BUNYI petikan gitar yang dimainkan oleh Zira mencuri tumpuanku kerana alunan melodinya berlainan daripada biasa. Lazimnya, dia memainkan lagu-lagu yang berirama rancak dan sambil memetik gitar, dia akan ikut bernyanyi. Tetapi kali ini bunyinya sayu dan mendayu-dayu. Aku mengandai yang hatinya sedang rawan, maka kepiluan dialirkan melalui petikan gitar.
Reaksinya membuatkan aku tidak senang duduk. Sejak mengenalinya, inilah kali pertama aku nampak dia dalam mood yang sangat luar biasa. Zira yang aku kenal ialah seorang yang sangat ceria dan periang. Tidak pernah aku nampak dia sesedih ini. Mungkin semalaman dia menangis hingga matanya menjadi merah dan bengkak.
Di atas permaidani berdekatan tempat duduknya pula, bertaburan cebisan kertas. Aku faham benar perangai ‘buruk’ Zira. Apabila sedang dalam keresahan, jari-jemarinya mula mengoyak kertas hingga menjadi cebisan-cebisan halus dan dibiarkan berselerakan begitu sahaja.
Tindakan di luar sedar ini memudahkan aku tahu emosinya seperti pada ketika ini, aku tahu dia sedang bersedih. Lantaran itu, sebagai teman serumah, aku harus meredakan kesedihannya. Andai dia memerlukan seseorang untuk mencurahkan rasa hati, sudah tentu aku dengan segala rasa senang hati akan meminjamkan telinga untuk mendengar ceritanya.
Sebagai teman serumah dan sahabat yang paling akrab, aku ingin bersama-sama menangis dan tertawa dengannya. Bukan pada masa senang sahaja, aku berkongsi rasa bahagia. Kini apabila hatinya dilanda nestapa, seharusnya aku menjadi orang pertama berkongsi kesedihannya.
Andaianku, punca emosinya merudum ada kaitan dengan Amzan, teman lelakinya. Hubungan yang setahu aku sudah ibarat retak menanti belah, mungkin sudah menemui titik noktah yang memisahkan dua insan yang suatu masa dahulu saling mencintai. Begitulah cinta yang datang dan pergi. Tiada yang kekal abadi, melainkan cinta kepada-NYA.
Aku terbatuk-batuk kecil untuk memaklumkan kehadiranku, tetapi sedikit pun tidak Zira peduli. Usaha seterusnya, aku mengalihkan kerusi dengan bunyi yang agak keras, pun tidak dihiraukannya. Terus juga jari-jemarinya memetik lembut tali gitar seolah-olah dia tidak sedar apa juga yang berlaku di sekelilingnya.
Setelah memikirkan Zira ingin bersendirian, maka sepenuh ruang aku berikan kepadanya. Biarlah dia dengan caranya sendiri meladeni amukan rasa yang membadai di dalam hati. Apabila surut rasa sedih, pasti dia akan berkisah hal yang telah terjadi. Sejak mengenali Zira kira-kira setahun yang lalu, memang dia tidak berahsia denganku. Kami selalu berkongsi cerita, tidak terkecuali hal-hal peribadi.
Duduk tanpa berbuat apa-apa, maka fikiranku menerawang lalu hinggap di sana sini. Aku teringat majlis ilmu di Malaysia Hall Melbourne yang pernah aku hadiri. Memang banyak ilmu yang aku peroleh dalam Seminar Penghayatan Ramadan yang membicarakan tajuk, Puasa daripada aspek Fiqh, Sains dan Perubatan serta Kesihatan Wanita.
Seminar itu memberi kejelasan tentang puasa sebagai ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH SWT untuk kebaikan, kesenangan dan kekuatan kepada umat Islam, bukan untuk melemahkan dan menyusahkan mereka.
Sebenarnya, dalam majlis ilmu itulah aku bertemu dengan Zira. Penampilannya mencuri perhatianku. Dengan susuk tubuh kecil molek, dia kelihatan sangat anggun berjubah dan berselendang. Namun, lebih kurang sama sahaja dengan kami; berselendang atau bertudung sekadar memenuhi tuntutan menghadiri majlis ilmu. Selepas itu, kain tudung dan selendang disimpan di dalam almari hinggalah majlis ilmu yang berikutnya. Namun aku yakin, suatu hari nanti akan terbuka juga pintu hati. Suatu hari itu, aku tidak pasti bila. Mungkin selepas aku menempuh gerbang perkahwinan. Ya, insya-ALLAH aku akan bertudung litup selepas hari aku diijabkabulkan.
‘Hmm… dengan siapa, ya?’ Aku menyoal soalan yang hatiku sudah tahu jawapannya. Lantaran itu, segera menjelma seraut wajah yang sememangnya selalu bermain di mata.
