[SNEAK PEEK] BERSATU SELAMANYA

9789670567693-medium

EBUKU Bersatu Selamanya Oleh Royal Keoss

FAZRI tergesa-gesa berjalan masuk ke tempat wuduk untuk mengambil wuduk. Dia agak lambat ke masjid untuk solat zohor kerana urusan pejabat. Dia sedar akan kealpaannya. Urusan akhirat lebih penting jika dibandingkan dengan urusan dunia, itulah pesanan bapanya sebelum dia berpindah ke Pekan Juntai.

Kaki seluarnya segera dilipat hingga ke paras betis. Kepala pili dibuka lantas dia segera membasahkan kedua-dua belah tapak tangannya. Seorang lelaki agak berumur berdiri di sebelahnya turut berbuat perkara yang sama. Mata Fazri terkebil-kebil melihat wajah lelaki di sebelahnya. Dia kenal akan lelaki itu. Lelaki itulah yang pernah bersembang dengan gadis idamannya, siap dapat ciuman manja lagi. Perasan sepasang mata sedang merenungnya, secara automatik bibir lelaki itu menguntum senyuman yang manis.

Fazri sekadar tersenyum berserta sengihan kerana terlalu serius merenung lelaki itu. Selesai mengambil wuduk, Fazri masuk lalu berdiri di sebelah lelaki tadi. Sebenarnya dia sengaja berbuat demikian kerana ingin menggunakan peluang yang ada untuk mengenali lelaki itu. Jemaah agak kurang kalau dibandingkan dengan waktu maghrib dan isyak

Selepas selesai solat berjemaah, Fazri masih duduk sambil menadah tangan seraya berdoa panjang. Lelaki tadi juga melakukan perkara yang sama. Kemudian wajahnya diraup. Dia menoleh ke kanan lantas bersalaman dengan lelaki tadi. Masing-masing berbalas senyuman.

“Maaf, pak cik bertanya. Anak ni… baru berpindah ke sini?” tanya Ghazali. Fazri sudah tersenyum.

“Taklah baru sangat tapi saya dah tinggal di sini lebih kurang dua bulan lebih,” balas Fazri, sopan. Mereka sudah berjalan menuju ke pintu utama masjid.

“Dah lama rupa-rupanya. Pak cik tak perasan pula. Kamu selalu datang solat di masjid ni?” tanya Ghazali lagi.

“Ya. Saya selalu nampak pak cik duduk di saf depan sebelah Imam Yusoff setiap kali hari Jumaat,” jelas Fazri lagi. Lelaki itu ketawa kecil.

“Ya ke? Sebelum ni tinggal di mana dan macam mana boleh pindah ke pekan ni?” soal Ghazali lagi mengalahkan polis. Fazri tersenyum lagi.

“Sebelum ni saya tinggal di Kuala Lumpur. Syarikat di Kuala Lumpur hantar saya untuk bertugas di cawangan baru di sini,” terang Fazri pula. Ghazali mengangguk tanda faham. “Boleh saya tahu nama pak cik?” tanya Fazri pula penuh santun walaupun teragak-agak.

“Oh! Nama pak cik Ghazali. Orang kat sini panggil Pak Long Zali,” balas Ghazali ringkas berserta senyuman yang manis. “Pak cik buka restoran kecil di sebelah masjid ni,” tambahnya lagi. Fazri mengangguk faham.

“Nama saya Muhammad Fazri Alias. Panggil saja Fazri,” balas Fazri juga mengukir senyuman yang sama. Ghazali nampak terkejut.

“La… Nama kamu macam nama anak pak cik.”

“Anak pak cik?” Fazri hanya berpura-pura sedangkan dari awal dia sudah mengagak Ghazali ialah ayah kepada gadis idamannya.

“Ya. Anak perempuan pak cik. Namanya Nurliana Fazira.”

Sah! Memang ayah dia! jerit hati Fazri. Tahap kegembiraan yang bukan kepalang. Ya Allah, Kau lancarkanlah hubungan aku dengan Pak Cik Ghazali. Amin, doanya pula.

