[SNEAK PEEK] KAU UNTUKKU

98312405881-medium

KAU UNTUKKU Oleh Aisya Sofea

HATIKU berdebar-debar menunggu di luar bilik temuduga. Bersama-samaku ketika itu, ada dua orang lagi gadis yang lebih kurang sebaya denganku menunggu giliran untuk ditemuduga. Aku membetulkan baju kurung Kedah berkain sutera yang kupakai agar tidak kelihatan kusut. Kemudian aku cuba membandingkan pakaianku dengan pakaian mereka, jauh berbeza. Terasa diriku begitu kerdil dengan dunia mereka ketika itu.

Seorang bergaya dengan skirt hitam ketat hingga ke paras lutut dan memakai kot yang sama warnanya dengan skirt. Manakala yang seorang lagi memakai kot berwarna biru dan berseluar panjang.

Baju kurung Kedah yang kupakai ini sudah berusia se-tahun lebih. Bukannya aku tidak ada baju kurung lain tetapi baju kurung Kedah itulah satu-satunya yang masih nampak baru bila bergandingan dengan baju-baju kurung lain yang tergantung di dalam almari. Kalaupun aku memakai baju yang nampak elegan namun keyakinan diri tidak ada dalam diriku. Bagi diriku, biarlah keselesaan yang lebih diutamakan memandangkan sejak kecil lagi aku telah dididik cara begitu.

Tiba-tiba pintu dibuka secara perlahan. Seorang gadis keluar dari bilik temuduga. Pintu tertutup semula. Seminit kemudian, seorang lelaki membuka pintu itu dan memandang kami bertiga.

Aku sempat menjeling ke arah dalam bilik itu. Di situ terdapat dua orang lelaki yang sedang duduk di meja khas sambil berbual-bual sesama sendiri. Yang seorang itu berusia lebih kurang lewat 30-an. Kemudian aku mengalihkan pandangan ke arah seorang lagi lelaki yang duduk di sebelahnya. Tanpa kusedari mata kami bertentangan. Aku terkejut kerana tidak sangka kami bertentang mata walaupun aku belum lagi ditemuduga. Sepantas kilat, aku memalingkan mukaku ke arah lain. Aku tidak mahu dipandang sebegitu rupa sebelum ditemudga.

“Cik Zarina,” ujar lelaki yang sedang berdiri di pintu bilik temuduga. Dia sedang memandang ke arah kami bertiga.

Gadis yang berseluar panjang bangun. Menyandang beg tangannya di sebelah kiri dan sebelah kanan memegang sebuah fail lantas mengekori lelaki itu dari belakang. Pintu bilik segera ditutup.

Aku dan gadis yang memakai skirt hitam berpandangan. Kemudian aku melemparkan senyuman padanya tetapi dia segera memalingkan mukanya ke arah lain. Eh, sombongnya… detik hatiku. Mintak-mintak rezeki ini bukan untuknya. Tapi untukku. Hatiku benar-benar meluat.

Aku melihat jam di tangan. Sudah pukul 10.30 pagi. Hai, lama lagikah harus aku menunggu? Hatiku berkata lagi.

Pintu bilik dibuka sekali lagi setengah jam kemudian. Ga-dis yang berseluar panjang kini sudah selesai ditemuduga. Dia melangkah keluar. Diikuti lelaki yang sama mengiringinya.

“Cik Nurfariza.”

Gadis yang berskirt hitam dengan penuh gaya bangun dan melangkah penuh yakin masuk ke dalam bilik temuduga. Aku jadi meluat melihat gayanya. Lelaki yang memanggil nama gadis itu masih tercegat di pintu. Lelaki yang tadi memandangku, masih lagi memandangku buat kali kedua. Aku rasa takut dengan pandangannya itu. Pandangan kami hanya hilang sebaik sahaja pintu ditutup rapat.

Aku mengeluh kecil. Mula berasa tidak sedap hati dengan pandangan lelaki itu. Aku cuba menenangkan perasaanku dengan mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Tinggal aku sahaja calon yang belum ditemuduga.

Sebentar kemudian pintu bilik dibuka semula. Gadis yang bernama Nurfariza melangkah keluar. Wajahnya nampak sedikit masam. Lantas aku melihat jam di tangan, pukul 10.35. Takkanlah lima minit sahaja dia ditemuduga? Hatiku berdetik.

“Nurul Umairah?”

