[SNEAK PEEK] FARIZ, THE TROUBLEMAKER

Fariz, The Troublemaker Oleh Rafina Abdullah

Amylia buat muka sinis. Sedikit pun dia tak hairan. “Hek… apehal aku lak? Aku tak ada kena mengena dengan perbuatan jahat yang kau buat.”

“Tak ada kena mengena kau kata? Orang lain kau bagi makan mi spaghetti tapi aku, kau bagi nasi dengan kuah spaghetti. Itu kau cakap tak ada kena mengena?!”

“Ek eleh orang tua ni… aku sebat kang!” Amylia bengang. Dia dah tak peduli jika dia bersikap kurang ajar. Lagipun, Fariz pernah suruh dia melawan. Jadi, hari ini dia akan melawan. Setelah melihat sendiri kezaliman yang dilakukan Puan Exora terhadap Sara, dia dah tak kisah kalau dia terpaksa bersikap kurang ajar.

“Riz tengoklah perangai sebenar isteri kesayangan Riz ni. Berani dia nak pukul mama? Dia ingat mama ni kawan-kawan dia ke?!”

“Apa, kau ingat aku tak berani? Kalau kau boleh pukul menantu kau sesuka hati, jangan fikir tak ada orang lain yang berani pukul kau, tau. Si Samad bapak tiri aku, tergolek-golek dia atas lantai sebab kena tibai dengan aku. Ini kau setakat perempuan tua, ingat aku takut?” Amylia terus melawan. Dia dah tak peduli apa-apa. Kekejaman Puan Exora terhadap Sara, mesti dituntut bela. Saat itu, dia terbayang-bayang wajah arwah ibunya yang terlalu lama menderita dek angkara Samad.

“Berani kau?? Dasar tomboy!” Terus Puan Exora menampar Amylia.

“Mama! Cukuplah!” Fariz hilang sabar. Terpaksa dia tinggikan suara di hadapan mamanya.

Amylia pegang pipi. Pijar terasa seluruh mukanya akibat ditempeleng.

“You okey, sayang?” Fariz mendapatkan Amylia. Pipi Amylia yang putih kini bertukar merah. Perlahan dia mengusap pipi Amylia.

Amylia menolak perlahan tubuh Fariz. Dia tidak mahu ditenangkan oleh suaminya itu. “Aku dah cakap dengan kau, kan? Lebih baik kita pindah aje!”

“Jangan, Riz! Jangan ikut cakap dia. Mama ni perempuan yang melahirkan Riz. Sanggup Riz nak tinggalkan mama?”

“Selagi mama tak insaf, selagi mama tak sedar diri dan selagi mama tak minta maaf dengan Kak Sara, Riz tak teragak-agak akan tinggalkan mama,” ugut Fariz. Itu saja caranya untuk buat mamanya berbaik-baik dengan Fiza dan Sara.

Puan Exora melutut. Dia memaut kedua-dua kaki Fariz dengan erat. “Riz… mama dah tak ada anak lain yang mama boleh harap. Cuma pada Riz saja. Tolong jangan pindah. Duduklah sini selamanya dengan mama. Please… mama merayu dengan Riz. Tolonglah jangan pergi.” Puan Exora mengongoi. Jatuh sudah egonya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/351842

[REVIEW] MR PHOTOGRAPHER

Mr Photographer Oleh Rafina Abdullah

Nur Adinda, sang model yang suka cakap lepas, melawan dan gemar membuat keputusan melulu. Abdul Wafi, si jurukamera yang penyabar, pendiam, introvert dan setia.

Lima tahun hubungan cinta mereka, ia dipenuhi dengan warna hitam dan putih. Mereka sering bertengkar tetapi berbaik semula dalam waktu yang singkat.

Hadir orang ketiga, Natalia Gondang yang cuba memisahkan Dinda dan Wafi. Dinda yang jenis melawan dan suka mengutuk depan-depan, tidak mudah kalah dengan Natalia.

Mampukah Wafi bersabar dalam menangani kerenah Dinda?  Berjodohkah mereka?


Tengok kulit buku pun dah dapat vibe vibe buku ni genre romantik kan? Ke admin je rasa gitu? Hahahaha. Sebab masa admin tertarik nak baca buku ni, admin tengok cover dia pastu admin bermonolog, mesti ni buku romantik, sang hero merupakan seorang encik photographer. Lepastu admin pun berangan, bestnya dapat buah hati mr photographer, senang semua gambar cantik, boleh up banyak banyak kat instagram. Gituuu! Berangan je la admin mampu, kan percuma. Hihihi. 

Cerita ni mengisahkan sepasang kekasih yang telah bercinta dalam jangka masa yang panjang. Si gadis, Nur Adinda mempunyai perangai yang Allahu admin nak bagitahu bukan main ‘cengey’ bak kata orang utara, kontra dengan perangai si jejaka, Abdul Wafi yang penyabar, setia, introvert, walaupun pekerjaannya adalah seorang photographer yang berjumpa dengan bermacam macam orang lebih lebih lagi model.

Kisahnya mereka ni selalu gaduh tapi disebabkan si lelaki punya kesabaran dan kesetiaan yang tinggi, mereka selalu akan berbaik semula selepas gaduh. Awww so sweet! Tapi, konflik bermula dengan hadirnya orang ketiga yang cuba untuk memisahkan pasangan kekasih merpati dua sejoli ini. Agak agak, panjang tak jodoh mereka? 

Bagi admin, cerita ni sesuai betul untuk para remaja sehinggalah golongan dewasa. Banyak pengajaran dan tauladan yang kita boleh ikuti. Lagi lagi kesabaran si Wafi tu. Hahahaha.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/347814

[SNEAK PEEK] MR DRONE

Mr Drone Oleh Rafina Abdullah

Seketika dia mendekat ke arah Napi. Dia tunduk dan meneliti wajah Napi dari dekat. Saat itu dia merasakan suaminya memang seorang lelaki yang baik. Cuma dia saja yang menafikan kebaikan itu.
Beberapa detik berlalu, Seri rasa bersalah pula. Tak patut dia menceroboh hak peribadi suaminya. Itu adalah sesuatu hal yang tak patut dia lakukan. Apatah lagi namanya sendiri Napi jadikan password terbaru untuk mengakses telefon pintar itu.
Seri perasan tubuh Napi bergerak. Dia panik dan cuba letakkan semula telefon itu di tempat asal. Tapi entah macam mana pula tiba-tiba tangannya menggeletar dan telefon tersebut terjatuh atas dahi Napi.

“Aduh!!!” Napi terbangun dan menjerit kesakitan. Dahinya dipegang kuat. Entah apa benda yang jatuh atas kepalanya?

Seri kelam kabut. “Maaf, awak! Saya tak sengaja! Maaf, maaf!”

“Awak pukul saya?” tanya Napi sambil mengaduh.

“Tak, tak!” Seri menafikan sekeras-kerasnya.

Napi menggeleng tak percaya. Kuat dia menggosok dahi. Macam nak pecah kepalanya!

