[SNEAK PEEK] GADUH-GADUH SAYANG

GADUH-GADUH SAYANG Oleh Immaz Huda

JAM 8.30 pagi di hadapan klinik Prof. Rahim, Mira setia menanti sehinggalah klinik itu dibuka. Tiba-tiba datang seorang gadis yang keluar dari sebuah kereta Saga warna putih, lalu menghampiri pintu klinik Prof. Rahim. Laju Mira melangkah ke arah wanita yang berwajah keibuan itu.

“Selamat pagi, puan…” Mira menyapa wanita itu.

Wanita itu menoleh memandang Mira yang lengkap berbaju pejabat itu. Mungkin gadis itu mahu ke tempat kerja agaknya. Maya membalas sapaan Mira. “Ya… selamat pagi. Boleh saya tolong, cik?”

Susah juga Mira mahu menerangkan tujuan kedatangannya. “Err… saya nak tanya. Puan kenal Lady Lee Syazana kan?”

Pantas Maya mengangguk. “Ya… saya kenal. Kenapa?”

“Puan tahu tak yang Syazana masih hidup?”

Kali ini agak lama juga Maya mahu menjawab pertanyaan itu. Serba salah. Tetapi sampai bila pula mahu hidup dalam pembohongan? Soal takdir dan mati jangan dibuat main. “Ya… saya tahu. Kenapa? Ada yang perlu saya bantu ke? Nama cik apa ya?”

“Mira…” Terlupa pula Mira mahu perkenalkan diri. Tetapi dia masih bingung. “Macam mana puan boleh tahu Syazana masih hidup? Padahal cuma ahli keluarga terdekat saja yang tahu?”

Tidak jadi Maya mahu membuka kunci klinik. “Sebab dah dua kali saya jumpa dia. Pertama di Midvalley. Kedua, semalam.”

Semakin runsing Mira dibuatnya. “Semalam? Dia buat apa datang jumpa puan? Tolonglah, puan… kali ni puan kena tolong saya. Ini berkaitan dengan soal masa depan saya.” Semakin gelabah gelagatnya.

Berlapis-lapis dahi Maya tidak mengerti. “Kenapa ni, Cik Mira? Kenapa dengan masa depan cik? Apa kena-mengena dengan Syazana?”

“Saya setiausaha syarikat Datuk Lee, ayah Syazana. Selama ni sayalah yang bertanggungjawab sembunyikan Syazana. Sekarang, Datuk dapat tahu. Saya kena cari Syazana sekarang. Saya tahu dia nak ke luar negara. Tolonglah, puan… Semua ahli keluarga Cik Syazana tu sayangkan dia. Tak mahu dia pergi. Tolonglah…” Tanpa henti Mira merayu-rayu.

Maya mengangguk. Dia harus menjadi insan yang berperikemanusiaan. “Baiklah. Semalam Syazana datang rumah saya sebab nak ambil tiket flight ke Jakarta. Dia sepatutnya berlepas hari ni pukul 10.00 pagi.”

Laju Mira melihat jam tangannya. “Sekarang pukul 8.50. Sempat lagi ni..” Cemas tergambar di mukanya. Laju dia kembali ke keretanya. Sempat dia memandang Maya yang sedang memerhati. “Terima kasih, puan!”

Maya menguntum senyuman. Harap-harap sempat Mira orang halang Syazana.

TERLALU cemas, kelam-kabut Mira dibuatnya. Sampai terlupa untuk memberitahu Rafiqi. Berkali-kali dia menghentak tangan kanannya pada stereng. Mana tidaknya. Waktu-waktu ini pula berlaku kesesakan jalan yang teruk untuk ke KLIA.

Aduh… barulah dia teringatkan Rafiqi. Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbitnya. Sempat juga matanya mengerling jam tangannya. 9.30 pagi!

“Helo, Mira… ada apa ni?” Rafiqi baru sahaja mahu melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat. Pekerja-pekerja sudah menanti di dalam. Hanya menunggunya sahaja.

“Tuan Rafiq! Tuan Rafiq… maaflah sebab saya lambat beritahu. Cik Syazana kat airport sekarang ni. Flight ke Jakarta pukul 10.00 pagi ni. Cepat, Tuan Rafiq!”

