Kita Cakap Lain, Dia Faham Lain
Pernahkah secara tidak sengaja rupa-rupanya apa yang kita cakap atau lakukan, menggores hati pasangan kita?
Perkara ini berlaku kerana cara kita menyampaikan maklumat kadangkala tidak sesuai dengan cara pasangan memahami maklumat tersebut. Oleh itu, kadangkala pasangan tidak dapat melihat atau memahami “niat” di sebalik tindakan dan ucapan kita.
Menyelesaikan Masalah vs Mengadu Masalah
Secara umum, lelaki akan berfikir dahulu sebelum berbicara. Berlainan halnya dengan wanita, yang percakapannya jauh lebih cepat daripada pemikirannya. Oleh itu, apabila berkomunikasi, lelaki lebih fokus kepada penyelesaian masalah. Sebab itu jugalah suami selalu cuba memintas aduan isterinya dan terus bergerak ke arah jalan penyelesaian. Bagi lelaki, yang penting ialah menyelesaikan masalah, manakala bagi perempuan, yang utama ialah ceritanya didengari.
Lelaki juga cenderung menceritakan permasalahan kepada orang yang dirasakan berpotensi menyelesaikannya. Jika dia rasakan kawannya mampu selesaikan, dia akan ceritakan kepada kawannya, bukan isterinya. Bagaimana perasaan isteri apabila mendapat tahu bahawa suami mengadu masalah kepada rakannya, tetapi bukan isteri sendiri? Adakah suami sudah tidak sayang pada dirinya?
Sebaliknya, wanita lebih gemar menceritakan masalahnya kepada orang yang dipercayai kerana tujuannya hanya untuk didengari sahaja. Selalunya, suamilah yang menjadi tempat isteri bercerita. Suami pula asyik memintas celoteh isteri dan memberikan pandangan. Maka, di sinilah berlakunya salah faham.
Bagi mengelakkan salah faham, kedua-dua pihak harus sedar tentang “tabiat” masing-masing. Isteri seharusnya memberi pengenalan terlebih dahulu sebelum bercerita, sama ada penceritaan tersebut memerlukan penyelesaian atau hanya perlu didengarkan. Isteri juga sepatutnya memberitahu suami tentang tempoh masa ceritanya perlu didengarkan supaya suami tidak cepat-cepat memotong.
Selepas bercerita, isteri perlu mengungkapkan sedikit kata penghargaan untuk membiarkan suami mengerti bahawa isteri berasa lebih dihargai apabila luahannya diberi perhatian. Apabila suami merasakan dirinya membahagiakan isteri, hal ini dapat mengelakkan suami daripada berasa baran.
Suami pula sepatutnya memberikan kepercayaan kepada isteri. Isteri mungkin boleh membantu selesaikan masalah yang dihadapi jika suami berkongsi dengannya. Jika suami hanya bercerita kepada kawan, sudut pandang suami terhadap masalah itu tetap sama. Ia berbeza jika berkongsi masalah dengan isteri yang merupakan seorang wanita; mungkin dia boleh memberikan sudut pandang yang berbeza terhadap masalah tersebut. Dalam apa jua masalah yang dihadapi, isterilah yang akan sentiasa berada di sisi suami. Jadi, tidak wajarlah jika suami merahsiakan masalah daripada orang yang setia bersamanya.
Untuk mencapai tahap ini, kedua-dua pihak perlu merendahkan ego masing-masing dan belajar menerima pasangan mereka seadanya.
Membaca Fikiran Pasangan
“Kita nak makan di mana ni?” tanya suami yang sedang memandu.
“Ikut abanglah.” Ringkas jawapan isteri.
“Okey, kita pergi ke McDonald’s la malam ni,” balas suami apabila ternampak restoran itu di sebelah kiri jalan. Dia terus memberikan signal dan bersedia untuk masuk ke perkarangan restoran.
“Tak naklah, minggu lepas dah makan McD. Lain la pula.” Isteri tidak bersetuju.
“Habis nak makan di mana?” tanya suami sekali lagi.