“Saya tahu awak masih marah dengan kejadian dulu. Tapi, takkanlah awak sanggup pukul curi? Masa saya tengah tidur pulak tu. Saya ni dah jadi suami awak. Tak ada ke rasa hormat awak pada saya walaupun sikit?”

“Ada, ada!” Seri hampir nak menangis. Dia betul-betul rasa bersalah dengan Napi. Tapi, Napi dah salah anggap pula padanya. Mustahil dia sanggup pukul Napi. Marah macam mana sekalipun, dia takkan menyakiti suaminya sendiri.

“Apa yang ada, ada?!” Keras suara Napi bertanya. Tepi kepalanya dipicit. Rasa terkelur semua bintang di sekeliling kepalanya itu.

“Rasa hormat kat awak laa… saya… saya tetap hormatkan awak sebagai suami saya.” Seri tunduk dengan gaya sedang menanti hukuman.
Melihat dari tingkah Seri, Napi sembunyi senyum. Comel pulak pagi-pagi ni tengok muka Seri yang merah pipinya itu. Apabila perasan Seri angkat kepala, lekas-lekas Napi tunjuk muka serius.

“Saya nak tiup dahi awak.” Seri cuba menebus kesilapannya tadi. Haraplah Napi sudi terima bantuannya.

Napi toleh ke sisi. Sekali lagi dia sembunyikan senyum daripada dilihat oleh Seri. Ini peluangnya untuk membuat pertukaran. Dia berdeham keras sambil menoleh ke arah Seri semula. “Tak payah tiup.”

“Tapi…” Seri gigit bibir. Terkejut dia melihat dahi Napi yang mula bengkak. “Teruk sangat dahi awak tu.”

“Bengkak ke?”

“Ya. Bengkak.”

“Tak apa. Esok baiklah. Tapi, saya nak mintak sesuatu dari awak.”

“Err… nak mintak apa, ya.”

“Sekarang kita dah sama-sama buat salah. Saya pernah buat silap dengan awak dan awak pulak dah buat salah dengan saya. Why not kalau kita lupakan semuanya.”

“Maksud awak, pasal drone tu ke?” Mulut Seri muncung ke arah meja.

“Erm. Mulai hari ni, saya harap awak tak ungkit lagi apa yang pernah berlaku dulu. Boleh ke awak buat macam tu?”

“Tapi, saya nakkan kepastian.”

“Kepastian apa maksud awak?”

“Rakaman video dulu, awak delete tak?”

Napi diam. Dia masih ada niat nak menyakat Seri. Lagipun dia perasan telefonnya beralih tempat. Malam tadi dia letakkan telefon betul-betul di tepi bantal sebelah kanan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/344950

[SNEAK PEEK] CINTA BUDAK JEPUN

Cinta Budak Jepun Oleh Rafina Abdullah

 

SELEPAS sarapan, Yuzu kurang bercakap dengan aku. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Aku faham kenapa dia dah malas nak sembang. Semuanya gara-gara kes malam tadi.

Aku teringat apa yang aku katakan pada Yuzu selepas dia beri jawapan apa yang menjadi minatnya sewaktu dia tiba ke sini.

“Yuzu… awak tak boleh minat pada saya. Kita tak sama. Awak orang terkenal. Saya orang biasa. Lagipun, awak seorang atlet yang sangat terikat dengan jadual latihan. Kerjaya awak sebagai ahli sukan sedang berada di puncak. Awak tak boleh jalinkan hubungan dengan sesiapa. Belum masanya untuk awak jatuh cinta. Perjalanan karier awak masih jauh. Open your eyes and look at the future.”

“Atlet sukan bukan robot. Saya juga ada hati sama seperti orang lain.”

“Itu saya tahu. Tapi, belum masanya untuk awak fikir soal cinta. Tunggulah awak bersara dulu. Setahu saya, tempoh bersara untuk atlet Figure Skating macam awak, selalunya tak lama pun. Mungkin dalam umur dua puluh sembilan, awak akan berhenti.”

Yuzu diam mendengar kata-kataku. Mungkin dia sedang menghadam. “Ayumi tidak sukakan saya.”

Aku mengeluh. Nampaknya, dia tidak faham. Bukan… dia bukan tidak faham. Tapi, dia yang tidak mahu faham. “Saya bukan tak sukakan awak. Saya suka awak. Cuma, saya tak boleh jatuh cinta dengan awak. Dan… awak juga tak boleh jatuh cinta dengan saya.”

“Kenapa tidak boleh? Apa yang menjadi halangan? Kerana bagi Ayumi, saya orang terkenal? Saya boleh jadi tidak terkenal untuk Ayumi. Saya akan lakukan. Saya boleh berhenti pada bila-bila masa.”

“Eh, jangan!” Aku betul-betul terkejut dengan jawapan balas Yuzu. Gila apa dia nak bersara sekarang? Kenapalah budak ni ikutkan sangat perasaan dia?

“Tolonglah jangan.” Aku siap merayu lagi depan dia.

Ito shiteru…

“Hah?”

Anata wa watashi o suki ni naremasen. Faham tak?” (Awak tak boleh sukakan saya)

“Saya faham walaupun Ayumi tidak bercakap dalam bahasa itu.”

“Hah, kalau macam tu tolonglah jangan sebut lagi pasal awak sukakan saya. Keadaan kita sangat jauh berbeza.”

Yuzu pandang aku dengan muka sayu.

“Saya cuma boleh anggap awak sebagai kawan aje. Tak boleh lebih dari tu. Kita ada sempadan dan batas yang tak boleh kita langgar. Agama awak lain, saya lain. Budaya kita lagilah tak sama.” Sehabis daya aku cuba buat Yuzu terima dengan apa yang aku kata.

“Itu bukan alasannya. Untuk Ayumi, saya akan menukar apa yang perlu saya tukar, termasuk agama. Budaya pula tidak penting bagi saya.” Yuzu angkat punggung dari tempat duduk. Dia berdiri menghadap aku dengan wajah redup.

“Belum pernah ada seorang gadis yang cedera kerana saya. Ayumi orang pertama. Darah yang mengalir di tangan Ayumi itu, adalah disebabkan saya. Ayumi telah selamatkan saya.”

Ito shiteru!

“Nak suruh saya faham, cakaplah Melayu!” Tak pasal-pasal aku tengking Yuzu balik.

“Saya sayang Ayumi. Saya suka Ayumi. Saya cinta Ayumi.”

Aku menggeleng banyak kali. Apalah yang merasuk budak Jepun ni agaknya. Nak kata pusat sukan ni berhantu, tak pulak.

“Tak boleh. No. Errr… apa ye saya nak cakap dalam Bahasa Jepun untuk awak faham?” Aku garu kepala sekejap dan cuba sebut dengan apa yang aku belajar setakat ini. Walaupun tunggang terbalik, aku tak kesah. Asalkan, aku mencuba.

Anata wa watashi o suki ni naremasen. Faham tak?” (Awak tak boleh sukakan saya)

“Saya faham walaupun Ayumi tidak bercakap dalam bahasa itu.”

“Hah, kalau macam tu tolonglah jangan sebut lagi pasal awak sukakan saya. Keadaan kita sangat jauh berbeza.”

