[SNEAK PEEK] RAYYAN FANTASI

RAYYAN FANTASI Oleh Ramlee Awang Murshid

Bandar Baru Bangi, Selangor

AIDDIN termenung mendengar cerita ayahnya. Pengisahan di sebalik cerita secara bertindih itu membuatkan kefahamannya mulai menyusup ke dalam minda. Bagaimanapun dia masih belum mahu percaya sepenuhnya. Cerita tentang makhluk asing yang sering menjadi mainan filem-filem Hollywood dianggapnya sebagai satu karya khayalan semata-mata. Dan sekarang, setelah tumbuh besar sebagai manusia, barulah ayahnya mengatakan bahawa mereka adalah makhluk asing yang berasal dari Planet Yuk’kaa.

“Mama juga makhluk asing?” tanya Aiddin.

“Mama… manusia biasa,” balas Ibrahim.

Aiddin tergeleng-geleng. Seraya mendengus kencang.

“Apabila makhluk Yuk’kaa dan manusia berkahwin…sukar sekali untuk melahirkan zuriat. Unsur-unsur dalaman kita memang sama, tetapi genetik kita tetap berbeza,” cerita Ibrahim menyelongkar akar umbi keturunan mereka.

“Ayah menikahi mama kerana waktu itu… kamu masih bayi lagi, Aiddin. Ibu kandungmu bernama Daii, telah meninggal dunia selepas melahirkan kamu. Masa itu juga Jeneral Sanggora melakukan rampasan kuasa. Ayah sempat membawa kamu lari ke bumi ini menggunakan sebuah kapsul yang mempunyai kelajuan secepat cahaya. Sebenarnya, teknologi di Yuk’kaa jauh lebih moden berbanding teknologi di bumi. Tetapi terdapat juga cara hidup primitif yang menjadi amalan kehidupan seharian. Lebih primitif apabila peperangan berlaku. Kita lebih kejam dan ganas berbanding manusia.” Satu per satu kisah-kisah silam terbongkar.

“Aiddin bukan anak kandung mama?” soal Aiddin.

“Mama seperti ibu kandungmu jua, Aiddin. Dia yang menjagamu semasa kamu masih bayi lagi. Hormati dan sayangilah mama. Syurga itu berada dalam restunya kerana mama yang bersusah payah membesarkan kamu. Mama sangat menyayangimu, sayang.” Ibrahim memberi keyakinan itu berlandaskan addin seorang Muslim.

“Aiddin… macam pernah mendengar cerita ini, ayah.” Riak muka Aiddin berkerut.

“Memang pernah semasa di Yuk’kaa. Tapi sekarang, kamu terlupa,” ujar Ibrahim.

“Nama sebenar ayah… Mij-Gillion. Raja Yuk’kaa yang digulingkan,” ujar Aiddin.

“Benar. Ayah tidak malu mengakuinya,” jawab Ibrahim.

“Dan Aiddin adalah… Rayyan.” Perlahan-lahan Aiddin mengatakannya.

“Benar. Kamu pewaris sah kerajaan Yuk’kaa,” kata Ibrahim lagi.

“Dan Mika… memang benar wujud.” Lanjut Aiddin lagi.

“Ya.” Sepatah Ibrahim menjawab.

“Subhanallah…” puji Aiddin.

“Kejatuhan di Yuk’kaa mendamparkan kita di bumi dan di sinilah, kita menjadi Muslim yang menyembah ALLAH, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sedangkan di Yuk’kaa, tidak ada TUHAN dalam pegangan hidup sehari-hari. Pemerintah Yuk’kaa itu dianggap sebagai dewa yang dipuja-puja. Ayah bersyukur atas hikmah yang besar ini. Di kalangan bangsa Rayyan yang berasal dari planet Yuk’kaa… kita berdua sangat beruntung.” Ibrahim tersenyum lebar. Wajahnya tetap tenang.

Imbas Kembali: Kundasang, Sabah

26 Tahun lalu…

MIJ-GILLION bukan sekadar seorang raja, bahkan cekap mengenderai haiwan perang dan sebuah kapsul – sejenis kapal angkasa bersaiz kecil yang memiliki kelajuan secepat cahaya. Perasaannya bercampur baur ketika ini. Permaisurinya telah mangkat. Tampuk pemerintahan kerajaan Yuk’kaa kini dikuasai oleh Sanggora. Mujurlah seorang pembesar istana telah menyediakan sebuah kapsul untuknya melarikan diri dari Yuk’kaa tanpa pengetahuan Sanggora. Mij-Gillion sempat melarikan diri bersama bayi lelakinya.