‘Mir!’ seruku penuh kasih dan rindu.
Wajahnya sudah lama terlukis dalam hati, tenang lagi mendamaikan. Kami saling bertatapan dan berbalas senyuman. Namun, terpaksa aku ‘tinggalkan’ dia seketika apabila perhatianku kembali beralih kepada gadis yang berjubah itu. Dia kelihatan elegan dan sopan.
“Cantik jubah you,” pujiku ketika dia berdiri di sebelahku untuk mengambil minuman. Jubah yang cantik terletak itu mungkin diperbuat daripada kain jenis chiffon. Andaiku sekadar meneka.
“Thanks!” ucapnya dalam senyuman. “I jahit sendiri,” tambahnya dengan ramah.
Terkejut aku mendengarnya kerana tidak menyangka jubah yang cantik itu dijahitnya sendiri.
“Laila… Laila Nabila.” Aku memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Huluran tanganku segera bersambut. “Hazira. Panggil saja Zira.”
“Dari U mana?”
“RMIT… ambil jurusan fesyen,” jawabnya merujuk kepada Royal Melbourne Institute of Technology.
“I di Universiti Melbourne. Ambil Urban Landscape Management, Landscape Design & Construction di Burnley Campus,” maklumku dalam rasa bangga kerana Universiti Melbourne merupakan universiti tertua dan paling berprestij di negeri Victoria.
Lanjutan daripada pertemuan itu, aku ke rumahnya. Memang aku mengagumi daya kreativitinya dalam menghasilkan sesuatu rekaan fesyen. Sama-sama meminati bidang seni, jadi sesekali kami pergi melawat muzium, galeri seni, menonton persembahan teater dan seumpamanya.
Apabila kakaknya berpindah ke Sydney, Zira mempelawa aku tinggal di rumahnya. Aku yang sejak dari mula sampai di Melbourne duduk di kolej penginapan yang disediakan oleh pihak universiti, menyambut pelawaannya kerana ingin mempelbagai pengalaman hidup di rantauan. Kalau tidak dicuba, takkan aku tahu susah dan senangnya.
Apartmen tiga bilik di Flinders Lane yang kami duduki ini milik keluarga Zira. Menurut Zira, bapanya membeli apartmen ini ketika abang sulungnya mula belajar di Melbourne. Kemudian, dia dengan kakaknya pula menyusuli.
Setelah menamatkan pengajian, abangnya balik membantu perniagaan bapanya di Kuala Lumpur. Kakaknya pula bekerja ke Sydney. Lantaran itu, dia mengajak aku tinggal di rumahnya. Kami tinggal berdua sahaja di rumah ini kerana sebuah bilik yang kosong itu Zira khaskan untuk ahli keluarganya yang sesekali datang, terutama pada musim peperiksaan atau cuti panjang.
Kembali aku memandang Zira. Sedari tadi dia memetik gitar tanpa henti. Habis sebuah lagu, bersambung lagu yang lain pula hingga langsung tiada ruang untuk aku mendekati. Aku sangat maklum yang dia menghantar isyarat agar aku biarkan dia sendiri.
Dalam ruang yang seperti sedang dalam perkabungan, aku hilang mood untuk membaca. Lalu buku rujukan yang sedari tadi aku pegang, aku letakkan di atas meja. Aku bersandar sambil memejamkan mata, sementara menunggu suara Zira menampan gegendang telinga. Pada saat-saat begini, Mir yang sering menemani langkah kaki dan hadir dalam mimpi, menjelma di ruang mata sebelum sempat namanya kuseru. Kami saling bertatapan dan tersenyum.
Dengan Mir, aku boleh bercerita apa sahaja, tetapi untuk menyatakan rasa hati, lidahku kelu untuk berkata-kata. Mula-mula aku fikir, renungan sepasang matanya membuatkan hatiku gementar dan tidak keruan rasa. Tetapi rupa-rupanya, ‘berbual’ di alam maya pun jari-jemariku malu untuk menyusun patah kata-kata, sekalipun dalam bentuk berkias-kias. Penyudahnya, rasa kasih hanya mampu berlegar-legar di dalam kepala dan aku nanar sendiri merinduinya.
“Kau dapat apa memendam rasa begini?” Pernah Zira mengajukan soalan itu kepadaku. Mungkin ketara di matanya ada yang tidak lepas dari hati, walaupun aku baru sahaja selesai ‘berbual’ dengan Mir di alam siber.
Aku mempamer riak wajah bahawa tiada apa dapat aku lakukan. Setelah lama saling mengenali, aku fikir, daripada bahasa badan, tutur kata dan kemesraan, mustahil Mir tidak dapat ‘membaca’ rasa hatiku.
“Kalau akulah, dah lama aku cakap pada dia yang aku mencintainya.”
