HEMBUSAN angin adalah rahmat ALLAH. Adakalanya mendatangkan rahmat, adakalanya mendatangkan seksa. Apabila kalian merasakannya, janganlah kalian memakinya tetapi mintalah kepada ALLAH kebaikan angin tersebut dan berlindunglah kepada ALLAH daripada kejahatan. Alhamdulillah, angin di Wadi Saffiyyah belum pernah membawa seksa. Malah, setiap hembusan membawa damai yang bukan sedikit. Angin yang membawa bau segar kawasan lembah dan perbukitan. Angin yang meniupkan zat yang menyihatkan bukan sahaja tubuh tetapi minda. Gemersik angin inilah antara hiburan yang membuatkan Iqbal menyayangi Wadi Saffiyyah. Pesonanya memang amat mengasyikkan. Kehijauan, kedinginan, dan kedamaian di sini membuatkan dirinya pun terasa lebih dekat dengan PENCIPTA. Sehingga Iqbal tidak pernah berniat untuk meninggalkannya lagi. Malah, ketika empat tahun di Universiti Islam Antarabangsa, rindunya pada Wadi Saffiyyah tidak pernah luntur. Ada sahaja kesempatan, pasti dia pulang ke lembah ini. Mengingati potongan hadis daripada Abu Hurairah itu, Iqbal mengucapkan kesyukuran dan terus berdoa meminta kebaikannya. Kemudian, langkahnya diatur terus menuju ke Teratak Abu Muslim. Dia mempercepatkan langkah sebaik sahaja melintasi rumah tetamu yang bersebelahan biliknya. Namun, susuk tubuh seseorang di beranda Teratak Bukhari membuatkannya terkejut. Siapa di rumah tetamu itu? ‘Agaknya ada orang baru!’ bisik hatinya. Dia menundukkan muka memandang tangga. Namun, bagai ada kuasa tarikan di antara kedua-duanya selepas itu. Serentak mata mereka menoleh. Mereka bertentang mata. Dania terkejut melihat Iqbal di situ. Cepat-cepat dia menundukkan muka, dan melindungi wajah di sebalik tudungnya. “Assalamulaikum!” Tiba-tiba Iqbal memberi salam. Dijawab Dania dengan suara perlahan. Kemudian cepat-cepat dia menyelinap masuk. Tidak sempat Iqbal menatap wajah gadis itu di sebalik tudung hitamnya. Tetapi lirikan mata gadis itu terasa menyambar matanya. Sempat dia melihat mata gadis itu yang sayu penuh kesedihan. Siapa dia? KOPIAH ditanggalkan sebaik sahaja pintu bilik ditutup. Iqbal duduk di meja kecil. Tangannya mengambil senaskhah kertas cadangan yang akan dibentangkan. Tetapi fikirannya menerawang jauh. Dari mana dia datang? Kenapa dia dihantar ke sini? Siapa namanya? Apa yang menyebabkan dia terhantar ke sini? Tiba-tiba sahaja dia berfikir banyak mengenai gadis itu. Namun, dia tersentak dan beristighfar. Dia tunduk dan memegang kepala. Dia tidak berfikir sebanyak itu sebelum ini jika ada orang baru datang. “Astaghfirulahalazim! Kenapa aku banyak fikir pasal dia?” Iqbal bercakap dengan dirinya sendiri. Dia mengambil semua laporan untuk dibawa ke an-Nadwah. Pagi ini, mesyuarat akan dijalankan di pejabat walid yang terletak di sebelah pejabat ummi. Banyak agenda Wadi Saffiyyah hendak dibincangkan. “Assalamulaikum! Ustaz Iqbal… Ustaz!” Iqbal bingkas menuju ke tingkap apabila mendengar suara Pak Kitam. “Tuan Haji ajak bersarapan sekali…” beritahu Pak Kitam sebaik sahaja Iqbal menjenguk. “Yalah. Saya datang ni, Pak Kitam!” balas Iqbal lalu mencapai kopiahnya semula.
