[REVIEW] Apa Khabar Depresi?

Apa Khabar Depresi Oleh Dr. Sakinah Salleh

“Kesihatan tidak semestinya datang daripada ubat. Selalunya, ia hadir dari ketenangan fikiran, kedamaian hati, ketenangan jiwa serta kebahagiaan dan kasih sayang yang mewangi.”


Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan, keletihan, dan kehilangan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. keadaan ini boleh beralarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu ataupun mengambil masa sehingga berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun. Penyakit ini juga boleh didatangi oleh seesiapa sahaja tanpa mengira umur ataupun bangsa.

Penyakit kemurungan dikategorikan sebagai penyakit mntal yang banyak berlaku kepada warga. Malangnya ramai yang tidak mengetahui implikasi penyakit ini akibat kurangnya pendeddah dan tidak didiagnosis dari awal. Akhirnya penyakit menjadu teruk dan memerlukan rawatan rapi.

Ebook ini mendedahkan punca-punca kemurungan dan kisah-kisah yang menyakibatkan seseorang itu mengubah gaya hidup mereka.Kemurungan merupakan satu sindrom klinikal yang menggabungkan kombinasi emosi, kognitif dan juga simptom-simptom tingkah laku  . Ia juga merupakan gangguan dan kecelaruan perasaan dan termasuk penyakit minda yang memberi kesan psikologi yang mana penghidapnya akan bertingkah laku suka menyalahkan diri sendiri , keliru dan merasakan tiada peluang hidup. Pada peringkat kanak-kanak kemurungan sebagai suatu masalah klinik kurang diberi perhatian. Pada peringkat kanak-kanak kemurungan sebagai suatu masalah klinikal kurang diberikan perhatian. Terdapat beberapa simptom kemurungan bagi mengenal pasti sama ada seseorang itu mengalami sindrom kemurungan atau tidak. Simptom-simptom ini terbahagi kepada empat aspek utama iaitu afektif, kognitif, tingkah laku dan fisiologi. Setiap aspek ini berkait antara satu sama lain.

Kemurungan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak merupakan satu isu yang kontroversial sejak beberapa dekad yang lalu (Kauffman, 2001). Ini kerana satu dekad yang lalu para pengkaji telah menafikan kewujudan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (Erickson, 1992). Walaubagaimanapun, setelah pelbagai kajian yang dibuat, telah dibuktikan bahawa kemurungan merupakan satu masalah yang sangat ketara dalam kalangan remaja (Sprinthall & Collins, 1995; Conger,1997). Kemurungan melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, putus atau putus harapan, hilang semangat untuk meneruskan lagi kehidupan yang bermakna dan juga gembira. Terdapat banyak punca yang mengakibatkan para pelajar mengalami kemurungan. Contohnya stress, personaliti pesimik, sosial, fizikal, genetik dan krisis ekonomi.

Kemurungan akan wujud apabila munculnya sifat-sifat negatif dalam diri seseorang individu. Tambahan pula, individu yang gagal dalam sesuatu usaha biasanya akan cenderung pula untuk mengandaikan dirinya tidak guna dan berupaya langsung. Pelajar yang mempunyai personaliti ini mempunyai tahap keyakinan yang rendah. Mereka sentiasa berfikiran negatif terhadap keadaan persekitaran. Sebagai contohnya, timbul satu perasaan dalam diri pelajar bahawa mereka tidak disukai oleh semua orang. Mereka juga berfikiran bahawa orang lain tidak lagi percaya mereka. Pelajar-pelajar seperti ini sering mengasingkan diri dan tidak berani untuk menyertai lagi dalam aktiviti-aktiviti lain

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/317458/Apa-Khabar-Depresi

[SNEAK PEEK] Kau Vaksin Anak Kau?! Habislah

Kau Vaksin Anak Kau?! Habislah Oleh Dr. Amirul Amzar, Dr. Suhazeli Abdullah, Mohd Dziehan, Tayang Hamzah

Kenapa orang dewasa pun perlukan suntikan vaksin? Jawapan mudah untuk persoalan ini adalah bagi melindungi diri dan melindungi orang di sekeliling daripada jangkitan penyakit.

