‘Pertemuan demi pertemuan membuatkan hati semakin keliru, engkau atau dia?’
“Adik ada terima whatsApp angah?” tanya Effendy melalui telefon sebaik saja mendengar suaranya dari talian sana. Puas menunggu adiknya membalas pesanan whatsApp nya itu, lalu dia ambil keputusan untuk menelefon saja.
“Ada,” jawab Chenta sepatah, malas. Tangan ligat mengira kotak berisi kad jemputan perkahwinan yang sudah siap dicetak di depan mata. Kerja dahlah melambak, tempahan sampai tak menang tangan. Balik nanti mesti terus terbongkang macam semalam. Minta-minta hari ni tak hujan macam hari tu. Tapi dia dah tak kisah, sebab dah bawa payung siap-siap. Sediakan payung sebelum hujan. Tak nak peristiwa beberapa hari lepas berulang. Minta-minta sopanlah gaya dia tidur masa tu, bukan dengan mulut ternganga atau sampai terkeluar air liur basi. Kalau tak, memang bertahun malu pun tak habis lagi.
“Kenapa tak reply?” getus Effendy geram. Lama dia menunggu, sepatah jawapan pun tak ada. Bertuah punya adik.
“Busy lah…kerja melambak ni,” getus Chenta kurang senang. Dia dah baca pesanan yang Effendy hantar. Cuma entahlah, rasa berat hati nak membantu kali ini. Dia menyusun kotak-kotak berisi kad undangan perkahwinan itu dalam kereta. Selain itu, ada juga beberapa tempahan lain seperti penanda buku dan juga bussiness card.
“Boleh tak?”
Chenta mengeluh perlahan, “Tengoklah.”
“Janganlah tengok-tengok. Senarai buku tu semua angah dah whatsApp dekat adik. Tinggal pergi sewa saja. Tolong ya…”
“Kenapa angah tak pergi sendiri?” Chenta menggerutu geram. Sebenarnya dia malu nak berhadapan dengan Ziyad lepas lelaki tu tengok dia menangis semalam. Tak taulah kat mana nak letak muka. Diri sendiri pun satu hal, kenapa tak balik menangis dekat rumah? Sibuk nak pergi menangis dekat depan kedai orang. Sekarang siapa yang malu? Dia juga. Lepas tu, mulalah tak sanggup nak tunaikan permintaan Effendy sekarang ni. Padahal setakat sewa buku saja pun, apa yang susah sangat. Tapi takkan dia nak mengadu dengan Effendy tentang apa yang berlaku semalam. Silap-silap Effendy suruh dia putuskan hubungan dengan Zulfan pula. Itu yang dia tak sanggup.
“Angah dekat mana? Melaka kan? Lagipun on the way balik dari kilang nanti adik boleh singgah sekejap, jalan satu halakan,” Effendy tanya, lepas tu dia jawab sendiri. Geram agaknya bila Chenta buat-buat tak faham. Lainlah kalau Melaka tu boleh sampai dalam masa 10 minit.
“Habis tu, Marlina nak ambil buku-buku tu macamana? Kenapa tak suruh dia pergi sendiri aje?” tak mahu mengalah, selagi boleh Chenta tak rela nak jejak The Pages itu dalam waktu terdekat ini.
“Jauhlah kalau dia nak ke sana. Penat nak bekejar ke hospital, lepas tu ke sana lagi. Tolonglah bakal kakak ipar tu sikit.”
Chenta mencebik. Sayangkan girlfriend, sekarang tak pasal-pasal dia yang jadi mangsa.
“Yalah…yalah…” akhirnya dia mengalah. Dah tau walau menolak macamana sekalipun, tetap akan kena pergi juga. Faham sangat dengan perangai ditaktor Effendy itu, tak macam Edry.
“Thanks adik….angah tau adik angah ni memang boleh diharap. Harap-harap jumpa jodoh yang baik juga dekat sana nanti. Good luck.”
Belum sempat Chenta menjawab, Effendy sudah memutuskan panggilan. Entah apa-apa abangnya itu, cakap yang bukan-bukan. Calon jodoh dia dah ada. Buat apa nak cari calon jodoh yang lain lagi? Buat semak otak saja. Yang sorang itu pun sudah cukup memeningkan kepala. Lagipun Ziyad tu…eh, kenapa pula tersebut nama lelaki itu? Chenta menggeleng, membuang rasa yang bukan-bukan dalam hati.
*****
Dek kerana permintaan Effendy itu, Chenta sudah tercegat di depan The Pages sebaik saja selesai kerjanya. Lama dia berdiri di hadapan pintu utama The Pages itu, masih berkira-kira untuk masuk atau tidak. Entah kenapa terasa segan nak berhadapan dengan Ziyad. Harap-harap lelaki itu tak ada hari ni.