SEUSAI solat isyak, Fazri duduk di birai katilnya. Dia termenung seketika kemudian bibirnya merekah membentuk senyuman yang lebar. Dia menjatuhkan badannya ke belakang. Tangan kanan diletakkan di dahi. Senyuman tadi masih kekal terukir malah makin lebar.

“Fazira…” Bibirnya bergerak lembut menyebut nama gadis idamannya. Lantas kotak ingatannya memainkan semula babak-babak yang berlaku petang tadi. Dia ketawa kecil. “Kalaulah waktu boleh berhenti setiap kali kita bertemu…”

Tepat jam 5.45 petang, matanya terpandang kelibat seorang gadis bertudung litup dan berbaju kurung moden sedang mundar-mandir di sebelah kereta Estima hitam sambil menekup telefon bimbit di telinganya. Fazri yang menunggang motosikal segera memberhentikan motosikalnya di belakang kenderaan tadi. Tongkat diturunkan kemudian helmetnya pula ditanggalkan.

“Assalamualaikum,” ucap Fazri lancar. Dia turun dari motornya lalu berjalan perlahan ke arah gadis tadi yang sedang membelakanginya. Entah kenapa, tiba-tiba jantungnya berdegup kencang sebaik saja melihat belakang gadis itu.

“Waalaikumussalam,” jawab gadis itu lembut seraya menoleh. Pandangan mereka bertaut. Kedua-dua insan itu terkaku dan saling memandang dengan mata yang membesar kerana terkejut.

“Awak?” Mereka berdua bersuara serentak. Mata saling menatap. Lantas Fazira mengalihkan pandangannya. Telefon bimbit pula sudah dialihkan dari telinga.

“Kenapa awak berhenti? Kereta awak rosak?” tanya Fazri. Fazira nampak seperti serba salah untuk memberitahu. “Cakaplah. Mungkin saya boleh tolong,” tambah Fazri, lembut. Fazira mengetap bibirnya.

“Tayar belakang… pancit,” balas Fazira perlahan sambil menuding jari telunjuknya ke arah tayar belakang sebelah kiri. Fazri tersenyum.

“Kalau macam tu, biar saya tolong tukarkan,” kata Fazri seraya menanggalkan tali lehernya kemudian melipat lengan kemeja hingga ke paras bawah siku.

“Tak menyusahkan ke?” tanya Fazira pantas. Dia gelabah semacam.

“Tak apa. Saya tolong awak hari ni, mungkin esok lusa awak boleh tolong saya pula,” balas Fazri dengan senyuman yang manis. Fazira diam seribu bahasa. Tanpa membuang masa, Fazri memulakan upacara menukar tayar kereta. Selepas tayar yang pancit dikeluarkan, dia kembali bersuara.

“Ini… kereta siapa?” Fazira yang dari tadi asyik memandang ke arah jalan segera menoleh.

“Kereta… ayah,” jawab Fazira ringkas. Lantas wajah Ghazali menerjah masuk ke ruangan minda Fazri. Dia tersenyum.

“Kereta ayah? Mana kereta awak?” tanya Fazri. Bukan niatnya untuk menyibuk tetapi sekadar ingin berbual kosong dalam masa yang sama dia ingin mengenali gadis itu dengan lebih mendalam.

“Ada… di rumah,” jawab Fazira seperti acuh tak acuh. Fazri tersenyum. Mungkin dia fikir aku ni jenis yang suka menyibuk, getus hati Fazri.

“Maaflah kalau soalan saya tadi buat awak fikir saya jenis yang suka menyibuk,” kata Fazri, jujur. Gadis itu nampak terkesima. “Bukan apa, saya jenis yang suka bersembang kalau buat kerja seperti ni,” tambah Fazri tanpa memandang Fazira.

“Jadi, di pejabat pun awak memang suka bersembang kalau buat kerja?” soal Fazira pantas.

Fazri tersentak. Di pejabat? Maknanya, dia pernah nampak aku dalam syarikat tu. Fazri merenung gadis itu sambil tersenyum dengan hati yang sudah berbunga bahagia. Fazira segera melarikan anak matanya. Jelas sekali dia nampak malu.

