“BABE… Kau rasa lelaki tu lelaki ke perempuan?”
Aaira alihkan mata ke arah tempat yang ditunjuk oleh Isya. Tadi dia melihat sekilas wajah itu. Sekarang dia perhatikan lebih teliti. Lama matanya melekat ke wajah itu. Cantik, desis Aaira. Dia merasakan lelaki itu lebih cantik daripada perempuan. Seperti dia pernah melihat wajah itu.
Dengan bibir merah bak delima, berkulit putih mulus, muka bujur sirih, memiliki sepasang mata yang comel… Langsung tiada cacat cela di wajah lelaki itu. Sebiji jerawat pun tiada. Mata Aaira turun ke bawah sedikit. Lelaki itu sedang menaip sesuatu di skrin telefon. Dia perasan jarijemari lelaki itu runcing dan cantik. Persis perempuan.
“Lawa gilalah. Kalah kita perempuan ni. Dengan aku macam langit dengan bumi. Macam siang dan malam.” Aaira tidak teragak-agak untuk memuji.
“Lelaki ke perempuan eh? Handsome gila,” tanya Isya lagi. Matanya memerhatikan lelaki cantik itu. Sebijik macam pelakon Korea. Hatinya terus mencair. Buat seketika dia lupa tunangnya.
“Pakai kemeja kan… Lelakilah…” Aaira sudah nampak aura gedik Isya. Pantang tengok lelaki ala-ala Korea. Mulalah nak cair. Lupa agaknya diri tu dah bertunang.
“Dia lipat lengan kemeja sampai siku. Seksi gila.” Mata Isya terang benderang. Teruja melihat perlakuan lelaki itu.
“Jaga sikit mata tu. Ingat tunang kau.” Spontan Aaira menjentik dahi Isya. Tidak beradab sopan langsung.
“Lelaki lawa tu datang dengan lelaki. Gay kut dia ni.” Aaira toleh sekali lagi. Baru dia perasan lelaki yang duduk berhadapan dengan lelaki cantik tadi.
“Gay?”
“Gay. Lelaki bercinta dengan lelaki. Kau tau kan spesies tu?”
Isya kerut dahi. Kurang faham.
“Kau tak nampak pakwe dia pun boleh tahan sado. Nampak ketul kat lengan dia. Dari sipi-sipi ni pun aku tau dia tu handsome. Kenalah tu lawa dan handsome.” Aaira sengaja membakar hati Isya.
“Tak caya…”
Aaira mahu mejawab lebih panjang tapi terganggu dek kehadiran seorang lelaki tampan duduk di meja sebelah mereka. Berkulit sawo matang. Menariknya lelaki itu memakai cermin mata. Kalau yang ini memang sah lelaki. Aaira hadiahkan senyuman buat lelaki itu namun tidak berbalas. Lelaki itu hanya pandang dia sekilas. Sudah dia jangka lelaki itu pasti menyampah melihat muka dia.
“Kau ni tak baik tuduh dia gay.”
“Kau tak caya cakap aku, tengok baik-baik guna mata akal. Sorang lawa seorang handsome, sado. Tengoklah elok-elok.” Aaira geram dengan lelaki di meja sebelah mereka. Sombong. Senyum pun kedekut.
Lelaki itu ada ciri-ciri jejaka idamannya. Mereka berdua sesuai bersama. Warna kulit pun lebih kurang sama. Sama-sama berkulit hitam manis. Berbanding dengan lelaki di sebelah sana. Mempunyai kejelitaan yang membuatkan dia cemburu. Dua orang lelaki yang berbeza tapi sama-sama beku. Secebis senyuman bukan perlukan beribu otot bekerja keras.
“Lawa tak semestinya gay.”
“Tengok Isya… Tengok betul-betul. Lawa dan sado… Jawapannya… kau cari sendiri.” Aaira silangkan tangan di dada. Kemudian pelayan sampai membawa rojak dan cendol. Tanpa melengahkan masa Aaira terus makan. Tiada faedahnya asyik bercakap tentang lelaki cantik itu. Dia biarkan Isya yang masih leka memandang.
“Kau ni jagalah pandangan. Dengan gay pun nak jatuh hati. Makanlah cepat.”
“Dia bukan gaylah.” Isya geram. Dia menarik mangkuk berisi cendol. Sambil dia makan, matanya nakal memandang lelaki itu.
