SEPANJANG menaiki LRT hingga tiba ke tempat kerjanya tadi, Jaja masih terbayang-bayang lagi peristiwa semalam. Dia gelisah dan bimbang. Adakah Aim pulang dengan selamat? Adakah dia masih sakit lagi?
Namun, dia juga bingung kenapa dia perlu gelisah dan bimbang. Semua ini menyebabkan dia rasa tidak sedap hati. Kenapa mamat kerek itu juga mengganggu fikirannya?
“Nampak sedap. Apa benda ni?” tanya Jamie apabila membuka bekas Tupperware yang dibawa oleh Jaja.
“Quiche.” Jawab Jaja sepatah sambil menongkat dagu di atas meja pantri.
“Apa? Kuch? Macam Kuch Kuch Hota Hai tu ke?” Agaknya itu kali pertama Jamie mendengarnya. Bunyinya kedengaran tidak sesuai dengan bentuk kuih di depannya. Dia membelek-belek dan menghidunya sebelum meletakkan semula di dalam Tupperware.
“Apa-apalah. Janji boleh makan dan halal.” Jaja malas hendak mengulas lanjut. Dia sedang kusut dengan fikirannya sendiri dan malas mahu melayan Jamie.
“Oh, baru aku tahu Kuch Kuch Hota Hai tu asalnya nama kuih,” kata Jamie polos. Dia akhirnya mengambil sebiji dan mencubanya.
“Emm, sedap. Kau buat ke?” komen Jamie. Dia sudah menghabiskan sebiji dan sedang mengambil sebiji lagi di dalam bekas Tupperware tersebut.
“Taklah. Roommate aku yang buat,” jawab Jaja dengan malas.
Tidak lama kemudian, Kak Ana pula masuk bilik tersebut untuk rehat bersama mereka.
“Apa yang kau orang makan ni?” tegur Kak Ana.
“Kuih Kuch Kuch Hota Hai,” jawab Jamie dengan lurusnya.
“Hah? Kuih Kuch Kuch Hota Hai? Jamie ni biar betul?” Kak Ana mendekati mereka dan menjenguk isi bekas tersebut.
“Oh, kuih ni,” ulas Kak Ana. “Bukan Kuch Kuch Hota Hai, tapi quiche.”
“Macam sama aje.” Jamie mencemik.
“Mana sama, Jamie. Suka hati aje menambah yang bukan-bukan.” Kak Ana geleng kepala.
“Orang mana tau.” Jamie membela diri. “Jaja buat ke ni?” tanya Kak Ana.
“Taklah. Kawan serumah Jaja yang buat. Jaja tolong sikit-sikit saja. Jaja ni manalah reti masak resipi yang pelik-pelik ni,” jawab Jaja.
“Mana pula pelik? Ini kan biasa.” Kak Ana geleng kepala. “Rajinnya buat kuih. Bila buat?”
“Malam tadi.”
“Ada masa pula buat ni.”
“Saja-saja buat. Kawan Jaja tu kalau rasa stres, dia masuk dapur buat makanan.”
“Oh, bagusnya kawan kau tu,” komen Jamie sambil menelan kuih yang ada di dalam mulutnya.
“Jaja, dah siap ke baju Fatty tu?” tanya Kak Ana.
“Dah siap dah. Tinggal dia datang ambil saja.”
“Hari tu cuba baju macam mana?”
“Cerewet. Semua tak kena. Dia kata baju tu longgar,” jawab Jamie.
“Longgar? Akak rasa baju tu okey dah dengan dia.”
“Kak, dia tu kan kurus. Dia mestilah nak tunjuk aset dia.” Tukas Jamie sambil mencebik.
“Hesy! Mulut. Dia kan pelanggan kita, tak baik cakap macam tu, Jamie. Kita kenalah ikut keselesaan pelanggan,” tegur Kak Ana. Jamie hanya sengih sambil sambung makan.
