[ SNEAK PEEK ] JANDA 916

JANDA 916

Ebuku JANDA 916 oleh Raihan Zaffya

SEBELUM subuh Melah sudah terjaga. Seperti ada yang mengejutkannya. Di sebelahnya, Ejul masih lena. Melah memerhati Ejul. Jari telunjuknya tiba-tiba menjadi nakal. Ia bergerak dari dahi Ejul, turun ke batang hidung dan akhirnya berhenti pada bibir Ejul.

Terasa sesuatu sedang bergerak di bibirnya, Ejul membuka kelopak mata yang masih kelat. Kelam-kabut Melah menarik tangannya. Hendak melompat turun dari katil tidak sempat pula.

“Sayang,” sapa Ejul.

“Errr… ada semut kat bibir abang tadi. Tu yang Mellia cuba buang.” Tanpa ditanya, beria-ia Melah menjelaskan. Itu pun dalam keadaan yang agak gugup.

“Oh ya… tak apalah. Semut tu nak bermanja dengan abang. Abang rela, walaupun digigitnya bibir abang ni.” Sahutan Ejul membuat Melah terbata. Merah mukanya.

“Kan sakit?” Untuk menghilangkan malu, Melah pura-pura bertanya.

“Sakit? Abang pasrah. Sakit sikit aje. Kalau bibir membengkak pun takkan lama. Tak sampai sehari dah surut semula.” Ejul pula melayan saja.

Kalau itu boleh diibaratkan satu sesi suai kenal, Ejul senang hati melaluinya. Kalau itu caranya boleh membuahkan cinta, Ejul akan berlapang dada. Kini, Melah sudah menjadi isterinya. Menjadi tanggungjawabnya melayan Melah dengan sehabis baik.

“Okeylah.” Melah mati kutu.

“Apa yang okey, sayang? Semut gigit? Sayang tak sayang abang ke, nak biarkan semut gigit bibir abang?” Melihat Melah tersipu-sipu, Ejul sengaja mengusik. Pagi itu adalah secalit kebahagiaan mengintai taman hatinya.

“Tadi abang kata tak apa. Kalau gigit pun bukan sakit sangat.” Melah masih malu-malu.

“Mana boleh tak apa. Abang lebih rela kalau sayang yang gigit.” Ejul yang semakin nakal membuat Melah serba tidak kena.

“Hmm… Mellia nak ke dapurlah. Abang suka makan apa? Mellia masakkan.” Cepat Melah mengalih perhatian.

“Apa-apa pun abang akan makan. Asalkan bukan racun,” sakat Ejul.

Melah tersenyum lebar. Kembang hati Ejul melihatnya.

Melah mengikat rambut ikal mayangnya. Dia membetulkan baju tidur. Mata Ejul masih tidak lepas memandang. Sejujurnya, Melah masih sangat canggung berdepan dengan Ejul yang baru saja bergelar seorang suami. Dia buat-buat tidak tahu pada gerak mata suaminya itu.

“Mellia ke dapur dulu… abang.” Lambat Melah menuturkan panggilan itu.

“Tak nak mandi dulu? Dengan abang?” usik Ejul.

“Erkkk… adoiii!” Hasilnya, dada Melah berkocak lagi. Tidak sengaja dia terlanggar bucu katil. Gelabah tidak terkata. Ejul terkejut, lalu melompat turun dari katil.

“Opsss! Sorry! Sorry! Mari abang tengok, berdarah tak kaki sayang.” Dia rasa bersalah.

Dahi Melah berkerut menahan sakit. Rasa berdenyut di celahan ibu jari kakinya. Ejul menarik badan Melah supaya duduk semula di tepi katil. Dia bertinggung untuk melihat jari kaki yang tersadung. Berdarah!

Darah pada ibu jari kaki Melah membuat Ejul tidak menentu. Perasaan takut dan bimbang tidak dapat disembunyikan. Mukanya nampak jelas pucat dan berpeluh. Dia berdiri semula, lalu mengambil kotak first aid dari atas almari solek.

Dia sentiasa meletakkan kotak itu pada tempat yang sepatutnya. Tujuannya supaya ia mudah dicapai pada waktu-waktu kecemsan. Dengan tangan terketar-ketar, Ejul membuka kotak dan mengeluarkan pencuci luka dan plaster.Abang… kenapa abang cemas sangat ni? Mellia okeylah. Sikit aje ni.” Kesakitan Melah hampir tidak dirasai bila melihat keadaan Ejul yang kewalahan. Rasanya untuk luka yang tidak seberapa, tidak perlu Ejul berkeadaan seperti itu. Apa yang lebih menghairankan Melah, muka Ejul pucat seperti tidak berdarah.