Seraut wajah Zira kutatap dalam senyuman. Aku dengan dia, dua insan dengan cara gaya hidup dan latar belakang yang berbeza. Sejak dari awal remaja dia tinggal di sini, Zira bersikap lebih terbuka. Dia suka berterus terang dalam segala sesuatu dan menganggap dirinya tidak hipokrit dalam soal menyatakan pendirian dan perasaan. Sedangkan aku pula, masih tebal dengan adat ketimuran. Aku suka berselindung, namun amat mengharap agar ‘si dia’ mampu mentafsir lukisan di dalam hatiku.
“Zaman dulu lain… perempuan tunggu jodoh datang ke riba. Sekarang ni keadaan macam dah jadi terbalik… mungkin kerana bilangan perempuan lebih ramai daripada lelaki. Peluang bertemu dengan lelaki yang memenuhi ciri-ciri yang kita suka mungkin hanya datang sekali. Kalau kita tak manfaatkan peluang tu… kita yang rugi. Sekarang ni orang dah tak kisah kalau dianggap seperti perigi mencari timba.” Zira terus menyuarakan pandangannya.
‘Aku kisah,’ jawabku di dalam hati. Aku menunggu isyarat cintanya kerana tidak mahu diriku dianggap seperti perigi mencari timba. Aku malu dan tidak sanggup menjadi pihak pertama yang menggerakkan satu ikatan perhubungan. Aku bimbang kemudian hari apabila timbul sengketa dan hilang kemanisan dalam hidup berumah tangga, hal ini akan diungkit dan dijaja. Walaupun sudah diyakini, namun aku tetap tiada keberanian seperti Zira dalam soal yang satu ini.
“Kalau dia kata, dia anggap aku hanya kawan?”
“Kau katalah yang kau juga anggap begitu…”
“Sama saja… apalah maknanya,” pintasku dalam keluhan.
Tergeleng-geleng kepala Zira. “Bagilah aku habis cakap dulu,” pintanya lambat-lambat dalam nada suara yang tegas, namun riak di wajah penuh simpati dan memahami.
“Okay, okay… sorry.”
“Kalau dia kata macam tu, kau cakaplah… memang pada mulanya kau juga anggap dia hanya kawan, tapi sekarang perasaan kau dah berubah. Rasa sayang tu dah bertukar jadi cinta. Laila, kau harus berani berterus terang. Biar dia tahu yang kau mencintainya.”
“Aku tak tahu di mana nak letak muka kalau jawapan yang dia bagi, bukan jawapan yang aku harapkan.”
“Kemungkinan itu ada, tapi sekurang-kurangnya dia tahu yang kau ada hati pada dia, jadi dia akan beri perhatian. Kalau tak cakap, dia langsung tak tahu.”
“Ah, buat malu saja,” jawabku tanda menolak cadangannya. Bukan setahun, tetapi bertahun-tahun kami saling mengenali, jadi masakan Mir masih tidak dapat membaca perasaan aku. Pandanglah dari sudut mana sekalipun, yang akan dilihat hanya gambar wajahnya. Atau mungkin Mir menanti saat terbaik untuk menyelongkar rasa hatiku, seterusnya melafazkan kata cinta untuk menyatukan hati kami berdua. Saat itu tidak aku tahu bila, tetapi sangat aku nantikan ketibaannya.
“Inilah risiko yang harus kau tanggung, tetapi mungkin lebih baik daripada kau terus memendam rasa. Kalau dia kata cuma kawan, terimalah hakikat tu. Tak ada apa yang nak dimalukan sebab dia pun bukan nampak kau.”
Tentulah maksud Zira, pengakuan itu aku buat melalui ruang siber. Tetapi aku takkan dapat melihat keikhlasannya kalau kami tidak saling berhadapan. Mir boleh memberi apa sahaja jawapan untuk melunakkan hatiku kerana dia terdesak untuk menjaga hubungan persahabatan, sedangkan mungkin dia sudah ada pilihan yang lain.
Sebenarnya, sekalipun menyampaikan rasa hati melalui alam siber dan bukan saling bertentang mata, pun aku tidak sanggup. Buat malu sahaja aku menyulam impian, kalau aku bertepuk sebelah tangan. Hal ini kerana keluarga kami saling mengenali. Apabila balik ke tanah air, kami pasti akan bertemu. Jadi, di mana hendak aku letakkan muka? Tentulah aku tidak terpandang mukanya dek hambatan rasa malu. Lantaran itu, aku rela memendam rasa, biarpun mungkin Zira menganggap bodoh sahaja tindakanku itu.
“Kalau dia tolak, maknanya tak ada jodoh. Tentu ada hikmah di sebaliknya… yang pasti ALLAH menjanjikan orang yang lebih baik daripada dia untuk kau,” tambah Zira sekali gus menyuntik semangat.
