[SNEAK PEEK] Jadi Makmum Dia

Jadi Makmum Dia Oleh Dillia Ahmad

“Akulah lelaki itu. Yang akan menjadi temannya seumur hidup aku.” BLURP JADI MAKMUM DIA Ditemukan dengan Ikhmal secara tidak sengaja telah mengheret Alia Qistina menjadi pengganti kekasih yang meninggalkannya. Tanpa ragu-ragu lelaki itu mengajaknya berkahwin. “Saya akan diamkan hal ini kalau Alia sudi menjadi pasangan hidup saya.”-IKHMAL “Encik Ikhmal ingat ini hal main-main ya?”- ALIA “Saya tahu ia tak mudah untuk memulakan satu hubungan. Tapi kita boleh mencuba.” IKHMAL Kemudian datang pula Darren Rizal, kawan baik Ikhmal. Pada Darren apa yang ada pada Alia semua dia suka. Tapi bila dia mendapat tahu niat si kawan yang mahu mengahwini Alia, dia terkilan. Patutkah dia memberitahu hal sebenar kepada gadis itu? “Kau tak perlu lagi nak ambil tahu tentang Alia sebab dia sudah ada seseorang yang akan menjaganya.”- DARREN “Siapa?”- IKHMAL “Aku! Akulah lelaki itu yang akan menjadi temannya seumur hidup!”- DARREN Sedangkan Alia langsung tidak tahu menahu tentang perasaannya. Ah, nanti Alia pasti akan tahu. Jalan cerita kisah mereka tidak semudah yang Darren sangkakan. Ikhmal kawan baik. Patutkah dia mengkhianati persahabatan mereka? Itu semua belakang kira. Yang penting, hasrat hatinya. “Saya serius. Saya serius nak jadikan awak isteri saya!”-DARREN Alia bingung. Tidak tahu siapa yang harus dia pilih. Darren atau Ikhmal?


ALIA terhincut-hincut melangkah meninggalkan ruang tamu itu. Biarlah Mak Wa dan Fateh yang melayan tetamu itu. Dia mahu naik ke bilik dan membersihkan dirinya. Sudahlah hari ini malu berganda. Adoiii…

“Jangan lupa letak minyak panas dekat tempat yang sakit, Cik Alia. Nanti lebam pulak kat tempat tu!” pesan Darren yang masih sempat mengusiknya.

Alia tertoleh ke belakang sambil bagi renungan maut kepada lelaki itu. Hati Darren sudah mahu ketawa.

“Jemput minum kopinya, Darren. Hujan-hujan macam ni memang sedap minum kopi panas,” tutur Fateh sebelum menghirup kopinya perlahan.

Darren senyum dan angguk. Matanya memandang meja kopi yang sudah tersedia cucur udang bersama sosnya dan sepinggan pisang goreng. Tangannya segera mengambil pisang goreng itu lalu menyumbatkan ke mulut.

“Darren satu tempat kerja dengan Alia ke?”

“Tak. Saya pilot. Sebenarnya, saya baru balik ke sini dua hari lepas. Hari tu pergi Amsterdam. Lepas ni, pergi London.”

“Wow, tanggungjawab berat tu.”

Darren angguk. “Semua nyawa yang ada dalam kapal terbang tu dalam tangan saya. Setiap kali nak buat penerbangan atau pendaratan, tak henti saya berdoa semoga segalanya berjalan lancar.”

“Dah berapa tahun Darren jadi pilot?”

“Dekat tujuh tahun. Satu kerja yang hebat pada pandangan orang. Tapi berliku,” ujar Darren sambil senyum penuh makna.

“Tak ada kerja yang mudah, Darren. Semua kerja ada risikonya.”

“Ya, bang.” Darren mengangguk bersetuju. “Mungkin saya akan berhenti kerja ni sebab ayah saya mahu saya gantikan tempat dia. Dia tak mahu saya bekerja pilot lagi.” Darren senyum nipis.

Fateh memandangnya.

“Macam mana Darren boleh kenal Alia?” soal Fateh, segera menukar topik apabila melihat riak muram wajah Darren.

Darren terhenti mengunyah. “Dari majlis tahunan tempat kerja dia itulah. Actually, bos Alia tu, kawan baik saya,” terang Darren.

“Oh, Ikhmal…”

“Abang Fateh kenal dia ke?”

“Kenal gitu-gitu aje. Dia ada datang ke rumah kami ni.”

Darren angguk faham. “Betul ke dia mahu bertunang dengan Alia?”

“Entahlah, Darren. Saya tak tahu apa-apa tentang itu. Hingga sekarang pun tak ada orang datang ke sini merisik Alia kecuali dia aje.”

Darren diam. Jadi yang beria-ia sangat nak ambil Alia itu hanya Ikhmal?

Bunyi enjin kereta memasuki pekarangan rumah buat Darren memandang ke pintu.

“Tak apa, Darren. Laila boleh letak kereta dia dekat sebelah kereta saya.”

Darren tak jadi bangun. Beberapa minit kemudian Laila masuk ke dalam rumah dan pegun sekejap di depan pintu apabila terpandangkan wajah tetamu itu.

“Kita ada tetamu rupa-rupanya.”

“Ha, kawan Alia. Darren.”

“Hai!” Darren angkat tangan sambil tersenyum.

Bukan main lagi si adik. Semua lelaki yang dia kenal handsome-handsome belaka!

“Ini Laila. Kakak Alia.”

“Saya ingat muka dia. Dia pengsan masa dekat majlis tahunan tu.” Darren sudah ketawa.

“Dia memang lemah semangat!” tambah Fateh pula.

“Hish, mana ada. Ila terkejut aje sebab tiba-tiba bos nak kahwin dengan Alia. Kenal pun tidak. Tiba-tiba ajak kahwin. Mahu tak terkejut!” pintas Laila lalu duduk di sebelah Fateh dan dengan selamba menyuap pisang goreng ke mulutnya.

Nak Lebih lagi? boleh dapatkan di –

https://www.e-sentral.com/book/info/329439/aura-cinta