Matanya sempat menjeling Teratak Bukhari ketika kakinya memijak tangga menuju ke bawah. Gadis itu tidak ada! Ke mana dia? Dia mula mengatur langkah ke dewan makan. Namun, kotak fikirannya masih berlegar tentang tetamu baru itu. Apa kesalahannya sehingga dia dihantar ke sini? Bagaimana ibu bapanya tahu tempat ini? Wadi Saffiyyah bebas daripada sebarang publisiti. Bagaimana mereka tahu tempat ini? “DUDUK, Iqbal.” Ummi meminta Iqbal duduk sebaik sahaja anak bujangnya sampai di meja makan. Iqbal meletakkan semua kertas cadangannya di atas meja sebelah lalu menunggu kata-kata ummi seterusnya. “Kita terima orang baru, Iqbal!” beritahu ummi sambil menuangkan minuman yang sudah tersedia untuk anaknya. “Ummi percaya kita akan terima lebih ramai orang baru selepas ini,” sambung ummi lagi. “Masalahnya… kalau semakin ramai, bilik pun semakin tak muat,” celah Haji Mukri pula. “Kalau nak tambah bilik, boleh… tapi, kita kena cari modal.” Wajahnya yang tenang berubah bimbang. Ummi mengangguk-angguk, mengiakan kata-kata suaminya. “Tempat untuk Nur Dania ada. Sementara Rakibah belum balik, dia boleh ambil katil Rakibah. Nampaknya terpaksalah bersesak sikit,” cadangnya. ‘Oh, nama dia Nur Dania,’ bisik hati Iqbal. “Kata Ummu Maryam, Bilik az-Zahra lebih lapang sikit. Masukkan aje dia ke bilik tu. Biar katil Rakibah kosong, tak baik nak bagi katil dia pulak pada orang lain. Lainlah kalau dia dah tak balik ke sini” Haji Mukri menjeling isterinya. “Katil Nur Dania?” soal ummi sambil tersenyum. “Kalau nak beli baru pun, belum tentu dia orang hantar hari ni. Mungkin sehari dua lagi.” “Ambil katil saya, ummi!” Tiba-tiba Iqbal menawarkan diri. “Saya pun bukannya tidur atas katil tu. Ustaz Affan tidur kat bawah, takkan saya tidur atas katil pulak? Ummi boleh ambil untuk orang baru tu.” Ummi dan walid berpandangan. Kedua-duanya tersenyum. Akhirnya, selesai satu masalah. “Ahamdulillah. Nanti Iqbal dengan Affan boleh keluarkan katil tu. Tilamnya kita ada. Dalam bilik ummi ada tiga lagi tilam baru. Iqbal ambil satu hantar ke Bilik az-Zahra,” perintah ummi. “Kalau bilik dah penuh, ummi boleh ambil bilik kita, kan ustaz?” Tiba-tiba Affan pula bersuara. Haji Mukri ketawa. “Habis, kamu berdua kena tidur dalam bangsallah?” guraunya. Iqbal turut tergelak. “Insya-ALLAH! Mudah-mudahan ALLAH permudahkan urusan kita kan, ummi?” Ummi mengiakan dengan senyuman. “Sekarang ni, kita kena banyak berdoa dan minta pertolongan dari ALLAH. Insya-ALLAH, kalau diizinkan, Wadi Saffiyyah akan berubah wajah tak lama lagi!” Kening Iqbal berkerut mendengar kata-kata walidnya. Wadi Saffiyyah akan berubah wajah?