Dan kini, kapsul yang dikemudikan telah memasuki ruang udara bumi, menyusur pantas membelah udara. Kepantasan pergerakan kapsul itu dilihat seumpama sebuah meteor yang memercikkan api. Kecepatan kapsul itu juga gagal ditangkap oleh mana-mana radar di bumi. Rayyan yang ditempatkan di tempat belakang tidak henti-henti menangis. Sukar bagi Mij-Gillion mengendalikan kapsul dan bayinya sekali gus.

Mij-Gillion tidak mengenal bumi. Lalu pemanduan automatik dilakukan. Terserah ke mana kapsul itu mendarat, dia akan mengikut sahaja. Pada masa yang sama, dia mencapai Rayyan dan mendodoikannya. Tetapi bayi itu terus juga menangis. Mij-Gillion tidak tahu hendak buat apa lagi. Rayyan didakapnya erat-erat dengan penuh kasih sayang. Tiada apa yang mampu dilakukannya lagi. Rayyan adalah anak pertama dan dia tidak pandai memujuk bayi yang terus-menerus menangis.

Kapsul mendarat di sebuah hutan pergunungan. Kenderaan angkasa itu mendarat dengan baik. Mij-Gillion keluar dari kapsul dan menghidupkan pelindungan automatik. Kapsul itu ghaib di situ, tetapi sebenarnya tidak ke mana-mana. Mij-Gillion meredah semak belukar dalam hujan. Rayyan masih belum mahu berhenti menangis. Bayi ini dilindungi dengan sehelai kain kalis air.

Setelah bersusah payah, akhirnya Mij-Gillion menjumpai jalan raya. Tanpa berlengah, dia berjalan menuju ke arah daerah pergunungan. Sebuah van mendatang dari arah Kota Kinabalu. Mij-Gillion menahan kenderaan itu. Dia bernasib baik kerana diberi tumpang sampai ke Kundasang. Dua orang lelaki yang bersimpati memperkenalkan diri mereka dengan nama – Ibrahim dan Maidin.

Sampai di Kundasang, Mij-Gillion meminta diberhentikan di sebuah pasar sayur-sayuran. Dia membayar Ibrahim dan Maidin dengan seketul emas sebesar telur ayam.

Ibrahim dan Maidin terpinga-pinga. Bagaimanapun perasaan mereka terlonjak gembira kerana nilai emas sebesar itu sudah pasti mencecah ribuan ringgit.

Semasa berteduh di pasar sayuran itulah Mij-Gillion memikirkan secara serius tempat teduhannya selepas ini. Dalam tingkahan hujan itu, anak telinganya tertangkap suara orang mengaji dari sebuah rumah di seberang jalan raya. Dia terbuai mendengar alunan suara merdu yang membaca firman-firman ALLAH dalam kitab suci al-Quran. Cuma sebagai makhluk asing yang tidak beragama semasa mendiami Yuk’kaa, Mij-Gillion tidak mengetahui maksud alunan puji-pujian tersebut.

Gerak hatinya mendorong langkah kaki menuju ke rumah itu. Mij-Gillion menuruti jua suara nalurinya. Sampai di rumah itu, dia terduduk sambil mendodoi-dodoikan bayinya. Mij-Gillion cemas seketika kerana Rayyan tidak juga mahu berhenti menangis sejak menempuh perjalanan dari Yuk’kaa lagi.

Ketika itu, Pak Markum muncul di muka pintu. Mij-Gillion terkejut dan bertindak hendak melarikan diri. Supinah lekas menjenguk. Dia kasihan melihat tangisan bayi itu. Malah simpati menyaksikan kekusutan lelaki tersebut.

“Tunggu!” tegah Pak Markum.

“Minta maaf… saya… hanya tumpang berteduh.”

Sementara Supinah terus mendapatkan Rayyan daripada pangkuan Mij-Gillion.

Bandar Baru Bangi, Selangor

AYAH dan anak itu duduk beralaskan daun bersaiz lebar. Ibrahim dan Aiddin kelihatan bersantai di situ tanpa mempedulikan kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Ibrahim rancak mengimbau masa silam. Aiddin pula mendengarkannya dengan penuh penghayatan. Emosi serta fikiran yang tertekan semakin berkurangan.

“Sejak itulah ayah menggunakan nama Ibrahim dan Rayyan… ayah tukar dengan nama Aiddin, bukan Maidin. Kita berdua adalah beragama Islam. Yuk’kaa… ayah anggap hanya sebuah fantasi. Di bumi inilah realiti kehidupan kita yang sebenarnya, Aiddin.” Wajah jernih Ibrahim menzahirkan kesyukuran yang teramat tinggi ke hadrat ILAHI.

