PROLOG
NINA menundukkan mukanya. Kebelakangan ini, hatinya jadi tak keruan… mimpi itu datang lagi. Makin kerap kebelakangan ini. Mimpi yang muncul setahun lalu, yang sudah dilupakan atas nasihat Kimi. Namun kini, Nina merasakan seperti semua itu akan benar-benar terjadi. Sama seperti yang dia lihat dalam buku tafsir mimpi milik mummy. Mungkinkah umurnya tidak panjang? Hmm… entahlah! Hatinya makin mendesah. Kadang-kadang apabila difikirkan, mungkin lebih baik begitu daripada perlu hidup dalam kesedihan. Sedih kerana perlu memilih perpisahan walaupun Nina amat menyayangi Kimi. Walau Nina tahu yang dia tidak akan sanggup berpisah dengan Kimi. Kimi sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya terlalu lama.
Ahh! Mana mungkin mereka dapat bersama lagi selepas apa yang terjadi. Lebih pedih lagi, dia tak mampu untuk menceritakan perkara sebenar. Air matanya yang mula mengalir diseka perlahan. Bimbang dilihat oleh kawan-kawan yang masing-masing menunggu dijemput oleh keluarga. Hatinya semakin resah apabila mengingatkan kandungan SMS tadi. Kebelakangan ini, Nina telah cuba menghindarkan diri daripada bertemu dengan Kimi. Bukan dia tidak rindu. Separuh mati dia menyimpan rasa itu dalam hati. Tapi Nina takut dia tidak akan mampu menyembunyikan gelisah rasa di hati. Ditambah pula dengan rasa bersalah, maka panggilan demi panggilan daripada Kimi dibiarkan sepi tidak berjawab.
Namun semakin Nina mengelak, semakin Kimi tidak mahu mengalah. Nina tahu dan teramat pasti yang Kimi tidak akan mengalah langsung. Nina tersenyum nipis, sekurang-kurangnya dia tahu yang dirinya disayangi. Kenyataan yang tidak pernah Nina sangsikan sejak dahulu dan sampai bila-bila. Namun senyum itu bergaris cuma sebentar… kemudiannya menghilang apabila menyedari kenyataan diri.
Air mata turun lagi membasahi pipi. Laju, bagaikan hujan lebat. Nina melabuhkan beg sandang di atas riba, diselongkarnya isi beg mencari telefon bimbit. Hmm… telefon terselit di antara poket beg di sebelah dalam. Jari-jemarinya mula bermain dengan butang-butang sambil mencari mesej yang diterimanya petang tadi. Mesej yang membuatkan Nina tidak tentu arah. Dibacanya mesej itu sekali lagi.
Saya jemput awak lepas kelas, pukul sebelas kan? Kereta biasa.
Mesej yang sedikit pelik kerana menggunakan perkataan ‘saya’ dan ‘awak’. Ahh! Mungkin sikap Nina sekarang membuatkan Kimi tidak betah berbahasa seperti selalu. Namun Nina perlu membuat keputusan. Perlu berani berhadapan dengan Kimi. Tidak kiralah apa pun harga yang perlu dibayar kemudiannya. Beberapa hari ini mindanya ligat berfikir dan dia sudah nekad, masalah ini perlu diselesaikan.
Terdengar hon kereta dibunyikan. Nina menoleh. Kereta Proton Satria kelabu itu sudah menunggu di seberang jalan. Sedikit jauh ke hadapan dari tempat dia duduk. Pelik! Selalunya Kimi tidak begini. Kalau boleh Kimi akan pastikan Nina cuma perlu melangkah masuk apabila pintu kereta dibuka.
Nina tersenyum lagi. Kimi terlalu memanjakannya.
Nina memandang sekeliling, rupa-rupanya kawan-kawannya tadi semuanya sudah berlalu tanpa dia sedar. Terlalu jauh rupanya dia dibawa berkelana dalam minda. Nina bangun dan melemparkan senyuman ke arah satu-satunya kawan yang masih menunggu berhadapan pintu pagar. Jantung Nina berdebar kencang secara tiba-tiba. Tak pasti kenapa. Tapi tak mengapalah! Nina sudah nekad. Segalanya perlu diselesaikan malam ini juga.