Vaksin yang diperlukan untuk individu dewasa bergantung kepada umur, gaya hidup, rancangan perjalanan ke luar negara, status suntikan vaksin yang pernah diterima sebelum ini, dan keadaan status perubatan seseorang.

Berikut adalah antara sebab mengapa individu dewasa juga memerlukan suntikan vaksin.

1. Anda mungkin tidak lagi dilindungi. Anda mungkin menerima vaksin semasa kanak-kanak. Tetapi sesetengah vaksin memerlukan dos suntikan booster untuk terus berada dalam status perlindungan. Status perlindungan mungkin tidak tahan lama untuk penyakit seperti pertusis (batuk kokol) atau tetanus, yang biasanya diberikan semasa usia kanak-kanak.

2. Mendapatkan suntikan vaksin membantu melindungi anak-anak anda – terutamanya dalam melindungi bayi yang masih kecil dan belum mencapai usia yang boleh diberikan suntikan vaksin. Vaksin batuk kokol disyorkan untuk wanita hamil (dicadangkan usia kehamilan antara 27 dan 36 minggu) dan individu yang mempunyai hubungan dengan bayi kecil. Begitu juga dengan suntikan vaksin flu/selesema ini kerana tiada vaksin flu yang sesuai untuk bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan.

3. Sesetengah vaksin memang hanya untuk orang dewasa. Sebagai contoh suntikan vaksin kayap/shingles (juga dikenali sebagai herpes zoster atau zoster) disebabkan oleh pengaktifan semula virus cacar air. Ia boleh menyebabkan ruam kulit yang teruk dan menyakitkan. Risiko untuk kayap meningkat terutama dalam golongan individu berumur. Vaksin ini disyorkan untuk orang dewasa berumur 60 tahun ke atas.

4. Anda mungkin memerlukannya semasa perjalanan. Melancong ke negara lain, anda mungkin menghadapi penyakit yang tidak akan didapati di Malaysia. Suntikan vaksin demam kuning contohnya diperlukan untuk perjalanan ke bahagian Afrika Sub-Sahara dan Amerika Selatan. Manakala untuk perjalanan semasa umrah, atau haji tahunan ke Mekah, kerajaan Arab Saudi mewajibkan suntikan vaksin meningococcal. Anda perlu membuat rujukan awal sebelum melancong ke negara lain bagi mengetahui keperluan mengambil apa-apa suntikan vaksin.

5. Setiap tahun memerlukan vaksin flu/selesema. Disyorkan semua individu berumur 6 bulan ke atas mendapatkan vaksin flu setiap tahun jika mereka tidak mempunyai alasan perubatan yang tidak membenarkan menerima suntikan vaksin tersebut. Vaksin flu ini diperbaiki setiap tahun dengan tujuan melindungi terhadap tiga ataupun empat jenis virus selsema yang sentiasa bermutasi dan dijangkakan akan menyerang setiap tahun.

6. Sebagai contoh buat kanak-kanak. Ramai kanak-kanak yang tidak tahu ataupun tidak boleh mengambarkan pengalaman dan mengapa mereka harus menerima suntikan vaksin. Mereka rata-ratanya takut kepada jarum dan kesakitan menerima suntikan. Oleh itu, individu dewasa boleh menunjukkan teladan dan membuktikan kepada mereka bahawa pencegahan sesuatu penyakit berjangkit melalui melalui suntikan vaksinasi adalah pilihan yang terbaik.

7. Anda mungkin tidak mendapat vaksin sepenuhnya semasa zaman kanak-kanak. Tidak semua orang bernasib baik divaksinasi sepenuhnya semasa zaman kanak-kanak. Katakan anda tidak mendapat vaksin untuk pencegahan seperti penyakit measles, begok (mumps), dan rubella semasa usia kanak-kanak. Oleh itu anda memerlukan suntikan vaksinasi walaupun sudah dewasa. Terdapat juga sesetengah individu dewasa yang pada ketika zaman kanak-kanak mereka, program vaksinasi belum bermula ataupun belum menyeluruh bagi merangkumi pelbagai jenis penyakit seperti pada jadual imunisasi kebangsaan yang ada sekarang.