Terkejut Rafiqi dibuatnya. “Hah!?” Laju matanya memandang jam di dinding. Semakin menggelabah. “Mira! Awak rasa sempat tak saya pergi sana? Awak kat mana ni?”

“Saya tak pasti sebab flight Cik Syazana pukul 10.00 ni. Lagipun saya dalam perjalanan ke KLIA. Tapi jam teruk pula. Saya salah masuk jalan.”

“Okey, okey. Saya ke sana sekarang.” Rafiqi memanggil salah seorang pekerjanya di dalam bilik mesyuarat itu.

“Ada apa, Encik Rafiq?”

“Batalkan meeting. Saya ada hal penting.” Rafiqi membuka langkah seribu meninggalkan pekerja tadi yang terpinga-pinga memerhati gelagat Rafiqi.

RAFIQI menggenggam stereng keretanya sekuat hati. Sesak juga jalan raya. “Syaz… walau apapun, saya akan pastikan yang saya sempat. Ya ALLAH… mudah-mudahan ada keajaiban daripada-MU, ya ALLAH…”

Jam sudah pukul 9.50 pagi. “Aduh! Waktu macam ni juga nak jam!” Terkumat-kamit mulut Rafiqi menyumpah-nyumpah. Nasib baik dia menyimpa nombor telefon Inspektor Rashid. Cepat-cepat dia menghubungi pegawai polis itu.

“Helo, Inspektor Rashid…”

“Ya… ada apa, Tuan Rafiq? Boleh saya bantu? Tentang isu isteri tuan masih lagi dalam siasatan.”

“Ya, ya… Saya dah dapat info pasal isteri saya. Dia sekarang kat KLIA. Flight akan berlepas ke Jakarta pukul 10.00 pagi. Tolong inspektor, tolong tahan dia.” Cemas suara Rafiqi.

“Baik. Tuan Rafiq jangan risau. Saya akan segera uruskan.”

Rafiqi lega. Dia yakin pihak polis pasti tidak menghampakan.

SELAMBA Rafiqi memarkir keretanya di kawasan teksi. “Ya ALLAH… aku dah lambat.” Jam sudah pukul 10.15 pagi.

Berlari-lari dia menghampiri tiga orang pegawai polis yang lengkap berpakaian seragam di kaunter. Mira turut ada di sana. Muram sahaja muka Mira.

“Kenapa, Mira? Jumpa Syazana tak?”

“Encik Rafiq, kapal terbang ke Jakarta dah 15 minit berlepas. Tapi kami tak dapat info yang mengatakan Cik Lady Lee Syazana tu salah seorang penumpang dalam kapal terbang tu,” beritahu salah seorang pegawai polis tersebut.

Rafiqi tercengang. “Hah?!” Dia kembali tertumpu pada Mira. “Mira, awak bagi salah info ke?”

“Betul, Tuan Rafiq. Puan Maya tu yang bagi tahu saya. Memang Cik Syazana berlepas pukul 10.00 ni.” Mira membela diri. Macam dia pula yang lebih tahu.

“Pukul 10.00 malam kot. Awak salah dengar, Mira.”

“Betul, Tuan Rafiq…”

Melilau-lilau mata Rafiqi memandang ke kiri dan kanan. Kot-kot ternampak kelibat Syazana.

Salah seorang pegawai polis itu menegur Rafiqi. “Encik Rafiq, kami akan buat rondaan di sekitar kawasan ni.”

Rafiqi mengangguk setuju. Dikeluarkan dompet dari kocek seluar dan mengambil sesuatu. Dia menghulurkannya kepada pegawai polis itu. “Ini gambar isteri saya. Tolong ya?”

Sebaik sahaja pegawai itu mengambil gambar yang dihulur oleh Rafiqi, mereka bertiga terus beredar untuk jalankan tugas.

Rafiqi bingkas memandang Mira. “Mira… awak ikut saya cari Syazana.”

Mira menyusuri Rafiqi dari belakang.

Jam 10.30 pagi. Kelibat Syazana masih tidak kelihatan. Rafiqi menggaru-garu kepala. Gelisah wajahnya sambil melihat sekeliling. Mira juga mengeluh. Tiba-tiba dia terpandang sesusuk tubuh yang lena tidur di sebuah kerusi dalam lapangan terbang itu. Lena gadis itu dibuai mimpi. Dia cukup kenal gadis itu. Lebar senyumannya.