Pintu kereta di bahagian penumpang dibuka perlahan. Nina tidak memandang Kimi yang duduk di tempat pemandu. Terus saja dia melabuhkan punggung dan pintu kereta ditutup. Tiada sapaan seperti selalu. Sepi. Deria baunya menangkap bauan yang berlainan sekali. Ini bukan wangian yang selalu dipakai Kimi. Sudah bertahun menjalin hubungan, Nina kenal benar dengan wangian yang tidak pernah sekali pun bertukar. Ini bukan wangian pilihan Kimi. Nina cukup pasti.
Dengan perlahan kepala ditolehkan ke kanan. Matanya menangkap imej yang paling dibenci. Nina cuba untuk menjerit dan tangannya kalut mencari pintu. Terasa tangan yang sasa dan kasar itu menekup hidungnya dengan sehelai sapu tangan.
Detik itu juga, segala fungsi badannya seperti kaku perlahan-lahan. Namun telinganya masih dapat menangkap ucapan yang berbalam-balam, “Bukan Kimi yang hantar SMS tu, tapi aku! Hahaha….” Bunyi ketawa itu perlahan-lahan hilang, bersama hilangnya Nina malam itu….
1
Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya.
Sepuluh tahun kemudian
SEORANG LELAKI India berdiri memandang ke langit. Dia kemudian menyeka peluh di dahi. Guni yang separuh terisi digalas di bahu kiri manakala tangan kanannya pula memegang sebatang besi panjang dengan diameter sebesar ibu jari. Hari ini, pencariannya kurang berhasil, tidak seperti selalu. Dia mendesah. Kalau pulang dengan tangan kosong, pasti dia akan dimarahi isterinya. Isteri cantik yang mirip pelakon Aishwarya Rai sewaktu mudanya dahulu memang amat disayanginya.
Dia menguis sampah yang berlonggok dan tidak sekata di sana sini. Setelah melakukannya beberapa kali, akhirnya terdengar bunyi berdenting seperti besi berlaga. Rona wajahnya yang tadi sugul bertukar menjadi sedikit jernih. Dia menguis lagi sekali. Bunyi itu datang daripada plastik bungkusan uncang beras yang terikat kemas. Dia tersenyum melihat hasil yang bakal diperoleh. Di dalamnya terdapat banyak tin susu dan juga tin minuman ringan bercampur-campur.
Dia menundukkan badan lalu menarik bungkusan itu lantas memasukkannya ke dalam guni. Isi yang separuh sudah menjadi hampir penuh. Dia kemudiannya mendongakkan mukanya ke arah langit. Matahari sudah tinggi rupanya. Apabila memandang sekeliling, kelihatan beberapa orang kawan yang senasib masih tekun mencari. Seorang lelaki Melayu, yang merupakan kawan yang selalu menceriakan hidupnya, melambaikan tangan. Dia membalas lambaian tersebut.
Lelaki India itu menyeka peluh yang bercucuran jatuh di bahagian dahi dan pipi dengan tuala Good Morning yang sudah hampir kusam. Bekerja di bawah panahan cahaya matahari memang memenatkan. Namun dia tiada pilihan. Hanya itu sahajalah kerja yang terdaya dia lakukan dengan keadaan kesihatannya sekarang. Dia mengeluh. Banyak mulut yang perlu disuap, duit untuk persekolahan anak-anak dan belanja yang lain-lain. Kehidupannya, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang… entah bila akan berubah.
Matanya terarah kepada longgokan sampah yang baru dibuang di hujung sebelah kirinya. Nampaknya timbunan itu masih belum terusik. Dia mula melangkah ke arah itu dengan perlahan dan berhati-hati. Di dalam longgokan sampah sebegini, bermacam-macam benda berbahaya boleh ditemui. Tidak ubah seperti jerangkap samar.
