[SNEAK PEEK] CUMA DIA

9789831244357-medium

EBUKU Cuma Dia Oleh Norzailina Nordin

SENYUMAN yang masih bersisa di bibir Dalila lenyap serta-merta tatkala mereka bertentang mata. Degupan jantungnya kencang. Lututnya terasa lemah. Jari-jemarinya menggeletar dan dia hampir-hampir sahaja rebah jikalau tidak memaut kerusi yang paling hampir dengan pintu itu. Iqbal?

“Dalila… you… you terkejut tengok I?”

Gadis itu hanya merenung Iqbal seolah-olah dia tidak berpijak di bumi nyata. Seakan-akan lelaki itu hanya ilusi. Dan dia seperti berhalusinasi.

“Duduk dulu…” pinta Iqbal sambil tersengih. “Ah, macamlah ni ofis I! You… you nampak luar biasa cantik, Lila. Tadi I hampir tak cam muka you. Ada seri yang tak pernah I nampak sebelum ni. You memang dah berubah. You tak macam yang I kenal dulu.”

Dalila menghela nafas panjang. “Iqbal…”

“Maafkan I, Lila. I tak bagi tahu yang I dah balik dari Tanzania. Masa di sana pun, I cuba contact you, tapi you pun faham. Kat sana tak macam sini.”

Iqbal sudah berubah! Rambutnya panjang mencecah bahu. Mukanya lebih cengkung daripada dulu. Dan tubuhnya ternyata lebih kurus sehinggakan kemeja corak kekotaknya nampak terlalu besar. Malah, kulitnya juga lebih gelap.

“Iqbal…”

“Dengar dulu cerita I, Lila.”

Dalila deras menyampuk. “Tapi ni waktu kerja. I rasa tak patut sangat kalau…”

Lelaki itu mengangkat tangan kanannya ke atas sedikit, seolah-olah meminta izin untuk mencelah percakapan Dalila. Matanya bersinar dengan semangat yang berkobar-kobar. Dia seolah-olah sudah menunggu saat pertemuan ini sekian lama sehingga setiap inci tubuhnya begitu teruja dan dia tidak dapat mengawal gerak hatinya.

“I tahu, Lila. I sanggup tunggu. Petang ni, I datang jemput you lepas habis kerja, ya?”

“I tak tahu pukul berapa. I sibuk hari ni, Iqbal.”

“Esok?” cadang lelaki itu. “Atau lepas you habis semua kerja? I dah lama tunggu nak jumpa you, nak makan dengan you dan berbual dengan you. I tahu kita dah banyak habiskan masa dengan sia-sia. Jadi, kita akan cuba bersama setiap masa yang terluang.”

Dalila melemparkan pandangan ke langit dan kepulan awan umpama sisik-sisik ikan di persada kebiruan. “You dah berubah, Iqbal.”

“Ya, I dah kurus, rambut I dah panjang… I tak sempat ke kedai gunting sebab tak sabar nak jumpa you,” jelas Iqbal. “You pun sama. I nampak ada cahaya bahagia di mata you. You rindukan I ya, Lila?”

“Sebelum ni, you tak bercakap banyak, Iqbal. Sekarang you macam… macam sangat peramah pula. I tak faham.”

Iqbal mengeluh. “Banyak hal dalam dunia ni yang kita tak faham, Lila. Kalau hidup seribu tahun pun takkan faham.”

“Kenapa you cakap berbelit-belit?” Dalila menggunakan nada suara yang sama ketika menginterogasi pihak yang bersalah di dalam kamar mahkamah.

Dia semakin tidak memahami Iqbal walaupun jauh di sudut hati, dia sebenarnya amat lega melihat lelaki itu kembali dengan selamat. Ada sesuatu dalam nalurinya yang telah ‘terbangun’ dengan kehadiran lelaki itu, tetapi dia cuba menepis segala perasaan lama itu.

Selama ini, dia memikirkan Iqbal tidak akan muncul dan telah menutup pintu minda yang terisi dengan segala kenangan manis bersama Iqbal. Tiba-tiba tatkala terlihat lelaki itu semula, pintu minda itu terbuka dengan sendirinya. Semua kenangan umpama tayangan di layar perak fikiran. Dia langsung tiada upaya menghalangnya.

“Macam-macam pengalaman I nak kongsi dengan you, Lila. 1001 malam pun, takkan habis. Macam Scheherazad yang menceritakan hikayat kepada suaminya supaya dia terlepas daripada hukuman bunuh dan dibiar hidup untuk satu hari lagi.”

“Kenapa you dah berubah?”

“Maksud you?”