“Saya kata saya suka bersembang bila buat kerja macam ni, bukan kerja pejabat.” Fazri sengaja membalas untuk melihat reaksi Fazira. Gadis itu hanya diam sambil melemparkan pandangan ke arah jalan raya. Malu agaknya, bisik hati Fazri. Dia ketawa kecil tetapi cukup jelas kedengaran di telinga Fazira.

“Awak dari mana nak ke mana?” tanya Fazri lagi.

“Dari rumah nak ke sekolah.” Fazira masih mahu menjawab soalannya. Mungkin ingin menjaga hatinya.

“Ada apa di sekolah?”

“Nak ambil anak,” balas Fazira pantas dengan nada malas. Kening Fazri sudah terangkat tinggi.

“Apa dia?! Anak?” Fazri terkejut. Tangannya sudah berhenti bekerja. Memanglah dia terkejut. Tak mungkin gadis idamannya sudah berkahwin. Kalau betul, punahlah segala harapan dan impian yang dia bina sendirian selama ini.

“Saya kata anak ke?” soal Fazira.

Fazri mengangguk pantas.

“Tak… Maksud saya… anak saudara. Nak ambil anak saudara saya.” Fazira memperbetulkan ayatnya tadi. Mukanya yang sedia putih sudah bertukar kemerahan. Fazri tersenyum lagi. Dalam diam, Fazri sudah menghela nafas lega. Dia ketawa melihat kelakuan gadis itu. “Kenapa awak ketawa?” tanya Fazira dengan jelingan yang tajam tetapi nampak ayu dan menawan di matanya.

“Tak ada apa cuma… gaya gelabah awak memang… comel,” balas Fazri selamba sambil menggolek tayar pancit tadi ke belakang. Fazira pula nampak tergamam.

Fazri kembali semula ke dunia nyata. Senyuman tadi masih terlakar di bibir nipisnya. Insiden petang tadi merupakan insiden yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sebelum berpisah, Fazira menghadiahkan senyuman yang paling manis yang tidak pernah ditatap matanya sebelum ini. Manis dan menawan. Dia meraba dadanya. Degupan jantungnya sudah kencang. Ya Allah, kalau dia adalah jodoh aku, Kau makbulkanlah doa-doa yang aku pohon kepada-Mu selama ni. Amin. Selepas beberapa minit, dia terlelap sambil ditemani bayangan senyuman si gadis idaman.

****

FAZIRA!” laung satu suara yang kedengaran keras dan kasar datang dari arah dapur. Fazira yang dari tadi asyik dengan ayam-ayam di reban sebelah dapur, tersentak dan terkejut mendengar namanya dipanggil.

Ayam-ayam sudah lari berselerak, inikan pula dia. Tadi bukan panggilan biasa tapi lebih kepada ngauman suara singa yang kelaparan. Fazira menoleh pantas dan matanya menangkap kelibat seorang wanita berusia lewat empat puluhan sedang berdiri di muka pintu sambil mencekak pinggang dengan muka yang marah. Badannya mula menggeletar, takut.

“Yang kau terpacak macam tunggul kayu kat situ, kenapa?! Tak tahu sekarang ni dah pukul berapa?!” tengking Mariam. “Aku dah lapar, kenapa tak masak lagi?”

“Ma… maaf, mak. Zira tak sedar tadi.” Fazira sudah berjalan pantas menuju ke pintu. Mangkuk berisi biji jagung sudah diletakkan di atas reban ayam. “Pagi tadi mak tak makan nasi yang Zira goreng?” Fazira bersuara perlahan dan terketar.

“Nasi masin, air pula manis. Kau nak aku mati cepat ke?!” tengking Mariam lagi. Fazira diam tertunduk. Dia memang tidak berani bertentang mata dengan Mariam setiap kali wanita itu naik angin.

“Cepat masak! Aku dah lapar. Buat kerja tu cepat sikit, lembab!” tambah Mariam garang seraya beredar meninggalkan ruang dapur. Fazira mengeluh lega melihat ibunya melangkah pergi.

