[SNEAK PEEK] 1ST CLASS MISTRESS

1st Class Mistress oleh Sara Kyoko

 

Prolog 

“AKU merayu Ad. Tolonglah aku.”
“Tolong? Bukan kau pernah kata suatu ketika dulu yang kau tak lagi perlukan aku? Yang kau tak lagi mahu punyai apa-apa hubungan dengan aku? Apa sudah jadi Jay?”

“Aku dah buntu Ad. Aku tak tahu siapa lagi yang boleh bantu aku. Kau jadi harapan terakhir aku.”

“Ke mana hilangnya ego dan sombong seorang Jay? Mana maruah kau? Mana harga diri kau? Kau sanggup buang aku demi perempuan tu. Kau sanggup mencemari kepercayaan dan hubungan kita yang sudah terjalin bertahun-tahun demi kepentingan diri? Sekarang, kau tak malu ke nak mengharap kepada aku yang pernah buat kau jijik?”

“Maruah dan harga diri aku dah tak ada makna, Ad. Yang paling penting adalah hidup dan mati keluarga aku. Aku tak sanggup tengok anak isteri aku jatuh bersama-sama aku. Mereka berdua segala-galanya bagi aku. Tolonglah aku, Ad!”

Ilai ketawa memenuhi ruangan bilik tersebut. Lelaki yang sedang berdiri megah itu terus ketawa berdekah-dekah. Kedua tapak tangannya yang lebar dicekak ke pinggang. Hujung lidahnya sudah mula terasa lazat sebuah kemenangan. Sedangkan lelaki yang satu lagi, sudah melutut dengan kedua kakinya dengan wajah yang penuh ketewasan.

“Ya. Aku akan tolong kau. Tapi, pertolongan aku bersyarat.”

“Apa syaratnya?”

“Aku mahu kau jadi hamba untuk aku selama yang aku perlu. Pertolongan ini adalah tanda yang kau akan kehilangan segalanya. Aku akan rampas semua milik kau, sebagaimana kau pernah merampas segala yang menjadi milik aku suatu ketika dulu. Aku menang, Jay. Kau… kau akan tewas!”

“Aku reda. Aku sanggup. Buatlah apa saja. Yang aku minta, selamatkan isteri dan anak aku. Selamatkan mereka dari terus jatuh bersama-sama aku.” Air mata jantan menitis di atas karpet mewah tersebut. Hidupnya sudah di ambang kemusnahan.

Di sebalik pintu kayu jati yang tersergam itu, sesusuk tubuh sedang memerhati dengan senyap. Air mata yang mengalir di pipi dikesat dengan belakang tangan. Mata sudah tidak sanggup melihat insan yang paling dia hormati menjadi seperti pengecut, melutut di hadapan seorang manusia lain yang bongkak dan jelas tidak berperikemanusiaan.

Daun pintu ditolak sekuat hati. Kedua orang lelaki tersebut mengalih pandang ke muka pintu.

“Jangan mengalah, pa!”

“Argh!” Lelaki bernama Jay menekap dada sebelah kiri. Mukanya berkerut seolah-olah sedang menahan rasa sakit yang tidak tertanggung. Matanya mulai kabur. Susuk tubuh anak kesayangannya mulai menghilang dari pandangan.

“Papa!”

Jay memandang sayu wajah di hadapannya. Tangan lembut itu diusap perlahan ke pipinya. Firasatnya, dia tidak akan dapat lagi menatap wajah itu buat selama-lamanya.

“Jaga diri baik-baik sayang. Maafkan papa. Papa gagal.”

“Papa!!!”

*****

Bab 1

Sebelas tahun kemudian…

PERLAHAN-LAHAN tubuh bangkit dari perbaringan. Tangan melekap ke dada, menghalang selimut nipis daripada satin mewah melorot jatuh dari tubuh. Tubuh yang tidak dilitupi hatta seurat benang pun.

Kaki melangkah berjingkit-jingkit. Entah apa perlunya. Sedangkan telinganya akur, hakikatnya lantai beralas karpet mewah dan tebal itu tidak mengeluarkan sebarang bunyi pun. Satu per satu pakaian yang bergumpal di atas lantai dikutip dengan sebelah tangan.