Kawasan yang dituju itu, sedikit terpinggir dari seluruh tapak pembuangan. Ada belukar kecil memagari kawasan itu. Ada juga pepohon sederhana tinggi di sana sini. Boleh juga dibuat tempat berlindung apabila penat berjemur nanti. Dia kemudiannya berdiri sambil bercekak pinggang. Harap-harap nasibnya bertambah baik. Mungkin lebih baik daripada tadi. Dia kemudiannya mula menguis ke sana ke mari.
Tidak sampai setengah jam, tiba-tiba terasa pundi kencingnya yang penuh, minta dikosongkan. Tubuh badan terasa merinding, dia tak mampu menahan lagi. Perlahan dia melangkah ke arah belukar berdekatan. Mencari sudut yang sedikit tersembunyi lalu melepaskan hajatnya. Hmm… lega. Tiba-tiba telinganya menangkap suatu bunyi berdengung. Seperti bunyi lalat menghurung sesuatu. Selajur itu juga hidungnya mula terhidu bau busuk yang amat kuat. Hairan! Kenapa tadi dia tidak perasan langsung?
Lelaki India itu mengemaskan seluar. Setelah itu, dia mula tercangak-cangak mencari arah bunyi itu. Baru melangkah beberapa tapak, dia ternampak bungkusan putih seperti cadar membaluti sesuatu terlindung di sebalik semak. Dadanya mula berdebar kencang. Hati berasa tidak enak. Minda pula seperti sudah dapat meneka apa yang menanti di sebalik balutan cadar yang berbentuk seperti bantal peluk itu.
Dia menoleh mencari kelibat kawannya yang masih ada di hujung sebelah kanan. Dia tidak mahu melakukannya berseorangan, dia mula melaung.
“Pak Dollah! Pak Dollah! Mai sini sekejap.” Dia melambai. “Cepatlah sikit!” Suaranya sedikit cemas.
“Kenapa Maniam? Aku tengah buat kerja ni!”
“Mai la… cepat sikit!” dia melaung lagi. Kali ini lebih keras bunyinya.
Lelaki yang dipanggil Pak Dollah itu bergerak menghampirinya. Dia mula menutup hidung apabila semakin hampir. Matanya bulat memandang lelaki India yang bernama Maniam itu. Dagu diangkat beberapa kali sebagai isyarat bertanya. Matanya terarah ke tempat yang dituding oleh Maniam tu.
Muka Pak Dollah berona sangsi. Jari telunjuk dan ibu jari semakin ditekan ke hidung. Tidak tahan menghidu bau yang meloyakan itu. Maniam mula menarik tangan Pak Dollah, mengajaknya mengatur langkah menghampiri bungkusan cadar itu.
Mereka akhirnya berdiri pada jarak dua langkah dari bungkusan yang mengeluarkan bau busuk itu. Pak Dollah memberanikan diri bergerak setapak ke hadapan, menundukkan badan dan menyelak hujung cadar. Hampir luruh jantungnya apabila melihat tapak kaki manusia terjulur di sebalik cadar tersebut.
Maniam dan Pak Dollah berpandangan. Muka masing-masing berubah pucat. Tanpa berlengah, mereka terus mengambil langkah seribu seperti sedang dalam acara larian 100 meter.
AMMAR HAKIMI Ahmad Kamal berdiri merenung landskap yang terbentang luas di hadapan matanya lalu melepaskan nafas berat.
Setiap hari, dia cuba memenuhi harinya sebaik mungkin. Menyibukkan diri sehingga menjelang malam. Tujuannya cuma satu, dia tidak mahu memberikan masa kepada minda dan hatinya untuk mengenang perkara lama. Namun dia juga tahu, walau sekuat mana dia mencuba… beban yang membelenggu dirinya sejak sekian lama masih belum mahu pergi. Kata emak, dia masih terpenjara dalam tembok kenangan yang dia bina sendiri.
Namun bagi Kimi, emak atau sesiapa saja pun… tak mungkin akan faham. Kenangan pahit itu ialah sebuah cerita yang tak pernah mahu meninggalkan mindanya. Semuanya seperti cerita yang penuh tanda soal dan jawapannya tak pernah dia temui hingga kini. Persoalan itu membuatkan dia merasa terkilan lalu terus mengikat dirinya dengan masa lalu.
