[SNEAK PEEK] HALF GIRLFRIEND

Half Girlfriend oleh Zura Rahman

 

TATKALA memandu keluar dari pekarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, udara segar dari Laut China Selatan menggamit hidung. Baunya umpama rasa air laut, seperti mereka sedang berada di tepi pantai. Segar dan mendamaikan. Sesuai dengan nama jolokannya, Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.

Ford Ranger hitam meluncur perlahan menyelusuri bandar Kota Kinabalu yang terletak di pinggir laut.

“Wow, boleh tahan juga KK ni…” tutur Hadana perlahan.

“Apa yang boleh tahan?” CK yang memandu bertanya. Dia mengerling ke arah isterinya sekilas sebelum memandang semula ke hadapan.

Sesampai mereka pagi tadi, kenderaan sudah pun tersedia untuknya. Kawannya Razif, yang menetap di Kota Kinabalu telah bermurah hati meminjamkannya keretanya. Ford Ranger dihantar oleh pekerja Razif ke lapangan terbang.

“Development kat sini. Tak sangka KK ada banyak shopping mall…” kata Hadana sembari melilau ke luar. Di pinggir jalan, pembinaan pusat membeli-belah dan beberapa bangunan lain sedang berlaku. Terdapat juga pusat membeli-belah yang akan dibuka.

“Banyak sangat kut…” tambah CK.

“Dekat-dekat pula tu… Bukan ramai pun orang kat sini.”

“Nak cater orang kat tempat lain juga kut…”

“Hurm… Maybe.” Selain KK, bandar-bandar lain hanyalah bandar-bandar kecil. Pembangunan di bandar- bandar lain tidak serancak di KK.

“Berapa jauh kampung kau dari sini?” Kota Kinabalu tidak sesak seperti di Kuala Lumpur. Hadana memerhati.

“Sayang… Dah lupa?”

“Ops! Sorry, abang. Dana lupa.” Memang sangat kelakar. Sudah berhari-hari mereka cuba mempraktikkan nama panggilan yang dipersetujui. Kejang lidahnya untuk memanggil CK abang seperti dipinta.

Kata CK, dia suka apabila mendengar perempuan memanggil suami mereka abang. Ini akibat dia terdengar seorang wanita dengan suara lembut mendayu memanggil suaminya di Aeon Mall tempoh hari dengan panggilan abang. Terdengar sahaja, CK terus menyuruhnya memanggilnya abang. Sudahnya, seharian mereka berbincang tentang perkara tersebut.

Adegan di bahagian supermarket di Aeon Mall yang berlaku seminggu yang lepas diimbas kembali.

“Hadana… Kau dengar tu,” panggil CK tiba-tiba. Dia seakan-akan berbisik.

CK masih memanggilnya Hadana dan dia masih memanggilnya CK. Dan tentu sekali mereka masih beraku dan berkau.

“Dengar apa?” Tangan Hadana yang sedang memilih lobak merah terhenti. Hadana ingin buat jus saderi dan lobak merah malam nanti.

CK merapatkan badannya ke Hadana dan menundukkan kepala sedikit. Dia turut berbisik.

“Couple kat belakang tu… Wife dia panggil husband dia abang,” kata CK dengan satu keterujaan.

“So?”

“Kau tak dengar ke, suara wife dia… Lembut dan manja.”

Hadana cuba memasang telinga. Si isteri yang sedang memilih brokoli sedang berkata sesuatu kepada suaminya. Si suami pula sedang galak melayan anak lelaki mereka yang berada di dalam troli bermain peek-a-boo. Lagak si suami yang kelihatan begitu kebapaan menarik perhatian Hadana. Dia berharap CK juga akan menjadi seorang ayah suatu hari nanti. Bukan sahaja seorang ayah, dia berharap CK akan menjadi ayah yang penyayang.

Tiba-tiba telinga Hadana disapa suara si isteri yang begitu lembut. Si isteri memanggil suaminya abang dengan begitu manja. Hadana juga turut terpikat dengan kelembutan dan kemanjaan dalam suara wanita tu. Berasakan diri diperhati, wanita tersebut berkalih ke arah Hadana. Cepat-cepat Hadana hadiahkan sebuah senyuman kepada wanita itu.

“Not bad, right?” 

“Hmmm.”

“Jadi, kau setuju?” CK masih cuba memujuknya untuk memanggilnya abang.

“Memanglah bunyi okey. Tapi aku gelilah…”

“Apa yang nak gelinya? Sayang tu, tak geli?” Lima batang lobak merah dari Australia diletak ke dalam plastik dan dimasukkan ke dalam bakul yang dijinjing CK. Lobak merah itu akan ditimbang nanti.

“Aku gelilah nak panggil kau abang, CK.”

“Tapi, aku suka. Zaman sekarang ni dah ramai orang panggil sayang… Aku nak rasa special sikit.” CK tersengih, menampakkan giginya yang putih teratur.

“Kau bukan nak rasa special… Kau nak rasa berkuasa, kan?”

“Apa pula?”

“Kan, hari tu kau cakap panggilan abang tu berbunyi hormat pada suami?”

“Okey apa? Seorang isteri harus hormat pada suami dia, kan?” CK cuba menegakkan hujahnya.

Hadana menyatakan ketidaksetujuannya. Untuk kali yang entah ke berapa.

“Tapi aku tak nak.”

“Why?”

“Respect is earned, not demanded!”

“Aku minta kau panggil aku abang aje, bukan nak demand apa-apa sangat pun…”

“Aku tak nak panggil kau abang bukan sebab aku tak hormat. Aku tak suka bila kau suruh aku panggil kau abang semata-mata kau nak rasa dihormati. Kita hidup sebagai suami isteri, kita mesti sayang-menyayangi… Hormat-menghormati.”

CK diam. Mukanya berubah kelat. CK meninggalkan Hadana di situ dan bergerak ke tempat buah-buahan. Dia memilih beberapa buah epal hijau.

Apa tidak kena dengan lelaki seorang ni? Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, CK jadi sensitif tidak tentu hala. Sebelum ini, dia tidak ada banyak kerenah. Apa yang istimewa sangat dengan panggilan abang itu pada CK?

“Yang ni tak elok.” Hadana mengambil sebiji Granny Smith dari tangan CK. Buah itu kelihatan sedikit lebam. Dia tak nampak ke? Hadana memilih beberapa biji epal lalu dimasukkan ke dalam plastik. Sebiji epal Granny Smith masih dipegangnya. Hadana mengambil buah epal itu dari tangan CK lalu memasukkannya ke dalam plastik yang dipegangnya.

“CK… Kalau penting sangat panggilan abang tu pada kau, aku tak kesah. As long as kau suka, aku tak kesah. Okey?” Hadana cuba memujuk. Nampaknya dia memang terpaksa mengalah.

CK masih diam.

“Jom, kita timbang ni.”

CK membuntuti Hadana ke kaunter menimbang buah. Gara-gara nama panggilan manja, mereka bercanggah pendapat. Bagi Hadana, sejajar dengan tuntutan Islam dan adat orang Melayu, mereka harus memanggil masing-masing dengan panggilan yang mesra dan disenangi pasangan. Sama ada ia abang atau sayang, masing-masing ada keistimewaannya sendiri. Nama panggilan antara suami isteri bukan nama panggilan semata. Ia merupakan satu ekspresi perasaan cinta kepada pasangan.

Hadana berfikir, jika dahulu dia memanggil Naufal dengan panggilan sayang, ada baiknya dia memanggil CK dengan panggilan abang. Janji, ia satu panggilan yang disukai oleh suaminya. Sekurang-kurangnya ia tidak akan mengingatkannya akan Naufal. Kenangan manis dengan Naufal biarlah disimpan sebagai lipatan sejarah. Sekarang, ia adalah tentang mereka berdua.

Rasulullah S.A.W juga memanggil isteri-isterinya dengan nama panggilan yang indah. Sebagai contoh, Siti Aisyah dipanggil dengan panggilan Ya Humaira yang bermaksud wahai si merah jambu. Bukankah ia manis sekali?

Lama Hadana berfikir. Panggilan abang untuk sang suami yang dicintai dan dihormati mungkin tepat untuk CK yang gagah perkasa. Hadana tersenyum meleret.

“Abang…” panggil Hadana manja, seperti yang dipinta oleh suaminya. CK berkalih ke arah Hadana dengan rupa keliru.

“Aku panggil kau, CK!”

“Kau panggil aku abang?”

“Ya, sukalah tu!”

CK tersengih. Kemenangan berada di pihaknya.

“Nanti ada orang tu merajuk kalau tak dipanggil abang.”

“Mana ada merajuk,” ucap CK dengan intonasi cool yang sering digunanya. “Orang macho tak merajuk…” kata CK dengan rupa kontrol macho.

Hahaha! Hadana gelak begitu kuat. Apabila CK memandangnya semacam, cepat-cepat Hadana menekup mulut yang ternganga luas dengan tangan. Niat dalam hati ingin menyakat suaminya, tetapi dia terbabas pula.

“Tapi… Serius, gelilah nak panggil kau abang, CK. Terpeleot lidah ni…”

“Practice makes perfect.” Bersahaja CK berkata dengan begitu yakin. Dan sedikit menjengkelkan. Masih berlagak cool suaminya ini.

“From now on, no more aku… Okey? Tak sedaplah. Kasar bunyinya.”

Kalaulah CK mendengar apa yang dituturkannya bertahun dahulu, tentunya dia akan ketawa sendiri. Siapa yang kasar sebenarnya? Aku-kau itu CK. Dia yang ajar Hadana cakap macam tu dengannya. Sekarang dia sendiri yang mahu mengubahnya.

“Okey, abang.” Hadana menyakat lagi.

Sekali lagi CK tersengih. Gembira kerana akhirnya dia mendapat apa yang diinginkannya.

“Jom.”

“Pergi mana?” 

“Baliklah…”

Mulai saat itu, dengan rasmi CK dipanggil abang dan Hadana dipanggil sayang. Aku sudah bertukar saya dan kau bertukar awak.

Bagi Hadana yang sememangnya sebati dengan panggilan aku dan kau dengan CK, lidahnya agak keras untuk menuturkan kata ganti diri mereka. Sudahnya dia asyik tersasul dan terlupa. Dan dia mula rindu akan nama CK yang seksi. Sekali-sekala, nama itu tetap dipanggil, sebagai pengubat rindu.

MEREKA bercadang untuk terus memandu ke Ranau, di mana kampung CK terletak. Selepas itu CK berjanji untuk bawa Hadana bersiar-siar ke beberapa tempat yang wajib dikunjungi mereka di seluruh Sabah. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, mereka akan meluangkan masa di Kota Kinabalu, atau KK untuk beberapa hari.

“Berapa jauh kampung abang dari KK?”

“Lebih kurang 120 km.”

“Untuk ke Kundasang?” Hadana sudah teruja untuk ke Kundasang.

“Kinabalu National Park?”

