BIARPUN kecewa dengan perkahwinan Jaya Hezmi, mujur juga Farhana masih mampu berfikiran waras. Hidupnya diteruskan seperti biasa walaupun hatinya sudah tidak punya rasa. Dia kembali menjadi Farhana yang asal. Melakukan rutin hariannya seperti sebelumnya dan tidak lagi bertapa di hadapan komputer saban malam. Pergi kerja, balik kerja. Bergelumang dengan dunia andaman tanpa memikirkan lagi soal Jay Hezmi. Dia bertekad merawat kelukaan itu sendiri. Tidak mahu lagi mengingat kebodohan dirinya. Pejam celik, pejam celik sudah tiga bulan kepahitan itu ditinggalkan. Sedikit demi sedikit ingatan pada lelaki buaya itu mulai pudar. Tengahari itu, sewaktu di Butik Andaman Amy, Farhana turun ke restoran di tingkat bawah untuk mengisi perutnya yang sudah berlagu riang minta diisi. Sejak pagi dia sibuk menjahit baju pengantin yang akan diambil oleh pelanggan keesokan harinya. Restoran Mukmin Jaya sudah menjadi tempat wajib bagi Farhana makan tengahari. Ada lagi sebuah restoran mamak di hujang deretan kedai itu, tetapi dia lebih suka dengan cara masakan Cina muslim di restoran itu. Dia dan pekerja di situ pun sudah akrab seperti adik-beradik. “Nasi Goreang Cina satu kak. Macam biasa, bungkus.” Farhana membuat pesanan makanan sebaik sahaja seorang pelayan menghampirinya. “Letih saja akak tengok. Banyak kerja ke?” Wanita berusia 40-an yang mesra dengan panggilan Kak Mah itu menegur. “Haah kak. Penat rasa badan ni.” Farhana menarik kerusi dan duduk di meja bulat. Keadaan restoran agak lengang. “Biasalah tu. Kerja. Nak buat macam mana.” Kak Mah senyum. Dia berlalu ke bahagian dapur meninggalkan Farhana sendiri di meja itu. Farhana bermain-main dengan telefon bimbit menghilangkan kebosanan menunggu makanannya siap. Cuaca yang panas terik menambahkan keletihan yang sedia ada. Dia rasa rimas dan resah. “Farhana? Farhana kan?” Tiba-tiba suatu suara menegur Farhana yang tunduk leka. Farhana mengangkat wajah. Seorang lelaki yang pernah ditemui dahulu berdiri di hadapannya. “Alif! Buat apa kat sini?” Farhana sedikit terkejut. Tidak sangka akan bertemu dengan lelaki itu lagi. “Ni kan restoran, saya datang makanlah. Takkan nak datang baiki jalan pulak.” Alif berseloroh. Dia tersenyum memandang Farhana. Farhana tergelak kecil. “Tahulah datang makan. Maksud saya buat apa kat area sini? Awak bukan kerja kat sini kan?” “Ada hal tadi kat Kota Laksamana. Nak balik ke pejabatlah ni. Lapar, singgah makan dulu. Tak sangka pulak jumpa awak kat sini.” Alif menerangkan. Farhana mengangguk perlahan. “Tak nak jemput saya duduk ke?” Alif mengangkat kening. “Lah… ingatkan awak memang nak berdiri saja kat situ, tu yang tak ajak tu.” Farhana pula berseloroh. Kedua-duanya tergelak kecil. Alif menarik kerusi dan duduk mengadap Farhana. Farhana membetulkan sedikit