“Kimi… Kimi. Aku rasa, kau lebih baik bekerja daripada bercuti. Apabila cuti aja, macam tulah kau. Menung sana, menung sini. Sudah-sudahlah kau fikir perkara lama tu….” Zuki tiba- tiba bersuara dari arah belakang.
Kimi berkalih menghadap Zuki. Dia melontarkan senyum nipis. Kata-kata Zuki itu sudah diulang siar berpuluh kali. Kalau diibaratkan perakam kaset, rasanya sudah lama rosak kerana terlalu kerap dimainkan semula. Dan dia tahu… tak ada gunanya dia menjawab.
“Ke mana pula kau kali ni?” soal Kimi apabila melihat Zuki sudah siap berpakaian lengkap dengan beg sederhana besar.
“Dubai. Tiga hari saja. Nak meeting sekali dengan close deal dengan kompeni kat sana.” Jawab Zuki masih tersenyum. “Kau cari je buah hati sorang. Lama-lama, kau lupalah semua tu. Apa… kau nak aku rekomen ke?” soal Zuki tersenyum nakal.
“Kau tak faham… dan tak ada sesiapapun akan faham,” jawab Kimi ringkas. “Lagipun, kalau kau nak bagi aku salah sorang daripada stok makwe kau yang keliling pinggang tu… terima kasih ajalah. Aku tak mau!” Kimi tersengih.
“Aku tahu tu. Kau tu… bukannya payah sangat kalau nak cari. Dengan muka kau yang iras-iras Rashidi Ishak, badan yang tinggi dan tegap macam Salman Khan tu… berlambak minah-minah yang akan rela keluar dengan kau. Kau aja yang tak nak. Kalau kau tersengih dengan gigi ketuk kau yang terjulur keluar tu dan dengan pandangan mata sedingin salju tu, bukan minah-minah kat luar tu saja yang terpikat tau. Aku pun naik terpikat jugak.” Zuki tersengih di hujung ayat.
“Isy kau ni, buat aku seram. Dahlah aku menumpang kat rumah kau ni. Buatnya kau buang tabiat betul-betul…” Kimi buat aksi seram sejuk. Zuki ketawa berdekah-dekah sampai terhinggut-hinggut bahunya.
“Dahlah! Aku gerak dulu. Flight aku pukul satu petang, takut tak sempat pulak.”
“Nak aku hantar?”
“Tak payah! Abang Pian dah standby kat bawah,” jawab Zuki sambil mula menarik beg berodanya. Kimi mengangguk dan mereka bersalaman.
Usai Zuki berlalu, Kimi kembali berdiri di beranda kondominium kepunyaan Zuki di tingkat sebelas. Mata Kimi tertancap ke arah hamparan laut membiru yang melatari pandangan di hadapannya. Dari jauh, jelas kelihatan Jambatan Pulau Pinang berdiri tegak merentasi selat. Lambang kemegahan dan merupakan mercu tanda negeri Pulau Pinang. Bangunan kondominium ini dibina di atas tanah tebus guna di pesisiran pantai. Maka, sememangnyalah ia menjanjikan pemandangan yang cantik dan udara yang menyegarkan.
Hmm… kalau dikira pendapatannya sekarang, mana mungkin Kimi mampu menghuni di sini. Mahunya dia makan pasirlah di setiap hujung bulan. Dia sekadar memenuhi ajakan Zuki, anak Datuk Mat Labis yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis. Kata Zuki, rumah ini terlalu luas untuk dihuni berseorangan. Zuki tak pernah kisah tentang bayaran. Sementelah pula, Zuki kerap juga keluar negera atas urusan kerja. Maka kadang-kadang,rumah ini dibuat seperti harta mak bapak Kimi sendiri.
Kimi sebenarnya tak kisah sangat sama ada hendak tinggal di sini, atau berulang-alik dari rumah ibunya di kampung. Rumah di kampung pun, bukanlah jauh sangat. Cuma perlu menyeberangi Jambatan Pulau Pinang saja. Kalau tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, paling cepat, setengah jam… dia sudah mampu meletakkan keretanya di bawah pokok rambutan di hadapan rumah.