“Ikut abanglah.” Jawapan yang sama daripada isteri.
“Cakap sajalah nak makan di mana.” Suami mungkin sudah mula hilang sabar.
Biasa dengan situasi ini?
Perkara ini boleh terjadi kepada kedua-dua pihak; suami dan isteri. Cuma konteks dan situasi sahaja yang mungkin berbeza. Kedua-dua suami dan isteri sering mahu difahami oleh pasangan tanpa memberikan petunjuk yang jelas, iaitu melalui komunikasi.
Kita sering menyangka bahawa pasangan dapat memahami dan membaca fikiran kita. Sangkaan ini membuatkan kita kurang menyuarakan apa yang dirasai. Kita menyangka bahawa semakin lama kita mengenali, semakin baik kita mengenali sekali gus mampu membaca apa yang difikirkannya.
Sebenarnya, perkara ini tidak benar sama sekali. Pertama, tiada siapa yang boleh membaca fikiran orang lain. Kedua, kita perlu menerima hakikat bahawa kita berkomunikasi dalam pelbagai bentuk, dan ia dipengaruhi oleh latar belakang keluarga, pendidikan, gaya hidup, suasana dibesarkan, dan banyak faktor lain. Semua faktor ini diambil kira dalam komunikasi.
Sesetengah orang mungkin biasa dengan komunikasi bukan lisan atau hanya menggunakan bahasa badan seperti mengangkat kening dan lain-lain. Sesetengah yang lain memerlukan bahasa lisan terutama bagi yang mempunyai personaliti ekstrovert. Perbezaan ini memang selalu berlaku dalam rumah tangga dan boleh menyukarkan proses komunikasi, khususnya apabila melalui fasa perebutan kuasa.
Dalam kehidupan seharian, 70% daripada bentuk komunikasi adalah secara bukan lisan. Komunikasi bukan lisan secara umumnya berfungsi untuk mengukuhkan lagi mesej yang ingin disampaikan melalui komunikasi secara lisan. Melalui nada percakapan seseorang, kita dapat meneka sama ada orang tersebut sedang gembira atau marah.
Walau bagaimanapun, komunikasi bukan lisan hanyalah pelengkap kepada perkataan yang dituturkan. Komunikasi bukan lisan tidak boleh dijadikan medium komunikasi yang utama. Ingin pasangan tahu apa yang kita rasa? Beritahu mereka. Pasangan tidak akan tahu keadaan hati kita jika kita hanya membuat mimik muka atau diam membatu.
Jadi untuk lebih selamat, gunakanlah komunikasi lisan apabila ingin menyampaikan sesuatu maklumat. Elakkan bahasa isyarat seperti mimik muka atau bahasa badan semata-mata untuk menyampaikan maklumat. Perkara ini perlu dipersetujui bersama pasangan. Jika isteri mahu menyampaikan sesuatu perkara, beritahulah menggunakan ayat yang jelas dan boleh difahami suami. Jika suami pula mahu sesuatu daripada isteri, beritahulah isteri. Jangan mengharapkan isteri faham sendiri.
Di sini pentingnya komunikasi asertif. Berterus terang akan membunuh ruang untuk berprasangka antara suami isteri.
Suami balik lambat dari tempat kerja? Tanya terus kepada suami kenapa balik lambat, tidak perlu bersangka-sangka.
Biasanya semasa sedang bergaduh kita memang mahukan pasangan membaca fikiran dan isi hati kita kerana tidak mahu bercakap dan berhadapan dengan pasangan. Akan tetapi cubalah ambil masa beberapa saat dan fikirkan secara rasional bahawa pasangan tidak boleh tahu kemahuan kita jika kita sendiri tidak beritahu mereka. Kalau ikutkan hati, memang rasa marah sedang meluap-luap, tetapi sampai bila? Cuba muhasabah dan ingat semula matlamat perkahwinan, adakah ini yang dimahukan? Bukankah kita sama-sama mahukan sakinah?
. . .
Penulis: Aiman Azlan
Dr Harlina Halizah Siraj
Penerbit: Iman Publications