“ANAK bertuah! Ikmal ni suka sangat beri kejutan pada mama macam ni tau. Tiba-tiba saja dah terpacak depan rumah,” omel Puan Rafeah apabila mendapati Ikmal yang membunyikan loceng rumahnya sebentar tadi.
“Alah, mama ni. Mal balik pun salah, tak balik pun salah,” omel Ikmal sambil menyalami tangan Puan Rafeah. Pipi itu kemudian menjadi sasaran bibirnya.
“Yalah, hujan tak, ribut tak tiba-tiba saja dah terpacak depan rumah. Mana mama tak terkejut. Bila sampai dari Labuan ni?” soal Puan Rafeah sambil menarik tubuh gempal anaknya itu masuk ke dalam rumah.
“Dah dua, tiga hari dah.”
“Hah! Dah dua, tiga hari sampai semenanjung baru teringat nak jenguk mama di sini? Sibuk sangat ke sampai lupakan mama? Takkanlah tak boleh nak telefon beritahu mama?” leter Puan Rafeah, sedikit berkecil hati dengan tindakan Ikmal.
“Mama, balik kali ni Ikmal sibuk sikit. Mal mintak maaf kalau mama terasa okey,” pinta Ikmal sambil menarik lembut tubuh Puan Rafeah. Kalau mama merajuk, senang sahaja nak pujuk, peluk-peluk dan buat suara manja, cairlah wanita itu.
“Hmm… dengan Ikmal ni memang mama tak boleh marah lama-lama. Kali ni berapa lama pulak Pak Su Harris beri cuti?”
“Kali ni Ikmal balik terus ke sini. Rasanya Ikmal dah sedia nak kerja di bawah syarikat kita di sini.”
“Betul ke? Alhamdulillah. Lega mama dengar. Tapi kenapa Abang Wan tak cakap pada mama pun? Padahal baru semalam Abang Izwan telefon mama,” beritahu Puan Rafeah.
“Nak beri kejutan pada mamalah tu.”
“Seronoknya mama dengar Ikmal dah setuju kerja di sini semula. Taklah susah hati mama fikirkan Ikmal duduk jauh-jauh lagi. Senang mama nak jenguk Ikmal kalau di KL.”
Kata-kata Puan Rafeah itu membuatkan Ikmal ketawa besar. “Mama ni. Ikmal ni dah 31 tahun mama. Mal dah biasa hidup sendiri. Mama usahlah risau pasal Ikmal duduk jauh di Labuan tu. Kalau Mal tak cukup makan, tak adalah badan Mal jadi besar macam ni,” ujar Ikmal di hujung ketawanya.
Puan Rafeah turut sama ketawa mendengar kata-kata Ikmal itu. Memang anaknya yang seorang itu tidak pernah surut saiz badannya. Cuma sewaktu zaman belajarnya dahulu tidaklah segempal sekarang kerana dia rajin bersukan.
“Mal nak ke bilik dululah, mama. Letih pulak rasanya. Mal tak cuti lama tau. Petang esok, Mal kena balik KL sebab lusa Abang Wan dah suruh lapor diri di ofis,” ujar Ikmal lalu mula melangkah meninggalkan ruang tamu itu.
Puan Rafeah hanya memerhatikan tubuh Ikmal yang menghilang naik ke tingkat atas banglo mereka itu. Bibirnya tiba-tiba mengorak senyuman lebar. Baru dia terfikir, apabila Ikmal berpindah semula ke semenanjung bermakna hajatnya hendak melihat Ikmal berumah tangga akan tercapai. Terus dia mencapai telefon bimbitnya lalu mendail nombor seseorang.
“Assalamualaikum… Endah, Kak Feah ni. Ada berita baik, Ikmal dah ada di Ipoh. Kali ni, dia balik terus ke sini. Kerja dengan Izwan.” Tanpa bertangguh, dia terus meluahkan apa yang membuatkan dia teruja kepada penerima panggilan. Tidak sabar sebenarnya hendak menyampaikan berita gembira yang memang ditunggu-tunggu.
“APA?! Ikmal nak mama pinangkan siapa?” soal Puan Rafeah. Nasib baik tidak tercekik nasi yang sedang ditelannya.