Yuzu pandang aku dengan muka sayu.

“Saya cuma boleh anggap awak sebagai kawan aje. Tak boleh lebih dari tu. Kita ada sempadan dan batas yang tak boleh kita langgar. Agama awak lain, saya lain. Budaya kita lagilah tak sama.” Sehabis daya aku cuba buat Yuzu terima dengan apa yang aku kata.

“Itu bukan alasannya. Untuk Ayumi, saya akan menukar apa yang perlu saya tukar, termasuk agama. Budaya pula tidak penting bagi saya.” Yuzu angkat punggung dari tempat duduk. Dia berdiri menghadap aku dengan wajah redup.

“Belum pernah ada seorang gadis yang cedera kerana saya. Ayumi orang pertama. Darah yang mengalir di tangan Ayumi itu, adalah disebabkan saya. Ayumi telah selamatkan saya.”

Aku rasa nak ketuk aje kepala Yuzu ni. Soal kecederaan aku yang tidak teruk pula menjadi kepentingan pada dia. “Saya cuma cedera sikit aje. Bukannya teruk sangat sampai awak cakap macam tu.”

“Mungkin ia satu alasan yang sangat kecil bagi Ayumi. Tapi, tidak bagi saya.”

“Sudahlah, Yuzu. Pergilah masuk bilik. Esok pagi awak ada latihan.” Aku juga angkat punggung. Dah letih berdebat dengan Yuzu. Hingga ke saat ini, dia masih tak faham-faham juga. Ah, lantaklah. Malas aku nak berdebat dengan dia lagi. Buat kering tekak aku aje.

Selepas mengingati gaduh-gaduh kecil antara aku dan Yuzu malam tadi, aku kembali fokus pada Yuzu dan Mr. Eddy yang kini berbual-bual di tepi kaunter lap-top. Aku bangun dari tempat duduk dan perlahan membawa kaki ke situ.

Beg sandang Yuzu yang aku bawa bersama, terus aku buka zip untuk mengambil cd.

Mister Eddy. Lagu apa nak pasang pagi ni?” Aku tanya Mr. Eddy. Sepatutnya, aku tanya terus pada Yuzu. Tapi disebabkan Yuzu tunjuk muka masam depan aku, tak jadilah aku nak tanya dia. Mujur ada Mr. Eddy.

“Romeo And Juliet.”

“Okay.” Aku angguk sekali dan mencari-cari cd dengan tajuk yang Mr. Eddy sebut. Dah jumpa, aku keluarkan dan terus masukkan ke dalam pemacu cd pada lap-top. Eh, kejap. Faham pula Mr. Eddy dengan Bahasa Melayu? Bukan ke aku cakap Melayu dengan dia tadi?

Ah, malas aku nak fikir pasal Mr. Eddy. Adalah tu dia belajar sikit-sikit dengan Encik Aziz.

Yuzu masuk gelanggang sejurus instrumental Romeo And Juliet berkumandang. Aku pula setia berdiri di sebelah kaunter lap-top dan tidak boleh meninggalkan kaunter selagi Yuzu belum habis masa latihannya. Aku tarik sebuah kerusi dan perlahan duduk. Tak laratlah aku nak berdiri lama.

Aku fokus ke tengah-tengah gelanggang. Yuzu sedang panaskan badan dengan meluncur di segenap ruang yang ada. Saat dia melakukan spin, aku yang melihat pun jadi pening. Selepas itu, Yuzu melakukan Triple Axel dan dia terjatuh!

Aku terkejut. Belum pernah aku tengok dia jatuh sewaktu latihan. Ini pertama kali. Tak pasal-pasal aku berdiri dan entah kenapa hati dicuit rasa bimbang. Dia cedera tak?

Stop the music.” Mr. Eddy bagi arahan.

Aku terus tekan ‘pause’ dan tetap setia di sebelah kaunter. Kalau ikutkan perasaan, mahu saja aku masuk gelanggang dan tengok keadaan Yuzu. Tapi, dalam hati cepat-cepat melarang supaya aku tak tunjuk sikap prihatin kali kedua. Nanti Yuzu akan terhutang budi lagi dan terus ajak aku couple, habislah Rizal tak jadi kahwin dengan aku.

Yuzu bangkit semula. Mr. Eddy melangkah rapat ke tepi gelanggang dan bagi isyarat supaya aku tekan ‘play’. Aku ikut arahan dan duduk di kerusi selepas itu.

Tamat sesi latihan untuk hari kedua, aku keluarkan cd dari lap-top dan masukkan semula ke dalam bekas. Zip beg sandang Yuzu aku buka dan terus menyimpan cd ke dalamnya. Aku tutup balik zip dan tiba-tiba beg di tanganku dirampas seseorang.

Aku mendongak. Yuzu sendiri yang mengambilnya dengan cara yang agak kasar. Aku ingatkan siapalah yang nak curi beg dia. Manalah tahu kalau ada peminat fanatik dia yang menceroboh masuk. Bimbang juga aku.

Dont touch my bag.”

Aku mencebik. Eleh… ingat aku nak pegang sangat ke beg dia? Kalau tak kerana tugas yang diamanahkan Encik Aziz, aku pun tak nak jaga segala barang keperluan dia.

Yuzu dan Mr. Eddy terus keluar dari dewan. Aku masih terkebil-kebil akibat ditinggalkan sendirian. Lagipun, tugas aku untuk hari ini dah selesai. Esoklah pula.

Aku pandang ke arah kaunter dan membuat isyarat pada staff di situ untuk aku menggunakan gelanggang. Mujurlah staff itu baik juga dengan aku. Terus aku masuk ke tempat penyimpanan kasut luncur dan memilih sepasang untuk aku sarung pada kaki.

Aku masuk gelanggang dalam keadaan terkial-kial. Yelah, aku bukannya biasa main luncur ais ni. Tergelincir nanti, tak pasal-pasal dapat sakit pula. Untuk mengelak dari jatuh, aku pegang pada setiap pemegang yang ada di tepi gelanggang sambil meluncur. Aku ketawa sendiri dan terus meluncur lagi secara perlahan-lahan.

Bila aku dah yakin sikit, aku lepaskan pemegang dan terus meluncur ke tengah. Aku rasa happy bila tidak perlu bergantung pada pemegang itu lagi.

“Nuha! Kau nak aku pasang lagu tak?!” Jerit seorang staff yang aku kenal sebagai Airin.

“Tak payah. Aku bukan lama pun nak main. Sekejap aje!” Aku balas jeritan Airin.

“Okay!” Airin buat isyarat dengan tangan. Dia tersengih dari jauh.

Aku meluncur lagi. Perlahan-lahan dan terkial-kial. Sesekali aku jatuh terduduk, sakitnya bukan main. Aku gosok pinggul dan terus bangun semula.

Hampir setengah jam aku bermain-main dalam gelanggang ais, aku pun keluar dari dewan dan bersedia balik ke hostel pekerja.

HARI ketiga dan keempat Yuzu berada di sini, dia tetap dengan sikap dinginnya. Hari ini lagi parah dan kritikal apabila dia langsung tidak bercakap dengan aku. Apabila aku tanya sesuatu, Mr. Eddy pula yang tolong jawabkan.