Haji Mukri menghabiskan minumannya. Dia melihat jam pada dinding. “Eh, dekat pukul lapan. Elok kita mulakan mesyuarat sekarang!” Dia hendak bangun, tetapi dihalang oleh isterinya. “Boleh kita tangguh dulu, bang? Tetamu kita belum balik lagi. Apa kata Datin nanti? Kita lewatkan satu jam, boleh kan?” cadang ummi pula. “Astaghfirullahalazim! Lupa pulak saya yang kita ada tetamu!” Haji Mukri menepuk dahi. “Eloklah. Affan dan Iqbal boleh keluarkan katil tu sementara walid cuba hubungi Ustaz Syakir.” Dia mengambil telefon bimbit di depannya lalu beredar dari situ menuju ke biliknya. DARI pintu utama Wadi Saffiyyah kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang menuju ke arah an-Nadwah. Haji Mukri tidak jadi melangkah. Ada tetamu lainkah datang pagi-pagi begini? “Walid, Ustaz Syakir datang!” Affan muncul di muka pintu Teratak Khadijah dan memaklumkan kepada Haji Mukri tentang kedatangan Ustaz Syakir dan Kamarul. Haji Mukri terkejut. Ustaz Syakir? Dia baru bercadang hendak menghubungi Ustaz Syakir, tetapi lelaki itu sudah muncul pula di sini. Lalu, dia bergegas keluar. “NET! Kau nak dengar cerita tak?” Tiba-tiba Shira menepuk bahu Netty dengan kuat. Netty terkejut yang amat sangat. “Hei, kau tahu tak budak yang baru sampai tu? Anak Datuk wa cakap lu! Mengandung, beb! Mengandung anak luar nikah!” Shira bercakap dengan suara yang megah. Matanya bersinar-sinar. Netty baru perasan yang puteri-puteri lain sudah tidak ada di tepi kolam. Masing-masing ke batas sayuran. Ada yang sedang mencabut rumput. Ada juga yang sedang membubuh baja. “Mana kau tahu?” soal Netty penuh hairan. “Aku dengar ummi bercakap-cakap dengan Mak Yam sekejap tadi. Emak dia belum balik lagi. Tapi tengah bersiap nak baliklah tu! Net, tak lama lagi kita dapat anak saudara!” Shira ketawa di hujung kata-katanya. “Malam ni, aku nak test dia! Dia duduk Bilik az-Zahra tau.” “Kau nak test macam mana? Apa yang kau nak buat?” soal Netty pula. “Manalah tahu kalau dia pun sekepala dengan kita. Bertambah geng kita, Net!” “Eh, tolong sikit! Geng-geng aku tak main ha…” balas Netty selamba lalu bangun daripada mencangkung. “Eh, kau ni… dah mula nak bertaubat ke?” Netty menjeling. Dia tidak menghiraukan kata-kata Shira. ‘Nak perli akulah tu.’ Shira mendengus sebaik sahaja Netty mula melangkah meninggalkannya. “MACAM MANA, Nur Diana? Nak tinggal kat sini?” soal ummi lagi kepada Dania ketika melawat tetamu dari jauh di Teratak Bukhari itu. Anak gadis itu hanya membisu, sebaliknya Kak Jah pula yang menjawab, “Alhamdulillah, Kak Saffiyyah. Nampaknya, dia mahu. Dia tak cakap apa pun. Cuma, dia tak bagi Datin balik cepat.”
“Ummi percaya, Nur Dania akan sukakan tempat ni. Jangan risau, sayang. Ummi ada,” pujuk ummi lagi. Dania akhirnya mengangguk. Kak Jah menyusun beg pakaian yang sudah diletakkan di atas anak tangga. Datin Kay mengajaknya pulang awal ke Kuala Lumpur, namun ummi menahan mereka agar pulang selepas makan tengah hari dahulu. “Oh ya, Datin, Khadijah… kita ada solat dhuha sekejap lagi. Lepas tu Iqbal sambung kelas fardu ain. Kalau nak ikut, datang ke surau. Dekat aje, Khadijah.” Ummi lalu menolak daun jendela dan menunjukkan Surau ar-Rahman. “Tu hah surau…” Kak Jah dan Datin Kay serentak menjenguk. “Tapi, Kak Saffiyyah tak paksa. Kalau nak ikut sekali, datanglah. Ajak Nur Diana sekali,” sambung ummi dan meminta izin untuk beredar dari bilik itu. “Nak ikut solat tu ke, Kak Jah?” soal Datin Kay kepada Kak Jah. “Dania tak mahu, ma. Dania malu,” celah Dania. Datin Kay mengerutkan dahinya. “Semua dah tahu Dania mengandung, ma,” rintih Dania dengan suara perlahan. “Apa nak dimalukan, Dania? Mereka yang ada di sini, semua ada pengalaman lebih kurang Dania. Apa yang nak dimalukan?” Dania terdiam mendengar pujukan Kak Jah. “Jangan malu pada orang, Dania. Kita kena malu pada ALLAH,” nasihat Kak Jah lagi. Datin Kay merenung wajah Dania, kemudian beralih ke perutnya. Dia akan rasa gembira jika Dania suka tinggal di Wadi Saffiyyah. Namun, apa akan terjadi sekiranya Datuk Safuan tahu di mana Dania disembunyikan? Dia mengeluh perlahan.
