[SNEAK PEEK] ISTERI DALAM SANGKAR

9789670907345-medium

ISTERI DALAM SANGKAR Oleh Wardina Aisyah

“AISYAH!” laung Fasha kuat. Dia sedang bersenang-lenang di atas sofa sambil menghadap majalah Media Hiburan. Aktiviti yang sering dia lakukan di rumah.

Sepi… tiada jawapan.

“Aisyah!!!” Kali ini jeritan Fasha lagi kuat dari tadi.

Masih sama. Masih sepi tanpa jawapan.

Fasha merengus. Geram apabila panggilannya tidak bersahut. Pantas majalah hiburan yang dibaca dicampak ke atas meja. Dia bangun dengan tangan yang sudah dibawa ke pinggang.

“Hei… mana pulak perginya ‘mangkuk ayun’ ni? Dah mampus agaknya!” Fasha menggumam marah.

“Aisyah!!!” dengan sepenuh tenaga, Fasha menjerit. Rasa bergegar anak tekaknya menjerit begitu rupa. Dah boleh jadi Tarzan.

Sama seperti tadi, tiada jawapan juga. Buat penat dia saja menjerit-jerit begitu. Sampai tercungap-cungap dia jadinya.

Fasha hilang sabar. Bengkak hati apabila Aisyah yang dipanggil-panggil tidak munculkan diri. Berbekalkan amarah yang bersarang di hati, dia menghentak-hentak kaki menuju ke bilik stor yang menempatkan Aisyah sejak lima tahun lalu.

“Hoi! Perempuan! Kau buat apa dekat dalam bilik tu? Tak dengar ke aku panggil? Atau kau nak aku seret kau keluar dari sarang kau ni baru kau nak ke…” Bebelannya terhenti kala terpandang sekujur tubuh Aisyah yang sedang sujud di atas sejadah. Dia mendengus. Padanlah tiada sahutan. Rupanya Aisyah sedang bersolat. Dengan hati yang panas, Fasha kembali semula ke ruang tamu. Tubuhnya yang kurus itu dihempas atas sofa.

“Menyusahkan aku je!” rengusnya sambil tangan kembali mencapai majalah yang dicampaknya tadi. Helaian yang tergendala dibaca, diselak semula.

Fasha memang suka membaca. Tapi bukan baca buku yang memberi ilmu, sebaliknya membaca majalah-majalah hiburan yang menghidangkan cerita dunia artis-artis tempatan dan luar negara. Tanyalah gosip-gosip tentang dunia hiburan, semua ada dalam poketnya. Sebab itulah keputusan SPMnya hanya nyawa-nyawa ikan saja. Itu pun nasib baik lepas untuk masuk ke kolej. Tapi sayang… semua yang dibuatnya hangat-hangat tahi ayam. Akhirnya duduk juga di rumah itu.

“Amboi, amboi… bukan main kau terlentang atas sofa tu. Dasar anak dara pemalas!” suara Puan Ainin kedengaran, menyebabkan Fasha memalingkan wajah kepada maknya.

“Apa mak ni? Cakap Fas pemalas pulak.” Rungut Fasha. Kesal dengan kata-kata maknya.

“Eh, eh… betul la apa yang mak cakapkan ni. Fas tu memang pemalas! Tahu nak baca majalah hiburan aje.” Tambah Puan Ainin sambil mengibas-gibas kipas tangan ke muka. Biarpun ada kipas yang ligat berputar, namun itu tidak mampu menyejukkan badannya. Dia dengan kipas tangan sudah begitu sinonim sekali. Sehingga di Kampung Taman Sedia ini dia dikenali sebagai Ainin Kipas Tangan.

“Hah… mana perempuan tu? Mak telefon Fas suruh dia pergi jaga kedai, Fas ada beritahu dia tak?” Mata Puan Ainin liar mencari kelibat Aisyah.

“Ada dalam bilik dia.”

“Dalam bilik? Hei… Fasha tak beritahu dia ke mak suruh pergi gerai? Mak tak harap sangatlah budak Meon tu jaga gerai. Entah-entah nanti, budak Meon tu curi duit kita pulak. Fasha ni tak boleh harap betullah! Mak baru suruh buat kerja sikit, itu pun tak boleh.” Puan Ainin merungut.

“Mak! Anak sedara kesayangan mak tu tengah solat. Dia kan alim. Takkan mak nak suruh Fas heret dia keluar dari bilik dia dengan telekung dia tu sekali. Nanti apa pula pandangan orang kampung pada Fas? Buruk pula nama Fas kena bahan orang kampung nanti.”