“Apa yang sikitnya? Berdarah tu. Kan abang dah ingatkan Sarina, berhati-hati bila buat sesuatu. Kalau Sarina sakit, abang akan rasa pedihnya.”

Sahutan Ejul membuat Melah terdiam. Terasa kakinya tidak jejak di bumi. ‘Sarina? Siapa Sarina? Takkan aku tersalah dengar. Dua kali dia sebut nama yang sama.’ Melah tidak sedap hati.

Untuk bertanya Ejul, masanya tidak sesuai. Ejul seperti sedang dalam keadaan yang amat tertekan. Selesai Ejul membalut lukanya dengan plaster, Melah cepat berdiri untuk berlalu ke dapur. Fikirannya dipenuhi persoalan.

Hatinya menjadi kurang tenteram. Jika ada perempuan lain dalam hidup Ejul, kenapa dia memilih untuk menikahi dirinya? Sampai di dapur, Melah berdiri lama. Dia bercekak pinggang dan berkira-kira apa yang mahu dimasak. Belum biasa dengan dapur di rumah sewaan Ejul.

Di hujung sudut para ada sebakul kecil kentang. Kabinet dapur dibuka untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Sebotol garam, sebungkus kecil serbuk kari dan sebotol serbuk lada sulah. Melah mengeluarkan kesemuanya. Tidak terlihat keperluan dapur yang lain.

Dia menarik pintu peti sejuk, berdiri tegak dan geleng-geleng. Tidak ada bawang atau cili yang boleh digunakan untuk memasak. Melah garu kepala. Kepalanya masih sarat dengan persoalan tentang siapa Sarina. Sarapan pula mahu disiapkan sebelum azan subuh.

“Sos aje yang ada dalam ni.” Tanpa banyak soal, dikeluarkan botol sos cili yang isinya hanya tinggal separuh.

“Aduhhh… kenapa kepala ni asyik fikir tentang Sarina? Hisy… tenang, tenang. Hmm… nak masak apa ni?” Sambil matanya merenung barang-barang yang sudah diletakkan di atas para.

“Buat ala-ala wedges ajelah kot.” Keputusannya muktamad.

Tanpa membuang masa, Melah mengambil kentang di dalam bakul kecil untuk dibuang kulitnya. Sebilah pisau yang tajam sudah diambil daripada tempatnya. Tangan dihalakan pada kulit kentang, sedangkan fikirannya tidak fokus dengan apa yang dilakukan.

Sebiji kentang berjaya dibuang kulitnya setelah lima minit berlalu. Melah lebih banyak berkhayal. Kentang kedua diambil. Gerakan tangan masih tidak fokus. Hatinya tidak menentu. Takut pisang akan berbuah dua kali. Dia tidak sanggup lagi berdepan dengan perceraian.

“Sayang! Buat apa tu?” Suara Ejul kedengaran seperti biasa menegurnya.

“Awww! ALLAH!” Teguran itu membuat Melah tersentak sehingga pisau yang tajam telah menghiris hujung jari telunjuk sebelah kirinya.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit ibu jari kaki masih belum hilang, terluka pula jari tangannya. Darah merah segar mula menitis daripada tempat luka. Melah berkejar ke singki. Darah yang mengalir mesti dibersihkan.

“Sayang…” Melihat Melah kesakitan, Ejul bergegas mendapatkannya.

Belum sempat Melah memutar kepala paip, Ejul sudah menarik tangannya. Sekali lagi Ejul nampak cemas. Lebih cemas berbanding Melah. Jari telunjuk Melah dimasukkan ke dalam mulutnya, lalu darah disedut perlahan. Darah yang disedut dimuntahkan ke dalam singki.

Ejul melakukannya berulang-ulang. Melah tercengang, terpempan. Dia tidak menyangka Ejul sanggup membersihkan darah dengan mulutnya. Melah tidak menarik tangan daripada pegangan Ejul, sebaliknya dia hanya berdiri seperti patung. Tidak bergerak-gerak.

“Darah dah tak mengalir.” Ejul memutar kepala paip dengan tangan kiri, sementara tangan kanannya masih memegang tangan Melah. Dia membongkok sedikit untuk berkumur.

“Sayang sakit?” soalnya dengan muka serius.

Melah hanya mampu mengangguk. Kejutan masih belum hilang.

Tangan Melah dikucup lembut sebelum dilepaskan. Pisau tajam yang membuat Melah terluka, diambil lalu dibuang ke dalam tong sampah. Kentang yang baru dikupas sebahagian kulitnya turut dibuang. Perbuatan Ejul membuat Melah lebih bingung.