Aku mengangguk dan dengan pantas aku mencapai beg tanganku dan dokumen-dokumen penting untuk dipersembahkan kepada penemuduga nanti. Aku melangkah masuk dengan tenang. Walaupun aku gagal dalam temuduga ini, aku tak kisah… sekarang ini pun aku sudah bekerja. Cuma aku ingin mencari pengalaman di tempat lain.

Aku dipersilakan duduk. Di hadapanku terdapat sebuah meja panjang. Tiga orang lelaki duduk setentang denganku. Mereka sedang meneliti borang permohonan yang telah kuisi dan juga dokumen-dokumen penting tentang diriku yang kubawa untuk temuduga ini.

“Can you speak English?” Salah seorang penemuduga bertanya aku secara tiba-tiba.

Aku kehairanan. Aku pernah ditemuduga tetapi soalan itu di luar jangkaanku sama sekali.

“Is something wrong with it?” balasku.

Aku memandang ke arah lelaki yang duduk bersebelahan dengannya. Sejak dari tadi, dia asyik memandangku. Pelik! Apa yang menarik sangat tentang diriku ini hinggakan lelaki itu tidak berkelip-kelip memandangku.

Lelaki yang menyoalku tadi tersenyum meleret.

“Graduated from UiTM?”

“Yes.”

“Your English is… er… er… quite impressive,” katanya lagi sambil menunjukkan surat yang ditulis dan juga tentang ujian karangan Inggeris yang diberikan sebelum aku ditemuduga.

“Thank you,” jawabku ringkas.

“Kalau macam tu, kita ubah selera. Kita cakap dalam bahasa Melayu. Selama ni, saya tak pernah temuduga calon dalam bahasa Melayu.”

Aku tersenyum. “Mana-mana pun, tak ada masalah pada saya.”

Lelaki ‘itu’ masih lagi memandangku dengan penuh minat.

“Sebelum kita mulakan, I perkenalkan diri I dulu. Nama I, Azhar Abdul Manan. You boleh panggil Azhar tapi di sini, ramai staff yang panggil I, Encik Azhar. I pengurus di bahagian kejuruteraan di syarikat ini. Yang sebelah I ini pula, Encik Mohd Zakwan Ahmad, pengurus di bahagian sumber manusia dan sebelah kiri I pula, Encik Ahmad Fuad Haji Musa. Encik Fuad ni, pengurus kanan di bahagian pemasaran.”

Ahmad Fuad.

Fuad.

Nama itu bermain-main di fikiranku. Sedap nama itu. Aku dan lelaki yang bernama Fuad memandang di antara satu sama lain. Tidak berkelip-kelip dia memandangku.

“Okey… sekarang giliran Cik Umairah pula memperkenalkan diri pada kami.”

Aku menarik nafas panjang dan pandanganku tertumpu hanya pada lelaki yang bernama Azhar. Tidak sanggup memandang ke arah lelaki yang duduk bersebelahan dengannya terutama sekali pada lelaki yang mempunyai mata yang cukup tajam itu.

“Nama saya Nurul Umairah binti Abdullah. Saya berasal dari Ipoh dan tinggal bersama keluarga angkat sejak kecil lagi. Saya anak ketiga, dari tiga orang adik-beradik. Saya anak perempuan dalam keluarga bersama dua orang abang.”

Aku terdiam sebentar. Setiap kali menceritakan tentang keluargaku, hatiku cukup mudah terusik.

Aku sempat mengerling pada lelaki yang bernama Fuad itu. Seperti yang aku sangkakan, dia tetap memerhatikanku tanpa jemu. Aku resah bila diperhatikan begitu, biarpun Encik Zakwan dan Encik Azhar turut sama memerhatikan aku. Aku tahu, setiap kali bila aku ceritakan bahawa aku ini anak angkat, aku dapat rasakan aku telah menarik perhatian mereka yang mendengar secara tidak langsung. Mungkin yang menjadi tanda tanya mereka dalam hati, apakah aku sebatang kara di dunia ini.

“Saya mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Convent Ipoh. Kemudian meneruskan pengajian di UiTM Terengganu dalam jurusan kesetiausahaan dan sebaik sahaja tamat pengajian di UiTM, saya menjawat jawatan setiausaha sementara di sebuah firma guaman di Ipoh. Enam bulan kemudian, saya ditawarkan bekerja sebagai setiausaha sulit di sebuah syarikat telekomunikasi di KL.”

“Apa bezanya bekerja sebagai seorang setiausaha sulit dan setiausaha sebelumnya?”