Kepala yang tidak gatal digaru. Mata melilau mencari sesuatu.

‘Mana pulak benda alah tu? Heck! Terbang ke mana tadi?’ Kepala ditoleh ke belakang. Bulat mata melihat benda yang dicari sedang elok tergantung di terendak lampu. Bibir mungil mengukir senyuman nipis. ‘There you are! Naughty little sucker.’

Pakaian dalam Victoria Secret berwarna hitam digapai. Mata melirik ke arah katil bersaiz king. Sebenarnya, lirikan itu lebih kepada si dia yang masih tidur pulas di atas katil. Senyuman serta-merta mati. Tubuh terus berpaling menuju ke bilik air. Pintu gelangsar kaca ditolak perlahan. Pili air pancuran dipulas.

‘Sampai bila?’

‘What?’

‘Jangan berlagak bodohlah!’

‘Apa ni? Guilty conscience? Tolonglah… jangan juga cuba berlagak suci, wahai Jasmine Hannah!

‘Bukan berlagak suci. Itu cuma soalan yang mudah. Kenapa melatah? Terasa?’

Tangan meraup wajah yang masih basah. Cermin muka di dalam bilik air itu direnung dalam.

‘Dah nak jadi gila ke? Bercakap dengan diri sendiri. Siap mengejek lagi. Bukan masa nak berperang dengan diri sendiri wahai, Jasmine Hannah! Besok awal pagi lagi kau perlu cari makan. Nanti tak pasal-pasal mata jadi jelmaan panda.’

“Terbang bebas di atas awan!” Jasmine tersengih suka. Inilah masa yang paling membahagiakan buat dirinya.

‘Okey, sila sedar diri sekarang. Bersiap!’ Tuala putih segera dicapai. Sisa-sisa air yang masih melekat di wajah segera dikeringkan. Mata mencuri pandang jam tangan yang tersadai di atas meja vanity. Ops! Ini betul-betul kena sedar diri. Dia sudah lambat!

Daun pintu bilik suite tertutup perlahan di belakang Jasmine. Senyuman manis automatik terukir di bibir. Beban beribu tan terasa lepas dari atas kedua bahu.

‘Keep your head high, gorgeous!’

Sepasang kaki panjangnya yang bersarung Christian Louboutin ankle strap membawa tubuh menelusuri lorong lantai suite mewah hotel. Langkahnya panjang, namun masih berhati-hati. Jemari panjang dan runcing sesekali menyebak juntaian rambut yang melorot ke dahi.

Tiba-tiba kening Jasmine berkerut. Salah satu sebabnya ialah kedua bahu terasa sengal tiba-tiba. Occupational hazardlah katakan. Konon. Apa-apalah! Pun begitu, Jasmine tidak begitu mengendahkannya. Tapi, sebab yang kedua pula, sangat menarik. Hidungnya kembang kempis menghirup bauan aroma yang sungguh enak. Wangian lelaki!

Mata tajam tertancap ke hadapan. Sesusuk tubuh sedang berjalan laju menuju ke arahnya. Lorong laluan yang agak luas ini menjadi sempit tiba-tiba. Kening terjongket sebelah.

‘Aha! He is so freakin’licious!’

Walau hanya beberapa saat, Jasmine sempat mengimbas tubuh tegap itu dari hujung rambut ke hujung kaki. Tubuh sempurna itu disalut persalinan mewah. Persalinan yang tampak seperti ditempah khas. Lelaki ini bukan sembarang orang, fikir Jasmine. Tengok saja kasutnya. Worth thousand ringgit at least! Jasmine tahu. Bukankah itu menjadi subjek kepakarannya?

‘My forte.’

Tiba saat kedua insan itu berpapasan, tanpa sedar kedua pasang mata bertembung. Sedikit tersentak, entah kenapa. Tapi, Jasmine teruskan saja langkahnya. Sempat dia meninggalkan jelingan penuh makna kepada lelaki itu yang masih memaku pandangan kepadanya. Jelingan cuba nasib. Jasmine terus membalas pandangan itu dengan kerdipan mata penuh menggoda. Sayangnya, lelaki itu cuma membalas dengan pandangan tidak beriak.