duduknya. Dia rasa janggal. Tidak tahu apa yang harus dibicarakan. Alif juga begitu. Diam menyepi. Masing-masing mungkin mencari topik yang sesuai untuk dibualkan. “Lama tak nampak ya?” Farhana memecahkan kesunyian antara mereka. “Macam mana nak nampak, kalau telefon pun tidak. Entah-entah kad nama saya hari tu, dah awak campak dalam Sungai Melaka.” Alif senyum. Farhana juga senyum. Senyum malu sebenarnya apabila hal itu diungkitkan. Memang dia tidak pernah menelefon Alif sejak kali pertama mereka bertemu. Langsung dia tidak teringat pada Alif lagi. Sibuk di tempat kerja dan sibuk melayan Jay Hezmi yang akhirnya memakan diri sendiri! “Maaflah. Saya banyak kerja, tu yang lupa. Kad awak ada lagi dalam beg ni. Tak baik campak-campak dalam sungai. Nanti kena saman dengan majlis perbandaran tau!” Farhana bergurau, cuba menutup malu pada Alif. “Ada? Kenapa saya rasa macam tak percaya saja?” Alif sengaja menduga. “Tak percaya? Nanti ya saya tunjukkan. Ada kat dalam ni.” Farhana terus membuka dompet dan mencari-cari di celah kad-kad. Seingatnya di situlah dia meletakkan kad nama Alif. Tapi mana pulak? Alif menunggu penuh minat. Gelagat Farhana diperhati. Gadis itu terkial-kial mengeluarkan kad satu per satu dari dalam dompetnya untuk mencari kad nama itu. “Haah… kan saya dah kata. Memang awak dah buang kan?” Alif meneka. “Tak! Saya tak buang. Ada kat dalam ni. Tak pernah usik pun.” Farhana bertegas mempertahankan kata-katanya. “Tak pernah usik pun?” Dahi Alif berkerut. “Err… maksud saya, kad tu saya tak keluarkan pun. Memang ada kat dalam ni.” Farhana jadi serba salah, bila Alif seolah-olah terasa dengan ‘layanannya’ pada kad nama itu. Tapi memang itu kenyataannya. Kad itu tidak pernah terusik sejak Alif memberinya dahulu. “Kasihan kad tu. Lemas duduk lama-lama dalam dompet yang sempit tu. Tu yang dia cari jalan keluar agaknya.” Alif seolah-olah memerli Farhana. “Okey! Salah saya. Saya hilangkan kad awak.” Farhana angkat bendera putih. Malas hendak mencari lagi. “Bagi lagi sekeping boleh?” Farhana menutur perlahan. Alif gelak kecil. Raut wajah Farhana menampakkan ketakutan gadis itu akan kehilangan kad namanya. “Bagi lagi? Lepas ni awak nak buat apa pulak? Campak dalam Tasik Ayer Keroh ya?” Alif sengaja membuat Farhana makin serba salah. “Tak adalah! Saya nak buat umpan api. Kat rumah saya tak guna gas, guna dapur arang. Kad tu campak dalam api tu nanti, cepat sikit nasi saya masak!” Farhana jadi geram. Orang minta baik-baik, nak perli-perli pulak? Tak nak bagi sudah! Gerutunya dalam hati. “Oh… marah ya! Bukan saya ke yang patut marah?” Alif gelak lagi. Suka dia melihat wajah Farhana yang merah padam kerana geram. “Apa kata kali ni, awak pulak yang bagi kad nama pada saya. Mana tahu lepas ni saya pulak boleh campak dalan unggun api.