Dalila memeluk tubuh. “Dulu you tak seramah ni. You lebih banyak diam, berfikir dan sentiasa beringat. Sekarang, you macam…”

“Pandang I, Lila… I rindukan you. I tak nak lagi berpisah. I tahu, dah berbulan-bulan I tak call atau SMS, tapi TUHAN tahu, I dah cuba sedaya upaya. I nak cerita semuanya tapi…”

Sebuah ketukan terdengar di pintu. Dalila bergegas membukanya.

“Ada mesyuarat dalam masa 10 minit lagi,” kata seseorang di sebalik pintu.

“Okey.” Dalila menutup pintu dan berpaling ke arah lelaki itu. “You kena pergi, Iqbal.”

“I tunggu you petang nanti?”

Gadis itu tidak menjawab.

“Telefon I rosak, semua nombor hilang. Boleh you, hmm…” Lelaki itu ketawa. Tidak, dia tidak kelihatan semuda dulu. Mungkin di Tanzania, dia telah mengalami kesulitan yang tidak terkata. “Kenapa I rasa macam orang bodoh, Lila?”

Dalila mengelak daripada menjawab. Dia terus memberikan nombor telefonnya. “Nanti you SMS I, ya?” Kata-kata itu sekadar sebuah janji supaya Iqbal lekas beredar dari situ.

“I datang jemput you petang ni, ya? Kereta I rosak, kena servis…” Iqbal ketawa lagi. “Tapi, kita boleh jalan kaki atau naik teksi, kan?”

“Naik kereta I pun tak apa.” Entah apa yang mendorong Dalila untuk berkata sedemikian. Mungkin atas dasar terlalu simpati.

Iqbal berdiri. Dan Dalila membiarkan lelaki itu keluar tanpa menghantarnya ke pintu hadapan ofis. Hatinya sebak melihat lelaki yang pernah dan sedang mendambakan kasih daripadanya itu. Kenapa Iqbal harus muncul di saat dia sedang membilang hari untuk menjadi isteri Hilman?

Terlintas pada fikirannya untuk menelefon Hilman, tetapi dia perlu membereskan pelbagai kerja terlebih dahulu. Satu demi satu urusan menghambat waktunya sehinggalah Suraya menelefonnya jam 5.10 petang.

“Lila, kamu balik makan di rumah ke malam ni? Mak ingat nak masak taucu yang kamu suka sangat tu.”

“Tak… tak, mak. Ada kerja sikit nak buat. Tak tahu lagi pukul berapa nak balik.”

“Ingat pesan mak, kalau boleh, jangan jumpa Man. Nanti hilang seri pengantin.”

Sebaik sahaja mengucapkan ‘bye’ kepada Suraya, telefon Dalila menerima SMS. Daripada Iqbal!

I tunggu you di lobi. Tak kira pukul berapa you turun, I sanggup tunggu. I dah lama tunggu saat ini, berapa jam lagi pun tak apa.

Sedang Dalila berkira-kira sama ada hendak menelefon Hilman atau tidak, dia menerima panggilan daripada Vanessa. Kata rakannya itu, Gomez memberitahunya tentang kedatangan Iqbal.

“I ingat you nak call I tadi… nak cerita hal tu.”

“Sorry… hari ni I sibuk sangat, Vee. Fikiran I tak tentu arah.”

“Yalah, esok you dah cuti. Tapi, macam mana sekarang?”

“Macam mana apa?”

Suasana pejabat hingar-bingar dengan kakitangan yang bersiap untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada juga yang galak membuat perancangan untuk menghabiskan sisa-sisa petang dan malam melepak di Bintang Walk. Mereka yang kaki sosial memang mempunyai pelbagai agenda sendiri dalam usaha mencari keseronokan.

“Iqbal.”

“Oh… dia tunggu I kat bawah sekarang.”

“Lila!”

“Ya… I patut cakap kat Hilman tak?”

“Kenapa?”

“Kalau dia tahu, mungkin dia marah,” sahut Dalila.

“You belum jadi isteri dia, Lila.”

“Okeylah, Vee. I pergi dulu, ya?”

“Bye…”

Semasa menunggu lif, Dalila berasa tidak sedap hati. Nalurinya mengatakan, dia mesti memberitahu Hilman. Niatnya ikhlas hendak bersemuka dengan Iqbal dan menceritakan segala-galanya. Ini umpama pertemuan terakhir. Tidak mungkin Hilman akan mengesyaki apa-apa. Hilman pun tahu siapa Iqbal. Buat apa dia hendak berselindung jika niatnya ikhlas?

“Helo, sayang…” Seperti selalu di laman chatting, Hilman akan memanggil Dalila begitu.

