[SNEAK PEEK] BUDAK KELAS BELAKANG

Budak Kelas Belakang Oleh Emylia Mohd Nor

 

Selepas lights-off, pasti ada jembalang hitam pakai baju tidur, seluar paras lutut dan berselempang kain batik susup-sasap berlari masuk dewan makan. Dalam masa lima minit, jembalang hitam kepala manusia susup-sasap berlari keluar semula membawa bersama satu tin biskut yang disembunyikan di celah kain batik. Entah kelas mana punya biskut dia songlap. Selalunya tin biskut akan dipulangkan sebelum kehilangan tin biskut disedari keesokan pagi. Isi tin sudah tentu berkurang. Mungkin dalam fikiran si pencuri biskut, curi separuh, dosa pun separuh.

Bahan perencah untuk mi segera seperti telur, cili, garam, kicap dan bawang juga dirembat dari dewan makan. Dewan makan waktu itu macam pasar raya percuma untuk pelajar. Ambil apa sahaja yang diperlukan pada bila-bila masa.

Biasanya kami tidak menghalang perbuatan sedemikian atau sibuk nak buat laporan sebab kami faham betapa kebulurnya tinggal di STF terutama waktu malam. Mungkin kami juga ada bahagian dalam biskut curi dan mi segera itu tanpa disedari. Apabila sama-sama belajar di common room selepas pukul 11.00 malam, segala biskut dan mi segera yang ada dikeluarkan. Makan bersama, maka tidak tahu mana yang dibeli, yang mana dicuri.

Pokok nangka dan ubi hidup subur di STF. Apabila nampak ubi dan nangka makin membesar, pelajar STF akan menjalankan aktiviti pertanian; menggali ubi dan memetik nangka. Ubi yang digali akan direbus menggunakan pemanas air. Kadang dicicah dengan gula, kadang tunggu hari ada menu sambal, ditapau sikit dari dewan makan, untuk dimakan bersama ubi rebus.

Dari umur belasan tahun lagi, rakan-rakan aku sudah menjadi pakar proses tanaman nangka. Tahu bila masanya nangka sedia untuk dipetik, bagaimana dipetik, proses peram nangka dan akhirnya kupas nangka. Selalunya nangka akan diperam dalam dorm atau bawah tangga blok. Setiap hari mereka akan memeriksa nangka sama ada nangka sedia untuk dikupas atau belum. Nangka ranum akan dikongsi bersama jika sedia untuk dimakan.

Ada sebatang pokok rambutan di Blok C tetapi umpama hidup segan, mati tak mahu. Mungkin kedudukan pokok rambutan berhampiran tangki tandas Blok C. Entah apa budak-budak Blok C makan, terbantut terus pertumbuhan pokok rambutan.

Masa aku tingkatan lima, semua pelajar tingkatan lima menginap di Blok E. Aku tidur katil atas. Elynn bedmate aku. Aku juga dapat lokar atas. Maka sesi jingkit kaki acah-acah balerina untuk letak dan ambil barang dari lokar perlu dilakukan setiap hari.

Lokar Elynn, Tie Z, Enit dan Na penuh dengan poster artis rock kapak. Pernah masa aku tiada di dorm, mereka berempat rancang untuk prank aku. Ditampalnya poster Man Dayak dari kumpulan Lefthanded betul-betul di siling atas katil aku semasa aku pergi mandi. Apabila aku masuk ke dalam dorm setelah habis mandi, mereka senyum-senyum simpul pandang aku.

Elynn : Hemy, we all ada surprise untuk Hemy.

Aku : Apa dia?

Elynn : Tunggulah, nanti masa sesuai we all bagi tau.

Aku tidak syak langsung mereka akan prank aku. Sampai ke malam aku tidak tahu apa kejutan yang disembunyikan.

Malam tiba, aku panjat katil seperti biasa. Aku cuba melelapkan mata. Dengan bantuan sedikit cahaya dari lampu koridor, aku nampak Man Dayak dengan rambut mengerbang pandang tepat ke arah aku. Aku memang penakut.

Punyalah kuat aku menjerit sampai budak dorm sebelah datang tanya, “Eh, kenapa?”

Gelak evil mereka setelah mengetahui cerita sebenar. Lemah semangat aku tau!

Tinggal dalam satu dorm bersama Elynn, Tie Z, Na dan Enit membolehkan aku mengembangkan minat menjadi seorang model. Saat rakan lain melepak di dorm waktu hujung minggu, kami dressed up. Penuh bergaya persis model.

