Bab Satu: Kelebihan & Kekurangan Dropship
Kelebihan Dropship
Memerlukan Modal yang Rendah
Tarikan paling kuat dalam bisnes runcit ini sehingga mampu menarik begitu ramai individu menceburinya adalah kerana, sesiapa pun dapat bermula dengan hanya bermodalkan akses Internet menggunakan telefon pintar, tablet, dan komputer.
Bisnes runcit yang biasa memerlukan modal yang besar bagi tujuan membeli stok sekurang-kurangnya dalam kuantiti minimum. Namun, menerusi model bisnes dropship ini, kita tidak perlu memesan produk sehinggalah pelanggan sudah membuat bayaran pembelian. Oleh itu, adalah tidak mustahil untuk kita mengorak langkah dalam bisnes ini.
Lokasi dan Masa yang Fleksibel
Kita dapat melakukan bisnes dropship ini pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Asalkan dapat berkomunikasi dengan pelanggan dan juga pembekal secara mudah menerusi Internet.
Pilihan Produk yang Pelbagai
Oleh kerana kita tidak perlu membeli stok sendiri terlebih dahulu, maka ia membolehkan kita menawarkan seberapa banyak produk daripada pelbagai pilihan kepada bakal pelanggan di laman sosial kita tanpa sebarang kos tambahan.
Mudah Memulakannya
Model bisnes ini didapati amat mudah kerana kita tidak perlu mengendalikan produk secara langsung. Kita tidak perlu ‘pening kepala’ dengan urusan seperti menyewa tapak gudang ataupun stor, pengendalian pembungkusan dan penghantaran produk, sistem tracking (jejak produk) bagi tujuan inventori, perakaunan, dan lain-lain.
Mudah Mengendalikannya
Dalam bisnes runcit konvensional, apabila kita mendapat tempahan tiga kali ganda banyaknya daripada biasa, bermakna kita juga perlu ‘mengerah’ tenaga sehingga tiga kali ganda daripada biasa.
Namun, dalam model bisnes runcit dropship ini, meskipun pembelian pelanggan dengan kita meningkat tiga kali ganda, kerja-kerja tambahan yang disebut tadi tetap terletak atas pihak pembekal.
Apabila jualan bertambah, bermakna kerja-kerja juga akan bertambah. Ini termasuklah urusan khidmat pelanggan. Namun yang pasti hasil tuaian yang diperoleh itu jauh menguntungkan memandangkan konsep bisnesnya yang mudah. Justeru, tidak hairanlah mengapa konsep bisnes ini menjadi daya tarikan yang paling utama kepada orang ramai.
Namun, kita juga perlu ingat bahawa dalam apa jua jenis bisnes, risikonya tetap ada dan perlu diambil perhatian.
Kekurangan Dropship
Keuntungan yang Rendah
Ini antara kelemahan ketara dalam dunia persaingan bisnes dropship yang sangat sengit. Oleh kerana kita dapat bermula dengan begitu mudah pada kos modal yang juga sangat minimum, maka ramailah peniaga (ejen-ejen) akan menawarkan pilihan produk mereka pada harga yang sangat rendah demi mendapatkan jumlah pembelian yang tinggi.
Bagi tempoh yang singkat, pendekatan itu mungkin berkesan (misalnya bagi tujuan promosi). Namun, sekiranya keadaan itu berterusan maka lambat-laun peniaga sendiri akan menjadi ‘lelah’ dan akhirnya tidak mendapat keuntungan apa-apa, malah mungkin merugikan. (Kita akan sentuh semula mengenai isu ini pada Bab 5 nanti).
Isu Inventori
Sekiranya kita mempunyai stok sendiri, maka mudahlah untuk kita mengetahui produk mana yang masih ada dan produk mana yang sudah kehabisan stok.
Namun, oleh kerana kita berurusan dengan pihak ketiga yang bertanggungjawab menguruskan penghantaran kepada pelanggan, bermakna jumlah stok yang ada sentiasa berubah-ubah pada setiap hari (inventori).
Maka, di sinilah cabaran kepada peniaga dalam memainkan peranan yang aktif semasa berurusan dengan kedua-dua pihak pelanggan dan juga pembekal.
Isu Penghantaran
Sekiranya kita berurusan dengan beberapa pembekal, bermakna produk yang kita iklankan datang daripada sumber yang berlainan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan menyukarkan urusan dari segi kos penghantaran atau pengeposan, terutamanya kepada peniaga yang menggunakan platform blog dan web yang biasanya mempunyai sistem janaan automatik.
Sebagai contoh, sekiranya seorang pelanggan membuat pembelian bagi tiga jenis produk daripada tiga pembekal yang berbeza. Ini bermakna, kita perlu membayar kos penghantaran yang berbeza kepada setiap pembekal.
Walau bagaimanapun, adalah ‘tidak molek’ sekiranya kita mengenakan kesemua caj itu kepada pelanggan berkenaan, kerana itu akan meninggalkan tanggapan yang ‘kurang senang’ kepada pelanggan bahawa kita meletakkan kos caj yang tinggi kepada mereka.
Kesilapan Pihak Pembekal
Ada kalanya, berlaku juga kesilapan semasa proses pembungkusan dan penghantaran dibuat kepada pelanggan. Kesannya, pelanggan mungkin menerima produk yang salah, produk yang diterima sudah rosak, ataupun tidak mencukupi. Dalam kes sebegini, pihak pembekal tidak akan dipersalahkan. Sebaliknya kitalah yang akan bertanggungjawab!
Oleh itu, sekiranya kita berurusan dengan pembekal yang rendah kualiti perkhidmatannya, maka secara tidak langsung keadaan itu turut menjejaskan reputasi bisnes kita di mata pelanggan.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79574/buat-duit-dengan-dropship