Dalila menelan liur kerana tiba-tiba sahaja tekaknya terasa kering. Inilah saat paling payah dalam kamus hidupnya semenjak mengenali Hilman. Namun, seandainya dia ikhlas, tiada sebab untuk Hilman berasa curiga.

“Man, I nak minta izin…”

“Izin? Apa halnya?”

“Susah sangat nak cakap. Tapi, I… hmm, you ingat Iqbal?”

Di hujung talian, Hilman terdiam sejenak. Sukar buat Dalila untuk meneka apa yang sedang bermain di benak lelaki itu. Terkejutkah dia? Marahkah dia? Geramkah dia?

“Iqbal, kawan you yang pergi ke Afrika tu?”

“Ya… dia dah balik.”

Hilman membisu lagi.

“I nak jumpa dia, nak cerita hal sebenar. Boleh ke?”

“Bila dia balik?”

“Tak tahu… tapi dia datang ke ofis tengah hari tadi, dan tunggu di lobi sekarang.”

Setelah jangka masa yang dirasakan oleh Dalila terlalu panjang, Hilman berkata, “Okey.”

****

IQBAL yang sedang tersenyum ke arah Dalila petang itu bukan Iqbal tengah hari tadi yang kelihatan tidak terurus langsung. Rupa-rupanya, lelaki itu mengambil peluang ke kedai gunting rambut. Dengan berkemeja biru muda, jaket kulit warna khaki dan seluar coklat tua, dia mampu menarik perhatian ramai wanita yang berjalan di lobi itu.

“Dalila, you nampak letih…”

Gadis itu hanya tersenyum. Mereka melangkah ke tempat parkir. “Kita nak makan di mana?” soalnya sambil menekan penggera Persona.

“Biar I bawa, Lila…”

Dalila mengetap bibir dan termenung sejenak. Dia tidak tahu kenapa, tetapi hatinya begitu lembut terhadap Iqbal. Ada sesuatu dalam pandangan lelaki itu yang meruntun jiwa. Entah apa gerangannya, dia sendiri tidak mengerti. Persona bergerak perlahan dalam kesesakan di Jalan Yap Kwan Seng.

Iqbal kembali pada persoalan yang dikemukakan oleh Dalila tadi. “Ya, I tahu… I janji akan bawa you ke sana, masa I dalam penjara di Stone Town.”

“You… you masuk penjara?”

Iqbal tersengih. “I akan cerita satu per satu. I nak cerita semuanya supaya you tahu apa sebenarnya yang dah jadi pada I di sana. Dan Lila, I nak berterus terang dengan you.”

Dalila mengerutkan dahi. “Jadi, selama ni you simpan rahsia? You sengaja buat I tertanya-tanya?”

Iqbal tersenyum. Dia sudah agak kurus, tetapi tubuhnya tetap nampak tegap dan berkarisma. Mungkin dia banyak membuat gerakan fizikal ketika di Tanzania.

“Malam ni, kita boleh bercerita sampai subuh, Lila.”

Jangan merepeklah, bisik gadis itu di dalam hati. Dia ingin segera pulang dan menelefon atau berchatting dengan Hilman. Dia ingin berkongsi bermacam cerita dengan bakal suaminya itu. Dia juga mahu mendengar kisah hidup Hilman di Kanada.

“Kita ke Mid Valley, ya? Tempat kita mula-mula jumpa dulu?” cadang Iqbal.

Dalila menggeleng. “Ramai sangat orang di sana.”

“Kalau tak nak ramai, kita boleh ke bistro di Bangsar tu. Atau… Tamarind Hill.”

Oh tidak! Tamarind Hill menyimpan kenangan manis antara Hilman dan aku, fikir Dalila.

“Kalau you suka, kita boleh beli take away dan makan di dalam kereta sambil pusing-pusing menghabiskan minyak. Terpulang pada you, Lila… tapi jangan di tempat yang mahal sangat, I tak ada duit.”

“Gila you!”

Iqbal tergelak. “I tengah cari kerja.”

“Apa dah jadi?”

“SRICOM pecat I. Cuti I habis dan I tak dapat bagi tahu mereka, I dalam kesusahan di Zanzibar.”

Mereka membisu seketika. Kesesakan begitu teruk pada petang itu. Akhirnya, Iqbal bercadang membelok ke kiri menuju ke KLCC. Dia yang menetapkan jikalau Dalila masih enggan membuat keputusan.

“Kenapa semua tempat tak bergerak ni?” Iqbal mulai berasa berang. “Tak jadilah nak ke KLCC, kita pergi Great Eastern Mall. Okey juga, kan?”

