuran pasport turut dikepilkan. Lama wajah gadis itu direnung dan diteliti. Hendak kata wajahnya pelik, gadis itu memang jenis yang sedap mata memandang. Tidak ada cacat celanya dan kategori cantik manis. Zahim cuba mengingat kembali perwatakan gadis itu, namun tiada apa-apa yang ganjil.
“Kau tak payah nak pertikaikan keputusan aku. Satu lagi, tak payah nak teliti sangat wajah dia tu. Dia tidak menyerupai sesiapa pun,” tegas Idan.
“Wajah mungkin tak. Tapi, hmm…” Zahim mula berkira-kira sendiri. Apakah telahannya betul?
“Dah! Bak sini borang tu,” pinta Idan.
“Kau teringatkan Sofea, ya?” duga Zahim.
“Boleh tak jangan mulakan?” marah Idan dan terus bangun menuju ke biliknya.
“Sorry…” ucap Zahim, namun otaknya ligat berputar. Ada perkara yang bermain di mindanya ketika ini.

Wajah Idan yang berubah sebaik dia menyebut nama Sofea bagai memberitahu satu petanda. Sofea… Safi… apakah kaitan mereka berdua? Atau ada kena-mengena dengan Zarith Suraya?
Setahu Zahim, ramai juga gadis yang pernah hadir dalam hidup lelaki itu. Namun, nama mereka dia tidak berapa ingat. Gadis-gadis itu datang bagaikan kereta lembu, pergi pula seperti jet!
IDAN menghenyak dirinya di kerusi. Tidak pasti apa sebenarnya yang membuat dirinya jadi tidak tentu arah begini. Perasaan hati bertambah bengang mengingatkan gadis yang telah membuat darahnya menyirap.
‘Huh! Dia doakan aku jadi sewel? Aku punyalah segak bergaya, boleh pulak dia sumpah aku jadi serigala jadian? Hisy, melampau sungguh. Memang tak patut!” Dia bersungut sendiri.

Walaupun cuba melupakan, Idan tetap berasa tercabar dengan bicara pedas gadis itu. ‘Anak dara siapalah dia tu? Sesuka hati dia sahaja bercakap ikut sedap mulut. Aku punya syarikat, suka hati akulah nak ambil siapa pun jadi staf. Yang dia emosi sangat tu, kenapa? Macamlah tak ada kerja di tempat lain.’
Dalam tidak mahu, resume gadis itu dipandang juga. Dalam sakit hati yang masih bersisa, foto gadis itu ditatap lagi. Ketika ini, Zahim juga pasti sedang berfikir yang bukan-bukan pasal dirinya. Tidak lama mana, cerita ini pasti sampai juga ke telinga kakaknya. Selepas itu, pasti uminya pula yang akan memberi kata nasihat kepada dirinya. Dia sudah boleh mengagak rentetan peristiwa yang bakal terjadi.
Insiden hari ini memang membuat moodnya bertukar tegang. Mujur sebelah petang dia tiada apa-apa janji temu dengan klien mahupun mesyuarat bersama mereka.

Mengingatkan projek yang masuk, buat kepalanya berserabut juga. Kononnya mahu mencari pembantu yang boleh meringankan beban tugasnya, kini ada perkara lain pula yang buat dia tidak tenteram.
Begitupun Idan tetap berasa pelik. Dari mana pula gadis itu dapat tahu yang dia masih belum berkahwin? Macamlah dengan melihat wajahnya sudah dapat membaca segala maklumat tentang dirinya. Tadi, dia memang sentap habis apabila gadis itu mengata dirinya tidak cukup kasih sayang. Itu memang dia tidak boleh terima. Mujur dia masih mampu mengawal perasaannya.

Mujur juga yang berbicara itu adalah kaum hawa. Rasa hormat masih wujud walau perasaan di hati macam gunung berapi. Andai yang berdiri itu kaum adam, memang penumbuk sudah naik ke muka!
Ketika dia cuba menenangkan dirinya, iPhonenya pula berbunyi. “Ya kak…?”
“Betul Idan tak nak makan tengah hari dengan kita orang?”
“Kita orang?” soalnya yang sedikit terkeliru.

Dia masih ingat kakaknya ada mengajak makan tengah hari bersama. Kini, bagai ada orang lain pula yang turut serta. Tetapi dia bukanlah kisah sangat kerana awal-awal lagi dia telah menolak.
“Apasal lain benar suara adik akak ni? Bergaduh dengan siapa pulak ni?”
“Tak ada apa-apalah. Idan memang ada hal.” Idan menjawab malas dan terus memutuskan talian. Banyak pula omelan kakaknya. Dalam keadaan sekarang dia memang malas hendak melayannya.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203275/kekasihku-jangan-marah