Kenapa sampai begini sekali dia merajuk? Aku ni bukan siapa-siapa pun. Artis bukan, model pun bukan. Hanya seorang Pembantu Pegawai Belia yang bekerja di bawah Rayyan.

Aduhai… kenapalah jadi macam ni. Kenapa dia boleh jatuh cinta pada aku. Apa istimewanya aku di mata seorang Yuzu? Apa? Kalau difikirkan, ia agak pelik tapi jika melibatkan soal hati dan perasaan, cinta itu memang buta dan tak mengenal siapa.

Kalau tidak, takkanlah ada raja yang boleh kahwin dengan rakyat biasa? Lelaki tua kahwin dengan gadis muda dan lelaki muda boleh naik pelamin dengan perempuan yang lebih tua? Itu kan, semuanya jodoh. Hanya orang bodoh saja yang suka pertikaikan kerja Tuhan.

Aku masuk ke bilik hostel selepas Yuzu tamat latihan untuk hari keempat ini. Penat memikirkan soal Yuzu yang langsung tak bertegur sapa dengan aku, terus aku hempaskan badan ke atas katil.

Terkebil-kebil aku memandang siling. Kenapa aku nak kesah kalau Yuzu tak nak bercakap dengan aku? Biarlah dia. Bukan ke lagi bagus? Kami pun tak adalah jadi rapat sangat macam sebelum ni. Biarlah renggang, aku tak ada hal pun.

Eh, betul ke aku tak kesah? Kalau aku tak peduli, kenapa aku jadi susah hati bila Yuzu tak bercakap dengan aku? Kenapa aku rasa sedih dan jauh hati? Kenapa, ek

Aku pusing badan ke kiri sambil memikirkan lagi soal Yuzu. Dia dah empat hari di sini. Ada baki tiga hari untuk dia balik semula ke Kanada. Hu hu… aku rasa nak nangis…

Dan… aku menangis… aku biarkan perasaan menguasai diri. Tapi, tak tahulah kenapa aku sedih sangat bila ingat soal Yuzu yang akan tinggalkan kompleks sukan ini.

Kalau boleh, aku tidak mahu dia pergi dalam keadaan kami belum selesai. Maksud aku, dalam keadaan tiada komunikasi di antara kami dek kerana Yuzu merajuk. Aku tidak mahu begitu. Aku mahu Yuzu pergi dalam keadaan hatinya tenang dan tidak bermasam muka. Itu yang sepatutnya.

Mungkin aku juga sukakan dia. Tapi untuk describe itu adalah cinta, macam mustahil pula sebab kami baru saja kenal beberapa hari. Takkanlah secepat ini?

Lagipun, aku dah nak bertunang dengan Rizal. Walaupun kami tak bercinta dan buat keputusan untuk berkahwin atas dasar kawan yang sudah lama kenal, tapi aku tak boleh lari dari keputusan macam tu saja. Ia tidak adil untuk Rizal. Nanti kasihanlah dia.

Telefon aku menyala. Rizal yang telefon nampaknya.

Hello…” Suaraku serak. Cepat-cepat aku berdeham. Mungkin sebab tadi aku menangis lama. Jadi, suara pun berubah mendadak.

“Kita dah lama tak jumpa. Boleh saya pergi sana?”

“Okay. Datanglah…” Aku terus setuju untuk menerima kedatangan Rizal.

Soal Yuzu, aku tolak ke tepi dahulu. Biarlah dia merajuk. Aku pun tak layak nak pujuk. Kalau betul dalam hati aku tiba-tiba ada cinta untuk dia, aku pun tak boleh buat apa. Dia orang glamer, atlet sukan tersohor, lain agama, lain budaya, lain negara dan macam-macam lainlah!

Eh, serabut pula aku fikir semua ni.

Aku bangun, mandi dan tunaikan solat asar. Keluar dari hostel, aku pandang dulu kiri kanan. Manalah tahu kalau terserempak dengan Yuzu dan Mr. Eddy. Lagipun, bilik hostel aku dengan tempat penginapan dia bukan jauh sangat. Sepuluh langkah dah sampai. Bangunan sebelah aje.

Aku pergi ke kafeteria di mana Rizal sedang menunggu di situ. Aku tarik kerusi dan terus duduk depan Rizal.

“Kenapa Nuha nampak sedih?” Tanya Rizal.

“Kurang sihat.” Aku menipu. Yelah, takkan aku nak bagi alasan pasal Yuzu pula? Nanti apa Rizal akan kata?

“Banyak sangat buat kerja tu. Rehat-rehatlah sikit.”

“Tak lama lagi bolehlah rehat panjang. Nanti bila Rayyan habis cuti, tak adalah banyak sangat kerja saya.”

Rizal angguk sekali. Tapi lepas tu, dia dah tak bercakap lagi. Tiba-tiba aku hairan tengok Rizal.

“Awak kenapa, ya. Macam ada masalah je.” Aku tanya Rizal sambil makan karipap oksigen yang baru dihantar pembantu kafeteria.

Pekerja di sini sudah tahu aku memang penggemar karipap. Jadi, aku tak perlu susah-susah nak panggil diorang untuk ambil pesanan.

Aku gigit sekali. Eh, terasa lain macam pula karipap yang aku makan sekarang. Aku angkat tinggi karipap dan melihat dengan mata hati. Lorr… tak oksigen pula karipap kali ni. Penuh pula intinya!

“Nuha…”

“Erm.” Aku makin enak mengunyah karipap sambil toleh kiri kanan.

Sebenarnya, aku nak cari kelibat Yuzu. Kalau rezeki dapat tengok muka dia petang ni, langkah kananlah. Aku bukan apa. Aku cuma nak tengok reaksi dia aje. Merajuk lagi ke dia dengan aku? Atau dah hilang rajuknya tu?

Kalau dia dah okay, baguslah. Kalau sebaliknya, aku akan bercakap juga dengan dia dari hati ke hati. Aku nak bagi dia faham betul-betul. Yuzu tidak boleh dibiarkan begitu. Dia harus sedar kedudukan dia di mana.

“Saya… nak minta maaf dengan awak, Nuha.”

“Kenapa?”

“Nampaknya, tak jadilah kita kahwin.”

Aku tergamam. Karipap penuh inti aku letak semula atas piring. “Saya tak salah dengar ke, Zal?”

“Tak. Awak tak salah dengar. Saya… terpaksa batalkan kunjungan merisik tu nanti. Saya minta maaf.”

Aku angkat kening. Sedikit pun tiada rasa sedih. Maklum, kami tak bercinta. Jadi, nak marah pun tak ada. Tiba-tiba aku teringat pada Yuzu. He he… ada can ni… aku rasa, kepala aku dah keluar tanduk sekarang.

“Kenapa, Zal? Saya ada buat salah ke?” Walaupun aku tak kesah dengan keputusan Rizal, tapi aku nak tahu juga apa alasan dia. Takkan tak jadi kahwin macam tu saja? Ini mesti ada sebab.

“Tak. Awak tak buat salah. Tapi, saya yang bermasalah.”