“Nak ke Kinabalu National Park tu dalam 90 km… Kundasang dan National Park tu tak jauh. Dalam 20 kilometer kut. Tak pun kurang…”

“Jadi tak jauhlah kampung abang dari situ ke Kinabalu Park?”

“Tak jauh. Dari kampung abang pun awak boleh nampak gunung tu, sayang.”

“Ya?” Hadana tersengih. Matanya bulat kerana teruja.

“Mestilah… Aki Nabalu tu besar.”

“Sorry? Awak cakap apa?” Dia masih kekok berabang dengan CK. Sekejap-sekejap dia memanggil suaminya abang, kadang-kadang dia tersasul memanggilnya CK. Apabila memanggilnya awak, bunyinya seperti mereka sedang bercinta di universiti sahaja. CK pun apa kurangnya, namun dia jarang pula tersasul begitu.

“Aki Nabalu. Kami panggil Gunung Kinabalu tu Aki Nabalu dalam bahasa Dusun.”

“Oh…” Sepasang matanya galak memandang sekeliling. Itu adalah kali pertama Hadana menjejakkan kaki ke negeri Sabah yang sering diperkatakan orang. Puas apabila dapat melihat dengan matanya sendiri.

“Le Med…” tutur Hadana perlahan. Itu hotel yang akan mereka duduki nanti apabila mereka berada di KK.

“Selalu abang datang sini, abang duduk kat hotel mana?” Teruk betul dia, sepanjang mereka tinggal bersama, tidak pernah sekali pun dia bertanya di mana suaminya tinggal apabila ke luar daerah.

“Abang selalu duduk di Le Med, kadang-kadang di Sutera Harbour,” terang CK.

“Sayang, nanti bila awak jumpa bapak saya… Awak pandai-pandailah, ya?”

“Pandai-pandai apa?”

“Apa-apalah… Nanti kalau ada orang tanya, awak cakap aje kita kahwin kat KL.”

“Hurm, okey…”

“Other than that, sayang tak perlu risau. Bapak saya tu jenis tak banyak cakap. Insya-Allah dia tak banyak tanya.”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266183/Half-Girlfriend

[SNEAK PEEK] GILA AKU SUKA DIA

Gila Aku Suka Dia oleh Fatrim Syah

 

AWAL aku bangun pagi ni. Macam biasa, sebelum pergi kerja aku akan kemas-kemas rumah dulu. Tempat kerja aku pun bukan jauh sangat, naik KTM dah sampai. Usai mandi, aku terus keluar. Pelik aku bila dengar bunyi orang tengah masak dekat dapur. Mana mungkin Bob nak masak pagi-pagi buta macam ni pula. Selalunya Bob akan terus saja keluar makan dengan rakan pejabat dia.

Aku terus melihat ke dapur.

“Selamat pagi.” Aku disapa oleh seorang perempuan yang sedang menghidangkan sarapan pagi.

Terkejut aku, dahlah aku hanya pakai tuala masa tu. Terus aku masuk ke bilik aku balik tapi sambil intai-intai. Siapa pula perempuan yang berada di rumah aku? Bila masa pula yang aku ni bergelar anak Tan Sri, jutawan, dermawan, Dato, Dato’ Paduka sampai aku mampu upah pembantu rumah. Aku buka tutup mata.

“Bob! Bob!” Terus aku panggil Bob.

Cepat saja Bob keluar lepas dengar suara aku memekik panggil dia. Dia pandang aku. Kemudiannya dia tarik aku masuk ke dalam bilik dia cepat-cepat.

Ini mesti dia punya kerjalah ni bawa perempuan balik rumah. Aku dah beritahu dekat Bob polisi pertama rumah aku, ‘NO WOMEN ALLOWED IN THIS HOUSE’kecualilah ahli keluarga.

“Apa pasal kau bawa perempuan balik rumah? Kalau kena tangkap khalwat macam mana? Kau jangan macam-macamlah Bob, gatal nak bawa perempuan balik rumah. Kau nak aku seligi kau, bagi kau sedar?!” Aku sudah marah. Rasa nak tembak Bob dengan bazuka.

Bob pandang aku.

“Lan, itu adik aku. Kau tahu kan, aku ni anak angkat mak ayah aku. Aku dah pernah cerita kan yang aku ada seorang adik lagi kat kau dan Joe? Semalam dia call menangis-nangis minta aku ambil dia sebab dia kena paksa kahwin dengan abang dia sendiri.” Bob membuka cerita.

Aku mula serba salah pula lepas dengar cerita Bob. Aku tahu yang ibu bapa Bob dekat kampung tu ibu dan ayah angkat dia. Aku pun manalah pernah nampak adik kandung Bob yang dia selalu cerita dengan kami tu.

“Tapi takkanlah nak bagi tinggal dekat sini? Bahayalah, Bob. Mahunya ada pejabat agama datang, habis pula kita kena soal siasat. Lagipun dekat IC kau, nama mak ayah dah tukar, dekat IC adik kau pun mak ayah kau dah tukar kan?” aku tanya Bob.

Aku pun tak tahu sangat proses pengambilan anak angkat zaman dulu. Senang-senang je tukar nama mak ayah sebenar kat dalam IC. Aku tahu Bob mahu melindungi adik perempuan dia.

“Lalan, kau kawan aku. Sekali ni saja tolong aku. Kalau tak, kau fikirkanlah jalan lain. Aku tahu nanti ayah dia akan cari aku juga. Nanti kalau adik aku kena tangkap dan kena paksa kahwin dengan abang dia tu macam mana? Kau tak kesian ke? Kau tak ada perikemanusiaan?” Bob bersuara sambil pandang aku.

Aku dah tersentuh. Aku memang tak boleh orang kena aniaya ni. Orang aniaya kucing pun aku dah separuh gila, inikan pula orang aniaya orang.

“Kenapalah pulak dalam zaman moden ni ada kahwin paksa bagai ni? Keji!” Aku dah panas baran. Ni pengaruh TV la ni, asyik-asyik kahwin paksa. Err ! Tapi realitinya lagi perit kalau kahwin paksa ni. Ending cerita kahwin paksa kat TV bahagia je , tapi dalam dunia realiti ikut nasib.

“Lalan, kalau ya pun, kau pakailah baju seluar dulu. Aurat tahu! Tergoda mak…” Bob tiba-tiba jadi ustaz tapi sempat lagi menggatal. Ada juga aku sekeh kau ni, Bob.

“Aku memang plan nak pakai bajulah ni.” Aku herot mulut dan cepat-cepat masuk ke bilik aku. Nasib baiklah adik perempuan Bob masa tu duk tengok tempat lain, harapnya dia tak syak bukan-bukan.

5 minit lepas tu, aku keluar.

“Lan, ini adik perempuan aku, Shira. Shira, ini Lan kawan baik abang, selaku tuan rumah ni jugak .” Bob mengenalkan kami antara satu sama lain.

“Maaf Abang Lan, buat abang terkejut tadi.” Shira memandang aku.

“Panggil Lalan pun boleh, itu nama terlebih manja Abang Lan ni.” Bob menyampuk.

Amboi Bob, kemain kau ya, siap kau nak beritahu nama manja aku bagai lagi kat adik kau. Apa pun, aku akui yang adik perempuan Bob ni memang cantik. Yalah, Bob pun kacak mestilah adiknya pun cantik.

“Tak apa.”

“Lan, jomlah sarapan. Adik aku buat sarapan ni.” Bob mengajak.

Aku tiba-tiba segan silu pula nak makan. “Bob, aku makan dekat luar sajalah ya.” Aku minta diri.

“Kau jangan macam-macam, ada juga yang kena seligi sat lagi. Duduk!”

Amboi Bob! Dia pula yang tiba-tiba mengarah aku. Cis! Mahu tak mahu, aku kena juga duduk. Aku tahulah kau tengah tunjuk kau dah matang dekat adik perempuan kau tu, Bob. Nantilah aku seligi kau betul-betul.

Aku ambil nasi goreng dan telur dadar. Makan sikit saja, tapi rasanya memangpergh ! Sedap yang amat. Campuran garam dan beberapa bahan sebati. Ini ciri-ciri menantu solehah ni. Eh! Jauh pula fikiran aku. Paling penting, dia memasak di dapur milik aku yang tak pernah mana-mana manusia di muka bumi ni gunakan kecuali aku. Bob? Kirim salam dia nak masak, masak Maggi pun pakai heater .

Usai makan, aku dan Bob keluar sekali.

“Shira tutup pintu semua tau. Telefon jangan tutup. Shira buatlah macam rumah sendiri. Abang pergi kerja dulu, assalamualaikum…” Bob minta diri.

Shira salam tangan Bob. Terharu pula aku tengok mereka.

“Waalaikumussalam.” Shira pandang Bob dengan senyuman.

Kemudiannya aku dan Bob berjalan menuju ke lif. Aku pandang Bob.

“Lan, aku minta maaf tak minta kebenaran kau. Aku tahu kau tak selesa. Sikit hari lagi aku cari rumah untuk adik aku tu stay buat sementara.” Bob membuka bicara.

Aku tahu Bob ni faham perasaan aku. Aku pun bukanlah jenis yang berkira.

“Nanti aku carilah tempat untuk adik kau tu. Depan rumah kita hari tu ada iklan rumah sewa juga. Nanti aku try tanya.” Aku melegakan hati Bob. Aku tahu kawan aku yang seorang ni tengah susah hati.

aa

AKU BERITAHU Joe melalui WhatsApp yang adik perempuan Bob ada dekat rumah aku. Masa tu juga dia terus telefon aku.

“Kau biar betul, Lan? Kau okey ke adik Bob tinggal sama dengan kau?” tanya Joe yang seakan-akan tahu keadaan aku yang tengah tersepit.

“Kau tahulah macam mana Bob tu, kan? Lagipun aku kasihan juga dekat dia. Tadi aku dah suggest dekat dia supaya cari rumah lain untuk adik dia.” Aku beritahu Joe.

“Kau ni Lan. Apa kata kau stay rumah aku buat sementara waktu ni? Biar Bob dan adik dia tinggal dekat situ. Tak payahlah korang susah-susah fikir cari rumah. Apalah kau ni. Buat aku macam tak wujud pula. Masalah korang , masalah aku juga kan.” Joe mencadangkan.

Cadangan Joe selalunya aku tak dapat bangkang. Cadangan dia adalah cadangan terbaik. Maklumlah seorang peguam, masa orang tengah fikir, dia sudah dapat jawapan untuk semua persoalan. Bila aku fikir, betul juga cadangan Joe.

“Okeylah Joe, nanti aku beritahu dekat Bob. Aku rasa biar aku stay kejap dekat rumah kau sampai semua masalah mereka tu selesai.” Aku ikut cadangan Joe.

“Bagus. Eh, cantik ke adik Bob tu? Bolehlah kan kau beriparkan Bob…” Joe tiba-tiba buat lawak yang aku tak mahu ketawa.