Setiap minggu kami akan gayakan tema pakaian berbeza. Ada tema pakaian warna terang dan seksi. Ada minggu kami gayakan jeans dan sneakers. Pernah 

t-shirt dan leggings. Dengan muka selamba, kami akan pose di kawasan sekitar STF. Bukan tidak ada mata yang memandang. Aku pose, kau yang kepoh dah kenapa?

Pernah ketika kami sibuk pose menonggeng, kereta Puan KD berhenti di depan kami.

Beliau turunkan kaca mata hitam yang dipakai, pandang ke arah kami dan berkata, “Hmmm very good.”

Sebelum amali percubaan dan amali peperiksaan sebenar, makmal dipasang kain hitam untuk ditutup daripada pandangan mata pelajar. Sulit.

Misi panjat untuk operasi skodeng makmal sains akan diketuai oleh lelaki jadian atau perempuan yang lupa daratan. Pelajar skema duduk dalam kelas diam-diam, seolah-olah tiada apa yang pelik sedang dan akan berlaku. Masing-masing khusyuk dan tawaduk baca buku. Kena cover line kawan-kawan yang sedang berjuang di tepi makmal. Kebisingan melampau akan mengundang kehadiran warden. Jadual tugas pengawas masa prep malam pun ditukar demi memastikan yang faham atau ada kepentingan bersama yang jaga kelas. Pengawas pun ada yang terlibat sama. Bak kata Wonder Pet, yang penting kerjasama.

Seorang panjat, seorang catat. Biasanya yang kurus atau tinggi yang panjat. Kalau yang montel diharapkan panjat, dikhuatiri kerusi besi pun patah, mahu havoc satu sekolah. Bukan sebab bunyi kerusi patah, tetapi bunyi gelak berjemaah ketawakan kawan yang patahkan kerusi walhal member itu dah susah payah berkorban demi rakan seperjuangan.

Di STF, jika pelajar melakukan sesuatu yang nakal, terutama jika dia seorang sahaja berani buat, dia akan sangat berbangga. Detik ini sering dirakamkan sebagai kenangan menggunakan kamera zaman dulu oleh junior aku, kini Dr. Rafidah. Ketika keluar outing baru boleh pergi cuci gambar. Kadang-kadang ada gambar yang siap mata tertutup, kadang mata merah macam mata raksasa. Pasrah, tiada apps untuk mengedit red eye waktu itu.

Maklumat kemudian akan dibentangkan di hadapan kawan-kawan yang nerd yang tentunya tidak berani panjat. Skema. Umpama Nujum Mak Belalang, maklumat ini akan ditafsir, didebat, dibincang dan ditilik sebelum rumusan dibuat. Rumusan ini akan dikongsi bersama semua pelajar aliran Sains. Ada firasat Nujum Mak Belalang yang mengena, ada yang tersasar jauh. Demi memastikan dapat lebih pahala kerana menyebarkan ilmu yang bermanafaat, rumusan juga dikongsi bersama koresponden di MCKK, STAR, SDAR, RMC. Kesian abang Telekom Malaysia kena datang selalu. Kotak oren sekejap sahaja syiling dah penuh.

Tingkatan lima 1989 adalah tahun paling best dalam sejarah hidup aku di STF. Pelajar Sains Sosial diberi pilihan untuk mengambil subjek Add Maths atau Sejarah. Separuh kelas yang memang terer atau perasan terer ambil Add Maths. Separuh lagi termasuk aku ambil Sejarah. Apabila subjek Sejarah, kami wajib berjalan ke kelas 5 Sains 3 untuk tumpang kelas kerana kelas kami digunakan untuk Add Maths.

Jalan kaki dari kelas kami ambil masa lima minit. Jalan balik lima minit lagi. Sambil jalan turun tangga, sempat jeling ke makmal di bawah kelas tingkatan 5 Sains 3. Ada pembantu makmal yang sedap mata memandang; Aris. Tidak ramai kaum Adam yang kami jumpa setiap hari. Apatah lagi yang bujang, maka Abam Aris sentiasa berada dalam radar kami.

Tempat parking motor besar Abam Aris sering jadi salah satu tempat pelajar wajib bergambar. Kadang-kadang apabila lalu di depan makmal, kami suweet suweet Aris. Kalau Aris pandang ke arah kami, kami buat muka bajet suci. Buat-buat pandang tempat lain. Kemudian gelak beramai-ramai. Aris hanya mampu senyum tengok perangai anak-anak ikan.

