Bagaikan Langit Syurga

. . .

Kuala Perlis, 20 Jun 2006

RAMBUT panjang berwarna keemasan itu disisirnya rapi. Biar tak kusut dan nampak terurus. Dulu, kejelitaan wanita berbangsa Jerman ini dipuja dan digilai ramai. Sesiapa yang memandang pasti akan terpesona, terutama sekali kaum Adam. Sehingga ada yang sanggup menunggu di hadapan rumah. Hati selalu rasa tak keruan, hilang arah. Asyik terbayang-bayangkan lirik mata dan indah senyumnya.

Namun, kecantikan wanita berusia 38 tahun ini sudah tak seperti dulu. Dia terbaring kaku dan lumpuh seluruh badan. Rupa parasnya amat menakutkan. Wajahnya cengkung. Matanya lebam dan hampir terbelalak keluar. Kulitnya yang putih susu itu pula kian mengelupas. Hanya kelihatan benjolan-benjolan tulang pada anggota tubuhnya, kurus kering kekurangan zat makanan.

Sebagai anak yang taat, Fanna Audrey hanya mampu menatap sayu sepasang mata berwarna coklat hazel itu. Tangan yang kurus tanpa isi itu digenggamnya lembut. Fanna mengusap wajah mama dengan penuh kasih sayang.

“Mama nak makan bubur tak? Kalau mama nak, Fanna boleh buatkan sekarang,” tanya Fanna perlahan pada telinga mama.

Bibir mama bergerak-gerak, disusuli dengan bunyi rintihan suaranya yang meleret-leret. Fanna tahu, meskipun wanita ini gagal menjawab pertanyaannya, melalui renungan mata itu, ibunya turut meruntunkan rasa simpati.

Pada usia semuda ini terlalu banyak perkara yang perlu dikorbankan. Tahun ini Fanna perlu menduduki peperiksaan UPSR.

Tapi entahlah… Melihatkan keadaan mama yang terlantar sakit begini buatkan hati Fanna bertambah menderita. Mahu pergi ke sekolah pun Fanna rasa berat hati meninggalkan mama bersendirian di rumah. Apa lagi yang harus dia lakukan bagi mengembalikan kehidupan mereka dahulu?

Rindu sungguh Fanna dengan kehidupan mereka sebelum ini. Membina hidup bahagia di Johor Bahru. Makan dan tinggal di kediaman yang selesa. Bergelak ketawa dan bergembira bersama-sama.

Tapi sekarang mereka hanya mampu tinggal di sebuah rumah papan yang terletak jauh nun terpelosok di hujung kampung. Rumah yang dipenuhi semak samun dan tunggu masa saja hendak roboh dimakan anai-anai.

Atap zink rumah mereka juga bocor. Kadangkala apabila hujan turun lebat, air yang menitis terkena pada wajah mama. Terpaksalah Fanna menggunakan seluruh kudratnya untuk mengalihkan tilam mama. Menadah besen kecil pada setiap bahagian ruang tamu. Apabila hujan sudah berhenti, lantai papan rumah mereka pula yang basah bergenang air. Namun, Fanna tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya mereka masih ada tempat untuk berlindung.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara garau memberi salam dari muka pintu.

Fanna lekas-lekas menyeka air matanya. Jangan sampai mereka lihat dia menangis. Fanna tidak mahu mereka turut bersedih. Fanna segera menjengah ke luar pintu.

“Waalaikumussalam. Papa dah balik?” Suara Fanna bertukar ceria tatkala melihat papanya yang sedang berdiri di atas tangga papan. Di sisi lelaki itu ada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

“Kakak, tadi kat pasar papa ada beli ayam. Nanti kakak buatlah ayam goreng untuk adik.” Si adik bersuara ceria sambil mengunyah gula-gula kapasnya.

“Fanna dah sarapan ke?” soal si bapa pula sambil menghulurkan seplastik ayam segar kepada Fanna.

Beg plastik bertukar tangan. Bibir Fanna mengukir senyuman lebar apabila melihat isi bungkusan tersebut. Walaupun ayamnya cuma separuh bahagian saja, Fanna tetap bersyukur. Ini lebih daripada cukup buat mereka sekeluarga.