“Joe! Kau nak kena sekeh ke apa?! Itu adik Bob tahu! Dahlah dia lari sebab kena kahwin paksa. Jangan macam-macamlah.” Aku bidas!

“Aku gurau ajelah. Kau janganlah ambil hati pula.” Joe menyampuk terus bila nada suara aku dah naik.

“Tahu takut…” Aku sengaja kata macam tu dekat Joe.

“Bukan takut pun. Aku takut antara kita orang semua kau saja yang lambat kahwin…” Joe membalas.

“Apa maksud kau, Joe?” Aku pula jadi pelik bin ajaib dengan kata-kata Joe.

“Adalah… nanti kau tahu juga. Okeylah, aku ada banyak kerja ni. Nanti jumpa, petang ni aku singgah rumah kau, pick-up kau dengan barang-barang kau.” Joe minta diri.

“Okey. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Joe balas salam.

Entah apalah yang Joe sembunyikan daripada aku. Dia kata dia takut aku yang lambat kahwin, yang diaorang tu dah ada calon ke?

Entah-entah dah ada, yalah, Joe nak balik kampung hujung minggu, Bob tu aku tak tahulah, entah-entah dah ada juga. Erm! Malas aku nak fikir.

Kring! Kring!

Tengah aku syok-syok buat kerja, tetiba panggilan telefon masuk. Aku terus jawab.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam, Lan. Kau boleh tak pergi rumah sekarang? Aku tak dapat call adik aku dari tadi. Risau pula tiba-tiba…”

Suara Bob kedengaran gelisah, aku ingatkan siapa yang telefon.

“Kenapa kau tak boleh pergi?” tanyaku.

“Aku dekat Shah Alam ni. Lambat aku nak sampai. Kau tolong ya Lan, please …” Bob meminta.

“Yalah, yalah. Kau terus call adik kau tu. Nanti apa-apa roger dekat aku.” Aku ingatkan Bob.

Nasib baiklah masa tu dah dekat waktu makan tengah hari, terus saja aku keluar berlari dari bank menuju ke kereta dan memandu keluar. Nasib baik jugalah hari ni tak naik KTM.

Prak!!!

Tetiba pula aku terlanggar kereta orang. Adoi! Habislah aku!

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266162/Gila-Aku-Suka-Dia

[SNEAK PEEK] GADIS BERTUDUNG MERAH

GADIS BERTUDUNG MERAH Oleh Jill Naura

DIA DUDUK di situ sendirian, tanpa mahukan teman. Buat pertama kali dalam hikayat hidupnya, dia seronok tidak berteman. Terasa tenang tanpa gangguan sesiapa. Komputer riba yang terletak kemas di dada meja di hadapannya ditenung kosong. Nafsu untuk melangsaikan tugas kerja bagaikan mati tidak bernyawa. Dirinya juga bingung. Sedangkan deadline kian hampir.

“Kau termenung kenapa?” sapa Joey dengan satu tepukan lembut di bahunya. Segera dia tersentak. Terkebil-kebil dia melihat kawan karibnya itu yang tiba-tiba muncul di hadapannya tanpa sebaris ucapan salam.

“Aku menung tunggu kau la,” jawab Idzrie spontan. Komputer ribanya segera ditutup dan pelayan kafe yang dia kenal sebagai Jack dipanggil. Pesanan minuman diambil sebelum memulakan bicara antara mereka.

“Lama tak jumpa kau. Apa khabar kau sekarang?” soal Joey setelah selesa melabuhkan punggungnya di hadapan tempat duduk Idzrie.

“Aku sihat. Steady je macam dulu,” jawab Idzrie ringkas.

“Punyalah kita lama tak berjumpa, khabar kau sihat je?”

“Kau tak suka aku sihat? Aku taulah aku tak sihat macam kau.” Kali ini Idzrie pula bergurau. Kalimah itu diluahkan dengan mata memandang tubuh Joey yang kelihatan lebih berisi berbanding dulu. Joey hanya tersengih sumbing.

“Orang gembira memang macam ni,” luah Joey yang masih belum lekang dengan senyuman. Hatinya yang berbunga terpancar di wajahnya yang berseri-seri.

Dalam waktu yang sama, dia menghulurkan satu sampul kepada Idzrie. Idzrie senyum. Dia tahu apa yang berada di dalam sampul itu. Pun begitu, sampul itu tetap dibuka dan kandungannya dibaca.

“Tahniah. Nak kahwin dah kawan aku sorang ni,” ucap Idzrie. Satu tepukan mesra hinggap di lengan Joey. Dia sendiri bagaikan tidak percaya hari yang pernah mereka bincang sewaktu belajar dulu tiba untuk Joey dahulu. Joey tersipu-sipu.

“Kau bila lagi?”

“Aku lambat lagi. Relaks dulu,” jelas Idzrie selamba. Minuman coklat panas yang dipesannya tadi dikacau-kacau tanpa tujuan, cuba menyorokkan hakikat yang terbuku dalam hati.

“Kau dengan Mona macam mana?” Dengan sengaja soalan itu diluahkan daripada mulut Joey. Ingin benar dia mengetahui perkembangan terkini tentang diri Idzrie.

“Aku dengan dia dah habis.” Tenang sahaja ayat itu dimuntahkan. Tak ada walau sekelumit pun rasa hiba terselit di suaranya.

“Kau buat perangai ke dia buat perangai?” Joey ingin merisik punca.
Idzrie membisu tanpa sebarang kata. Matanya tajam merenung pemandangan di luar kafe. Dia bagaikan terpukau pada sesuatu.

Joey mengalihkan pandangannya ke arah yang sama. Namun, dia belum pasti arah tujunya. Terlalu banyak perkara yang boleh diperhatikan. Joey akhirnya melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Idzrie untuk mendapatkan kembali perhatian rakannya itu.

“Kau tengok apa?” Joey aneh akan sikap Idzrie yang serba tidak kena. Sejak tadi Joey merenung raut wajah Idzrie yang keruh tidak bermaya. Sensitif sangatkah soalan aku tadi tu? Sampai dia ni mengelamun tak menentu? Persoalan itu hanya mampu bermain dalam minda Joey sahaja.

Idzrie mengerling seketika ke arah Joey sebelum kembali memandang ke luar. Kerlingan itu sekadar isyarat dia mendengar setiap bibit perkataan yang diluahkan Joey. “Aku tengok perempuan tu,” jawab Idzrie tanpa menudingkan jarinya. Hanya lirikan matanya menjadi pembayang kepada teka-teki yang masih belum terjawab pada Joey.

Joey mengerutkan kening tanda hairan namun tetap juga dia menoleh untuk melihat.

“Yang bertudung lilit warna merah tu.” Idzrie membisikkan pembayang kedua.

Pantas pandangan milik Joey menangkap kelibat yang dimaksudkan itu. Dia meneliti gadis kemas bertudung merah itu. Tidak dinafikan, dia turut terpegun dengan gadis tersebut. Bahasa tubuhnya menggambarkan dia seorang gadis yang tegas tetapi ada lembutnya. Blaus berwarna putih bercorak geometri kemerahan dan skirt labuh berona hitam yang dipadankan tampak anggun dengan kaki yang beralaskan kasut but platform sederhana tinggi. Selesai menelaah penampilan, Joey beralih pula pada wajah gadis yang berdiri di hadapan butik pakaian Muslimah yang bertentangan dengan kafe itu.

Wajah gadis itu memang tidak kurang cantiknya. Joey meneka gadis itu kacukan Cina kerana sepasang matanya yang kecil itu tidak sepet. Anak matanya pula besar seperti anak patung. Dengan bibir yang mongel dan kulit yang putih gebu, dia memiliki wajah persis pelakon Korea. Tapi, raut wajah itu kelihatan seperti biasa dilihatnya. Apabila memori tentang gadis tinggi lampai itu mula menyapa, dia ternganga sendiri. Idzrie yang masih khusyuk memerhatikan gadis itu dilihat dengan ekor matanya.

“Kau minat budak tadi tu eh?” Joey bertanya setelah gadis itu berlalu.
Idzrie tersipu-sipu mengangguk.

“Sejak bila?” Joey bertanya lagi. Dirinya dibaluti perasaan ingin tahu.

“Sejak setahun yang lalu,” luah Idzrie selamba. Hakikatnya, dia cuba menyembunyikan perasaan yang bergelojak dalam jiwanya. Rasa teruja apabila dapat menceritakan perasaannya terhadap seseorang kepada orang lain setelah lama perasaan itu dipendam.

“Setahun???” Joey terkejut beruk. Matanya terbeliak kurang percaya akan fakta yang dijelaskan oleh Idzrie. Sahabatnya yang dikategorikan sebagai hunk itu selalunya jaguh dalam perihal memikat wanita. Manakan tidak, dia memiliki paras rupa yang menawan; bersama sepasang anak mata yang bundar dan hidung mancung dengan kulit yang cerah bercahaya. Sekujur tubuh yang tegap dan tinggi menambahkan lagi ciri-ciri kelakian anak kelahiran Melaka itu. Dengan ciri-ciri fizikal sebegitu, siapa yang boleh menafikan kemampuannya untuk mencairkan hati kaum Hawa.

“Who are you? What did you do to my bestfriend?” soal Joey. Jelas dalam nada suaranya dia sukar mempercayai kenyataan yang diluahkan oleh salah seorang insan yang paling dia percayai dalam hidupnya.

Idzrie ketawa kecil. Dia sudah menyangka reaksi sebegitu akan dia terima.

“Kau putus dengan Mona sebab dia ke? Kalau ya, kau memang gila. Kalau kau dah dapat dia lainlah cerita walaupun kalau kau buat macam tu kau memang teruk!” omel Joey lebih pada dirinya sendiri. Idzrie mengerutkan keningnya. Sepatah pun dia tak faham kata-kata Joey. Ayat tunggang terbalik!

“Kau membebel apa? Aku dengan Mona putus dengan aman la. Aku tak menduakan dia, dia pun tak menduakan aku. Dia putus dengan aku sebab dia setuju dengan lelaki pilihan keluarga dia,” terang Idzrie cuba membuang sangkaan buruk Joey.

“Kau tak sedih?” Bebola mata Joey merenung tajam mata Idzrie cuba mencari bibit-bibit kedukaan yang mungkin sedang disorokkan oleh rakannya itu. “Sedih tapi tak la frust menonggeng. Kalau dia tak minta putus pun, mungkin esok lusa aku yang akan minta putus dengan dia. Sebab hati aku dah dicuri orang lain. Time aku tengah cari kekuatan untuk putus dengan dia, dia yang minta putus dengan aku dulu. So, kira okeylah. Dia tak perlu tahu perasaan aku padanya dah hilang.” Panjang lebar Idzrie berhujah.