Aku mengeluh perlahan sambil angkat semula karipap dan terus makan sampai habis.

“Saya tak jujur dengan awak, Nuha.”

Aku makin pelik dengan kata-kata Rizal. “Tak jujur macam mana tu?”

“Saya jatuh cinta. Err… maksud saya. Terjatuh cinta.”

“Dengan siapa?” Aku rileks aje. Rizal yang menggelabah lebih. Mungkin dia risau kalau aku mengadu pada mak dan Mak Cik Sally.

“Dengan kawan kat tempat kerja. Awak tak marah?”

“Laa… nak marah kenapa pulak?” Aku lagi gembira sebenarnya. Keh keh

Mungkin Rizal hairan kenapa aku tak marah. Tapi, aku takkan bagi alasan kalau dia tanya. Biarlah berakhir macam ni saja.

“Betul awak tak marah?”

Aku angguk tiga kali. Memberi keyakinan pada Rizal supaya dia tidak perlu bimbang apa-apa.

Dup!

Tiba-tiba aku ternampak Yuzu! Dia berjalan seorang diri tanpa Mr. Eddy.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278671/Cinta-Budak-Jepun

[SNEAK PEEK] DIA YANG BERGELAR SUAMI

Dia Yang Bergelar Suami oleh Rafina Abdullah

 

BILA nak kenalkan Za pada isteri abang?” Rengek Aiza manja sambil membetulkan duduk di atas ribaan Idzmir.
“Abang belum sedia lagi.” Jawab Idzmir bersahaja. Rimas juga ketika Aiza sering mengungkit persoalan yang serupa. Jenuh dia mengelak supaya tidak menjawab soalan itu. Namun, Aiza terus mendesak.

“Abang selalu bagi alasan yang sama. Za dah muak, tahu tak?” Aiza tarik muncung apabila soalannya dibalas dengan jawapan yang menghampakan.

“Sabarlah, sayang. Bukan senang abang nak kenalkan Za pada dia. Za kenalah faham kedudukan abang.” Idzmir memujuk. Tapi kali ini, nampaknya Aiza tidak termakan dengan pujukannya apabila gadis itu mula berdiri lalu berpeluk tubuh.

Idzmir yang masih duduk mula picit dahi. Agak bosan dengan kerenah yang sering ditunjukkan Aiza. Sikap tidak puas hati Aiza selalu mengundang resah di hatinya yang menyayangi gadis itu.

Jarak usia lapan tahun di antara mereka, membuatkan gadis itu lebih senang memanggilnya ‘abang’.
Apabila Aiza merajuk, Idzmir terus berdiri lalu mendekati gadis kesayangan. Kata-kata manis yang meniti di bibirnya sering membuatkan Aiza tewas dengan rajuk sendiri.

“Kalau betul Za cintakan abang, tentu Za sanggup bersabar dengan keadaan kita sekarang. Abang sayangkan Za dan janji akan kahwin dengan Za bila tiba masa sesuai. Cuma, Za bagilah abang sikit masa untuk pujuk Kak Shila. Abang yakin dia dapat terima Za.” Pujuk Idzmir lagi hingga gadis itu tersenyum semula.

IDZMIR menghenyak tubuh ke sofa. Melepaskan lelah seminit dua sebelum mahu ke tingkat atas untuk bersihkan diri. Anak perempuan kesayangan datang meluru, membuatkan langkahnya mati.
“Papa nak minum? Mama suruh Uyi bagi air pada papa.” Puteri Felisha yang berusia lima tahun menghulurkan gelas pada papanya.

“Baiknya anak papa. Cium pipi sikit.” Idzmir menyambut gelas itu lalu mengangkat Puteri ke atas riba. Rambut ikal Puteri diusap perlahan.

Puteri berpusing lalu pipi Idzmir dikucup bertalu-talu.

“Wow… papa minta cium sikit saja. Tapi, banyak macam ni dia bagi?” Usik Idzmir lalu menggeletek tubuh Puteri.
Anak kecil itu ketawa dan meronta-ronta. Kasih sayang begitu terserlah di antara kedua-duanya. Tapi di sebaliknya, tega benar Idzmir mahu memberikan seorang ibu tiri pada anaknya.

“Uyi, mama mana?”

“Mama kat dapur. Masak untuk papa.” Puteri mula berbaring di sisi papanya.
Idzmir kelihatan resah dengan situasi di pejabat tengah hari tadi. Teringat dengan permintaan Aiza, dia makin serba salah hendak bersemuka dengan Shila di dapur itu.

“Uyi duduk sini, ya. Papa nak jumpa mama.” Dia berdiri dan meninggalkan Puteri sendirian di atas sofa.
Anaknya itu mula bercekak pinggang kerana masih belum puas bermanja dengannya. “Papa!” Jerit Puteri.
Idzmir berpaling lalu membuat isyarat supaya anaknya tidak membuat bising.

Puteri bermasam muka apabila kerenah manjanya tidak dilayan. Lantas, anak kecil itu mencapai remote televisyen untuk membuka siaran kartun kegemaran.

Idzmir tersengih melihat telatah Puteri. Kemudian, perhatian mula beralih pada isterinya yang leka memotong sayur.

“Lewat abang balik hari ni?” Tegur Shila tika melihat suaminya tiba-tiba muncul di belakang.

“Ada urgent meeting la, sayang.” Dalih Idzmir sambil menarik kerusi lalu duduk perlahan.

Shila yang ligat memotong kobis melemparkan senyum manis padanya. Idzmir membalas dengan senyum hambar kerana memikirkan cara untuk memberitahu Shila mengenai hajatnya yang mahu peristerikan Aiza.

Dia bimbang jika niat itu disampaikan, pisau di tangan Shila tiba-tiba tertusuk ke dadanya.

Shila yang sedar dengan perubahan Idzmir mula meletakkan pisau di atas meja. Sayur kobis yang siap dipotong, dimasukkan ke dalam satu bekas.

“Kenapa dengan abang ni? Shila tengok lain macam aje. Abang tak sihat ke?” Tapak tangannya naik meraba dahi Idzmir. Kerisauan bertandang melihat keadaan suaminya.

‘Abang demam nak kahwin lagi.’ Jawab Idzmir sekadar di hati.

“Tak ada apa-apa. Mungkin abang penat sikit.” Sedaya upaya dia cuba menutup rahsia agar tidak dihidu isterinya. Tangan Shila yang melekap pada dahinya ditarik ke bawah.

“KAU masih ada hubungan dengan suami orang tu?” Soal Husna pada Aiza yang leka berbalas whatsapp dengan seseorang.

“Hello… nama dia, Idzmir Damien. Sedap mulut aje kau panggil suami orang, suami orang.” Bentak Aiza.

“Tak kisahlah apa pun namanya. Aku cuma nak tahu, kau ada hubungan sulit lagi dengan dia?”

Aiza sibuk dengan iPhone yang baru dibelikan Idzmir tempoh hari. Soalan Husna tidak dipedulikan.

