Menjemput Kematian Ke Dalam Hati
Sebahagian salaf berkata:
“Berwaspadalah (persiapkan diri) kamu dengan kematian di dunia ini sebelum kamu berpindah ke satu tempat di mana kamu berharap adanya kematian, tetapi kamu tidak akan memperolehinya lagi.”
Kalau kita menganggap kehidupan adalah sebuah kenikmatan, maka kematian juga sebenarnya adalah sebuah kenikmatan.
Dengan kematian, kita belajar sesuatu untuk diri kita. Kita belajar menghargai hidup, mempersiapkan masa depan, mempersiapkan akhirat kita dan yang lebih penting kita belajar menyediakan hidup yang terbaik di dunia.
Orang yang inginkan kematian yang terbaik buat dirinya pastilah akan mempersiapkan kehidupan yang terbaik juga ketika berada di dunia.
Kematian Adalah Motivasi Untuk Hati
Lantas, kita teringat yang baginda Rasul S.A.W sering berpesan kepada kita:
“Perbanyakkanlah mengingat penghancur kelazatan.” [HR Ibn
Majah, no. 4258]
Kematian. Itulah penghancur kelazatan.
Ketika badan tidak mampu lagi bergerak, mata tak mampu lagi melihat, tangan dan kaki tak mampu diangkat, lidah tak dapat lagi merasa, hidung tak dapat lagi mencium bau-bauan, telinga tak dapat lagi mendengar, maka di saat itu, segala kelazatan dahulu yang enak dinikmati hilang dan lenyap begitu sahaja.
Dulu kita mungkin makan makanan paling sedap, paling mahal, di restoran yang mahal, tetapi hari ini tidak ada lagi restoran, tidak ada lagi makanan sedap, minuman yang hebat menunggu kita di dalam kubur.
Dulu kita mungkin tidur di atas katil empuk, tilam yang mahal dan bagus, di bawah pendingin hawa yang sejuk, tetapi hari ini yang ada hanyalah tanah biasa, yang kita akan ditinggalkan berseorangan, gelap dan tiada berteman.
Dulu kita mungkin mendengar muzik-muzik indah, menonton filem, video dan sebagainya yang menarik-menarik belaka ketika di dunia, tetapi hari ini yang ada hanyalah kegelapan, soal jawab munkar nakir. Tidak ada lagi movie, tidak ada lagi artis-artis yang menjadi tontotan dan kegemaran kita dahulu untuk menyelamatkan, membantu atau menemani kita dalam kegelapan kubur itu.
Sehinggakan Nabi S.A.W suatu ketika pernah duduk di tepi kubur ketika sedang ada proses pengembumian jenazah, lalu menangis. Di dalam riwayat hadith ini dikatakan sehingga basah tanah itu. Kemudian Nabi S.A.W berkata kepada para sahabatnya,
“Wahai saudara-saudaraku, persiapkanlah diri kalian untuk yang semisal ini (yakni kematian).” [Ibn Majah, 4195, dihukum Hasan oleh Al-albani)
Persiapkan Kematian, Lalu Kita Persiapkan Kehidupan
Apabila kita merancang untuk kematian yang terbaik, maka kita sedang menyiapkan satu design, satu pelan hidup yang baik.
Orang yang tidak ingat kepada kematian, melalaikannya, tidak mempersiapkannya, maka dia hidup di dunia ini seakan-akan dunia adalah segala-galanya untuk dirinya sedangkan dunia hanyalah tempat persinggahan sementara menguji insan.
Akhirnya dia tidaklah memanfaatkan dunianya untuk hidup akhiratnya, tetapi dirinya pula dipergunakan oleh dunia.
Abu ‘Ali Ad-Daqaq menasihatkan kita dengan mutiara nasihatnya :
“Siapa yang banyak mengingati mati, maka dia dimuliakan dengan 3 perkara.
Dia dimuliakan dengan kesegeraan dirinya untuk bertaubat,
Bersungguh-sungguh dalam ibadah dan
Sifat qanaah (rasa cukup) dalam hati…”
Sambungnya lagi, “…siapa yang melupakan kematian, nescaya dia dihukum dengan 3 perkara, iaitulah :
Bertangguh dalam bertaubat
Malas dalam melakukan ibadah
Dan tidak ada qanaah (rasa cukup) dalam diri.”
Menjemput Kematian
Menjemput kematian bukanlah bermaksud kita pergi mencari kematian. Kematian tidak perlukan kita untuk mencarinya kerana ialah yang akan mencari kita.
Hanya saja, kita tidak tahu bila dan di mana kita akan mati.