“Habis yang kau masih berseorangan di sini setelah hatimu dicuri sang puteri rembulan bertudung merah tu kenapa? Kau nak Mona ingat kau frust menonggeng ke?” bebel Joey dengan kata-kata pujangga yang mengusik hati Idzrie. Dia hanya mampu mengulum senyuman.

“Usyarlah dia! Kau kan hero bab pikat-memikat orang ni.” Dalam sindiran, Joey seolah-olah mendesak. Senyuman yang sedari tadi telah sedia terukir di bibir Idzrie kini menampakkan pula sebaris giginya yang putih bak mutiara.

“That’s the problem. I don’t know why I can’t find even the slightest courage to try and get closer to her,”ulas Idzrie dengan ton merendah diri. Terasa lebih rendah dia apabila meluahkan kata-kata itu sebagai seorang lelaki. Mujur yang mendengar seorang yang amat memahami dirinya. Taklah jauh sangat jatuh martabat tu! Tetapi benar, dia terasa dirinya tidak layak berdampingan dengan gadis bertudung merah itu. Alasannya? Masih kabur….

“Ooo… no courage? I’ll give you a hint of courage.” Joey merenung dalam-dalam mata Idzrie.

Idzrie menelan air liur. Entah kenapa dia terasa khuatir untuk melakukan cadangan yang diusulkan oleh Joey. Kelakiannya sudah menerawang entah ke mana. Dia sendiri terasa pelik. Selalunya dia tak macam ni.

“Aku kenal perempuan tu…” kata Joey yang duduk berhadapan dengannya itu.

Kecut perut Idzrie mendengar kenyataan itu. Kenal? Biar benar? Persoalan itu dibiarkan sahaja bermain di minda. Tidak diluahkan seuntai kata kerana dia tahu ayat Joey itu masih tergantung.
“… dan kau pun kenal dia.”

Terbeliak biji mata Idzrie cuba memahami kenyataan itu. Betulkah? Lidahnya kelu. Matanya yang terbeliak masih merenung kosong wajah Joey seolah-olah meminta penjelasan yang lebih mendalam.
“Daripada reaksi kau, aku rasa kau memang tak ingat kat dia. Atau dalam waktu kita dah lama tak berjumpa ni kau hilang ingatan?” sindir Joey.

Idzrie menggeleng. Tak membantu langsung Joey ni. Dah aku tak ingat tolong la ingatkan. Ke situ pulak dia.

“Siapa minah tu? Macam mana kau kenal dia?” Idzrie berusaha mencungkil kisah.

“Dia classmate kita waktu degree dulu. Namanya Marliya. Ingat tak?”

Nama yang disebutkan itu bunyinya tidak asing pada Idzrie. Satu per satu wajah pelajar perempuan yang sekelas dengannya yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik diimbas dalam memori namun nama Marliya tidak dapat diletakkan pada wajah yang diingatnya. Ada antara pelajar-pelajar itu yang dia ingat nama, tapi tak ingat rupa. Ada yang dia ingat rupa, tak ingat nama. Sememangnya ingatannya terhadap Marliya telah pun kabur setelah berapa lama mereka tidak ketemu atau berhubung.

“She does look kind of familiar. Tapi, aku tak berapa ingat. Balik kang aku refreshlah balik.” Ujar Idzrie ringkas.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185105/gadis-bertudung-merah

[SNEAK PEEK] DANDELION DITIUP ANGIN

DANDELION DITIUP ANGIN Oleh Aidah Bakri

WAJAH PUTIH bersih bayi lelaki yang baru dilahirkan, direnung dengan segenap rasa. Hilang segala rasa sakit melahirkan, apabila wajah sebesar tapak tangan itu damai dalam tidurnya. Tanpa diduga, rasa sayang… tunas kasih mula bertapak di mimbar hatinya.

Terasa indah yang tiada tara. Sejak mereka ditolak keluar dari wad bersalin dan ditempatkan di wad 6 dua belas jam yang lalu, bayinya itu asyik tidur sahaja. Menurut kata doktor sebentar tadi, tempoh tidur bayi yang baru lahir adalah sekitar enam belas jam dalam sehari. Mungkin sebentar lagi dia akan terjaga untuk menyusu.

Dini masih menatap wajah bayinya yang sedikit pun tidak berkutik. Tidak terusik langsung dengan rasa sejuk bilik yang berpenyaman udara itu. Segala-galanya baharu bagi dia. Mujur juga ada jururawat yang bernama Suhaini yang sudi mengajar bagaimana mahu membedung bayi sekecil itu.

Sungguh dia tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bayi. Mujur juga ada Ibu Rasyidah yang sudi menyediakan segala kelengkapan bayi. Kain bedung, kain lampin, barut… perkataan-perkataan itu pun tidak ada dalam kamus perbendaharaan hidupnya. Inikan pula mahu menggunakannya. Sungguh dia tidak tahu! Dia langsung tidak ada pengalaman menguruskan seorang bayi. Dan kehadiran bayi ini terlalu awal dalam hidupnya.

Dini mengeluh tiba-tiba. Hatinya disagat pilu yang teramat. Kepiluan yang terus menjeruk hati sehingga menjadi kering dan layu. Hampir-hampir tangkainya tanggal, menanti masa untuk tersungkur ke bumi. Mujur sahaja ada Ibu Rasyidah yang sudi memberi sedikit yakin dalam dirinya. Meniup bilah-bilah semangat dalam dirinya yang sudah kehilangan payung untuk berlindung.

“Hai baby….” Suara yang kedengaran tiba-tiba mengejutkan Dini daripada lamunan yang panjang.

“Puan sihat hari ini?” tanya doktor muda yang sedang mengira kadar denyutan nadi Dini. Doktor Irdina. Nama itu tertulis di tag nama yang tersangkut di bajunya.

Dini sekadar menganggukkan kepalanya. Wajah cantik doktor muda itu, dipandang sekilas.

“Baby asyik tidur saja. Puan dah bagi dia susu?” tanya Doktor Irdina lagi. Dini menggeleng pula. Masih tidak bersuara.

“Dah pandai menyusukan baby?” Paras Dini dibelek lama. Sejak semalam sudah terbetik musykil di hati kecilnya.

“Pandai jugak… Nurse Suhaini dah ajar malam tadi.” Jawab Dini perlahan. Biarpun dia merasa kekok, namun dia tetap mahu mencuba. Dia merasa puas apabila melihat bayinya tidur kekenyangan setelah menyusu.

Tiba-tiba wajah arwah ibunya menyapa ruangan ingatan. Ada rembesan air mata di tubir matanya. Hatinya diseret kesal. Hiba yang teramat. Kalaulah arwah ibunya melihat dia dalam keadaan yang begini….

“Tekanan darah puan normal, baby pun sihat. So… tengah hari nanti puan boleh keluar. Suami puan belum datang lagi?” Lembut suara Doktor Irdina membuatkan Dini tersedar.

Suami??? Ruang hatinya terus menjadi kosong apabila perkataan itu disebut.

Suami??? Relung-relung hatinya luka lagi… luka yang tidak nampak darahnya. Luka yang hanya ada sakit dan perit. Luka yang tidak mungkin akan sembuh sampai bila-bila.

“Suami puan tak ada di sini?” Ayat tanya itu menyapa lagi cuping telinganya.

Mereka berpandangan seketika. Doktor Irdina mengerutkan dahi. Keliru memikirkan makna diam ibu muda di hadapannya itu. Sejak nama Dini didaftarkan untuk ditempatkan di wad bersalin, dia tidak nampak pun kelibat seorang lelaki yang layak digelar sebagai suami wanita muda ini.

“Puan?”

Dini menundukkan wajahnya. Terasa tebal kulit pipinya. Malu untuk berterus terang pada doktor cantik yang masih berdiri di tepi katilnya.

Sekejap lagi keluarga saya datang. Saya dah boleh balik, kan doktor?”

Doktor Irdina mengangguk sambil tersenyum. Mengerti bahawa Dini sedang menyembunyikan sesuatu. Namun siapalah dia untuk terus mendesak walaupun teringin benar rasa hatinya mengetahui mengapa raut wajah Dini bersalut sendu tatkala soal suami dibangkitkan. Perasaannya disapa simpati buat Dini. Baru berusia sembilan belas tahun sudah bergelar ibu. Terlalu muda untuk memikul tanggungjawab rumah tangga yang padanya terlalu banyak menuntut pengorbanan daripada seorang wanita.

Doktor Irdina berlalu ke katil yang seterusnya setelah menitipkan beberapa nasihat buat Dini. Pandangan Dini kembali jatuh pada bayi di sebelahnya. Matanya yang terpejam rapat, bibirnya yang comel kemerahan dan keningnya yang halus terbentuk… benar-benar menyentuh tangkai hatinya.

Dan apabila pandangannya jatuh pada hidung yang terukir indah menghiasi wajah putih bersih itu, dia teringat kembali pada seraut wajah. Menghantar seluruh ruang ingatannya pada lelaki yang telah mengubah hampir tiga ratus enam puluh darjah arah kehidupannya. Kalaulah tangkai hatinya boleh patah, sudah lama ia terputus… tanggal dan gugur daripada tangkainya.

“Hoi… mengelamun saja.” Dini tersentak dengan suara yang tiba-tiba menyergah cuping telinganya.

“Mana ada. Kau baru sampai ke? Dah tak reti bagi salam… main sergah saja. Ibu mana?”

“Hehehe… ibu ada dengan Doktor Irdina kat sana tu. Kau menungkan apa? Aku tengok kusut saja muka kau ni.” Iffa menatap wajah sahabatnya lama. Garis-garis luka kian terserlah di wajah kusam Dini. Kesian sahabatnya yang seorang ini. Besar sungguh dugaannya.

“Kau okey tak ni? Sekejap lagi boleh discharge kan?” Khuatir Iffa apabila melihat Dini lebih banyak diam. Diam Dini bermakna dia sedang memendam rasa. Memendam rasa seorang diri memang tidak baik untuk Dini dalam keadaan dia yang sebegini. Menurut ibunya tadi, hati dan perasaan orang yang dalam pantang bersalin sensitif dan cepat terasa.

“Aku okey la. Dah tak sabar nak balik rumah. Kau ingat enjoy ke duduk kat sini? Seksa tau nak turun naik katil ni.” Tutur Dini cuba menyembunyikan duka.

“Aku cuba untuk percaya kata-kata kau. Apa pun, aku harap kau jangan tunjukkan muka kusut kau tu kat depan ibu. Nanti dia risau. Tak fasal-fasal darah tinggi dia naik. Kita jugak yang susah nanti.” Pinta Iffa perlahan.

“Aku memang dah banyak susahkan kau Iffa… susahkan ibu. Aku tak patut libatkan kau dalam masalah aku. Tapi aku tak ada siapa-siapa, Iffa. Aku cuma ada kau, ada ibu kau….” Dini kembali sebak. Mengepung rasa rindu yang tidak pernah padam pada arwah ibunya, membuatkan jiwanya longlai tiba-tiba.