Husna menggeleng melihat tingkah Aiza. Tumpah simpatinya pada isteri Idzmir apabila dia tahu lelaki itu adalah suami seseorang. Satu keluhan panjang dilepaskan Husna lalu dia beredar untuk membancuh minuman di dapur.
Melihat Husna berlalu, Aiza mencebik. Dia tahu Husna tidak senang dengan sikapnya yang mengambil mudah apabila menjalinkan hubungan dengan lelaki sudah berkahwin.

Apa nak dikisahkan dengan Husna? Yang penting, aku cintakan Abang Mir. Hati kecilnya berbisik. Dia bangkit menuju ke tingkat atas. Matanya tak dapat ditahan akibat mengantuk. Hatinya berbunga riang apabila whatsapp terakhir Idzmir memberitahu dia akan dibawa ke satu tempat petang esok.

IDZMIR melakukan kerja yang masih banyak tanpa menyedari Aiza tercegat di hadapan. Tumpuannya cuma pada skrin lap-top. Jari-jemarinya ligat menekan keyboard tanpa menghiraukan Aiza yang sedang memerhati.

“Amboi… tekunnya buat kerja. Sampai tak sedar Za berdiri depan abang.” Aiza menyapa sambil menguis sehelai kertas di atas meja.

Idzmir mula memberi tumpuan pada Aiza. Dia tidak lagi fokus pada kerjanya. Senyum diberikan melihat penampilan Aiza yang lain dari biasa.

Berbeza benar pakaian Aiza hari ini. Dia tersenyum lantas menggamit Aiza datang dekat padanya. “Za nak pergi mana pakai macam ni?”

“Abang kan, ajak Za pergi jalan-jalan lepas kerja?”

Idzmir tepuk dahi. “Alamak… abang terlupa. Petang ni abang kena bawa Kak Shila pergi klinik. Dia kurang sihat.” Idzmir menipu. Dia sekadar mengusik. Shila di rumah sihat-sihat saja dan tidak menghadapi sebarang gangguan kesihatan.

“Abang selalu mungkir janji dengan Za. Selalu sangat lebih-lebihkan isteri abang.” Rungut Aiza dengan wajah masam. Dia sedar, tidak sepatutnya dia merungut begitu kerana tidak mempunyai hak untuk meminta lebih dari Idzmir sedang dari awal dia tahu lelaki itu ada keluarga sendiri.

“Abang guraulah. Petang ni kita keluar. Jangan masam muka depan abang. Nanti abang cari skandal lain, baru tahu.” Dia tidak lelah menyakat.

“Sekali lagi abang gurau macam ni, tahulah apa Za nak buat kat abang.” Ugut Aiza kembali. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu kalah pada lelaki kesayangannya ini. “Ermmm… abang nak bawa Za pergi mana sebenarnya?” Aiza menyambung dengan soalan.

“Genting.” Sepatah Idzmir memberitahu.

“Genting?” Bulat mata Aiza mendengar. Lalu, senyuman lebar terserlah di wajahnya sekarang.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/275122/Dia-Yang-Bergelar-Suami

[SNEAK PEEK] SAYANG CIKGU KETAT-KETAT

Sayang Cikgu Ketat-ketat oleh Rafina Abdullah

 

SEMINGGU berlalu, percutian kami di Pulau Kapas sedikit tercalar dengan satu insiden yang tidak diingini. Tapi, untunglah tidak ada perkara buruk yang berlaku. Namun, ada persoalan yang belum terjawab hingga ke hari ini. Siapa Aida?

Apabila pertanyaan itu aku ajukan pada Cikgu Safarin, dia hanya membisu. Sampai sekarang dia belum memberi tindak balas positif mengenai jawapan yang aku harapkan.

Aku tidak lagi mengajukan soalan itu dan mahu mengambil peluang bertanya pada waktu yang lain. Lagi pula, aku tidak mahu merosakkan hari-hari yang indah semasa percutian itu dengan pergaduhan atau pertikaman lidah.

Sejurus kami tiba di rumah, Cikgu Safarin terus berbaring di atas katil. Mungkin dia kepenatan. Melihat keadaannya yang lesu, ini bukanlah masa yang sesuai untuk aku menyoal tentang Aida.

Aku membiarkannya tidur dan tidak mengganggunya sementara waktu. Biarlah dia merehatkan badan terlebih dahulu. Sementara itu, bolehlah aku mengemas setelah seminggu rumah ini ditinggalkan.

Pakaian yang kami bawa ke pulau aku keluarkan dari beg untuk dimasukkan ke dalam mesin basuh. Selesai pakaian dicuci, aku mengambil bakul lalu mengeluarkan pakaian untuk dijemur.

Beep… beep.

Pakaian terakhir yang belum sempat aku sidai, cepat-cepat aku letakkan semula ke dalam bakul. Aku masuk ke dalam rumah dan melangkah ke arah meja kopi di ruang tamu.

Di situ terdapat dua buah telefon bimbit kepunyaanku dan Cikgu Safarin. Cuma, aku tidak pasti sama ada bunyi SMS itu datang dari telefon siapa.

Aku mengambil kedua-dua telefon. Ternyata, SMS yang masuk itu sebenarnya datang dari telefon Cikgu Safarin.

Aku terkejut kerana sekali lagi tertera nama Aida sebagai pengirim. Hatiku meronta mahu menyiasat siapa sebenarnya perempuan misteri ini.

Perasaanku benar-benar didorong dengan rasa ingin tahu dan ia memaksaku melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Cepat-cepat aku membaca isi kandungan SMS yang dikirimkan perempuan itu sebelum disedari Cikgu Safarin.

Arin… I miss you…

Itu saja kiriman SMS darinya? Kenapa dia tak karang ayat panjang-panjang seperti tempoh hari? Cakaplah apa saja. Nak peluk atau cium suami aku, kenapa dia tak karang ayat seperti itu? Aku geram lalu cuba mengawal perasaan cemburu.

Telefon bimbit Cikgu Safarin aku letakkan semula ke atas meja. Perasaan geram, cemburu dan marah terpaksa aku tahan seketika. Aku mesti bertenang dan bersabar.

Aku nak lihat sejauh mana permainan ini akan berakhir. Satu permainan yang dimulakan oleh siapa sebenarnya. Cikgu Safarin atau perempuan itu?

Apabila aku berpusing, Tiba-tiba Cikgu Safarin berdiri di belakang dan hampir-hampir aku melanggar tubuhnya. Bila masa pula dia bangun dan keluar dari bilik? Tiba-tiba saja muncul dan buat aku terperanjat besar!

Jangan-jangan, dia berdiri di belakang sejak tadi dan aku langsung tidak menyedarinya. Bukan boleh percaya sangat dia tu. Dia kan, suka mengintip.

Di sekolah pun, dia memang suka intip aku. Sewaktu aku berjalan dengan Diana, dia pernah mengekori. Ketika aku bermain bola tampar, dia sempat mengintai dari tingkap bilik guru.

Adakah dia ternampak aku membaca mesej dari telefon bimbitnya? “Errr… abang. Bila abang bangun? Abang lapar ke? Nak makan tak?” Bergetar suaraku menyoal Cikgu Safarin.

Pertanyaanku tidak dijawab, malah air mukanya nampak serius.