Mira juga memerhati apa yang Rafiqi lihat itu. “Tuan Rafiq… itu kan cik…”

“Syhh…” Rafiqi buat isyarat senyap pada Mira. “Awak tunggu sini, Mira. Biar saya yang kejutkan dia.” Perlahan-lahan dia menghampiri Syazana yang sedang lena itu. Alhamdulillah… aku bersyukur, ya ALLAH. KAU Maha Berkuasa.

Dia duduk di sebelah si isteri. Lama ditenung wajah Syazana. Mahu sahaja air matanya mengalir. Air mata kegembiraan. Tetapi cuba ditahan. Takkan pula mahu menangis di khalayak ramai.

Teringat suatu ketika dahulu dia mengejutkan Syazana daripada tidur. Gadis itu mengigau, terus ke bilik mandi. Dia ketawa sendirian sebaik sahaja mengenangkan peristiwa itu. Mahu sahaja dia mengenakan Syazana lagi. Tetapi macam tidak sampai hati. Kalau difikir-fikirkan, Syazana perlu diberi pengajaran.

Asyik melarikan diri sahaja. Penat abang kejar tahu tak? Asyik lari aje. Dia menguntum senyuman. Digoncang-goncang perlahan bahu Syazana.

“Cik… bangun, cik! Bangun! Ada perompak!”

Tidak sempat mata Syazana terkebil-kebil. Terus terbeliak dek terlalu terkejut setelah mendengar suara itu. “Hah?! Perompak! Mana? Mana?”

Terkekeh-kekeh Rafiqi ketawa. Sudahlah gadis itu trauma dengan perkataan ‘rompakan’. Dia pernah dirompak oleh seorang gadis dengan perbuatan pukau.

Muncung mulut Syazana. Dia memandang suaminya yang sedang ketawa itu. Tajam renungan matanya dilontarkan pada Rafiqi. “Awak? Awak buat apa kat sini?”

“Sebab jodoh kita panjang.” Cukup padat, jelas dan ringkas jawapan Rafiqi.

Syazana tidak mahu melayan. Masam mukanya. Dilihat jam di tangan. Ternganga mulutnya. “10.45! Arghh… saya dah terlepas flight!” Bingkas dia bangun sambil menggenggam tiket kapal terbangnya. “Aduh… macam mana ni?”

Rafiqi turut bangun. Masih tidak lekang senyumannya. “Itu berkat doa saya.”

“Saya peduli apa!” Kasar nada Syazana. Laju dia menarik troli beg melangkah ke kaunter tiket.

“Eh… awak nak pergi mana tu, Syazana!” Rafiqi menyusur dari belakang. Pantas dia melangkah.

“Saya nak beli tiket baru.”

Rafiqi masih mengekori. “Saya tak izinkan.”

Tiba-tiba Syazana terasa troli begnya berat. Sukar untuk ditarik. Eh… kenapa beg aku ni? Dia menoleh ke belakang. Terkejut. Rafiqi sedang memegang trolinya. “Rafiq! Lepaskan beg saya. Lepaskanlah, Rafiq! Saya cakap lepaskanlah!”

Adegan tarik-menarik beg atas troli pula. Ramai yang memerhati aksi itu. Ada yang tersenyum. Ada yang menggeleng. Mira berlari-lari menghampiri mereka berdua.

“Lepaskan beg saya, Rafiq! Malu semua orang tengok!”

“Saya peduli apa! Awak tak boleh pergi tanpa izin saya!”

Adegan itu diteruskan sehinggalah beg di atas troli itu tercampak ke kaki Mira.

Berlapis-lapis dahi Syazana memandang Mira. “Mira? Awak pun kat sini?” Renungan tajam mata Syazana bertaut pada Rafiqi.

Rafiqi menjongket bahu. “Bukan salah saya.”

Semakin berang Syazana dibuatnya. Sekali lagi gadis itu melangkah ke kaunter tiket. Tidak kisah dengan beg pakaiannya itu. Tas tangan yang disangkut pada bahu lebih penting. Macam-macam dokumen penting disimpan dalam beg itu.

Sekali lagi Rafiqi mengekori isterinya. Kali ini dia tidak teragak-agak. Terus disentap beg tangan Syazana.