Rasa ngeri mencucuk tangkai hati mengenang andai hal itu terjadi. Bukan menidakkan ketetapan ILAHI sejak dari azali, tetapi sekeping hati sudah aku berikan kepadanya. Sekeping penuh dan langsung tidak berbelah bahagi. Mir mengongsi seluruh ruang di dalam hati. Walaupun di rantauan ini aku mempunyai ramai kawan, namun aku sangat menjaga batasan dalam persahabatan demi ‘hubunganku’ dengannya. Kasihku harum mewangi, serinya tidak tercela.
Semoga ALLAH menemukan jodohku dengannya, Mir Shariman bin Ahmad Sufian.
‘Mir!’ seruku di dalam hati.
‘Mir!’ Pada kali kedua aku memanggil namanya, barulah Mir mengangkat muka. Lirikan sepasang matanya merenung lembut penuh kasih dan dua ulas bibirnya mengukir senyuman menggoda. Hatiku menjadi cair setiap kali aku memandang wajahnya.
Agak lama kami saling bertatapan. Aku mengandai, sinar yang terpancar di matanya mengungkap rasa cinta kerana hatiku yang sarat dengan rasa kasih kepadanya sangat mengharapkan begitu. Sekuntum senyuman paling manis aku hadiahkan untuknya. Aku tersenyum-senyum lagi dan hanya tersedar dan kembali ke alam realiti apabila ternampak biasan mukaku di cermin besar di ruang tamu. Hati ditekan rasa malu kerana mungkin lama juga aku dibuai anganan hingga macam orang tidak siuman tersenyum-senyum seorang diri.
‘Astaghfirullahazim!’, ucapku di dalam hati sambil aku meraup muka. Dari sebalik jari-jemari, aku mengintai Zira. Mujurlah dia asyik memetik gitar, kalau tidak tentu melambak ketawanya melihat aku melongo dan tersenyum sendiri.
Aku menghela nafas lega. Seraut wajah Mir tetap tidak lepas dari tubir mata. Aku bukan menyayanginya sahaja, tetapi menyayangi seluruh ahli keluarganya yang sudah aku anggap seperti keluarga aku sendiri. Sebenarnya, kami sudah lama saling mengenali. Dalam hitunganku, hampir sepuluh tahun, iaitu sejak kami di sekolah rendah hinggalah kini masing-masing sedang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.
Aku dengan dia… Seraut wajah Mir yang hadir dalam bayangan segera bubar apabila telingaku tidak lagi mendengar bunyi petikan gitar.
‘Okeylah, nanti akan aku ceritakan lagi tentang dia!’ janjiku dalam hati yang berat kerana terpaksa melepaskan bayangan wajahnya pergi untuk seketika.
Sepasang mataku mengikut pergerakan Zira. Setelah meletakkan gitar, dia duduk bersandar di sofa. Matanya dipejam rapat. Lama hingga dia seakan-akan sudah terlena.
“Arghh!!” Tiba-tiba keluhannya memecah sepi.
Aku pura-pura terkejut, meskipun sebenarnya aku sudah menjangka reaksi-reaksi yang bakal dipamer untuk melepaskan tekanan emosi dan kesedihan; sama ada dia akan mengeluh, menjerit, menekup muka sambil menangis atau mungkin juga dia akan tertawa.
Ya, ketawa! Memang ada orang ketawa apabila hatinya dilanda rasa kecewa. Tetapi bagi aku, ketawa pada ketika hati sedang berduka lara tidak lebih daripada hendak menunjukkan bahawa sekalipun putus ikatan kasih, perpisahan itu langsung tidak menjejaskan kualiti hidupnya.
Mustahil! Takkanlah perpisahan itu langsung tidak meninggalkan kesan di dalam hati? Memanglah hidup tidak berakhir apabila kecewa dalam bercinta, tetapi aku meletakkan ketawa dalam senarai teratas reaksi paling hipokrit yang dipamerkan oleh seseorang ketika hati dilanda duka nestapa.
“Bunyi keluhan tu macam belum lepas rasa yang menekan di jiwa,” ulasku. Sebenarnya tidak perlu aku membuat intro untuk meneroka punca kerana aku tahu Zira pasti akan bercerita. Tetapi sebaris ayat itu perlu sebagai tanda aku mengambil berat tentang dirinya.
Tidaklah aku biarkan sahaja dia menanggung kesedihan seorang diri.
“Memang!” Polos nada suaranya mengiakan. Rasa hati langsung tidak diselindung.
“Ceritalah, mungkin aku boleh tolong,” kataku walaupun aku sendiri tidak pasti bentuk pertolongan yang dapat aku berikan. Namun, kalau mengambil contoh diri sendiri dalam menghadapi situasi begini, tentulah yang aku harap ialah sokongan moral agar hati yang jatuh terduduk kerana kecewa mampu bangkit kembali.
