[SNEAK PEEK] Cinta Musim Corona

Cinta Musim Corona oleh Aein Dhiyauddin

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar…

BARING di sofa sambil menonton TV. Hari Raya Aidilfitri paling hambar dalam hidupnya. Pagi tadi solat sunat Aidilfitri berimamkan atuknya. Nampaknya Aidilfitri tahun ini hanya dihabiskan dengan menonton TV.

“Bosan!”

“Pergilah beraya rumah bakal mentua.” Pak Hasan merampas alat kawalan jauh dari tangan cucunya.

“Ada orang berisiko tinggi. Mana boleh keluar sesuka hati. Kita tak tau kalau-kalau kena jangkit Covid kat mana-mana. Bukan kita nampak Covid tu.”

“Kalau nak mati tu, mati jugak. Covid atau tak Covid pun.”

Sambil merengus Nadia bangkit.

“Nak pergi beli aiskrimlah. Atuk nak aiskrim?”

“Keluar beraya rumah bakal mentua tak nak. Pergi beli aiskrim laju pulak.” Pak Hasan menempelak cucunya.

“Baby tanya nak aiskrim atau tak. Bukan suruh atuk bebel.” Tudung yang diletakkan pada kepala sofa diambil lalu disarungkan ke kepala. Tudung dan baju kurung pemberian sang tunang yang tak terchenta pun.

“Atuk macam biasa, aiskrim vanila.”

Nadia mengambil mask dari kotak dan pakai. Langkah diayun keluar dari rumah. Sempat lagi dia menoleh ke sebelah. Apa agaknya Safiya buat. Entah-entah sedang menternak badan di hadapan televisyen.

“Darling, nak ikut tak? Baby nak beli aiskrim.”

“Meow.” Darling pura-pura pejamkan mata.

“Huh. Tak nak kawan.” Pintu pagar ditolak dan Nadia terus keluar. Seperti biasa, kawasan perumahan mereka senyap sunyi sahaja. Tidak seperti kebiasaan berhari raya. Tiada kunjung-mengunjung.

Langkah diatur perlahan menuju ke kedai. Entah kenapa, dia tiba-tiba teringatkan Tuan Hairee. Sudah lama dia tidak melihat kelibat abang askar itu. Rindu pula. Semakin dekat dengan hari pernikahannya, semakin dia rindukan lelaki itu. Nampaknya dia terpaksa menelan kata-katanya dahulu.

“Baby… lawa baby hari ni.”

Rasanya dia sudah cukup kenal suara itu. Malas hendak menoleh, Nadia selamba menonong. Dia rindu orang lain, tapi orang lain pula muncul. Orang yang dia tidak suka pula tu!

“Amboi ,sombongnya dia!”

Nadia kalah.

“Jangan kacau tunang orang, boleh tak?”

“Bukannya saya nak mengurat awak atau goda awak sampai putus tunang. Saya ajak berbual saja.”

Nadia berhenti melangkah.

“Maaflah, saya tak minat nak berbual dengan tuan. Lagipun tuan pun tahu kan, musim Corona ni mana boleh borak-borak.” Nadia menyambung langkah.

“Baby… sekejap.”

Sekali lagi Nadia menoleh.

“Jom ambik gambar sebelum awak jadi isteri orang.” Daniel mengangkat telefonnya tinggi. Sempat dia mengambil gambar Nadia sebelum gadis itu menoleh.

“Inilah yang buat saya benci awak. Huh!” Nadia menyambung langkah dengan mulut mengomel.

“Jangan benci… nanti berjodoh.”

“Saya dah ada tunanglah. Takkan berjodoh dengan awak.” Nadia membalas sakit hati. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Hutangnya tempoh hari belum dibayar. Terus dia menoleh. Malangnya kelibat Daniel sudah hilang.

“Kenapa awak suka buat saya sakit hati abam polis? Kan saya dah lupa hutang saya.” Dengan berat hati dia menyambung langkah ke kedai runcit kak cik.

Selepas membeli aiskrim, Nadia kembali ke rumahnya. Sepanjang perjalanan balik dia berdoa agar bertemu dengan Daniel. Mahu membayar hutangnya. Kebetulan memang dia ada duit tunai hari ini.

Kepala ditolehkan ke kiri dan kanan mencari kelibat Daniel. Terbit keluhan.

“Macam mana aku nak bayar hutang dia ni?”

“Kamu pergi mana ni baby?” Puan Zaleha menunggu di depan pintu.

Cepat-cepat Nadia masuk dan menghampiri emaknya.

“Mak cari baby ke?”

“Iskandar hantar baju nikah. Baru saja balik. Dia nak jumpa baby tadi.”

“Ohh…” Nadia tidak bersemangat. Iskandar memang sengaja tidak mahu jumpa dia agaknya. Tak boleh ke hantar pesanan WhatsApp kata nak datang? Bukan susah pun. Malas hendak taip, boleh guna voice call.

“Masuk dalam. Cuba baju nikah tu.”

Akur dengan arahan emaknya, Nadia cepat-cepat masuk. Aiskrim disimpan ke dalam peti ais dahulu. Selepas mencuba, baju barulah dia akan makan.

“Cantik. Manalah dia tempah agaknya ni? Musim Corona ni ada ke tailor buka?” Puan Zaleha membelek baju nikah puterinya.

“Beli onlinelah, mak.” Nadia mengambil baju daripada emaknya. Terus dia membawa masuk ke biliknya. Baju raya ditanggalkan dan baju nikah tadi disarungkan ke tubuh. Seketika dia berdiri di hadapan cermin. Rasa tidak percaya pula yang dia akan bernikah tidak lama lagi.

“Meow.”

“Baby tahu baby lawa. Tak payah nak puji.” Dia membelek penampilannya. Pandai Iskandar pilih baju. Memang dari awal bakal suaminya itu beritahu yang semuanya akan disediakan termasuk baju nikah. Mujur juga semua yang Iskandar beli kena dengan cita rasanya.

Itulah untungnya bertunang dengan Iskandar. Semua bakal suaminya sediakan. Tidak seronoknya, Iskandar bagaikan main sorok-sorok dengan dia. Datang semasa dia tidur atau semasa dia tiada di rumah.

Tudung dipakaikan ke kepala. Setelah puas hati dengan penampilannya, dia mengambil telefon untuk mengambil gambar. Untuk hantar report kepada Iskandar.

📤 Cantik baju nikah awak beli.

Selepas gambar dihantar, dia mencampakkan telefon ke atas katil. Sudah hampir petang. Mahu menukar pakaian. Baju kurung putih tadi berganti dengan baju-T dan juga seluar pendek. Malas hendak menyarungkan kembali baju raya.

Telefonnya bergegar. Terus dicapai dan dibuka kekunci. Aplikasi WhatsApp dibuka. Ada satu pesanan. Bulat matanya melihat pesanan daripada Iskandar. Terus dibuka.

📥 Tak sabar nak tunggu hari nikah kita. Tak sabar nak bersatu dengan sunshine.

Nadia kerut dahi. Sunshine?

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;

https://www.e-sentral.com/book/info/338386/Cinta-Musim-Corona