“Kau pandang dia, dia ada senyum kat kau tak? Ada tunjuk muka baik dia? Dia senyum kat lelaki tu aje. Takkan kau tak nampak? Jangan butakan mata. Sah gay.” Geram dengan mamat di sebelahnya yang masih lagi muka beku walaupun sudah tiga kali dia hadiahkan senyuman. Sengaja lepaskan marahnya. Tetapi pada orang yang salah.
“Kau ni. Kalau dia lelaki tulen, malu kau nanti.” Isya kurang selesa dengan kata-kata Aaira. Sesekali dia menjeling lelaki itu. Lelaki itu kelihatan sibuk dengan telefon dan sesekali tersenyum ke arah kawannya. Meremang tengkuknya memikirkan kata-kata Aaira.
“Kecantikan dia ni boleh mengundang pergaduhan gay-gay seluruh Malaysia. Jambu amat ni mesti jadi rebutan. Sah gay.”
“Yakin sangat ke?” soal Isya. sejak tadi Aaira tuduh lelaki cantik itu gay.
“Tak baik buruk sangka tau. Dia comellah. Kalau aku tak ada tunang pasti aku cuba ngorat dia,” tambah Isya lagi. Kurang senang dengan prasangka Aaira. Suka sangat fikir benda negatif.
“Confirm gaylah. Gay aje suka jaga muka sebab nak pancing lelaki lain. Macam perempuan yang cantik-cantik nak pancing lelaki handsome. Kau jangan libatkan diri dengan gay macam dia.”
Isya tergeleng mendengar kata-kata Aaira. Mesti kes cemburu dan sakit hati. Cemburu dengan kecantikan lelaki itu sekaligus balas dendam sakit hati pada Eryna. Harap-harap lelaki itu tidak dengar perbualan mereka berdua.
Aaira sambung perhatikan lelaki itu. Kalaulah dia boleh minta sedikit kecantikan lelaki itu kan bagus. Sangat kontra dengan dia yang berkulit gelap. Matanya silih berganti memandang lelaki itu dan tangan sendiri.
“Rihanna tu kulit gelap, cantik aje aku tengok.” Isya menegur Aaira. Dah mulalah tu rasa rendah diri.
Aaira senyum tipis. Isya sentiasa tahu apa yang dia fikirkan.
“Rihanna kaya raya. Tak ada siapa nak kutuk.”
“Kau tu aje yang rendah diri sangat. Semua manusia diciptakan cantik dan sempurna oleh Allah. Manusia aje yang suka banding-banding. Kecantikan sebenar dari hati. Hati yang suci bersih buatkan wajah kita berseri-seri. Jodoh kau belum sampai lagi. Bukan sebab kau tak cantik.” Panjang lebar Isya bersyarah. Geram sangat dengan Aaira. Apabila lihat perempuan cantik mulalah rasa rendah diri. Sekarang di depan lelaki cantik pun nak rendah diri.
Mata Aaira masih lagi menghala ke arah lelaki berkulit putih itu. Entah kenapa saat dia menoleh, lelaki itu angkat muka dan hadiahkan senyuman. Aaira alihkan pandangannya. Senyuman lelaki itu macam Ji Chang Wook. Bahaya untuk hatinya.
“Kalaulah dia jadi suami aku… makan hati ulam jantunglah aku. Stres tengok muka cantik dia,” luah Aaira. Dia berharap agar tiada lagi pertemuan mereka selepas ini. Terjumpa kali pertama dah sakit hati. Kalau terjumpa kali kedua sah dia akan murung.
“Aku doakan kau bertemu jodoh dengan dia. Biar murung hari-hari.” Isya sengaja mengusik Aaira.
“Lelaki macam dia tu memang tak naklah. Kahwin free pun aku tak nak.” Aaira ketawa. Jauh sangat pemikiran Isya. Lelaki itu pasti sama seperti lelaki lain. Takkanlah lelaki itu pilih pasangan seperti dia. Memang tak padan.
“Jomlah. Nanti lambat kita masuk kerja.” Isya terlebih dahulu bangun dan diikuti oleh Aaira. Mereka berdua beriringan keluar dari restoran.
Tidak lama selepas mereka keluar, lelaki yang duduk di meja sebelah mereka bangun dan menuju ke meja lelaki cantik tadi.
“Kenapa kau duduk meja sana tadi?” soal Aryan. Matanya mengekori kelibat dua orang gadis yang duduk di sebelah meja Thoriq tadi.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/272097/Hero-Jelita