“Aku tak mahu fikir tentang dia lagi!” Nada suaranya keras dan tegas mengisytihar yang dia tidak mahu memikir soal itu lagi. Muktamad!
‘Benarlah mereka sudah berpatah arang, berkerat rotan’ rumusku sendiri.
“Mengapa?” Aku cuba menyelongkar kerana hati tidak sabar hendak mengetahui punca.
“Aku tiba-tiba tak faham dia.”
Melongo aku memandang Zira. Bertahun-tahun dia dengan Amzan saling mengenali dan merancang itu dan ini, tiba-tiba persoalan ini timbul. Seterusnya tentulah mengubah segala yang direncana. Wah, gawat ni!
“Jom kita keluar!” ajak Zira seraya bangun. Sepotong pernyataanya sebentar tadi, dibiarkan tanpa penjelasan.
Aku yang sedang menunggu sambil memikir ‘nasib’ hubungan mereka, spontan ikut bangun. “Kita nak ke mana?”
“Jalan-jalan. Ah, kat mana-mana sajalah!” jawab Zira dalam nada bosan.
Aku tidak mengambil hati kerana sedar dia seperti sudah kehilangan jiwa. Badan pun mungkin lesu tidak bermaya kerana dia kurang tidur dan banyak berjaga. Lantaran itu dia sukar mengawal emosi. Aku merumus begini berdasarkan gelang berwarna kehitaman di bawah matanya.
“Ayuh, kita keluar!” jeritku dalam nada ceria.
Kalau dibiar hatiku juga dibungkus nestapa dek kerana melimpah ruah rasa simpatiku terhadapnya, kelak berpanjangan episod duka di dalam rumah ini. Lebih baik kami bersiar-siar di taman sambil menghirup udara segar. Angin dingin di luar tentu menyejukkan hatinya.
****
DARI apartmen yang terletak berdekatan dengan Flinder Street Station, iaitu stesen kereta api utama dalam jaringan kereta api intrabandar yang menjadi mercu tanda Melbourne, kami terus menyusuri laluan pejalan kaki berdekatan Sungai Yarra yang terletak di sebelah stesen itu.
Perjalanan yang diisi sepi kerana seawal melangkah keluar dari rumah tadi, aku sudah berjanji kepada diri yang aku tidak akan membuka mulut untuk bertanya hal yang telah terjadi. Lantaran itu, apabila Zira diam, aku tidak memaksa dia bercerita. Untuk setakat ini, aku mengandai yang hubungan mereka sudah hancur. Janji Amzan untuk menetap di sini selepas mereka berkahwin juga sudah berkubur. Masing-masing akan membawa haluan sendiri.
Mengenangkannya, hatiku berasa terkilan. Betapa tidak, bagiku gandingan kedua-duanya sangat sepadan. Bak kata orang, bagai pinang dibelah dua. Tetapi kalau sudah takdir menentukan antara mereka tiada jodoh, tidak bertemulah titik noktah paling bahagia, walaupun selama ini hati sangat mengharap dan ternanti-nanti detik itu tiba.
Sesungguhnya tiada siapa dapat melawan kuasa ALLAH. Namun segala yang terjadi tentulah ada rahmat dan hikmah di sebaliknya. Zira tentu lebih arif kerana dia pernah menasihatiku. Jadi, aku mengingatkan diri agar tidak memulangkan kata-kata itu kepadanya.
Akhirnya kami duduk di bawah rimbunan pohon di tebing Sungai Yarra. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Aku mengunci mulut apabila Zira tertunduk sambil memeluk lutut. Tidak aku menggesa dia bercerita. Biarlah hatinya tenang dahulu. Setenang air sungai yang mengalir. Aku yakin, pemandangan yang terhampar di hadapan mata mampu menghantar sedikit ketenangan ke dalam jiwanya.
“Agaknya Amzan tengah sibuk berkemas.”
Sebaris ayat itu memang mencuri seluruh perhatianku, namun rasa ingin tahu yang melonjak-lonjak di dalam hati aku tindih agar tidak sampai terlukis di riak wajah.
“Lusa dia akan balik ke Malaysia.”
“Bercuti?”
“Balik untuk selama-lamanya!”
Walaupun aku sudah menjangka akan hal ini, tetapi aku tidak mampu menyembunyi reaksi. Betapa tidak, baru beberapa bulan yang lepas aku mendengar perancangan mereka, tetapi kini tiba-tiba sudah berubah. Perubahannya pula sangat drastik. Berputar 360 darjah!