Syazana tersentak. Bagaikan aksi ragut pula. Dia cuba bertahan. “Rafiq! Lepaskan handbag saya! Lepaskan, Rafiq! Lepaskan!”

“Sekarang ni awak tak boleh buat apa-apa.” Rafiqi mengukir senyum. Tangannya masih menggenggam beg tangan itu. “Ikut saya balik sekarang.” Dia cuba memujuk.

“Saya tak nak. Saya nekad tak akan balik.”

Rafiqi berdegil tidak mahu melepaskan tas tangan Syazana.

Syazana cuba menarik tas tangannya. “Rafiq! Rafiq! Lepaslah. Malulah orang pandang.”

Tiba-tiba seorang pengawal keselamatan datang ke arah mereka. “Encik, encik… buat apa ni? Nak merompak ke?”

Ada ke patut soalan itu ditanya? Rafiqi masih memegang tas tangan Syazana. Dipandang pengawal itu. “Encik, perempuan ni isteri saya.”

Mira cepa-cepat mendekati dan cuba menenangkan keadaan. “Encik… dia ni memang isteri kepada tuan ni.”

Berkerut-kerut muka pengawal itu, cuba mendapat kepastian daripada Syazana sendiri. “Cik… betul ke lelaki yang pegang handbag cik ni suami cik?”

Perlahan-lahan Rafiqi melepaskan tangannya.

Lama juga Syazana mahu menjawab soalan itu. Malas mahu memanjangkan cerita, dia mengangguk sahaja. “Ya…”

Nasib menyebelahi Rafiqi apabila tiga orang pegawai polis yang menjalankan operasi mencari Syazana tadi datang untuk turut serta bersama mereka. Salah seorang pegawai itu menerangkan sesuatu kepada pengawal keselamatan tersebut sebelum akhirnya mereka beredar. Tugas pegawai polis itu juga sampai di situ sahaja kerana Syazana sudahpun ditemui.

Mahu atau tidak, Syazana akhirnya merelakan sahaja melangkah ke kereta Rafiqi dengan hati tidak ikhlas. Dia berdiri terpacak. Tidak mahu masuk ke dalam kereta.

“Syazana, masuk dalam kereta…” Lembut suara Rafiqi.

Syazana menggeleng. Tidak dipandang Rafiqi langsung. Bersilang tangannya. “Saya tak nak. Saya boleh naik teksi.”

“Saya cakap masuk. Jangan sampai saya dukung awak masuk kereta.”

Laju Syazana mendongak memandang suaminya kerana Rafiqi tinggi orangnya. Risau Rafiqi mendukungnya, dia masuk ke dalam kereta. Mengalah sahaja.

Rafiqi tersenyum sambil menutupkan pintu untuk Syazana.

Mira yang memerhati turut tersenyum.

Rafiqi sempat juga memberi arahan kepada Mira sebelum masuk ke dalam kereta. “Mira, masukkan beg Syazana dalam but kereta saya.”

Mira menurut arahan. Dia meminta bantuan seorang lelaki yang lalu-lalang untuk membantunya. Agak berat beg Syazana itu.

Sebaik sahaja but kereta ditutup, Rafiqi mula memandu keretanya. Sepanjang perjalanan Syazana tidak bercakap, merenung pemandangan di luar tingkap.

Rafiqi berkali-kali mengerling isterinya. “Saya bawa awak terus ke rumah parents awak.”

Syazana masih tidak mahu melayan Rafiqi. Redha sahaja. Nak buat apa, buatlah Rafiq.

Rafiqi tahu yang Syazana masih marah kepadanya. Sebab itu dia tidak mahu bercakap banyak, mengikut rentak si Syazana.

SEBAIK sahaja sampai, Rafiqi terdahulu keluar dari kereta. Syazana masih tidak berganjak, duduk termenung di dalam kereta.

Bagaikan seorang puteri pula, Rafiqi membukakan pintu kereta untuk si isteri sambil menguntum senyuman. “Silakan, tuan puteri.”

Tidak ikhlas Syazana keluar dari kereta. Langsung dia tidak memandang Rafiqi. Dia melangkah hingga ke gerbang pintu utama rumah banglo tersebut.

Rafiqi berdiri di sebelah isterinya. “Kenapa tak masuk? Ini kan rumah papa dan mama awak.”

