[SNEAK PEEK] ISTERIKU SLEEPING UGLY

9789674462116-medium

EBUKU Isteriku Sleeping Ugly Oleh Daisy Dania

KENAPA tadi you panggil dia ugly?”
Suara Erin yang didengari membuatkan langkah Hana terhenti daripada terus melangkah menuju ke arah kaunter penyambut tetamu itu.
Dia yang diarahkan Rina sebentar tadi untuk menyediakan air kopi terus memasang telinga di situ.
“You ni, agak-agaklah kan. Takkan macam tu nampak cantik pada pandangan mata you? Untuk I, memang taklah. Sebab tu I panggil dia ugly. Lagi satu, dia ni suka tidur rata-rata tempat tau, you jangan tak tahu,” beritahu Rina bersungguh-sungguh.
“Really?”
“Ya. Bukan ke ada satu cerita dongeng tu, Sleeping Beauty, kan? Yang ni? Cantik ke?” balas Rina.
Tawa Rina dan Erin meletus.
Hana mengetap bibir. Kenapa apa yang dia pakai akan selalu menjadi sebab utama untuk orang lain mengata dirinya? Apa yang dia orang pakai, aku tak pernah kisah pun!
Hana mula mengatur langkah. Erin dan Rina yang sibuk bergosip terhenti sejenak. Dua biji cawan diangkat lalu diletakkan di atas meja sebelum ingin berlalu.
“Tunggu, tunggu.” Erin bersuara.
Hana kembali menoleh ke Erin yang sedang mencari sesuatu di dalam beg tangannya.
“Nah, upah kau.” Erin tersenyum sinis sambil menghulurkan sekeping duit kertas RM1.
Hana terkebil-kebil memandang Erin yang mengangkat kening kepada Rina. Setidak-tidaknya, Erin ingin kelihatan hebat juga di pandangan mata model itu.
“Ambil. Aku tak naklah nanti kau cakap kita orang ni buli kau pulak. Ambil, jangan risau, aku ikhlas. Cukup ikhlas dari hati kecil ni. Nah!” Erin beria-ia menghulurkan wang kertas yang masih belum bersambut.
Hana menatap dalam-dalam raut wajah kerani itu. Kenapa harus sombong dan meninggi diri? Kalau tak ada RM1 tu, takkan cukup seratus tau. Jangan kata RM1, kalau tak ada satu sen sekalipun, takkan boleh kalau nak cukupkan nilai sejuta.
Hana menyambut duit yang diberi. Bukan kerana dia ingin merendahkan martabat dirinya, tapi dia yakin satu hari nanti, dia akan ada peluang untuk menggunakan kembali duit tersebut.
“Hah! Macam tulah. Good girl!”
“Terima kasih. Saya terima sebab saya yakin, nanti duit ni akan kembali kepada tuannya yang asal. Sebab? Sebabnya dalam ekonomi sendiri pun, duit ni…” Hana menunjuk duit yang sudah berada di tangannya.
“Duit ni berputar. Bila berputar, saya yakin suatu hari nanti RM1 ni akan kembali kepada Cik Erin,” tutur Hana.
Erin menelan air liur. Dia terpempan dengan kata-kata budak kampung itu. Apa yang nak dijawabnya sekarang? Tak guna! Dia melihat ke arah Rina bagaikan ingin meminta pertolongan.
“Apa-apalah! Ekonomilah, apalah. I don’t care!”
“Of course you don’t care. Or maybe you don’t even know, right? Sebab dulu pun, assignment Ekonomi Cik Rina, saya yang buatkan!” balas Hana geram.
Dulang yang tadinya ingin dibawa kembali ke bilik pantri dibiarkan di meja Erin sebelum berlalu.
Air mata yang ditahan sejak diberikan wang kertas oleh Erin tadi, kini gugur. Langkah dilajukan ke arah studio.
Erin mengetap bibir sambil mengerling Rina.
“Damn it!” Rina mula mencerca apabila terasa panas hati.
Sekarang ni, Ugly yang dungu itu sudah berani melawannya? Nampaknya, pengajaran yang lalu masih belum berkesan buat budak kampung itu!
“I have a plan. New plan!” gumam Rina.
Matanya masih tidak lepas menatap pintu yang ditutup Hana tadi.