Kata-kata Mariam sikit pun tidak disimpan dalam hati. Selama dia tinggal di sini, itulah yang dijamah telinganya setiap hari. Dia sudah lali dengan makian ibunya. Dia tidak tahu kenapa ibunya begitu benci dengannya. Yang pasti, Mariam memang benci dengan ibu kandung Fazira iaitu Khadijah.

Kata ayah, Mariam naik berang selepas mendapat tahu ayahnya sudah berkahwin dengan seseorang semasa belajar di Indonesia. Beberapa tahun selepas itu, Fazira dibawa ke Malaysia kerana ibunya meninggal dunia selepas melahirkannya. Ketika itu Fazira baru berusia sebulan lebih. Disebabkan itu jugalah dia tidak pernah merasa kasih sayang daripada seorang ibu. Malah wajah ibunya juga tidak pernah ditatapnya. Fazira mengeluh kecil.

SELEPAS beberapa minit memandu, keretanya berhenti di hadapan sebuah kedai runcit. Kedai itu terletak agak jauh dari Kampung Lata. Rumah kedai itu tidaklah sebesar mana tetapi cukup luas untuk menjual pelbagai jenis keperluan dapur seperti bahan basah dan kering. Kalau nak ke pasar agak jauh malah tempat parkir juga terhad. Fazira pula jenis tidak suka bersesak dengan orang ramai. Fazira berjalan masuk ke dalam kedai yang agak lengang walaupun jam sudah pukul sembilan pagi. Biasanya suri rumah akan menyerang kedai runcit pak lang untuk membeli bahan-bahan untuk memasak juadah tengah hari.

“Hai Zira… Awalnya kamu datang hari ni,” tegur satu suara ketika Fazira sedang sibuk membelek bawang besar. Suara tadi milik pak lang atau Ismail, pemilik kedai runcit. Orangnya memang peramah.

“Saja datang awal, takut nanti orang ramai,” balas Fazira dengan senyuman yang manis.

“Takut orang ramai ataupun… mak kamu yang mengamuk suruh kamu masak awal?” teka Ismail agak sinis. Fazira sekadar membalas dengan senyuman. Ismail kenal dengan setiap ahli keluarga Fazira malah satu kampung kenal keluarga Fazira terutama sekali Mariam. Maklumlah, Ghazali bekas imam besar masjid daerah.

“Alah, apa salahnya kalau masak awal sikit hari ni,” kata Fazira cuba menamatkan sangkaan Ismail.

“Kamu nak masak apa hari ni? Pak lang boleh tolong ambilkan barangnya,” tanya Ismail tanpa segan silu. Fazira tersenyum manis. Gadis di hadapannya sudah dianggap seperti anak sendiri. Bapa Fazira pula sudah dianggap seperti abang sendiri.

“Biasa saja. Emmm… Nak masak… masak lemak cili padi, sambal tumis udang dan…”

“Saya suka masak lemak kurma.” Satu suara garau milik seorang lelaki yang amat dikenali Fazira tiba-tiba menerkamnya dari belakang. Dia hampir-hampir menjerit kerana terkejut. Dia menoleh pantas. Memang betul. Telinganya tidak pernah menipu tuannya sendiri.

“Assalamualaikum,” ucap Fazri dengan senyuman. Matanya sudah tertacap ke wajah Fazira.

“Waalaikumussalam,” jawab Ismail lancar manakala Fazira menjawab perlahan. “Kamu pun datang awal hari ni, Fazri,” tegur Ismail sambil tersenyum. Kening Fazira sudah bertaut.

“Tak tahulah kenapa pak lang, tiba-tiba saja terasa nak datang awal,” jawab Fazri selamba. Hairan Fazira apabila melihat mereka tersengih sesama sendiri. Seperti ada sesuatu yang tersembunyi antara mereka.

“Pak lang kenal ke?” tanya Fazira pula seperti berbisik.

“Mestilah pak lang kenal. Fazri selalu datang kedai pak lang beli barang. Katanya kedai pak lang murah dan barang-barang dapur pula fresh belaka,” jawab Ismail sambil melirik ke arah Fazri yang sudah tersenyum lebar. Seperti mahu ketawa. “Fazira kenal dengan Fazri?”

