[SNEAK PEEK] BILA SENA KEMBALI BERBUNGA 2

9789831245422-medium

BILA SENA KEMBALI BERBUNGA 2 Oleh Amaruszati Noor Rahim

Afikah

BARANGKALI tidak salah jika aku katakan, saat yang paling bahagia adalah saat dilamar lelaki idaman hati. Diri rasa bagai terapung-apung di dunia indah. Siapa yang ingin merangkak jika hati kepalang hendak terbang? Bagaimana aku hendak menolak sedang hati telah benar-benar sayang? Menolak bererti aku menghumbankan diri ke jurang yang dalam. Menerima bererti aku mencari padah kerana belum tentu aku diterima oleh keluarga di sekeliling orang tersayang, khasnya Datin Salmah.

Aku belum kenal Datuk Murad, papa Zek. Menurut Zek, papanya tiada masalah, ikut kehendak anak-anak tetapi selalu kecut dengan mama. Abang dan kakaknya juga tiada masalah. Betulkah tiada masalah? Bukankah abangnya yang beria-ia benar menukarkan Zek ke Kuala Lumpur sewaktu kami sama-sama bersekolah dulu, semata-mata kerana aku dan Zek begitu intim. Lagipun, tidak mustahil kakak dan abangnya juga akur kepada kehendak mamanya.

Aduhai! Pening aku dibuatnya. Yang boleh menenangkan hatiku sedikit, Nur Indah – adik Zek yang lebih mesra dipanggil Nano, hasil perkahwinan Datuk Murad dengan isteri pertamanya. Itupun mungkin disebabkan Nur Indah dulu adalah teman sebilikku.

Datuk Murad, walaupun ayah tiri Zek tetapi menurut Zek seorang lelaki yang baik. Cuma dia selalu mengalah kepada Datin Salmah kerana hidupnya dalam harta kekayaan Datin Salmah, hasil peninggalan arwah ayah Zek. Kalau beginilah ceritanya, aku dapat mengagak Datin Salmah jadi One Women Show dalam keluarganya. Argh! Aku tak sanggup.

Datin Salmah tentu kecewa bila Zek tidak mahu berkahwin dengan Suraya, sahabat baikku dulu, waktu aku bersekolah dengannya. Keputusan ini meruntuhkan tembok persahabatan kami. Suraya yang lebih glamor dengan nama Sue, seperti juga aku, tergila-gilakan Zek. Cuma cara kami berbeza.

Aku menggilai Zek dengan cara bermaruah, memendam rasa dan tidak pernah mengucapkan I love you, Zek! Suraya pula tidak cukup dengan I love you, I miss you, darling dan serba macam kata-kata yang mencengkam jiwa. Sebagai orang sosial, dia berani merangkul dan memeluk lelaki lain, apalagi Zek. Dia sememangnya lincah. Sebab tambahan – dia tahu Datin Salmah memang sayangkannya. Aku? Siapalah aku Datin Salmah nak cembung bergunung-gunung?

“Kesian, Sue!” Aku sebenarnya mengasihani Suraya. Ditangkap basah di hotel lima bintang mahupun di mana sekalipun adalah satu hal yang memalukan.

Menurut cerita Zek yang dapat aku fahamkan, Zek berserta adik dan abangnya mengatur rancangan untuk memerangkap Suraya. Sikap Suraya yang selalu bertukar lelaki menyebabkan Zek mual untuk menjadikannya isteri. Dengan penangkapan itu, Zek berharap harapan kami untuk hidup bersama tiada halangan lagi.

“Kenapa mesti kesian?” Zek selamba bertanya. “Selama ini dia ganggu hubungan kita. Sekarang… kita selamat.”

“Itu betul, tapi cuba awak bayangkan jika kita kena macam tu, jika kita kena tangkap basah. Nauzubillah!” Aku menggeleng, tidak sanggup membayangkan jika hal itu terjadi. Mana hendak letak muka kalau malu bertepek berkaki-kaki?