Aku mula terkapai-kapai dengan soalannya. Kemudian secara berseloroh, aku menjawab, “Yang satu setiausaha sementara dan satu lagi setiausaha tetap.”

Dan mereka ketawa. Cuma lelaki yang bernama Fuad sahaja yang tersenyum melirik. Percaya atau tidak, senyuman itu mengganggu sedikit ketenteraman aku ketika itu.

“Sebenarnya ada juga perbezaan dalam beberapa segi. Mungkin dari segi membuat keputusan bagi pihak majikan, saya lebih bebas sedikit dari jawatan setiausaha sementara. Pertama kali bekerja sebagai setiausaha sementara selepas tamat belajar, saya rasa saya lebih banyak belajar on-job-training dari menguasai bidang yang saya ceburi ini.”

Mereka mengangguk. Berpuas hati dengan peneranganku itu dan aku semakin yakin.

“Boleh terangkan pengalaman you selama bekerja sebagai setiausaha sulit?” tanya Encik Zakwan pula.

“Saya bertuah kerana ditempatkan di jabatan pemasaran di syarikat tersebut. Selain dari tugas-tugas yang biasa dilaku-kan oleh seorang setiausaha, ada masa-masa tertentu, saya bebas membuat keputusan akan sesuatu perkara kecil bagi pihak majikan, membantu menyiapkan tender bersama pekerja-pekerja lain, membantu menguruskan latihan teknik terutamanya untuk jabatan pemasaran dan bermacam-macam lagi.”

Mereka mengangguk.

Encik Fuad mula menyoalku, “Bercakap tentang tender, Cik Nurul tentu sudah tahu kepentingan dan tekanan masa.”

“Memang itu saya tak nafikan. Masa memang sentiasa tak pernah cukup. Ada ketika, kami terpaksa bekerja 24 jam hanya untuk menyiapkan satu-satu tender. Bagi saya, itu bukanlah masalah selagi kita diberi peluang untuk belajar.”

Encik Fuad tersenyum kecil.

“Selama bekerja sebagai setiausaha, tak kira sementara ataupun tetap, pengalaman apakah yang Cik Nurul tak dapat lupakan?” Encik Fuad bertanya lagi.

Aku cuba mengingati sepantas yang boleh.

“Banyak… tapi ada satu insiden yang berlaku sewaktu saya mula-mula bekerja. Saya dituduh menghilangkan seke-ping disket yang lengkap dengan surat dan kontrak perjanjian walaupun saya tak pernah melihatnya. Jauh sekali untuk menyimpannya.”

“Kemudian apa yang terjadi?”

“Disket itu kemudian dijumpai oleh pengurus besar syarikat tersebut di dalam laci mejanya sendiri.”

“Selepas itu apa yang berlaku?”

“Saya berhenti.”

“Kenapa berhenti kalau kesalahan itu bukan dari kesilapan Cik Nurul sendiri?” tanya Encik Zakwan.

Aku tersenyum. “Semua orang tahu bukan kesilapan saya, tapi saya rasa, sekali orang dah tak percaya pada saya, sampai bila-bila pun apa yang saya buat, akan jadi perhatian mereka. Walaupun mungkin kebenarannya telah terbukti, bukan saya yang membuat silap, tapi saya fikir, lebih baik saya berhenti. Saya pun ada maruah diri.”

Entah kenapa Encik Fuad menguntum senyuman dalam diam sebaik sahaja mendengar jawapan dariku. Sementara Encik Azhar dan Encik Zakwan terus memandangku tanpa sebarang reaksi.

Encik Azhar pula bertanya, “Kenapa Cik Nurul memohon jawatan Setiausaha Eksekutif di syarikat ini pula?”

“Untuk mencari kepuasan dari segi pengalaman, prospek yang lebih baik dan juga gaji yang lebih memuaskan.”

“Bagaimana pula dengan majikan yang cerewet? Bagaimana Cik Nurul mengendalikan majikan yang cerewet?” soal Encik Zakwan sambil memandang Encik Azhar.

Sekali lagi aku tersenyum. “Saya tak pernah terfikir cara bagaimana nak menghadapi ataupun mengendali seorang majikan yang cerewet. Saya percaya, masing-masing ada cita rasa sendiri. Termasuk diri saya. Kalau saya pandai menjalankan tugas saya, saya rasa, isu cerewet ini tak akan timbul.”

Kali ini mereka berdua tersenyum memandangku. Tapi tidak pula Encik Fuad.