Tangan mula menolak pintu utama, berdoa dalam hati agar lelaki itu cuti hari ini walaupun kedengaran agak mustahil. Tapi apabila melihat wajah Naufal yang berada di kaunter, dia tarik senyum sampai ke telinga. Tak sangka, doanya dimakbulkan secepat ini.
“Hai!” Chenta menyapa Naufal yang sudah tersenyum sebaik saja nampak dia dari jauh.
“Nak sewa buku atau nak pulangkan?” tanya Naufal ramah. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Entah apa yang dia gembira sangat pun Chenta tak tau. Lantaklah, yang penting lepas sewa buku yang Effendy pesan, dia nak cepat-cepat balik.
“Nak sewa semua buku ni, ada tak?” Chenta hulur telefon pintar pada Naufal. Tunjuk senarai tajuk buku yang Effendy hantar. Nak menyebut satu persatu, manalah dia ingat. Terbelit lidahnya nak menyebut tajuk buku yang Marlina pesan. Semua tahap biologi yang dia tak pernah minat masa sekolah dulu.
Naufal terdiam sejenak, membaca senarai buku itu lama, “Sekejap ya. Buku-buku ni biasanya Ziyad yang lagi tau dekat rak mana.”
Chenta telan liur. Ziyad tak ada, takkan nak tunggu. Sebenarnya dia pun tak sanggup nak tunggu, sebolehnya nak mengelak dari bertembung dengan lelaki itu hari ini.
Ziyad memanjangkan leher dari sebalik rak yang lebih tinggi daripadanya itu. Sebenarnya semasa gadis itu melangkah masuk ke dalam The Pages, dia sudah perasan. Tapi tak mahulah dia terus ke ruang depan, tak nak nampak gelojoh sangat. Dia terus mengintai dari sebalik rak itu sambil tersenyum sendiri.
“Abang! Ooo..abang?” suara dari sisi memanggil.
Ziyad menoleh sambil berdecit geram, ada saja yang menganggu. Tak nampak ke dia tengah sibuk ni? Sibuk mengintai anak dara orang.
Seorang remaja lelaki dalam lingkungan 16 tahun tersengih memandangnya.
“Ada apa dik?” soalnya malas. Walaupun perhatiannya terganggu, tapi hati pelanggan tetap kena jaga.
“Dah lapan belas kali saya panggil abang ni, tapi abang tak dengar-dengar,” beritahu remaja itu dengan senyuman penuh makna yang tak putus-putus.
“Oh ya ke? Sekarang abang dah dengar, ada apa ya?”
“Saya nak sewa novel untuk awek saya, boleh cadangkan novel mana yang best?”
Ternganga mulut Ziyad seketika. Amboi budak-budak zaman sekarang. Bercinta tak ingat dunia. Umur baru berapa, spender pun mak yang basuhkan. Ada hati nak berawek bagai. Kalau adik dia, memang kena seligi.
“Abang tengok apa dari tadi, sampai tak dengar saya panggil?” soalnya lagi sambil turut menjengukkan kepala dari sebalik rak yang terlindung itu.
Ziyad menggeleng, sibuk saja nak ambil tahu hal orang. Budak hingusan macam ni, apa yang dia tahu. Nak berawek konon!
“Abang tengok awek dekat depan kaunter tu ya?” usik remaja itu lagi.
“Mana ada!” Ziyad garu kepala yang tak gatal. Macamana boleh kantoi dengan budak hingusan ni pula. Buat malu kaum saja mengintai anak dara orang dari sebalik rak buku. Haish!
“Tak payahlah malu-malu abang. Kalau abang tak nak, saya nak.”
“Amboi kau! Spender pun mak belikan lagi, ada hati kau ya. Nah, ni novel untuk awek kau, pergi bayar dekat depan sana,” Ziyad tolak senaskhah novel pada dada remaja itu dan memusingkan badannya, menghalau.
“Eh…saya belum tengok lagi novel ni. Manalah tau sesuai ke tak?” remaja itu mengeraskan diri.
“Tak payah tengok-tengok. Ini abang gerenti best sampai awek kau nak baca ulang-ulang kali,” dia tolak lagi badan remaja itu ke depan. Penyibuk aje.
“Tapi….” remaja lelaki itu membaca tajuk novel yang Ziyad beri. Misteri Rumah Agam? Takkan novel seram kot. Tak romantik betul abang ni. Patutlah dia hanya mampu mengintai perempuan cantik itu dari sebalik rak saja. Dia tersengih kemudian berlalu.
Ziyad tarik nafas lega tapi tak lama apabila namanya diseru.
“Ziyad! Ooo…Ziyad, sini kejap!” laungan Naufal itu memang boleh dengar sampai tempatnya berdiri.