“Kita tak buat macam dia!” jawab Zek.

“Malu besar kalau terjadi macam tu.”

“Malu pada siapa? Masalah umat zaman kita ni… kita lebih malu sesama sendiri tapi tak malu pada TUHAN.”

“Awak tak rasa bersalah?” Aku menatap Zek sungguh-sungguh. Argh! Inilah aku sebagai perempuan – mudah marah dan mudah belas kasihan.

“Salah apa, Fika?” soal Zek.

“Yalah… awak yang mengatur rancangan sehingga dia ditangkap.”

“Tak. Saya bersyukur. Kalau tak buat macam tu, entah jantan mana pula yang dipeluknya. Sekurang-kurangnya saya dapat selamatkan dia dari noda.”

“Tapi Fika bimbang, Zek… Dia menikahi lelaki itu hanya kerana desakan keluarga, hanya kerana nak tutup malu, bukan kerana dia benar-benar perlukan lelaki tu. Bagaimana kalau dia curang lagi? Macam mana kalau dia tak betul-betul berubah?”

Zek tersengih. “Saya rancangkan Sue ditangkap basah kerana saya mahu dia insaf dan kembali ke jalan ALLAH. Itu yang saya harapkan. Sekarang, jika dia menyimpang dari harapan saya, apa lagi yang dapat saya katakan? Dia sudah bersuami. Tugas suaminya pula membentuk dia. Tapi…” Zek terdiam, menghela nafas, kemudian menyambung kembali, “Membentuk buluh tua yang tegak ke atas bukannya kerja mudah. Silap-silap ia akan patah!” tegas Zek.

Sekarang, walaupun Suraya telah berkahwin dengan lelaki itu, aku tahu Datin Salmah masih diselubungi rasa kecewa. Tidak mungkin perkahwinan Suraya akan memudahkan dia menerima aku begitu sahaja. Ramai lagi anak dara lain yang glamor, cantik, menggiurkan, anak datuk datin yang boleh disenaraikan untuk menjadi menantunya. Aku? Argh! Aku malas menyebut tentang taraf keluargaku kerana dari situ aku bermula dan aku bahagia kerananya.

“Saya serius…” Zek merenungku dalam-dalam.

“Fika tahu,” kataku, tunduk merenung air kelapa laut di depanku. Sebenarnya hati cukup sedih bila berbincang tentang hidup bersama. Aku berusaha menekan gejolak perasaan yang memukul dada. Tetapi aku tidak mampu menahan suara yang bergetar, ditunda perasaan yang pelbagai.

“Habis?”

“Datin Salmah…”

“Fika, awak mesti yakin. Saya akan pujuk mama.”

“Zek, kita kahwin bukan untuk sehari dua. Fika takut Datin Salmah tak ikhlas terima Fika.”

Aduhai! Diri tersingkir hanya kerana aku orang kampung, tidak glamor dan tidak berharta.

“Kita mesti cuba, Fika. Saya bukan minta kita kahwin terus. Fika teruskan pengajian, kita bertunang, lepas tu kahwin bila Fika dah tamat belajar. Soalnya sekarang, Fika mesti setuju. Kita sama-sama berusaha pikat hati mama. Pengajian Fika pun bukannya lama lagi. Cuma empat bulan.”

Aku mengeluh. Memenangi hati seseorang samalah dengan cuba menang dalam satu pertandingan. Semangat mesti teguh, mental mesti kuat, yakin pada diri, tabah hati. Apabila sanggup memberi komitmen, bererti sanggup juga menghadapi apa jua risiko yang bakal datang. Pihak lawan tentu juga tidak mahu kalah. Siapa yang bertanding tidak mahu menang. Sulitnya!

“Fika, jawablah seikhlas hati, awak memang sudi jadi isteri saya?”