“Tadi, Cik Nurul ada mengatakan tentang tugas-tugas harian seorang setiausaha. Boleh Cik Nurul terangkan lebih lanjut lagi tentang jawatan yang Cik Nurul sandang sekarang?” celah Encik Zakwan lagi.

“Saya ditugaskan dalam merencanakan laporan jabatan setiap bulan, mengemaskinikan akaun bulanan jabatan sebelum dihantar ke bahagian kewangan. Kadang-kadang sekiranya perlu, saya juga menggantikan tempat setiausaha kepada CEO dan mengambil minit mesyuarat. Itu semua adalah sebahagian dari tugas-tugas harian yang lain sebagai setiausaha di tempat saya bekerja. Setiap enam bulan sekali, saya perlu merancang sebarang jenis latihan yang sesuai untuk kakitangan di jabatan. Kami ada sebahagian budget yang di-tetapkan oleh syarikat untuk kakitangan mendapat latihan sama ada di luar mahupun di dalam syarikat sendiri.”

Encik Azhar dan Encik Zakwan nampak tenang mendengar penjelasanku.

“Hobi? Cik Nurul ada aktiviti-aktiviti di waktu lapang?” Suara Encik Zakwan memecah kebuntuan kami.

“Saya suka melancong, menonton wayang bersama kawan-kawan dan kadang-kadang, kami bermain boling. Se-lain daripada tu, saya gemar mendengar muzik dan membaca buku-buku novel dan majalah.”

“Kalau Cik Nurul tak keberatan, saya nak menyoal satu soalan yang agak peribadi.” Suara Encik Fuad kedengaran semula.

Aku terdiam sejenak.

Entah kenapa, suaranya seolah-olah meruntun keyakinan yang memuncak.

“Tadi, Cik Nurul ada mengatakan yang Cik Nurul tinggal bersama keluarga angkat. Bagaimana reaksi Cik Nurul bila mengetahui yang Cik Nurul adalah anak angkat?”

Aku menarik nafas panjang. Encik Fuad terus merenung-ku tajam menantikan jawapan dariku.

Aku tersenyum kelat. Soalan itu sudah lali di telinga, tapi setiap kali soalan itu ditanya, perasaanku mudah terusik. “Sebenarnya, saya sendiri tak tahu tentang keluarga sebenar saya. Saya dijadikan anak angkat dari rumah anak yatim ketika saya berumur tiga bulan lagi. Jadi persoalan tentang siapa saya yang sebenar, tak pernah dipertikaikan. Sama ada keluarga saya mengetahui asal usul saya, saya juga tak pasti. Saya lebih bersyukur dengan apa yang ada pada saya sekarang. Saya bertuah kerana dibesarkan dalam keluarga tersebut.”

Suasana agak sepi. Tidak ada sedikit pun reaksi dari me-reka bertiga. Dan aku agak tertekan kerana mereka menantikan aku untuk terus berbicara.

“Apa perasaan Cik Nurul bila mengetahui yang Cik Nurul adalah anak angkat?” Suara itu kedengaran lagi, namun suaranya lebih tenang dan lembut dari tadi.

“Keluarga angkat saya tak pernah menyembunyikan hakikat yang sebenar dari pengetahuan saya. Saya mengetahui diri saya ini sebenarnya adalah anak angkat sejak dari kecil lagi.”

Encik Fuad terus merenungku.

“Saya tak pernah menyesal kerana saya adalah anak angkat. Saya tak pernah menyalahkan takdir kerana tidak pernah rasa bagaimana mempunyai seorang ibu dan bapa kerana ke-luarga angkat saya tak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka mendidik saya. Walaupun begitu, saya tahu saya tak ada hak di kalangan mereka terutama sekali kedua orang abang saya. Saya lebih rasa bersyukur kerana mereka sudi membela saya sejak kecil lagi,” balasku dengan perasaan yang berbaur. Ayah, mama, Along dan Angah, telah banyak berjasa. Aku bertuah kerana dibesarkan di tengah-tengah keluarga yang cukup menyayangiku. Walaupun harta segunung, tidak mampu untukku balas keringat mereka selama ini. Ayah, mama, Along dan Angah tidak pernah membezakan aku dengan mereka. Aku mahu mereka berasa bangga. Keringat mereka membesarkanku tetap kubalas suatu hari nanti.

“Sekarang ni, Cik Nurul tinggal bersama keluarga?” tanya Encik Fuad lagi.

“Tak, saya tinggal bersama rakan-rakan saya ketika di UiTM dulu.”