Dada terasa sedikit bergelombang.

‘Cis! Buat malu! Kau kenapa? Terkejut, dia tak tergoda?’

Pelik. Tidak ada lelaki yang tidak suka melihat tubuh seksi seorang Jasmine Hannah. Sempat gaun di badan diberi imbasan pantas. Backless little black dress. Tidak cukup cantik ke? Jasmine juling mata ke atas pula.

‘Oh! Please… tak tergoda pun tak apa. Tak rugi apa pun. Move on Hannah.’ Langkah dicepatkan. Sampai ke selekoh lorong, telinga menangkap pula suara wanita yang bernada keras.

“Kalau I dapat perempuan sundal tu, memang I ganyang separuh mati! Cepat Paul! I dah tak sabar nak tengok macam mana muka Dato’ Adam bila tertangkap dengan I nanti. Suami tak guna!”

Mata Jasmine terbuntang luas. Spontan tangan menekup mulut sendiri.

“Oh, my God! Dato’ Adam? Adam?”

Jasmine terbayang tubuh tua yang masih berdengkur di atas katil bilik hotel tadi. ‘Itu isteri Adam ke? Mampus kau hari ini, Hannah!’

Jangan panik. Apa nak buat sekarang? Jasmine mengetap bibir mungilnya. Bilik yang tidak jauh dan baru saja ditinggalkan direnung dengan perasaan yang bercampur baur. Habis, takkan dia nak terus berjalan menuju ke arah wanita yang hendak mengganyangnya? Habis muka dia wanita itu kerjakan karang.

Pengawal peribadi Datin Mirrah, yang namanya Paul itu sungguh menakutkan! Belum pun buka mulut, atau buka langkah, bulu roma Jasmine sudah menegak. Tengoklah badannya itu. Kalau dia dicampak dari tingkat ini ke bawah, tak ke haru namanya? Seorang yang bernama Jasmine Hannah itu memang suka perhatian. Tapi, bukan sebagai mayat yang dijumpai mati berkecai di pekarangan hotel mewah!

Jasmine kaget.

Aduh! Takkan dia nak masuk balik bilik tu? Orang tua itu entahkan sudah sedar ataupun masih enak berdengkur. Kalau orang tua tu tak sempat nak sembunyikan dia, macam mana? Tapi, jelas itu bukan pilihan yang bagus. Mak Datin itu kan nak cari Adam, mestilah dia akan pergi ke bilik lelaki tua tu. Nak cari nahas pulak kalau patah balik. Tertangkap basah, habis kuyup dia! Jadi, nak sembunyi ke mana pulak?

Lantai tingkat ini cuma ada empat bilik atau suite. Ada satu jalan keluar, dan satu jalan masuk sahaja untuk para tetamu. Tangga kecemasan memanglah ada selain lif. Malangnya, jalan keluar masuk dan tangga kecemasan terletak di tempat yang sama dengan tempat Datin Mirrah bersama pengawalnya itu berada.

‘How? Fikir Hannah, fikir!’

Tiba-tiba mata yang berat dek bulu mata palsu itu, menangkap kelibat lelaki freakin’licious tadi yang masih berdiri tegak di hadapan salah sebuah pintu bilik.

‘Aha! Kesatriaku.’ Jasmine tersenyum puas. Tidak salah mencuba nasib, kan?

Yusuf meraba poket dada kiri dan kanan. Tidak cukup dengan itu, poket seluar slek juga diseluk.

‘Ke mana pulak magnetic key card tadi? Bagus, Yusuf. Baru dapat jelingan menggoda si dia, kau dah gelabah sampai tahap ni?’ Yusuf mengurut belakang tengkuknya. Mata terpejam seketika.