Tinggi suara Puan Ainin, tinggi lagi suara Fasha. Langsung tak hormat kepada ibu kandungnya sendiri. Tapi tak perlu dihairankan. Cara didikan Puan Ainin kepada anak-anaknya memang begitu. Kena sangatlah dengan perangainya juga. Dulu waktu hayat ibunya masih ada, dia juga tidak pernah menghormati arwah ibunya. Selalu melawan. Cuma arwah Ainon yang sering mendengar kata. Disebabkan itulah arwah ibu mereka terlalu menyayangi arwah Ainon dan membuatkan cemburunya kepada arwah kakak kembarnya itu membuak-buak.

“Errr… Fas panggil Kak Aisyah ke tadi? Maaflah… akak tengah solat tadi.” Aisyah yang baru muncul di ruang tamu bersuara.

Fasha memalingkan wajah memandang Aisyah. Meluat benar dia tengok muka Aisyah yang polos itu.

“Eeee… jangan nak berkakak sangatlah. Geli telinga aku ni dengar!” bidas Fasha.

Aisyah hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab.

“Hah… kau dah habis solat ke?” Kini giliran Puan Ainin pula bersuara.

“Dah mak su.” Pendek Aisyah menjawab.

“Kalau macam tu, kau pergi jaga gerai. Aku tak percaya sangat dekat budak Meon tu. Nanti habis duit gerai tu dia curi. Orang miskin macam tu, kalau dah terdesak sangat memang sanggup mencuri kat mana-mana pun.”

Begitulah sikap Puan Ainin. Suka buruk sangka dengan orang. Aisyah tahu Meon datang daripada keluarga yang susah, tetapi Meon seorang anak yang baik dan rajin. Meon sanggup berhenti sekolah demi membantu Mak Kiah mencari nafkah untuk mereka sekeluarga. Dia mempunyai ramai adik. Dan sebagai seorang abang, dia rela berhenti sekolah demi melihat kejayaan adik-adiknya. Kasihan Meon, dalam usia yang baru lima belas tahun, dia sudah tahu mencari duit untuk keluarga.

“Hoi! Kau menung apa lagi tu? Tak dengar ke aku suruh kau pergi jaga gerai?” jerkah Puan Ainin setelah melihat Aisyah masih tercegat di ruang tamu. Menggelegak pula api kemarahannya.

Aisyah yang memang terkenal dengan latahnya sudah termelatah. Terkejut mendengar jerkahan maha nyaring Ainin.

“Oh mak kau pontianak menjerit!” Tak pasal-pasal laju pula bibirnya meluahkan ayat itu sehingga membuatkan mata Puan Ainin bagai hendak tersembul keluar mendengarnya.

“Apa kau kata??? Aku pontianak?” Puan Ainin bangun dari duduknya lalu menghampiri Aisyah. Telinga anak gadis berusia dua puluh tahun itu dipulas.

“Aduh… sakit mak su. Ampun mak su. Aisyah tak sengaja.” Pinta Aisyah kesakitan.

“Tahu pun sakit! Yang kau panggil aku pontianak tu buat apa? Kau nak aku kerjakan kau ke?”

Aisyah menggeleng-geleng. Takut sungguh dia dengan mak sunya. Dia tahu perangai mak su. Jika sudah naik hantu, memang teruk dia dikerjakan. Dulu waktu dia masih sekolah, memang selalu sangat dia makan penampar dan pukul terajang mak su. Cuma sejak dia sudah meningkat dewasa ni, mak su sudah kurang memukulnya. Jika ada pun, hanya dicubit dan dipulas telinga saja.

Puan Ainin mendengus. Dia melepaskan telinga Aisyah yang dipiat kuat.

“Dah! Pergi dari sini. Menyampah aku tengok muka kau.” Halau Puan Ainin akhirnya.

Cepat-cepat Aisyah melangkah turun. Daripada menjadi mangsa pukul mak sunya, baik dia segera ke gerai buah. Basikal kesayangannya dikayuh. Hadiah terakhir pemberian arwah abah. Ketika itu dia baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-15 tahun. Abah hadiahkan dia basikal warna pink itu untuk memudahkannya ke sekolah. Sampai sekarang, basikal itu tetap menjadi harta kesayangannya. Biarpun sudah lima tahun berlalu, namun basikal tersebut tetap dijaga dengan baik.

Dalam Aisyah melayan perasaan, datang sebuah kereta dari arah bertentangan. Menyebabkan basikal yang Aisyah kayuh hilang pertimbangan dan dia terjatuh ke dalam belukar di sebelah kiri.

