“MACAM mana dia balik semalam?”
“Entahlah. Mahu makan berjam-jam jugak dia menunggu kereta. Rasanya, kawan dia yang jemput. Lelaki muda. Badan sedap-sedap. Bukan main lagi diaorang berpelukan tau.”
“Aik? Pulak? Bukan perempuan tu isteri Tan Sri Hasnan ke?” tanya Kak Maznah dengan suara naik seoktaf.
“Sepatutnyalah. Tapi, kalau memang dah jahat tu, apa nak dihairankan? Takkan korang tak dengar semalam apa yang dia cakap kat meja makan? Nasib baik aku masih sabar, kalau tak…”
“Kalau tak, apa?” tanya Haziq dengan nada mengejek. Tahu sangat dengan auta Yusri.
“Takde apa-apa sangatlah. Tuan kan ada kat situ. Takkan aku nak buat onar depan tuan? Haih! Kalau bukan tuan arahkan aku supaya tunggu, aku biarkan aje minah tu. Tak kisahlah kalau dia kena culik kat jalan sunyi tu. Apa barang aku yang kena tunggu perempuan tu, suami dia sendiri pun dah bagi dia telan asap BMW dia.” Tegas Yusri.
Tak seronok langsung apabila Tuan Ihsan arahkan dia untuk menunggu sampailah perempuan jahat itu selamat menaiki kenderaannya. Apabila Yusri beri tanda hendak protes, Tuan Ihsan dengan gaya machonya selamba berkata.
‘Kalau ada apa-apa berlaku kat dia, saya yang akan kena, Yusri. Sebab dia masih lagi berada di atas tanah milik saya. Faham?’
Terpaksalah Yusri akur. Faham sangat maksud Tuan Ihsan tu. Kalau perempuan jahat tu kena culik ke, rogol ke, bunuh ke, mestilah akan menjejaskan nama baik Tuan Ihsan. Ini kan tanahnya? Dan, kalau kedudukan Tuan Ihsan terjejas, apa jadi dengan diaorang semua? Pastilah terkena tempiasnya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Yusri menunggu sampailah perempuan tu berhambus.
“Aku dengar Farid kata, Tan Sri Hasnan dah ceraikan perempuan tu, betul ke?” tanya Haziq pula.
“Haah, Ziq. On the spot. Padan dengan muka dia. Kurang ajar sangat. Bayangkan ajelah apa perasaan tuan bila air mukanya dibuat main-mainan oleh perempuan tu. Tak reti nak hormat orang. Jangankan orang luar, dengan suami dia sendiri pun dia biadab.”
“Mujur ada Farid semalam, kan? Kalau tidak, perempuan tu dah selamat tangankan Ilyas. Aku tak berani nak fikir apa yang tuan akan buat kalau benda tu berlaku.”
“Betullah, Ziq. Aku kira lepas ni, habislah karier Tan Sri Hasnan. Aku dengar, Tan Sri tu dah banyak terhutang budi dengan tuan. Lepas apa yang berlaku, tak tahulah kalau tuan cukup berbesar hati untuk lupakan semuanya. Kalau aku, minta maaf banyak-banyaklah.”
“Berani betul perempuan tu angkat tangan kat Ilyas kesayangan aku. Kalau ikut hati, nak aje aku ajar muka perempuan tu. Nasib baik aku sibuk kat dapur,” marah Kak Maznah pula. Muka berkeriut menahan rasa. Memanglah Kak Maznah tu, sayang benar dekat Ilyas.
Seroja yang dari tadi cuma menjadi pemerhati, termenung memandang ke hadapan. Kenapa hatinya rasa tak sedap? Sejak subuh tadi, asyik berdebar-debar aje. Seroja menepuk-nepuk dada, dengan harapan, debaran halus menghilang begitu sahaja.
“Senak ke? Nak akak buatkan susu suam?” tanya Kak Maznah tiba-tiba, mematahkan lamunan Seroja.
Seroja menggelengkan kepala.
“Tak naklah kak. Hati orang rasa tak sedaplah kak. Kenapa agaknya, eh?”
“Pembawaan budak agaknya.” Sampuk Haziq.
“Takkanlah. Ini rasa lain macam. Bukan macam morning sickness, Abang Haziq.”
“Atau kau tak sedap hati sebab perasaan kau terbawa-bawa dengan kes semalam, kut? Marah tak habis dikeluarkan. Tu yang dada jadi bungkam tu.” Teka Yusri pula.
“Mungkinlah agaknya. Eh? Budak-budak dah siap ke kak?”
“Dah. Tuan cakap nak bawak jalan-jalan aje, bukan main happy semua. Akak pun terlebih happy. Tak pernah-pernah tuan ajak kita semua keluar beramai-ramai macam ni. Macam rombongan meminanglah pulak.” Seloroh Kak Maznah, sempat memeriksa gincu di bibirnya pada belakang buntut periuk steel yang berkilat serupa cermin.