“Alisa,” jawab Ikmal ringkas. Tumpuannya lebih kepada hidangan tengah hari di hadapannya. Air tangan Mak Cik Wok yang menjadi pembantu rumah mereka semenjak dia masih kecil lagi memang tiada tandingannya. Hari ini, Mak Cik Wok menghidangkan lauk kegemarannya, kari kepala ikan. Memang sesuai benar dengan tekaknya. Lagipun sudah hampir dua bulan dia tidak merasa masakan pembantu rumah mereka itu. Dia terfikir-fikir sendiri, kalau dia jadi berkahwin dengan Alisa nanti, dia akan meminta gadis itu belajar memasak lauk kegemarannya dengan Mak Cik Wok.
“Alisa? Siapa Alisa tu? Bila Ikmal kenal dia? Ikmal kenal dia kat mana?” Bertalu-talu soalan daripada mulut Puan Rafeah. Terencat terus seleranya mendengar permintaan Ikmal itu. Sebal terasa di hati kerana ada pula halangan yang datang untuk merosakkan rancangan yang telah diaturnya.
Kunyahan Ikmal terus terhenti mendengar soalan Puan Rafeah. Ketika dia mendongak memandang wajah mamanya, baru dia terperasan wajah tua itu telah kelat-sekelatnya.
“Mama, kenapa ni? Mama tak suka ke Ikmal nak kahwin? Ikmal dah jumpa calon yang sesuai, takkanlah mama tak boleh pinangkan untuk Ikmal?” ujar Ikmal.
“Tapi, siapa budak tu? Kat mana Ikmal jumpa? Jangan main kutip saja, Ikmal. Perempuan sekarang ni bukannya peduli apa, janji boleh kikis harta lelaki tu sudah.”
Tersedak Ikmal mendengar komen pedas itu. Pantas air diteguk untuk menghilangkan rasa sakit di tekaknya. Inilah pertama kali dia mendapat komen ‘paling membina’ mengenai hubungannya dan Alisa.
“Mama tak kenal Alisa ni, jadi mama tak boleh tuduh dia macam tu. Alisa bukannya perempuan macam tu,” tukas Ikmal. Terbantut terus seleranya. Tangannya terus dijirus dengan air dari kendi. Air oren yang tersedia diteguk rakus. Biar jirusan air yang diteguk itu dapat memadamkan lahar yang mula menyala di hatinya.
“Kenapa pulak mama tak boleh cakap macam tu? Ikmal ni main tangkap muat saja ke? Ikmal tahu tak perempuan tu nak kejar harta Ikmal saja. Dia tak jujur sayangkan Ikmal.” Puan Rafeah terus mengasak dengan tuduhan yang hampir membuatkan Ikmal hilang sabar.
“Ma, Lisa bukan macam tu, okey. Mal tak pernah cerita pada dia siapa Ikmal sebenarnya. Dia cuma tahu Ikmal ni jurutera yang kerja di syarikat perkapalan di Labuan. Dia tak tahu pun yang Ikmal ni salah seorang pemegang saham syarikat tu. Jadi, mama tak boleh cakap dia nakkan duit Ikmal saja. Tolonglah jangan main tuduh sembarangan, mama,” tukas Ikmal panjang lebar.
Puan Rafeah terdiam. ‘Nampaknya, Ikmal benar-benar ingin mempertahankan gadis idaman hatinya,’ fikir Puan Rafeah. Jadi, dia perlu menggunakan pendekatan bercakap secara lembut dan bukannya keras seperti sekarang ini.
“Dah berapa lama Ikmal kenal dia? Sebulan? Dua bulan?” sinis Puan Rafeah menyoal.
“Tujuh tahun.”
“Hah! Tujuh tahun kamu berkawan dengan dia, tak pernah sekalipun Ikmal ceritakan pada mama pasal budak perempuan tu!” Hampir terjerit suara Puan Rafeah mendengar jawapan Ikmal itu.
“Ya, mama. Ikmal kenal dia masa di UTP lagi. Masa tu, Ikmal pelajar tahun akhir. Dia pulak baru masuk tahun pertama di situ. Kami kenal masa minggu orientasi. Mula-mula dia cuma adik angkat Ikmal saja. Hubungan kami jadi serius sejak dua tahun dulu,” ulas Ikmal panjang lebar.