“Awak perli saya ke? Awak nampak muka macam saya ni ada kad nama ke?” Farhana membulatkan mata. Semakin geram dengan bahasa anak muda itu. “Oh maaf! Saya tak berniat pun. Bukan apa, kalau saya bagi tapi awak lupa mana awak letak, tak ada gunanya kan? Baik saya saja yang ambil nombor awak sebab saya tak akan lupa.” Alif mengangkat kening. Menunggu persetujuan daripada gadis itu. “Kalau saya tak nak bagi? Awak nak buat apa?” Farhana menggertak. “Hmm… apa ya?” Alif berpura-pura berfikir. “Apa kata saya buat macam ni?” Serentak itu Alif menarik telefon bimbit Farhana yang diletakkan di atas meja. Farhana terkejut. Tidak sangka Alif setekad itu. Pantas dia bangun, cuba merampas semula telefon bimbitnya dari tangan Alif. Tapi Alif segera mengelak. Cukup tiga saat, deringan telefon berbunyi. Alif tersenyum girang. Telefon Farhana dipulangkan kembali. Alif menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia melihat di skrin, missed call kepada dirinya sendiri daripada telefon bimbit Farhana tertera di situ. Dia ketawa. Farhana pula mencuka. “Dah dapat! Terima kasih,” ucap Alif tanpa rasa bersalah. “Mana boleh macam tu? Itu tipu namanya” Farhana tidak puas hati. “Anggap saja itu hukuman sebab hilangkan kad saya.” Farhana kehilangan kata-kata. Geram ada. Marah pun ada. Tapi dalam hati dia mengakui, comel jugak lelaki ni! “Nah dik, nasi goreng.” Kak Mah muncul menghulur bekas polistren putih di dalam beg plastik berwarna oren. “Eh, adik dah order ke?” Wanita itu baru tersedar kehadiran Alif yang duduk semeja dengan Farhana. “Tulah, saya tunggu jugak. Ingatkan kat sini kena order di kaunter. Macam kat KFC ke McD ke?” Alif memerli dalam nada bergurau menyebabkan Farhana ketawa kecil. “Amboi… marah sungguh bunyinya tu. Maaflah akak tak perasan tadi. Sekarang cakap, nak makan apa? Akak suruh tukang masak buat special untuk adik.” “Tak marahlah. Gurau saja kak. Bagi saya nasi goreng hailam dan jus epal. Boleh?” “Boleh. Kejap ya. Lima minit siap.” Kak Mah berlalu dengan senyuman di bibir. Farhana mencapai nasi gorengnya dan menolak kerusi untuk bangun. “Awak nak ke mana?” Sepantas itu Alif bertanya. “Nak balik ofis.” Farhana menjawab selamba. “Saya datang jauh-jauh, awak tak nak temankan saya makan ke?” soal Alif, berpura-pura sedih. “Laa… awak datang sini sebab saya ke? Takkan? Jadi, atas dasar apa saya kena teman awak makan? Kalau saya tak ada, tak kenyang ke awak makan?” Farhana masih dengan nada selamba menjawab. “Memanglah kenyang. Tapi awak lupa ke awak masih ada hutang dengan saya hari tu?” Alif mengangkat kening. “Hutang?” Farhana pula mengangkat kening. Berfikir tentang hutang yang diperkatakan Alif. “Ya, awak hutang belanja saya lagi satu kali. Ingat tak?” Alif mengingatkan cerita lama .
“Oh, pasal tu? Alah, lain kalilah. Lagipun, dalam perjanjian tak kata kena bayar hutang tu hari ni kan?” Farhana bijak mencari helah untuk melarikan diri. “Lain kalilah ya!” Tanpa menunggu Alif menjawab, Farhana terus berlari-lari anak meninggalkan Alif termangu-mangu sendiri. “Nanti dulu…” Laungan itu sudah terlambat apabila kelibat Farhana sudah hilang dari pandangan. Alif senyum sendiri. Entah mengapa dia rasa bahagia melihat gelagat Farhana. Perasaan dukanya rasa terubat.