Aku menghimpun ketenangan dari segenap penjuru untuk meredakan rasa yang menggoncang dada. “Lusa…” ulangku dalam nada sangat memahami hal yang terjadi. Tiba-tiba aku terfikir kemungkinan aku boleh bertemu dengan Amzan di Kuala Lumpur. Aku akan memujuknya supaya memikirkan kembali keputusannya memutuskan hubungan dengan Zira.
“Aku tak sangka, rupa-rupanya pada zaman siber dan dunia tanpa sempadan ni, masih ada lelaki yang walaupun umurnya sudah 24 tahun, masih patuh cakap ibu bapanya dalam soal memilih jodoh,” kisah Zira dalam nada suara yang berbaur curiga, sinis dan tidak percaya.
“Dia akan kahwin dengan gadis pilihan orang tua dia?” tanyaku sekali gus merumus.
Zira mengangguk dalam keluhan. “Amzan cakap dia tak nak, tapi dia tak sampai hati nak kecewakan harapan mereka.”
Hampir hendak ‘termuntah’ aku mendengar alasan itu. Sepatutnya Amzan beri alasan yang lebih kukuh dan meyakinkan kerana soal ini melibatkan hati dan perasaan. Bukan alasan rapuh yang mudah dipatah-patahkan. Sebaiknya, jadilah seorang lelaki yang berani mengakui hal yang sebenar, bukannya berselindung di sebalik orang lain untuk melepaskan diri.
“Persoalannya sekarang, mengapa masa mula-mula kawan dengan aku dulu, dia tak cakap pasal tu? Dia yang beria-ia nak kami serius. Tak pernah pun dia cakap yang ibu bapanya akan carikan calon isteri untuk dia.”
“Jawapannya mudah. Kalau dia cakap, kau mungkin tak nak kawan dengan dia.”
“Mengapa tidak? Aku kan kawan dengan semua orang?”
Aku tertawa sinis kerana meragui jawapan yang diberi. Agaknya Zira lupa yang dia pernah bercerita tentang kisah cintanya dengan Amzan. Lelaki berkumis itu mencuri hatinya seawal pertemuan pertama.
“Memang kau kawan dengan semua orang, tapi pada Amzan seorang, kau berikan cinta.”
Terketar-ketar bibirnya sebelum Zira meraup muka. Lama. Aku tahu dia mengambil kesempatan menyeka si air mata kerana kalau dibiarkan, tentulah titis dan menitis lagi, sedangkan mungkin dia sedar tidak berbaloi dia menangisi.
“Ya, pada dia seorang aku berikan cinta, tapi apa yang aku dapat? Sia-sia dan buang masa saja!”
“Aku yakin Amzan tak bermaksud begitu. Aku tahu dia sungguh-sungguh dan ikhlas mencintai kau, tapi mungkin dia terpaksa ikut cakap orang tua dia.”
“Kalau dah tahu orang tua akan carikan calon isteri untuk dia, buat apa dia kawan dengan aku!” bentak Zira. Bulat mencerlang bola matanya seolah-olah dia seperti seekor naga yang hendak menelan mangsa. Aku terkedu. Dia melampias amarah seolah-olah aku yang bersalah.
“Berulang-ulang kali Amzan kata dia sayang pada aku, tapi dia terpaksa ikut pilihan ibunya kerana tak mahu dianggap sebagai anak yang tak tahu mengenang budi. Katanya lagi, orang tua lebih dulu makan garam, jadi pilihan mereka selalunya tepat kerana termasuk dikaji latar belakang dan keturunan,” tambah Zira.
“Amzan cakap macam tu?” tanyaku tidak percaya. Mustahil Amzan bersikap sekejam itu. Sudahlah diputuskan hubungan, kemudian ditambah ‘garam’ di atas luka cinta yang dalam.
Zira mengangguk lesu.
Tergeleng-geleng kepalaku tanda kesal. Sekalipun orang tuanya berhujah begitu, tidak perlulah hal itu dimaklumkan kepada Zira. Hatinya sudah cukup terluka, usahlah disiram lagi dengan ‘racun’ berbisa.
“Keturunan aku juga orang baik-baik,” kata Zira. Nada suaranya yang lirih meruntun jiwa.
“Aku tahu,” balasku dalam suara yang perlahan untuk mengurung sendu.
“Sejak awal lagi aku dapat rasakan antara kami ada chemistry. Bila dia kata nak serius, akulah orang yang paling bahagia di atas muka bumi ini. Aku rasa macam bulan jatuh ke riba. Bagi aku, dia yang terbaik antara semua yang aku kenal. Aku memang bodoh kerana tak sedar selama ni dia hanya bersandiwara. Lelaki tak guna! Penipu!” seranah Zira di penghujung ayat.
