AIFA duduk bertentangan dengan Amira. Dia memilih mi kari dan jus epal manakala Amira memilih nasi ayam dan Milo ais.
“Ramai juga orang di restoran ni, ya,” kata Aifa. Dipandang kiri dan kanan, dia melihat keriuhan pelanggan menjamu selera.
“Makanan di sini sedap. Kalau kena beratur panjang pun, akak tak kisah sebab berbaloi. Nasi ayam ni memang sedap. Sup dia pun power.”
Aifa mengangguk. Dia memulakan suapan pertama selepas membaca doa makan. “Betullah akak, sedap makanan di sini.”
“Kalau nak tahu, kedai ni dah jadi port wajib akak waktu rehat.” Dicubit sedikit ayam lalu dicecahkan ke dalam sos.
“Boleh saya duduk di sini.”
Automatik Aifa mendongakkan kepalanya sebaik sahaja mendengar suara itu. Dia sangat-sangat kenal akan suara itu. Suara musuh ketat a.k.a mamat sengal. Aifa tertoleh-toleh ke kanan dan ke kiri.
“Meja lain semuanya dah penuh. Sebab itulah, saya duduk kat sini.” Bagai memahami, Hakimi terus memberitahu apabila melihat kepala Aifa tertoleh ke kiri dan ke kanan.
“Duduk ajelah. Tak ada pun tulis nama kat situ.” Amira memandang Hakimi. Pelik benar perangai lelaki ini hari ini. Selalunya dia akan duduk sahaja tanpa dijemput. Hakimi mengambil tempat di sebelah Amira. Dipandang wajah mencuka Aifa.
“Minah gengster, makan mi kari aje ke? Kau tak makan nasi ke?”
Aifa tersedak tatkala mendengar panggilan keramat itu keluar daripada mulut Hakimi. Memang nak kena cili lelaki ni! Hilang selera makan dibuatnya. Dia menyedut airnya. Dia menjeling geram ke arah Hakimi. Bersahaja riak muka Hakimi, tanpa ada secebis rasa bersalah!
“Aifa naik dululah, nak solat. Lepas ni nak kena ke tapak projek.” Aifa memberi alasan sedangkan seleranya sudah diragut oleh Hakimi. Dasar mamat sengal!
“Duduklah dulu, habiskan makanan tu. Awal lagi, baru pukul 1.15. Kimi pun baru aje makan ni,” pujuk Amira. Dia perasan riak wajah Aifa yang sudah berubah. Masam mengalahkan cuka!
“Tak apalah akak, Aifa nak naik solat dulu.” Aifa terus meninggalkan Amira dan Hakimi.
Hakimi menjuihkan bibirnya. ‘Sikit-sikit merajuk, itulah perempuan!’ Hatinya menyampah!
“Kenapa tiba-tiba aje Aifa balik ke pejabat?” tanya Amira kehairanan. Dilihat Aifa berjalan sehingga hilang daripada pandangan.
“Entahlah! Moody aje, bulan mengambanglah tu.”
“Kau ni Kimi, ke situ pula! Dia cakap nak solat tadi. Takkan bulan mengambang pula.” Amira membela Aifa. Itulah lelaki, asalkan moody pastinya dicop datang bulan. Tak ada benda lain yang nak difikirkan!
“Manalah aku tahu!” Hakimi masih dengan riak wajah tidak bersalahnya. Malas memikirkan minah gengster itu! Tapi bila difikirkan balik, mungkin juga minah gangster itu merajuk kerana dia memanggil gelaran keramat itu tadi. Terbit jua rasa bersalah dalam dirinya.
“Mesti dia lapar nanti. Sebelum ke Cyberjaya nanti, kau singgah belikan makanan untuk di. Pengsan pula budak tu nanti. Eh, kenapa kau panggil dia minah gengster tadi? Aku perasan muka Aifa mencuka selepas kau panggil dia minah gengster. Kenapa dengan kau ni? Dia baru kerja sehari, kau dah buli dia.”
“Sebab aku panggil dia gengster, dia terus berubah ke?” Dahi Hakimi berkerut seribu. Gadis seganas itu tidak mungkin terkesan hanya kerana perkataan ‘minah gengseter’. Lagipun beberapa hari lepas, sewaktu dia menggelar gadis itu minah gengster, tidak pula dia merajuk tetapi berubah menjadi singa adalah!
“Yalah… takkan aku nak menipu kau pula.” Amira meyakinkan Hakimi.
Hakimi rasa bersalah pada Aifa. Kerana dia, gadis itu hilang selera makan. Terfikir juga andai gadis itu pengsan di tapak projek nanti, mahu berpeluh dia kena menjawab dengan Encik Fitri! Dia bangun dari duduknya.
