[REVIEW] Perisik Cinta Tak Diundang

‘NASI lemak anak dara tengah menganggur’. Hanya kerana nama itu, mereka sama-sama terikat. Episod perkenalan mereka tidaklah seindah mana. Banyak ‘ter’ antara mereka… terlanggar, tersalah cakap, tersarung… “Ahh, saya tak kira. Kita sama-sama berlanggar lepas tu telefon saya jatuh. Saya nak awak ganti juga.” Niyaz berkeras. “Faham bahasa tak? Saya tak mampu nak bagi kat awak benda yang sebijik seketul macam ni. Kalau nak sangat saya ganti, boleh. Ambil je batu asah pisau mak saya. Sebiji macam ni. Cukup nipis, cukup saiz. Warna je kelabu asap sikit. Ke nak lagi canggih? Saya upgrade sikit, okey. Ketulan belacan, yang tu siap berbau lagi.” MEDINA MIKAYLA, seorang berkelulusan tinggi tetapi memilih untuk berbakti pada keluarga. Namun, kalau dia dah bersuara, becoknya mengalahkan burung murai. Habis mak cik-mak cik bawang di kampungnya letak jawatan. Hanya Niyaz Aqasha yang mampu mengunci setiap patah kata gadis itu. “Nak tanya sikit boleh?” Niyaz bersuara usai Medina makan. “Nak tanya apa?” “Ermm, dah pandai jatuh cinta kat saya kan?” Dush! Satu soalan yang betul-betul buat wajah Medina macam kena simbah dengan sebaldi ketulan ais. Lagi-lagi Niyaz dah mula merenung tenang sambil buat muka yang memang boleh meluruhkan jantung sang wanita. Dengan mata yang sengaja diredupkan, argh! Tak habis-habis nak goda dia dengan mata tu! RUMAH TANGGA mana yang tidak diuji saat orang ketiga datang menghantui? “Aku tak minta untuk cintai suami orang apatah lagi lelaki itu, Niyaz. Tak mungkin aku sengaja nak humban diri dalam masalah macam ni.” – Erianna “Tolong jangan cabar mata dan hati I dengan perangai tak bermaruah you. Mulai saat ni, I tak kan berdiam diri, berdiri dan tengok perangai busuk you.” – Medina “Hati sayang abang pegang dalam doa supaya kita sama-sama dekat dan terus bersama.” – Niyaz MAMPUKAH mereka pertahankan pendirian masing-masing?


Pertemuan pertama dan keduanya dengan Niyaz dalam keadaan yang kurang baik. Kali pertama Niyaz secara tidak sengaja mentertawakan nama nasi lemak yang dijual oleh Medina. Kali kedua pula ketika dia dilanggar kereta keluarga Niyaz sehingga menimbulkan pertengkaran dengan kakak Niyaz iaitu Hanim. Namun pertemuan demi pertemuan antara mereka banyak membuka mata Niyaz terhadap keperibadian seorang Medina yang sebenar. Pernah Medina menolongnya ketika dia terjatuh dan membawanya ke hospital…pernah juga Medina membantunya ketika dia tidak ada cash membayar order makanannya menyebabkan Niyaz makin tertarik dengan Medina. Tambahan pula, kehadiran Niyaz sekeluarga sewaktu melawat keluarga Medina sama dengan kedatangan rombongan merisik Firash. Jadi berlaku sedikit salah faham apabila dengan selambanya Tuan Muhsin ayah kepada Niyaz mengaku yang mereka adalah keluarga kekasih Medina dari Kuala Lumpur he he. Nak pengsan keluarga Firash tu…riuh sekampung.
Ketika Medina terlanggar Niyaz secara tak sengaja dan menyebabkan telefon bimbit mahal Niyaz rosak, kesempatan ini diambil oleh Niyaz untuk memerangkap hati Medina he he. Akhirnya setelah melalui beberapa siri pujuk-memujuk daripada Niyaz dan ahli keluarga Medina sendiri, Medina setuju untuk bertunang. Puas Niyaz mengajaknya untuk berkahwin namun Medina ni kategori keras kepala juga. Kalau korang baca… kadang-kadang timbul juga rasa meluat dengan kedegilan Medina ni. Sehinggalah ancaman dan ugutan daripada Firash yang menyebabkan berlangsung jugalah pernikahan mereka. Selepas Medina kahwin, Firash pun melangsungkan perkahwinan namun dalam masa yang sama masih lagi tidak berhenti-henti menganggu Medina. Pertemuan terakhirnya dengan Medina penuh dengan ugutan namun semuanya berakhir dengan kematian Firash dalam kemalangan. Dari sini barulah terbongkar sebab Medina tidak mahu menerima Firash kerana Firash sebenarnya ahli kumpulan gangster di KL.