Keadaan agak sepi seketika. Encik Zakwan menyemak borang butir-butir peribadi yang telah kulengkapkan sementara Encik Azhar pula menyelak satu persatu sijil-sijil dan dokumen-dokumen penting di dalam fail yang kubawa. Sementara Encik Fuad terus memandangku.

Aku mula resah. Rasa kurang senang mula menyelinap.

“Ada apa-apa soalan Cik Nurul ingin tanya?” soal Encik Azhar sambil menutup fail tersebut lantas dihulurkannya kepadaku.

“Sebenarnya saya tak sempat buat homework tentang syarikat ini tapi waktu kerja… 5 hari seminggu atau 5 1/2 hari seminggu?” Aku memberanikan diri bertanya.

“5 hari seminggu. Cuma kalau ada tender dan proposal yang perlu disiapkan, sudah tentu kena kerja lebih masa, tak kira sama ada hari Sabtu ataupun hari Ahad.”

“Berapa ramai staff yang bekerja di sini?”

Kali ini Encik Zakwan mencelah, “Setakat ini, kami ada 50 staff. Kami ada empat pengurus, dua orang pengurus kanan dan seorang pengarah urusan.”

Aku mengangguk perlahan-lahan. Tanda mengerti.

“Kami bekerja di sini macam satu keluarga besar. We work as a team. Hubungan kami sesama staff memang erat. Selama saya bekerja di sini, rasanya jarang ada masalah pekerja di syarikat ini,” sambung Encik Zakwan lagi.

Aku mengangguk sahaja.

“Sekiranya Cik Nurul berjaya dalam temuduga ini, berapa lama notis berhenti kerja yang harus Cik Nurul beri pada majikan Cik Nurul sekarang ni?” tanya Encik Zakwan.

“Sebulan,” balasku pendek.

Encik Zakwan dan Encik Azhar tersenyum kecil seolah-olah senang hati.

“Ada apa-apa lagi soalan yang hendak ditanya?” tanya Encik Azhar lagi.

Aku menggeleng.

“Zakwan? Fuad? Ada soalan lagi?”

Nampaknya mereka semua sudah puas hati.

“Baiklah, kalau macam tu, terima kasih kerana menghadirkan diri dalam temuduga hari ini.”

“Sama-sama. Bila boleh saya terima jawapan temuduga saya ini?”

“Kami akan beritahu pada semua calon secepat mungkin,” jelas Encik Zakwan.

Aku bingkas bangun bila melihat mereka bangun. Kami bersalaman. Bila tanganku digenggam erat oleh lelaki yang bernama Fuad itu, bagaikan ada satu tarikan yang pantas menusuk masuk ke seluruh tubuhku. Bergetar perasaanku, bergegar jiwaku. Aku cepat-cepat melepaskan genggaman eratnya itu dan kembali memeluk fail, lalu memandang mereka bertiga.

Aku melangkah keluar dari bilik temuduga. Encik Fuad mengiringiku ke muka pintu dan bukan Encik Azhar seperti dua orang sebelumku. Dia membuka pintu untukku.

Aku memaksa diri memandangnya. “Terima kasih Encik Fuad.”

Dia hanya mengangguk sebelum menghadiahkan se-nyuman kecil untukku.

Aku keluar dari bangunan itu dan melihat cuaca agak terik sekali. Aku kebingungan. Takkanlah baru sekejap aku masuk, cahaya matahari sudah meninggi?

Aku lihat jam di tangan. Aku tersentak. Hampir lima minit ke pukul 11.45 pagi? Kenapa masa berjalan begitu pantas sekali sedangkan aku rasa baru setengah jam aku ditemuduga? Tidak pula menyangka lebih dari satu jam aku ditemuduga. Tidak pernah aku mengalaminya sepanjang pengalamanku.

Kerana hari itu aku bercuti sehari semata-mata untuk temuduga ini, aku mengambil keputusan untuk menghabiskan masa berjalan-jalan sekitar pusat membeli-belah Sungai Wang Plaza.

*****

TELEFON bimbitku berbunyi nyaring sebaik sahaja aku melangkah masuk ke pusat membeli-belah Sungai Wang Plaza. Nombor telefon Jeffri tertera di skrin.

“Jeff? Saya ada kat Sungai Wang ni.”

“Buat apa di situ?”

“Saja jalan-jalan, menghabiskan masa.”

“Macam mana dengan interview awak tadi?”

“Okey.”