Saat mata tertutup, wajah si jelita tadi yang sedang menjeling menjamu ruangan minda. Terbayang susuk tubuh seksi itu. Bahagian belakang gaun yang mendedahkan kulit putih mulus dan tali pakaian dalam berwarna hitam, bagaikan video yang berulang-ulang tayangannya di mata.

Astaghfirullahal’azim. Yusuf meraup wajah. Tubuh sudah letih sehari suntuk melayan delegasi dari Jepun. Minda juga penat berfikir bagaimana untuk menyiapkan kertas cadangan yang akan dibentang esok. Sudah tidak ada ruang untuk berfikir yang bukan-bukan Yusuf Dzulkarnain! Nafas dihela panjang. Kepala digeleng perlahan.

Hah! Yusuf baru teringat. Kali ini, dengan perlahan tangannya meraba kemudian menyeluk poket di dalam sut di dada kanan pula. Hah! Apabila minda menjadi tenang, semua pun jadi senang, kan? Jumpa juga benda alah yang dicari sejak tadi. Alhamdulillah.

Yusuf tiba-tiba tersentak. Belum pun dia sempat membuka daun pintu biliknya, lengan kanan disauk pantas oleh satu tangan kecil. Eh?

“Encik, tolong saya!”

Yusuf jadi bingung.

‘Si jelita berkulit mulus, bergaun hitam dan berpakaian dalam… err… sudah-sudahlah tu Yusuf. Itu juga yang kau ingat!’ Yusuf cuba menarik lengannya semula. Gagal. ‘Kau tak cuba sedaya upayalah, Yusuf! Hek eleh. Sengaja. Kan?’

“Ehem!” Deham Yusuf sambil merenung tangannya yang masih dipaut dengan erat oleh si jelita. Sementara Jasmine pula memanjangkan leher, cuba menghendap kelibat Datin Mirrah yang semakin hampir dengan bilik Dato’ Adam. Aduh! Cuaknya.

“Awak ni kenapa sebenarnya?” Pelik Yusuf melihat perangai wanita yang semakin menghimpit tubuhnya. Wajah jelita itu jelas pucat, tertunduk-tunduk seolah-olah ingin menyembunyikan wajahnya di balik dada Yusuf.

Yusuf tahulah dada dia ni memang bidang. Tapi… adoi! Wangian tubuh wanita itu seperti ubat bius! Pening kepala jadinya. Ingat dia ni takde perasaan ke apa? Dia ni manusia biasa kut.

“Tolong saya awak…”

“Tolong apa?” Yusuf kerut dahi, cuba mencari arah pandangan mata Jasmine.

“Kalau awak tak tolong, matilah saya!”

Yusuf semakin bingung. Mati?

Baru hendak membuka mulut. Yusuf dikejutkan pula dengan satu dentuman kuat di pintu bilik berdekatan.

“Adam! Buka pintu ni. I tahu you ada di dalam dengan perempuan sundal itu! Buka!” Tangan terus memalu daun pintu. Tidak cukup dengan itu, loceng pintu pula ditunjal geram.

Beberapa saat kemudian, Datin Mirrah memalingkan wajah kerana terasa diri diperhatikan.

Jasmine jadi kelu. Baru berniat mencuri pandang, mata singa Datin Mirrah memaku ke arahnya. Bagai diprogramkan, Jasmine mengalihkan kedua tangannya dari lengan Yusuf, kemudian dipaut pula ke atas bahu lelaki itu. Walaupun agak sukar kerana ketinggian Yusuf yang jelas berbeza dengan ketinggian dirinya, batang leher lelaki itu berjaya juga ditarik mendekati wajahnya.

Mata Yusuf terbuntang luas. Mata tepat bertemu dengan bola mata si jelita. Puncak hidung mereka berdua berlaga. Seketika dunia Yusuf terasa berhenti berputar. Betulkah apa yang berlaku sekarang atau ini semua mimpi? Umi!

“Oi! Dah depan bilik pun tak reti nak sabar ke?” Suara sinis itu menujah cuping telinga. Barulah dunia Yusuf kembali kepada paksinya.

Tangan menolak kasar kedua bahu Jasmine. Tautan bibir terlerai juga. Namun, bibirnya masih terasa basah dek kucupan si jelita di hadapannya.

