Bicara Hati 2: Putaran Kehidupan
Perjalanan hidup ini bak putaran roda yang sentiasa ligat berpusing tanpa henti. Sesekali kita berada di atas dan di puncak, dan sesekali kita jatuh terjunam lalu berada di bawah.
Untungnya menuruti rapat ajaran Islam kerana ia mengajar manusia untuk sentiasa merendah diri, seakan-akan sentiasa berada di bawah walaupun hakikatnya diri sedang diangkat tinggi ke puncak.
Untungnya juga dengan tarbiah yang sebegitu, tatkala berada di atas diri tiada masalah, andai berada di bawah lagilah tiada masalah!
Hari ini, kita melihat seseorang itu disanjung, esok pula mungkin sahaja orang yang sama itu akan dicemuh. Beruntung buat mereka yang sentiasa merendah diri, tatkala dicemuh tiada siapa yang mampu mematahkan semangatnya, dan dia akan terus positif tanpa gangguan.
****
Bicara Hati 3: Penyakit Paling Bahaya
Para sahabat Nabi Muhammad SAW yang mukmin sangat menakuti suatu penyakit hati yang dinamakan sebagai “munafik”. Ia merupakan penyakit yang lebih teruk dan lebih berbahaya daripada penyakit-penyakit lain.
Sering sahaja para sahabat seperti Umar Al-Khattab keluar mendapatkan Huzaifah RA yang diamanah sebagai penyimpan nama-nama orang munafik di Kota Madinah untuk bertanya kepadanya, adakah namanya tersenarai dalam kalangan golongan berkenaan?
Sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah RA pun sama, beliau menangis penuh bimbang dan penuh ketakutan, takut- takut dirinya tersenarai dalam golongan munafik. Teman-teman, bagaimana pula diri kita?
Sepatutnya kita yang perlu lebih bimbang mengenainya berbanding mereka. Pada pandangan zahir, mungkin badan kita sihat sejahtera, namun hati berkarat penuh noda kerana barah munafik. Semoga Allah SWT menjauhkan kita semua daripada penyakit yang merbahaya ini.
****
Bicara Hati 4: Nasihat Buat Pemilik Hati
Duhai hati, Allah SWT jadikanmu sebagai raja yang menguasai anggota badan, manakala dirimu pula dikuasai oleh Allah Tuhan sekalian alam, dan kamu sentiasa berada dalam tatapan dan pandangan-Nya.
Oleh itu wahai hati, tabahlah menghadapi mehnah dan karenah hidup di dunia ini, kerana hanya hati yang kuat akan memperoleh bahagia, sebaliknya yang lemah akan mengundang sengsara.
Ingatlah kau perlu kuat, demi Allah SWT!
Bicara Hati 28: Sindiran Allah VS Sindiran Manusia
Kita manusia sangat mudah terasa hati dan tersentuh tatkala disindir, ditegur dan diberi pandangan oleh teman-teman. Usah kata terasa ketika disindir, ketika berbicara dan berbual biasa pun senang sahaja untuk hati terasa dan merajuk.
Apa yang lebih menghairankan, mengapa tidak pula hati kita terasa saat disindir dengan lantangnya oleh Allah SWT melalui ayat- ayat suci Al-Quran?
Cuba muhasabah, siapa sebenarnya yang lebih besar dan penting dalam hidup ini? Pandangan siapa yang lebih meresap jauh ke dalam hati, Allah SWT atau manusia? Dan kita lebih mementingkan teguran siapa sebenarnya?
Teguran Sang Pencipta ataupun teguran mahkluk yang tidak berkuasa?
****
Bicara Hati 29: Hadiah Paling Bernilai
Tatkala diri sedang berada dalam ramai atau bersendirian, tentu pernah sekali dua mungkin juga lebih, hati kita tiba-tiba tersentak dan terasa kosong buat sementara waktu. Ketika itu segala perkara yang dilakukan bagaikan serba tidak kena, senyum dan rasa gembira yang biasanya menemani bagaikan hilang begitu sahaja.
Diri bertanya sendiri, “Mengapa ini berlaku?”
Di penghujung pertanyaan, datang rasa bersalah dan berdosa dalam jiwa, saat itu andai kita tidak tahu apa yang ingin dilakukan, maka duduklah sebentar lalu beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT dalam terang atau sembunyi dengan suara nyaring atau senyap hanya dalam hati.