“Nak ke mana pula ni? Makanan tak habis lagi.”
“Aku nak tapaukan makanan untuk Aifa. Mati aku nak menjawab kalau dia pengsan nanti. Jap lagi aku sambung makan balik.” Acuh tak acuh Hakimi menjawab. Kalau dah perempuan tu perempuan juga. Mulut tu suka sangat membebel. Tambah-tambah yang sudah berkahwin. Aduh… mahunya cair tahi telinga! Hari-hari membebel!
HAKIMI melihat jam di pergelangan tangannya. ‘2.31 petang. Hmm… siaplah kau!’ Dia tersenyum sinis saat melihat langkah kalut Aifa. “Cuba berjalan cepat sikit. Kita dah lambat. Sekarang dah pukul 2.31 tau.”
“Aku lewat seminit aje.” Aifa menjawab, geram kerana acap kali dipermainkan.
“Inilah perempuan, lembab buat kerja.”
“Kita pergi kereta asing-asinglah. Lepas ni mesti terus balik rumah. Takkanlah nak tinggalkan kereta aku kat sini?” Polos sahaja Aifa bertanya.
“Nanti aku bawa kau balik sini, ambil kereta kau. Dahlah… masuk cepat!”
Sudah hampir sepuluh minit perjalanan, namun suasana antara mereka senyap sunyi.
“Kenapa dengan kau ni? Senyap aje. Aku rasa katak terkecik tulang ikan pun tak senyap macam kau ni!” Hakimi memecahkan kesunyian antara mereka.
Hampir terburai tawa Aifa mendengar Hakimi meminjam kata-katanya tempoh hari. “Kau ingat lagi?”
“Mestilah, minah gengster serang aku, mahunya aku tak ingat. Mulut dia punyalah berbisa.”
“Kau mengata aku! Kenapa kau panggil aku minah gengster depan kak Mira tadi?”
“Mulut aku, ikut suka hati akulah!” Sengaja Hakimi membakar hati Aifa. Dia sudah nampak riak tidak puas hati pada wajah gadis itu.
“Kalau macam tu, aku pun boleh panggil kau mamat sengal, kan?”
“Aku tak halang kau nak panggil nama aku mamat sengal ke, apa ke! Aku tak kisah. Tapi, kau kena ingat kau bawah pengawasan aku. Kalau aku cakap pada bos you are not up to my expectation, can you imagine what will happen to you?” ugut Hakimi.
“Kau ugut aku! Hisy… berani kau!” Jari Aifa sudah mendarat di lengan Hakimi. Dicubit sekuat hatinya.
“Sakitlah, aku tengah drive ni! Kau nak kita balik ke rumah dengan van berlampu di atas tu ke?” Hakimi cuba mengelak cubitan berbisa Aifa.
“Van berlampu di atas? Apa tu?” soal Aifa, pelik.
“Ambulanlah, mangkuk! Takkan itu pun tak tahu?”
“Mangkuk tu berguna tau. Kita boleh makan guna mangkuk!” Petah Aifa menjawab. Dihadiahkan jelingan tajam buat Hakimi.
“Memanglah, mangkuk boleh diguna untuk makan mi kari. Sedapkan?”
Bukkk!!! Satu tumbukan mengena lengan Hakimi. Mengaduh dia kerana tidak menduga sama sekali, Aifa akan menghadiahkan tumbukan seganas itu!
“Sakitlah! Mahunya patah lengan aku. Setiap minggu kau pergi gym ke? Semacam aje aku tengok kau ni?”
“Aku ni belajar taekwondo tau! Berani kau kacau aku, kan? Karate baru kau tahu!”
“Memang sah kau ni gengster! Kau ni lelaki menyamar jadi perempuan ke apa? Ganas sangat aku tengok!” Hakimi masih mengusap-usap tangannya. Hebat juga penangan budak ini.
“Eeii… diam boleh tak? Bisinglah mulut kau tu! Kau drive elok-elok, lagi bagus daripada kau asyik mengata aku!” Aifa berpeluk tubuh. Malas dia mahu melayan kerenah mamat sengal itu!
Hakimi menjuihkan bibirnya, meraikan kemenangan entah untuk kali ke berapa. Mudah aje nak kalahkan budak ni. Hehehe… Dia gelak jahat dalam hati.
AIFA berjalan di belakang Hakimi. Dia sekadar memerhatikan tingkah lelaki itu. Ini kali pertama dia turun ke tapak projek. Jadi dia mengambil pendekatan untuk dengar dan lihat sahaja. Sudahlah dia memakai baju kurung. Susah benar untuk bergerak ke sana ke sini.