Berakhir cerita Firash muncul pula langau Erianna. Erianna ni adalah anak kepada kawan ibu bapa Niyaz. Satu ketika Erianna ni pernah menjatuhkan nama Niyaz dan keluarganya apabila dia menuduh Niyaz merupakan ayah kepada kandungannya walhal dia tidak ada hubunganpun dengan Niyaz. Kemunculan semula Erianna memang menimbulkan kemarahan Niyaz. Walaupun secara luarannya, Erianna telah jauh berubah tetapi Niyaz tidak mempercayai niat Erianna mendekati keluarganya. Telahannya benar apabila Erianna tidak berhenti-henti untuk menganggu rumahtangganya dengan Medina atas alasan perasaan cinta terhadap Niyaz lahir tanpa dipinta.
Kemelut disebabkan Erianna semakin memuncak apabila keluarga Niyaz dengan senang hati menerima kehadiran Erianna dalam keluarga mereka. Malah Erianna turut diterima bekerja di bawah syarikat Niyaz. Amar kawan baik Niyaz yang telah jatuh cinta dengan Erianna turut sama tidak mempercayai Niyaz kerana terlalu mengikut rasa hati percayakan Erianna. Berbagai cara Erianna gunakan untuk mengoda Niyaz namun tidak berjaya kerana ketegadan Niyaz dan rasa sayangnya terhadap isterinya Medina. Hal ini memang mengeruhkan kebahagiaan rumah tangga mereka namun pasangan suami isteri ini tetap membina kepercayaan masing-masing sehinggalah segala muslihat Erianna ni terbongkar sewaktu dia menyeludup masuk ke dalam bilik tidur Niyaz dan Medina. Waktu Niyaz demam dan dalam keadaan kurang bertenaga menyebabkan dia tidak menyedari kehadiran Erianna yang tidur di sebelahnya.
Kejadian itu benar-benar memberi tamparan hebat kepada Medina. Hilang terus kepercayaannya kepada Niyaz. Puas dia memujuk hatinya agar mempercayai suaminya namun dia tidak dapat menerima bayangan Erianna membelai suaminya. Tipikal perempuan yang begitu mengikut rasa hati he he…rasanya saya juga akan berkeadaan seperti Medina. Maka bermulalah episod pujuk-memujuk antara suami isteri ini. Niyaz sampai mengambil tindakan mengurung isterinya dalam hotel sehinggalah Medina menurut katanya untuk balik ke rumah mereka.
