[SNEAK PEEK] Cinta Untuk Nurain

Cinta Untuk Nurain oleh Ayuna Asma

“AUNTY! Aunty!” Kayla menjerit bagaikan orang gila.

Puan Salima dan Encik Ammar yang sedang duduk berehat sambil menonton televisyen segera berlari keluar tatkala mendengar bunyi riuh dari luar rumah mereka.

“Eh, Kayla! Kenapa kelam-kabut sangat ni?” Puan Salima terkejut melihat kehadiran Kayla ke rumahnya. Dia sangka selepas dia memaklumkan kepada Kayla bahawa dia akan menerima siapa sahaja pilihan Umar, Kayla akan membencinya dan takkan datang ke rumahnya lagi.

“Aunty… Aunty… Aunty kena tolong Kayla, aunty.” Kayla segera memeluk erat Puan Salima. Wajah Kayla tampak begitu cemas.

“Kenapa ni, Kayla? Cuba cerita dekat aunty apa yang dah jadi sebenarnya?” Gusar Puan Salima melihat telatah anak buahnya nan seorang itu.

Kayla melepaskan pelukan Puan Salima. Dia laju melangkah masuk ke dalam rumah seperti orang yang sedang ketakutan. Pening Encik Ammar dan Puan Salima melihat perangai Kayla itu.

“Kamu kenapa, Kayla?” Encik Ammar pula bertanya selepas melihat Kayla mundar-mandir di ruang tamu rumah mereka.

Kayla langsung tidak mempedulikan pertanyaan Encik Ammar dan Puan Salima. Sebaliknya dia asyik mundar-mandir di ruang tamu dengan wajah yang ketakutan. Sesekali dia menggigit bibir.

“Kayla.” Puan Salima memegang lembut bahu Kayla. “Kenapa ni, sayang? Cuba cerita dekat aunty,” bicara Puan Salima lembut. Encik Ammar duduk di atas sofa sambil memerhatikan perlakuan pelik Kayla itu.

Langkah Kayla terhenti. Tajam matanya merenung Puan Salima sehingga menimbulkan rasa takut dalam hati Puan Salima. Dia berundur setapak ke belakang. Menjarakkan dirinya dengan Kayla.

Agak lama berdiam begitu, Kayla akhirnya bersuara. “Aunty… Aunty tolong belikan Kayla flight ticket to London for tonight. One way flight.” Kayla kelihatan terdesak.

“What? London? Tonight? Kayla nak buat apa kat sana?” Puan Salima terkejut.

“Please aunty. Aunty kena tolong Kayla.” Kayla seakan-akan ingin menangis.

Encik Ammar yang sekadar menjadi pemerhati mula meragui situasi Kayla yang kelihatan begitu terdesak itu.

“Kayla, did you do something nonsense?” Encik Ammar memandang Kayla. Penuh curiga.

Kayla menoleh Encik Ammar sekilas. “Can you just shut your mouth, old man! I’m not asking you!” Mencerlung anak mata Kayla menjeling Encik Ammar.

“Kayla! Kenapa biadab sangat dengan uncle?!” Puan Salima terkejut melihat reaksi Kayla terhadap suaminya. Nyata dia kecewa dengan sikap Kayla yang diagungkannya selama ini.

“Kayla mintak tolong dengan aunty, bukan dengan dia. So, why he bother?” Kayla mendengus kasar.

“Kayla… Kayla… Uncle tak tahu kenapa uncle rasa suspicious sangat dengan kamu. Dan entah kenapa uncle rasa kamu sekarang berada dalam masalah besar. Sebab tu kamu datang sini nak mintak tolong dengan aunty kamu. But you have to know something. Uncle tak izinkan aunty untuk bantu kamu walau sesen pun.” Encik Ammar ketawa mengejek.

“You!!!” Kayla bengang mendengar kata-kata Encik Ammar itu. Dia menuding jari telunjuknya ke arah Encik Ammar.

“Kayla! Enough!” Puan Salima mula hilang sabar melihat sikap Kayla yang begitu biadab terhadap suaminya.

“Sal! Naik bilik sekarang! Mulai hari ini, abang tak izinkan kamu untuk bercakap, melayan, membantu atau ada apa sahaja hubungan dengan budak ni!” tegas suara Encik Ammar. Dia menggunakan segala kuasa vetonya sebagai seorang suami.

“Kayla! Kayla! Kayla!” Kedengaran suara bising memanggil Kayla dari luar rumah Encik Ammar dan Puan Salima.

Tiba-tiba Puan Sarina dan Encik Emir meluru masuk ke dalam rumah Encik Ammar dan Puan Salima. Kaget sebentar tuan rumah tatkala melihat pasangan suami isteri itu berlari menyerbu masuk ke rumah mereka. Baru sebentar tadi anak mereka berbuat demikian, kini giliran mummy dan daddynya pula.