Aku menatap Zek sebentar, kemudian tunduk kembali, mengacau air kelapa laut yang tinggal setengah. Kusedut sedikit, perlahan ia masuk ke tekak tetapi ia tidak mampu melegakan keresahanku.

Memang aku ingin menjadi isterimu, Zek. Mendambakan sekian hidup untukmu jua. Tetapi aku tidak boleh membuat keputusan hanya untuk kita.

Kata-kata itu hanya bergema di sudut hati. Aku menatap Zek. Pandangan kami bersatu memancarkan cinta yang padu. Aku dapat merasakan itu, jauh di dalam sudut hatiku.

“Awak memang sudi menjadi ibu kepada anak-anak saya?” tekannya lagi.

“Fika rasa tidak perlu menjawabnya. Awak boleh membaca setiap gerak Fika.”

“Kalau begitu, apalagi? Setujulah dengan saya. Awak mesti persiapkan diri untuk bertemu mama.”

“Fika keberatan Zek. Datin tu belum tentu terima Fika.”

Aku gelisah. Desakan Zek membuat aku kian tersepit antara mahu dan tidak, antara takut dan hendak.

“Saya perlu bawa Fika jumpa mama. Mungkin dia belum terima Fika seratus peratus, tapi Fika mesti cuba ambil hati mama sedaya upaya dengan segala apa yang ada pada Fika.”

“Fika ni serba kurang pada pandangan datin tu.”

“Kerana itulah saya mahu Fika tunjukkan pada mama, Fika boleh jadi orang yang sempurna walaupun tanpa harta.” Zek terus memujuk.

“Tak ada orang yang sempurna, Zek.”

“Memang tak ada, tapi sekurang-kurangnya awak berusaha jadi sempurna.”

Aku mengetap bibir, merenung Zek. Memang bukan mudah bercakap dengan Zek. Dia pantas mematahkan kata-kataku.

“Fika takut…”

“Fika mahu kita terus begini? Bercinta tanpa restu orang tua, lepas tu gagal hidup berdua?” bidas Zek, pantas namun dengan nada biasa. “Cuba Fika fikir ke mana hendak kita campak setia derita kita selama ini kalau cinta kita punah begitu saja. Saya tak sanggup memikirkannya.”

Dia merenungku dalam-dalam sehingga aku tertunduk.

Aku juga tidak sanggup menghadapinya, Zek. Aku juga tidak mahu kehilangan engkau. Tapi bagaimana?

Aku menarik nafas panjang, melepaskannya perlahan. Bagaimana dapat kuhadapi semuanya ini? Masih terbayang-bayang kelibat Datin Salmah yang garang datang menyerang ketika aku menjalani latihan praktikal di ZAM Publishers, syarikat penerbitan milik Zek.

Malunya aku, TUHAN sahaja yang tahu. Pedihnya hati, sakitnya hati, tak usah dicerita lagi. Sindiran mamanya masih terngiang-ngiang di telinga. Datin Salmah fikir aku terlalu laparkan harta anaknya walhal aku kenal Zek sebelum aku tahu Zek anak Datin Salmah yang kaya-raya. Bagaimana dapat aku menghadapi perempuan itu? Dia telah dibutakan oleh harta. Dapatkah aku mencelikkannya dengan sikap dan bahasa sederhana yang ada padaku?

“Saya tak mahu kecewa. Saya tak mahu kehilangan awak, Fika. Kita mesti berusaha untuk bersatu,” rayu Zek. “Kita cuba dulu, Fika. Saya yakin suatu hari nanti awak dapat menawan hati mama.”

Lambat-lambat aku mengangguk. Barangkali anggukanku ini akan memberi warna indah untuk hidupku. Barangkali juga akan menghadiahkan warna kumal yang menjelikkan hari depanku. Siapa tahu? Tiada siapa dapat menjangka apa yang akan berlaku. Lazim benar yang berlaku tersasar dari jangkaan.