“Kau…” Hilang rasa hormat Yusuf dibuatnya.

“Please… perempuan tu nak bunuh saya.” Bisik Jasmine sambil melirik ke arah Datin Mirrah.

Yusuf mengalih pandang ke arah wanita berusia yang masih tegak berdiri tidak jauh daripada mereka. Kening Yusuf kembali bertaut. Kurang satu jam saja semua ini berlaku. Tapi, cukup membuatkan Yusuf terasa lebih tua beberapa tahun.

“Bunuh? Apa maksud awak?”

“Yusuf!” Datin Mirrah mencerlung tajam.

Yusuf terkesima. Datin Mirrah? Wajah Datin Mirrah dan Jasmine dipandang silih berganti. Apa yang sudah berlaku antara dua orang ini?

“Datin.” Sapa Yusuf perlahan.

“Begini perangai anak kesayangan Dato’ Khalil dan Datin Khadijah, ya? Masih tak berubah.”

“Err… ehem!” Kering tekak Yusuf melihat cara Datin Mirrah mengecilkan mata memandang wajah wanita di sisi yang tanpa segan melakar aksi intim di depannya tadi.

“New toy, Yusuf?”

Melihat wajah gelabah Yusuf, Datin Mirrah tersenyum sinis. Perempuan ini memang cantik. Tapi, perangai tetap macam jalang! Agaknya begini juga perangai perempuan simpanan suaminya yang tidak sedarkan diri itu. Adam! Ingatannya sudah kembali kepada tujuan asal dia melangkah masuk ke hotel mewah ini. Tangan kembali memalu daun pintu. Suaminya itu perlu diajar. Memalukan!

“Please…” rayu Jasmine semakin cuak. Dia tahu dia masih belum selamat sepenuhnya.

Yusuf mendengus. Pintu bilik dibuka kasar. Perlahan belakang Jasmine ditolak masuk ke dalam. Sempat dia mendengar dengusan sinis Datin Mirrah. Masak dia kalau berita ini sampai kepada umi. Yusuf menggelengkan kepala perlahan. Mata kini melotot tajam ke arah Jasmine yang kini selamba duduk di birai katil. Aik? Mana muka perempuan yang cakap takut nak kena bunuh tadi?

“Explain!” Yusuf sudah melonggarkan tali lehernya. Sut sudah dihumban ke atas sofa. Lengan baju kemejanya pula sudah dilipat hingga ke pangkal siku. Geram! Penghawa dingin pun tidak mampu menyejukkan hatinya yang hangat. Melihat gelagat Jasmine yang hanya tersenyum nipis sambil menghembus-hembus kukunya, darah Yusuf sudah naik ke kepala.

“Eh! Perempuan. Kalau kau setakat nak berlakon aje, baik kau keluar dari bilik aku sekarang. Keluar!”

“Alaa… janganlah marah. Yang tadi tu bukan berlakon pun. Betul-betul kejadian. Awak nampak kan sikit punya garang perempuan tua tu tadi? Let me stay here, please. Sekejap aje. At least sampai perempuan tua tu pergi. Bolehlah ya?” Jasmine mengerdipkan matanya perlahan. Bibir sedikit dimuncungkan. Bagi muka comel sikit, untung-untung lelaki di hadapannya ini cair. Fuh! Fuh!

“Kau tahu tak, Datin Mirrah tu kenalan aku? Entah apa yang dia fikirkan sekarang pasal kita. Kalau dia bawak mulut, nama baik aku dan keluarga aku mungkin terjejas. Ini semua pasal kau! Jadi, kau tak fikir ke yang kau berhutang penjelasan dekat aku?”

“Tak perlu penjelasan. Cukup awak tahu saya hanya perlu ruang untuk bersembunyi sementara. Saya tak akan ganggu awak. Saya akan duduk diam-diam di sini. Sumpah!” Jasmine angkat tangan kanan separas muka. Wajahnya cuba diukir sehabis polos. Suci dan bebas daripada noda.