LAGU I’ll Always Love You yang merdu hasil suara mantap mendiang Whitney Houston melatari studio Fabuloustar pagi itu. Lagu itu yang sengaja diperdengarkan dari sebuah komputer riba yang dihubung terus kepada kotak speaker Altic Lansing, dipilih sendiri oleh Bad dengan harapan dapat menyuntik mood kepada model-model yang menjalani sesi fotografi dengan tema romantik itu.
Hana memerhati Rina dan seorang lagi model perempuan yang sibuk memberikan pelbagai gaya seperti yang dikehendaki oleh jurugambar, Imran.
“Risya.” Sebaris nama itu meluncur keluar dari bibir Hana.
Semua orang di sini memanggilnya sebegitu, bukan dengan nama Rina seperti yang pernah dikenalinya di UiTM dahulu. Ah, Risya ke, Rina ke, orangnya tetap sama. Perangai juga masih lagi tidak berubah. Jadi, apa yang berbeza dengan nama tersebut?
Hana mengalihkan pandangannya daripada terus memerhati sesi fotografi yang sedang rancak berlangsung. Dia yang sedang berdiri di tingkap studio itu, memandang ke arah luar, memerhati kesibukan di jalan-jalan Kuala Lumpur yang tak pernah sunyi.

“Ugly!”
Suara itu menyentap rasa tenang yang baru hendak bertamu dalam diri Hana. Dia menoleh ke arah Rina yang sedang duduk di sebuah kerusi. Kelihatan semua mereka yang berada di situ turut memandang ke arahnya. Lagu yang tidak lagi kedengaran membuatkan Hana memahami yang sesi itu dihentikan seketika untuk berehat.
“Apa you ni? Nama dia Hanalah,” ujar Bad, sedikit marah.
“Yalah. Penolong Jojo, takkan you tak kenal lagi?” Imran pula menambah.
“Siapa cakap I tak kenal? Lebih daripada you all semua kenal dia tau. Oh, Ugly.” Rina menoleh ke arah Hana yang terkebil-kebil memandang kepadanya.
“No need to be rude. You boleh aje kan panggil dia Hana?” Jojo yang mula panas hati, terus membuka mulut.
“Hei, relakslah. I dah terbiasa.” Rina tertawa kecil.
Kau kena kuat, Hana. Bukankah kau dah biasa dengan perangai dia? Lagipun, untuk hari ini aje, kan? Hana memberikan semangat untuk dirinya sendiri.
“Tolong ambilkan aku air. Hauslah. Hmm… tolong dapatkan aku strawberry smoothie dari restoran kat bawah tu. Cepat sikit ya.” Rina memberikan arahan diiringi dengan senyuman di bibirnya.
“Hei! You jangan nak melampau. Dia ni pembantu I, bukannya…”
“Tak apa, Jojo. Lagipun, saya memang tak buat apa-apa pun sekarang ni. Apa salahnya saya tolong. Jojo nak apa-apa, saya boleh tolong belikan.” Hana cuba bernada ceria.
Jojo yang menoleh kepada Hana cuba menahan sabar. Kepalanya digeleng perlahan bagaikan kesal dengan apa saja yang baru didengari daripada Hana. Kenapa pula Hana sanggup mengikut saja apa kata Risya?
“Hah, dengar tu Jojo? Dia sendiri tak kisah. You pulak yang nak lebih-lebih,” tukas Rina sambil menjeling.
“Bad? Imran? Yang lain-lain nak pesan apa-apa jugak ke?” Hana menoleh ke arah krew-krew yang sedang berehat di dalam satu kumpulan.
“Tak apalah, Hana.” Imran bersuara bagaikan wakil kepada mereka yang lain.