“Syyyh… dahlah. Jangan layan sangat perasaan sedih. Kau kan dalam pantang, tak elok tau. Aku tetap ada untuk kau, Dini. Aku tak peduli apa orang lain kata tentang kau, aku tetap percaya kau sahabat yang terbaik buat aku. Aku tak akan biarkan kau seorang diri membesarkan baby ini, Dini. Kita jaga dia sama-sama, ya.” Janji Iffa ikhlas.

Dini kian terharu mendengar kata-kata Iffa. Terharu kerana masih ada seorang sahabat yang tetap sudi bersamanya. Biar dalam susah ataupun dalam senang. Sanggup menerima dia walau dalam apa pun keadaannya.

“Terima kasih, Iffa.” Mereka berpelukan erat.

“Ada drama apa pulak kat sini? Ada adegan peluk-peluk pulak tu…” usik Ibu Rasyidah yang baru sampai. Bahagia benar hatinya melihat keakraban dua anak gadis di hadapannya. Ikatan perasaan mereka mengalahkan saudara seibu seayah. Dini pantas mengambil tangan Ibu Rasyidah lalu dikucup lama.

“Terima kasih ibu…” tuturnya perlahan. Ibu Rasyidah duduk di sisinya lalu memeluk erat bahunya.

“Sama-sama. Tahniah sebab selamat melahirkan baby yang cute ni. Maknanya ibu dah jadi neneklah ya.”

Ibu Rasyidah mengangkat bayi yang masih dalam ikatan kain bedungnya. Wajah mulus yang putih bersih itu ditatap lama. Ada rasa bahagia di kotak hatinya walau tidak dapat dinafikan, sebahagian hatinya menyimpan rasa simpati dan kesal yang tidak berkesudahan.

“Iffa, kemas barang-barang Dini. Kita dah boleh keluar sekarang. Dini nanti ibu bantu turun katil perlahan-lahan ya. Jaga-jaga kaki tu.”

Ibu Rasyidah meletak bayi Dini sebentar. Dia turut membantu Dini turun dari katil.

SEJAM KEMUDIAN mereka selamat sampai di rumah. Di rumah teres dua tingkat itulah tempat Dini berteduh sejak dia kehilangan segala-galanya. Memang nasibnya masih dikira beruntung jika dibandingkan dengan gadis-gadis yang senasib dengannya. Kalaulah tidak ada Iffa dan Ibu Rasyidah, pasti hidupnya musnah sama sekali. Mungkin terus terbiar di lorong-lorong sepi tanpa ada yang sudi mengutip.

“Dini duduk di bilik bawah saja ya. Ibu dah kemaskan bilik itu pagi tadi. Orang dalam pantang tidak boleh banyak bergerak, apatah lagi turun naik tangga. Boleh kan?” tanya Ibu Rasyidah sambil memandang wajah bersih di hadapannya. Dini semakin banyak berdiam. Menjadi lebih pendiam daripada hari-hari sebelumnya.
“Dini tak kisah, ibu. Kat mana-mana pun Dini tak kisah. Asalkan ibu dan Iffa ada dekat dengan Dini.” Emosi Dini hiba tiba-tiba. Juring matanya terasa hangat. Keikhlasan dua beranak yang sanggup menerima segala kepayahannya, sungguh-sungguh menyentuh hati.

“Kami sentiasa ada dengan kau, Dini. Kami dah anggap kau macam keluarga kami sendiri. Kita hadapi semua ini sama-sama.” Iffa memeluk bahu Dini erat.

“Terima kasih Iffa… terima kasih ibu…” luah Dini terharu.

“Dah, jom berehat dalam bilik. Dini kena banyak berehat. Pulihkan semula tenaga yang dah hilang tu. Ibu nak ke dapur, tanak nasi.” Ibu Rasyidah beredar ke dapur. Sementara Iffa dan Dini berlalu masuk ke bilik.

“Kau kena banyak rehat. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Nanti kita sama-sama cari nama untuk baby boy yang cute ni ya.” Ujar Iffa sambil meletak bayi yang sedari tadi dalam dukungannya ke katil bayi yang diletakkan di sudut bilik. Dini duduk di birai katil. Kedua-dua belah kakinya terasa lenguh. Sengal seluruh tubuhnya belum surut lagi.

“Macam mana kita nak daftarkan nama dia Iffa, sedangkan surat nikah pun aku tak ada.” Luah Dini tiba-tiba. Menyimpan sebak dalam-dalam.

Lama mereka berpandangan. Masalah itulah yang selama ini membebani fikiran Dini. Apa butiran yang harus diisi dalam ruangan maklumat bapa dalam sijil kelahiran anaknya itu nanti.

“Kau tetap tak mahu beritahu dia? Dia ada hak Dini. Anak ini pun ada hak. Kita perlu beritahu dia.” Pujuk Iffa lembut.

Dini menekur lantai. Perdu hati diserbu pilu. Hak??? Hak apa yang mahu dituntut daripada lelaki itu???

Sekali dia diusir, tidak mungkin dia akan memunculkan diri lagi. Tidak untuk seumur hidupnya. Biar segala-galanya berkubur walaupun limpahan kasih sayang di rumah mewah itu sering kali menggamit ruang sepinya. Rasa rindu hanya mampu terkurung dalam bingkai pilu. Memang benar, apabila kita rasa rindu yang sangat dalam, barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang itu bagi kita. Dini hanya mampu menyimpan rindu… pada umi dan pada abinya.

“Dini?”

“Dia tidak pernah mahukan hak itu, Iffa. Dia sengaja perangkap aku. Atas dasar apa… aku sendiri pun tak tahu.”

“Mungkin dia akan ubah fikiran apabila nampak anak ini. Mungkin hatinya akan lembut. Kita beritahu dia ya.” Pujuk Iffa lagi.

“Mungkin??? Mungkin Iffa? Aku tak sanggup maruah aku tercalar lagi dengan apa pun kemungkinan. Kalau dia dengan mudah menghancurkan hidup aku, aku sejuta kali tak ingin berdepan dengan dia lagi. Aku tidak ingin jumpa dengan dia lagi seumur hidup aku.”

“Dah tu, macam mana nak daftarkan kelahiran anak kau ni? Kau sanggup tengok butiran ‘maklumat bapa tidak diperoleh’ dalam ruang maklumat bapa dalam sijil kelahiran anak kau, Dini?”

Dini merenung wajah bayinya lama. Rasa pilu bersatu dengan rasa simpati terhadap bayinya sendiri. Maafkan mama sayang….

“Aku buntu, Iffa.”

“Kau tergamak biarkan anak kau dianggap anak tidak sah taraf sedangkan dia ada bapa yang sah, Dini?”

Pertanyaan Iffa yang agak keras membuat hati Dini tersentak. Jiwanya disagat lagi. Anak tidak sah taraf’? Dia meraup wajahnya berkali-kali. Rasa ngilu di hatinya lebih pedih daripada rasa sakit melahirkan semalam.

“Dahlah… kau rehat dulu. Kita bincang lain kali. Kita ada masa empat belas hari untuk buat keputusan tentang hal ini. Apa pun keputusan yang bakal kau ambil nanti, kau kena fikir tentang kebajikan anak kau, Dini. Bayi ini tak bersalah. Aku keluar dulu. Nanti aku ambil makanan untuk kau.”

“Tak payah layan aku macam tu. Aku boleh makan kat dapur saja nanti.”

“Mana boleh! Kau baru dua hari bersalin tau. Tak boleh banyak bergerak. Bentan nanti, kau jugak yang susah. Lagipun, kita masih muda. Banyak lagi perkara yang hendak kita buat. Kalau kau tak jaga diri kau sendiri, siapa lagi yang kau harapkan?”

“Baiklah cik doktor tak bertauliah. Saya ikut saja kata doktor, ya.” Jawab Dini dalam gurauan. Malas dia hendak mendengar leteran sahabatnya itu. Kalau dia membantah, lagi panjang leterannya nanti. Bernanah telinganya nanti. Bentan? Takut juga dia apabila memikirkan jika sakitnya datang semula.

Iffa berlalu meninggalkan Dini sendiri merenung masa. Terasa pantasnya masa berlalu. Seolah-olah baru semalam semua rentetan itu berlaku. Terkenang saat-saat akhir dia di rumah mewah Datuk Mazlan. Masih terbayang wajah luka arwah ibunya, saat peristiwa hitam itu singgah di celah-celah hidupnya.

Ampunkan Dini, ibu… rintih hatinya berkali-kali. Dini tak salah….

“KENAPA Dini sanggup buat ibu macam ni? Dini tak kesian kat ibu ke?” Suara arwah ibunya masih terdengar-dengar di deria dengarnya, menghiris luka hatinya hingga ke relung yang paling dalam. Hendak bernafas pun terasa sukar.

“Dini tak salah ibu. Dini tak buat apa-apa. Percayalah cakap Dini, ibu.”

“Macam mana ibu nak percaya Dini? Semua orang dalam rumah ini nampak apa yang Dini dan Rifqi buat. Sampai hati Dini buat ibu macam ni. Dini sedar tak kita hanya menumpang dalam rumah besar ini. Sampai hati Dini lukakan hati umi… hati abi.” Ibu Fatimah bersuara lirih.

Sesal datang bertimpa-timpa. Kalaulah dia tahu musibah ini akan berlaku, pasti tidak akan ditinggalkan Dini seorang diri di rumah tadi. Pasti akan dibawanya Dini menemaninya.

“Ampunkan Dini, ibu…” Dini memeluk ibunya erat.

Rasa kesal dan marah menunjal-nunjal kotak hatinya. Kalau diikut rasa hatinya, mahu sahaja lelaki itu ditampar dan diterajang dengan segenap rasa.

“Ibu tak boleh kata apa lagi, Dini. Esok lepas zuhur, Dini kena nikah dengan Rifqi. Abi sedang uruskan semuanya. Dini dah hampakan ibu, hampakan umi… dan semua orang yang sayang kat Dini. Puas hati Dini kan???” tempelak Ibu Fatimah lagi.

“Ya Allah ibu… tolonglah Dini, ibu. Dini tak mahu nikah dengan dia… dengan sesiapapun. Dini nak belajar lagi… keputusan SPM Dini dua bulan lagi ibu.” Meraung Dini dengan keputusan Datuk Mazlan, lelaki yang dipanggil abi olehnya.

“Ibu tak boleh buat apa. Ini keputusan Datuk dan Datin. Muktamad!”

“Ibu… ibu tolonglah pujuk umi dan abi. Dini tak mahu ibu. Tolonglah Dini ibu…” rayu Dini dalam sedu tangisnya dengan suara yang terputus-putus.

“Ibu dah cukup malu dengan apa yang terjadi. Ibu kecewa sangat. Dini keluarlah dari bilik ibu ini. Tinggalkan ibu sendiri.”