Diam.

Tiba-tiba Zairi muncul di depan pintu. Lama juga dia memerhatikan Syazana yang tidak senyum langsung itu. Muram sahaja mukanya. Dia menghampiri. Ceria wajahnya. “Kak Syazana!” Dia terus memeluk kakaknya dengan erat.

Syazana langsung tidak membalas pelukan. Seperti tidak kenal antara satu sama lain pula.

Perlahan-lahan Zairi melepaskan pelukan. Dilontar pandangan ke arah Rafiqi. “Abang… abang jumpa Kak Syazana kat mana?”

Selamba Rafiqi menjawab. “Kem pelarian.” Sengaja dia menyindir Syazana sambil melawak.

Zairi ketawa. Syazana bagaikan mahu tersenyum juga tetapi ditahan sahaja. Sengaja dia memprotes.

Zairi bersuara lagi. “Err… tapi mama dan papa tak ada kat rumah.”

Laju Rafiqi bertanya. “Pergi mana?”

“Balai polis. Buat report pasal Kak Syazana. Papa nak sekat nama Kak Syazana supaya tak boleh keluar negara.” Zairi memandang kakaknya. “Kak Syaz… kenapa diam aje? Okey tak ni?”

Rafiqi membuat isyarat senyap pada Zairi. Zairi mengangguk faham. Isyarat itu bertujuan supaya jangan mengganggu Syazana. Gadis itu tiada mood langsung untuk berbual.

Tiba-tiba sebuah kereta mewah masuk ke pekarangan halaman rumah.

Zairi berteriak. “Hah! Itupun papa dan mama!”

Belum sempat kereta itu berhenti, laju Datin Helena membuka pintu kereta dan keluar. Berlari-lari dia mendapatkan Syazana. Dipeluk anak perempuannya erat. “Anak mama!”

Syazana tidak mahu terpukau. Apakah pelukan ini ikhlas daripada mama untuk kebahagian selamanya ataupun kebahagiaan sementara? Hatinya sudah tawar. Sedih setiap kali teringatkan peristiwa lama. Tiba-tiba bayangan Qistina muncul dalam fikirannya. Datin Helena tidak henti-henti memuji Qistina sejak kecil. Dibiarkan sahaja tubuhnya dipeluk dan didakap oleh kedua-dua orang tuanya.

Datuk Lee pula yang memeluk Syazana. “How are you, dear?” Lama ditatap wajah anaknya.

Syazana cuma tunduk sahaja, tidak berjawab.

Datuk Lee tertumpu pada Rafiqi pula. “Rafiq jumpa Syazana kat mana?”

“Kat airport, pa… Mira yang bagi tahu. Dari mana dia dapat info pun saya tak tahu.”

Syazana sudah dapat mengagak. Siapa lagi yang tahu pasal penerbangannya ke Jakarta kalau bukan Maya. Pasti Mira berjumpa dengan Maya pagi tadi. Tapi tidak boleh salahkan mereka juga. Aku yang tertidur lena. Siap mimpi indah lagi. Dalam mimpi aku sudah sampai ke Eropah dengan Susane. Tidak sangka pula dalam dunia realiti, aku masih di sini.

Tiba-tiba Syazana terasa seseorang memegang tangannya dan mengheretnya masuk ke dalam rumah. Riang dan ceria wajah setiap mereka sebaik sahaja bertemunya. Mula timbul rasa bersalah tersemat di kalbu. Tetapi dia masih risau sama ada kebaikan mereka itu pura-pura atau benar.

Risau pula apabila mereka sudah jemu dengan aku, perangai mereka berulang. Papa akan terus-menerus memaksanya untuk menguruskan syarikat. Mama dan Rafiqi pula tidak habis-habis dengan soal Qistina. Zairi akan sentiasa menyalahkannya sebagai punca salah satu syarikat papa hampir muflis.

Dia ikut sahaja mamanya yang ceria memegang tangannya ke ruang tamu. Datuk Lee dan lain-lain menyusur dari belakang. Bagaikan orang bisu, sejak tadi dia senyap. Terharu dengan layanan ahli keluarganya. Makanan dihidangkan untuk menjamunya.