“Okey aje? Boleh dapat atau tak?” tanya Jeffri lagi, cuba menduga keyakinanku.

Aku ketawa kecil. “Insya-ALLAH. Kalau ada rezeki, dapatlah.”

“Kalau bukan Nurul Umairah, mestilah tak dapat kerja tu, ya,” usik Jeffri.

Aku ketawa senang hati bila diusik begitu. Entah kenapa, aku agak yakin dengan temuduga itu. Seolah-olah aku dapat rasakan yang rezeki itu adalah kepunyaanku. “Mestilah!”

“Maira…” Suara Jeffri agak tenang sedikit dari tadi. “Saya jemput awak kat rumah malam ni. Kita makan di luar?”

“Okey, tapi pastikan awak datang pukul 8.00 malam. Awak tak pernah datang tepat pada masa. Kalau lambat jugak, saya malas nak keluar.”

“Saya tak pernah lewat.”

“Iyalah tu!!!”

Kali ini baru aku terdengar dia ketawa. “Okeylah, kali ni, saya datang awal. Bye.”

“Bye.”

Tengah hari itu, aku menghabiskan masa merewang-rewang di pusat membeli-belah itu. Sempat juga aku membeli sepasang baju kurung sebelum pulang ke rumah lebih kurang pukul 4.00 petang. Kerana leka merewang-rewang di pusat itu, aku sedikit pun tidak menjamah makanan tengah hari.

Sampai di rumah, seperti yang kujangka Abi dan Su masih belum pulang dari tempat kerja. Dan aku mengambil kesempatan ini untuk mengemas rumah sebelum aku mandi.

“SO macam mana dengan interview kau?” tanya Su bila kami bertiga berkumpul malam itu.

Aku yang sedang menunggu kedatangan Jeffri dengan memakai seluar jeans dan t-shirt memandang ke arah Su dan Abi.

“So far, so good. Lebih satu jam aku kena interview.”

“Wah, lamanya. Apa yang dia orang soal?” tanya Abi pula.

“Biasa aje. Semuanya dia tanya. Dari pengalaman aku sampailah background family aku. Dia nak suruh aku elaborate satu-persatu,” terangku serba ringkas.

“Berapa orang interview kau?” tanya Abi lagi.

“Tiga orang.”

“Tiga orang???” soal Abi seakan-akan tidak percaya. “Pe-rempuan semua?”

“Tak. Lelaki semua.”

Kali ini barulah wajah-wajah cemas itu berubah dengan senyuman. “Lelaki? Handsome tak?” Abi bertanya lagi.

“Seorang aje yang handsome. The senior manager,” balasku turut tersenyum ke arah Abi. Namun fikiranku melayang pada wajah lelaki yang bernama Fuad itu.

“Dah kahwin?” tanya Su pula.

“Mana aku tahu dah kahwin ke belum. Takkanlah aku nak tanya kot?”

Abi ketawa. Begitu juga dengan aku.

“Manalah tahu, kalau-kalau…” balas Su dengan wajah malu-malu kucing.

“Lagipun, mana si Nurul nak letak si Jeff tu,” tokok Abi.

Sebaik sahaja Abi berkata demikian, wajah Fuad menerpa lagi. Aneh kerana wajah itu begitu kerap mengganggu fikiranku kini.

Bunyi hon motosikal Jeffri terus mematikan perbualan kami bertiga. Aku melangkah keluar, tetamu yang ditunggu sudah berada di hadapan rumah. Jeffri mematikan enjin motosikalnya.

Aku berjalan ke arahnya. “Nak keluar sekarang?” tanyaku tanpa membuka pintu pagar. Memang kami bertiga sudah buat undang-undang. Tidak dibenarkan tetamu lelaki masuk ke dalam rumah melainkan saudara mara sahaja. Termasuk Jeffri, biarpun dia tunangku.

“Nak pergi mana?” tanya Jeffri.

“Kita cari nasi, nak tak?”

“Apa you makan tengah hari tadi?”

“McDonalds.”

Dia memandangku. “Nak cari nasi kat mana?”

“Mana-mana, asalkan nasi.”

Akhirnya, kami berjalan sahaja ke gerai yang berdekatan. Deretan gerai yang ada di situ menyajikan berjenis-jenis makanan. Kami mengambil keputusan untuk makan di salah sebuah gerai masakan ala Thai. Dan sepanjang malam itu, wajah Fuad sering mengganggu di celah-celah aku dengan Jeffri.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81425/Kau-Untukku