Argh! Apa salahnya jika aku mencuba? Jika aku tak berani melakukannya, hubungan kami akan tergantung-gantung. Untuk waktu itu, aku terpaksa memberanikan diri menerajang jauh segala rasa khuatir, gundah dan tentangan yang negatif. Aku cuba berdiri untuk memaknakan diri.

Aku teringat kata-kata Nur Indah. “Hamka pernah berkata, hidup di dunia ini laksana lautan yang jarang tenang, airnya beriak, berombak dan bergelombang. Pada laut, ada susah dalam senang, ada senang dalam susah.”

Manalah tahu dalam kesusahan itu ada kesenangan untukku. Sememangnya setiap insan berharap begitu. Tidak salah jika aku mencuba, bisikku pada diri. “If you do your best, whatever happens will be for the best! Come on! Wake up and get it!”

****

Zek

“TIDAK ada orang Iain lagi nak kau sebut. Afikah! Afikah! Afikah! Mama dah jelak!” sergah mama. “Kalau kau betul-betul nak kahwin sangat, mama boleh carikan. Itu… anak Dr. Rosdi, cantik juga, keluarga dia pun okey. Anak Datuk Sulaiman tu, lagi cantik, ada syarikat hartanah, bagus juga tu… anak…

“Mama, cukuplah tu. Walau seribu pun anak-anak jutawan mama bariskan depan Zek, Zek tak akan berganjak. Hati Zek tetap pada Fika.”

“Hei! Apa kena dengan kau ni, Zek?” Mama mencekak pinggangnya memandangku. Rambut di kiri dan kanan pelipisnya yang bergulung-gulung ikut bergoyang.

Aku menggaru kepala lalu menghenyakkan punggung ke sofa. Tenggelam di dasarnya tidak bererti aku tenggelam punca untuk berhujah dengan mama.

“Apa yang tak kena dengan Fika, mama? Zek bukan cari isteri untuk Zek seorang. Zek juga cari anak perempuan baru untuk mama, yang boleh jaga mama.”

“1 don’t care! You must learn to forget her!” Macam selalu mama mahu orang patuh pada kata-katanya. Tapi aku tidak akan ikut pada arahan diktator secara membuta tuli.

“Mama yang perlu belajar menerima Fika, seadanya!” Tegasku lalu bergegas naik ke atas, meninggalkan mama terjerit-jerit memanggil namaku.

“ABANG jangan mengalah,” kata Nano, sebaik sahaja aku meluahkan kebuntuanku kepadanya. “Mama memang berhak ke atas abang tetapi abang lebih berhak memilih pasangan hidup abang. Abang yang mahu berkahwin dan abang yang akan menjalankan kewajipan ke atas pilihan abang. Kata John D. Rockefeller, setiap hak mengandungi tanggungjawab, setiap kesempatan mengandungi satu keharusan, setiap milik mengandungi kewajipan.” Tercetus kata-kata hikmat.

Aku menyelak rambut ke belakang berulang-kali. Aku dah lali dengan mutiara kata dari Nano. Semenjak usianya 13 tahun, dia rajin mengumpul kata-kata hikmat.

“Abang buntu. Selesai masalah Suraya, mama beri pula masalah baru. Kenapa mama tu benci sangat dengan orang kampung, padahal dia pun datang dari kampung juga?”

“Alah mama tu… takkan abang tak faham. Dia tak pernah mahu kalah. Malulah mama kalau dia mengalah pada abang. Nano tak suka abang mengalah. Nano tahu Fika betul-betul cintakan abang. Kalau abang mengalah, habis!”

Aku menggeleng. Aku tidak sanggup menghancurkan harapan Afikah. Aku juga tidak rela meleburkan harapan kami. Sungguh!

“Mungkin ini pengalaman buruk abang untuk memiliki Fika. Tapi apa abang nak gusarkan? Apabila sampai di hujungnya, barulah abang tahu yang buruk itu akan berakhir dengan yang baik,” pujuk Nano.

