eSentral sedang bersama SKMM dan syarikat-syarikat lain mempamerkan produk dan perkhidmatan kami di Digital Lifestyle Expo, yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre. Ekspo anjuran PIKOM ini dijalankan bersama dengan PC Fair KL. Ianya sedang berlangsung sekarang dari 23 Ogos sehingga 25 Ogos, Ahad ini.
Selain daripada melaporkan berita ini, besar hati saya untuk menjemput pembaca blog untuk menemui kami di sana nanti. Sebenarnya selain daripada menonjolkan ebook dan pembacaan buku dengan peranti mobil, eSentral juga membawakan inisiatif baru kami iaitu majalah digital yang kami bangunkan.
Baiklah, mungkin majalah interaktif digital bukan sesuatu yang baru. Tetapi dengan pelantar eSentral kami ini, majalah digital kami bukan sahaja bersifat interaktif tetapi juga bersaiz kecil berbanding majalah digital lain. Tidak hairan sekiranya sebuah majalah digital yang perlu dimuat-turun itu bersaiz 50MB sehingga 200MB. Tetapi tanpa mengurangkan isi kandungan dan ciri-ciri interaktif, majalah digital kami bersaiz antara 5MB sehingga 12MB sahaja.
Di Digital Lifestyle Expo ini, eSentral membawakan empat judul majalah iaitu
- Dinar & Dirham – mengenai kewangan Islam
- Dashboard – mengenai kereta
- Cube – teknologi
- Life is Beautiful – wanita dan kehidupan seharian
Pengunjung ruang pameran kami berpeluang untuk mencuba majalah-majalah ini.
Kami akan berada di sini sehingga hari Ahad. Kami berharap dapat berjumpa dengan pembaca blog dan juga pelanggan kami.