“Semuanya berjalan dengan lancar. Pembinaan mengikut spesifikasi dan yang paling penting, jangkaan binaan ni siap adalah seperti yang dijanjikan. Minggu depan kita ke sini lagi.” Hakimi memandang Aifa sekilas. Dapat dilihat titik-titik jernih yang pada wajah itu.
“Kau tu engineer. Lain kali kalau ke tapak projek, pakai kasut biasa sudahlah. Tak perlu beria-ria nak pakai kasut tinggi. Tempat ini bukan untuk melaram. Lainlah kalau kau tu pengarah urusan syarikat. Kau nak pakai kasut tinggi seratus inci pun boleh. Tak ada orang yang nak bising,” bebel Hakimi.
Merah padam muka Aifa menahan malu.
“Jom balik. Kau nak tidur sini ke?” Hakimi berjalan meninggalkan Aifa.
“Aku ada rumahlah! Mestilah aku nak balik!” Aifa mengekori Hakimi masuk ke dalam kereta lelaki itu. Banyak cakap betul mamat ni!
“Aku tahulah kau ada rumah. Sebab itulah aku ada jiran yang suka cari pasal. Baru hari pertama aku kat situ, dah cari gaduh!”
Panas telinga Aifa mendengar kata-kata Hakimi itu.
“Abang kau kerja doktor ke?” soal Hakimi.
“Kenapa kau nak tahu? Sibuk aje!”
“Sombongnya! Aku tanya tentang abang kau, bukannya aku nak tahu tentang kau! Jangan perasanlah!”
“Kalau betul doktor pun, kenapa? Kau nak jadi kakak ipar aku ke?”
“Kau ni rabun ke? Kau nak aku singgah kedai cermin mata ke? Kes serius dah ni sampai lelaki dengan perempuan pun tak tahu beza! Ataupun sebenarnya kau yang sengal!” Pedas sekali kata-kata Hakimi.
Aifa menjeling lelaki itu, geram. “Malas aku nak layan kau!” Dia menguatkan suara radio. Lagu ‘Cinta Gila’ dendangan Juliana Banos memecah kesunyian Honda Civic milik Hakimi.
Hakimi turut sama menyanyikan lagu itu. Kadangkala jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta mengikut rentak lagu.
Aifa memandang Hakimi dengan ekor matanya. Matanya merayap ke serata wajah Hakimi. Kulitnya putih bersih. Hidungnya yang sederhana mancung, menambahkan kekacakannya. Matanya semakin nakal. Matanya turun sehingga ke mulut merah lelaki itu. Jelas sekali lelaki itu tidak merokok. Lengan sasa lelaki itu mencuri tumpuannya. Dia suka benar melihat lelaki yang melipat lengan baju seperti itu, kemas dan mengancam! Pendek kata, lelaki itu sememangnya kacak! Tetapi entahlah, dia tidak pernah nampak semuanya sebelum ini. Mungkin kerana dia gemar berperang dengan lelaki itu. Habis semua kelebihan lelaki itu dinafikan.
Kata-kata Aizam terlayar di mindanya. ‘Tetapi tak akan dengan mamat sengal ni? Tolonglah!’ Namun, entah mengapa matanya itu tidak mampu berganjak dari melihat susuk tubuh itu. Kacaknya dia!
“Dah puas renung aku? Kacak ke?”
Bagai terkena renjatan elektrik, sepantas kilat Aifa mengalihkan pandangannya ke arah jalan. Dia mengetap bibir, menahan malu! Dia benar-benar malu kerana tertangkap sedang mencuri pandang wajah Hakimi, musuhnya!
“Perasanlah kau ni! Masa bila pula aku renung kau! Aku tengok kereta sebelah kau tu! Cantik.” Aifa mencipta alasan untuk menutup malu.
Hakimi menjeling sekilas gadis di sebelahnya. Rona wajah gadis itu yang bertukar menjadi merah membuatkan tawa yang ditahan dari tadi terlepas. Dia menghamburkan tawa sepuas hati. Sah-sah ditangkap merenung orang, masih tidak mengaku. Ego!
“Kau jangan nak tipu akulah. Mata aku ni tajam lagi tau! Nampak sangat kau renung aku tadi. Kalau dah jatuh cinta, mengaku ajelah. Tak perlu nak sembunyikan perasaan kau tu!” sakat Hakimi.
“Tak hingin aku! Aku cuma terfikir tadi… kau ni kacak juga, tapi sayang sengal!” Aifa sengaja menyakitkan hati Hakimi agar dia tidak mengungkit keterlanjuran dia merenung Hakimi tadi.