Paling aku ingat, waktu Sukan Komanwel berlangsung. Waktu prep petang, kami perasan beberapa rakan sekelas kami hilang. Tak dapat dikesan. Nak kesan pelajar hilang waktu prep senang; sama ada di dalam kelas atau perpustakaan. Jika nak ke perpustakaan, perlu beritahu pengawas bertugas dalam kelas. Kami tidak dibenarkan squatting belajar di kelas lain. Bayang mereka langsung tidak kelihatan di kelas, mahupun di perpustakaan.

Aku, Along, Farasya dan Noraliza pinjam court shoes pelajar yang pergi prep pakai court shoes. Kami pergi ke Blok C sebab kami tahu dorm C1-6 ada enam belas pelajar sama tingkatan dengan kami yang tinggal dorm yang sama. Mesti tengok Matt Biondi, perenang yang mereka kagumi. Ada acara Matt Biondi petang itu. Kami bayangkan air liur mereka meleleh-leleh tengok Matt Biondi dengan cawat kecik beraksi di kolam renang. Setiap hari sepanjang Sukan Komanwel berlangsung, orang lain berlari ke dewan makan, mereka berlari balik blok. Gigih cari gambar Matt Biondi dalam surat khabar. Di gambar itu akan tulis booked by C1-6.

Agak-agak nak sampai Blok C, kami membunyikan tapak kasut lagi kuat seolah-olah tapak kasut warden. Dari jauh, kedengaran bunyi bising. Bunyi pelajar bertempiaran lari dan menutup kabinet televisyen. Kes berani buat tidak berani tanggung. Apabila kami masuk, mereka semua bersembunyi di bawah kerusi, macamlah tidak boleh nampak kalau sembunyi di bawah kerusi kayu. Ketika mereka nampak kami, berbakul-bakul sumpah seranah sebab mereka terlepas siaran langsung acara Matt Biondi.

Di STF hanya ada dua buah telefon awam untuk kegunaan pelajar. Telefon awam bentuk kotak berwarna oren. Dua kotak oren ini diletakkan di depan bilik warden dan di tepi bilik guru. Di bilik guru, tidak ramai yang guna sebab jauh sikit dari asrama. Waktu menunggu penggunaan telefon di sebelah bilik warden sangat lama. Dapat pula yang beratur di depan aku, Anakku Sazali versi gegirl. Rasa nak suruh mak dia masuk asrama sekali. Kalau kejadian ini berlaku sekarang, mesti dah kena buli. Zaman kami dulu, senior seperti kami memang spesis terancam – baik, lemah lembut, pijak semut pun tidak mati. Muka tidak payah nak cakaplah – innocent habis. Sebab itulah tidak kedengaran kes buli sewaktu itu.

Apabila aku tingkatan lima dan tinggal di Blok E, akses kepada telefon kotak oren semakin mudah. Aku dan R, koresponden aku akan menetapkan waktu untuk berbual melalui telefon. Aku akan lepak di depan kotak oren tunggu panggilan.

Pada suatu malam, aku, Wan Ann dan Aiz memberanikan diri lepak di kotak oren lepas lewat malam. Warden jarang tidur di bilik warden. Sebelum itu, kenal pasti dahulu siapa warden bertugas; Cik Hanita. Kurang garang, lady of few words tetapi jelingan dia sentiasa buat kami rasa terancam.

Kami bergilir-gilir berbual di telefon. Giliran aku terakhir sekali. Lepas bergayut lama, aku letak telefon. Tak larat sangat dapat sembang dengan si dia. Aku peluk kotak oren itu. Jiwang karat dengan kotak oren itu.

Menyedari Wan Ann dan Aiz tiba-tiba diam, aku musykil. Aku toleh ke belakang. Cik Hanita sedang berdiri cekak pinggang. Rupanya dari tadi Cik Hanita memerhatikan aksi gedik aku peluk kotak oren. Duh! Sleep walking ke Cik Hanita ni? Tengah-tengah malam buat spot check.

“Awak tahu tak sekarang pukul berapa?”

‘Satu pagi,’ aku jawab dalam hati.

Masing-masing tunduk menikus. Tidak berani bertentang mata dengan Cik Hanita.

“Balik dorm sekarang.”

Perlahan kami berjalan ala-ala geisha menuju ke dorm. Tatkala Cik Hanita hilang dari pandangan, kami gelak sampai ke dorm. Malu beb, kantoi aksi jiwang dengan warden.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277290/Budak-Kelas-Belakang