Sejak tadi Rafiqi tenung sahaja muka Syazana yang muram tiada perasaan itu. Bingkas dia duduk di sisi isterinya. “Syaz… awak nak makan tak? Atau nak saya suapkan?”

Zairi tersengih.

Syazana menggeleng. “Saya tak nak…”

Datin Helena dan Datuk Lee perasan yang anak gadis mereka bagaikan sudah tidak mesra lagi dengan mereka.

Datin Helena membuka bicara. “Syazana… kalau Syazana marahkan mama dan papa, kami minta maaf.”

Laju Syazana menggeleng. “Tak… mama dan papa tak buat salah pada Syaz pun. Cuma Syaz yang degil.”

Datuk Lee pula bersuara. “Mulai sekarang, papa tak akan paksa Syazana jadi pengganti papa lagi. Papa akan cari orang lain. Dan… sudah pasti orang itu pun bukan Zairi.”

Perlahan-lahan Syazana menghembuskan nafasnya. Selama ini dia cuma mengharapkan secebis ‘kefahaman’ soal minat dan tanggungjawab. Sudah pastilah tanggungjawab harus diutamakan, minat itu sekadar sampingan. “Tak apa, Syaz sedia pikul tanggungjawab Syaz untuk menjadi pengganti papa. Papa tak perlu risau lagi.”

Berkerut-kerut dahi Datuk Lee. Keajaiban apa lagi ni? “Papa tak akan paksa Syaz lagi. Papa faham dengan minat Syazana.”

Memang benar, keberkatan hidup seorang anak terletak pada keberkatan yang diberikan oleh ibu bapanya. Terlalu banyak penderitaan yang Syazana lalui sepanjang hidup yang tiada keberkatan itu. Sudah lama dia terlalu pentingkan diri sendiri dan degil. Mana perginya pengorbanan seorang anak buat ibu bapanya? Padahal mereka yang bergelar ibu dan bapa sudah terlalu banyak berkorban. Kalau mereka tidak sayang, sudah lama dia menjadi anak terbiar.

Dia nekad dengan keputusan itu. Sekurang-kurangnya dia pernah juga merasa status ‘doktor’ itu. Minatnya juga sudah tercapai. Sekarang, tinggal untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh nenek moyang sehinggalah kepada bapanya. Kini, tanggungjawab itu diturunkan kepadanya, anak sulung Datuk Lee.

“Syaz nekad. Selama Syaz dikatakan ‘mati’, Syaz memang dah habis fikir. Syaz tak akan bergaduh dengan papa dan mama lagi soal ni. Syaz memang dah bersedia sepenuhnya untuk pegang jawatan papa. Syaz janji akan lupakan bidang kedoktoran.”

Lega hati Datuk Lee mendengar kata-kata itu. Dia terharu. Ada senyuman yang terukir pada wajahnya. Persengketaan yang selama ini mengambil masa bertahun-tahun akhirnya tamat juga. Perlahan-lahan dia memegang tangan kanan anaknya. Air mata bergenangan di bingkai mata. “Terima kasih, Syaz…”

Syazana menguntum senyuman. “Sama-sama, papa…”

Datin Helena pula mencelah. “Syaz… mulai hari ni Syazana tinggal dengan papa dan mama ya?”

Datuk Lee mencuit isterinya. “Syazana kan dah ada suami. Dia kena tinggal dengan Rafiq.”

Suram wajah Datin Helena. “Syazana jangan lari dari papa dan mama lagi ya?”

Syazana sekadar menghadiahkan senyuman sahaja. Akur dengan orang tuanya.

Hubungan Syazana dan ahli keluarganya sudah kembali akrab. Benar… ALLAH itu Pengatur Takdir. DIA yang memberi masalah dan DIA jugalah tahu jalan penyelesaiannya. Cuma ‘kesabaran’ itulah kuncinya.

Dalam persengketaan antara dua pihak, wajib ada salah pihak yang mengalah. Kalau kedua-dua pihak masih berkeras hati, kedua-dua mahu menang… sampai bila persengketaan akan tamat? Tidak semestinya mengalah itu ‘kalah’ dan ‘tewas’. Padahal mengalah itu sabar. Sabar itu sebahagian daripada iman. Iman itu pula ketakwaan kepada-NYA. Ada anugerah yang lebih baik ALLAH sediakan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93974/gaduh-gaduh-sayang