TENGKU ISKANDAR tergamam. Begitu juga dengan Tengku Haziq. Terkejut bukan main lagi. Terkaku mereka berdua tanpa kata. Setelah sedar, laju Tengku Haziq melangkah keluar. Dia yakin tadi mereka terlanggar seseorang. Harap-haraplah orang yang dilanggar itu tidak mati atau mengalami kecederaan teruk. Jika tidak, nahas mereka dikerjakan orang kampung.

Tengku Haziq menghampiri seorang gadis. Rambutnya yang panjang menutupi bahagian wajah membuatkan Tengku Haziq tidak nampak wajah gadis berbaju kurung merah jambu itu.

“Errr… cik, kami minta maaf. Awak tak apa-apa ke?” tanya Tengku Haziq.

Aisyah berpaling mendengar suara yang menegurnya.

“Errr… tak, tak apa-apa.”

Terpegun Tengku Haziq melihat gadis di hadapannya. Cantik! Wajah gadis kampung yang jauh lebih jelita berbanding gadis-gadis kota. Tanpa solekan bertempek di wajah, gadis itu tetap kelihatan cantik di matanya. Siapa agaknya dia?

“Macam mana awak kayuh basikal? Tak nampak ke kereta saya depan awak? Kalau saya terlanggar awak tadi, macam mana? Menyusahkan!”

Suara kasar itu membuatkan Aisyah mendongak. Tergamam dia buat seketika. Kacaknya lelaki yang berdiri di hadapannya ketika ini. Walaupun wajahnya masam mencuka, namun ketampanannya tetap terserlah. Daripada gaya lelaki itu, Aisyah tahu dia bukan calang-calang orang. Tentu golongan kaya-raya.

“Apa pandang-pandang? Awak tak puas hati dengan saya ke?” jerkah Tengku Iskandar kepada Aisyah. Sakit hati apabila mata gadis itu tidak berkerdip memandangnya.

Terus Aisyah menjatuhkan pandangan matanya. Terkejut mendengar nada kasar yang lahir dari bibir lelaki tampan itu. Harap muka saja yang kacak tetapi bahasa hancur!

Tengku Haziq yang kurang senang mendengar nada bicara abang sepupunya itu menjeling geram. Tak bolehkah Tengku Iskandar bercakap dalam nada yang elok? Kenapa perlu menengking? Kasihan gadis itu. Terkulat-kulat mendengar jerkahan Tengku Iskandar yang bongkak dan sombong.

Aisyah terjerit kecil saat dia cuba bangun. Telapak tangan kirinya terasa sakit dan pijar. Pantas dia menjatuhkan pandangan mata pada telapak tangannya. Ada warna merah mengalir keluar dari telapak tangannya ketika itu.

“Ya Allah, tangan awak tercedera tu.” Pantas Tengku Haziq menegur. Terkejut melihat darah mengalir keluar dari telapak tangan kiri si gadis.

Aisyah juga terkejut. Baru sekarang dia perasan tangannya luka. Tentu luka semasa dia terjatuh tadi. Maklumlah, tempat dia jatuh itu penuh dengan batu-batu kecil.

“Mari kami hantar awak ke klinik,” sambung Tengku Haziq lagi.

“Eh, takpe encik. Tak payah nak susah-susah. Nanti saya sapu dengan minyak gamat je.” Tolak Aisyah penuh sopan.

“Eh… mana boleh. Tangan awak berdarah tu. Mana boleh sapu dengan minyak gamat aje. Kena jumpa doktor. Manalah tahu kut terkena jangkitan kuman.”

Mendengar kata-kata Tengku Haziq kepada gadis itu, membuatkan Tengku Iskandar mendengus. Adik sepupunya itu terlalu baik melayan orang yang baru dikenali. Bosan! Tanpa menunggu lama dia terus berlalu ke Toyota Harrier putih miliknya. Tak betah nak berlama-lama di situ.

Pandangan Aisyah menyorot langkah panjang lelaki bertubuh sasa itu. Wajahnya masam menunjukkan rasa tidak suka. Serba salah Aisyah hendak menerima pelawaan lelaki yang seorang lagi.

“Takpelah encik. Nanti saya pergi klinik sendiri.”

“Takpe cik. Tangan awak berdarah tu. Biar kami yang bawa awak. Lagipun ini memang salah kami. Kami yang tak nampak awak tadi.”