Keperluan untuk menghuni berdekatan dengan tempat kerja cuma datang jika dia terpaksa bekerja tidak tentu masa. Kadang-kadang sehingga awal pagi. Itu pun jika terdapat kes-kes berbangkit yang perlu diberi perhatian lebih dan diselesaikan segera. Makanya, ajakan Zuki itu, seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Rumah ini sudah jadi seperti rumah kedua untuknya.
Kimi menggeleng kepala dan menghela nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya semula. Hembusan itu kedengaran berat. Seperti cuba melepaskan segala yang bersarang di hati. Tiba-tiba dia teringatkan perbincangannya dengan Zuki sebentar tadi. Sudah berkali-kali perkara itu dibincangkan. Dia sudah lelah, sudah penat mahu membuat orang lain faham.
Kimi tahu niat Zuki baik dan dia sendiri bukan tidak pernah mencuba. Pernah! Malah berkali-kali. Namun setiap kali mencuba, setiap kali itu dia gagal.
Kimi sedar, selagi belum mendapat
jawapannya, selagi itu dia tak akan pernah tenang. Entah bagaimana mahu membuat orang lain faham yang buat sementara ini, hatinya sudah tertutup untuk semua perempuan. Cinta dan hatinya sudah dibawa pergi… lama dahulu.
Suara Marc Anthony yang tiba-tiba mengalunkan lagu My Baby You, mengejutkan Kimi. Itu bunyi nada dering telefon bimbitnya. Kimi bergerak masuk ke dalam, menjenguk sekilas pada skrin. Dia menggelengkan kepala sebelum menjawab panggilan itu.
“Helo! Ya, saya. Kat mana tu? Okey… saya akan sampai secepat mungkin.”
Kimi segera masuk ke bilik untuk bersiap. Tak sampai sepuluh minit, dia sudah lengkap berpakaian. Dicapainya kunci kereta dan telefon bimbit lalu terus melangkah keluar. Hatinya rasa senang tiba-tiba. Kalau orang lain, mungkin sebal apabila cuti-cuti begini diganggu. Namun bagi Kimi… lebih baik bekerja daripada duduk termenung mendera jiwa.
Sebaik melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu, dia menghidupkan enjin serta penyaman udara. Automatik lagu Imran Ajmain berkumandang. Lagu Seribu Tahun itu, cukup dia suka. Lagu yang menggambarkan penantiannya selama ini. Dia menyandarkan kepala di kusyen kereta sambil memejamkan mata. Tiba-tiba, makin terasa sesak dadanya. Gusar memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menantinya di sana… dia terus saja menekan butang ‘off’. Suasana menjadi senyap.
Dia menggelengkan kepala. Lagu itu tidak sesuai didengar buat ketika ini. Ketika hati dan minda telah dikocak ketenangannya oleh berita yang baru diterima.
Tangannya kemas memegang stereng kereta. Mata pula memerhati jalan yang bakal dilalui, namun mindanya sudah berkelana merentas masa. Tanpa sedar, dia sudah menghampiri tempat tujuannya. Dia memperlahankan kereta Waja yang dipandunya sebaik sahaja menghampiri Pantai Teluk Bahang. Kelihatan beberapa buah kereta polis diletakkan berderet di bahu jalan. Dia memberhentikan keretanya, keluar dan terus berdiri sambil bersandar di pintu. Dia tidak terus melangkah. Sekadar berdiri memandang ke hadapan dan menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan.
Setiap kali ada penemuan mayat wanita, Kimi diburu resah. Rasa hati berperang di dalam. Antara teruja, sayu dan marah. Segala rasa itu bercampur-campur, sukar untuk diluahkan. Menghadapi kes-kes sebegini, membuatkan hatinya seperti dihempap oleh benda yang teramat berat. Dia bimbang, dan pada waktu yang sama, tidak pasti bagaimana untuk menghadapinya jika mayat itu adalah orang yang ditunggunya selama ini….