Sebenarnya perasaan itu merupakan hadiah dari Allah SWT kepada kita, tanda-Nya masih memberi kita peluang dan ruang untuk bermuhasabah. Mungkin sahaja tidak ramai insan lain berpeluang untuk merasai apa yang kita rasa.
Jadikan peristiwa itu sebagai titik permulaan. Lazimilah istighfar dan kata taubat selepas dari itu, hargai hadiah yang diberikan oleh Allah SWT sebagai amaran serta peringatan buat diri sendiri dan anggap ia sebagai teguran dari Allah.
Ia bukti bahawa Dia sangat mengasihi diri kita, masih diberi kesempatan dan kesedaran kepada kita di saat orang lain masih hanyut dibuai keasyikan dunia.
“Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”
(Surah At-Tahrim: ayat 8)
****
Bicara Hati 45: Pintalah! Kerana Allah Maha Mendengar
Allah SWT memberitahu kepada kita dengan jelasnya melalui Al- Quran bahawa tiap kali hati punya hajat dan permintaan, maka angkatlah tangan dan pohonlah hanya kepada-Nya, nescaya Dia akan memakbulkannya.
Cuba untuk seketika, kita merenung dan berfikir betapa indahnya makluman itu. Allah SWT seolah-olah memberitahu dengan nada merayu, “Pohonlah kepada-Ku, pasti permintaan itu akan ditunaikan”. Betapa pemurahnya Allah, sangat kerap berlemah- lembut dengan hamba-Nya. Yang tinggal, hanya kita sama ada ingin berdoa atau tidak. Peluang telah dibuka, kini semuanya terletak pada diri sendiri.
Namun, seandainya sudah kerap kita berdoa, sudah banyak kali tangan memohon pertolongan tapi doa kita masih tidak dijawab dan dimakbulkan, maka janganlah bersangka buruk kepada Allah SWT. Percayalah, Dia Maha Mendengar. Lambat itu bukan bukti doa ditolak, mungkin sahaja ia disimpan dan hanya menunggu masa untuk ditunaikan.
Paling penting, jangan mudah berputus asa. Allah SWT tidak zalim, pasti apa yang sedang diatur oleh-Nya terbaik untuk kita. Namun, pada ruang yang ada itu, sebaiknya digunakan untuk muhasabah diri, mungkin Allah tidak memakbulkannya kerana ada sebab-sebab tertentu yang menghalang.
Perhatikan perbuatan kita seharian, mungkin sahaja kita berdoa namun kita masih bergelumang dalam dosa. Berdoa tapi mencuri, makan makanan yang haram, suka mengumpat, suka menangguhkan solat, sering menipu dan seumpamanya. Dibimbangi, dosa-dosa inilah yang menutup pintu rahmat Allah SWT dan juga menghalang doa yang dipohon daripada dimakbulkan.
Oleh itu, sebelum berdoa dan meminta apa sahaja daripada Allah SWT, maka dahulukan permintaan itu dengan ucapan memohon pengampunan. Berjanjilah di hadapan Allah SWT agar diri sedaya upaya berusaha untuk menjaga diri daripada melakukan maksiat, baik secara terang atau tersembunyi.
Bersama menghitung diri, tinggalkan semua dosa dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi. Cuba tukarkan gaya hidup lampau yang lalai pada gaya hidup baru yang lebih damai. Mudah-mudahan, pintu pemberian Allah akan terbuka luas dan semakin luas untuk kita. Cuba lakukan bermula sekarang, dengan bekalan kesabaran juga keyakinan pasti Allah SWT akan memakbulkan segala permintaanmu, andai tidak di dunia, di akhirat pula.
Yang utama, pintalah apa sahaja daripada Allah SWT. Dia Tuhan kita, hanya Dia yang mengetahui segala keinginan hati dan apa yang terbaik untuk diri. Pintalah semua yang ada dalam hati itu kepada-Nya, kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Pemurah, kerana hanya kepada Dia semua makhluk meminta dan memohon pertolongan.
“Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kamu kepada- Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina”.
(Surah Al-Mukmin, ayat 60)
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97486/Duhai-Hati-Berbahagialah