Menjemput kematian adalah menghadirkan gambarannya dalam mata hati kita supaya kita menjadi orang yang lekas sedar diri, celik imannya, dan segera bangun melaksanakan tanggungjawab kita di muka bumi Allah ini sebagai hamba-Nya.
Rasul S.A.W berpesan :
“Kalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit gelak tawa dan banyak menangis.” [HR Bukhari , no. 6485]
Ada orang menziarah orang mati, tetapi tidak mengizinkan hatinya mengambil iktibar dan pelajaran dari kematian itu.
Jemputlah pelajaran kematian masuk ke dalam hati, supaya hati kita terus subur hidup dan tidak mati.
Ingat mati bukan kerana kita mahu lari dan mengabaikan tanggungjawab dunia.
Ingat mati kerana itu adalah penghujung dunia menuju alam abadi yang kita akan hadapi lalu kita mahu hadapinya dalam keadaan Allah redhai.
Ingat mati supaya kita lebih tawaduk, tidak sombong diri dan sederhana hidup.
Ingat mati supaya hati kita terus hidup.
Bahkan mengingati mati adalah supaya kita lebih kuat dan bersungguh dalam beramal di dunia, mempersiapkan bekalan menuju akhirat.
*****
Syaitan Yang Mengajarkan Taubat
Yusuf A.S datang kepada ayahnya, Yaaqub A.S, mengadukan bahawa dirinya telah bermimpi akan segala kebesaran di langit tunduk sujud kepadanya. Bulan, bintang dan matahari yang ternyata di antara makhluk hebat di cakerawala tunduk kepadanya.
Di balik kehebatan mimpi sedemikian, baginda Yaaqub A.S mengetahui ada urusan besar sedang diatur oleh Allah S.W.T untuk anaknya itu.
Lalu dipesannya, “Jangan kau ceritakan mimpi kau itu kepada saudara-saudara kau, nanti mereka merancang makar untukmu.”
Pesanan itu bertali pada ayat yang seterusnya dengan ingatan dari Allah S.W.T. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
Apa kaitan makar saudaranya Yusuf dengan syaitan?
“Boleh jadi syaitan itu,” kata Al-Qurtubi, “yang membawa mereka kepada bermaksud sesuatu yang buruk terhadapmu (Yusuf).”
Kalau saja terhadap orang semulia Yusuf yang mendapatkan mimpi sehebat kebesaran alam yang bersujud padanya itupun syaitan berniat hasad dan mahu bermakar padanya, pasti sesuatu yang tidak menghairankan kalau orang sekerdil kita ini lebih kuat desakan.
Lubang syaitan itu bukan satu. Sering tersangka pada ramai orang, lubangnya syaitan itu hanya melalui pintu kejahatan yang nampak secara langsung. Syaitan juga sudah begitu berpengalaman dengan lama umurnya dan tidaklah begitu bodoh untuk menusuk ke dalam hati manusia hanya melalui jalan kejahatan.
Beransur-ansur melalui jalan kebaikan, ia menukarkan kiblat kita sedikit demi sedikit kepada kejahatan, membuat kita terkeluar hanya 1 darjah saja dari permulaan landasan yang lurus, 1 darjah itu akhirnya tak disedari, hari demi hari membuatkan 1 darjah itu kian membesar menjadi 90 darjah dan seterusnya kita melencong tersesat tanpa sedar.
Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang baik minum arak, cukuplah dengan hanya berbangga dengan amalnya, ia merosakkan kebaikan tersebut. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang rajin ke masjid berhenti solat, cukuplah dengan hanya menghantar susuk gadis menggodanya atas alasan meminta nasihat dari seorang yang dirasakannya soleh, yang akhirnya di situ punya potensi kembang biak menjadi maksiat yang menjauhkannya dari Tuhan. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh lelaki perempuan ber-couple bermaksiat, cukup dengan hanya menyuntik mereka melalui jalan yang dilihat baik seperti study berdua, saling bermesej tazkirah, akhirnya satu pakej lengkap maksiat terangkum di dalamnya bagi mereka yang terpengaruh dengan bisikan syaitan itu.
Kesesatan Nyata VS Iman Yang Tidak Nyata
Syaitan tidak bodoh.
Kita pula tidaklah terlalu bijak.
Kita justeru telah mengetahui lama bahawa jalan syaitan itu adalah kesesatan yang nyata, tetapi berapa ramai yang langsung terpengaruh. Barangkali kesesatan yang nyata dihadapi oleh iman yang tidak nyata, maka seringlah iman yang tidak nyata itu tertewas.