‘Ceh, Jasmine Hannah!’ Minda mengejek lagi.

“Apa hubungan kau dengan Dato’ Adam?”

“Hah? Dato’ Adam mana pulak ni?” Jasmine buang pandang ke arah lain.

“Jangan buat-buat tak kenal. Dato’ Adam, lelaki yang keluarkan duit untuk bayar bilik yang kau keluar tadi. Bilik yang sama pintunya hampir pecah Datin Mirrah ketuk tu.”

“Bukan awak punya pasal…”

“Excuse me? Bukan aku punya pasal?” Yusuf tunjal dada sendiri.

“Oh! Tolonglah… tak boleh ke buat tak tahu aje? Nak tahu itu dan ini, macamlah saya nak tinggal dengan awak selamanya!”

“Keluar!”

“Okey, okey! Hesy…” dengus Jasmine geram. Penyibuk!

“So?”

“Memang saya keluar dari bilik Adam tadi. Err… saya memang kenal dengan Adam. Entah kenapa tiba-tiba Datin Mirrah pula datang ambush. Setahu saya, dia tak tahu pasal saya dengan Ad… err… saya tak boleh ambil risiko, sebab itu saya…”

“Pergunakan aku?” potong Yusuf dengan nada yang tegas.

“Err…”

“Apa sebenarnya hubungan kau dengan Dato’ Adam? Apa korang buat kat dalam bilik tu berdua-duaan?” sambung Yusuf sementara menegakkan tubuhnya sambil menyeluk poket seluar. Apa jenis soalan kau ni, Yusuf?

“Not your business.” Tegas Jasmine.

“Hmm… kalau aku tak hilang ingatan, atau tak gila, aku baru sahaja kau cium di hadapan isteri kepada lelaki yang berhubungan dengan kau. Lepas tu, secara kebetulan pula, kedua suami dan isteri itu adalah kenalan kepada keluarga aku. Kenalan rapat! Oh! I fail to see bagaimana mungkin ini semua tak akan jadi urusan aku. Hei! Kau tahu tak yang semua ni boleh menjejaskan nama baik aku? Kredibiliti dan reputasi aku?”

“Terjejas macam mana pulak? Paling teruk perempuan tua tu anggap kita ini pasangan yang romantis.”

“Romantis kepala hangguk kau!”

Jasmine tersentak. ‘Eh! Mamat berlagak ni.’

“Yang kau marah sangat ni kenapa? Sebab kredibiliti dan reputasi atau because I kissed you?” Jasmine bingkas berdiri. Tangan dicekak ke pinggang. Berlebih pulak lelaki di hadapannya ini. Kalau lelaki lain, agaknya senyum sampai ke telinga kalau perempuan cantik cium. Dia… erk? Jangan-jangan… Jasmine kecilkan mata.

“Kau ni teruna lagi ke apa?” soal Jasmine kasar.

Hati Yusuf semakin panas. ‘Perempuan ini… mengejek ke apa ni?’

“Kenapa kau tanya pulak?”

“Yalah. Kutlah perkara normal macam tadi buat kau naik angin. Kalau kau teruna, memang aku tak hairanlah.”

“Ya. Normal untuk perempuan murah seperti kau.”

Jasmine tersentak. Bagaikan satu tindakan refleks tangannya mencapai bantal kecil yang tersusun elok di atas katil, kemudian menghumbannya tepat ke wajah Yusuf.

Buk!!!

“Hei!”

‘Okey. Kau memang patut kena Yusuf. Mulut kau ni kenapa jadi lancang sangat malam ni?’

Buk!!!

Tidak sempat mengelak, sebiji bantal kecil hinggap lagi ke muka. Tepat!

‘Oho… perempuan ini memang nak kena. Sekali boleh. Kedua kali, memang nak cari pasal. Dia ingat aku tak berani nak balas?’

Tingtong!!!

Belum pun sempat Yusuf pasang niat hendak membalas, dentingan loceng pintu membantutkan niatnya.

Tingtong!!!

Siapa? Mata memandang wajah Jasmine yang sudah berubah pucat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203200/1st-class-mistress