untuk lebih lagi boleh dapatkan di

[Sneak Peek] Pengantin Ramadan

Pengantin Ramadan oleh Ameera Ameer

“Maaf mencelah tapi kalau pak Harun tak keberatan, saya bersedia berkahwin dengan Ara.” – Herman Sebaris ayat itu benar-benar merubah kehidupan seorang Adra Nur. Kerana fitnah, dalam sekelip mata sahaja dia bakal menjadi seorang isteri kepada lelaki yang tidak dikenali. “Macam mana Ara nak reda kak kalau Ara tak kenal dengan bakal suami Ara?” – Adra Bagi Herman pula, peluang itu ibarat bulan jatuh ke riba. Keinginannya untuk beristeri sudah terpampang di hadapan mata setelah beberapa orang calon pilihannya ditolak mentah-mentah oleh ibunya. “Elehhhhh! Buat muka kesian konon. Tapi ada mak tak bagi kau kahwin? Ada? Ada?” – Mak Cik Yah “Memanglah tak ada tapi calon Man asyik mak reject aje,” – Herman “Cuba kau fikir, macam mana mak nak setuju kalau pilihan kau tak senonoh semuanya? Si Milah tu, umur dah 45 tahun. Tak ada yang muda lagi kau nak kahwin? Baru kahwin lima enam tahun dah menopos dah dia. Berangan nak anak selori. Kau ingat dia kucing boleh beranak lima enam kali setahun?” – Mak Cik Yah Sayangnya perkahwinan itu tidak disenangi oleh mak cik Semah dan Suhaila kerana rancangan mereka untuk menyatukan Adra dan samseng kampung bernama Leman tidak berjaya. Sejak itu juga kebencian mereka kepada Adra semakin menjadi-jadi. “Tapi, betul ke mak abang Herman akan ceraikan dia?”- Suhaila “Iya. Kau percayalah cakap aku. Herman tu kahwin dengan dia sebab kesian aje. Emak si Herman terima pun sebab terpaksa aje tu. Kau bukan tak tahu mak cik Yah tu orangnya macam mana. Garang nak mampus dan jahat mulut pulak tu,” – mak cik Semah Adra dan Herman, mereka berbeza tetapi perbezaan itu semakin merapatkan mereka. Melayan sikap Herman yang agak kebudak-budakan dan gila-gila, hidup Adra penuh dengan gelak dan tawa. “Elehhh! Takut abang Man mengintailah tu kan?” – Herman “Eh! Tak. Bukan macam tu. Hurmmm….Ara…Ara…tak selesa.” – Adra “Alaaa…kalau abang Man mengintai pun bukannya berdosa. Bini abang Man bukannya bini jiran sebelah.” – Herman Tapi benarlah, bukan namanya manusia jika tidak diduga. Sedang mereka asyik mencipta bahagia, dugaan datang tanpa dipinta. Herman terduduk dan Adra pula diam tak terkata. Akan berjayakah kasih sayang dan cinta mereka mengatasi semua rintangan atau rebah dek dengki khianat manusia?


Herman. Tak sanggup dia ada menantu hantu macam gitu. Sudahlah mulut tak ada filter, pemalas nauzubillah dan bukan main gelenyar lagi. Kalau perempuan perangai macam itu sudah sah-sah tak pernah masuk dapur. Apa tidaknya, asyik merayap ke sana sini tayang muka dia yang dia ingat lawa sangat tu. Hurmmm… lawa lagi aku masa belasan tahun dulu. Kutuknya.
Herman garu kepala. “Adoiiiii! Mak. Bukan si Ila tu lah,” keluhan dilepaskan. Tak tahu hujung pangkal main terjah aje mak ni. Hati menyambung bebelan.
“Kalau bukan Ila, siapa? Harun tu bukannya ada anak berderet-derat yang kau boleh pilih! Anak kucing aku tahulah dekat rumah dia memang berlambak-lambak!” Suara Mak Cik Yah semakin meninggi.
“Ara.”
Mak Cik Yah terdiam. Ara mana pulak ni? Soalnya dalam hati.
“Man nak kahwin dengan Ara. Anak saudara Pak Harun,” ucapnya berani. Barulah rasa aura hero siang tadi datang kembali.
“Si Adra tu?” Bulat matanya memandang Herman. “Sejak bila kamu kenal dia?” Berkerut-kerut dahi Mak Cik Yah mendengar penjelasan anak terunanya. Setahunya anak saudara Harun tu susah sangat keluar rumah. Macam mana Herman boleh kenal? Haih, pelik ni!
“Siang tadi.”
Mak Cik Yah mendengus keras. Nasib baik Herman duduk jauh sedikit di hadapannya, kalau tidak memang sudah diketuk kepala anaknya itu. “Ya Allah, Herman. Kamu ni mimpi ke apa? Aku lesing karang baru tahu!” bedilnya geram. Eh! Boleh dia main-main pulak.
“Kau jangan nak cakap dengan aku yang kau baru kenal dengan budak Ara tu siang tadi dan kau terus ajak dia kahwin!” bebelnya agak keras.
“Haih!” Herman garu kepala semula.
“Apa haih! Haih! Kau jangan main-main Man. Atau kau dah buat apa-apa dekat budak tu?” Mak Cik Yah mulai cuak.
“Adoi mak! Apa pulak fikir macam tu? Mak ingat anak mak ni jahat sangat ke? Man ni mak… adalah salah seorang lelaki budiman dalam dunia ni. Mak aje yang selalu tak percayakan Man. Selalu pandang serong dekat Man,” ucapnya meninggi diri sambil dadanya ditepuk-tepuk. Selalu sangat berprasangka dengan dia.
