Walaupun ini jelas, saya tetap mahu memastikan yang perbincangan ini didokumenkan. Bayangkan kita seorang pembaca buku yang sekarang membaca menggunakan iPad, iPhone, Samsung Galaxy S3 atau mungkin pun HTC. Banyak yang menjadi lebih mudah.
Memang, pasti ada yang terasa macam “pelik” dan tidak “serasi” bagaikan ianya bukan membaca sebuah buku. Tetapi yang kelakarnya, buku terdahulu juga berbeza dengan sekarang.
Dahulu buku digulung-gulung sebagai skrol. Dan sebelum itu ianya adalah lapisan-lapisan kulit binatang yang tebal tanpa saiz yang tetap. Dan juga sebelum itu, “buku” adalah ukiran-ukiran pada batu dan dinding.
Sekarang peralihan itu datang lagi. Buku mula beralih kepada bentuk digital dan wujud di dalam peranti-peranti kecil yang mudah dibawa ke mana.
Jadi apakah lagi kebaikan eBook ini untuk pembaca…
Lebih Murah, Lebih Jimat
Tanpa perlu mengeluarkan kos mencetak dan juga pengedaran, penerbit dapat menawarkan harga yang lebih rendah berbanding versi cetakan, dan masih mengekal margin untung yang sama. Ada yang menawarkan pada kadar sehingga 70% lebih murah. Selain itu, berbanding dengan membeli buku bercetak di internet, kita tidak perlu membayar kos penghantaran. Membeli buku di kedai pula, kita tidak perlu mengeluarkan duit untuk minyak kenderaan dan juga caj parkir.
Dapat Dibaca Segera
Sekiranya kita membeli buku di Amazon atau mana-mana kedai online, kita perlu menunggu buku-buku itu sampai sebelum boleh membacanya. Dan walaupun di kedai, memang kita mendapat buku itu terus, tetapi jarang sekali kita membaca terus kerana ada urusan lain yang memerlukan perhatian kita seperti memandu pulang.
Dengan ebook, selepas membayar anda boleh terus membacanya menggunakan peranti pilihan anda, tak kiralah pada iPad, iPhone, Android, mahupun komputer.
Kecil dan Ringan
Bayangkan mengisi sebuah beg dengan 100 buah buku. Berapa besar beg yang anda perlukan? Berapa pula beratnya? Mampukah anda membawanya kesemuanya menaiki tren dan LRT? Dengan eBook, tidak mustahil untuk sentiasa membawa 100 buah buku bersama anda ke mana-mana sahaja. Malahan 500 juga mungkin.
Mungkin anda sedang menunggu seseorang di lapangan terbang, atau mungkin anda yang menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung. Untuk mengisi masa yang terluang, anda keluarkan telefon pintar anda dan nah — 100 ebook menunggu untuk dibaca.
Membaca Serentak dan Berkongsi Bersama Rakan dan Keluarga
Ada juga pelantar eBook yang membenarkan perkongsian sehingga had-had tertentu. Dengan E-Sentral.com contohnya, satu akaun boleh digunakan melalui 5 peranti sekali gus. Mungkin satu anda gunakan di telefon pintar anda, satu di komputer riba, satu di komputer di kampung untuk ibu dan ayah, satu di iPad untuk anak-anak dan satu lagi di telefon isteri.
Jadi tidak mustahil satu pembelian ebook dibaca serentak oleh 5 rakan atau ahli keluarga. Berbanding dengan buku bercetak, anda perlu habis membaca sebelum boleh dipinjamkan kepada anak-anak.
Akses Kepada Judul Kehabisan Cetak
Bergantung kepada penerbit, ada judul-judul tertentu memang sudah kehabisan dan tidak diulang cetak. Ini mungkin kerana kos yang tinggi dan juga pasaran yang tidak menentu. Penerbit biasanya mencetak sekurang-kurangnya 1000 naskah dan untuk menjual sebanyak itu, ia agak sukar lebih-lebih lagi judul yang terlalu khusus ataupun bersifat akademik atau rujukan.
Sekiranya penerbit turut mengeluarkan versi digital, anda masih ada harapan.
Memelihara Alam Sekitar
Ya. Kita mengurangkan penggunaan kertas dan satu langkah kecil untuk memelihara alam sekitar. Sekiranya anda pembaca digital dan ebook — syabas!
Mungkin anda ada pengalaman peribadi tentang kebaikan ebook dari sudut seorang pembaca. Kongsikan dengan kami.