“Abang harap begitulah. Abang sendiri serba salah. Abang tak sanggup lukakan hati mama, tapi abang juga tak sanggup mencurah racun ke dalam diri abang sendiri. Apa lagi Fika.”

“Abang mesti cuba, mana tahu…”

Kata-kata Nano itu menyuntik semangat untukku. Dua tiga minggu juga aku tidak menyebut nama Afikah di depan mama. Mama juga tidak menyebut nama Afikah di depanku. Nama perempuan-perempuan lain pula disebutnya berulang kali. Aku hanya pekakkan telinga dan buat tidak tahu. Papa selalu mencuri pandang ke arahku. Dia barangkali faham dengan hati dan perasaanku.

KONFLIK yang berlaku menyebabkan hubungan kami sekeluarga menjadi renggang seketika. Suatu hari, papa membuka mulut juga akhirnya.

“Zek yang nak kahwin, biarlah dia pilih sendiri.”

“What?” Bulat mata mama memandang papa. Seperti selalu, papa membalasnya dengan mata terkebil-kebil.

“Bebaskan dia membuat pilihan. Dia pilih yang baik untuk hidupnya, mestilah baik untuk jaga hari tua kita juga.”

“I choose the best for him, for us!” bantah mama.

“But your choice is not the same with him. Give him a chance to choose a charming lady to be his wife.”

“You shut up! He’s my son. I know what I’m doing for him.”

Papa bingkas bangun dan menggeleng. “You’re always like that. If you wish to be Adolf Hitler, it’s better you check back.”

Mama terganjal, bangun dari sofa dan mendapatkan papa. Papa cepat-cepat melangkah pergi meninggalkan mama yang terjerit-jerit marah.

“What did you say? Argh! Damn you!”

Aku menghela nafas panjang. Perang sabil pula yang berlaku. Kuasa apa agaknya yang mendorong papa melawan mama hari ini. Dalam bahasa Inggeris pula tu. Barangkali cara itu lebih mudah untuk papa melepaskan kejengkelannya.

“See… papa pun dah pandai tunjuk angin. Semuanya fasal budak tu!” cemuh mama.

Aku diam. Lama aku duduk sambil jari-jemari kaki menguis permaidani tebal di hujung kaki. Wajah mama masam mencuka. Aku berfikir-fikir. Perlukah aku membuka mulut seterusnya? Atau mendiamkan diri begitu sahaja? Kalau aku membisu dan memilih lain kali untuk menyatakan hajat beristerikan Afikah, mama akan melenting. Kalau bercakap hari ini pun, keadaannya sama juga.

“Mama…” panggilku, memandang mama dengan mata mohon simpati.

Mama memeluk tubuh memandangku dengan lirikan mata yang tajam. “Hah? Apalagi? Fasal Afikah lagi?”

“Apa pun, Zek ingin katakan pada mama, kalau mama tak mahu tengok Zek jadi bujang terlajak, mama terimalah Fika. Zek hanya mahu beristerikan Fika.” Seperti tegasnya kata-kataku kepada mama, begitulah tekadku di dalam hati.

SETELAH merasai keadaan di rumah mulai tenang, aku memberanikan diri membawa Afikah ke rumah, bertemu mama dan papa. Dengan segala kesederhanaannya, aku yakin Afikah dapat memenangi hati kedua orang tuaku terutamanya mama.

“Mama, hari ni Zek nak bawa Fika datang ke rumah,” beritahuku sebelum berangkat ke pejabat. Mama yang masih dalam track suit, baru balik daripada berjoging tidak memberi sebarang reaksi. Dia rakus saja meneguk jus oren.

“Mama dengar tak?”

Mama masih buat tidak tahu. Dia mengesat peluh di dahi dan di lehernya dengan tuala muka. Dia tidak memberi sebarang jawapan.