8. Vaksin baru telah dihasilkan. Sesetengah vaksin yang disyorkan untuk orang dewasa agak baru. Sebagai contoh, FDA meluluskan vaksin HPV dan vaksin kayap/shingles pada tahun 2006. Meskipun jumlah individu dewasa yang diberi suntikan vaksin-vaksin baru semakin ini meningkat, namun tahap kesedaran bagi menerima sutikan vaksin ini adalah suatu cabaran untuk setiap negara.

9. Anda bekerja dalam profesion penjagaan kesihatan. Kakitangan penjagaan kesihatan berpotensi terdedah kepada segala macam jangkitan, serta terdedah kepada cairan darah dan badan pesakit. Kebanyakan dikehendaki bukan sahaja mendapatkan siri suntikan vaksinasi yang lengkap malah termasuk juga mendapatkan suntikan vaksinasi influenza tahunan, suntikan vaksin untuk measles, mumps, rubella (MMR), dan hepatitis B.

10. Anda aktif mengamalkan amalan seks bebas. Vaksin seperti hepatitis B sangat disyorkan kerana jangkitan virus Hepatitis B boleh dijangkiti daripada satu individu kepada individu lain melalui perpindahan cecair tubuh seperti air mani, cecair vagina, dan darah. Hepatitis B adalah 50-100 kali lebih mudah dijangkiti berbanding dengan HIV. Perlu diketahui, anda mungkin melihat pasangan anda sihat, namun pasangan anda mungkin membawa penyakit ini.

11. Anda mungkin mempunyai status imun tubuh yang rendah. Sebagai contoh, individu dewasa yang mempunyai masalah kesihatan seperti asthma, penyakit jantung, penyakit paru-paru, diabetes, ataupun penyakit kronik yang lain. Ataupun anda seorang perokok, sistem imun anda mungkin sedikit terganggu. Suntikan vaksin pneumococcal mungkin boleh membantu mencegah penyakit serius seperti pneumonia, meningitis, dan jangkitan darah yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Justeru untuk individu seperti di atas, boleh dapatkan vaksin pneumococcal kerana anda mungkin menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk jangkitan ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/324981/kau-vaksin-anak-kau-habislah

[REVIEW] VAKSIN

Vaksin Oleh Prof. Dr. Azizi Ayob

 

Zaman ini, topik vaksin akan sentiasa menimbulkan pertentangan. Ada banyak dakwaan-dakwaan yang timbul. Melalui buku ini, penulis yang pernah terlibat secara langsung dengan pembuatan ubat-ubatan dan vaksin, menjelaskan hakikat sebenarnya.

I would like to take a moment to praise the author’s effort in trying to reach out and educate the public. With all the misunderstandings about vaccine brought up by certain groups of people, this book clearly does a good job to clarify and straighten things up.

Not only this book explains how vaccines is clinically made and strictly tested, it also mentions briefly about vaccine main components and pharmacological principles behind a vaccine. The explanations provided in this book are convincing and backed up by evidences that can correct common misperceptions about the adverse effects of vaccines, how vaccine works and its importance in ensuring public safety. The claim that doctors are conspiring with pharmaceutical company are clarified and showed to be irrelevant.

What makes this books even more special is that it also talks about vaccine from the perspective of Maqasid Syar’iyyah and usul Fiqh like the hukum of the vaccine itself and the hukum of vaccinating.

I highly recommend this book to new parents, parents and medical practitioners especially.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303548/vaksin

[REVIEW] PENJEJAK KRISTAL

Penjejak Kristal Oleh Simon Malik

 

Semasa Alzroc dan rakannya, Balder, menyusup lari daripada rombongan Akademi, mereka terjumpa sebiji batu yang mempunyai ukiran aneh di hadapan sebuah gua yang tidak ada tercatat di dalam peta. Madam Blu, seorang wanita tua penjaga arkib di bandar mereka memberitahu ukiran batu tersebut mungkin sudah berusia beribu-ribu tahun! Kerana teruja, Alzroc dan Balder memulakan misi mencari asal usul ukiran pada batu tersebut. Mereka kembali ke gua tidak bernama itu semula dan telah menemui lambakan kristal biru jauh di dalam gua itu. Tanpa mereka ketahui, gua itu mempunyai rahsia yang unik dan juga penjaga yang sangat menakutkan!

