Sejenak Bersama Khairul Abdullah

Salah satu karya Khairul Abdullah

Pada sesi temu bual bersama penulis kali ini, kami bawakan kepada anda seorang penils genre non- fiction. Penulis yang kami maksudkan ialah Khairul Abdullah. Ini sesi temu bualnya..

Khairul Abdullah dilahirkan di negeri Kedah, beliau menerima pendidikan di Sekolah Sains Perlis, kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UiTM Shah Alam di dalam bidang Perancangan Bandar. Setelah bekerja di dalam industri pembinaan selama hampir 7 tahun beliau telah berhenti dan bekerja sendiri sebagai seorang pereka dan jurugambar bebas bagi memenuhi minat mengembara.

Mula menjelajah Benua Asia ketika berusia 20an dan seterusnya benua-benua lain seperti Australia dan Eropah sehingga sekarang. Dengan minat terhadap kembara dan juga pengalamannya di dalam bidang fotografi, beliau berpeluang untuk tinggal dan bekerja di luar negara seperti di China, Thailand, Jepun dan juga di Jerman. Peluang tersebut digunakan dengan sebaiknya untuk menimba pengalaman serta menjelajah benua yang didiaminya.

Buku pertama beliau berjudul I’m A Backpacker: Europe yang merupakan sebuah buku panduan kembara. Buku tersebut dipilih oleh MPH sebagai “10 Best Book of 2016” dan turut memenangi “Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2017”.

Buku kedua beliau Mentaliti Jamban yang berkisar tentang sikap manusia boleh didapati di mana-mana rangkaian kedai buku utama di Malaysia dan sering menduduki carta-carta “bestsellers” di MPH, Popular, Borders dan Kinokuniya. Buku tersebut jug turut tercalon untuk Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2017.

Beliau turut menghasilkan dua lagi buku berjudul I’m A Backpacker: Germany yang juga sebuah buku panduan kembara dan Untunglah Malaysia Masih Aman, sebuah buku sindiran sosial. Buku terbaharu beliau berjudul Mentaliti Masih Jamban, iaitu sambungan kepada buku laku keras beliau baru sahaja diterbitkan dan turut dicalonkan oleh MPH Buku Bukan Fiksyen Terbaik 2018.

Kini beliau sering menerima jemputan untuk berceramah di sekolah-sekolah dan juga institusi pengajian tinggi bagi berkongsi ilmu, pandangan dan pengalamannya. 

Nak kenal penulis ini dengan lebih dekat? Jom baca temu bual kami di bawah.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Khairul Abdullah menulis?

Inspirasi adalah dari diri saya sendiri. Banyak benda bermain di fikiran yang saya rasa perlu diluahkan. Penulisan adalah salah satu cara untuk saya melepaskan apa yang saya rasa serta memberi pandangan dan juga kritikan.

2. Dalam banyak- banyak menu, apakah menu yang paling Khairul Abdullah terrer masak?

Saya mahir memasak disebabkan saya memang sudah memasak sejak zaman remaja saya lagi. Menu paling saya terrer adalah Tomyam.

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Penulis kegemaran saya ialah Jules Verne, novelis klasik yang menghasilkan karya sains fiksyen yang sangat saya kagumi. Semua bukunya say abaca berulang-ulang kali.

4. Apakah novel kegemaran Khairul Abdullah? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak juga novel yang saya gemari terutamanya dari penulis kegemaran saya Jules Verne. Namun novel-novel moden saya gemar karya Andrea Hirata terutamanya Laskar Pelangi.

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tiada. Sebelum ini ada beberapa ekor ikan guppy tetapi semua dah mati.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Tibet. Saya gemar sesuatu yang jauh dari arus kemodenan melampau.

7. Apakah Khairul Abdullah merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Saya bukan penulis novel. Karya saya adalah non-fiction yang terdiri dari buku panduan kembara (Travel Guide) dan juga buku kritikan social (Social Critics). Saya memang sedang menulis beberapa buah buku terbaharu.

8. Apakah pesanan Khairul Abdullah kepada pembaca di luar?

Hiduplah untuk menjadi manusia yang sentiasa memudahkan urusan manusia yang lain.

9. Pada pandangan Khairul Abdullah, apa istimewanya novel Khairul Abdullah berbanding novel lain di pasaran?

Sekali lagi, buku-buku saya bukannya novel. Buku pertama saya berjudul I’m A Backpacker Europe sangat istimewa kerana ia merupakan buku panduan kembara pertama yang berbahasa melayu. Buku tersebut disenaraikan sebagai Buku Terbaik 2016 oleh MPH dan menang tempat ke-3 untuk Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2017.

10. Dari mana Khairul Abdullah selalu dapatkan ilham untuk menulis atau dari pengalaman sendiri?

Saya seorang traveller, saya berjalan melihat dunia. Dari situ saya banyak melihat dan menilai. Ianya memberi banyak idea kepada saya untuk menulis.

11. Apa rutin harian Khairul Abdullah? Ada yang rare tak?

Saya seorang bapa tunggal dengan 3 orang anak yang masih kecil berusia antara 1-5 tahun. Ketika ibu mereka meninggal, saya membesarkan baby yang berusia 7 bulan ketika itu. Sangat rare bagi seorang lelaki menjaga 3 orang anak kecil seorang diri apatah lagi seorang bayi kecil. Jadi rutin harian saya semestinya agak rare dari lelaki lain kerana saya membesarkan anak-anak yang masih kecil seorang diri.

12. Describe diri Khairul Abdullah dalam 3 patah perkataan?

Matang, kacak, istimewa. – Ha ha ha

13. Apa nasihat Khairul Abdullah kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Teruslah menulis dan menulis.

14.  Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Khairul Abdullah kuasai?

Saya boleh berbahasa Deutsch (Jerman) kerana pernah tinggal di sana selama 4 tahun.

 

Kami sentiasa mendoakan penulis sentiasa mendapat idea mencurah2 untuk menghasilkan karya baharu. Ameen! Jadi, itu sahaja slot bersama penulis kali ini ya readers. Sehingga kita berjumpa di sesi temu bual yang akan datang.

 

Karya terbaru Khairul Abdullah boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_107782_Khairul-Abdullah/~