“Pak cik rasa bersalah tu, kak. Sepatutnya, lepas aje makan malam semalam, pak cik nak buat gathering untuk kita-kita aje. Sempena mother’s day. Tapi, pasal si hidung serombong kapal tu, semua pun dah hilang mood. Tu yang dia nak gantikan dengan hari ni.”
“Sebenarnya, tuan tak perlu buat begini. Tapi, kalau dah terlanjur nak buat, bagus jugak. Hehehe…” ujar Yusri sambil menayang sengihnya.
“Patutlah beria-ia tuan suruh Logan telefon Hawa semalam, minta cuti untuk budak berlima tu, termasuk Hakeem dengan Shamil. Rupanya sebab nak bawak jalan-jalan.” Haziq ukir senyuman gembira. Rasa terharu sebenarnya.
Tuan Ihsan tidak lupa anak-anaknya. Hari jadi Hakeem pun disambut serentak dengan Iman, Iqram dan Ilyas semalam. Tuan Ihsan sebenarnya tidak perlu berbuat begitu. Dia cuma pekerja yang makan gaji. Tapi, Tuan Ihsan layan mereka semua seperti keluarga.
“Vi dengan Ratnah mana Abang Yus? Abang Haziq?”
“Ratnah nanti datang menyusul. Dia hantar Hareez kat rumah mentua abang dulu. Fathin mana? Semalam dia tak datang pun. Shafiq dan Tok Din pun tak jadi datang, kenapa?”
“Tok tak sihat semalam. Pak Su Shafiq tak nak tinggalkan tok sendiri. Tu yang diaorang tak jadi nak datang tu.” Jelas Seroja dengan suara yang perlahan.
“Vi pulak tak dapat nak ikutlah Seroja. Dah sarat sangat tu. Dia rehat kat rumah mak mentua abang. Kalau ikutkan hati, dia nak sangat lepak dengan kau. Tapi, abang takut dia terberanak kat atas jalan. Naya!”
Seroja mengangguk perlahan. Soalan tadi cuma salah satu untuk menutup gementar yang bertandang lagi. Kenapa ni? Ada apa yang tak baik nak berlaku ke? Atau ini semua perasaan aje? Dia jadi sangat-sangat terganggu, sehingga segala urusan untuk menyiapkan anak-anaknya diserahkan saja kepada Gia dan Mona bulat-bulat.
Mujur Tuan Ihsan tidak banyak tanya. Sangkanya, mungkin mood Seroja tidak bagus kerana pembawaan budak. Kalau tidak, jenuh juga nak bersoal jawab. Buat masa sekarang, dia malas hendak bercakap tentang perasaannya yang ganjil itu.
“Kau okey tak ni, Seroja? Blur semacam aje?” Yusri gawang kedua tangan di hadapan Seroja. Risau juga dia melihat muka Seroja yang monyok saja. Trauma pasal semalam ke? Takkanlah kut? Budak Ilyas tu okey aje. Takkan Seroja pulak yang trauma?
“Orang okey aje, Abang Yus.”
Kak Maznah, Haziq, dan Yusri saling bertukar pandangan. Apa kena dengan Seroja?
“Semua dah siap?” Berpasang-pasang mata tertumpu kepada Tuan Ihsan yang berdiri tegak, sambil mendukung kedua puterinya di pinggang kiri dan kanan. Kedua-duanya masih lagi dengan muka yang sedikit mamai dan masih mengantuk. Tak habis-habis belakang tangan menggosok kelopak mata.
Beberapa langkah di belakang, Iman, Iqram dan Ilyas datang menyusul dengan pakaian yang sedondon.
“Mommy! Dah siap?” jerit the triplets serentak.
“Dah.” Jawab Seroja perlahan.
“Yeah! Lets go!!!”
“Mana Ratnah dengan Hakeem?”
“Nanti Ratnah menyusul tuan.”
“Kenapa tak jemput saja Ratnah dengan Hakeem, Haziq? Bawak mana aje kereta kat luar tu. Jumpa kat restoran Dato’ Sayf. Saya dah buat tempahan untuk makan tengah hari kat sana. Logan dan Hawa pun akan tunggu kita di sana.”
“Baik, tuan.”
“Kita nak bawak kereta mana ni, tuan?”
“Bawak aje mana-mana, Yusri. Biarkan Gia dan Mona satu kereta dengan anak-anak saya. Kamu jaga mereka. Saya akan bawa kereta sendiri. Maznah nak ikut kereta mana? Dengan saya dan Seroja?”
“Err… takpelah, tuan. Biar tuan dengan puan berdua. Saya boleh naik kereta dengan anak-anak. Boleh tolong Gia dengan Mona.” Jawab Kak Maznah tersipu-sipu.
