“Raysha dah setuju,” kata-kata pendek dari mummy itu membuatkan kaki Danny yang baru melangkah masuk ke rumah terhenti. Baru saja dia nak menapak ke tingkat atas, ke biliknya. Tiba-tiba saja mummy bawa berita ini. Yang Raysha pun sama, pergi setuju buat apa? Sendiri pernah cakap tak ada perasaan cinta walau sekelumit untuk dia. Tapi bila papanya usulkan saja cadangan tak masuk akal ini, tak pula dia menolak.
“Raysha anak yang baik. Patuh pada ibu bapa. Danny jangan salahkan dia. Dulu Danny pun macam Raysha, tak pernah bantah cakap mummy. Tapi sejak Danny kenal perempuan tu, mummy macam dah tak kenal anak sendiri,” jawab Datin Mala bagaikan tau-tau saja Danny sedang merungut pasal Raysha dalam hati. Sempat lagi komplen pasal sikap Danny yang dah berubah.
“Danny tak setuju, mummy.”
“Mummy tak minta persetujuan Danny. Mummy maklumkan saja yang keluarga kita dan keluarga Raysha dah sebulat suara tentang hal ni. Minggu depan Danny boleh mula cari wedding planner. Tentang majlis merisik dan bertunang, mummy dan mama Raysha yang akan uruskan.”
Terbuntang mata Danny mendengarnya. Senang betul jadi mummy, tak tanya dia sepatah haram terus buat keputusan untuk masa depan dia. Memang menggunakan kuasa veto sepenuhnya. Mummy lupa agaknya yang nak salam tangan tok kadi nanti tu, dia. Bukannya Raysha.
“Apa ni mummy?” desis Danny kurang senang. Sakit hati dengan mummy dan keluarga Dato’ Mukriz yang pandai-pandai buat keputusan untuk masa depan dia.
“Mummy buat apa yang perlu untuk kebahagiaan anak mummy. Mummy tak nak Danny dapat perempuan yang bukan-bukan. Yang entah siapa keturunannya!” suara Datin Mala sudah naik, sama naik dengan tangannya yang turut mencekak pinggang. Pantang betul bila cakapnya dibantah.
“Cliche lah mummy. Cerita kahwin paksa, ikut darjat ni dah banyak sangat orang buat,” Danny senyum sinis.
“Habis, Danny nak ikut macam papa? Kahwin dengan perempuan yang entah apa-apa? Yang arwah suami dia dulu kutip dekat kelab malam buat bini. Kemudian papa pula yang kutip konon nak memuliakan? Yang macam tu?” makin tinggi suara Datin Mala. Mengingatkan madunya yang seorang itu lagi membuat perasaannya berapi. Entah apa yang diracun fikiran anaknya yang seorang ini hingga langsung tak nak mendengar katanya.
“Tak payahlah mummy nak ungkit cerita lama aunty Maria. Dia pun dah berubah. Semua orang buat silap, kenapa nak sebut benda yang dah lepas,” keluh Danny kesal. Tak patut mummy ungkit kisah aunty Maria yang papa tutup rapat itu. Benda dah lama berlalu, biarkanlah saja jadi sejarah.
“Apa beza Maria dengan perempuan yang Danny kejar sangat tu? Sama saja. Dua-dua nak rosakkan fikiran Danny. Buat Danny jadi melawan cakap mummy. Entah berapa orang lelaki yang dia pernah layan.”
“Jiji bukan perempuan macam tu. Dia dari keturunan baik-baik. Masih dara dan bukan janda sesiapa,” bidas Danny. Geram bila mummy nak samakan Jiji dengan sejarah silam aunty Maria. Kalaupun sejarah silam aunty Maria buruk, tak selamanya akan buruk. Masa berubah, manusia juga. Terpulang untuk ke arah lebih baik atau sebaliknya.
“Jangan sampai….”
“Mummy jangan nak apa-apa kan Jiji. Kalau Danny dapat tau mummy buat yang bukan-bukan pada dia, mummy takkan jumpa Danny lagi. Sampai bila-bila. Ini janji Danny!” Danny tentang mata ibunya tegas. Langsung dia tak berniat untuk berkurang ajar, tapi dia sangat takut sebenarnya jika mummy melakukan sesuatu di luar batasan. Dendam mummy bukan macam orang lain, bukan sikit-sikit. Dia kenal mummy dari lahir, dia tahu semuanya.
“Danny ugut mummy?” mercerlung pandangan mata Datin Mala pada anak bujangnya. Dia kertap gigi menahan rasa marah yang menggila. Kerana perempuan itu, Danny berani membantah cakap dia. Mengenangkan Danny hanya seorang anaknya, dia masih cuba berkompromi. Kalau anaknya ramai, dia tak peduli Danny nak pilih perempuan yang macamana sekalipun.
“Danny tak ugut mummy, Danny cuma cakap apa yang perlu Danny cakap. Untuk sekali ini, Danny minta sangat mummy faham perasaan Danny. Danny hanya akan kahwin dengan Jiji, bukan dengan mana-mana perempuan lain. Kalau Danny tak berjodoh dengan dia, Danny takkan kahwin sampai bila-bila!” usai berkata, Danny terus melangkah laju-laju menaiki anak tangga ke tingkat atas. Tak dihiraukan ibunya yang terjerit-jerit memanggil namanya. Dia sudah nekad dengan keputusan yang dia buat.
Datin Mala pegang dadanya yang terasa sakit, dia mengurutnya berkali-kali sambil beristighfar dalam hati. Kali ini pandai pula dia beristghfar selepas sebakul caci maki dia beri untuk anak sendiri. Sakit di dadanya sekarang sama sakit dengan rasa di hatinya. Tak sangka Danny sanggup menggadaikan masa depan sendiri semata-mata kerana seorang perempuan. Terjerit-jerit dia memanggil pembantu rumah untuk membawakan ubatnya pula. Nasib baik pembantu rumahnya berada tidak jauh dari tempatnya berdiri. Kalau tidak agaknya dia dah jadi arwah dengan perangai anak bertuahnya yang seorang itu.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/340586/Cinta-Harus-Seksa’