Lama Kimi termenung di situ. Dia akhirnya berjalan memasuki lokasi pembunuhan yang dipagari pita berwarna kuning. Memandang sekeliling. Menyorot kelibat Inspektor Ganesan yang sedang menyoal dua orang lelaki di bawah pokok yang berhampiran jalan. Jauh berhampiran semak, Sarjan Adli seperti sedang mencatatkan sesuatu, sambil matanya merenung ke arah apa yang ditunjukkan oleh Dr. Ray, pakar forensik yang bertugas dengan pasukan polis.
“Selamat tengah hari, ASP Hakimi.” Inspektor Ganesan menegur sebaik sahaja dia melihat Assistant Superintendent of Police (ASP) Hakimi menghampiri.
“Selamat tengah hari! Inspektor Ganesan, macam mana? Apa kata orang yang temui mayat?” Kimi bertanya sambil memandang ke arah dua orang lelaki yang sedang ditemu bual.
“Mereka cuma pencari besi buruk, tuan. Lelaki India tu jumpa mayat masa nak buang air kat semak sana. Yang lagi sorang tu, beranikan diri buka cadar, apabila nampak kaki… mereka lari lintang-pukang sebelum buat aduan.”
Kimi cuma mengangguk, kemudian berjalan menghampiri lokasi mayat ditemui. Sarjan Adli yang sedang memegang buku nota dan pen tersenyum ke arahnya. Beberapa orang anggota lapangan jenayah yang berada di sekeliling tempat itu untuk mencari bukti cuma menganggukkan kepala.
Sarjan Adli memberikan salam dan Kimi menjawabnya perlahan.
“Ada apa-apa penemuan penting?”
“Mayat seorang wanita. Lingkungan umur dua puluhan. Mungkin sudah dibuang lebih daripada tiga hari. Mayat dibungkus dengan cadar, so… kita akan proses bukti pada mayat di makmal. Ada kesan tapak kasut di atas tanah. Bekas tapak kasut tu nampak jelas juga.”
Kimi tunduk memandang mayat yang sudah
mula berbau. Dadanya mula berdebar.
Dr. Ray, pakar forensik yang sedang memeriksa mayat mendongakkan mukanya memandang Kimi. Dia menyelak penutup mayat hingga menampakkan muka mangsa. Kimi terdiam. Dia merasa lega.
Sah! Perempuan itu bukan Nina yang dia
cari.
“Sesak nafas akibat dicekik, tengok ni…” Dr. Ray menunjukkan kesan lebam pada leher mangsa. “And this… she didn’t give up easily I guess.” Dr. Ray mengangkat tangan mangsa dan menunjukkan kesan darah pada kuku mangsa. Kimi mengangguk faham.
“Anything else doc?”
“The rest, I will tell you when I finish with her in my office….” Dr. Ray tersenyum ke arah Kimi.
Kimi bangun meninjau sekeliling. Kawasan ini terletak lima puluh meter dari tempat pembuangan. Daripada pemerhatiannya, mayat mungkin dibawa dan dibuang sendiri oleh pembunuh tersebut. Bukan datang daripada lori sampah. Ada kesan tapak kasut jelas kelihatan di atas tanah. Mungkinkah kesan tapak kasut itu memang milik orang yang membuang mayat itu ke sini?
“Hmm… nampak jelas sekali. Tapi print yang sebelah kanan… nampak lebih dalam. Kalau tak silap saya… anggarannya saiz sepuluh atau sebelas,” ujar Kimi sambil tersenyum kepada ahli lapangan jenayah yang sedang memfoto kedudukan tapak kasut itu.
“Hmm… saya pun rasa begitu, tuan,” balasnya. Kimi hanya menganggukkan kepalanya, lantas berkalih dan bergerak ke arah Dr. Ray.
“Any ID?” Kimi bertanya lagi mengenai pengenalan diri pula.
“So far none, but she’s definitely a Malaysian. Here… a BCG scar, sangat jelas.” Dr. Ray menunjukkan lengan mayat yang berparut kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG). Kimi tunduk memerhati dan mengangguk kepalanya perlahan.