“Mama, Zek nak bawa Fika ke sini.”

Mama merengus kecil. “Suka hati Zeklah.”

Tiga patah perkataan daripada mama itu cukup menggembirakan hatiku biarpun aku tahu mama malas melayani kerenahku.

SAAT kuberitahu Afikah, suara Afikah sedikit bergetar menyatakan dia sedia menemui mama. Hatiku bimbang juga. Bimbang mama keluar rumah dengan pelbagai alasan. Manalah tahu. Serba mungkin boleh dilakukan mama untuk menyakitkan hati orang-orang yang tidak mendengar katanya.

“Mama Zek suka buah apa?” risik Afikah.

“Plum.”

“Yang terlebih masak atau cukup masak?”

“Biasanya yang cukup masak. Tapi kalau dah terlebih masak pun, mama makan juga. Kenapa?”

“Singgah kat supermarket. Fikah nak beli plum.”

“Nak buat apa? Nak bagi mama? Tak payahlah,” bantahku.

“Tengoklah tu. Kata nak suruh pikat Datin Salmah. Takkan nak jumpa dengan tangan kosong saja.”

Akhirnya aku akur juga dengan pendapat Afikah.

SEBAIK sahaja kami tiba di rumahku, hatiku sedikit lega. Kereta mama dan kereta papa ada di garaj. Ertinya mereka berdua ada di rumah. Ada juga sedikit bimbang di hati, meneka-neka babak yang bakal terjadi.

Mama dalam seluar panjang dan blaus lengan panjang bersulam emas dan set perhiasan mutiara yang ringkas menyambut Afikah dengan muka tidak ceria. Walaupun mama kelihatan kasual dan ringkas, dia masih tetap nampak elegan.

Papa pula kelihatan ringkas saja dengan seluar panjang dan kemeja kasual, macam selalu. Berbeza dengan mama, wajah papa kelihatan ceria. Sesekali papa mencuri pandang ke arah mama untuk melihat reaksi mama.

“Apa khabar, datin?” Afikah berbasa-basi.

“Hmm… baik,” jawab mama, seadanya. Dia tidak memandang Afikah seriang dia memandang Suraya.

“Alhamdulillah!” Afikah pantas menyambut.

Ketika aku memperkenalkan papa kepada Afikah, Afikah segera menghulurkan tangan beralaskan mini telekungnya.

Papa senyum menyambut. Mama melihat dengan ekor mata. Ada cebikan di bibirnya.

“Ni ada buah tangan sikit.” Afikah menghulurkan beg plastik berisi buah plum itu ke tangan mama.

“Tak bawa pun tak apa. Berlambak dalam freeze tu!” tukas mama.

Papa melihat Afikah yang serba salah cepat-cepat berkata, “hisy, tak baik tolak rezeki. Susah-susah Fika ni… letak di meja tu.”

Afikah senyum dibuat-buat. Setelah membiarkan papa bertanya serba sedikit tentang Afikah sebagai jalan mengenali gadis itu, aku mengajak Afikah ke dapur.

“Tu nak ke mana pula tu?” Mama pantas bersuara.

“Ke dapur… bawa Fika jumpa Mak Temah.”

“Hah… tak payah… tak payah. Afikah tu kan tetamu, kenapa sampai bawa masuk ke dapur?” Nada suara mama kedengaran kurang senang.

Afikah yang telah bangun jadi serba salah. Dia memandangku, memandang mama dan papa, kemudian tunduk memandang lantai.

“Alah, Fika kan nak jadi menantu mama. Apa salahnya dia masuk dapur, mama?” jawabku.

“Hmm… yalah, yalah… pergilah.” Mama merengus kasar.

Afikah masih teragak-agak. Aku memandang Afikah dengan isyarat mengajak. Afikah memandang papa, papa senyum saja. Afikah memandang mama, mama buat muka selamba.