Puan Rafeah sudah terkedu mendengar penerangan Ikmal. Tujuh tahun bukannya satu jarak yang pendek untuk menidakkan perhubungan Ikmal dengan gadis itu.
“Err… ada gambar budak perempuan tu?” Akhirnya itu yang terluah daripada mulut Puan Rafeah.
Pantas sahaja Ikmal mencapai Iphone yang sentiasa dibawanya ke mana sahaja. Setelah mendapat apa yang dicarinya, terus gajet itu diserahkan kepada Puan Rafeah.
“Nama penuh dia, Syarifah Nur Alisa binti Syed Mukriz. Sekarang ni,dia kerja sebagai penyelidik di syarikat konsultan antarabangsa. Dia tinggal dengan keluarga abang tunggal dia. Mereka cuma dua beradik saja. Mak dan ayah dia dah meninggal masa dia dalam tingkatan lima lagi. Accident. Ikmal betul-betul sayangkan dia mama. Ikmal nak hidup dengan dia sampai akhir hayat Ikmal.”
Puan Rafeah mendengar penerangan Ikmal itu sambil lewa sahaja. Tumpuannya lebih kepada gambar di skrin telefon milik anaknya itu. Antara percaya dengan tidak, gadis yang berwajah peranakan arab itu akan jatuh cinta dengan anaknya itu. Hatinya berat mengatakan pasti harta yang dikejar gadis jelita itu.
“Ikmal, betul ke perempuan ni yang Ikmal nak jadikan isteri? Ikmal tahu tak beza fizikal Ikmal dengan dia? Ikmal tak terfikir ke yang perempuan ni cuma nakkan harta Ikmal saja?” ujar Puan Rafeah.
“Apa maksud mama ni?” soal Ikmal.
“Ikmal, sedarlah diri sikit, perempuan ni cantik sangat. Sedangkan Ikmal…” Tergantung kata-kata Puan Rafaeh. Takut jika dilanjutkan ayat itu akan mengecilkan hati anaknya.
“Sekarang, Ikmal faham maksud mama. Mama ingat Alisa berkawan dengan Ikmal sebab nak kaut harta kita? Mama nak cakap Alisa ni gunakan kecantikan dia untuk perangkap Ikmal. Itu maksud mama?”
Daripada riak wajah mamanya, Ikmal dapat menelah apa sahaja yang dikatakan tadi benar belaka. Dia menarik nafas. Cuba mengumpul kesabaran. Sekarang bukan masanya untuk bertegang leher. Mamanya perlu dipujuk sehabis daya untuk menerima Alisa.
“Mama! Berapa kali Ikmal nak cakap, selama ni dia tak tahu pun kedudukan keluarga kita. Ikmal cuma beritahu yang mama ni pesara guru. Sebab itulah Ikmal mintak uruskan syarikat kita di Labuan tu. Ikmal tak mahu dia tahu banyak tentang kedudukan keluarga kita. Dia ikhlas sayangkan Mal. Soal fizikal bukannya soal besar kalau hati dah sayang, mama. Mama pinangkan Lisa untuk Ikmal ya?” pinta Ikmal di hujung ayatnya.
“Sebab itu Mal balik hari ni. Mal nak berbincang dengan mama pasal ni. Mal memang dah janji dengan abang Lisa akan pinang dia sebaik Mal dapat pindah ke sini semula. Mal tawarkan diri untuk tolong Pak Su Harris uruskan syarikat kita di Labuan tu pun sebab dia jugak. Mal ingat masa tu Mal cuma bertepuk sebelah tangan. Tak sangka rupanya dia dah lama sukakan Mal. Sejak dari pertama kali kami jumpa lagi. Alasan nak jadikan Mal abang angkat dia tu cuma nak rapat dengan Mal saja. Jadi, Mal nak tunaikan impian dan janji Mal ni, mama. Mal dah lama sukakan dia, dari dulu lagi. Jadi, Mal harap mama jangan tolak pilihan Mal ni ya?” ulas Ikmal lagi apabila dilihat Puan Rafeah terus-terusan mendiamkan diri.
“Tapi, Mal… mama dah janji dengan Mak Su Edah nakk jodohkan Ikmal dengan anak saudara dia, Cempaka tu.” Akhirnya terluah juga dari mulut Puan Rafeah apa yang disimpan di lubuk hatinya.