Dalila menggigit bibir.

“Sorry, Lila. I tak dapat kawal perasaan I. Macam-macam sedang berlaku serentak dalam kepala I. Paling I takut, tak dapat kerja. Tapi kawan I janji, ada tempat lain yang lebih bagus dan gaji lebih tinggi… yang tak perlu I ke luar negara lagi. You suka begitu, kan?”

Gadis itu membisu. Akan sampai masanya dia menceritakan kepada Iqbal status dirinya. Buat masa ini, nampaknya Iqbal sendiri sedang mengalami nasib yang malang. Sampai di tempat yang ingin dituju, mereka terburu-buru ke surau kerana waktu maghrib sudah menjelang.

Kemudian Iqbal mengajak Dalila ke Shyet-Li Kopitiam. Di situ memang agak lengang. Sebetulnya, Dalila tiada selera untuk makan apa-apa. Dia hanya memesan espresso. Iqbal pula, mi Hokkien dengan teh.

“You tak macam dulu, Lila. You sedar tak?” Iqbal menyoal. “I tak kisah kalau you marah I…”

Dalila tidak tahu sama ada hendak marah atau menangis. Selama beberapa bulan tanpa khabar berita, tiba-tiba hadir, sesiapa pun akan marah. “You kata nak cerita tadi.”

“Tak boleh di sini, Lila.”

Jantung Dalila mulai berdegup kencang. Perasaannya bersimpang-siur. Di hadapannya, Iqbal bagaikan orang asing.

Selesai sahaja makan, mereka beredar. Di dalam Persona yang sedang menuju ke MRR2, Iqbal bercerita semula. Katanya, sejak beberapa tahun lalu, dia menjadi pengumpul maklumat untuk membanteras kegiatan pihak tertentu. Itulah sebabnya dia terpaksa ke Pulau Zanzibar. Semuanya berjalan lancar dan dia sudah membuat persiapan untuk pulang ke Dar-es-Salaam dengan feri. Tatkala itulah Farashuu yang banyak menolongnya mendapatkan maklumat, ditangkap oleh Tsehisi.

Dalila mendengar, antara percaya dengan tidak.

Menurut Iqbal, dia berpatah balik kerana ingin menyelamatkan Farashuu, tetapi dia mendapati Tsehisi hanya mahu memerangkapnya. Mujurlah ada seorang lelaki Arab menolongnya. Dia terpaksa menyorok selama beberapa bulan, bimbang ditangkap dan diseksa. Waktu itu, dia menganggap dirinya seperti berada di penjara. Bila berlaku pergaduhan antara Tsehisi dan Kanoute, yang berakhir dengan pembunuhan Tsehisi, barulah dia melarikan diri ke Dar-es-Salaam. Farashuu kembali ke pangkuan keluarganya.

Pihak berkenaan berjaya membongkar penyeludupan dadah di dalam botol bedak. Mereka yang bertanggungjawab menjalankan human trafficking gadis-gadis untuk kegiatan tidak bermoral ditumpaskan akhirnya. Malah, mereka yang terlibat di Malaysia juga sudah ditangkap.

“Semua ni maklumat rahsia, Lila… tapi I percayakan you,” seru Iqbal.

“Bahaya kerja you!”

“Bahaya?” Lelaki itu tergelak. “Kalau you melintas jalan, lagi bahaya kerana ada kebarangkalian dilanggar oleh lori.”

“Boleh berhenti di depan tu?” Dalila menuding ke arah ruang parkir di hadapan tembok pagar Kedutaan China.

“Ada apa di situ?”

“Tak ada apa-apa. I…”

Iqbal memberhentikan Persona di situ. Kawasan tersebut menghadap pokok-pokok besar yang kelihatan amat menggerunkan kerana terlalu rimbun.

“Kenapa?” Iqbal berpaling menghadap Dalila.

“I tak tahu macam mana nak cakap pada you, Iqbal…” Intonasi suara Dalila gementar.

Namun, Iqbal tidak perasan ada sesuatu yang tidak kena. “Lepas dapat kerja, I nak bawa you balik kampung, jumpa emak. Dan kita boleh bertunang.”

Dalila tergelak dalam nada menyindir. “I dapat tahu, Iqbal… you pernah bawa balik anak dara orang ke kampung, akhirnya tak jadi.”

Iqbal terkejut. Air mukanya berubah. “Ikhwan cakap, ya? Betul dia kata, tapi dengan you, I tahu… kita takkan berpisah lagi. Lila, I rindukan you setiap hari masa di Tanzania. Pandang I… I really love you!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73861/cuma-dia