“Betul ni? Cakap ajelah kalau nak apa-apa. Err… sandwic?” Hana masih lagi menawarkan pertolongannya kepada para pekerja itu yang hanya menggeleng.
“Vanessa?” Hana memanggil pula model kacukan China dan Inggeris yang turut berehat itu.
Kelihatan Vanessa menggeleng.
“Tak apalah, Hana. I bukannya jenis macam tu. Kalau I nak sesuatu, I tahu macam mana nak buat dan I takkan pernah nak susahkan orang lain. Tapi, you tahu tak yang you memang sangat-sangat baik dan untuk itu, apa kata semuanya, kalau kita berikan tepukan untuk Hana!”
Hana yang tidak menyangka apa yang dikatakan oleh model yang bekerjasama dengan Risya tadi, terpinga-pinga apabila mereka semua yang berada di situ melakukan seperti yang dipinta Vanessa. Bergema studio yang tadinya sepi dengan tepukan daripada semua pekerja.
Hana tersipu. Matanya menjeling kepada Jojo. Amboi! Beria-ia pula Jojo bertepuk tangan untuknya. Hisy! Macam-macam. Namun, Hana sendiri tidak berjaya menahan bibirnya daripada terus memberikan senyuman buat lelaki itu.
“Yeah! Hana! Hana!” Imran pula bersuara.
“Hana! Hana!” Mereka yang lain ikut bersuara, seakan-akan memberikan semangat buat gadis itu.
Hana tersenyum terus. Bahagia juga bila disokong begini. Belum sempat untuk terus senyum berpanjangan, raut wajah Rina yang sedang merenung tajam kepadanya mencuri tumpuan.
“Err… saya pergi dulu,” tutur Hana sebelum berlalu.
Rina memerhati kelibat gadis itu yang menghilang di sebalik pintu studio. Tak guna! Kenapa sekarang dia dapat rasakan semuanya seperti menyebelahi gadis dungu tak guna itu? Dan yang paling teruk, dia rasa macam dia sudah kalah kepada Hana!
Rina menjeling kepada Vanessa yang sedang duduk tidak jauh di sisinya. Kelihatan gadis itu sedang membelek-belek telefonnya.
“Tadi tu you perli I ke apa?” Rina mula bersuara.
Setidak-tidaknya rasa panas hatinya kini harus dilempiaskan kepada seseorang.
“Excuse me?” Vanessa menoleh ke arah Rina.
“Alah, tak payahlah nak berpura-pura. Tadi tu apa yang you cakap, memang you cakap pasal I, kan?” Rina mula berdiri.
Suara Rina yang tinggi itu menarik perhatian mereka yang lain.
“Biarkan. Kalau perempuan bergaduh, jangan masuk campur!” bisik Bad kepada Jojo sambil tersengih.
“Setuju!” balas Jojo yang ikut tertarik dengan drama yang bakal terjadi.
“Yang you nak terasa kenapa? I tak sebut pun nama you, kan? I’m just talking about myself. Tapi, kalau you masih nak terasa, sorry, I can’t help it okay?” Vanessa tersenyum sinis.
“Satu, dua…” Bad dan Jojo sama-sama mengira.
“Tak guna! Kau memang nak cari pasal, kan?!” Rina yang tidak lagi boleh bersabar terus menerpa ke arah Vanessa.
Rambut paras bahu Vanessa menjadi target tangannya. Kedua-dua orang model yang tidak ingin mengalah mula bercakaran antara satu sama lain. Drama percuma itu menjadi tatapan staf-staf lelaki lain yang tidak ingin masuk campur.