Terus Ikmal bangun dari kerusi itu. Terkejut bukan kepalang dia dengan hasrat mamanya itu. Siapa dan kenapa pula ada watak tempelan dalam kisah cintanya dan Alisa sekarang?
“Kenapa mama buat macam ni? Ikmal tak suka mama aturkan hidup Ikmal macam abang-abang yang lain tu. Alisa tetap pilihan Ikmal. Ikmal tak mahu orang lain,” tukas Ikmal tegas.
“Ikmal tak pernah cerita pun yang Ikmal dah ada kawan. Mama ingat Ikmal masih single lagi. Mama dah janji dengan Mak Su Edah akan masuk meminang budak Cempaka tu bila Mal dah balik ke sini. Baru tadi mama telefon dia dan bincang pasal ni,” ujar Puan Rafeah.
“Batalkan saja. Ikmal tak mahu. Kenapa mama suka sangat pilih anak-anak saudara Mak Su Edah tu jadi menantu mama? Dulu, Abang Imran dan Abang Irsyad pun kahwin dengan anak saudara dia jugak. Pilihan mama jugak. Tak adalah elok sangat perangai kakak-kakak ipar Mal tu. Asyik nak melaram habiskan harta keluarga kita saja. Bekas isteri Abang Wan lagilah teruk, sampai ayah terus kena strok dibuatnya. Yang tu, mama tak pernah ungkit pulak nak habiskan harta keluarga kita,” gerutu Ikmal geram.
“Ikmal! Jangan cakap macam tu boleh tak? Kali ni, mama jamin budak Cempaka tu memang sesuai dengan Ikmal. Dia ni anak orang berada, orang berniaga, sekufulah dengan kita. Dia ni pandai berniaga. Kedai baju dan tudung muslimah dia dah ada banyak cawangan di Malaysia. Memang sesuai sangatlah dengan Ikmal,” pujuk Puan Rafeah lagi.
“Mal tak nak. Mal tak kenal pun siapa orangnya. Mal tak pernah pandang kaya miskin orang tu, mama. Mal cuma nak Lisa saja jadi isteri Mal. Dunia, akhirat,” ucap Ikmal.
“No! Mama tak setuju. Mama tak kenal pun siapa Lisa ni. Mama nak Cempaka tu saja jadi menantu mama. Titik.”
Turun naik dada Ikmal menahan geram. Tanpa suara, dia terus meninggalkan ruang makan itu. Lagi lama dia di situ lagi menggelegak dirasakan hatinya. Lebih baik dia berundur sebelum dia bersikap lebih kurang ajar dengan mamanya sendiri.
****
“LISA, you nak keluar lunch tak? Jom, kita keluar sama,” pelawa Darwis, ketua di bahagian Alisa bekerja itu.
Alisa yang ketika itu sedang menaip laporan terus mendongak memandang ketuanya itu.
“Err… tak apalah, Encik Darwis. Saya tak lapar lagi. Encik Darwis pergilah,” tolaknya lembut. Entah mengapa, dia rasa tidak begitu selesa dengan ketuanya itu. Seram sejuk tubuhnya melihat cara Encik Darwis merenungnya. Tiba-tiba dia terkenangkan Encik Adrian, ketuanya sebelum ini. Encik Darwis baru enam bulan mengambil alih tempat Encik Andrian yang telah berhijrah bersama keluarganya ke Australia.
Dengan Encik Adrian dahulu, dia tidaklah sebegini cuak. Entah mengapa, dia dapat merasakan ketua barunya itu ada menyimpan sesuatu di dalam hatinya. Semenjak hari pertama Darwsis bertugas di situ, dia dapat merasakan ketua barunya sentiasa memerhatikan dirinya. Tetapi, dia tidak berani menceritakan kepada rakan-rakan sekerja. Takut dikatakan terlebih perasan pula.
“Saya ikhlas nak ajak awak lunch sama ni. Saya cuma nak berkenalan lebih rapat dengan staf-staf saya saja. Tak ada niat lain pun,” pujuk Darwis.
“Kalau macam tu, encik ajak Michael, Kogila dan Wati sekali. Barulah best,” ujar Alisa memberi cadangan. Hendak keluar berdua dengan ketuanya itu? Huh! Mintak simpang, omel hati Alisa lagi.