*****
“SAYA balik dulu bos,” ujar Farhana sebelum menutup pintu Butik Andaman Amy. Tanpa menunggu Amy yang sedang asyik mengira bajet untuk membeli perkakasan butik yang baru menjawab, gadis itu laju menghayun kaki ke luar. Bila tiba di tingkat bawah, Farhana mengecilkan mata. Silau matahari yang sedang memancar mengganggu pandangannya. Sebelah tangan di angkat ke dahi menutup mata daripada terkena bahang yang sedang membakar. Hari ini dia mengambil cuti separuh hari. Dia perlu ke pejabat Amanah Saham Nasional Berhad yang terletak di Kompleks Perniagaan Al-Azim untuk melapor tentang kehilangan buku akaunnya. Dia sendiri tidak sedar bila buku itu hilang. Yang dia pasti kali terakhir dia melihat buku itu ialah dua bulan lalu semasa menambah simpanannya. Dua hari lepas, baru dia perasan, buku itu sudah tiada di dalam laci almarinya. Tidak mungkin tersalah letak. Dia pasti sekali. Jadi, mahu tidak mahu terpaksa juga dia melaporkan kehilangan itu dan membuat buku akaun yang baru. “Minta Mykad cik?” Petugas kaunter bersuara dengan nada yang lembut dan sopan. Farhana membuka dompet dan menarik kad pengenalannya. Serentak itu juga, sekeping kad berwarna putih terkeluar dan terjatuh di lantai. Farhana tunduk dan mengutipnya. Melihat kad itu, dia tersenyum. Baru dia ingat, sewaktu mengeluarkan semua kad di depan Alif tempoh hari, dia tidak mengeluarkan Mykadnya. Sebab itulah dia tidak menemui di mana kad itu terselit. “Cik?” Petugas itu memandang Farhana. “Oh, maaf. Ini Maykad saya.” Farhana menghulurkan kad biru itu. Hampir sepuluh minit, urusan selesai. Farhana bercadang hendak ke Pasaraya Mydin pula. Dia perlu membeli sedikit barang dapur yang dipesan ibunya. Tetapi sebelum itu, dia mahu mencari rumah bakal pengantin yang menggunakan khidmat Andaman Amy sempena majlis pernikahan hujung minggu nanti. Kalau sudah tahu di mana rumahnya, senanglah kerjanya nanti. Tidaklah terkial-kial mencari saat si pengantin menunggu untuk disolek dan dihiaskan. Pasti haru-biru pula nanti. Menurut alamat yang tertera pada kad jemputan, rumah pengantin berkenaan terletak di Taman Tasik Utama. Dia tahu, taman itu terletak berhampiran dengan Pasaraya Mydin. Kiranya sambil menyelam minum airlah. Dua kali juga dia terpaksa berpusing mengelilingi taman perumahan itu sebelum berjumpa dengan rumah bakal pengantin perempuan. Setelah itu, dia menyusuri jalan taman perumahan untuk ke Pasaraya Mydin tanpa melalui jalan utama. Sewaktu melintasi sebuah bangunan, ada sesuatu pada bangunan itu yang menarik perhatiannya. Dia memperlahankan kereta untuk membaca nama yang tertera di pagar masuk. “Selia Senggara Sdn. Bhd? Macam pernah dengarlah. Kat mana ya?” Farhana berkata pada diri sendiri. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Kad nama Alif! Kakinya menekan brek, memberhentikan kereta di bahu jalan. Dia mengambil dompet dan mengeluarkan kad nama itu dan membacanya penuh minat. Ya, betul! Inilah alamatnya. Kat sini rupanya tempat kerja dia. Omel Farhana sendiri.