 


Memulakan cerita dengan gambaran ringkas kronologi ke atas bumi itu dilakukan dengan baik. Tidak

meleret, cukup jelas dan tepat demi membawa maksud ‘world-building’ yakni elemen penting di dalam penceritaan sebuah fiksyen sains dengan latar yang amat jauh berbeza dengan dunia nyata.

Penjanaan tenaga melalui kristal itu suatu idea sains yang menarik biarpun tidak berapa segar bahkan tidak begitu elok untuk bumi, tetapi eloklah dibangkitkan isu yang menyentuh hal-hal pemuliharaan alam sekitar ini. Ya, ini novela alam sekitar. Membawa mesej penting yang selari dengan isu perubahan iklim yang drastik mutakhir ini.

Watak-watak seperti Roc, Balder, Galena dan Vizia agak perlahan dibina karakternya. Dapat rasa novela ini sebenarnya sebuah novel yang dipotong. Mungkin pengembangan watak akan lebih menjadi kalau di dalam versi sebuah novel.

Moga-moga ia dapat dilanjutkan ke buku seterusnya. Premis ceritanya agak menyakinkan dan meninggalkan beberapa sub-plot yang perlu dikupas demi memahami lagi apa yang membentuk dunia yang digambarkan penulis. Hei, ia boleh jadi sebuah pemula novel fantasi sains yang epik kalau kena gayanya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

[SNEAK PEEK] PUAKA KAFE HIPSTER

Puaka Kafe Hipster Oleh CikPuan Fifi, Mira Ishak, Sabrina Ismail

 

Aziz mengelap satu per satu meja dengan pantas. Dia mempunyai masa berbaki 15 minit sahaja lagi sebelum kafe beroperasi. Hanya dia seorang sahaja yang bekerja hari ini kerana Fuad mengambil cuti kerana ada urusan keluarga. Maknanya dia perlu bekerja lebih pantas dan cekap daripada biasa.

Setelah selesai mengelap kesemua meja, Aziz duduk bagi melepaskan lelahnya buat seketika. Meskipun sedikit penat, Aziz tetap bersemangat dan puas hati dengan dirinya yang mampu melakukan kerja seorang diri. Kebiasaannya, dia akan bergandingan dengan Fuad dan mereka pun sudah membahagikan kawasan kerja kepada dua agar dapat selesaikan tugas lebih pantas.

“Okey, yang akhir sekali adalah ruangan pamer.”

Cukup masa berehat, Aziz kembali menyambung kerjanya, berjalan menuju ke ruangan pamer. Namun, langkahnya mati serta-merta apabila terlihat seorang wanita sedang berdiri betul-betul di hadapan mesin taip antik di ruangan pamer tersebut. Aziz berasa hairan dengan kehadiran wanita itu. Tiada sesiapa di ruang tengah kafe ini sebentar tadi melainkan dirinya seorang sahaja.

“Bila masa perempuan ni masuk? Tak dengar bunyi loceng pun,” bicaranya sendiri lalu memandang sekilas ke arah pintu utama kafe. Loceng yang ada di pintu itu pasti akan berbunyi setiap kali pintu dibuka. Tetapi, dia tidak mendengar apa-apa pun tadi.

Aziz menghela nafas pendek dan melepaskannya dengan tenang. Dia membuka langkah mendekati wanita itu. “Maaf, puan. Kafe ni masih tutup. Sebentar lagi kami buka. Kalau tak keberatan, boleh puan keluar dulu sebab kami tengah nak siap-siap ni,” tegur Aziz dengan penuh tertib.

