[SNEAK PEEK] Aku Ingin Jadi Penulis

Aku Ingin Jadi Penulis oleh DOMI RYC

“Seronok tak jadi orang popular.” Aku tanya spontan. Bukan nak tahu sangat cuma sekadar membuka peluang untuk dia bercerita.

“Maksud?”

“Yalah semua orang pun pandang kat Encik Ian bila pergi ke mana-mana.”

“Popular tu seronok, tapi jadi perhatian orang ramai walaupun hal peribadi kita menjadikan mana-mana pelakon pun tak selesa. Manusia ni tak ada yang rekodnya putih bersih tanpa calar, mesti ada yang bergaris hitam. Kecuali kalau kau kerja sebagai ustazah atau ustazlah.”

Aku angguk kecil. Serba sedikit faham dengan kata-katanya. Tiba-tiba terlintas dalam fikiranku tentang kekasihnya yang tempoh hari kutemui bersama dengan lelaki lain.

“Aku kena lebih berjaga-jaga terutamanya bila ada orang yang tahu banyak tentang kelemahan aku. Bila kita mula keluar di kaca televisyen, mulalah ramai yang korek sana sini nak tahu siapa aku sebenar.”

“Jadi kalau tak selesa, Encik Ian buat apa?”

“Saya biasa aje. Kalau over reacting nanti orang lain nampak kelemahan yang boleh mereka serang sana-sini. Saya pernah terperangkap dalam berita scandal dan saya cukup tak nak pengalaman buruk tu berulang sekali lagi. Rimas dengan berita-berita negatif dan spekulasi buruk terhadap saya walaupun benda tak pernah berlaku.”

Aku pandang jalan raya. Mungkin sebab tu kebanyakan waktu dia nampak tenang dan bersahaja. Kadang-kadang nampak sombong dan sukar untuk didekati. Dia dah bina tembok supaya dia tidak terluka nanti. Lagipun dia kata dia kena berjaga-jaga dengan semua orang kerana tidak mahu hal peribadinya dijadikan bahan topik perbualan orang lain.

Macam akulah agaknya sebab aku tahu banyak tentang dia. “Encik Ian jangan risau, saya pandai simpan rahsia.” Aku berjanji bersungguh-sungguh. Dia ketawa kecil nampak senang hati mungkin kerana kata-kataku kedengaran ikhlas dari pendengarannya.

Dia menoleh ke arahku dan tanpa diduga tangan kirinya mencapai bahuku lalu menepuk perlahan. Jantungku memecut laju dan aku rasa pipi dah naik merah masa tu. Terasa getaran demi getaran berlaku di dalam setiap sudut perasaanku walau aku cuba menafikan dan mengelak dari terus dihanyutkan oleh gelora jiwa. Yang peliknya semakin aku menghalang semakin banyak lagu-lagu cinta berdendang singgah di kepalaku.

Aku pandang dia lagi dan Ian Adafi nampak langsung tidak terkesan oleh perasaan. Aku cepat-cepat lontar pandangan ke arah cermin sisi.

Alamak Mika, itulah kan tak pernah bercinta, bila dapat perhatian dari lelaki walaupun sikit mulalah tak tentu arah. Ini sikit aje Mika. Lelaki di sebelah kau ni dah berpuluh kali peluk perempuan cantik-cantik masa dia tengah berlakon. Bagi dia tepuk bahu ni seperti tepuk buah labu je. Aku gertak hati sendiri yang sudah tak tahu malu terusik pada orang yang sejuta kali lebih baik dariku

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/317532/aku-ingin-jadi-penulis