“Ada sesiapa call abang?” Tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibirnya.

Aku tergamam kerana tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Bukan ada yang call, tapi ada yang mengirimkan SMS! Bergema jawapan itu sekadar di hati. “Tak ada.” Aku menipu dan tertunduk memandang lantai kosong yang tidak memberi apa-apa erti.

“Tadi abang nampak Anis pegang handphone abang?”

Cikgu Safarin mendekati lalu tangan kirinya cuba memegang bahuku tapi pantas aku menepis. Tindak balas aku itu agak kasar dan buat Cikgu Safarin tersentak.

Perasaan geram, cemburu dan marah yang aku pendam sejak seminggu lalu, kini datang semula. Aku fikir, inilah masa untuk aku menyoalnya sekali lagi.

Tempoh hari, dia langsung tidak memberi sebarang jawapan. Tapi kali ini, aku tidak mahu melepaskan peluang untuk mengorek rahsia yang tersimpan.

“Siapa Aida tu, abang? Kenapa abang tak nak beritahu Anis? Sampai hari ni, abang masih diam bila Anis sebut nama perempuan tu.”

“Dari mana Anis dapat tahu pasal Aida?”

Aku terdiam. Berat pula mulut ini mahu membalas persoalan Cikgu Safarin.

“Sejak kita kat Pulau Kapas, Anis dah tanya pasal Aida. Tapi, abang sengaja tak nak jawab sebab tak mahu rosakkan honeymoon kita. Sekarang kita kat rumah, tolong jawab apa yang abang tanya. Dari mana Anis dapat tahu pasal dia? Mak abang beritahu?”

“Kenapa nak libatkan mak abang pulak? Dia tak ada kena mengena pun.” Aku ketap bibir sambil menahan rasa sakit dalam hati. ‘I miss you Arin.’ Dasar perempuan tak tahu malu. Mengucapkan rindu pada suami orang!

“Kalau bukan mak abang cerita pasal Aida, dari mana pula Anis dapat tahu? Sebelum ni, abang tak pernah sebut langsung nama Aida depan Anis.”

“Anis baca SMS yang dia kirim kat abang. Dah dua kali dia SMS abang, tau. Pertama, masa kita nak bertolak ke Pulau Kapas. Kedua, baru sekejap tadi.”

“SMS?”

“Ya, SMS. Anis rasa nak baca, jadi Anis baca jelah. Anis nak tahu siapa sebenarnya perempuan tu dengan abang.”

“Sejak bila Anis dah pandai baca SMS dalam handphone abang?”

Suara Cikgu Safarin tegas kedengaran. Seolah-olah dia tidak suka aku mencerobohi telefon bimbitnya.

“Anis minta maaf. Anis tahu cara tu salah. Sekarang Anis cuma nak tahu siapa Aida. Apa hubungan dia dengan abang? Kenapa dia kirim SMS macam tu pada abang?”

“Dia tulis apa?”

“Abang bacalah sendiri. Anis malas nak tolong bacakan untuk abang. Buat sakit hati je.” Aku berpeluk tubuh.

Dia menghampiri meja kopi lantas mengambil telefon bimbitnya. Aku mencuri pandang melihat reaksi Cikgu Safarin ketika dia begitu leka melihat skrin. Tiada apa-apa perubahan di wajahnya. Suka tidak, tak suka pun tidak.

“Jadi, bila Anis baca SMS ni, Anis dah tak percayakan abang?”

Cikgu Safarin bertindak mahu merangkul bahuku dari sisi tapi cepat-cepat aku mengelak. Selagi dia tidak memberitahu maklumat mengenai Aida, jangan harap dia dapat sentuh dan berbuat baik denganku.

“Anis sentiasa percayakan abang. Dari dulu sampai sekarang. Cuma Anis nak tahu siapa Aida tu dengan abang. Kalau dalam mesej tu dia karang ayat biasa-biasa, Anis pun tak ingin nak tanya abang. Tapi masalahnya, SMS dia bukan main lagi mesra. Cuba kalau mana-mana lelaki yang hantar mesej macam tu pada Anis, abang tentu sakit hati juga, kan?”

“Dia bekas tunang abang.”

Akhirnya…

“Bekas tunang? Oh, patutlah mesra sangat bunyinya. Anis dah agak. Abang tentu suka kan, bekas tunang cakap rindu kat abang? Ajak berjumpa pulak tu!”

“Anis jangan fikir bukan-bukan. Abang sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba dia hantar mesej macam tu.”

Aku angkat kedua-dua tangan ke sisi bahu. “Okey. Baiklah. Sebelum ni abang tak tahu, tapi sekarang abang dah tahu. Jadi, abang nak jumpa dia ke? Mana tahu kalau abang pun nak lepaskan rindu pada dia!”

“Anis, jangan cakap macam tu dengan abang. Anis isteri abang. Dia pun dah kahwin. Untuk apa kami jumpa lagi?”

“Untuk apa konon. Untuk lepaskan rindulah!” Aku membentak sepuas hati. Perasaan geram, marah dan cemburu memang tak dapat dibendung lagi. Seminggu aku memendam rasa!

“Kenapa sampai macam tu sekali Anis buat tuduhan?”

“Anis bukan menuduh. Tapi, Anis fikir secara logik. Dulu abang pernah beritahu Anis, abang dah benci sangat kat dia. Kalau abang benci, kenapa sampai sekarang abang masih simpan nombor dia? Abang tak dapat lupakan dia ke? Abang masih cintakan dia? Cakap betul-betul dengan Anis!”

“Astaghfirullahalazim… Anis…”

“Anis apa?!”

“Sampai hati Anis cakap macam ni dengan abang…”

Aku terus meninggalkan Cikgu Safarin tanpa memberi peluang lagi untuk dia buka mulut.

MALAM ini, aku menangis sendirian. Sedikit sebanyak aku rasa bersalah kerana mencetuskan pergaduhan yang tidak sepatutnya berlaku dalam rumah tangga yang baru terbina ini.

Jangan pula aku menyesal berkahwin pada usia belasan tahun begini, sudahlah. Aku tidak mahu begitu jadinya kerana aku terlalu sayangkan Cikgu Safarin.

Aku sangat menghargai mahligai ini dan tidak mahu ia hancur di tengah jalan hanya disebabkan kehadiran orang ketiga yang tidak sepatutnya muncul.

Aida adalah kisah lampau Cikgu Safarin dan perempuan itu tidak perlu kembali dalam hidup lelaki yang pernah ditinggalkannya.

Apabila teringat pergaduhan kecil yang berlaku siang tadi, aku berfikir sejenak. Adakah sikapku keterlaluan?

Lidahku mungkin berbisa kerana menuduh Cikgu Safarin begitu sedangkan aku yakin, dia sama sekali tidak menyimpan perasaan rindu pada Aida. Mungkin hanya bekas tunangnya saja yang berperasaan begitu.

Tapi aku hairan, perempuan itu kan, isteri orang. Kenapa dia berani kirimkan SMS berbaur mesra pada lelaki lain? Apa, suaminya tidak marah?