“Okay, I’ll wait for the report then.” Kimi mengangguk ke arah Dr. Ray, dibalas anggukan juga. Mereka sudah faham bidang tugas masing-masing setelah bekerjasama selama beberapa tahun kebelakangan ini. Kimi tahu, Dr. Ray memang seorang yang sangat teliti dalam melakukan kerjanya.
TOK! TOK! TOK!
Kimi menjenguk ke dalam makmal Dr. Ray. Dr. Ray sedang menundukkan mukanya sambil memeriksa mayat yang terbaring di atas meja. Dia mendongakkan kepalanya. Sekilas dia tersenyum memandang ke arah Kimi dan kembali
menyambung kerjanya.
Kimi bergerak menghampiri Dr. Ray. Mayat gadis yang baru ditemui itu dipandangnya dengan pandangan yang sayu. Kesian! Umur semuda ini, sudah menjadi mangsa manusia berhati syaitan.
Setiap kali menerima kes wanita mati
dibunuh dan melihat mayat mereka seperti sekarang, pasti akan mengundang rasa syahdu di hati Kimi. Serta-merta wajah Nina berlegar dalam ruang mindanya. Dia amat berharap, moga ini bukanlah nasib yang sudah dilalui oleh Nina. Rasa sesak nafas hingga ke kerongkong mula menjalar. Dada mula sebak. Dia menggelengkan kepala, mengusir rasa yang tiba-tiba menjengah.
“Hmm… dah tak sabar nak tunggu repot saya?” Dr. Ray tiba-tiba bersuara sambil tergelak kecil.
“I want to start with something, what I have with me now, leads me to nowhere.” Kimi berdiri betul-betul di sebelah mayat tersebut.
“Actually, I was planning to give you a call, you might want to see this.” Sambil bercakap Dr. Ray berjalan ke meja sebelah. Dia mendapatkan peket plastik lut sinar berisi sesuatu. Kimi hanya memerhati, memberi peluang kepada Dr. Ray menjelaskan penemuannya.
“Butang baju dan seurat benang, tergenggam di tangan kiri mangsa. And… come and see this.”
Dia menarik tangan kiri mangsa yang tergenggam dan membukanya sedikit. “Nampak macam nombor telefon. 016-4353931, masih boleh dibaca walaupun sedikit kabur. This will lead you to somewhere… I really hope so.” Dr. Ray tersengih.
Kimi turut tersengih sambil menunjukkan isyarat bagus. Plastik berisi butang tadi dimasukkan ke dalam kocek bajunya. Buku nota kecil ditarik dari dalam kocek yang sama.
“Hmm… let’s hope so.”
Kimi menyalin nombor tersebut. Mencapai
telefon di kocek seluar dan terus mendail nombor Sarjan Adli. Dia memberikan nombor tersebut dengan arahan supaya siasatan dibuat segera.
Dr. Ray tersenyum ke arah Kimi. Dia membuat isyarat bagus, lalu mengangguk kepala sekali gus. Kimi tergelak kecil.
“Kena pantas. It’s part of our responsibility. Lagipun, bukan you tak tahu perangai Tuan Rasyid tu. He wants everything to be fast and perfect.”
“Betul tu.” Dr. Ray tergelak kecil sebelum berkalih menghadap mayat tadi semula. “Come! Let’s see this….” Dr. Ray mengambil lampu kecil seperti sebatang pen. Tangan kirinya menyelak kelopak mata mangsa dan menyuluh ke situ. “As you can see, there are small red splotches in the eyes, dan ada juga sedikit pada mukanya. Saya pasti akan ada benda yang sama kalau kita investigate the lung… petechial hemorrhages.”
“Mangsa dicekik, macam you cakap masa kita kat dumping site,” ujar Kimi sambil matanya masih memerhatikan mangsa.
Dr. Ray mengangguk.
“I’ll pass to you the rest of the report, especially on stomach contents and time of death, later.”
Kimi mengangguk. “Okey! Lebih cepat, lebih bagus.”