“Marilah, Fika… jumpa Mak Temah. Dia tukang masak handal tau,” gesaku.

“Pergilah Fika!” Suara papa itu jadi pelerai kebingungan Afikah. Lambat-lambat Afikah mengekoriku.

Ketika aku memperkenalkan Afikah kepada Mak Temah, wajah tukang masak kesayangan keluarga kami itu cukup riang dan ceria.

“Hisy, tak payah ciumlah tangan Mak Temah ni… macam-macam bau!” kata Mak Temah ketika Afikah tunduk mahu mencium tangannya. Cepat-cepat dia menarik tangannya.

“Apa salahnya dia cium tangan Mak Temah? Berkat dia cium tangan Mak Temah tu nanti dia akan jadi tukang masak handal macam Mak Temah juga,” usikku.

Mak Temah menjeling ke arahku. Dia menepuk bahu Afikah. “Wah! Patutlah Zek jadi separuh gila, ini rupa orangnya! Ini baru anak Melayu tulen,” gurau Mak Temah.

Afikah tersipu-sipu. Aku tergelak besar.

“Masak apa, Mak Temah?” Afikah ramah bertanya.

“Masak apa lagi kalau anak teruna ni ada di rumah. Mesti masak yang pedas-pedas.”

“Tengok tu, Fika. Mak Temah tahu benar baca selera saya. Kalau nak tahu selera saya, kenalah berbaik dengan Mak Temah ni,” selorohku sambil meratah kubis yang sudah siap dipotong.

Mak Temah mengangguk laju. “Hmm… Mak Temah boleh bongkar rahsia selera Zek, Fika. Hari ni Mak Temah nak masak ayam masak merah, acar kubis dengan ikan masin. Habis cerita.”

“Wow! Mesti tersandar punya,” sahutku. Lauk-pauk begitu memang menjadi kegemaranku.

“Biar Fika tolong Mak Temah.” Afikah segera mencapai pisau di atas meja.

“Jangan! Jangan! Kalau datin nampak nanti, mati Mak Temah disemburnya!” Mak Temah membantah.

“Biarlah dia tolong, Mak Temah. Dia kan nak jadi menantu mama,” balasku.

“Kotor baju tu nanti.” Mak Temah memberi alasan sambil menunjukkan kebaya longgar jingga di tubuh Afikah.

“Biarlah, Mak Temah. Nama pun perempuan.” Aku membiarkan Afikah membantu Mak Temah.

Mak Temah akhirnya mengalah.

Afikah lincah saja tangannya menghiris bawang halia. Aku turut duduk di meja sambil memotong lada. Memang pada hari cuti, aku dan Nano selalu membantu mama di dapur. Itu kalau hari mood mama baik. Kalau mama naik angin dan asyik membebel, aku dan Nano lebih suka duduk di luar rumah.

“Ni, kenapa ni? Kenapa biarkan dia masak?” Tiba-tiba mama muncul. “Mak Temah, banyak sangat ke yang nak dimasak tu, sampai guna pembantu?” Suara mama keras.

Mak Temah tersentak. Terkebil-kebil matanya memandang aku, Afikah dan mama silih berganti. “Err… Mak Temah… Mak Temah…”

“Biarlah Fika bantu Mak Temah, mama. Dah kahwin nanti, Fika kena ke dapur juga.” Aku cuba menyelamatkan Mak Temah.

“Jangan jadi penyapu baru. Masa ni saja nak tunjuk rajin, dah kahwin esok malas.” Mama seperti memberi amaran.

Afikah tersentak. Air mukanya berubah tetapi segera dilindunginya dengan senyuman. Kemudian dia menyambung kerjanya memasak ayam. Semerbak bau tumisan bawang dan lada yang cukup garingnya. Aku senyum memandang mama. Mama merengus kasar, kemudian keluar dari situ.