Sejenak aku kelam minda dan kehilangan patah kata-kata untuk kususun menjadi ayat bagi memujuknya. “Mungkin ada hal lain yang berlaku… atau mungkin juga dia cuma bergurau untuk uji sedalam mana cinta kau pada dia?” Entah macam mana aku boleh terfikir akan kemungkinan ini. Idea yang tiba-tiba muncul, aku lontarkan sahaja.
Zira mendengus. “Banyak lagi perkara lain yang boleh dijadikan gurauan. Tapi, adakah kau fikir, apabila Amzan kata dia tak dapat bersama aku untuk teruskan rancangan buka butik di sini, satu gurauan? Apabila Amzan kata, dia terpaksa terima gadis pilihan keluarga dia, pun satu gurauan?”
‘Tentulah bukan,’ jawab hatiku seiring gelengan kepala. Sementelah diandai yang Amzan sedang berkemas untuk pulang ke tanah air, jadi kemungkinan besar dia tidak akan kembali ke sini lagi.
Seluas-luas ruang aku beri kepada Zira untuk mencurah apa yang terbuku di dalam hati. Sesekali aku mencelah kerana tidak mahu mengganggu momentumnya. Selebihnya dalam banyak waktu aku hanya mengangguk dan menggumam sahaja.
“Aku ni tak cantik ke?” tanya Zira. Hingga ke soal itu difikirkannya juga.
“Cantik!” jawabku tidak bertangguh. Bukan kerana aku hendak memujuk hatinya, tetapi hakikatnya begitu.
“Alah, kau saja nak buat aku happy!”
“Kau dah hilang keyakinan diri. Zira yang aku kenal bukan begini sifatnya. Dia seorang yang ceria…”
“Bagaimana aku nak ceria kalau sebahagian yang selama ni melengkapi hidup aku dah tak ada lagi?” pintas Zira.
Aku harus mengerti. Kesan luka cinta yang dalam, masakan akan sembuh dalam masa sehari. Sekalipun ingin memprovokasi agar dia tidak terus membiarkan diri dirantai kesedihan, tetapi aku tidak mungkin dapat memaksa dia bergembira dan mempamer riak wajah ceria pada ketika hatinya sedang berduka.
Aku melarikan pandangan daripada mukanya yang sayu. “Kau pernah nasihat pada aku tentang soal jodoh bila aku cerita tentang Mir. Sama seperti kau, aku juga sangat yakin kepada ketentuan-NYA. Moga ALLAH menemukan kau dengan orang yang lebih baik daripada dia,” doaku sambil mendongak ke langit.
“Amin!”
Cepat-cepat aku menoleh ke sebelah. Zira sedang meraup muka setelah dia mengaminkan doa. Sesaat dua aku menunggu. Lurutan jari-jemari hingga ke dagu, menyerlahkan seraut wajahnya yang kelihatan lebih tenang. Hujung bibirnya sudah mampu mengukir senyuman.
‘Alhamdulillah,’ ucapku memanjat kesyukuran ke hadrat ILAHI.
“Tapi aku tetap mahu Amzan!”
Lontaran suara Zira sangat mengejutkan. Sangkaku dia sudah tenang, tetapi rupa-rupanya dia masih belum dapat menerima kenyataan. Dia membentak seperti anak kecil.
Baru aku sedar, dia berpura-pura bereaksi ceria untuk melegakan perasaanku, sedangkan di dasar hatinya tetap bergelora. Sesungguhnya bukan mudah dia hendak melupakan Amzan. Dengan lelaki itu dia membina harapan masa hadapan. Apabila kasih tidak kesampaian dan impian punah di tengah jalan, tentulah hatinya panasaran. Hakikat inilah yang seharusnya aku fahami.
“Apa yang boleh aku buat untuk membantu?” soalku kepada diri, namun suara tetap terlontar keluar.
“Bantulah aku untuk lupakan dia,” rayu Zira.
Terlopong mulutku mendengar permintaannya. Kalaulah aku mempunyai magis, takkan aku biarkan dia diganggu ilusi dan bayangan wajah Amzan. Kenangan lalu biar larut terus dari ingatannya. “Lambat-laun kau akan lupa,” pujukku yang tidak mampu hendak berbuat apa-apa agar Amzan terhakis dari hati dan fikirannya.
“Sampai bila-bila aku takkan dapat lupakan dia.”
“Aku tahu susah kau nak lupa… err…”
“Aku takkan lupa!” pintas Zira.
Aku mengetap bibir untuk menahan rasa terkejut dengan reaksinya. Dalam keadaan fikiran yang sedang kacau dan bercelaru, aku tidak berasa tersinggung dengan reaksinya yang tidak aku duga.