Darwis mengeluh. Sukarnya dia untuk merapati gadis di depannya itu. Liat sungguh. Sudah hampir enam bulan dia cuba mencipta kemesraan, namun langsung tiada respon positif daripada Alisa. Gadis itu melayan dan menghormatinya sebagai seorang ketua sahaja. Dia akui telah jatuh hati bila pertama kali memandang wajah gadis itu, namun apakan daya segala usaha untuk memikat gadis itu seperti mati di tengah jalan sahaja. Dia sendiri tertanya-tanya apa kriteria yang diperlukan untuk menawan hati gadis di depannya itu?
Rasanya dia sudah memiliki pakej yang menjadi idaman semua gadis. Kacak, bergaya, berkarisma serta berjawatan tinggi membolehkan sesiapa yang menjadi isterinya goyang kaki di rumah. Selama ini, dia yang menjadi mangsa dikejar oleh ramai gadis, tetapi kali ini, hati dia pula yang tersungkur dengan gadis bernama Alisa ini.
“Boleh ke, encik?”
Suara Alisa mematikan lamunannya. Terpinga-pinga dia sekejap dengan soalan Alisa itu.
“Saya tanya, boleh ke kita keluar sekali dengan semua staf encik?” soal Alisa kembali.
“Hmm… apa salahnya. Awak tanyalah kalau-kalau mereka nak join sekali.” Daripada tiada biarlah ada walaupun terpaksa. Sekurang-kurangnya dapat juga dia memandang gadis pujannya itu.
“Okey, nanti saya tanya ya?” balas Alisa sambil tangannya menggagau telefon di meja. Ini sahaja cara untuk mengelakkan diri daripada ketuanya itu.
25 minit kemudian mereka berlima menjamu selera di sebuah restoran yang terletak berhampiran dengan bangunan pejabat mereka. Riuh-rendah mereka bercerita. Dalam diam, Darwis memerhatikan tingkah Alisa. Tampak sopan dan tertib menjamah hidangan di depannya. Gadis itu juga agak pendiam, mungkin kerana di antara mereka dia yang paling muda. Dia lebih banyak mendengar dan hanya sesekali menyampuk perbualan mereka. Hatinya tertanya-tanya bagaimana cara untuk dia memikat hati gadis bernama Alisa itu. Dia pasti Alisa tahu perasaannya, namun sengaja gadis itu tidak mempedulikan dirinya.
Di kerusinya, Alisa sudah terasa panas punggung. Dari ekor mata, dia tahu ketuanya itu sedang ralit memerhatikannya. Dia benar-benar tidak selesa. Risau andai tersalah tingkah, suapannya bukan masuk ke mulut, tetapi terus ke lubang hidung. Terasa benar lambat masa berjalan. Di dalam hati, dia mengomel. Mengapa ketuanya itu memilih untuk duduk bertentangan dengannya?
“Kenapa awak tak habiskan nasi ayam awak ni? Tak sedap ke?” soal Darwis apabila dilihatnya Alisa cuma menguis-nguis nasi di pinggannya.
“Errr… dah kenyang,” balas Alisa. Masakan boleh kenyang, jika setiap pergerakannya diintai oleh sepasang mata di hadapannya?
“Dia ni Encik Darwis memang tak banyak makan. Orang cakap perut burung. Makan sikit dah kenyang. Tulah pasal badannya maintain cekeding,” sampuk Wati.
Michael dan Kogila yang mendengar cuma ketawa menyambut kata-kata Wati itu.
“Sayang tak habiskan. Kalau macam tu, biar saya tolong habiskan,” ujar Darwis lalu menarik pinggan Alisa yang masih banyak tidak terluak itu.
Alisa mulai panik, apatah lagi apabila ketawa rakan-rakannya yang lain itu tiba-tiba sahaja terhenti. Masing-masing duduk memerhati adegan seterusnya.
“Err… tak apalah, Encik Darwis… biar saya yang habiskan.” Lantas, dia terus menarik semula pinggannya lalu mula menyuap hidangan itu. Gila! Dengan Ikmal pun tak pernah dia berkongsi makanan hingga begitu. Masih ada batas-batas lagi perhubungan cintanya. Inikan pula hendak makan sepinggan, berkongsi garfu dan sudu dengan lelaki yang tidak begitu dikenali selain wataknya sebagai ketua? Apa kes!!!