Selalunya, Fanna akan mengutip pucuk ubi kayu di belakang rumah. Paling tidak pun, papa akan menahan bubu di sungai berhampiran. Tapi mungkin hari ini rezeki papa lebih. Tak rugi rasanya lelaki ini bekerja sambilan sebagai pembantu kedai di kampung sebelah.

“Errr… Kakak dah sarapan tadi. Papa dengan adik dah sarapan ke?” Fanna menyembunyikan pembohongannya dengan senyuman yang paling manis.

Mana mungkin Fanna berkata benar. Yalah, baru kelmarin rasanya Fanna ke rumah Mak Embok untuk meminjam beras. Takkanlah hari ini dia mahu pinjam lagi? Baki beras yang ada di dapur pun hanya cukup-cukup saja untuk mereka tiga beranak makan pada tengah hari ini, selebihnya pula akan dijadikan bubur buat mama. Hanya makanan tersebut saja yang bisa ditelan mama.

Lagipun selepas ini, papa akan ke pekan bagi mencari kerja tetap. Tidak mungkin Fanna mahu menyusahkan papa semata-mata kerana kerenah perutnya. Biarlah dia menahan lapar sekejap, berkorban diri demi papa yang ingin mencari sesuap nasi.

“Alhamdulillah, kami dah kenyang makan kuih tadi. Kalau tak ada apa-apa lagi, papa nak ke pekan. Bila papa dah dapat kerja tetap nanti, bolehlah kita dapat balik ke rumah lama kita. Kakak jaga mama dan adik baik-baik tau. Hari ni papa balik lambat sikit,” pesan lelaki berusia 38 tahun itu. Dia meminta diri dan seterusnya beredar dengan motosikal buruknya.

Seingat Fanna, sudah hampir enam bulan mereka menetap di kampung di daerah Kuala Perlis ini. Dalam masa enam bulan ini jugalah Fanna menggalas tanggungjawab untuk menjaga mama. Rumah papan yang usang tanpa bekalan elektrik ini pula adalah milik arwah nenek, ibu kandung kepada papa mereka.

Janji papa, apabila dia sudah dapat mengumpul wang semula, papa akan menebus kembali rumah mereka dari pihak bank. Kemudian, mereka akan meneruskan kehidupan asal mereka di Johor Bahru. Papa juga mahu menyelamatkan perniagaan perabot mereka yang hampir bankrup. Memandangkan mama sudah tidak berdaya lagi, papalah satu-satunya harapan mereka.

Fanna tidak pasti akan kesahihan berita ini. Dia juga kabur mengenai pokok pangkal kisah syarikat perusahaan mama. Apa yang Fanna tahu, dia harus bersabar. Sentiasa bersabar dan belajar hidup berdikari. Sehingga tiba suatu masa papa akan mengotakan janji tersebut dan mereka boleh kembali pada kehidupan yang dulu.

“Kakak nangis?” kejut suara adik apabila ternampak cecair jernih yang mengalir perlahan pada pipi Fanna.

“Eh, taklah! Kakak tak nangis pun. Mata kakak masuk habuk…” Fanna segera mengesat air mata dengan baju T lusuh yang dipakainya. Bibirnya masih menguntumkan senyuman, sungguh-sungguh mahu menjaga hati adik.

“Alaaa, kakak… Adik laparlah. Gorenglah ayam tu cepat…” rengek si kecil manja sambil memaut lengan Fanna.

“Eh, bukan ke tadi adik dah makan kuih?”

“Papa tak beli kuihlah. Papa bohong. Papa cuma belikan ini aje untuk adik. Kakak nak tak?” Adik menunjukkan gula-gula kapasnya yang sudah tinggal separuh dan berbekas air liur.

Mendengarkan jawapan itu, Fanna melepaskan nafas kecewa.

“Adik makanlah dulu. Nanti kakak gorengkan ayam ni,” tolak Fanna dengan perasaan kelat. Fanna mengatur langkah kakinya longlai menuruni tangga kayu, menuju ke bahagian dapur sambil menjinjing beg plastik berisi ayam segar.

Tidak sangka pula papa sanggup berkata bohong. Kalaulah Fanna tahu yang papa belum bersarapan lagi, pasti sudah ditahannya lelaki tadi untuk makan dulu. Kasihan papa terpaksa bersusah payah membanting tulang dan menahan lapar. Terlalu besar pengorbanan papa demi kelangsungan hidup mereka.

“Eee… Kakak, tolong adik!!!” tempik adik dari ruang tamu.