“Ya, kau tak mungkin akan lupa pada dia,” kataku tanda akur dengan suara hatinya. Kalaulah aku di tempatnya, tentu aku juga berasa tertekan dan nanar perasaan. Alangkah baik kalau perpisahan itu tidak terjadi. Tetapi mungkin belum muktamad keputusan yang Amzan buat. Mungkin Zira tersalah tafsir dan terburu-buru merumus, sedangkan Amzan tidak bermaksud menoktahkan hubungan.
“Biar aku jumpa dan bercakap dengan dia!” kataku sambil memetik jari seolah-olah aku membawa sinar harapan bahagia buat Zira yang sudah tenggelam punca.
Namun Zira tidak segera menyambut cadanganku. Lama juga dia membisu dengan gaya sedang berfikir dalam-dalam. Akhirnya barulah dia bersuara. “Untuk apa?”
“Supaya dia tarik balik keputusan dia!” jawabku tidak bertangguh. Persis kalau lewat sesaat dua aku lontarkan, lain pula jawapan yang menjelma.
Tergeleng-geleng kepala Zira. “Aku ada maruah dan harga diri. Kalau ibunya dah carikan calon isteri untuk dia… hadirnya aku di sisi Amzan nanti sebagai apa? Isteri kedua? Dahlah begitu, aku bukan menantu pilihan… pasti nanti hidup aku terpanggang di atas bara.”
Kiranya hal itu sudah Zira fikir dengan sedalam-dalamnya. Buruk dan baik dikaji daripada segenap sudut. Kalau menjadi menantu pilihan, diri disayang bagai menatang minyak yang penuh. Kalau sebaliknya, jiwa sengsara. Tertekan emosi hingga mungkin boleh menjadi gila.
“Macam-macam yang Amzan janji… termasuklah nak sama-sama buka butik kat sini.”
Aku mengangguk kerana memang aku tahu perancangan mereka. Almaklum saling mencintai, maka pelbagai perkara mereka rencana. Tetapi kini, semuanya sudah hangus terbakar. ‘Apa ada pada janji? Sekadar ungkapan pemanis kata yang dicipta untuk dimungkiri,’ sambungku di dalam hati.
“Minggu depan aku dah nak balik, aku risau kau tinggal sorang-sorang kat sini.” Setakat itu sahaja aku lahirkan, walaupun sebenarnya aku berasa sangat bimbang meninggalkan dia seorang. Doaku janganlah sampai tekanan perasaan menyasarkan langkahnya daripada landasan iman.
“Risau pasal apa?”
“Err…” Aku gugup. Tidak wajar aku berfikir sampai sejauh itu. Walaupun Zira berperangai gila-gila, tetapi setahu aku solatnya cukup lima waktu sehari semalam. Pegangan agamanya kukuh. Meskipun ALLAH menguji ketabahannya, tetapi tentulah dipelihara keimanan dan ketakwaan.
“Laila, aku tahu apa yang kau fikir. Kau jangan risau, aku takkan buat benda yang bukan-bukan Aku tahu hukum agama. Takkan aku ambil jalan sesat, sekalipun aku rasa kehidupan ini sangat tak adil untuk aku.”
Kata-katanya menghantar rasa lega di dalam hatiku. Sebentar tadi aku sudah terfikir untuk membatalkan rancangan yang sudah diatur untuk menemaninya di sini.
“Takkan aku biarkan rasa sedih ini duduk lama-lama dalam hati aku. Walaupun bagi aku, dia lelaki terbaik yang aku impi untuk menjadi suami aku, tapi kalau TUHAN dah suratkan dia bukan jodohku, aku pasrah. Tentu dah dijanji lelaki yang lebih baik sebagai pengganti.”
“Mungkin juga dia sedang memerhati kau sekarang ni,” sambutku bercanda untuk menyegarkan kembali hatinya.
“Tidak dalam waktu yang terdekat ini. Tunggulah sampai luka di hatiku benar-benar sembuh. Oh ya, kau jadi pergi Turki?” Zira menukar topik bicara.
“Insya-ALLAH.”
“Dia pun pergi sama?”
“Hmm…”
Zira memejamkan mata. Reaksinya mengundang rasa tertanya-tanya di dalam hatiku.
“Aku cuba membayangkan apa yang akan berlaku.”
“Apa?” soalku pura-pura tidak faham, sedangkan sebenarnya di dalam hati hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa nanar perasaan. Mengharap ikatan cinta antara Laila Nabila dan Mir Shariman menjadi kenyataan.
“Noktahkan penantian kau selama ini. Aku menanti khabar gembira.”
“Doakan segalanya berjalan seperti yang aku harapkan,” pintaku penuh mengharap.
“Moga bertemu jodoh kau dengan dia… dan berkekalan hingga ke akhir hayat,” doa Zira. Dia mengaminkan doa sambil meraup kedua-dua belah telapak tangan ke muka.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81593/Cinta-Yang-Ku-Rasa