Walaupun tekaknya terasa seperti menolak keluar setiap suapan yang ditelan, tetapi dengan bantuan air yang diminum, dipaksa juga nasi itu selamat masuk ke perutnya.
“Hmm… licin jugak,” ujar Darwis sambil tersenyum melihat pinggan Alisa yang sudah licin itu. Dia ingin menyambung bicara, tetapi mati begitu sahaja apabila ada suara ketawa yang menyampuk.
Kasihan juga dia melihat Alisa yang sudah kemerahan wajahnya, niatnya tadi memang dia ingin menghabiskan makanan Alisa. Bukan kerana dia kasihankan makanan itu terbuang begitu sahaja, tetapi lebih kepada rasa ingin berkongsi sesuatu dengan gadis itu.
“Hmm… semua dah kenyang, kan? Kita balik ke pejabatlah,” ujar Darwis lalu bangun menuju ke kaunter bayaran.
DISEBABKAN jarak antara restoran dengan pejabat mereka tidak berapa jauh, mereka cuma berjalan kaki sahaja. Darwis cuba menyaingi langkah Alisa yang seperti biasa cuba lari-lari daripadanya.
Waktu mereka sedang menunggu lif untuk naik ke pejabat mereka di tingkat 10, tiba-tiba telefon Alisa berbunyi. Berkerut dahi Darwis melihat senyuman Alisa yang melebar ketika melihat skrin di telefonnya itu.
“Assalamualaikum, abang.”
Abang? Siapa abang yang dipanggil Alisa itu? Cuak hatinya mendengar suara Alisa yang riang tiba-tiba itu.
Bunyi detingan lif mematikan apa sahaja yang sedang difikirkannya.
“Alisa, awak nak naik tak?” soal Darwis apabila dilihatnya Alisa masih leka berbual di telefon.
“Err… encik naiklah dulu. Saya naik next lif,” jawab Alisa.
Kalaulah dia ada kuasa, sudah lama gadis itu ditariknya masuk ke dalam lif. Namun apa daya. Walaupun berat hati Darwis hendak membiarkan Alisa di situ, terpaksa juga dia menaiki lif itu bersama-sama dengan rakannya yang lain apabila sudah ada suara-suara yang menggesa. Bimbang pula jika ada yang dapat membaca isi hatinya terhadap gadis itu. Ini rahsia hatinya. Hak eksklusif.
“Alisa berbual dengan siapa tadi?” soal Ikmal.
“Hmm… kawan-kawan Lisalah, kami keluar lunch sama-sama tadi. Bos belanja. Abang masih di Ipoh lagi? Bila abang nak lapor diri ni?” soal Alisa. Semenjak Ikmal pulang ke Ipoh semalam, baru hari ini jejaka itu menelefonnya. Dia pula tidak mahu mengganggu Ikmal yang pastinya perlu juga memperuntukkan masa bersama keluarganya sendiri, apatah lagi Ikmal bukan selalu balik ke semenanjung dahulu.
“Masih di Ipoh lagi ni, sayang,” ujar Ikmal lemah. Lemah kerana memikirkan pergolakan yang baru timbul antara hubungannya dengan Alisa. Geram dengan tindakan mama dan dua pupu kepada mamanya yang pandai-pandai menjadi telangkai.
“Hmm… bila abang nak balik ke KL ni?” soal Alisa.
“Mungkin petang ni. Tak apa, lusa baru abang lapor diri ke tempat baru. Sekarang ni sedang berusaha bodek mama abang untuk pinangkan budak yang bernama Alisa tu,” ujar Ikmal sambil ketawa hambar. Pilu rasa hatinya apabila mengenangkan sikap mamanya yang terang-terang menolak gadis pilihan hatinya itu.
Alisa yang menyangka Ikmal sedang berjenaka hanya membalasnya dengan ketawa.
“Tulah abang, tak cukup lagi ilmu nak membodek mama abang tu. Abang kena menuntut ilmu dengan sesiapa ni, barulah boleh menang,” sindir Alisa di hujung ketawanya.