Fanna yang baru saja mahu menanak nasi di atas dapur kayu jadi terbantut. Dia terkocoh-kocoh berlari menapak tangga mendapatkan adik di ruang tamu.

“Kenapa ni?” soal Fanna kaget.

“Mama berak, busuknya!” rungut adik sambil menekup hidungnya yang mancung. Jari telunjuknya mengarah ke arah mama yang sedang terbaring kaku. Hanya bebola mata mama yang kelihatan bergerak-gerak sedikit.

Automatik Fanna tergelak besar. Ingatkan apalah yang berlaku tadi. Bikin kecut perut saja!

“Mama buang air besarlah, adik. Kesian mama…” Fanna cepat-cepat mendapatkan mama. Membersih dan menukarkan lampin mama dengan lampin yang baru. Biar dia rasa lebih selesa.

Selesai sahaja menukar lampin, Fanna perasan ada sesuatu pada kelopak mata mama. Cecair jernih itu bergenang-genang dan akhirnya gugur perlahan menuruni pelipis.

“Mama nangis? Kenapa mama nangis?” Fanna peluk erat-erat tubuh kurus kering itu. Butiran air mata yang mengalir dari kelopak mata mama dikesatnya dengan cermat. Fanna mengucup kedua-dua belah pipi mama dengan penuh kasih sayang.

“Mama janganlah sedih. Fanna, adik dan papa selalu sayang pada mama. Kami akan jaga mama. Sama macam mama jaga kami waktu kecil-kecil dulu. Mama janganlah nangis lagi…” Makin kuat rangkulan Fanna pada dada mama.

Fanna tahu. Jika mama sihat, mama mereka takkan benarkan mereka kelaparan. Mama akan selalu ada ketika Fanna sedih. Selalu memasak masakan kegemaran mereka. Tiada siapa yang mampu menandingi masakan mama. Mama adalah mama yang terbaik buat Fanna.

Adik yang melihat aksi mereka turut menangis, dia memeluk pinggang mama erat-erat. Berbekas tangisan mereka pada baju mama. Kelopak mata mama masih tidak henti-henti mengeluarkan cecair jernih. Ingin sekali mama menuturkan kata, tapi dia tidak berdaya. Hanya suara merintih sahaja yang menjadi tanda kasih sayang terhadap anak-anaknya.

DENTUMAN guruh di langit mengejutkan Fanna yang sedang tidur lena. Dakapan hangat pada tubuh mama segera dileraikan. Titisan hujan dari atap zink yang berlubang membasahkan tilam mama. Dalam kesamaran cahaya lampu minyak tanah, Fanna meraba-raba kesan basah pada bahu kiri mama.

Kasihan mama, sebahagian tubuhnya sudah basah terkena air hujan. Fanna lekas-lekas menarik tilam mama ke tempat yang selamat. Menukarkan baju mama yang basah. Jangan sampai mama terkena demam selesema pula. Mengapalah dia boleh tertidur sampai tak sedarkan diri? Mungkin juga Fanna terlalu penat kerana mengambil upah menjemur ikan masin di rumah Mak Embok pada siang hari tadi.

Tidak lama kemudian, Fanna terdengar suara adik menangis dari bilik tidur. Seingat Fanna sebelum dia terlelap di pangkuan mama tadi, dia ada menjenguk mereka di dalam bilik tidur. Papa dan adik tidur nyenyak di atas tilam nipis. Kalau adik menangis kerana bermimpi buruk, mengapa tangisannya begitu kuat. Apakah papa tidak dengar suara tangisan adik itu?

Berbekalkan rasa ingin tahu yang menebal, Fanna meninggalkan mama keseorangan dalam gelap. Dia menapak laju menuju ke bilik tidur yang jaraknya tidak sampai 10 langkah dari ruang tamu.

“Papa! Papa nak ke mana ni???” soal Fanna agak kaget. Melihat papa yang tergesa-gesa memasukkan kesemua pakaiannya ke dalam beg lusuh. Adik yang dipaksa bangun dari tidur oleh papa itu tetap dengan tangisannya.

Dalam cahaya samar, Fanna nampak ada air mata jernih yang menuruni pipi papa. Wajah papa kelihatan resah dan tidak tentu arah.

. . .

Baca versi penuh di e-sentral.com

Penulis: Akira Dorayaki
Penerbit: KarnaDya