Wanita itu tidak menyahut apatah lagi menoleh memandang Aziz. Dia masih kaku berdiri merenung mesin taip di hadapannya itu. Aziz jadi serba salah. Tetapi kalau dibiarkan sahaja khuatir pula dia akan dimarahi oleh Hakim nanti.

“Saya minta maaf, puan. Kafe kami belum buka lagi ni.” Sekali lagi Aziz cuba menegur dan kali ini nadanya dikeraskan sedikit.

Masih tiada reaksi. Hati Aziz mula berasa tidak tenang kerana wanita itu seolah-olah menganggapnya tidak wujud. Saat itu juga, mesin taip kepunyaan datuk majikannya itu tiba-tiba berbunyi sendiri membuatkan Aziz tersentak dan perhatiannya teralih kepada mesin taip itu. Matanya tertancap pada setiap aksara yang bagaikan diketik angin pada kertas yang sememangnya sudah sedia ada pada mesin taip itu.

Aziz berdebar-debar dan kedengaran nafasnya bercelaru. Dia cuba mengawal rasa takut yang mula menguasai dirinya tetapi gagal. Dari ekor mata, Aziz menyedari wanita yang ditegurnya tadi masih lagi berdiri di sebelahnya. Maknanya, bukan dia seorang sahaja yang menyaksikan kejadian misteri itu, malah wanita tersebut juga sedang menyaksikan perkara yang sama. Mungkin wanita itu tahu sesuatu, fikirnya lalu menoleh kepada wanita itu untuk bertanya.

“Arghh!” Aziz menjerit sekuat hati. Dia berundur beberapa langkah ke belakang dan hampir-hampir melanggar meja yang ada di situ. Wanita yang disangkanya masih merenung mesin taip itu rupanya sedang memandangnya dengan mata yang terbeliak besar!

“Ke… napa pu… an pandang saya ma… cam tu?” Terketar-ketar Aziz bertanya. Gaya wanita itu merenungnya begitu menakutkan. Dia tidak pernah melihat mata manusia boleh terbuka sebesar itu, sehingga terjojol bola matanya dan wajah wanita itu juga kelihatan sangat pucat. “Pu… puan ni… sia… siapa?” Aziz masih tidak berputus asa menyoal walaupun sedang dalam ketakutan. Selagi tidak mendapat jawapan rasional bagi apa yang sedang berlaku, selagi itu dia akan bertanya dan bertanya.

“Aziz!”

Aziz menoleh ke belakang mencari suara yang memanggilnya. Kelihatan Hakim sedang berjalan menghampiri. “Kau dah kenapa jerit tadi?” tanyanya. Aziz menoleh semula kepada wanita yang merenungnya tadi. Anehnya, wanita itu sudah tiada di situ. Mesin taip yang berbunyi sendiri tadi pun sudah berhenti.

“Bos! Mesin taip!” Aziz mula tidak keruan.

“Kenapa dengan mesin taip?” Hakim menyoalnya semula.

“Mesin taip ni berbunyi sendiri!” terang Aziz cemas.

Hakim menelan liur dan memandang mesin taip lama itu. Tidak pula dia dengar apa-apa tadi. Walau bagaimanapun, dia ada terlihat wanita berbaju kurung Kedah itu tadi.

“Ada orang tadi. Perempuan. Dia terpacak di sini tengok mesin taip ni tadi. Saya tegur dia. Lepas tu mesin taip ni berbunyi macam ada orang menaip. Lepas tu… lepas tu… perempuan tu tengok saya. Besar gila mata dia tadi,” cerita Aziz dengan sekali nafas untuk meyakinkan majikannya tentang apa yang telah dilaluinya sekejap tadi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303294/Puaka-Kafe-Hipster

[SNEAK PEEK] MARCO POLO

MARCO POLO Oleh Al Ghazali

 

BANDAR Lop adalah sebuah kawasan yang terletak di timur laut, permulaan sebelum para pengembara dan pedagang yang melalui Laluan Sutera masuk merentasi Gurun Gobi. Gurun Gobi adalah kawasan tandus sejauh seribu batu yang mendapat namanya daripada perkataan Mongol gobi yang bermaksud gurun. Kawasan ini berada di bawah pemerintahan Khan dan majoriti penduduknya terdiri daripada orang Islam. Marco memanggil mereka sebagai Mahomaten, iaitu gelaran sebagai pengikut Nabi Muhammad S.A.W.