****
SEMUA puteri Wadi Saffiyyah sedang memerhatikan Dania. Mereka seperti sedang mengata-ngatanya. Semua seperti memandang benci padanya. Tentu ada ejekan. Tentu ada cemuhan. Pasti mereka juga sudah tahu apa yang berlaku kepadanya. Malunya untuk berdepan dengan mereka. Terasa wajahnya disepuh lumpur yang busuk dan menjijikkan. Terasa palitan noda sedang menghiasai mukanya. Lantas mereka semua melihat dosa-dosa yang terlukis di wajahnya itu. Dosa itu sedang mengasingkannya dengan dunia mereka yang sudah lama berada di Wadi Safffiyyah. Mereka sudah kembali ke pangkal jalan sedangkan dia baru sahaja memulakan langkah. Sejarah pahit mereka sudah lama tercipta. Malah, semakin terhapus tanpa bekas dan sisa. Tetapi, sejarahnya baru bermula semalam. Ia masih masih menjadi kenangan yang menyakitkan. Dan sejarahnya tidak mungin terpadam kerana lakaran sejarah itu turut meninggalkan jejak dan kesan. ‘Anak ini. Aku sedang membawa kesan sejarah semalam. Dan akan terus membawanya untuk beberapa bulan lagi. Dapatkah aku melalui segala-galanya di sini tanpa cemuhan dan ejekan?’ DANIA terus duduk di anak tangga Teratak Abu Muslim untuk melepaskan rasa peningnya seketika. Dia baru sahaja menunaikan solat dhuha di Surau ar-Rahman. Mamanya mengikut Kak Jah menjenguk Ummu Maryam di dapur. Lalu, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja. Dia menyandarkan kepalanya ke kisi tangga di kiri kanannya sambil menekan perut. Dia mula berpeluh. Dia tidak mahu duduk lama-lama di situ. Kalau Ustaz Iqbal balik, tentu lelaki itu nampak dia di situ. Dia cuba sedaya upaya menggagahkan diri untuk bangun. Dia berpaut pada tiang dan mula melangkahkan kakinya, namun terasa dirinya tidak berdaya. Dia terduduk semula. “Ya ALLAH, Nur Dania?” Tiba-tiba Dania terdengar seseorang menyebut namanya. “Nur Dania tak sihat ke?” ‘Ustaz Iqbal! Dia ada di dalam rumah rupanya!’ Dania berasa serba salah. Mereka baru sahaja diperkenalkan oleh ummi di depan surau tadi. Dan kini, lelaki itu sudah menyaksikan penderitaannya. Iqbal baru sahaja keluar sambil mengepit fail. Dia kelam-kabut meniti tangga ke bawah. “Nur Dania, tak apa-apa ke?” sapa Iqbal semakin mesra. Dania terpaksa menggeleng. Dia cuba bangun semula. Iqbal memandang sekeliling melihat sesiapa yang boleh dipanggil untuk membantu Dania. Tetapi tidak ada. Masing-masing sedang melakukan kerja-kerja di dewan makan agaknya. Atau masih di surau menghafaz al-Quran. Dania mengagahkan diri untuk berdiri. Tiba-tiba Iqbal memegang lengannya. Dia terkejut dan cepat-cepat menarik tangannya. “Maafkan saya… err… saya cuma nak bantu,” kata Iqbal dengan perasaan bersalah. “Saya tak apa-apa. Terima kasih, ustaz!” tutur Dania. Dia melangkah perlahan menuju ke Teratak Bukhari.