Mak Cik Yah cemikkan muka. “Budimanlah sangat kan? Yang aku tahu nama kau memang Man… Herman. Aku pun tak tahulah kenapa arwah ayah kau beria sangat nak beri nama kau macam tu. Kut ya pun minat Herman Tino, tak payahlah letak nama anak gitu. Nasib baiklah rambut kau tak bergulung macam Herman Tino, Man. Jadi adalah juga rupa kau,” bebelnya.
Herman tersengih. Geli hati mendengar bebelan emaknya.
“Tak payah tersengih-sengih macam kerang busuk depan aku. Sekarang kau cerita macam mana kau boleh kenal anak sedara si Harun tu.”
“Macam ni mak…” Herman mula bercerita tentang apa yang telah berlaku tanpa ada yang tertinggal walau sebaris ayat pun.
“Oh! Berlagak herolah ni? Kau ingat kau Superman? Hei Man, bukan setakat Superman, bayang-bayang Cicakman pun kau tak ada tau,” kutuk Mak Cik Yah selamba sambil dengan gaya tangannya sekali.
“Bukan nak jadi hero lah mak tapi nak jadi penyelamat. Man kesian sangat dengan dia mak. Mak Cik Semah dengan Ila tak habis-habis burukkan dia. Pak Harun pulak dengar aje cakap bini dan anak dia. Hish! Geram pulak Man tengok,” balasnya beria sambil tangannya ditumbuk-tumbuk ke meja.
“Errmmm… kau nak kahwin ni, kau suka tak dengan dia? Jangan nanti dia keluar dari mulut harimau, masuk mulut ular sawa pulak. Kau tu pun bukannya aku boleh percaya sangat,” bedilnya.
Herman tersengih sambil kain lap meja di tangannya dipintal-pintal.
“Dah kau tersengih-sengih macam orang biang tu kenapa?”
“Man tak nampak sangatlah muka dia tapi Man tengok tengah menangis pun lawa aje. Kalau tak menangis tentu lagi lawa,” balasnya dengan sengih yang semakin melebar.
“Hurmmm… dah gatal benor nampak gayanya kau ni, Man,” Mak Cik Yah gelengkan kepala. “Dah! Cepat makan. Lepas tu solat maghrib. Balik dari tarawih nanti kita pergi rumah Pak Harun bincang tentang hal ni.”
“Mak setujulah ni?” Muka Herman mula berubah ceria.
Mak Cik Yah terus berdiri. Terus hilang selera dia hendak makan dibuat dek anak bertuah seorang ini.
“Mak izinkan tapi kalau lepas kahwin nanti kau dera dia macam Semah dan Ila buat, kau yang mak benam-benam dalam kolam ikan keli kau tu. Ingat pesan aku ni!” Ugutnya dan terus berlalu.
Herman sengih sambil dadanya diurut lega. Fuh! Nasib mak setuju kalau tidak krik… krik saja lah dia nak cari jalan untuk memujuk.
“Hurmmm… Adra. Sedap juga nama tu kan. Haishhhh! Mulalah rasa tak sabar pulak nak berbini. Ahaiiiiii! Akhirnya kahwin juga kau, Man!” bisiknya sambil menyengih suka.
“AKU SETUJU aje Harun apa pun rancangan kamu untuk satukan budak berdua ni,” beria Mak Cik Yah bersuara. Malaslah dia hendak pusing belit sana sini. Lagipun dah memang niat dia ke situ hanya untuk tujuan tersebut, jadi setujukan sahajalah apa yang telah diputuskan keluarga Adra.
“Aku tak nak tangguh-tangguh perkara ni, Yah. Kalau boleh dalam minggu ni juga aku nak budak dua ni bernikah,” tegas Pak Harun bersuara.
Mak Cik Yah tercengang. Dalam minggu ini dan nikah di bulan Ramadan? Herman yang sedang tersengih-sengih di tempatnya dipandang. Alahai Man, bukan main suka lagi kau ya. Menggedik bukan main nak kahwin. Kalau dekat memang dah lama aku cubit-cubit! Hati membebel geram.