Aku mengeluh panjang. Zaman sekarang, mungkin tidak perlu aku hairan. Banyak kes yang berlaku dalam rumah tangga masyarakat hari ini.

Suami curang, isteri main kayu tiga, suami kena tangkap khalwat, isteri berzina dengan lelaki lain. Astaghfirullahalazim… semoga aku dan Cikgu Safarin tidak tergolong dalam golongan laknat seperti itu. Lindungi kami, Ya Allah.

Dari petang hingga malam, aku hanya melayan perasaan dalam bilik. Apabila Cikgu Safarin memanggil untuk mengajakku makan tengah hari dan malam, aku langsung tidak peduli. Pintu bilik juga diketuk beberapa kali tapi aku hanya membatukan diri.

Sesekali Cikgu Safarin menyelitkan nota kecil di bawah pintu, aku mengambil dan terus membacanya. Mungkin kerana telefon bimbitku tertinggal di ruang tamu, jadi, Cikgu Safarin tidak ada cara lain hendak memujukku.

Nota pertama.

Anis keluarlah. Teman abang makan. Abang dah masak ni.

Nota kedua.

Keluarlah. Sayang tak lapar?

Nota ketiga.

Terima kasih buat abang begini.

Ketiga-tiga nota yang aku baca, aku gumpal lalu mencampaknya ke dalam tong sampah. Sedih dan sedikit terluka dengan pertikaman lidah yang tidak aku minta sama sekali akan berlaku.

Air mata yang berlinang sejak tadi, kini membasahi bantal. Selimut yang berada di hujung kaki, segera aku tarik rapat ke dada. Aku melihat jam dinding dan jarum jam kini menunjukkan angka satu setengah pagi.

Aku hairan, kenapa sampai sekarang Cikgu Safarin tidak masuk ke bilik untuk tidur bersama. Adakah dia berkecil hati kerana aku menuduhnya? Atau dia masih menonton televisyen?

Mustahil. Dia bukan jenis orang yang suka berjaga lewat malam semata-mata mahu menonton siaran di kaca tv.

Aku teringat pada nota ketiga yang ditulisnya, ‘terima kasih buat abang begini.’

Adakah dia benar-benar berjauh hati dan tidur di luar? Aku bergerak mahu turun dari katil tapi pergerakanku terhenti. Akalku seolah-olah melarang supaya aku mengalah.

Tak apalah. Mungkin esok ada jalan penyelesaian.

APABILA aku keluar dari bilik dan mahu mengambil wuduk di kamar mandi, aku terpandang Cikgu Safarin tidur di atas kerusi. Jam dinding kini menunjukkan angka lima setengah pagi. Tiba masanya aku perlu kejutkan dia.

Lebih baik aku lupakan saja hal semalam dan segera memohon maaf padanya.

Perlahan-lahan aku menghampiri Cikgu Safarin. Selalunya, dialah terlebih dahulu mengejutkan aku dari tidur. Tapi hari ini, giliran aku pula. Mungkin benar dia berjauh hati.

“Abang, bangun.” Perlahan aku menggoncang dadanya. Namun, dia tidak memberi tindak balas.

“Bangun, abang. Dah dekat subuh ni…” Rambutnya kusentuh lalu kuusap dengan lemah lembut.

“Abang, nanti lewat nak pergi masjid.”

Sebaik saja aku menyebut perkataan masjid, matanya terus dibuka. Tiba-tiba dia tersenyum memandangku yang duduk di sisinya.

Kedua-dua tanganku di atas dadanya, dipegang lalu digosok perlahan. Pelik. Bukankah dia sedang berjauh hati denganku hingga memaksa dia tidur di luar?

Sekali lagi dia melemparkan senyum. Aku menarik tanganku dan langsung berdiri. Tindakanku seperti ini disebabkan aku malu dan rasa bersalah kerana menunjukkan sikap keterlaluan terhadapnya semalam.

Apabila melihat respons yang aku tunjukkan, segera dia bangkit lalu membetulkan duduk. Tangan kiriku ditariknya perlahan dan memaksaku mendekatinya semula.

Kini, aku berdiri di hadapannya yang masih duduk di kerusi. Tak semena pinggangku dipeluk erat dan spontan kepalanya melekat di perutku seperti gam.

Dengan keadaan ini, perasaanku jadi sayu kerana mengingati kata-kataku yang agak melampau. Mungkin dia sedang bersedih sehingga menunjukkan sikap ingin bermanja seperti ini.

“Anis, abang minta maaf. Sepatutnya, dari dulu abang dah padam nombor Aida. Abang betul-betul terlupa.” Dia mendongak. Renungannya sayu.

Tindakannya memohon maaf dengan cara begini, buatkan aku makin dihimpit rasa bersalah. Sedangkan, aku yang sepatutnya meminta maaf terlebih dahulu. “Anis pun nak minta maaf sebab terkasar bahasa dengan abang.”

Aku membelai rambutnya dengan penuh kasih sayang. Tanpa aku sedar, air mataku kini jatuh setitis. Air mata itu pula berlabuh pada dahi Cikgu Safarin. Aku tersenyum dalam sayu sambil mengesat dahinya dengan hujung jari.

“Abang dah padam nombor telefon dia. Lagi sekali abang minta maaf. Abang faham macam mana hati dan perasaan seorang isteri bila terbaca SMS macam tu. Abang cuba letakkan diri abang kat tempat Anis dan abang dapat selami apa yang Anis rasa.”

Aku diam mendengar. “Semalam, Anis kurang ajar dan tinggikan suara pada abang. Anis rasa berdosa sangat. Anis sepatutnya hormatkan abang.”

“Anis tak salah. Abang faham kenapa Anis marah. Malam tadi, abang sengaja tak pujuk Anis lebih-lebih sebab abang tahu hati Anis tengah sakit. Sebab tu abang biarkan Anis nangis dan tidur sorang-sorang. Kalau abang cakap apa pun, Anis takkan percaya dan mungkin tak nak dengar. Maafkan abang ya, sayang.”

“Tak. Anis memang bersalah. Memang patut abang biarkan Anis tidur sorang-sorang.” Aku melepaskan pelukannya di pinggang lalu berganjak menghampiri dinding.

Cikgu Safarin turut sama berdiri dan mengekori.

Aku menyandar pada dinding dan mendengar saja kata-kata yang meniti di bibirnya. Aku akur dengan bicaranya. Memang benar, kalau kita sedang marah, orang cakap apa pun kita takkan ambil peduli.

Dia mendekati dan kedua-dua tangannya digagahkan pada dinding. Aku terkepung di tengah-tengah. Aku mendongak dan renungan kami bersatu dalam diam.

Bibirnya menguntum senyum, wajahnya menghampiri lantas memberi satu kucupan di dahi. Aku terdiam dan membiarkan dia memberi layanan mesra sebagai suami.

Apabila bibirnya turun ke bawah, tiba-tiba idea nakalku datang. Lekas-lekas aku memboloskan diri.

“Aduh!” Tak semena dahi Cikgu Safarin terhantuk pada dinding.

Aku ketawa. Bagai tidak percaya. Begitu mudah masalah ini selesai antara kami.

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271847/sayang-cikgu-ketat-ketat