Iqbal masih memerhatikan sambil bimbang melihat keadaan Dania. Selepas Dania berjaya meniti anak tangga, barulah dia berlari pantas ke an-Nadwah. Ummi tentu sedang menunggunya di pejabat. “LAMBAT!” Ummi menjeling sebaik sahaja Iqbal masuk dan memberi salam. “Ambil fail pun lama sangat Ustaz Iqbal ni,” perlinya lagi dengan tujuan mengusik anak bujang itu. “Mana pulak lambat, ummi? Iqbal naik buraq sekejap tadi. Kan cepat ni?” balas Iqbal juga membalas usikan umminya. Dia membuka helaian di dalam fail yang ingin disemak oleh umminya. Ummi menyemak satu per satu helaian itu. Nampaknya, dia tertarik dengan perancangan-perancangan Iqbal. “Ummi, nampaknya Nur Dania tu macam sakit aje.” Iqbal bersuara. Ummi memanggung kepala memandang Iqbal. “Iqbal nampak dia kat mana?” soalnya agak serius. “Masa Iqbal keluar bilik tadi. Nampak dia duduk atas tangga kat situ. Dia jalan terhuyung-hayang, ummi. Macam pening kepala. Iqbal rasa dia sakitlah, ummi!” Ummi mengetap bibir, kemudian berkata, “Dia bukan sakit, Iqbal. Dia… dia… mengandung!” Terbeliak biji mata Iqbal mendengar kata-kata umminya. Benarkah? “Maknanya, ini kes kelima ya, ummi?” Ummi hanya mengangguk. Iqbal juga mula memahami. Selama lebih setahun Wadi Saffiyyah beroperasi, sudah ada tiga gadis yang melahirkan bayi mereka di situ. Tetapi mereka datang dengan kandungan yang sudah cukup bulan dan hampir melahirkan. Selepas melahirkan, mereka dibawa pergi oleh ibu bapa masing-masing atas alasan akan berkahwin dengan pasangan atau menyambung semula pelajaran. Rakibah yang keempat, tetapi tidak sempat melahirkan anaknya. “Iqbal, jangan sebut-sebut perkara ni depan orang lain. Kita kena sembunyikan aib orang lain. Ummi tahu, lambat-laun semua akan tahu. Tetapi, kita jangan lukakan hati Nur Dania. Ummi tak mahu dia berasa dihina atau dipandang rendah oleh orang lain.” Iqbal memandang wajah umminya dengan penuh pengertian. Dia mengangguk. “Kes Nur Dania… ummi belum tahu apa ceritanya. Ummi tak mahu bertanya Datin. Biar ummi tanya Nur Dania sendiri,” beritahu ummi lagi. ALANGKAH pedihnya saat perpisahan. Dania memeluk erat tubuh Datin Kay. Berat rasanya hendak berpisah dengan mamanya, tetapi dia terpaksa menerimanya. Selepas makan tengah hari, Datin Kay tidak mahu bertangguh lagi. Dia mula memikirkan Datuk Safuan. Tentu suaminya sedang mencari mereka ke sana sini. Tentu suaminya sedang berang kerana dia melarikan anak gadis mereka. Apa pun yang akan dilakukan suaminya nanti, dia kena pulang terlebih dahulu. Sudahlah pergi begitu sahaja, sehingga kini dia tidak berani untuk cuba menghubungi suaminya. Namun, apa yang kulakukan ini adalah untuk mengelakkan lelaki itu daripada berbuat dosa. Berkali-kali hati Datin Kay berbisik. Dia mencium kening Dania penuh syahdu. Sedikit pun dia tidak berasa bimbang. Dia tahu, Dania akan selamat dan tenang berada di Wadi Saffiyyah. Dania tidak akan bersedih lagi kerana dia tahu anak gadisnya bersama mereka yang senasib dengannya.