Ikmal cuma menelan air liur mendengar balasan kata-kata daripada Alisa itu. Kalaulah Alisa tahu perkara yang sebenarnya, pasti dia akan kecewa. Pasti dia tidak dapat lagi mendengar ketawa manja gadis itu. Kalaulah ada guru yang sudi mengajar ilmu membodek mamanya, memang dialah orang pertama yang mendaftar menjadi pelajarnya.
“Mungkin jugak. Err… tak apalah, Lisa. Abang nak siap-siap balik ke KL ni. Hari pun dah pukul 2.00 ni. Lisa tentu nak buat kerja, kan? Nanti abang telefon Lisa lagi ya,” balas Ikmal. Dia tidak sanggup untuk berbual lebih lama dengan gadis itu, nanti terburai semua cerita yang sedang disimpannya. Terus talian dimatikan selepas berbalas salam.
Lama direnungnya permukaan telefon yang sudah bertukar hitam itu. Pelik dengan sikap Ikmal itu. Tidak pernah dia memutuskan talian sebegitu cepat. Selalunya ada sahaja celotehnya. Alisa pasti ada sesuatu yang sedang dirungsingkan oleh Ikmal, namun dia malas mahu mendesak. Biarlah Ikmal yang bercerita apabila sampai waktunya.
****
“MAL dah nak bertolak ke?” soal Mak Cik Wok ketika Ikmal sedang menyarung stoking. Dia dapat merasakan suasana tegang antara Puan Rafeah dan Ikmal, tetapi dia tidak tahu kenapa. Semalam seharian dia berada di Tapah kerana menghadiri kenduri kakaknya. Pulang sahaja ke banglo itu, dilihatnya emak dan anak membuat hal masing-masing. Tidak seperti selalu, pasti ada gurau senda antara keduanya. Maklumlah sesekali sahaja bejumpa. Hendak bertanya, dia tidak berani. Nanti apabila keadaan sudah sejuk sikit, barulah dia akan mengorek rahsia.
“Ya, mak cik. Mal nak balik dah,” ujar Ikmal pendek.
“Nanti bawak kereta elok-elok tau, sementara Mal dah kerja semula di KL ni, bolehlah selalu jenguk mak cik di Ipoh ni,” ujar Mak Cik Wok. Di antara keempat-empat anak lelaki majikannya itu, dia lebih rapat dengan Ikmal. Walaupun Ikmal lama duduk berjauhan dengannya, tetapi hubungan tetap mesra dan rapat. Mungkin kerana dia yang mengasuh Ikmal semenjak Ikmal masih dalam pantang lagi.
“Insya-ALLAH, mak cik. Mal takkan lupakan mak cik dan keluarga di Ipoh,” ujar Ikmal. Dahulu, saat pulang ke pangkuan keluarganya di sinilah yang paling dinantikannya selain daripada dapat menatap wajah Alisa, tetapi kini entahlah. Dia sendiri tidak tahu apa perasaannya. Sedih dan berjauh hati dengan sikap mamanya masih lagi terasa.
“Mal nak beransur dulu ya, mak cik,” ujar Ikmal lalu mula melangkah keluar dari banglo itu sambil menjinjit beg kecil berisi pakaiannya.
“Mal tak mahu tunggu mama Ikmal pulang dulu ke?” soal Mak Cik Wok.
Terhenti langkah Ikmal mendengar pertanyaan pembantu rumahnya itu. Selepas dia dan mama bertegang urat semalam, memang sengaja dia mengelakkan diri untuk berjumpa dengan mamanya itu. Bukannya dia mahu bersikap besar kepala atau berkurang ajar, tetapi menjarakkan diri lebih elok buat masa sekarang.
“Err… tak ada rezeki Mal nak jumpa dia, mak cik. Dah lewat sangat ni. Cuaca bukannya menentu sekarang ni. Tak apalah, nanti mak cik kirim salam pada mama ya? Nanti sampai KL Mal sendiri telefon dia,” ujar Ikmal lalu menyarung sepatu.
Baharu sahaja dia hendak memboloskan diri ke dalam kereta, Honda CRV milik Puan Rafeah menjalar masuk ke halaman rumah. Ikmal menarik nafas berat.
“Mal dah nak balik?” soal Puan Rafeah apabila dia telah berhadapan dengan anaknya itu.
