“Assallammualaikum.” Ucap Rizal apabila pintu rumah itu terkuak. Laila yang sedang berdiri dibelakang pintu sudah mengerutkan keningnya. Pelik melihat kehadiran Rizal di situ.
“Nami ada? Aku nak jumpa Nami.” Pinta Rizal lembut.
“Kenapa?” soal Laila dalam nada tidak puas hati.
“Ada hal kejap,”
“Nak sakitkan hati dia lagi?”
“Tak,” pendek jawapan Rizal.
“Kejap aku panggil.” Pintu ditutup kembali. Rizal berdiri membelakangkan pintu rumah Nami. Kegagalannya menghubungi nombor telefon Nami telah membawanya kembali ke rumah itu. Jika dulu, pintu rumah itulah yang sering diketuknya tatkala ingin membawa Nami keluar, namun semenjak dia mengenali Nysa, jalan ke rumah Nami sendiri sudah dia lupakan. Betapa Rizal malu pada dirinya sendiri. Betapa dia bagaikan kacang lupakan kulit.
Pintu itu sedikit terkuak. “Kau nak apa Rizal?” tanya Nami yang berdiri disebalik pintu.
“Jom kahwin!” ucap Rizal tiba-tiba. Nami kelu mendengar kata – kata yang terkeluar dari mulut Rizal. Pintu pagar Nami buka. Perlahan-lahan Nami mengatur langkah keluar dari rumahnya. Pintu rumah ditutup perlahan. Nami berdiri di sebelah Rizal. Wajah Rizal dipandangnya kosong.
“Aku tak faham apa kau cakap ni,” ucap Nami.
“Aku ajak kau kahwin. Jom kahwin dengan aku. Kita mulakan semula hubungan kita. Aku tahu kau masih cintakan aku. Kita kahwin ye,” rayu Rizal.
Nami sudah mengerutkan kening. Senang sungguh Rizal melontarkan kata – kata itu. Lagak Rizal seakan – akan tiada perasaan. Lagaknya seakan-akan tiada langsung salahnya pada Nami. Sedangkan, dialah lelaki yang mencarik – carikkan perasaan Nami. Dialah juga yang membunuh segala impian Nami. Tapi sekarang, dia mahu kembali pada Nami. Nami geleng kepala. Pelik bercampur lawak.
“Jangan buat lawak antarabangsalah Rizal,” sinis kata – kata Nami. Tangan sudah disilangnya ke dada. Wajah Rizal dipandang tajam.
Rizal tiba-tiba melutut di hadapan Nami. Perlakuan itu Nami biarkan. “Tolong kahwin dengan aku. Aku janji tak akan kecewakan kau lagi.” Ucap Rizal.
“Apa semua ni?” Nami sudah mengundurkan langkahnya setapak.
“Tolong maafkan aku, tolong kahwin dengan aku.” Ulang Rizal tanpa bersalah.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com