“Tapi…”

“Dahlah. Jangan risau. Kami bukannya orang jahat. Kami ikhlas nak tolong awak. Marilah, kami hantar awak pergi klinik dapatkan rawatan.”

Melihat kesungguhan lelaki tampan yang seorang lagi itu membuatkan hati Aisyah mengalah. Dia mengangguk dan cuba untuk bangun. Sakit di tangannya cukup menyengat sehingga dia menjerit kesakitan. Laju Tengku Haziq menghulur bantuan. Cuba untuk memimpin gadis yang belum diketahui namanya itu. Lupa gadis itu bukan sesiapa dengan dia. Sesuka hati saja dia nak pegang-pegang.

“Errr… takpe. Saya boleh bangun sendiri.” Tolak Aisyah lembut. Digagahi diri untuk bangun tanpa bantuan lelaki asing itu.

Tengku Haziq tersenyum nipis. Segan dengan keterlanjuran sendiri. Merah padam wajahnya.

Masuk saja di dalam perut kereta, Aisyah mengambil tempat duduk di bahagian belakang. Senyap saja dia. Apatah lagi dia menyedari ada pandangan tajam memanah wajahnya dari cermin pandang belakang, membuatkan dia jadi tidak keruan.

“Saya Haziq. Yang ni abang sepupu saya Iskandar.” Tengku Haziq memperkenalkan diri.

“Excuse me. Tengku Iskandar and Tengku Haziq!” Laju Tengku Iskandar memperbetulkan nama yang disebut sepupunya tadi. Biar perempuan kampung yang duduk di belakang sana tahu siapa sebenarnya mereka. Bukan orang sembarangan.

Aisyah telan air liur. Seperti yang dia jangkakan, pasti lelaki berdua itu orang kaya. Ternyata, tekaannya tepat. Cuma dia tak sangka mereka ini berketurunan kerabat yang mempunyai awal nama ‘Tengku’. Padanlah wajah dua lelaki itu hampir seiras. Rupanya mereka berdua mempunyai pertalian darah.

Cuma… jika hendak dibandingkan antara Tengku Haziq dan Tengku Iskandar, lelaki berwajah masam itu lebih kacak berbanding Tengku Haziq. Wajah masamnya tidak memudarkan ketampanannya walaupun sedikit. Sedar lelaki itu memandangnya dengan tajam, cepat-cepat Aisyah menjatuhkan pandangan matanya.

Tengku Haziq menjeling Tengku Iskandar dengan ekor matanya saja. Kurang senang dengan lagak abang sepupunya yang suka membangga diri. Kaya atau miskin itu bukanlah ukuran hidup. Apa yang penting di mata Allah, mereka ini semuanya sama.

“Nama awak siapa?” Ingin sekali Tengku Haziq mengetahui nama si manis yang duduk di belakang.

Aisyah pandang Tengku Haziq sambil tersenyum nipis.

“Siti Aisyah.”

“Hmmm… cantik nama awak. Macam nama isteri Rasulullah, Siti Aisyah.”

Pujian itu disambut dengan senyuman di bibir Aisyah. Memang namanya diambil sempena nama isteri Rasulullah. Arwah emak begitu mengagumi peribadi Siti Aisyah. Dan dia… biarpun tidak mampu menjadi sehebat Siti Aisyah, namun biarlah namanya ini membawa dia kepada peribadi mulia wanita itu.

Mencebik Tengku Iskandar mendengar pujian Tengku Haziq kepada perempuan kampung di tempat duduk belakang. Entah apalah yang adik sepupunya itu kagum sangat dengan nama gadis kampung itu. Tak ada yang menarik minatnya. Nama biasa-biasa saja. Nama orang kampung. Tak semoden nama teman-teman wanitanya di kota. Ada Sellina, Wanda, Kizzie, Caroline, Julia, Suzie dan banyak lagi nama-nama glamor.

“TERIMA KASIH.” Ucap Aisyah setelah kembali semula ke tempat di mana dia bertembung dengan Tengku Haziq dan Tengku Iskandar.

Tengku Haziq tersenyum. “Sama-sama.”

Sepanjang dalam perjalanan tadi, Aisyah lebih senang mendiamkan diri. Cuma sesekali apabila Tengku Haziq yang ramah bertanyakan soalan kepadanya, barulah dia menjawab. Jika tidak, dia lebih senang membisu. Apatah lagi cara Tengku Iskandar memandangnya. Penuh dengan rasa benci dan meluat.

“Maaflah sebab saya susahkan Tengku dengan sepupu Tengku.”