“Hmm… semalam Mal dah cakap, Mal nak balik KL petang ni. Nak lapor diri kena jugak buat persiapan walaupun syarikat keluarga kita sendiri,” ujar Ikmal.
“Mal beransur dulu, mama,” sambung Ikmal apabila tiada apa-apa balasan daripada Puan Rafeah. Segera tangan mamanya dicapai lalu disalami dan dikucupi seperti biasa. Marah atau terluka, wanita di hadapannya itu tetap wanita yang melahirkan dia ke dunia ini. Tetap perlu dihormati.
“Mal…” Tangan Ikmal yang masih di dalam genggaman Puan Rafeah tidak dilepaskannya. Ikmal cuma kaku memandang mamanya.
“Mama tahu Ikmal masih marah pasal hal semalam tu, kan? Mama buat macam ni untuk kebaikan Ikmal juga,” pujuk Puan Rafeah lembut. Moga-moga lembut hati anaknya itu dan menurut permintaannya.
Ikmal menarik nafas. Cuba mengumpul kesabaran yang sudah senipis kulit bawang.
“Tapi, mama tak adil pada Ikmal. Mama tak boleh paksa Ikmal buat sesuatu yang Ikmal tak suka. Ikmal tak suka dipaksa-paksa macam ni, mama,” tukas Ikmal.
“Mal… Mak Su Edah cakap budak Cempaka tu baik orangnya. Mama dah jumpa budak tu, mama memang berkenan sangat dengan Cempaka tu,” pujuk Puan Rafeah lagi.
“Tapi, Mal tak kenal pun dia,” tukas Ikmal lagi.
“Tak kenallah kena kenal. Jumpa dengan dia, berkenal-kenalan. Mana tahu kalau Ikmal terus terpikat pulak.” Doanya biarlah Ikmal termakan pujukannya kali ini.
“Tapi, Ikmal dah ada Alisa.”
Harapan yang sedang menggunung di hati Puan Rafeah terus berkecai tatkala mendengar kata-kata Ikmal itu. “Tapi, mama tak kenal dia. Mama tak kenal hati budi dia,” tukas Puan Rafeah geram.
“Kalau macam tu, mama jumpalah dengan dia, kenal hati budi dia, mana tahu mama berkenan pulak dengan dia.” Ayat yang dituturkan oleh mamanya tadi kali ini diulang semula oleh Ikmal. Bukan berniat hendak memulangkan paku buah keras, namun hanya itu jalan keluar yang dapat diintai Ikmal.
Puan Rafeah menggigit bibir geram. Geram dengan kedegilan Ikmal. Geram dengan gadis bernama Alisa yang telah meracuni fikiran anaknya itu.
“Macam nilah, mama… Ikmal ada cadangan. Sekarang ni, Ikmal dah ada pilihan sendiri. Mama pula dah ada calon menantu sendiri. Kita sama-sama tak mahu mengalah, apa kata kita berkompromi. Ikmal setuju jumpa dengan Cempaka dengan syarat mama mesti setuju jugak jumpa dengan Alisa. Lepas tu, baru kita buat keputusan antara mereka berdua siapa yang sesuai jadi calon menantu mama,” usul Ikmal seketika kemudian.
Terkulat-kulat Puan Rafeah mendengar usulan Ikmal itu. Hendak dibangkang, itulah sahaja idea yang paling bernas. Demokrasi. Mana tahu setelah berjumpa dengan Cempaka nanti, terbuka terus pintu hati anaknya itu untuk menerima Cempaka sebagai calon isteri.
Bagi Ikmal pula, ini sahaja cara yang dapat difikirkannya untuk memperkenalkan Alisa kepada mamanya. Dia tahu mamanya berkeras untuk memilih calon yang dipilih oleh Mak Su Endah itu, namun dia juga nekad untuk memilih Alisa sebagai calon isteri. Moga-moga lembut hati mamanya untuk bermenantukan Alisa nanti.
“Baiklah, mama setuju. Nanti Mal bawak dia ke sini untuk berjumpa dengan mama.”
Ikmal terasa seperti hendak melompat ke langit mendengar persetujuan mamanya itu. Semoga jodohnya berpihak kepada dia dan Alisa.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81552/Calon-Menantu-Mama