SELEPAS makanan dihidang, kami sekeluarga makan bersama. Untuk pertama kalinya, Mak Temah dan Pak Khamis dapat makan semeja bersama kami sekeluarga. Afikah menonjolkan kewanitaan yang baik; menghidangkan makanan, mencedokkan nasi untuk kami, menuangkan air minum ke dalam gelas dan meletakkannya di depan kami, menghulurkan air basuh tangan kepada setiap orang. Mama memandang Afikah dengan ekor mata. Sambil makan itu, aku membuka cerita lucu tetapi Mak Temah dan Pak Khamis tidak berani ketawa, hanya senyum mengulum saja. Mereka takutkan mama.

Masakan Afikah memang sedap. Tidak sedar aku menambah nasi dua tiga pinggan. Mulanya aku sangka seleraku bertambah kerana keriangan dapat membawa Afikah bertemu mama dan papa tetapi setelah melihat orang lain menambah nasi, aku yakin Afikah memang pandai memasak.

Papa yang selalunya cuma makan sesenduk nasi, hari ini makan bertambah. Mama saja yang tidak bertambah. Cepat-cepat dia basuh tangan, beredar, selepas itu lesap ke biliknya. Afikah hanya menambah sedikit, itu pun kerana mengambil hati papa barangkali. Kalau aku jadi Afikah pun, tentu saja nasi ditelan bagaikan pasir.

Lucunya, Mak Temah memberitahuku mama mencari lauk masakan Afikah pada waktu malam. Habis dimakannya bersama papa. Aku ketawa besar mendengar cerita Mak Temah. Aku yakin Afikah dapat menawan hati mama, cuma mama… kerana egonya, malu menerima hakikat hati dan perasaannya yang sedang berubah.

Aku faham mama masih ragu-ragu mahu bermenantu-kan Afikah. Mama masih membandingkan Afikah dengan Suraya. Apa pun pandangan mama terhadap Afikah, pendapatku tidak akan berubah. Afikah adalah segalanya. Dialah yang bakal melengkap cerita dan warna hidupku.

SELEPAS pertemuan itu, aku dan mama tidak lagi bertelingkah fasal Afikah. Setiap kali bertemu Afikah, Afikah memberitahu dia cemas menanti babak seterusnya.

“Saya tahu, mama Zek tetap tak sukakan saya.”

“Fika tunggu dan lihat saja. Jangan lupa berdoa.”

“Agaknya kita lebih baik begini, sendiri-sendiri.” Suaranya dalam. Saat aku mendongak memandangnya, kulihat wajahnya merah dan matanya jernih berkilau-kilau.

“Fika…”

Dia memandangku sambil menggumam bibir, kemudian memandang ke lain. Aku tahu dia menekan perasaan yang bergelora di dadanya. Tetapi semakin dia menekan, semakin ia menolak keluar, terpantul melalui suaranya yang dalam.

“Saya kalah…”

“Fika jangan buat keputusan sendiri!”

“Barangkali untuk waktu ini, kita perlu bersedia… Bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.”

Sebaik sahaja dia berkata demikian, air mata gugur di pipinya. Kesedihan dan kepiluan itu meresap ke seluruh jiwaku.

Afikah! Aku tidak mahu kehilanganmu!

SEJAK Afikah datang ke rumah, keadaan aku dan mama seperti biasa. Masing-masing tidak lagi menyebut nama Afikah. Mama mungkin muak mendengar apalagi menyebut nama Afikah. Aku pula, kalau boleh ingin menyebutnya setiap waktu tetapi apa guna menyebutnya kalau ia mengundang perbalahan dengan mama. Biarlah. Aku perlu mencari saat dan ketika yang sesuai.

“Zek betul-betul mahukan Afikah?”

Aku tersedak. Cepat-cepat aku minum air teh di depanku. Seperti tidak percaya rasanya pertanyaan lembut itu keluar dari bibir mama.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81582/Bila-Sena-Kembali-Berbunga-2