****

SEPASANG kasut tumit tinggi Charles & Keith yang berwarna putih dan berjalur ungu itu kembali disimpan di rak yang menempatkan pelbagai lagi jenis kasut wanita dan lelaki daripada pelbagai jenama antarabangsa.
Sekali lagi, sama seperti hari-hari sebelum ini, Hana sudah selesai mengemas pakaian, kasut dan aksesori yang diguna pakai oleh para model. Dia tersenyum senang kerana ini sudah menandakan kerjanya sudah berakhir untuk hari itu.
Jam di pergelangan tangan dikerling sebelum telefon yang berada di tangan mula ditatap. Hana mula mencari mesej yang diterima daripada Ika beberapa minit yang lalu.
“Ada pun,” gumam Hana.
Dia membaca mesej yang dibalas Ika sebagai jawapan kepada pertanyaannya tadi. Hari ini, dia harus pulang ke rumah seorang diri kerana Jojo tiba-tiba saja memberitahunya untuk berjumpa dengan seorang kawan yang sudah lama tidak bersua muka.
Nombor telefon untuk menghubungi teksi itu dilihat lagi sebelum telefon kembali disimpan di dalam beg. Puas memerhati keadaan bilik wardrobe itu, Hana menekan satu suis untuk menutup lampu sebelum berlalu. Keadaan studio itu sudah lama sunyi, sejak selesainya sesi fotografi lewat tengah hari tadi.
Sebaik melangkah keluar dari studio, Hana menghala menuju ke arah lif. Beberapa minit melangkah, dia sudah tiba di depan pintu lif. Matanya yang menjeling ke arah pintu pejabat, mula menarik langkah kakinya ke arah situ.
“Ada lagi ke yang tak balik?” bisik Hana perlahan.
Jam di tangan mula dikerling apabila kedengaran batuk yang dilepaskan itu. Selalunya pada waktu yang menginjak ke 6.40 petang, sudah tidak ada mana-mana staf yang masih berada di pejabat.
“Eh, Hana, tak balik lagi ke?” soal Zara apabila menyedari kehadiran Hana.
“Belum lagi, tapi dah nak baliklah ni. Err… Cik Zara tak…”
“Alah, tak payahlah nak bercik-cik dengan saya. Kita sebaya, kan? Panggil aje Zara.” Gadis yang menjadi setiausaha kepada syarikat itu mengukirkan senyuman kepada Hana.
“Err… Zara tak balik lagi? Banyak kerja ke?”
“Boleh tahanlah. Saja aje malas nak balik awal-awal. Bukannya ada siapa-siapa pun tunggu kita kat rumah. Lebih baik habiskan kerja ni, ya tak? Kenapa, Hana pun balik lewat? Jojo mana? Selalu tu kau orang berdua, hari ni tinggal awak aje sorang-sorang.”
Hana tersengih. Nampaknya satu pejabat ni agaknya sudah tahu yang dia dengan Jojo selalu datang dan pulang bersama-sama. Gosip!
“Memang selalu tu saya datang dan balik sama-sama dengan Jojo, tapi hari ni dia ada hal, jadi saya balik sendiri. Err… tadi saya dengar Zara batuk, tak sihat ke?” Hana yang berdiri tidak jauh dari meja Zara mula melepaskan soalannya
Zara tersenyum sebelum membuka mulut. Pandangannya yang tadi tertancap kepada monitor komputer mula ditalakan kepada Hana yang masih tercegat di situ.
“Taklah. Saya okey. Tadi tu tersedak sebab minum air ni.” Sebotol air mineral yang berada di atas meja diangkat, lalu ditunjukkan kepada Hana.
Hana mengangguk faham.
“Saya ingatkan Zara tak sihat tadi. Kalau macam tu, saya balik dulu ya.”
“Okay, take care!” Zara mula melambai.
“You too. Assalamualaikum.” Hana tersenyum sebelum melangkah.
“Waalaikumussalam.” Mata Zara mengikut gerak langkah gadis itu sehingga menghilang.
Apa yang tidak kena dengan gadis itu sehingga ramai staf yang memperkatakan perihal dirinya? Bukan dia tidak tahu, boleh dikatakan setiap hari, ada saja cerita yang Erin sampaikan kepada staf-staf yang lain.
“Sekurang-kurangnya, dia ambil berat jugak pasal aku,” getus Zara.

HANA yang menanti di depan pintu lif, terpempan sejenak sebaik pintu lif berkenaan terbuka. Susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berdiri di dalam lif itu membuatkan Hana mula berdebar.
Ah, masuk ajelah, Hana. Jangan-jangan dia sendiri pun sudah tak ingat pun hal itu, kan?
Hana mula melangkah masuk apabila mengenangkan waktu yang kian lewat. Jam di telefon yang dikeluarkan dari beg untuk menghubungi teksi sebentar lagi, dipandang. Sudah hampir ke pukul 6.45 petang.
Rayyan mula melonggarkan ikatan tali lehernya. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan untuk menghilangkan lenguh-lenguh di leher dengan mata yang dipejamkan. Apa yang dia tahu, dia ingin segera sampai ke rumah dan berehat di atas tilam empuknya itu.
Seorang gadis yang berdiri bersama-samanya di dalam lif itu tidak dihiraukan. Penampilan gadis itu dilihat sekali lalu. Entah mak cik cleaner mana atau tea lady syarikat mana yang berkongsi lif bersama-samanya petang itu. Rayyan mula menjeling.
Tak seksi langsung untuk dibuat cuci mata yang dirasakan berpinar setelah seharian menyemak fail itu dan ini. Sudahlah perutnya sendiri sudah mula berkeroncong.
Rayyan menjeling malas nombor yang dipamerkan di dalam lif itu. Lif itu baru saja bergerak menuruni aras 14.
“Lambatnya!” desis Hana.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79470/isteriku-sleeping-ugly