Puteri-puteri Wadi Saffiyyah melambaikan tangan ketika kereta Datin Kay menuruni bukit kecil di depan an-Nadwah. Kesempatan berkenalan di dewan makan, cepat memesrakan Datin Kay dengan mereka semua. Sempat wanita itu meminta puteri-puteri itu agar menjaga Dania dengan baik. Tetapi, reaksi Dania pula sebaliknya. Dia tidak dapat menahan hamburan air matanya. Dia tidak pernah berpisah lama dengan mamanya. Saat ini, dia amat memerlukan kebersamaan mereka sedangkan dulu, dia selalu meninggalkan mama tanpa meminta izin atau memberitahunya. Kini, saat berpisah itu menjadi begitu menyakitkan sedangkan dulu, dia berasa seronok dan megah apabila dapat meninggalkan mamanya untuk bersama dengan kawan-kawan. Kini, dia terpaksa bersendirian di tempat yang asing itu. Tidak ada mama atau Kak Jah yang akan melayan kerenahnya. Dia kini terlontar di lembah asing. Dia juga bakal memulakan perjalanan hidupnya sini. Apakah yang bakal menanti di perjalanan ini? Dia tidak pasti.
****
APAKAH erti pandangan Iqbal pada Dania? Apa pula makna pandangan Dania pada Iqbal? Bukankah ALLAH sudah membataskan penglihatan seorang lelaki pada wanita dan begitu juga sebaliknya? Lupakah Iqbal tentang perkara ini? Sebelum ini dia tidak pernah melihat Iqbal memandang walau seorang pun puteri Wadi Saffiyyah dengan pandangan seperti itu. Bagai ada suatu kuasa yang menarik kedua-duanya untuk saling berpandangan dan bertentangan mata. Sesuatu yang belum pernah dilakukan Iqbal sebelum ini. Mungkin Iqbal terlupa atau dia tidak sengaja! “Bahawa apabila seorang lelaki ingin melihat kepada perempuan yang ajnabiah tanpa sebab yang syar’ie, maka haram baginya yang demikian itu.” Pernah Haji Mukri membangkitkan perkara demikian dalam salah satu ceramah kerohanian yang disampaikanya.Tetapi, kenapa tiba-tiba Iqbal terlalai apabila melihat Dania? Tidakkah Iqbal juga membaca kitab yang sama, yang digunakan oleh Haji Mukri sebagai bahan ceramahnya? Malah, bahan-bahan tazkirah yang disampaikan oleh Iqbal, ada ketikanya juga merujuk pada kitab-kitab lain yang juga dirujuk oleh Haji Mukri. UMAIRAH merenung senja yang mula merangkak tiba. Kesunyian mendakap Wadi Saffiyyah. Cuma alunan ayat-ayat suci al-Quran daripada Affan yang terdengar dari surau. Itu pun terasa jauh dan amat perlahan. Senja itu bukan sekadar membawa sunyi. Tetapi kesayuan yang sudah lama tidak menjengah dirinya. Betapa perasaannya bagai diregut seketika bila dia melihat apa yang berlaku di Bilik az-Zahra tadi. Pandangan Iqbal pada Nur Dania bukan pandangan biasa. ‘Ah, hati! Janganlah kau berasa cemburu. Ah, jiwa! Janganlah kau mengundang lara. Tidak ada maksud pandangan Iqbal pada Nur Dania. Tidak ada juga maksud lain Nur Dania kepada Iqbal. Mereka juga manusia biasa. Sesekali pasti mereka terleka. Ya ALLAH, cemburukah aku? Sehingga membuat tafsiran yang dalam tentang erti pertautan pandangan mereka?’ “Assalamulaikum, ustazah. Kenapa duduk kat sini?” Umairah terkejut mendengar sapaan di belakangnya. ‘Iqbal! Kenapa dia muncul tiba-tiba ketika aku sedang mengingatinya?’ Dia bangun dari kerusi batu yang dibina Haji Mukri di laman itu. “Semua dah ke surau nampaknya tu. Err… elok ke sana sekarang. Ummi mana?” tanya Iqbal penuh sopan. “Err… ada. Tadi dah nak keluar,” kata Umairah teragak-agak. “Saya tengah tunggu ummilah ni.” Itulah alasan terbaiknya untuk mengelak salah sangka Iqbal. Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk beredar dahulu. Iqbal mempersilakannya melangkah bersama. Umairah teragak-agak. Kedua-duanya berjalan seiring tetapi dengan jarak yang sangat renggang. “Macam mana dengan Nur Diana?” Soalan Iqbal membuatkan Umairah tersentak. Tetapi, itu bukan perkara luar biasa. Iqbal memang suka mengambil berat tentang keadaan puteri-puteri Wadi Saffiyyah. Namun, kenapa Nur Dania menjadi soalan pertamanya dan pertanyaan mengenai puteri baru itu meruntun hatinya? Umairah gugup seketika. “Alhamdulillah, ustaz. Nampaknya dia sedang cuba menyesuaikan diri. Maklumlah, mungkin dia belum biasa…” beritahu Umairah sejujurnya
KEDUA-DUANYA sampai di depan Surau Ar-Rahman ketika Haji Mukri sedang menjenguk di muka pintu. Iqbal terkejut mendengar sapaan walidnya yang tiba-tiba. “Hah, dah sampai pun! Walid ingat kamu tertidur.” Haji Mukri memandang Umairah dengan wajah serius. “Ke Umairah yang tolong kejutkan dia tadi?” soalnya. Umairah menggeleng. “Bukan, walid!” Dia segera menuju ke pintu yang membawanya ke ruang jemaah perempuan. Kedatangan Umairah disambut jelingan cemburu oleh Shira. Shira ternampak wanita itu dan Iqbal berjalan berdua-duaan di laman surau sebentar tadi. “Menyampah!” gumam Shira dengan wajah mencuka. Dia menghempaskan tubuhnya di antara Dania dan Netty. Netty menyiku Shira yang sedang menghimpitnya. Dania terpaksa menjauhkan jaraknya daripada mereka berdua. “Kenapa? Kau tak suka aku ke?” Tiba-tiba Shira bersuara perlahan kepada Dania. Dania menelan liur. Dia tidak menjawab. “Kalau kau nak tahu, aku memang samseng kat sini! Kau kena berhati-hati dengan aku!” sambung Shira, cuba menakut-nakutkan Dania. Netty pantas mengalihkan pandangan ke arah wajah Dania. Kemudian beralih pada perut Dania yang terselindung di sebalik telekungnya. ‘Dia sedang melalui apa yang aku lalui dahulu.’ Hatinya mula berbisik. ‘Malah, aku melaluinya tiga kali.’ Mengandung bukan sesuatu yang mengejutkan bila kandungan pertamanya digugurkan tanpa belas dan rasa berdosa. Tidak ada wanita yang mahu menanggung beban yang tidak dikehendaki itu. “Kalau kau teruskan kandungan, macam mana kau nak bekerja?” Suara mami bergema ke seluruh ruang biliknya. “Siapa yang nak pakai kau kalau dia orang tahu kau mengandung?” Jerkahan mami mengecutkan perutnya. Akhirnya, dia terpaksa menggugurkan kandunganya. Satu demi satu. Kehamilan bukan lagi yang membimbangkannya. Beritahu sahaja kepada mami, selesai semua masalahnya. Sehinggalah dia bertemu dengan seorang lelaki berhati mulia itu. Lelaki yang mengeluarkannya dari lubang neraka itu dan menghantarnya ke sini. Tetapi, di mana lelaki itu sekarang? Netty merenung Dania kembali. Dania berbeza. Dia tidak mahu menggugurkan kandungannyakah? Bukankah itu penyelesaian terbaik untuk gadis mentah sepertinya? Bagaimana boleh terdorong hatinya untuk mempertahankan bayi di dalam kandungannya itu? Tidakkah Dania tahu, banyak ranjau yang akan ditempuhi dengan kelahiran itu? Namun, jauh di sudut hatinya, dia merasakan Dania memang ada kekuatan luar biasa.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66575/aku-cinta-dia