“Kita tidak akan pulang semula ke Yuk’kaa, ayah?” Aiddin ingin tahu.

“Ayah suka tinggal di bumi,” balas Ibrahim.

“Tapi… kita, kan makhluk asing?” Aiddin meningkah.

“Manusia tidak menyedari kita ini makhluk asing.” Ibrahim tertawa kecil.

“Betul juga.” Aiddin mengakuinya.

“Seawal kita berada di bumi, ayah mengkaji perihal kehidupan manusia. Dengan kemahiran yang ayah miliki, kehidupan kita di negara ini telah menjadi sah mengikut undang-undang Malaysia. Ayah mengikuti saluran penuh berliku untuk mendapatkan surat beranak dan Mykad untuk kita berdua. Jadi, sekarang ni kita adalah warganegara Malaysia yang sah. Kita wajib berbakti untuk negara ini.” Ibrahim menerapkan nilai-nilai murni kewarganegaraan.

“Jadi, barah otak tu yang Aiddin hidapi dulu… cuma fantasi?” tanya Aiddin.

“Ilmu kedoktoran di sini memanggilnya… barah. Tetapi bagi makhluk Yuk’kaa… ia adalah tanda-tanda kedewasaan. Ia bukan barah, tetapi neuron-neuron otak yang bercambah. Kita makhluk pintar dan memiliki kuasa menggunakan otak, Aiddin.” Ibrahim menerangkan lebih terperinci.

“Tapi ia memang barah, ayah.”

“Aiddin… genetik kita berbeza berbanding manusia biasa.” Tegas Ibrahim pula. “Walau apa pun… kita tetap bukan manusia, Aiddin.” Ibrahim mengerdipkan kelopak mata. Tiba-tiba mata manusianya bertukar menjadi berwarna putih.

“Wow! Wow!” Aiddin terundur secara spontan.

“Kamu pun boleh melakukannya, Aiddin. Bahkan… kita boleh menukar warna mata kita mengikut warna kesukaan kita. Tapi jangan risau… di kalangan manusia, ia bukan satu kejanggalan kerana mereka pun boleh menukar warna mata menggunakan contact lens. Kecuali warna putih kerana warna itu… menyeramkan.” Ibrahim tergelak-gelak. Kemudian menukar semula mata putihnya menjadi warna asal.

“Oh…” Aiddin terangguk-angguk. “… selama lima tahun Aiddin hilang di hutan pergunungan Kinabalu… Aiddin sebenarnya berada di Yuk’kaa.” Visual imbas kembali sesekali muncul pada layar fikiran.

“Ya.” Ibrahim bersetuju.

“Apa yang berlaku di Yuk’kaa?” Aiddin bertanya.

“Aiddin sudah solat?” Ibrahim menyoal pula sebagai menjawab pertanyaan anaknya.

“Belum.” Suara Aiddin mendatar sahaja.

“Mari… kita ke masjid,” ajak Ibrahim.

Aiddin tidak membantah.

Kedua beranak itu bangkit lalu berjalan mendapatkan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan raya. Ketika masuk dan memasang tali pinggang keledar, Ibrahim menoleh pada Aiddin dan menatap anaknya itu lama-lama.

“Ya, ayah?” Aiddin memahami maksud pandangan ayahnya.

“Kalau boleh… jangan bangkitkan hal ini di hadapan mama,” pinta Ibrahim.

“Mama, kan sudah tahu asal usul kita, ayah.”

“Jangan buat kejutan kedua, Aiddin,” pesan Ibrahim.

“Kenapa dengan kejutan pertama?” Kini, otak Aiddin lebih cekap menangkap.

“Ayah… hampir-hampir berpisah dengan mama. Ayah pernah berterus terang mengenai siapa diri ayah atas desakan atuk kamu. Mama sangat terkejut sehingga membuatkan mama sakit. Sakit yang terlalu lama. Apabila mama telah menerima hakikat dengan seikhlas hati bahawa ayah dan Aiddin adalah makhluk yang bukan manusia, barulah mama sembuh daripada sakitnya.” Cerita ringkas Ibrahim terluah lagi.

“Jadi… kita terus berpura-purakah, ayah?” Aiddin meminta kepastian.

“Tidak usah, cuma… jangan dibangkitkan lagi hal ini.”