Dr. Ray mengangguk lagi. Untuk kali kedua, tangan diangkat memberi isyarat bagus lagi sekali. Kimi cuma tersengih sambil mula beredar dan membuka pintu untuk keluar.
SEKEMBALINYA ke bilik, Kimi mendail nombor Inspektor Ganesan. Lama menunggu, namun panggilan tidak dijawab. Gagang telefon diletakkan semula.
Sambil melabuhkan punggung di kerusi, bungkusan plastik tadi dikeluarkan dari kocek baju. Dia mengamati isi kandungannya. Hmm… kelihatannya seperti butang dan benang daripada pakaian jean. Warna biru pudar begitu, memang sinonim dengan fesyen jean.
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan di pintu membuatkan Kimi mengangkat mukanya. Daun pintu dibuka separuh. Kepala Inspektor Ganesan terjengul di situ.
“Tuan panggil saya tadi? Masa tu… kat dalam tandas. Macam tak sedap nak jawab,” ucapnya sambil tersengih.
Kimi menggamit, mengisyaratkan supaya Inspektor Ganesan masuk ke dalam. Belum sempat Inspektor Ganesan duduk dengan selesa, Sarjan Adli pula tiba dan berdiri di muka pintu.
“Hmm… eloklah tu. Dua-dua orang dah ada. Senang sikit kerja saya. Tak payah cakap dua tiga kali. Sarjan, masuklah. Kita ada banyak benda nak kena bincang.”
Sarjan Adli dan Inspektor Ganesan berpandangan dan berbalas senyum. Sambil itu, Sarjan Adli bergerak mengambil tempat di sebelah Inspektor Ganesan. “Okey! Sarjan, macam mana dengan nombor telefon yang saya bagi tadi. Dah siasat?”
“Dah, tuan. Nombor tu milik seorang wanita.
Katanya dia yakin tidak ada ahli keluarganya yang hilang. Tapi, ada menerima panggilan daripada adik kawannya beberapa hari lepas. Belum sempat nak bercakap banyak, talian terputus.”
“Hmm… kalau macam tu, awak kena pergi dapatkan dia. Tunjukkan gambar mangsa, mungkin dia boleh membuat pengecaman. Kalau betul, lebih cepat kita tahu latar belakang mangsa.”
“Baik, tuan.”
Kimi mengangguk, manakala tangannya mencapai peket plastik kecil yang diletakkan di atas meja sejak tadi. “Okey! Ganesan. Saya nak minta awak hantar sampel ni ke makmal untuk diproses.” Peket itu diserahkan kepada Inspektor Ganesan.
Peket yang dihulurkan itu, dicapai dan dibelek. Sarjan Adli turut sama menyendengkan badannya untuk memerhatikan isi kandungan plastik itu. “Hmm… nampak macam benang dan butang baju daripada kain jenis jean. Dapat daripada mangsa ke?” tanya Inspektor Ganesan sambil menyerahkan paket itu kepada Sarjan Adli.
Kimi mengangguk.
“Ya, memang tak salah lagi,” celah Sarjan
Adli.
“Ia tergenggam dalam tangan mangsa. Dapatkan jenis material. Kalau boleh… jenamanya sekali.” Arah Kimi lagi.
“Baik, tuan. Agaknya, mangsa tertarik butang tu semasa pergelutan. Harap-harap, ini permulaan yang bagus untuk siasatan kita,” sambung Inspektor Ganesan lagi.
“Hmm… harap-harap, macam tulah. Satu lagi, esok, saya dan Tuan Rasyid akan ke Bukit Aman untuk menghadiri mesyuarat. Jalankan siasatan dulu, kalau ada apa-apa masalah… beritahu saya. Sebelum Tuan Rasyid panggil kita menghadap, kena pastikan kita dah ada perkembangan.”
“Baik, tuan. Ada apa-apa lagi?” soal Inspektor Ganesan. Kimi hanya menggelengkan kepala. Kedua-dua pegawai bawahannya mengangguk dan mula bergerak keluar.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97184/Bougainvillea