Farhana meletakkan kad nama di atas kerusi di sebelah apabila dia melihat menerusi cermin pandang belakang, sebuah kenderaan 4WD Selia Senggara berhenti di belakang keretanya. Alamak! Janganlah Alif. Apa aku nak jawab kalau dia tanya apa aku buat kat sini? Sah-sah mamat ni perasan aku datang cari dia. Aduh… Cermin kereta Farhana diketuk. Farhana sengih. Melambai dari dalam kereta melihat Alif tercegat di luar. Alif menunjukkan isyarat menyuruhnya menurunkan cermin kereta. Farhana rasa mahu pitam saat ini. Dengan perasaan serba salah, dia menekan butang. “Assalamulaikum?” Alif memulakan bicara. “Waalaikumussalam.” Farhana menjawab perlahan. Ada getar yang berdegup laju ketika ini. “Kalau ya pun rindu kat saya, tak payahlah datang cari saya kat sini. Buat susah-susah saja.” Alif gelak kecil. “Jangan nak perasan! Saya cari rumah pengantin tadi. Tak sengaja terlalu kat sini. Tak ada kena-mengena dengan awaklah.” Farhana mencebik geram. Kata-kata Alif tadi membuatkan dia geram. “Janganlah malu-malu. Saya faham!” Alif gelak. “Oh, kad saya! Mana awak jumpa?” Alif bertanya apabila ternampak sekeping kad di atas kerusi sebelah pemandu. Farhana berpaling ke kiri. Alamak, kantoi! Laju sahaja tangannya mengambil kad itu dan memasukkannya semula di dalam dompet. “Oh… patutlah tak ada dalam dompet, awak letak bawah bantal ya! Buat peneman tidur ke?” Alif semakin galak mengusik. “Eeii… tolonglah. Tak kuasa. Dah, tepi! Saya ada banyak kerja lagi nak buat. Melayan awak, sampai malam pun tak habis!” marah Farhana. Tangan Alif yang diletakkan di atas cermin tingkap yang terbuka tiga per empat diketuk. Kemudian dia menekan butang panel automatik untuk menaikkan semula cermin itu. “Eh, nanti! Sabarlah. Janganlah marah. Anak dara tak elok marah-marah nanti cepat kedut.” Alif menaham cermin dari memisahkan mereka berdua. “Awak nak apa?” Farhana sudah mula rimas. “Awak bagi saya tiga minit. Boleh tak?” Alif merayu. “Awak nak buat apa?” Farhana menyoal semula. “Boleh tak?” Alif bertanya lagi. “Yalah! Tiga minit saya. Lebih, saya blah!” Farhana menjawab dengan wajah mencuka. “Okey, janji tak lebih!” Alif berlari-lari ke Toyato Hilux itu. Seketika kemudian, 4WD itu sudah hilang, masuk ke dalam kawasan bangunan Selia Senggara. Farhana menunggu cemas. Apa yang Alif nak buat ni? Tak lama kemudian, dia melihat Alif berlari-lari pula keluar dari pintu masuk pula. Alif menuju ke arahnya. Kali ini cermin tingkap sebelah pemandu pula yang Alif ketuk. Farhana tidak punya pilihan. Dia menurunkan cermin tingkap. Belum sempat dia bertanya, Alif sudah menghulur tangan ke dalam kereta dan menolak kunci di pintu itu. Secepat kilat, Alif masuk dan duduk di sebelah. Farhana ternganga melihat tingkah pemuda itu.
Awak buat apa ni?” “Nak jalan-jalan dengan awaklah. Awak datang cari saya jauh-jauh, takkan saya nak biarkan macam tu saja. Saya tak macam orang tu. Saya ni baik tahu?” Alif senyum, mempamerkan raut wajah tidak bersalah pada Farhana. “Ya, ALLAH! Awak ni betul ke tidak? Saya tak datang cari awaklah. Memang kebetulan saya lalu kat sini. Sekarang awak turun! Saya tak ada masa nak layan awak.” Farhana mula naik darah. Geram dengan perangai selamba Alif. “Ya ke? Kenapa raut wajah awak tu macam tengah rindukan saya saja?” Alif memang mencari pasal. Dia ketawa. “Alamak! Cepat jalan. Bos saya tu. Cepat, nanti dia nampak saya ponteng pulak.” Alif tiba-tiba jadi gelabah. Dia merendahkan sedikit badannya ke bawah, melindungi daripada dilihat oleh pemandu sebuah kereta yang baru keluar dari pintu masuk pejabatnya. Farhana melihat di cermin pandang belakang. Dia nampak kereta yang dimaksudkan Alif. Tanpa berfikir panjang, dia terus menolak gear, menurunkan brek tangan dan memecut meninggalkan kawasan itu. Alif rasa mahu ketawa berdekah-dekah. Farhana terpedaya dengan helahnya. Bukan kereta bosnya, tetapi kereta setiausaha bosnya saja! Kalaulah Farhana tahu, pasti gadis itu akan meninggalkannya di tepi jalan begitu. Mahu berpeluh ketiak hendak menapak pulang ke pejabat!
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66572/abah-adik-nak-kahwin