Chenta tahan nafas. Maknanya lelaki tu ada. Baru nak mengelak. Chenta cuba berlagak biasa. Anggap saja Ziyad dah lupakan perkara semalam.
Tak lama selepas itu, terpancul wajah Ziyad dari ruang belakang dengan wajah bersahaja.
“Nak apa?” dia kerling Chenta yang berdiri tegak di depan kaunter sambil menghampiri Naufal. Dia perasan gadis itu tak memandangnya langsung. Dalam diam dia amati penampilan gadis itu hari ini. Ringkas dengan blouse bewarna mustard, sedondon dengan seluar palazzo yang dia pakai. Kaki pula disarung high heel warna coklat dan kali ini gelang kaki dari mutiara pula menghiasi kaki panjangnya. Rambut pula dibiarkan lepas bebas.
“Tolong carikan buku-buku ni semua. Aku tak surelah dekat rak mana,” Naufal hulur telefon pintar kepunyaan Chenta pada Ziyad. Lelaki itu sambut dan baca senarai-senarai buku itu sekilas.
“Ooo..dekat rak nombor 19. Chenta nak cari sendiri atau nak saya carikan?”
“Awak tolong carikan boleh?” terpaksalah Chenta berpaling memandang Ziyad yang nampak bersahaja. Takkan nak bercakap dengan dia tapi tak tengok muka pula, nampak sangat tak beradab. Baguslah, nampaknya Ziyad tak mengungkit pasal peristiwa semalam. Harap-harap dia dah lupa.
“OK…bagi saya 10 minit.”
Chenta mengangguk, “Saya tengok novel sekejap.”
Ziyad hanya senyum dan terus berlalu ke rak nombor 19, manakala Chenta pula melangkah ke arah rak yang menempatkan novel-novel melayu.
Tangannya mula ligat memilih novel-novel yang terdapat di situ, membaca sinopsisnya dengan begitu asyik sekali. Banyak sangat pilihan novel melayu yang ada di pasaran sekarang hinggakan tak tau nak pilih yang mana satu.
********
Tak sampai 10 minit, kesemua buku yang Chenta senaraikan sudah ada di tangan Ziyad. Bukan susah pun nak cari sebab dia dah hafal semua kedudukan buku itu. Ketika berjalan ke kaunter, dia nampak gadis itu masih ralit membaca sinopsis pada belakang novel. Entah mengapa, kakinya terus dibawa ke sana. Berdiri lama di belakang Chenta tanpa gadis itu menyedari kehadirannya di situ. Lama dia memerhatikan Chenta. Gadis secantik ini, takkan tak berpunya. Kaki dibawa semakin dekat sehinggalah dia berdiri betul-betul di belakang Chenta. Matanya jatuh pada rambut yang cantik dan wangi itu pula. Hati terasa bagai ingin mengelus rambut panjang mengurai itu, tangan diangkat naik sedikit.
Terasa ada seseorang berdiri di belakang, pantas Chenta berpaling. Darahnya terasa berderau naik ke muka dan dia terus mengundur hingga terlanggar rak novel di belakangnya apabila merasakan kedudukan Ziyad yang terlalu hampir. Habis terlepas semua novel yang sedang dia kelek. Wajahnya merona merah menahan rasa marah dan malu. Apa kena dengan lelaki ni? Mencerlung matanya merenung lelaki itu tajam. Kalau lelaki itu berani buat yang bukan-bukan, high heel saiz 7 ni sah-sah akan naik atas muka dia. Biar dia beri tanda yang akan Ziyad ingat sampai bila-bila.
“Chenta…saya minta maaf. Saya cuma nak bagitau buku-buku yang Chenta nak ni, semua dah ada,” ujar Ziyad serba salah cuba menutup perbuatannya. Kuat juga dia dengar bunyi gadis itu melanggar rak novel di belakangnya. Mesti sakit. Dia mengutuk perbuatan sendiri berkali-kali. Apa yang dia dah buat ni? Nasib baik tak kena lempang. Kalau tak… malu 7 keturunan. Tak tau mana nak letak muka.
Chenta tak membalas langsung, terus berlalu ke kaunter tanpa memandang Ziyad sedikit pun dengan wajah masam mencuka. Hati masih menggerutu geram, lelaki ni memang menakutkan. Pervert!
Patutlah Edry suruh dia menjauhi lelaki ini. Tanpa mengetahui siapa dia sebenarnya pun, kelakuan Ziyad sudah membuatkan dia rasa tak selesa.
Ziyad melepaskan keluhan kesal. Mata sempat memandang novel-novel yang Chenta pilih bertaburan di atas lantai. Dia tunduk mengutip novel-novel itu dan berjalan perlahan-lahan menuju ke kaunter.