Setiap pengembara singgah di sini bagi melepaskan lelah sebelum memulakan perjalanan merentas gurun. Mereka akan membuat persiapan seperti menukar haiwan tunggangan, mengisi tabung bejana air, menambah bekalan makanan, mendapatkan penunjuk arah, membeli ubat-ubatan, dan apa sahaja perkara yang perlu.

Bagi memastikan mereka dapat merentasi Gobi dengan cepat, Niccolo mendapatkan beberapa ekor keldai dan unta. Haiwan ini dimuatkan dengan bekalan yang diperlukan.

Sekiranya makanan mereka habis sebelum sempat menyeberangi gurun dan keadaan terlalu mendesak, mereka boleh memilih untuk membunuh haiwan ini sebagai makanan. Unta lebih diperlukan berbanding keldai kerana ia boleh mengangkut bebanan yang lebih berat, dan tidak memerlukan makanan yang banyak.

Polo bersaudara menukar penunjuk arah yang baru. Alaodin digantikan dengan orang lain yang lebih mahir tentang selok-belok di gurun.

“Terima kasih banyak atas segalanya, Alaodin,” kata Marco semasa dia bersalaman dengan penunjuk arah yang banyak membantu dalam kembara mereka. Marco tidak dapat melupakan Alaodin, terutamanya kerana arak kurma yang diberi menyebabkan dia terlantar sakit selama setahun di Balashan.

“Saya juga begitu, tuan muda,” kata Alaodin. “Kalau keluarga Polo datang ke sini, jangan lupa jumpa saya.” “Untuk apa?”

“Supaya kita boleh mabuk-mabuk lagi dengan arak kurma,” kata Alaodin seraya berseloroh.

“Cukuplah pengalaman menyedihkan selama setahun itu. Saya tidak sanggup mengulanginya lagi,” kata Marco apabila mengenang kejadian pahit itu.

“Selamat jalan saya ucapkan. Perjalanan merentasi Gobi ini bukan mudah,” kata Alaodin. “Dan berhati-hati supaya tidak mengikut semangat gurun.”

“Semangat gurun?” tanya Marco.

Alaodin menjelaskan, “Perjalanan kita selama ini tidak seberapa jika mahu dinilai dengan kesukaran menempuh pasir Gobi. Di kawasan yang luas, tandus, dan banyak memakan nyawa seperti Gobi, macam-macam yang boleh berlaku.”

Marco menelan air liurnya apabila mendengar Alaodin berkata begitu. “Nyawa siapa? Beritahu aku lagi tentang semangat gurun yang kau maksudkan itu.”

Di sepanjang kembaranya ke timur, belum pernah lagi Marco mendengar sesuatu seperti itu. Niccolo jarang bercakap tentang perkara seperti ini. Mereka berdua hanya berbual perkara-perkara yang penting. Maffeo pula selalunya tidak mempercayai perkara- perkara yang karut, terutamanya legenda, dan juga kisah aneh yang biasa disampaikan penduduk tempatan.

Jika penduduk tempatan menceritakan perkara tahayul seperti ini kepada Maffeo, Marco tahu yang bapa saudaranya tidak berminat. Sebaliknya dia akan ketawa keldai seperti yang biasa dilakukannya.

Tetapi Marco tidak begitu. Cerita atau legenda orang tempatan biasanya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sebagai satu bentuk teladan. Dia tidak boleh mengabaikan perkara sepenting ini.

“Ceritalah cepat,” Marco mendesak kerana Alaodin cuba berlengah-lengah. Sedangkan dia tidak tahu bilakah Niccolo akan mengarahkan mereka untuk bertolak. Marco tidak mahu terlepas peluang mendengar cerita tentang gurun. Perkara-perkara seperti inilah yang menjadi sebab utama kenapa dia memilih untuk mengikuti bapanya mengembara.