Ibu Fatimah naik ke atas katil. Merebahkan badan dalam keadaan menghereng lalu menutup seluruh tubuhnya dengan kain selimut. Dini tiada pilihan. Dia melangkah keluar meninggalkan ibunya yang sudah tidak mahu memandang wajahnya lagi.

TANGISAN BAYI membuatkan Dini kembali ke alam sedar. Dia mengesat sisa air mata yang masih berbekas di pipi. Menangis macam mana sekalipun, apa yang pernah dimilikinya satu ketika dulu, tidak mungkin dapat diraih kembali. Merintih macam mana sekalipun, ibunya tidak akan hidup kembali.

Hanya hitam
Menatap langit terukir gelap
Bintang pun turut enggan
Memberi cahaya walau sedikit
Terbiar hati dipujuk pedih

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185103/dandelion-ditiup-angin

[SNEAK PEEK] AWAK PENGANTIN SAYA!

9789831249895-medium
AWAK PENGANTIN SAYA! Oleh Ainul Hazrah

NURUL mematikan enjin keretanya. Sengaja dia berhenti di situ supaya menghalang kereta di hadapannya dari keluar. Jika ikutkan hati mahu dilanggar saja Volkswagen buruk yang menempek di tempat parkir keretanya.

“Eeii… kereta siapa pulak letak kat tempat aku ni?” rungut Nurul ketika melewati kereta yang menyemakkan matanya itu.

“Entah kereta kurun bila entah? Kalau aku tendang mahu kopak pintu kereta ni agaknya!” Sambil merungut langkahnya laju menuju ke rumah. Kalau ditendang bukan saja pintu kereta yang akan terkopak, telinganya juga akan terkopak sama sebab kena leter dengan Nuqman nanti.

Kelihatan Muhamad Nuqman, abang dan satu-satunya saudara yang paling disayangi, sedang berbual dengan seorang lelaki di dalam porch. Entah siapa, tidak dikenalinya dan tidak pernah dilihat pun sebelum ini. Dengan cermin mata berbingkai hitam tebal, rambut disikat ke belakang yang melekat rapat di kepala. Nerd? Huh!

“Itulah adik aku… Nurul Qamar Imani, kau ingat lagi?” tanya Nuqman kepada Fandi yang asyik memerhatikan semua gelagat gadis itu.

Nurul Qamar Imani! Tidak mungkin dia lupa! Nama yang bagus. Selalu dia melihat gadis itu bila dia datang ke situ semasa belajar bersama-sama Nuqman dahulu. Mereka jarang sekali bertegur sapa, namun dalam diam selalu berbalas pandang dan tersenyum mesra. ‘Sudah besar panjang dia! Semakin cantik… sedap mata memandang.’

“Ingatlah sikit-sikit. Dia bukannya rapat dengan aku, entah-entah dia pun langsung tak ingat aku.”

“Dengan rupa kau macam ni, memang dia tak ingatlah! Aku hari tu pun nyaris-nyaris tak kenal kau!” Nuqman tersenyum. Atas bawah, atas bawah dia melihat Fandi. Memang jauh beza penampilan Fandi dahulu dan sekarang. “Tak kisahlah kau ingat ke, dia ingat ke… kau mesti tolong aku!”

Fandi mengeluh perlahan. Apa yang tidak kena dengan gadis itu? Mungkin hatinya? Entah… tidak dapat ditebaknya. Keliru dia bila memikirkan permintaan Nuqman itu.

“Adik…” tegur Nuqman ketika Nurul melewati mereka. “Kenalkan, ni kawan abang… Fandi.”

Nuqman dan Fandi sama-sama berpandangan. Daripada riak di wajah Nurul, mereka sangat yakin yang Nurul tidak mengenali Fandi.

“Oh…” Nurul mengangguk tanda hormat, namun tidak dapat dikawal matanya daripada mencari Volkswagen buruk tadi. Dia pasti itulah tuan punya kereta buruk itu. Tuan dan kereta sama saja.

“Duduklah.”

Lama Nurul memandang Nuqman. ‘Buang tabiat apa, tak pernah-pernah ajak aku duduk sama dengan kawan-kawan dia, hari ni sosial sangat pulak. Kalau yang handsome tak nak pulak ajak, dengan Si Nerd lemau ni, nak pulak suruh beramah mesra!’

“Tak apalah…” Malas dia hendak sama-sama melayan tetamu abangnya.

“Adik… duduk dulu, kejap saja.” Tegas bunyinya, tapi macam merayu pun ada. Nuqman mahu supaya Nurul duduk bersama mereka. Biar Fandi dapat melihat dengan jelas wajah adiknya itu.

Dengan sebuah keluhan, Nurul duduk juga menghadap Nuqman dan Fandi. Dari sebalik cermin mata UV protection kesempatan diambil untuk meneliti wajah asing di hadapannya. Kulit bersih. Muka macam orang baik! Cuma penampilan… urghhh! Kalau ubah stail rambut dan tukar cermin mata, mungkin lebih menawan! Lagi satu, mulut tu cubalah senyum sikit! Kedekut sungguh!

“Hmm… adik, tolong buat air. Kesian tetamu kita ni dah kering tekak asyik berbual, airnya tak dijamu,” pinta Nuqman sambil mengerling kepada Fandi. Bagai ada isyarat yang mahu disampaikan.

“Mak Kay, kan ada…” tepis Nurul. Bab ke dapur memang bukan bidangnya.

“Mak Kay dan Pak Kob keluar beli barang.”

“Urghh!” rengus Nurul perlahan. Patutlah nak sangat dia duduk di situ, ada tugas yang hendak diberi rupa-rupanya! Beg tangan diletakkan di atas kerusi. Bangun juga Nurul untuk membuat minuman walaupun tanpa rela. Minuman sendiri pun jarang dibancuh ini pula terpaksa buatkan minuman untuk tetamu!

Nuqman mengangkat kening pada Fandi. Dia tidak mahu berselindung. Biar Fandi sendiri melihat perangai dan peribadi adiknya seperti apa yang telah diceritakannya.

“Kenapa pilih aku?” soal Fandi serius.

“Aku yakin pada kau! Kita dah kenal lama dan aku tahu kemampuan kau. Selama ni, aku selalu berdoa supaya adik aku mendapat suami yang baik dan penyabar, yang boleh membimbing dan membahagiakannya. Aku selalu bayangkan lelaki itu adalah lelaki seperti kau. Kau tahu betapa gembiranya aku masa jumpa kau hari tu. Dah bertahun tak jumpa, tiba-tiba kau ada depan mata aku. Nampaknya, ALLAH telah mendengar doa aku dan menemukan kita semula.”

Sejak tamat belajar, mereka membawa haluan masing-masing. Walaupun Nuqman ada juga cuba menghubungi Fandi, tapi tidak pernah sekali pun berhasil. Sebulan yang lalu, mereka berdua telah dipertemukan kembali secara tidak sengaja ketika Nuqman melawat kawasan projek baru di kawasan pedalaman.

Daripada apa yang didengar tentang cara hidup Fandi dan keadaannya yang masih belum berkahwin atau punya teman wanita, Nuqman yakin Fandi dapat membimbing Nurul dan menjadikannya perempuan yang sebenar perempuan.

“Kalau setakat nak bimbing dia menjadi perempuan yang lebih baik, kau pun boleh!”

“Fandi… aku ni abang dia. Dia tu manja sangat dengan aku! Mana boleh nak tegur dia sangat. Aku tak sampai hati nak berkeras pun.”

“Mungkin dia jadi macam tu pun sebab kau bagi muka sangat…”

“Jangan nak salahkan aku pulak!” tingkah Nuqman cepat. Salahkah kalau dia memanjakan Nurul setelah mereka kehilangan kedua orang tua? Papa, sudah lama meninggal. Mama… walaupun masih hidup, tetapi bagaikan orang asing layaknya. Tidak seperti ibu orang lain, mama tidak pernah mengambil tahu dan mempedulikan kewujudan mereka berdua sejak Nurul masih bayi lagi. Nurullah satu-satunya keluarga yang dia ada. Nyawa pun sanggup digadaikan buat adik kesayangannya itu.

“Aku cuma nak dia hidup senang. Nak dia bahagia seperti orang lain, tu saja…”

“Tapi, takkan sampai tak buat apa langsung…”

Kedua-duanya langsung mendiamkan diri bila Nurul kembali ke situ. Tidak patut pula membiarkan Nurul mendengar perbincangan mereka.

Ralit Fandi meneliti gadis yang mungkin bakal menjadi isterinya itu. Dengan cermin mata yang sudah diangkat ke atas kepala, lebih jelas wajah itu pada pandangannya. Wajah ayu, comel… namun hatinya tidak dapat ditebak. Mungkinkah seindah wajahnya?

Nurul meletakkan dua mug yang dibawanya ke atas meja. Sebuah Tupperware besar yang dikepit di celah lengannya sedari dapur tadi juga turut diletakkan di situ.

“Minumlah!” pelawanya dengan tangan yang laju membuka tutup Tupperware. Sekeping keropok dicapai dan digigitnya, bersahaja.

“Adik, kenapa tak letak dalam pinggan?”

“Nanti masuk angin, tak sedap!” jawab Nurul dengan suara yang berkulum. Penuh mulutnya dengan keropok. Beg tangannya segera dicapai, mahu segera berlalu.

“Nak pergi mana?” soal Nuqman. “Duduklah dulu.”

“Malas aaa… panas! Nak mandi.” Tanpa mempedulikan permintaan Nuqman, Nurul masuk ke dalam. Sikit pun Fandi tidak dipandangnya, apatah lagi hendak meminta diri.

“Itulah adik aku!” keluh Nuqman perlahan. “Kau dah tengok perangai dia. Kau rasa pula air tangan dia, minumlah!” sambungnya dengan senyum kambing sambil menunjuk ke arah mug berisi air oren di atas meja.

Fandi mengambil mug di hadapannya, melihat seketika isi mug itu. Nampak biasa. Air berwarna oren, nampak pekat dan menyelerakan dengan ketulan air batu yang terapung. Memang sesuai diminum dalam cuaca panas begitu. Sementelah tekaknya juga memang haus.

“Hmm!” Hampir menyembur air dari mulut Fandi, berkerimut dahinya. “Pekat gila!” komennya dengan kepala yang tergeleng serta sedikit senyum yang terlarik. “Kau orang dapat gula free ke? Ke adik kau ni, Puteri Oreng Manis? Taruh gula sikit pun dah manis sangat-sangat. Pati oren pun dia tuang sebotol agaknya, pekat gila! Aduh! Boleh kena kencing manis kalau selalu macam ni.”

“Nurul… kalau tak terlalu manis, tawarlah jawabnya air dia. Dah baguslah tu, ada juga dia jamukan kau keropok. Itupun nasib baik Mak Kay dah siap gorengkan, kalau tidak tak merasalah jawabnya. Tapi tulah… rumah kami ni banyak gula, tapi tak ada pinggan!” keluh Nuqman dengan kepala tergeleng sebelum berlalu ke belakang.