“It’s okay Aisyah. Tak susah mana pun. Lagipun memang kami yang salah. Tak patut pandu kereta laju-laju dekat jalan sempit macam ni. Tak pasal-pasal awak terbabas jatuh dalam belukar.”

Aisyah tersenyum nipis. Baik sungguh hati Tengku Haziq. Lelaki itu juga jenis tidak kedekut. Tadi sewaktu dia menerima rawatan di Klinik Dr. Mariana, Tengku Haziqlah yang telah membayar segala kos rawatannya. Katanya dia menolong dengan ikhlas.

Pon! Pon! Ponnn!!!

Bunyi hon yang memanjang mengejutkan Tengku Haziq dan Aisyah. Pantas keduanya menoleh. Di dalam perut kenderaan, wajah tegang Tengku Iskandar terserlah. Barangkali marah kerana Tengku Haziq mengambil masa bersembang dengan Aisyah.

“Okeylah Aisyah. Saya pergi dulu. Saya harap lain kali kita dapat berjumpa lagi. Assalamualaikum.” Benar! Hatinya memang berharap dapat berjumpa lagi dengan gadis manis itu.

Aisyah mengangguk. “Waalaikumussalam.”

Aisyah masih berdiri di tempatnya. Tersenyum dan membalas lambaian tangan Tengku Haziq. Baik benar lelaki itu melayannya. Tak seperti lelaki seorang lagi. Garang macam harimau. Seeloknya dia diberi nama ‘Tengku Harimau’. Aisyah tersenyum. Rasa kelakar dengan nama yang dicipta mindanya sendiri untuk Tengku Iskandar. Rasa begitu sinonim nama itu dengan Tengku Iskandar yang sombong dan bongkak!

***

TENGKU Iskandar menghirup udara segar pagi itu. Udara yang tidak dapat dihirup di kota metropolitan seperti di Kuala Lumpur. Di sini, udaranya cukup segar tanpa sebarang pencemaran. Pemandangan juga indah dengan kehijauan pokok dan bukit bukau. Malah di sini tiada kesesakan seperti yang selalu dilaluinya.

Dingin pagi yang menggigit tubuhnya langsung tidak dihiraukan. Biarpun dia memakai sweater membalut tubuh sasanya, namun dingin suhu masih lagi terasa. Suhu di Cameron Highlands memang sejuk. Tetapi itu tidak menjadi masalah untuk dia leka memerhati keindahan yang terbentang luas di depan mata.

Bukan sekali dua dia ke sini. Sudah banyak kali dia datang ke Cameron Highlands. Percutiannya itu pasti akan ditemani wanita-wanita berdahi licin. Tempat-tempat sejuk begini, memang sesuai mengajak salah seorang ‘gundik’nya demi menghangatkan tubuh yang dingin.

Cameron Highlands bukan sekadar pusat peranginan tetapi ia juga terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang bermutu tinggi. Kebanyakan tanaman yang terdapat di sini jarang didapati di tempat lain terutama di Kuala Lumpur.

“Kau tak nak gerak lagi ke?” suara Tengku Haziq mematikan lamunan Tengku Iskandar yang ralat menikmati pemandangan nan indah di tanah tinggi Cameron Highlands.

“Kau dah siap?” pertanyaan dibalas dengan pertanyaan. Sedari tadi dia sudah bersiap. Hanya menunggu Tengku Haziq saja. Adik sepupunya itu bersiap mengalahkan orang perempuan. Pandai saja mengutuknya sedangkan Tengku Haziq juga dua kali lima sama saja.

“Aku dari tadi lagi dah siap. Tinggal nak tunggu kau aje keluar dari bilik. Ingatkan kau masih tidur. Maklumlah… kau kan biasanya mana reti nak bangun awal.” Balas Tengku Haziq sempat menyindir.

“Aku bangun lagi awal dari kau. Kau tu yang lambat bersiap. Mengalahkan orang perempuan.” Kali ini giliran Tengku Iskandar pula membalas sindiran.

“Alaaa… kau mengata aku, kau tu pun dua kali lima aje dengan aku.” Tidak mahu mengalah, Tengku Haziq menjawab lagi.

Sebenarnya Tengku Iskandar dengan Tengku Haziq ini perangai lebih kurang sama saja. Dua-dua jenis tak mahu mengalah. Dulu waktu mereka kecil-kecil, selalu jugalah mereka bergaduh. Sampai naik pening Tengku Maria meleraikan pergaduhan mereka. Namun pergaduhan mereka berdua tak adalah mengambil masa berhari-hari. Cukup sejam, mereka baiklah kembali. Siap boleh bergelak ketawa lagi. Hinggalah mereka sudah dewasa ini, perangai itu masih lagi sama.