“Kenapa buang?” Terpacul pertanyaannya.

“Pisau tu dah lukakan jari sayang sebab sayang nak buang kulit kentang. Kalau abang tak buang, hati abang tak aman. Abang tak sanggup tengok sayang sakit macam ni.”

Ejul membiarkan Melah yang masih terkaku. Dia menyimpan semula barang-barang yang telah dikeluarkan oleh Melah. Melah hanya melihat saja. Sebelum ini bila sesekali terserempak dengan Ejul, hanya senyuman dan sapaan manis yang dipamerkan. Kini, bila melihat Ejul yang serius, kecut hatinya.

“Bukan sakit sangat pun, pedih aje.” Sesudah agak lama, Melah bersuara.

“Tak! Abang tak boleh tengok Mellia sakit! Tak kiralah, sakit tu sikit, faham?” Sahutan Ejul agak tegang. Ya, suaranya sedikit keras.

“Selagi luka tangan Mellia tak sembuh, abang larang Mellia memasak. Jangan memasak! Jangan sekali-kali!” sambung Ejul.

Melah menikus. Kejutan tentang Ejul memang tidak disangka-sangka. Perbezaan watak Ejul tercorak sesudah hari pernikahan mereka. Adakah ini satu petanda yang tidak baik? Cepat-cepat Melah membuang bayangan buruk daripada otaknya.

“Sayang mandi sekarang, lepas mandi abang akan balut jari sayang dengan plaster. Jari kaki pun abang akan ganti plaster baru.”

Nada Ejul berubah lembut semula. Anak rambut Melah yang terjuntai di dahi, dikuak perlahan. Senyuman paling manis dihadiahkan untuk Melah. Melah membalas dengan lambat. Ejul memimpin tangan Melah untuk meninggalkan ruang dapur. Melah membiarkan saja.

“Sayang kena jaga diri baik-baik. Abang tak nak tengok sayang berdarah lagi. Jangan lakukan perkara-perkara yang bahaya. Kalau perlu abang aje yang buat semua tu.”

Melah masih diam. Bukan saja dia sudah kehilangan kata-kata, bahkan dia juga sedang dalam kebingungan. Bukan mudah mahu menyesuaikan diri dengan orang yang kurang dikenali luar dalamnya. Tidak difahami hati budinya.

“Abang ambilkan sayang towel ya.”

Sekali lagi Melah hanya angguk. Buat masa ini, dia hanya mahu memerhati dan memahami rentak Ejul.

“Terima kasih,” ucap Melah tanpa memandang Ejul.

“Sama-sama kasih, sayang. Kasih sayang, abang dah pun terima.” Ejul mengenyit mata sebaik Melah mengerlingnya. Melah membalas dengan senyuman nipis.

‘Ya ALLAH, permudahkan segala urusan kami. Jauhkan kami daripada keburukan. Mohon tanamkan rasa cinta di antara kami, Ya ALLAH.’ Melah membisikkan doa dengan ekor mata yang masih melekat pada Ejul.

“Kenapa pandang abang macam tu? Nak abang mandi sama ke?” usik Ejul sambil berpura-pura mahu mendekati Melah. Setiap kali Ejul menuturkan kata-kata yang lunak, muka Melah akan merona dengan sendirinya.

“Segan.” Jawapan Melah yang terluah membuat Ejul ketawa besar. Sepet matanya.

Bila Ejul ketawa, dia kelihatan seperti orang lain. Amat berbeza seperti sewaktu dia sedang dalam keadaan tegang. Ketawa Ejul juga membuat hati Melah menjadi sejuk. Hilang segala rasa kurang senangnya sebentar tadi. Hatinya memang mudah cair dengan kelembutan.

“Kalau segan, abang mandi kemudian. Sayang mandi ya, masuk subuh kita berimam. Lepas tu, kita jalan-jalan cari makan di pekan.”

Tanpa menunggu jawapan Melah, Ejul memusingkan badan. Dia membuka pintu almari pakaian. Melah tidak mahu ambil tahu apa yang suaminya mahu lakukan. Dia berlalu ke bilik air. Mahu menyegarkan badan supaya dapat bersolat dalam keadaan yang selesa.

“MANA yang paling cantik?” Kedua-dua tangan Ejul sibuk menyelak pakaian wanita yang tergantung rapi di dalam almari. Kesemuanya adalah pakaian Melah. Dia mahu isterinya mengenakan pakaian yang paling berkenan pada pandangan matanya.