Nuqman kembali lagi dengan sebotol ais kosong dan sebiji pinggan. Keropok dikeluarkan dan dihidangkan di dalam pinggan. Ais kosong pula ditambah ke dalam minuman mereka berdua bagi mengurangkan rasa manis.

“Minum dulu, kalau manis juga nanti campurkan air ni lagi,” pelawa Nuqman bila air sudah penuh di dalam gelas. Walau belum dirasa, dia sudah tahu yang air Nurul itu pasti teramat manis.

“Kau dah tengok sendiri macam mana adik aku tu, kan! Sebenarnya, aku takut nak kahwinkan dia dengan orang lain. Satu kerja rumah pun, dia tak tahu buat. Aku takut dia kecewa nanti. Kau sanggup terima cadangan aku?”

Fandi diam memandang Nuqman. Besar harapan Nuqman kepadanya, tetapi mampukah dia membahagiakan Nurul nanti? Yang penting, adakah mereka akan serasi dan mahukah Nurul berkahwin dengannya?

“Dia tak ada teman lelaki?”

Nuqman menarik nafas panjang. “Not exactly…”

“Maksud kau?”

“Ini mungkin sebab utama aku pilih kau. Ada seorang lelaki ni, Fadzley… mula rapat dengan Nurul. Nampak macam lelaki yang baik, tapi aku tahu dia tu tak boleh dipercayai, kaki perempuan. Dia tak serius pun dengan Nurul. Aku pernah jumpa dia dan minta dia jangan kacau Nurul, tapi tulah… dia marah dan cakap yang dia akan dapatkan Nurul dan akan pastikan Nurul kecewa satu hari nanti.”

Sebak Nuqman menceritakan tentang nasib yang bakal diterima Nurul. Dia telah berusaha untuk membahagiakan Nurul selama ini, namun dia takut jika Nurul benar-benar dikecewakan oleh Fadzley.

“Sebab tu aku nak kahwinkan Nurul dengan kau. Lepas kahwin nanti, kau akan bawa Nurul pergi dari sini dan aku yakin kau akan jaga Nurul dengan baik.”

“Jangan terlalu yakin! Aku pun manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan. Tidak mustahil, aku akan sakitkan adik kau nanti.”

“Tapi kebarangkaliannya kurang! Hanya kau yang aku harapkan…”

“Entahlah… aku…”

“Aku tak paksa kau. Adik aku bukan gadis yang sempurna sebagai isteri.”

Fandi mengeluh panjang. Tanggungjawab yang amat besar sedang diserahkan Nuqman kepadanya. Mampukah dia melakukannya dengan baik? Dia sendiri tidak mampu memberikan keputusan. Jika terima seperti menjerut dirinya sendiri. Tidak diterima, maknanya dia menghampakan harapan sahabat lamanya itu.

“Aku bukan tak nak tolong kau, tapi… aku kena juga tahu serba sedikit tentang dia. Aku takut tak mampu nak membentuk dia seperti mana yang kau inginkan. Aku perlu sedikit waktu…”

“Itu tak susah! Kau ada hal yang nak diselesaikan kat sini, kan? Kata nak duduk sini dua malam lagi, hotel pun belum book, kan? Daripada kau nak duduk hotel dan buang duit tu, apa kata kau bermalam di sini, sambil tu bolehlah kau perhatikan Nurul,” saran Nuqman yang sudah bulat hati untuk menjodohkan Nurul dengan Fandi.

“Hisy… tak naklah aku! Apa kata Nurul kalau tahu kita buat macam ni? Kecil hati dia nanti!” bangkang Fandi. Tidak patut rasanya apa yang dirancangkan Nuqman. Nurul bukannya barang pameran yang perlu diberikan penilaian.

“Yang tahu perkara ni hanya kau dan aku. Aku takkan beritahu Nurul apa-apa. Tak tahulah kalau kau sendiri yang nak pecah lubang, memang kantoilah! Ke… kau ada cadangan yang lebih baik?”

Fandi menggeleng. Memang dia tidak punya cara lain yang lebih baik dari itu! Tapi… cukupkah sehari untuk dia memerhatikan perangai Nurul dan membuat keputusan?

“Mama kau?”

“Mama? Layak ke dia dapat panggilan tu? Entah-entah dia pun dah lupa yang dia pernah lahirkan kami!”

Melihat ketegangan pada air muka Nuqman, Fandi segera mendiamkan diri. Sejak kenal Nuqman, tidak pernah sekali pun dia berjumpa dengan insan yang melahirkan sahabatnya itu. Mama Nuqman dan Nurul telah berkahwin lain dan tinggal di luar negara bersama keluarga barunya. Selain itu, dia tidak tahu apa-apa kerana Nuqman tidak pernah menceritakannya.

****

TERSENTAP Nurul seketika sewaktu duduk di meja makan. Tidak disangka tetamu abangnya itu masih lagi di situ. Selepas naik ke atas tadi, dia tidak turun-turun sehingga tiba waktu makan malam.

‘Tak reti-reti nak balik ke dia ni?’ Sungguh kurang selesa Nurul untuk bersama-sama menikmati hidangan makan malamnya. Susahlah nampaknya dia hendak bermanja dengan Mak Kay!

“Hmm… apa tunggu lagi, adik? Duduklah. Kita orang semua tunggu adik saja, dah lapar ni,” rungut Nuqman bila Nurul tercegat bagaikan patung di tepi Mak Kay.

“Ha’ah… duduk Nurul,” suruh Mak Kay pula. Tangan Nurul ditariknya supaya duduk di sebelahnya. Mahu tidak mahu terpaksalah juga dituruti oleh Nurul. “Nurul nak lauk apa?”

Nurul menarik nafas panjang. Nak makan apa? Ada sambal udang dan ikan kurau kukus yang dihidangkan sebagai hidangan utama. Nak makan udang… dia tidak pernah mengupas kulitnya sendiri. Itu kerja Mak Kay. Nak makan ikan… tidak pernah pula dia asingkan tulangnya sendiri, itu pun kerja Mak Kay! Takkan Mak Kay hendak buat semua tu di hadapan tetamu? Nampaknya, makan sayur sajalah malam ni!

“Hah… ni kegemaran Nurul!” Tanpa disuruh, ikan kukus diambil dan diletakkan Mak Kay ke dalam pinggan Nurul. Dipastikan pula ikan itu bebas daripada tulang-tulangnya supaya senang dimakan Nurul. Siap tugasan itu, dicedok pula sayur… pun untuk Nurul. Akhir sekali barulah dicedoknya sambal udang dan diletakkan ke dalam pinggannya sendiri.

Sudah tentu semua perlakuan Mak Kay dan Nurul dirakam oleh kanta mata Fandi dan disampaikan ke otaknya. Sedetik pun tidak ketinggalan.

“Fandi… makanlah! Tunggu apa lagi?” Suara Nuqman mengejutkan Fandi yang leka menonton kisah adik manja di hadapannya. Bukan drama adaptasi, bukan drama lakonan pelakon terkenal, tetapi amat menarik baginya. Menarik sebab heroinnya manja tahap pokok semalu, lemah longlai! Nak makan pun orang kena cedokkan makanan untuknya.

Baru Fandi mahu memulakan suapan, apa yang disaksikan matanya membuat dia kaku lagi. Udang yang sudah siap dikupas di dalam pinggan Mak Kay beralih pula ke pinggan Nurul, bukan untuk dimakan Mak Kay rupanya!

‘Tak reti buat sendiri ke dia ni?’ Semasa dia ke situ dulu, tidak pernah pula dia melihat keadaan seperti ini. Makin dewasa makin teruk pula nampaknya. Atau mungkin kebetulan sewaktu kedatangannya, Mak Kay tidak pernah memasak ikan atau udang? Lagipun dia dan Nurul jarang duduk makan semeja.

Mata Fandi pantas mencari wajah Nuqman. Nampaknya, Nuqman sudah bersedia memandangnya dengan kening terangkat dan senyum meleret.

“Kalau jadi kahwin nanti, aku kena buat macam ni jugak ke?” bisik Fandi seperlahan yang mungkin. Takut didengari oleh Nurul dan Mak Kay suami isteri.

“Kalau kau nak, apa salahnya. Romantik apa!” Nuqman mahu ketawa, tetapi sedaya upaya ditahannya. Takut pula kalau keadaan mereka menarik perhatian yang lain.

“Romantik?” Fandi berkerut dahi. Hampir saja dia terjerit. “Masalahnya bukan romantik ke, loving ke… kalau setiap kali makan macam ni, bila masa aku nak makan? Baik aku kunyah terus nasi dan lauk-lauk tu sampai hancur, lepas tu keluarkan dan suap kat dia, lagi senang! Dia terus telan…”

“Wei, agak-agaklah!” Nuqman ketawa hingga menarik perhatian semua.

Walaupun tidak tahu butir bicara antara Nuqman dan Fandi, Nurul sudah punya firasat tersendiri. Pasti dia yang menjadi tajuk bualan kedua lelaki itu. Kalau bualkan perkara yang baik tak apalah… tapi dia dapat rasakan yang dia sedang diejek!

“Abang!”

“Aa… adik, ada apa?” soal Nuqman sambil cuba meredakan tawanya. Nampak macam Nurul sudah mengesan intipati perbualan mereka.

“Gelakkan orang, eh?” tuduh Nurul dengan muka panjang. Yakin sangat yang telahannya betul.

“Gelakkan adik? Taklah! Mana ada… abang…” nafi Nuqman. Sempat dia mengerling pada Fandi yang mula menjamah makanannya seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

“Eleh! Orang tahulah… tak payah nak tipu. Bukan sehari dua adik kenal abang. Muka tu dah ada cop suka mengumpat.” Semakin geram Nurul. Mimik muka dan cara percakapan Nuqman sudah cukup bagi menguatkan tuduhannya. Tambahan pula dengan keadaan Fandi yang menunduk menghadap makanan, nampak sangat yang dia sedang cuba melarikan diri.

“Nak gelak? Gelaklah puas-puas! Abang dengan kawan abang ni sama saja!” dengus Nurul seraya berdiri. Tanpa membasuh tangan dan meminta diri, dia terus keluar dari ruang makan dan naik ke bilik. Tidak sempat hendak ditahan oleh Nuqman atau Mak Kay.

“Nuqmannn…” panggil Mak kay panjang. Matanya terjegil besar kepada Nuqman. Dia sendiri yakin yang Nuqman memang mentertawakan Nurul tadi. “Hmm… kan dia dah merajuk!”

“Alah, merajuk kejap saja Mak Kay. Nanti dia lapar, turunlah balik,” jawab Nuqman walaupun hatinya sudah mula ditepek dengan rasa bersalah. Senyum dan tawanya juga hilang serta-merta bila Nurul meninggalkan mereka.