“Sabarlah sedikit.”

Marco menjengahkan kepalanya dan melihat Niccolo sedang tawar-menawar dengan seorang peniaga tempatan yang menjual tali gentian. “Aku perlu tahu sebelum mereka siap,” katanya.

Alaodin tidak mahu menghampakan permintaan seorang rakan. Lagipun mereka berdua bakal berpisah dan dia tidak tahu bila lagi mereka akan bersua muka. Alaodin membuka mulut dan mula bercerita tentang semangat yang berkeliaran di Gobi.

Marco tidak dapat menutup mulutnya daripada terus melopong semasa mendengar cerita Alaodin yang penuh mempesonakan.

Kawasan gurun yang kering itu jadi bergema dengan gelak ketawa Maffeo yang tidak banyak beza dengan suara keldai yang menjadi tunggangannya. Perutnya pula terasa seperti kekejangan kerana tidak dapat menahan perasaan geli hati.

“Ulang sekali lagi apa yang Alaodin ceritakan kepada kamu?” kata Maffeo.

Marco jadi jengkel dengan sikap bapa saudaranya yang sangat menyakitkan hati itu. Tetapi dia perlu mempertahankan perkara yang didengarinya daripada bekas penunjuk arah mereka. “Semangat gurun,” kata Marco.

“Tolong ulang semula? Apa dia?”

“Semangat gurun. Dia berpesan supaya kita berhati-hati supaya tidak tersesat,” Marco meninggikan suaranya. Kalau boleh dia mahu menjerit di telinga Maffeo.

“Yalah, semangat gurun… semangat gurun,” kata Maffeo menahan rasa ketawa yang masih bersisa, “macamlah aku mahu percaya.”

“Betul, pak cik.” Marco berusaha meyakinkan bapa saudaranya itu.

Dalam gelak yang masih bersisa, Maffeo bertanya lagi, “Apa yang betul?”

“Daripada ceritanya, saya tidak fikir yang Alaodin menipu.” Maffeo menepuk dahinya lalu berkata dengan nada mengejek, “Oh, tolonglah Marco. Niccolo, engkau dengar tidak apa yang anakmu katakan ini? Semangat gurun konon? Tolonglah, ini perkara paling mengarut yang aku dengar sepanjang menyertai kembara ini.”

Muka Marco bertukar merah padam kerana menahan perasaan marah. “Dia tidak akan beritahu saya kalau perkara ini tidak betul.”

“Jangan mudah percaya cerita karut.” Maffeo mencebik.

“Saya tidak berbohong, pak cik,” Marco mempertahankan diri.

“Aku tidak kata engkau berbohong, aku cuma kata engkau bodoh kerana mempercayai cerita yang merepek seperti itu.”

Marco sudah cukup panas hati mendengar Maffeo merendah- rendahkan kepercayaannya kepada kisah dan kepercayaan penduduk tempatan. Bapa saudaranya itu tidak selalu betul dan dia tidak selalu salah.

“Kita lihat siapa yang betul nanti,” kata Marco, sedikit marah. Maffeo sekadar ketawa mendengar Marco seolah-olah sedang mencabarnya. “Kamu marahkan aku?”

Marco tidak menjawabnya.

Seperti perkara biasa yang dilakukannya bagi mengusik Marco, Maffeo ketawa keldai yang panjang. Semakin lama Marco mendengar suara bapa saudaranya itu, semakin sakit hatinya. Dia cuma mahu segera bertolak ke Gobi dari Bandar Lop kerana satu perkara sahaja, dia mahu membuktikan bahawa Maffeo tersilap jika menyangka yang kisah tentang semangat gurun itu hanyalah satu dongeng yang diceritakan kepada budak-budak.

Gurun yang luas itu bukannya padang permainan kanak- kanak. Permukaannya yang tandus dan kering menyukarkan perjalanan. Padang pasir menagih korban nyawa setiap pengembara yang melaluinya.

Marco percaya roh-roh pengembara yang mati di gurun ini tersesat dan merayau-rayau di gurun pada waktu malam untuk mencari mangsa seterusnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93910/marco-polo