Aiddin mengangguk.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96062/rayyan-fantasi

REVIEW RANGGAU

9831240081-medium
RANGGAU OLEH RAMLEE AWANG MURSHID

Satu pembunuhan bersiri gadis-gadis sedang berlaku di Sabah. Mayat-mayat yang ditemui oleh polis didapati telah hilang mata dan buah pinggang. Ursula Gimbang, anak seorang tokoh korporat begitu risau adiknya, Janet yang tiba-tiba hilang menerima nasib yang sama. Apakah ia perbuatan manusia atau makhluk halus yang dikenali sebagai Ranggau? Oleh kerana Tuan Gimbang seorang tokoh yang terkenal, dia tidak mahu perkara itu dilaporkan kepada pihak polis. Sebaliknya dia menyarankan agar Ursula mengupah penyiasat persendirian. Dan, Ursula menemui Rusdi Salleh, seorang penulis novel misteri kerana merasakan bahawa penulis itu mempunyai kebolehan menyiasat.


Merupakan novel kedua yang dihasilkan oleh Ramlee Awang Murshid (RAM), dibawah terbitan oleh Alaf 21.
Ia sebuah novel yang mengisahkan Rusdi Salleh, seorang novelis sambilan yang telah diupah oleh Ursula,anak kepada seorang ahli perniagaan terkenal Sabah bernama Tuan Gimbang,untuk mencari adiknya yang hilang iaitu Janet. Kehilangan Janet dikaitkan dengan kejadian-kejadian jenayah kejam di mana buah pinggang dan mata mangsa hilang. Tambah menggerunkan,kejadian ini turut dikaitkan dengan perbuatan Ranggau (Iblis/Syaitan).  Novel ini unik pada saya.

Jalan cerita yang menggunakan 2 point of view yang berbeza iaitu pandangan orang pertama dan pandangan orang ketiga. Ending cerita yang agak lemah turut menjadi kelemahan novel ini. Pada pendapat admin, pengakhiran jalan ceritanya bersifat anti-klimaks dan kurang umpph.

Tapi overall, best cerita ni dan sesuai dibaca oleh mereka yang dahagakan novel thriller bahasa Melayu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81660/Ranggau

REVIEW HIJAB SANG PENCINTA

9789831243855-medium
HIJAB SANG PENCINTA OLEH RAMLEE AWANG MURSHID

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan. Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana. Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.


Kali ini RAM membawa kita mengembara bersama Sunan yang ingin pulang ke kampung halaman untuk berbakti kepada orang tua. Dalam perjalanannya, Sunan bakal berdepan dengan Manggala, manusia serigala, khunsa dari Banjaran Tibet yang bersekutu dengan taghut. Siangnya lelaki dan malamnya menjadi wanita dan pabila bulan penuh dia akan bertukar menjadi serigala. Manakala di abad 21 Manggala yang mati dibunuh Sunan pada abad 15 akan dibangkitkan semula. Mempunyai pengikut yang ditawarkan kemewahan. Bakal memburu Haryani, Dani dan Saliha untuk menghidupkan semula Manggala yang telah menjadi jenglot, kononnya memerlukan 100 darah perawan untuk menghidupkannya. Kejahatan datang dari pelbagai sudut. Guntur dan Sari dua adik-beradik juga muncul mengekori Sunan untuk menuntut bela atas kematian Nyi Burga Kelara. Guntur yang dikatakan pewaris tunggal Manggala juga berjaya dibunuh Sunan menyebabkan Manggala mendendami Sunan.

Walaupun Sunan mampu untuk menewaskan pahlawan istana, pak Jalis bapa Sunan tetap menyuruh Sunan bersembunyi di gua dan disitu berlaku keajaipan. Sunan dibawa ke kurun 21, bertemu keluarga Dani di Punggor. Agak kelakar Sunan cuba mengadaptasi kehidupan kurun ke 21. Cara pakaian, pertuturan, makanan cuba diikut Sunan secepat mungkin. (Ada tips pasal makan nasi, hoho agaknya lepas ni boleh bertahan tak kalo tak nak makan nasi & daging, ratah ikan ngan ulam ja 😉

Dani dan Haryani masih berada di Aceh menguruskan segala dokumen di kedutaan untuk pulang ke Malaysia. Namun Haryani sekali lagi diculik pengikut Manggala. Sunan pula terpaksa ke Aceh dan dia berdepan semula dengan musuh lama yang cuba bangkit semula.

Kisah percintaan terlalu pantas dan terlalu banyak halangan. Adakah Haryani halal untuk Sunan di abad 21? Awan… Kalau dapat ku capai maka saktilah hamba. Kamu bagaikan puteri, Haryani.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81529/Hijab-Sang-Pencinta