“Kalau dia turun… kalau tak?” Tepat mata Mak Kay menantang Nuqman. Jika Nuqman itu kanak-kanak sudah lama dicubit-cubitnya. “Dah tahu adik macam tu, saja nak cari pasal. Buatnya dia tak turun makan, sakit perut ke nanti… sukalah?”

Nuqman menarik nafas panjang. Jika apa yang dikatakan Mak Kay berlaku, dialah yang paling menyesal. Dia tidak suka melihat Nurul sakit, tetapi kini dia yang menjadi penyebabnya jika Nurul benar-benar sakit.

Dalam diam, Fandi juga memarahi dirinya sendiri. Jika bukan kerana kata-katanya kepada Nuqman tadi pasti semuanya tidak berlaku. Apa yang boleh dibuat lagi? Nurul sudah merajuk, takkan dia pula yang hendak memujuk?

“Kejap lagi Man pujuklah dia, Mak Kay…”

“Tak ada maknanya! Tak payahlah buang masa dan buang liur sampai sakit tekak tu. Tak mahunya Nurul tu dengar. Bilik pun dia dah kunci tu. Tunggu sajalah sampai esok. Ni, nasi Nurul… habiskan!”

Bukan mereka tidak tahu bagaimana keadaan Nurul bila sudah merajuk. Tidak ada sesiapa yang dapat memujuk lagi. Dia hanya akan memencilkan diri di dalam bilik dengan pintu yang berkunci dan berselak dari dalam.

Nuqman dan Fandi berpandangan. Kata-kata Nurul terngiang kembali…

“Nak gelak? Gelaklah puas-puas!”

Jangankan ketawa hendak senyum pun kedua-duanya sudah tidak mampu. Hilang sudah selera makan mereka. Nasi dimakan juga sehingga habis kerana tidak mahu membazir dan membiarkan syaitan ketawa semakin kuat! Lebih teruk lagi nasi Nurul yang baru sedikit dicicip juga terpaksa mereka berdua habiskan kerana didenda oleh Mak Kay.

SUDAH puas Nurul beralih ke kiri dan kanan, tidak juga dia mahu lelap. Bagai ada puting beliung yang sedang menari tarian ‘Hulahup’ di dalam perutnya. Hendak turun makan, takut Nuqman dan Fandi masih belum tidur. Malas dia hendak bersua muka dengan keduanya.

Terpaksa juga Nurul turun untuk makan bila perutnya tidak henti-henti berkeriuk. Lapang dadanya bila dua makhluk yang menyakitkan hatinya itu tidak kelihatan di mana-mana. Ruang tamu juga sudah gelap-gelita menandakan tiada sesiapa lagi di situ.

Nasi di dalam periuk masih panas terasa. Tentu Mak Kay telah membiarkan periuk itu dalam keadaan ‘keep warm’ supaya nasi tersebut sentiasa panas. Lauk pula seperti biasa akan disimpan di dalam peti sejuk. Tidak patut sangat jika mahu mengejutkan Mak Kay semata-mata untuk memanaskan lauk.

‘Sejuk pun tak apalah, kena nasi panas nanti okeylah.’

Nurul duduk di kerusi, menghadap pinggan nasi yang sudah diletakkan udang dan ikan di atasnya. Hendak atau tidak terpaksalah dia membuang sendiri tulang ikan dan mengupas kulit udang, perkara yang selama ini dilakukan oleh Mak Kay.

Tulang dibahagian sirip ikan telah selamat dibuang, namun masih ada beberapa lagi tulang di bahagian tengah yang perlu dibuang. Jenuh Nurul menguis-nguis isi ikan mencari kalau-kalau ada lagi sisa tulang ikan yang tertinggal.

“Argh! Tak payahlah makan ikan ni!” omel Nurul sendiri. Dengan siapa lagi dia hendak bercakap, cuma dia seorang yang berada di situ. Nurul menguis-nguis pula udang kaki merah masak sambal kegemarannya.

“Macam mana nak buang ni? Hisy… tulah Nurul, manja sangat! Dah tua bangka macam ni, nak buang kulit udang pun tak reti-reti,” marah Nurul pada dirinya sendiri. Ditekan-tekannya udang itu, namun tidak juga isinya dapat dikeluarkan. Udang yang tadi nampak sedap dan cantik kini telah terbahagi pada beberapa bahagian kecil yang masih juga berkulit.

“Eeii… macam mana nak makan ni? Takkan nak makan dengan kulit-kulit kot?”

“Nak saya tolong?”

“Hah?!” Melompat Nurul dari tempat duduknya. Sereyat darahnya seketika sebelum bernafas lega bila pasti yang bercakap dengannya adalah manusia biasa.

“Awak ni… menakutkan orang sajalah!” dengus Nurul geram. Tidak habis-habis Fandi menyusahkannya.

“Maaf! Saya bukan nak takutkan awak. Awak yang tak perasan saya masuk sini tadi. Taksub sangat dengan udang tu,” terang Fandi bersungguh-sungguh.

Ketika dia masuk ke ruang dapur tadi dilihatnya Nurul begitu asyik menekan-nekan sesuatu di dalam pinggan sambil mulutnya membebel-bebel tidak habis-habis. Baru dia faham yang Nurul sebenarnya bukan sahaja manja, tetapi hendak makan pun mengharapkan bantuan orang. Belum lagi hendak memasak!

Fandi ke singki untuk membasuh tangan sebelum duduk berhadapan dengan tempat duduk Nurul. Hilang niat asalnya yang ingin membasahkan tekak tadi. Pinggan Nurul ditarik dan kulit udang mula diasingkan daripada isinya. Isi ikan yang sudah lunyai juga dipastikan supaya tidak bertulang lagi. Semoga ini dapat menebus kesalahannya mengumpat Nurul semasa makan malam tadi.

“Hmm… makanlah. Dah tak ada kulit dan tulang lagi,” suruh Fandi sambil menyorong perlahan pinggan ke hadapan Nurul.

Nurul menarik pinggan rapat ke hadapannya. Ditelitinya pinggan itu untuk memastikan apa yang dikatakan Fandi betul. Setelah yakin memang tidak ada tulang dan kulit udang, dia mula menyuap makanan ke mulut tanpa mempedulikan Fandi yang memerhatikan setiap gerak-gerinya. Biarlah apa pun yang hendak dikatakan lelaki itu, dia sudah tidak tahan untuk berlapar lagi!

“Wei… lamanya kau minum…”

Nurul dan Fandi sama-sama berpaling ke arah Nuqman yang masuk ke dapur.

“Aaa… adik… baru nak makan?” Terus tumpuan Nuqman beralih kepada Nurul.

“Dah abang gelakkan Nurul tadi, buat-buat tanya pulak!” tempelak Nurul, sudah mula bergenang matanya. Kecil hati sungguh dia dengan perangai Nuqman tadi. “Mentang-mentang ada geng, seronok aje abang mengumpat Nurul…”

Nuqman menarik kerusi di sebelah Nurul dan duduk di situ. Kepala Nurul diusapnya perlahan. Sesal sangat dia kerana mentertawakan Nurul tadi. Betul kata Nurul, bila ada kawan seronok pula dia menyakitkan hati adiknya yang begitu dijaga selama ini.

“Abang minta maaf, sayang… Abang tak…”

“Tak apa? Tak sengaja? Tak ada niat? Tipu!” selar Nurul cepat dengan air mata yang merambu-rambu di pipinya.

Kali ini, Fandi betul-betul terkedu. Sebelum Nuqman tiba tadi elok saja Nurul menjamah makanannya. Datang saja abangnya, dia terus menangis tersedu-sedu. Jangan sampai Nuqman fikir yang dia telah melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap adiknya sudahlah!

“Adik… janganlah macam ni! Tak baik nangis depan rezeki! Lagipun tak sedaplah makan nasi dengan sup perisa air mata ni.” Pinggan nasi Nurul dijauhkan oleh Nuqman, takut jika air mata adiknya yang jujuh bercampur dengan makanan.

“Abanglah punya pasal. Jahat sangat!” Air matanya diseka Nurul dengan lengan baju. Bukan lengan baju sendiri, lengan baju tidur Nuqman yang menjadi mangsa. “Abang kena denda diri abang sendiri!”

“Hmm… okey sayang, abang denda diri abang untuk suap adik makan! Boleh?” Sudah biasa Fandi dengan keletah Nurul. Faham benar dia apa yang Nurul inginkan. Bukan yang susah-susah, benda kecil pun sudah memadai untuk mengambil hatinya kembali.

Nurul mengangguk laju. Pinggan makannya cepat ditolak ke hadapan Nuqman sebelum dia sendiri bangun untuk mencuci tangan di singki.

Nuqman dan Fandi berpandangan. Keduanya sama-sama mengangkat kening dan bahu, terasa hendak ketawa, tetapi tidak berani! Hmm! Kena denda diri sendiri? Cikgu disiplin kat sekolah pun tak buat macam tu. Selalunya dia yang mendenda, bukan suruh orang denda diri sendiri.

Dengan helaan nafas lega, Nuqman turut ke singki untuk membasuh tangannya. Nurul yang berselisih dengannya sudah kelihatan tersengih keriangan.

“Apa tengok-tengok?” sergah Nurul bila Fandi leka memerhatikannya. “Awak pun patut kena denda diri awak. Sebab awak, saya gaduh dengan abang saya!”

Pulak! Tidak terlepas nampaknya Fandi. Dia juga kena mendenda diri sendiri seperti Nuqman. Denda pun dendalah! Memang dia bersalah.

“Okey… okey. Saya denda diri saya.” Fandi mula memikirkan denda yang mahu dilakukannya. Jika dengan menyuap nasi Nuqman sudah dimaafkan, maknanya dia juga tidak perlu bersusah sangat untuk mendapat kemaafan Nurul. Takut-takut Fandi mencuba nasibnya. “Saya ambilkan air untuk awak?”

“Hah, bagus!” setuju Nurul. Kedua ibu jarinya diangkat dan ditayangkan kepada Fandi.

Seperti yang dijangka, tidak susah rupanya untuk memenuhi permintaan Nurul. Segera Fandi ke kabinet untuk mengambil gelas, bukan saja untuk Nurul, tetapi juga untuk dia dan Nuqman. Sambil menyelam minum air! Dapat juga membasahkan tekak yang kering sedari tadi.

“Awak nak air apa?” soal Fandi sambil menayangkan botol air kosong dan bekas air oren kepada Nurul.

“Dua jenis air sekali? Pandai awak!” puji Nurul dengan ketawa manja yang panjang. “Saya nak dua-dua!”

Pertama kali melihat Nurul berwajah manis begitu nadi Fandi mula tidak sekata denyutannya. Nurul yang langsung tidak ramah sejak awal perjumpaan mereka tadi kini kelihatan begitu manis, manja dan sudah tentu polos sekali. Itu cuma permulaannya saja, belum boleh untuk Fandi menjadikan sebagai pendorong untuk dia membuat keputusan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81508/Awak-Pengantin-Saya