“Lama juga kami pujuk dia supaya setuju dengan baju tu. Baju tu memang dah padan dengan dia, nak kecilkan macam mana lagi. Kalau kecilkan lagi, nampak macam nangka bungkuslah pula,” kata Jaja.
“Nasib baik juga PA Fatty tu kata yang baju tu sangat sesuai dan sangat ‘kena’ dengan bentuk badan Fatty tu. Kalau tak, mesti Fatty nak juga kecilkan baju tu. Hei, tak fahamlah aku dengan selera orang ni. Yang elok nampak buruk, yang buruk itulah orang selalu tengok elok,” sampuk Jamie pula.
“Tapi yang bagusnya, dia suka dengan perincian manik yang Jaja buat tu.” Beritahu Jaja sambil tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya, apabila ada orang yang memuji hasil kerjanya, bolehlah dia berasa bangga. Terlupa sebentar perkara yang mengganggu fikirannya tadi.
“Jaja mesti rasa puas hati dapat beri perkhidmatan yang baik kepada pelanggan, kan?” tanya Kak Ana.
“Yalah. Walaupun pelanggan cerewet mana pun, kalau kita dapat beri apa yang mereka nak, mereka mesti akan gembira. Jaja rasa puas hati dapat beri mereka kepuasan. Jaja tengok Fatty senyum pun dah rasa puas hati sebab Jaja rasa macam dah buat sumbangan besar dalam majlis dia nanti.”
“Itulah, walau penat macam mana pun, akak masih kerja di butik ni. Akak puas hati kalau pelanggan bangga dapat pakai pakaian dari butik ni.” Kak Ana tersenyum.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Jaja melihat nama pemanggil.
“Assalamualaikum. Kenapa Faiz? Hah, depan butik?”
SEBAIK KELUAR dari butik tersebut, dilihatnya Faiz telah menunggu di hadapan keretanya. Melihat kelibat Jaja yang sedang menghampirinya, Faiz melempar senyum.
“Surprise?” tanya Faiz setelah Jaja berada di hadapannya.
“Tak juga,” jawab Jaja bersahaja. Dalam hati, dia sebaliknya memang terkejut apabila Faiz menelefon dan memberitahu sudah berada di depan butik untuk berjumpa dengannya.
“I tahu ni masa rehat you. Sebab tu I datang.”
“Ada apa, ni?”
“Pergi makanlah, apa lagi.”
“Masa rehat I tak lama. Nanti pergi makan dengan you, lambat pula I masuk kerja,” kata Jaja. Dia sebenarnya malas mahu keluar makan. Lebih-lebih lagi dengan Faiz. Dia sedang serabut memikirkan perkara yang baru sahaja terjadi baru-baru ini dan dia tidak perlukan Faiz untuk menambah beban fikirannya lagi.
Faiz tertawa mendengar alasan Jaja.
Jaja kerut dahi melihat reaksi Faiz yang tiba-tiba itu.
“Oh, I baru teringat. You kan sangat menepati masa. I memang kagum dengan you tentang hal ini sejak dulu lagi.”
“So?” soal Jaja.
“I dah sampai sini, kan. Takkan you nak suruh I balik, kut?” duga Faiz.
Kalau boleh memang itu yang Jaja mahu, tapi tidak manis pula kalau dia menyuarakannya.
“Kita bukan makan dekat tempat jauh pun. Dekat-dekat sini aje. Lagipun I ada benda nak bincang dengan you,” kata Faiz lagi.
“Penting ke?”
“You memang tak nak makan dengan I ke? Teruk sangat ke I ni sampai you tak nak jumpa dengan I?” Nada suara Faiz sudah berubah.
“Bukan tu maksud I, tapi…” kata-kata Jaja terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh dan kelihatan Jamie di pintu butik.
“Jaja, ada panggilan daripada wedding planner Fatty. Dia kata urgent!” laung Jamie.