“Sudahlah! Aku malas nak bertekak dengan kau. Aku dah lapar gila ni. Jom kita gerak cari makan.” Ujar Tengku Iskandar sambil melangkah masuk ke dalam. Perutnya sudah mula berkeroncong minta diisi. Tempat sejuk seperti ini membuatkan perutnya cepat saja lapar.

Mereka masuk ke dalam perut kenderaan.

“Kita nak ke mana?” tanya Tengku Haziq sambil memasang tali pinggang keledar.

“Kita cari makan dulu. Then baru fikir nak ke mana.” Balas Tengku Iskandar yang sudah menghidupkan enjin kenderaannya.

“Kau nak makan kat mana?”

Tengku Iskandar menjongket bahu. Belum tahu nak makan dekat mana. Tekaknya yang lebih kepada selera ‘orang putih’ ini biasanya tak masuk dengan masakan Melayu. Tak ada kelas kononnya.

“Kita makan nasi lemak dekat gerai tepi jalan tu la. Teringin pula aku nak makan nasi lemak pagi ni.” Pinta Tengku Haziq. Dia tahu selera Tengku Iskandar bagaimana, cuma dia memang teringin sangat nak makan nasi lemak.

“Nasi lemak? Dekat gerai tepi jalan tu? Huh… tak naklah! Apa kelas makan kat gerai tepi jalan tu. Banyak habuk dan kotor!” penuh sombong Tengku Iskandar menolak.

“Kau ni tak elok cakap macam tu. Tak semestinya makanan kat gerai tu berhabuk dan kotor. Kau tak pernah rasa, mana kau tahu penangannya. Cuba kau rasa sekali. Perghhh… pasti kau nak berkali-kali. Sedap!”

Mencebik bibir Tengku Iskandar mendengar pujian Tengku Haziq.

“Dah! Kalau kau teringin sangat nak makan nasi lemak, cari aje dekat Cool Resort. Dekat sana, nasi lemak lagi sedap dari kat gerai tepi jalan.” Putus Tengku Iskandar akhirnya.

Tengku Haziq sudah tiada daya mahu berkeras. Dia dah arif sangat dengan tempat pilihan abang sepupunya itu. Pastinya tempat-tempat yang mempunyai standardnya yang tersendiri.

“TANGAN KAK Aisyah yang cedera tu dah okey ke?” tanya Meon.

Aisyah yang sedang memasukkan buah-buah strawberi ke dalam polistirena berpaling. Tersenyum dia kepada Meon. Kecik-kecik dah pandai cari rezeki. Simpatinya dia kepada nasib Meon, cuma apalah dayanya untuk menolong. Dia sendiri tak punya apa-apa simpanan untuk membantu. Semua simpanannya sudah diambil mak su untuk diserahkan kepada Fasha.

Berkecai hatinya apabila duit yang selama ini disimpan dalam ASB itu mak su desak dia ambil untuk kegunaan pembelajaran Fasha. Hendak melawan, namun apalah daya. Dia sudah faham benar dengan perangai mak su.

“Dah okey sikit Meon. Dah tak sakit sangat macam semalam, cuma balutan ni belum boleh buka lagi.”

“Kesian Kak Aisyah. Tak pasal-pasal nyaris kena langgar.” Meon memandang Aisyah. Dia tahu penderitaan gadis yang dipanggil kakak itu. Aisyah sering menjadi mangsa seksa Puan Ainin dan Fasha yang bongkak. Dia ingin membela namun siapalah dia. Hanya orang suruhan di mata Puan Ainin yang berlagak seperti bos besar itu.

“Dah nasib akak Meon. Takpelah. Lagipun bukannya akak cedera teruk pun. Takat luka kat telapak tangan ni aje.”

“Kak Aisyah ni baik sangatlah. Pasal tu semua orang suka ambil kesempatan ke atas Kak Aisyah. Terutama mak cik yang garang dan anaknya yang berlagak tu.”

Aisyah sekadar tersenyum. Ros juga kata begitu. Dia ini terlalu baik sangat sehingga ramai yang ambil kesempatan atas kebaikannya. Dia juga tahu siapa yang dimaksudkan Meon mak cik garang dan anak yang berlagak itu. Siapa lagi kalau bukan mak sunya dan Fasha. Meon sudah kerap dengar mak su dan Fasha marah-marah kepadanya.