Melihat gadis itu yang seolah-olah sengaja melarikan pandangan daripadanya membuatkan dia rasa makin bersalah. Naufal yang turut berdiri di situ merasa pelik. Apa kena dengan mereka berdua ni? Nak kata bercinta tak, tapi nampak macam bergaduh.
Ziyad diam saja ketika membuat transaksi. Buku yang dia hulur pun, Chenta sambut dan terus berlalu begitu saja tanpa bercakap sepatah pun.
“Kenapa tu?” soal Naufal pelik. Tadi masa datang tengok ceria aje. Sekarang muka macam kena cabul dah kenapa?
Tak menjawab soalan Naufal, Ziyad terus berlari ke luar kedai mengekori langkah gadis itu. Matanya meliar mencari seraut wajah itu. Dia menarik nafas lega apabila melihat Chenta masih berjalan menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ.
“Chenta!” panggil Ziyad teragak-agak. Kena lempang pun kena lempanglah, dah memang salah dia. Baru lepas solat Asar tadi sebelum Chenta sampai, lepas tu boleh pula buat perangai tak senonoh dengan anak dara orang.
Lambat-lambat Chenta berpaling. Melihat pada orang yang memanggil, dia tarik muka masam. Mercerlung matanya memandang Ziyad, menunggu Ziyad meneruskan kata. Kalau Ziyad buat perangai tak senonoh dekat sini, dia jerit kuat-kuat biar semua orang dengar. Lelaki macam ni memang kena ajar, silap orang dia nak menggatal.
“Saya minta maaf,” ucap Ziyad tulus apabila berdiri di depan gadis itu.
“OK,” Chenta cuma jawab sepatah kemudian memusingkan badan. Mula rasa tak selesa dengan lelaki ini. Bukan setakat tak selesa, malah tak suka.
“Chenta!” panggil Ziyad lagi apabila melihat gadis itu ingin berlalu.
“Nak apa?” Chenta menoleh. Kali ini suaranya sudah kedengaran sedikit keras. Jangan ingat dia perempuan sebarangan yang mudah diperlakukan apa saja. Ziyad silap kalau dia fikir begitu.
Ziyad telan liur. Dia tahu sekarang Chenta tengah marah. Tapi apa yang boleh dia buat? Terlanjur perbuatan, inilah padahnya.
“Saya…” terkebil-kebil dia memandang wajah Chenta yang mencuka. Terus kehilangan semua kata-kata. Namun tangan sempat menghulurkan bungkusan novel yang Chenta pilih tadi.
Chenta memandang Ziyad sinis dan menyambut bungkusan yang dia hulur. Sekilas sebelum berpaling dan terus berlalu ke kereta. Jangan harap dia nak jejak The Pages lagi lepas ni. Lelaki semuanya sama!
Novel yang disewa itu Chenta campak atas katil hingga semuanya terkeluar dari plastik yang sudah koyak. Marahkan pemilik kedai, buku-bukunya yang jadi mangsa. Sakit betul hatinya. Rasanya kalau ikutkan hati tadi, memang penampar sulungnya dah naik ke muka Ziyad. Kurang ajar! Biadap! Berani betul dia buat gangguan seksual dalam kedai sendiri. Report polis karang, baru padan muka dia. Chenta capai bantal peluk dan menumbuknya kuat-kuat. Membayangkan muka Ziyad yang sedang dibelasah. Rasa sedikit lega, padan muka dia.
Chenta mengeluh lagi. Peristiwa 15 tahun lalu terbayang-bayang diingatan. Masihkah ada rasa dendam di hati Ziyad padanya. Masih sudikah Ziyad memaafkannya jika dia tahu siapa Chenta yang sebenar? Separuh hati rasa marah dengan apa yang berlaku tadi, separuh hati pula merindui kenangan mereka sewaktu kecil dulu. Terbayang wajah Azli yang memanggil-manggil namanya meminta tolong kemudian suara dan badannya hilang dibawa arus. Chenta beristighfar berkali-kali. Terkumat kamit mulutnya membaca al fatihah, menghadiahkannya untuk Azli setiap kali dia teringatkan lelaki itu biar pun dia tahu, Azli berada di tempat yang damai sekarang ini.
Matanya beralih pada buku yang bertaburan, mata menangkap sekeping kertas kecil yang terkeluar dari buku. Nota lagi?
Tangan pantas menarik kertas kecil itu perlahan. Budak sekolah manalah yang main cinta dalam kedai sewa buku ni? Cepat-cepat dia membuka kertas kecil berlipat dua itu. Hanya satu perkataan saja yang tertulis, MAAF.
Chenta telan liur. Betul ke nota ini bukan untuk dia? Tapi kenapa hati sudah mula merasakan sesuatu? Enggan memikirkan yang bukan-bukan, dia keronyokkan nota itu sekali lagi. Dan bakul sampah masih menjadi pilihan untuk nota kedua ini.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com