“Ya Allah, yang beria-ia nak dikahwinkan budak berdua tu kenapa bang? Tunggu-tunggulah lepas raya nanti. Bulan puasa ni kot,” celah Mak Cik Semah tak puas hati. Kalau dengan Leman, memang esok juga dia suruh mereka dinikahkan. Ini dengan Herman, haish! Kalau boleh biarlah ditangguh-tangguhkan sampai tak jadi.
“Aku tak nak perkara ni ditangguh-tangguhkan Mah. Lagi cepat lagi bagus.” Pak Harun tetap bertegas. Makin ditangguh pening kepala dia nanti. Apa tidaknya, pasti tak diam mulut isterinya membebelkan Adra. Sudahlah sejak dulu lagi anak saudaranya itu dimusuhi. Entah apa yang isterinya benci sangat dengan Adra, dia pun tak tahu.
“Jadi macam mana, Yah? Herman?” Mak Cik Yah dan Herman dipandang silih berganti.
Herman tersengih. “Ermmm… saya… saya okey aje Pak Harun. Kalau esok pun boleh,” jawabnya sambil tersengih-sengih.
Mendengar jawapan Herman, laju Mak Cik Yah gelengkan kepala. Kau memanglah gatal Man! Marahnya dalam hati. Nasib baik rumah orang kalau tidak memang sudah disekeh kepala anak bujangnya itu. Haih!
“Kalau nak nikah esok tu memang tak dapatlah Man. Kau ingat nak kahwin tu macam sembelih kambing? Setakat baca doa dan baca bismilah terus selesai?” celah Tok Imam dengan tawa kecil di bibir.
“Tak boleh, Tok Imam?” Herman garu kepala sambil kerutkan dahi.
“Iya tak boleh. Nak kena uruskan dulu dokumen-dokumen yang perlu untuk memohon kebenaran bernikah.” Beritahu Tok Imam pula.
“Kalau gitu lambat lagilah saya boleh kahwin, Tok Imam?”
Tawa Tok Imam terhambur lepas. “Man… Man. Tidaklah lama mana pun dan taklah sampai berbulan-bulan prosesnya cuma tak sempatlah kalau nak kahwin esok,” jelasnya geli hati.
“Oh!” Melopong mulut Herman mendengar penjelasan Tok Imam. Begitu rupanya. Dia ingat nak kahwin senang sahaja. Akad nikah je, dah selesai.
“Imam buatlah apa yang patut, imam. Apa yang penting selamat semuanya,” Mak Cik Yah mencelah pula. Dibiarkan Herman yang bercakap, lain pula jadinya nanti.
Tok Imam mengangguk sahaja dan meneruskan perbincangannya dengan Pak Harun dan Herman. Mak Cik Yah pula hanya mendengar sahaja.
“Yah, aku peliklah dengan kau anak beranak,” tidak dapat menahan geram mendengar rancak perbualan suaminya, ketua kampung, pak imam dan Herman berbincang mengenai majlis yang dirancang, Mak Cik Semah terus berbisik di telinga Mak Cik Yah.
“Apa yang nak dipelikkan? Orang nak bina masjid. Nak buat pahala. Baguslah tu,” balas Mak Cik Yah bersahaja.
“Masalahnya, yang anak kau nak kahwin tu atau bakal menantu kau tu… bukan perempuan yang baik-baik untuk dibuat bini.”
Mak Cik Yah mencemik. Eh! Menyampah pulak dia mendengarnya. Macamlah anak dia baik sangat. Kutuknya dalam hati.
“Eh! Semah, aku tak kisahlah dengan siapa yang anak aku nak kahwin. Yang penting, dia suka. Kalau tak baik bukannya tak boleh diajar jadi baik. Tak pandai mengaji, solat? Hurmm… tak payah risau, anak aku tu calon imam pilihan tau,” selambanya memuji anak sendiri.
“Lagipun Semah, bukan sejak kecik si Ara tu kau yang jaga? Ermmm… kalau tak baik tu maknanya kau lah yang tak pandai mendidik,” sambungnya lagi bernada sinis. Mak Cik Semah dikerling.

Untuk menyelami ebook yang lain boleh ke esentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/319208/Selagi-Jantung-Berdegup