“Hah, wedding planner Fatty? Sejak bila… err, suruh dia tunggu kejap,” jawab Jaja.
“Cepat sikit tau,” katanya lagi sebelum menghilang ke dalam. Jaja memandang Faiz semula.
“Tengok, I bukan tak nak keluar dengan you,” kata Jaja kepada Faiz. Faiz menarik nafas dalam-dalam.
“Of course, kerja you tak sama dengan I. I tak sepatutnya datang. Sorry ganggu you.” Faiz memusing tubuh.
Jaja berasa berbelah bahagi dan mula rasa bersalah. “Faiz…” panggilnya.
Faiz menoleh ke arah Jaja semula.
“Bukan kata you tak boleh datang tapi bagi tahu awal-awal dengan I dulu. Baru I boleh urus siapa yang ganti tempat I kalau ada apa-apa hal nanti,” kata Jaja.
“Of course,” jawab Faiz sambil jongket bahu. “Okey. Lepas waktu kerja nanti, you telefon I semula. Atau I telefon you. Okey?”
“Pergi makan?”
“Yup. Tapi tak nak pergi jauh, okey?”
“Okey. See you then,” kata Faiz sambil tersenyum.
“Okey, assalamualaikum.”
“Wa’alaikumsalam.”
Sebaik kereta Faiz berlalu, Jaja cepat-cepat masuk ke dalam butik dan mencari Jamie. Apabila tidak kelihatan Jamie di ruang kerja, dia mencari Jamie di dalam pantri. Kelihatan Jamie sedang menjamah nasi bungkus.
“Jamie, betul ke ada call untuk aku?” tanya Jaja.
“Mana ada. Aku tipulah tadi.” Jawab Jamie sambil tersengih.
Jaja menarik nafas lega. “Tapi gaya kau tadi macam betul.”
“Kau ingat ada ke wedding planner yang nak telefon kau yang baru setahun jagung dekat sini? Baik dia telefon Cik Kira,” kata Jamie.
“Itulah. Aku rasa Fatty tak ada wedding planner sebab dia buat sendiri. Terkejut pula aku tadi,” kata Jaja sambil membuka peti ais.
“Ala, bukan cik abang kau tu tahu siapa Fatty tu. Janji aku dah selamatkan kau,” kata Jamie.
“Yalah, terima kasih.” Jaja menarik sebuah botol air dari dalam peti sejuk dan menuang isinya ke dalam sebuah cawan.
“Jadi, aku memang berbakat dalam lakonan, kan?” tambah Jamie lagi sambil tersengih lebar.
“Ceh, masuk bakul angkat sendiri.” Jaja mencebik.
“Kenapa Jaja nak mengelak daripada dia?” tanya Kak Ana yang masuk semula ke pantri.
Tadi, sebaik menerima panggilan Faiz, Jaja ligat mereka alasan di dalam kepala untuk mengelak daripada berjumpa dengannya. Tepat dugaannya apabila Faiz mahu berjumpa dengannya.
Sebelum keluar untuk menemui Faiz, Jaja sempat meminta Jamie memanggilnya semula ke dalam butik dengan sebarang alasan. Dia sudah berpesan kepada Jamie yang dia tidak kesah Jamie mahu menggunakan apa-apa alasan sekalipun. Akhirnya, jadilah perkara seperti tadi.
“Hal famili.” Jawab Jaja pendek.
“Macam kena kahwin paksa saja aku tengok,” kata Jamie.
Jaja berubah wajah. Dia menarik kerusi dan meletakkan cawan berisi air sejuk di atas meja. Dia tidak meneguknya tetapi sebaliknya mengeluh. Dia kemudian menyembam wajahnya di atas meja.
“Jaja, err… Kuch Kuch Hota Hai?” Jamie menyuakan seketul quiche. Jaja langsung tidak terpujuk dengannya.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/257333/sekaki-payung-merah-jambu