“Okey, jom baby.” Tuan Ihsan mengerutkan dahinya. Pelik dia melihat Seroja yang masih lagi termenung panjang. Morning sickness ke? Takkanlah. Dua kali Seroja mengandung, waktu morning sicknessnya hanya bermula pada bulan kedua kehamilan. Kalau bukan pasal morning sickness, pasal apa?
Mata memberikan isyarat kepada Gia dan Mona untuk mengambil Ibtisam dan Imtihal dari dukungannya. Bila semua orang sudah hilang dari pandangan, dan akhirnya cuma dia dengan Seroja yang tinggal, Tuan Ihsan mendekati Seroja.
“Baby…”
Senyap.
Apa saja yang Seroja fikirkan sampaikan nama dipanggil pun tidak dengar?
“Baby…” Bahu Seroja disentuh perlahan.
“Hah???” Seroja tersentak.
Tuan Ihsan mengerutkan keningnya. Macam ada yang tak kena dengan isterinya itu. Dia perasan sejak solat subuh tadi, Seroja asyik termenung saja.
“Kenapa ni?”
Seroja cuma menggelengkan kepala.
“Rasa tak sedap badan.”
Tapak tangan Tuan Ihsan melebar ke atas dahi Seroja.
“Tak demam. You okey tak ni, baby? Nak jumpa doktor tak?”
“Tak perlu. Jomlah. Budak-budak dah excited tu. You should see muka Ilyas bila I kata kita nak bawak semua orang jalan-jalan hari ni. Over the moon!” cerita Seroja dengan nada dan wajah yang dibuat-buat ceria.
“Kalau you tak sihat, kita singgah ke klinik Doktor Hasnah, okey?”
“Tak perlu. Kita pergi sekarang, daddy. Jom!” Seroja berlalu, namun pergelangan tangannya dilelar oleh Tuan Ihsan. Seroja perhatikan tangannya.
“Ada sesuatu yang tak kena. I boleh rasakan. Kenapa? Apa dia yang mengganggu fikiran you?” lembut saja nada suara Tuan Ihsan bertanya. Seperti memujuk lagaknya.
Seroja mengeluh kecil. Tangan melingkar di pinggang, dan muka disembamkan ke dada Tuan Ihsan. Terasa tapak tangan Tuan Ihsan yang panas, mengusap-usap kepala dan belakangnya. Seroja memejamkan mata. Rasa selesa sangat. Buat seketika, dia lupa tentang perasaan yang tidak enak itu.
“Kenapa ni, hmm?”
“I tak tahu kenapa. Hati I rasa tak sedap sejak subuh tadi. You rasa kenapa, ya?”
“You masih terfikir pasal semalam, kut?”
“No. Ini bukan pasal semalam. I sangat-sangat pasti.”
“Habis tu?”
Seroja mendongakkan kepalanya. Matanya bertaut dengan mata Tuan Ihsan. “I fikir, kita batalkan sajalah rancangan hari ni, daddy. I betul-betul rasa tak sedap hati.”
“Batalkan? Kesian dengan anak-anak. Dah bersiap. Yang lain pun tinggal menunggu kita saja. Tak baik kecewakan orang, baby.” Pujuk Tuan Ihsan.
“Hmm…”
“I tell you what, kita jangan batalkan. But, kita boleh pendekkan masanya. Sekurang-kurangnya untuk kita dan anak-anak. Biarkan saja pembantu semua bercuti. Semalaman diaorang bekerja untuk makan malam semalam. Mesti penat. Lagipun, I nak diaorang tak rasa terkongkong sangat kat banglo ni.”
Seroja mengangguk kecil. Betul jugak. Bukan main merah gincu Kak Maznah. Kalau tak jadi jalan, kesian pulak. Sudahlah Kak Maznah berusaha satu pagi memujuk Chef Kahfi ikut serta, tapi ditolak.
Seroja koyak senyuman kecil.
“Hey! Is that a smile I see?” Tuan Ihsan mengetatkan lagi pelukannya. “Jadi, semua dah okey tak ni?” sambung Tuan Ihsan lagi. Kepala Seroja yang berbungkus tudung dicium berkali-kali.
“Selagi I ada you, semua yang tak okey pun boleh jadi okey, daddy.”
“Cheesy… but I like it.” Tuan Ihsan menundukkan sedikit kepalanya untuk menuntut bibir Seroja.
“Daddyyy! Mommyyy! Cepatlah. Iyas nak catch pokemon ni!” jerit Ilyas di muka pintu.
Seroja dengan Tuan Ihsan bertukar pandangan. Senyuman nipis terkoyak di mulut masing-masing.
“Baik kita keluar sekarang sebelum semua tentera kecil datang.”
“Jom!”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271740/Famili-Tuan-Ihsan