“Kayla… Apa Kayla dah buat, sayang?” Puan Sarina berlari ke arah Kayla lantas memeluknya.

Encik Ammar dan Puan Salima terpinga-pinga melihat drama itu. Bertambah hairan mereka melihat kelakuan pasangan suami isteri itu.

Panggg!!! Tapak tangan Encik Emir melekat di pipi gebu Kayla. Kayla jatuh tersungkur di sofa. Semua yang berada di situ terkejut melihat tindakan drastik Encik Emir.

“Ini balasan kau pada aku selama ni? Ini ke?” Encik Emir kelihatan begitu marah. Kayla yang jatuh ke atas sofa hanya ketawa sambil memegang pipinya yang terasa perit.

Laju Encik Ammar memeluk Encik Emir. Bimbang akan dibunuhnya Kayla. Dia tidak mahu berlaku tragedi berdarah di rumahnya.

Puan Sarina terus memeluk Kayla. Dia cuba memujuk anaknya itu. “Sudah! Lepaskan aku!” jerit Kayla.

“Apa semua ni? Apa yang terjadi ni?” tanya Puan Salima. Dia benar-benar bingung melihat drama itu.

“Hahaha…” Kayla ketawa kuat. “Aunty tak tahu ke?” sambung Kayla lagi.

“Apa yang Kayla dah buat?” Puan Salima terkejut melihat reaksi Kayla itu. Nyata Kayla di depan matanya sekarang bukanlah Kayla yang dikenali selama ini.

“Aku nak bunuh perempuan tu!!! Tapi kenapa tiba-tiba lelaki tu datang?!” jerit Kayla sekuatnya. “Kenapa?!!” Kayla menjerit bagai orang gila.

Puan Salima terkejut. “Astaghfirullahalazim…” Puan Salima menekup mulut. “Apa kamu dah buat, Kayla?” Puan Salima menangis. Dia terduduk di atas sofa. Encik Ammar turut sama terduduk. Begitu dengan Encik Emir. Puan Sarina hanya mampu menangis dari mula tiba ke rumah itu.

“Kalau perempuan tu mati, baru puas hati aku!” Kayla menjerit kemudian ketawa sekuat hati.

“Assalamualaikum…” Ada suara memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikumussalam…” Terkocoh-kocoh Encik Ammar bangun untuk melihat gerangan di luar rumah.

“Maafkan saya, encik. Ini rumah Puan Salima, ibu saudara kepada Cik Kayla?” tanya seorang lelaki yang berpakaian seragam polis.

“Ya, tuan. Salima itu isteri saya dan Kayla tu anak buah isteri saya,” jawab Encik Ammar lembut.

“Menurut bapa Cik Kayla, Cik Kayla ada di sini. Betul ke?” tanya pegawai polis itu lembut.

“Ya, betul. Dia ada di dalam. Tuan masuklah,” pelawa Encik Ammar.

“Terima kasih, encik,” balas pegawai polis itu sambil masuk ke dalam rumah membuntuti Encik Ammar.

“What?” Kayla terkejut tatkala melihat tiga orang pegawai polis berjalan masuk ke ruang tamu. Kayla bangun dari duduknya. Wajahnya berubah pucat.

“Sampai hati aunty dengan uncle khianat Kayla. Sampai hati!” Kayla mula menangis. Dengan pantas tangannya digari.

“Aunty kejam!” Kayla menjerit memarahi Puan Salima. “Kejam!”

Puan Salima hanya mampu menangis melihat Kayla terjerit-jerit sambil tangan digari oleh pegawai polis.

Encik Emir bangun dari sofa. Dia berjalan mendekati Kayla. “Tak, Kayla. Bukan aunty mahupun uncle kamu yang khianati kamu. Daddy yang khianati kamu. Daddy yang hubungi pihak polis dan menyatakan bahawa kamu berada di sini,” jelas Encik Emir perlahan. Ternyata ada riak kesal di wajahnya.

“What?” Kayla bertambah terkejut. “Sampai hati daddy buat anak daddy sendiri macam ni?” Kayla menangis semahunya.

“Encik… Bawak dia pergi.” Perlahan Encik Emir ucapkan kata-kata itu. Jatuh air mata lelakinya. Namun Kayla perlu bertanggungjawab atas perbuatannya.

Kayla dibawa pergi. Puan Sarina meraung sambil memeluk kakaknya. Encik Emir terduduk. Encik Ammar menghantar pemergian Kayla dan pegawai polis ke muka pintu rumah. Kayla pula masih lagi menjerit memanggil daddy dan mummynya sambil meronta-ronta.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338149/Cinta-Untuk-Nurain