“Kau tu pun sama aje. Harap muka aje comel, tapi perangai macam gengster! Cubalah cakap lembut-lembut sikit. Sejuk telinga ni dengar.”
“Dengan orang sengal macam kau, mana boleh cakap lembut-lembut!” Aifa mencebik. Malas dia melayan Hakimi.
“Kalau aku sengal, kau tu apa pula?”
Aifa hanya diam. Soalan Hakimi dibiarkan sepi tanpa jawapan.
“Kau tersalah makan ubat ke? Senyap aje? Ataupun pita suara kau rosak?” soal Hakimi, bila Aifa diam.
Aifa masih diam. Tak ingin dia menambah dosa kering kerana berdebat dan bergaduh dengan lelaki itu!
Tetapi, diam Aifa menambahkan geram di hati Hakimi. Dia masih tidak puas mendengar suara gadis itu bertengkar dengannya. “Memang sah pita suara kau rosak!” Hakimi menjeling sekilas reaksi Aifa. ‘Baiklah! Kita tengok siapa juara!’
“Kau nak ke mana ni?” Aifa kalut apabila Hakimi tidak membelokkan kereta ke arah jalan menuju ke pejabat mereka.
“Ada pun suara? Aku ingatkan peti suara kau dah rosak.” Hakimi tersenyum sinis.
“Kau nak bawa aku ke mana ni? Kau jangan main-main dengan aku.” Aifa bersuara seakan-akan mengugut. Takut juga dia andai diapa-apakan. Sudahlah dia baru sahaja mengenali Hakimi. Hatinya kian cuak apabila Hakimi sekadar tersenyum.
“Kenapa kau tak jawab? Peti suara kau pun rosak ke?” Aifa bertanya. Suaranya semakin meninggi. Malah, tanpa sedar dia seakan-akan menjerit. Hakimi terus sahaja ketawa apabila melihat reaksi gelabah Aifa.
“Aku ada tali pinggang hitam dalam taekwondo tau. Kau jangan main-main. Tak pasal-pasal kau hilang nyawa nanti!” Aifa memberanikan diri.
“Ada pun suara! Aku nak bawa kau ke suatu tempat. Mesti kau suka. Kita berdua aje kat sana tau.” Suara Hakimi sedikit romantis. Sengaja dia ingin menyakat gadis itu. Gadis yang berpura-pura berani sedangkan nampak ketakutan di mukanya.
“Aku tak nak ikutlah! Kau turunkan aku sekarang! Aku balik naik teksi! Kau turunkan aku sekarang juga! Sekarang!”
Hakimi masih meneruskan pemanduannya. Permintaan Aifa tidak dihiraukan. Aifa semakin geram melihat reaksi Hakimi yang bersahaja itu. Bagai orang tidak bersalah sahaja lagaknya!
“Hakimi, tolonglah! I beg you, Kimi!” Suara Aifa semakin berubah nadanya. Dia sudah hampir menangis.
“Kau ni kenapa? Gila ke tak pasal-pasal aje nak merayu kat aku? Aku bukannya nak buat apa pun kat kau! Kau ingat aku ni jahat sangat ke? Kau jangan risaulah, aku jamin kau selamat dengan aku! Perangai gengster, tapi pengecut juga!” Hakimi ketawa.
Aifa menarik muka masam. Dia berpeluk tubuh. Volume radio dikuatkan. Dia lebih suka mendengar muzik daripada mendengar Hakimi membebel! Lagu ‘Gadis Melayu’ dendangan Jamal Abdillah mencuri tumpuannya. Hakimi turut menyanyikan lagu itu. ‘Mamat ni memang memang gemar menyanyi!’ Rumus Aifa di dalam hati. Tatkala dia memandang sekilas wajah tampan lelaki itu, fikirannya kembali memutarkan peristiwa malam dia bergaduh hebat dengan Hakimi sehingga lelaki itu ‘dimandikan.’
“Kau ingat lagi lagu ni?” soal Hakimi.
“Kenapa dengan lagu ni?” tanya Aifa, polos. Mindanya sudah tidak dapat berfikir dengan betul. Entahlah! Ada kalanya Hakimi membuatkan hatinya sakit dan ada kalanya Hakimi mencuri tumpuannya. Err…
“Malam tu… kau tak ingat ke? Malam tu aku…”
“Okey, full stop! Aku tak nak dengar apa-apa lagi.” Aifa bersuara tegas. Dia pasti Hakimi ingin mengungkit peristiwa peperangan mereka pada malam itu. Jadi, lebih baik dia meminta Hakimi diam daripada mereka kembali bertelagah mengenai detik pertemuan ‘terindah’ mereka itu.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75675/aku-alergik-cinta