Cinta Antara Kita

. . .

“ABANG!!!” 

Zetty tersentak. Begitu juga dengan Midah. Malahan semua peserta yang masih berada dalam kawasan kolam ikan keli turut tersentak. Jeritan Saleha jelas menunjukkan sesuatu sedang berlaku. Kemudian Zetty mencari kelibat Irfan. Tiada. Hati Zetty tidak enak. Dia berlari menuju ke arah Saleha. 

“Mana Irfan?” tanya Zetty. 

Midah terkocoh-kocoh cuba mengejarnya. Tercungap-cungap Midah yang badannya lebih kurang Enot sahaja saiznya. Entah dari mana Zetty mendapat kelajuan pun Midah tidak tahu. Sedar-sedar Zetty sudah jauh berada di hadapannya. Ini kalau masuk sukan Olimpik akan datang harus Zetty boleh menjadi penyumbang pingat emas yang pertama buat Malaysia. Dengan syarat kena letak Irfan di garisan penamat. Kata dah tak ada hati kat Irfan. Propa sangat, leter Midah dalam hati. 

“Irfan mana?” Suara Zetty semakin jelas kedengaran. Ada nada risau dalam suara Zetty. 

“Tu… Tu…” Terketar-ketar Saleha menunjukkan ke arah kolam yang penuh dengan air dan anak-anak ikan keli. 

Zetty hanya mampu melihat kelibat seorang lelaki yang sedang berusaha menghampiri tebing. Dan tiba-tiba Zetty terus terjun ke dalam kolam itu. Niatnya hanya satu, ingin menyelamatkan Irfan. Lagaknya tak ubah seperti 

Padelela Rinong. Penerjun terkemuka tanah air. Dan sewaktu jari-jemarinya mencecah permukaan kolam itu, dia baru teringat yang dia langsung tiada pengalaman menjadi perenang. Malah dia sebenarnya tidak tahu berenang. 

Kemudian apabila kepalanya menjunam ke dalam air kolam, dia sebenarnya cuba menilai kembali tindakan drastiknya. Dan ketika itu baru dia sedar semuanya telah terlambat. Tidak lama kemudian dia hanya mampu melihat wajah-wajah anak ikan keli. Hilang sudah wajah sweet milik Irfan. Dan dari wajah anak ikan keli, muncul pula wajah ikan keli bersaiz dinosaur. Kemudian pandangannya terus gelap. 

“MASYA-ALLAH… Malunya aku. Macam manalah aku boleh terjun dalam kolam tu? Alahai, malunya. Apa aku nak buat ni?” Zetty bersuara sendiri ketika dia teringat kembali peristiwa dia terjun ke dalam kolam semata-mata untuk menyelamatkan Irfan. 

“Patutlah mak cakap Saleha kata aku terjun sebab Abang Irfan. Aduh! Pasal apa kau bodoh sangat, Zetty oi? Ya Allah, malunya aku. Ni satu kampung boleh tahu ni. Aku nak buat apa ni? Malunya aku. Malu. Malu. Abang Irfan pun masuk hospital, jadi siapa yang selamatkan aku dengan dia? Takkan Saleha kut? Zack ke? Tidak! Hantu… Baik aku buat cerita kata hantu yang tolak aku. Yes! Okey. Relaks Zetty. Aku akan bagi tahu ada hantu yang tolak aku. Tapi lojik ke tak? Hantu di siang hari. Lojik kut. Orang kampung mesti suka kalau aku buat cerita pasal hantu ni. Takkan aku nak cakap aku terjun sebab Irfan? Malulah aku.” 

. . .

Baca selanjutnya di e-sentral.com

Penulis: Syikin Zainal
Penerbit: KarnaDya Publishing Sdn Bhd