Mula-mula dulu dia segan juga kena marah depan Meon. Tapi lama-kelamaan dia sudah biasa dengan situasi itu. Malah Meon juga sudah biasa dengar dia kena maki hamun. Pernah sekali Meon membelanya. Tak pasal-pasal Meon pula yang kena sembur dengan mak sunya. Kasihan pula dia dengar Meon kena hina dengan mak su.

“Kak Aisyah kenal ke siapa orang yang nyaris langgar Kak Aisyah tu?”

Aisyah menggeleng.

“Akak tak kenal la Meon. Mereka bukan orang kampung. Nampak gaya macam orang luar aje. Mungkin datang bercuti kut kat sini.”

“Huh! Dahlah orang luar, bawak kereta pula laju-laju. Tak patut betul!”

Tersenyum saja Aisyah mendengar komen Meon. Tangannya masih ligat menyusun buah-buah strawberi yang merah ranum ke dalam polistirena untuk dibungkus. Jika sudah siap dibungkus, senanglah pelanggan nak beli. Buah strawberi itu dipetik dari kebun peninggalan arwah abah dan emaknya.

“Dik… buah strawberi ni berapa sekilo?”

Suara seorang lelaki membuatkan Aisyah dan Meon berpaling. Aisyah mengecilkan sedikit anak matanya. Baru semalam dia dihidangkan dengan wajah yang tak lokek dengan senyuman itu, hari ini ketemu lagi. Memang sesuatu yang tak disangka. Dan… jika lelaki ini ada, tentulah ‘Tengku Harimau’ itu pun ada sekali.

Tekaan Aisyah tepat. Ketika dia melarikan pandangan ke sebelah kanan Tengku Haziq, matanya disajikan dengan wajah kelat Tengku Iskandar.

‘Hesy… dia ni! Tak tahu nak senyum agaknya. Asyik nak mencuka aje.’ Hati Aisyah mengomen.

“Aisyah!!!”

“Tengku Haziq! Buat apa dekat sini?” Aisyah bangun dari duduk dan melangkah ke depan gerai itu.

“Soalan bodoh! Datang sini mestilah nak beli buah. Takkan nak beli buku pulak.” Belum sempat soalan Aisyah dijawab, Tengku Iskandar terlebih dahulu menjawab. Sinis dan pedas jawapannya.

Mencerlung tajam mata Tengku Haziq memandang Tengku Iskandar. Tak bolehkah nak cakap elok-elok? Sesuka hati saja cakap begitu. Entah sampai bilalah sikap sombong abang sepupunya itu akan hilang. Dia sendiri dah semakin rimas. Dua kali lima saja dengan perangai Puteri Waiduri. Tapi apabila Tengku Mummy nak jodohkan dia dengan gadis kota itu, tak nak pulak. Tahu pula dia gelabah.

Jawapan Tengku Iskandar itu mengecilkan hati Aisyah. Sedarlah dia ini tak punya pelajaran tinggi. Setakat SPM saja, tapi janganlah beri jawapan begitu. Beginikah perangai orang bijaksana yang belajar sampai ke universiti? Suka memandang rendah kepada orang-orang sepertinya.

“Teringin nak makan buah strawberi, tu yang datang singgah. Tak sangka pula awak kerja kat sini. Eh, pandai-pandai saja saya ni kata awak kerja kat sini. Entah-entah ini gerai awak tak?”

“Eh… tak. Memang saya kerja aje kat sini.” Jawab Aisyah menidakkan tekaan Tengku Haziq. Biarlah orang lain tak tahu gerai buah ini gerai peninggalan arwah abah dan emaknya. Biarlah dia hanya dianggap kuli saja di gerai buah sederhana besar ini.

Meon yang masih menyusun buah-buah strawberi ke dalam polistirena hanya menggeleng-gelengkan kepalanya mendengar kata-kata Aisyah. Aisyah memang begitu. Tak pernah nak mengaku gerai ini miliknya. Dia lebih senang mengakui dirinya pekerja di sini. Pasal itulah Puan Ainin berkuasa penuh di gerai ini. Bukan gerai ini saja, malah kebun buah strawberi itu pun Aisyah juga yang punya, tetapi yang memungut hasilnya setiap bulan pastinya Puan Ainin yang tak tahu malu itu.

“Ziq, cepatlah! Kau ni nak beli buah ke nak jual ayat?” sindir Tengku Iskandar yang sudah mula kurang senang apabila Tengku Haziq beramah mesra dengan gadis kampung itu. Dia tak betah nak berlama di situ.

Merah padam wajah Tengku Haziq jadinya. Segan apabila Tengku Iskandar berkata begitu di depan Aisyah.