“Taklah kenal sangat,” balas Fazira ringkas seraya berjalan ke bahagian ikan yang diletakkan di dalam peti sejuk. Kening Fazri terangkat manakala Ismail hanya menjongket bahunya. Sekali lagi mereka sama-sama tersenyum. Jejaka itu kembali mendekati gadis idamannya yang sibuk memasukkan beberapa ikan bawal ke dalam plastik.

“Awak nak masak untuk siapa?” tanya Fazri lagi. Dia sudah berdiri di sebelah kanan Fazira. Dia masih menjaga jarak antara mereka supaya gadis idamannya tidak terasa kekok apabila bersembang dengannya.

“Untuk siapa lagi kalau bukan untuk famili di rumah.” Fazira hanya melayan soalan Fazri walaupun dia sendiri tahu soalan itu boleh dikategorikan sebagai soalan bodoh.

“Awak tak sudi masak… untuk saya?” Fazira tersentak dan terkejut mendengar kata-kata Fazri. Wajah jejaka itu ditenung lama. Sebaik saja dia berlaga pandang, anak matanya segera dilarikan. Lantas jantungnya berdegup kencang. Nafasnya pula tidak stabil. Dia akui jejaka di sebelahnya memang segak dan tampan.

Dengan kulitnya cerah dan agak kuning langsat dan wajah yang terkenan seperti jejaka Cina cukup kacak seperti model di majalah. Tetap nampak kemas dan bergaya walaupun hanya berbaju T-shirt lengan panjang dan seluar jean yang agak lusuh. Ditambah pula dengan tubuh yang tinggi lampai dan badan yang tegap, setiap gadis yang terpandang pasti terpikat.

Fazira beristighfar lama dalam hatinya. Minta dijauhkan segala jenis bisikan nafsu daripada syaitan yang sentiasa bertenggek di telinga. Nafas dikawal dengan rapi supaya lebih teratur. Selepas melihat kelakuan Fazira yang tiba-tiba saja diam dan kaku seperti patung, Fazri jadi takut. Manalah tahu dia tersilap cakap tanpa dia sendiri sedari.

“Bukan niat saya sebenarnya tapi sekadar nak beritahu yang… saya pernah menolong awak hari tu, tak salah kan… kalau awak masakkan untuk saya sebagai balasan?” Fazri cuba membetulkan semula keadaan yang terasa seperti tegang semacam. Fazira sedar dirinya dalam perhatian jejaka itu, dia kembali bergerak.

“Rupa-rupanya pertolongan awak hari tu… tak ikhlas.” Jeling Fazira lembut. Walaupun jelingan itu hanya untuk beberapa saat namun ia cukup kuat untuk menggetarkan seluruh sel di dalam tubuh Fazri. Dia tersenyum lebar. “Bahaya kalau saya masakkan untuk awak,” sambung Fazira.

“Bahaya? Kenapa pula bahaya?” Fazri pelik lagi hairan. Takkanlah beracun.

“Saya takut nanti awak… tersampuk,” balas Fazira perlahan.

“Tersampuk? Saya… tak faham.” Fazri semakin bingung. Gadis itu mengeluh lemah.

“Saya takut sekali awak rasa, kemaruk nakkan lagi. Faham?” jelas Fazira perlahan tapi cukup jelas kedengaran di telinga jejaka itu. Fazri tersentak. Kemudian terburai ketawa dari bibirnya. Baru dia faham kata-kata Fazira. Aduh, lembabnya aku nak pick up! jerit hati Fazri. Fazira sudah menggeleng dengan senyuman yang ringkas.

“Baru saya faham kenapa awak kata bahaya,” ucap Fazri masih dengan ketawa yang bersisa. Betullah kata ummi, cara pertama si isteri ingin memikat hati si suami adalah melalui perutnya. Hatinya bersuara lagi. “Saya tak takut sebabnya… sekarang ni pun… saya memang dah tersampuk dengan awak.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79496/bersatu-selamanya