Iman yang tidak nyata, yang masih banyak berbelah baginya, yang masih banyak berkira-kira dengan Tuhan di kala Tuhan tidak berkira-kira memberi anugerah-Nya, memilih-milih dalam ibadah yang dirasakan senang dan suka bagi dirinya, bersikap sambil lewa dan tidak bersungguh dalam menjejak kaki di atas kebenaran, selalu senang berada dalam keadaan lalai dan leka, akhirnya kita terperangkap dalam nyatanya perangkap syaitan.
Iman yang tidak nyata, tidak kuat untuk mendepani kesesatan yang telah nyata.
Meski terbukti dan jelas-jelas di depan mata, bahawa yang di depan kita itu adalah sebuah kesesatan, tetapi kerana iman yang tidak nyata, bergolak di antara hidup, sakit atau matinya iman, membuatkan kesesatan yang nyata itu pun dilihat indah sebagai jalan yang lurus.
Syaitan Bermakar Melalui Jalan Taubat
Sepertimana saudara bersepuluh yang telah bermakar ke atas Yusuf, apakah mereka tidak mengetahui ketika mana mereka bermakar itu, makar mereka itu ternyata adalah suatu kesesatan?
Tidak. Mereka bahkan mengetahui.
Itu adalah kerana makar mereka itu berhasil daripada bisikan syaitan.
Mereka itu bukan sebarangan orang, mereka adalah anaknya Nabi Yaaqub
A.S. Namun, iman tidak membeza-beza anak Nabi atau bukan, keturunan Nabi atau tidak.
Iman tidak diwarisi sebagaimana harta dan takhta sang monarki.
Kalau imannya tidak nyata, maka makar syaitan yang lebih nyata itu akan memenangi ke atas dirinya.
Begitulah sebagaimana yang dirancang oleh mereka. Syaitan bermakar kepada mereka melalui jalan taubat.
“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja,” kata mereka, lalu disambung lagi, “dan sesudah itu, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang soleh.”
Buatlah jahat semahu kalian, selepas ini, bertaubatlah. Pintu taubat itu terbuka luas untuk kalian. InsyaAllah, masih punya kesempatan taubat selepas berbuat jahat ini. Seakan-akan itulah bisikan syaitan ke atas mereka.
Syaitan bahkan mengajarkan taubat kepada mereka, mengajar tentang bagaimana menjadi soleh. Namun, itu pastinya ajaran yang tidak percuma dan tidak beres.
Ia adalah talbis iblis. Tipu daya iblis.
Ia bersenandung di baliknya bisikan jahat, bukan untuk sampai kepada tujuan taubat itu, kerana akhirnya bisikan syaitan itu permulaannya akan membawa kepada pakej kejahatan berantaian yang lengkap dalam hidup insan sekiranya insan itu tidak segera kembali dan benar-benar bertaubat.
Siapakah yang punya jaminan terhadap hidupnya sesaat selepas dia melakukan dosa dalam kesengajaan dia mengetahui bahawa dosa itu adalah satu dosa? Siapakah yang punya jaminan bahawa dia masih bisa bernafas lagi untuk kembali bertaubat setelah dia memilih melakukan dosa dalam keadaan dia mengetahui itu adalah suatu yang salah?
Justeru, tidak siapa pun punya jaminan sedemikian melainkan Allah S.W.T. Sesiapa yang memilih menangguh taubatnya kerana mendahulukan dosanya yang diketahuinya salah, maka ia telah terjatuh ke dalam perangkap syaitan yang nyata.
Persiapkan Iman
Dalam senggang-senggang ruang yang ada, syaitan tidak pernah berputus asa menipudaya kita.
Tidak berjaya dengan jalan yang terang-terang menyuruh berbuat jahat, dimakarnya kita dengan jalan kebaikan.
Tidak berjaya dengan jalan yang besar, dipilihnya denai-denai kecil.
Tidak berjaya dengan jalan dosa, atas nama jalan taubat pun boleh menjadi perangkapnya.
Sentiasalah syaitan itu tidak berhenti bekerja. Ia jelas, di atas kesesatannya yang nyata itu, apa yang ingin dicapainya terhadap manusia.
Kita, dengan iman kepada Allah S.W.T., yang telah jelas sebenarnya bagi kita akan kebenaran jalan Allah S.W.T. ini, apakah kita sejelas dan sekuat itu kita bekerja untuk akhirat kita, untuk Islam kita?
Persiapkanlah iman yang nyata.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203495/buku-motivasi-bebaskan-jiwamu