“Bagi saya strawberi ni sekilo.” Minta Tengku Haziq.

Aisyah mengangguk. Dia memasukkan buah-buah strawberi yang merah ranum ke dalam bakul dan menimbangnya. Diberi lebih daripada yang diminta. Inilah yang dia lakukan setiap hari. Bersedekah kepada pelanggan-pelanggan yang datang membeli di gerainya.

“Ini buahnya.”

Plastik warna putih bertukar tangan.

“Berapa?” tanya Tengku Haziq sambil mengeluarkan dompet dari poket belakang seluar yang dipakai.

Aisyah menggeleng.

“Tak payah. Saya belanja.”

“Eh, mana boleh macam tu. Awak pun kerja jugak kat sini. Nanti majikan awak potong gaji awak pulak. Cakaplah berapa harganya.”

“Takpe. Saya ikhlas belanja Tengku Haziq. Lagipun semalam Tengku dah tolong bayar kos rawatan dan ubat-ubatan saya.”

“Semalam tu memang salah kami pun. Memang patut saya tanggung semuanya. Tak perlulah awak balas pulak.”

Sekali lagi Aisyah menggeleng-geleng.

“Saya bukan beri sebagai balasan untuk semalam. Saya beri ikhlas ni.”

“Ziq!” Tengku Iskandar yang sudah menunggu di dalam perut kenderaan memanggil nama Tengku Haziq dengan keras. Sakit pula matanya melihat Tengku Haziq bersembang lama-lama dengan gadis kampung itu.

Tengku Haziq mengeluh. Segan nak ambil buah strawberi itu tanpa dibayar.

“Ambillah Tengku. Saya ikhlas.” Ujar Aisyah penuh mengharap.

“Kalau awak dah kata macam tu, saya tak boleh nak menolak. Pepatah ada kata, rezeki jangan ditolak, musuh pula jangan dicari. Terima kasih Aisyah.”

Aisyah mengangguk sambil tersenyum.

“Sama-sama.”

“Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Setelah kenderaan yang dipandu Tengku Iskandar meluncur laju meninggalkan kawasan gerai tersebut, Meon datang meletakkan beberapa bungkusan buah strawberi yang sudah dibungkus ke depan gerai. Sedari tadi dia hanya jadi pendengar saja. Teringin juga nak tahu siapa lelaki berdua itu. Nampaknya seperti Aisyah mengenali mereka.

“Kak Aisyah kenal mereka ke?”

Aisyah mengangguk.

“Haah. Baru kenal semalam.”

“Owh… patutlah Kak Aisyah boleh sembang panjang dengan lelaki kulit putih tu.” Panjang bunyi ‘O’ yang keluar dari mulut Meon. “Tapi kan Kak Aisyah… lelaki yang sorang lagi tu sombong, kan? Kasar aje dia bercakap. Main lepas je.” Meon sambung mengomen. Kali ini komennya hanya untuk Tengku Iskandar sahaja.

“Biarlah Meon. Dia sekolah tinggi. Akak ni setakat tingkatan lima aje. Pasal tu kut dia kata akak buat soalan bodoh.”

“Kak… Meon ni lagi la. Setakat tingkatan dua aje, lepas tu berhenti sekolah. Orang kata Meon malas, tapi sebenarnya diaorang tak tahu apa yang Meon lalui. Meon nak bantu mak. Nak harapkan ayah, kami semua tahu ayah tak akan balik lagi pada kami. Ayah dah senang kut sekarang ni duduk kat Sarawak tu dengan isteri baru dia.” Keluh Meon hiba. Kemudian dia kembali semula ke belakang. Menyambung kerjanya yang terbantut.

Sayu rasa hati Aisyah mendengar keluhan Meon. Dia tahu ayah Meon sudah dua tahun berpisah dengan Mak Kiah. Ayah Meon ke Sarawak mengikut seorang janda kaya. Ditinggalkan isteri dan anak-anaknya di Cameron Highlands ini tanpa rasa simpati.

Begitulah… jika sudah kemaruk dan mabuk dengan cinta, anak-anak dan isteri memang dah tak ingat. Dalam kepala asyik memikirkan cinta baru. Sedangkan dia tak tahu yang hidup susah bersamanya selama ini ialah si isteri pertama yang dinikahi.

Aisyah memandang ke jalan raya. Toyota Harrier putih itu sudah lama menghilang. Namun kata-kata yang dilemparkan Tengku Iskandar kepadanya sebentar tadi masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81370/Isteri-Dalam-Sangkar