“Kulitnya putih gebu. Pakai warna apa pun cantik… tapi lagi cantik kalau pakai dress pink ni. Ya… paling cantik.”

Ejul mengambil pakaian itu lalu dipamer di depan cermin. Cermin direnung lama. Dress itu sudah pun disarung ke tubuh seorang gadis ayu. Padan. Memang cantik. Gadis ayu itu tersenyum sambil memusing-musingkan badannya. Senyuman tidak lekang dari ulas bibirnya.

“Sarina…” Ejul membalas senyuman gadis itu. Ejul seperti sedang dalam igauan.

‘Sarina lagi! Kenapa mesti Sarina? Siapa dia? Siapa?’

Sebaik menguak pintu bilik air, Melah terdengar Ejul menyebut nama Sarina. Bunyi kuakan pintu didengari oleh Ejul. Dia menggamit Melah supaya menghampirinya. Melah yang masih bertuala teragak-agak bila memikirkan sikap pelik Ejul.

‘Ah! Dia dengar ke? Kenapa dengan aku ni? Bayangan Sarina selalu datang pada waktu yang salah.’ Ejul sedikit sesal dengan sikapnya sendiri. Sikap yang kadang-kadang di luar kawalan.

“Sayang ada dengar apa-apa ke?” Tidak mahu berteka-teki, Ejul terus bertanya.

“Dengar apa? Mellia baru keluar ni, abang.” Melah berdalih. Dia tidak mahu membuat Ejul serba salah. Selebihnya, dia mahu memberi masa kepada diri sendiri untuk lebih memahami suaminya itu. Dia juga tidak mahu ada prasangka buruk dalam perkahwinan yang baru saja dibina.

“Tak… tak ada apa.” Ejul lega. Mukanya lebih tenang berbanding tadi.

“Abang dah pilihkan dress ni untuk sayang pakai.” Dress diangkat tinggi.

“Melah mesti pakai yang ni ke?” Muka Melah berkerut.

Seingat Melah, baru dua kali dia memakai dress itu. Dia jarang memakainya kerana ia adalah pemberian Arief. Setelah bercerai, dia tidak mahu dress itu mengingatkannya tentang kenangan manis sewaktu bersama dudanya itu.

“Ya… abang suka sangat dengan warnanya. Sepadan dengan sayang.” Nadanya seakan memujuk. Dia menanti persetujuan Melah dengan sabar.

Melah berkira-kira. Sebagai seorang isteri, dia perlu patuh segala kehendak suami. Selagi kemahuan itu tidak melanggar syariat dan tidak membawa kepada kekufuran, seorang isteri mesti patuh dan taat.

“Okey… Mellia pakai. Mellia pakai sebab abang nak Mellia pakai.” Akhirnya, dia akur. Dia mengingatkan diri bahawa sekarang ini dia sudah menjadi isteri Ejul yang sah.

“Terima kasih, sayang. Sayang pakai ya? Abang nak mandi. Kejap lagi dah nak masuk subuh.” Ejul meletakkan dress itu di permukaan katil. Sebelum berlalu, dia mencuit pipi Melah sambil mengenyitkan mata.

‘Aku berharap kau akan menjadi suami yang baik. Sampai bila-bila. Hingga hujung nyawa.’ Bisikan hati Melah mengharapkan perkahwinan mereka akan kekal bahagia.

‘Sampai bila-bila? Arief?’ Dia menghembuskan nafas kuat. Sebal.

‘Ah! Antara aku dengan dia dah berakhir. Mana ada seorang perempuan yang bernikah semata-mata untuk bercerai. Gila!’ Sudahnya Melah bersoal jawab dengan diri sendiri.

‘Sekarang… baik buruk Ejul, dia adalah suami aku. Kesetiaan aku mesti untuk dia. Tapi… hah, susahnya. Kenapa dalam hati aku masih ada Jelan? Sukar untuk aku membuang ingatan terhadapnya. Ampunkan aku, Ya ALLAH… berikan aku masa, ruang dan peluang.’

Ketika dalam kekalutan, hanya kepada ALLAH tempat Melah bergantung harap. Dia amat yakin ALLAH akan mendengar biarpun hanya bisikan hati. Dia tidak mahu menjadi isteri derhaka yang dicela.

Perlahan-lahan disarungkan dress pilihan Ejul. Dia nekad untuk memadamkan ingatan terhadap pembeli dress itu. Sejarah tetap sejarah. Tidak mungkin berulang walaupun sekuat mana ia diingati. Kamus lama mesti ditutup dan lembaran buku baru akan mula dibuka.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55856/janda-916