[SNEAK PEEK] RADIO

Radio oleh Fitri Hussin, Julie Jasmin, Syaida Ilmuna

BUDI terus nampak Johari yang sudah menunggu di tempat parkir sebaik dia membelok masuk stesen minyak itu. Dia terlewat sampai. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Johari yang resah tersenyum lega.

Sorry lambat sampai. Masuklah.”

Johari masuk ke dalam Mitsubishi Lancer GT.

“Kau dah beritahu orang tu kita lambat sampai?”

“Sudah bang.”

“Dia okey ke?”

“Okey aje bang. Asalkan kita beritahu. Dia tak tertunggu-tunggu nanti.”

“Jom kita gerak.”

Mereka tiba di sebuah rumah di hujung sebuah kampung di Banting. Sebaik sahaja mereka sampai, lampu beranda pun dinyalakan. Pintu rumah itu dibuka dan keluar seorang lelaki yang menunggu mereka di tangga. Lelaki itu menjemput mereka naik lalu duduk di kerusi rotan di beranda itu. Budi dan Johari duduk di situ. Sejurus seorang perempuan datang menghidangkan minuman dan makanan sebelum menghilang semula ke dalam rumah. Mereka berbual dahulu sambil minum dan makan.

“Saya datang ni sebab…”

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Mael itu mengangkat tangan. Budi yang faham tidak meneruskan kata-kata.

“Aku tahu.”

“Jadi apa sebenarnya yang berlaku pada saya bang?”

“Benda tu sentiasa ikut kau.”

“Benda apa bang?”

“Benda yang si Johari ni nampak kat belakang kereta kau tu.”

“Hantu?”

“Habis tu apa?”

Budi terdiam. “Macam mana dia boleh ikut saya bang? Dia asal dari mana? Saya tak pergi mana-mana tempat keras pun. Saya pergi pejabat balik rumah. Berulang macam tu tiap hari.”

Abang Mael tersenyum.

“Abang boleh tolong halaukan?”

“Payah sikit.”

“Sebab apa?”

“Bukan liar tapi bertuan.”

“Ada orang hantar ilmu hitam pada saya ke bang?”

Abang Mael mengangguk.

“Abang boleh bantu saya?”

“Boleh. Duduk bersila depan aku. Pejam mata.”

Budi bersila di lantai berhadapan Abang Mael. Mulut Abang Mael kumat-kamit membaca sesuatu. Dipegangnya kelopak mata kiri Budi dan kemudian berpindah ke kelopak mata kanan. Dipegangnya kepala Budi pula. Menghabiskan mantera yang dibacanya dengan dengusan kasar.

“Jauhi dia dan jangan datang lagi!”

Sunyi.

“Pergi kalau tak nak mati!”

Sunyi.

“Pergi!”

Kedengaran suara mendengus yang kuat sebelum sayup-sayup hilang.

“Buka mata kau.”

Budi membuka mata.

“Benda tu dah pergi. Nanti aku buatkan air. Minum dan mandi.”

Namun selepas seminggu benda yang mengganggunya itu muncul semula. Membuatkan Budi kembali berjumpa dengan Abang Mael.

“Kalau benda orang hantar memang payah. Bila dah dipaksa tuannya, nak tak nak dia terpaksa datang mengacau kau jugak. Tuan dia dah pegang kelemahan dia,” terang Abang Mael.

Budi mengangguk. Mulai perlahan-lahan belajar dan memahami selok-belok dunia ilmu hitam.

“Hari ni aku ubatkan, seminggu dua dia hantar lagi, kau pun diganggu semula.”

“Saya nak buat apa bang?”

“Aku ajar kau cara nak elak diganggu. Nak?”

“Ajar macam mana bang?”

“Ajar mantera pelindung diri.”

“Boleh bang.”

“Aku tak ajar orang sebarang. Orang terpilih aje aku ajar. Lagipun aku tengok kau sesuai.”

Budi tersenyum. Maklumlah terpilih dan sesuai pula.

“Kalau orang lain dah lama tumbang. Ada benda yang dituju pada kau tak kena.”

“Tak kena?”

“Betul. Orang tua kau bukan sembarangan.”

Budi terkejut mendengar kata-kata Abang Mael.

“Maksud abang?”

“Kau akan tahu nanti.”

“Beritahulah bang.”

“Kau akan tahu nanti. Sabar. Sekarang aku ajar kau cara nak atasi masalah kau ni. Sekali petua untuk keadaan-keadaan tertentu. Itu yang lebih penting.”

Budi tidak membantah biarpun hatinya meronta-ronta ingin tahu.

Seperti yang diberitahu Abang Mael, selepas seminggu kelibat perempuan tua itu muncul semula. Hampir sahaja kereta Budi terbabas apabila melihat wajah perempuan itu menjegil pada cermin pandang belakang. Mujur dia sempat menekan brek. Tayar berhenti selangkah dari gaung bukit.

Dia membuka pintu. Hendak keluar segera dari kereta seperti petua yang diberi oleh Abang Mael. Tetapi pintu itu ditolak keras dari luar. Kunci pintu tertutup sendiri. Dia cuba membuka kunci pintu itu semula. Ia tertutup sendiri semula. Brek tangan turun sendiri. Dia cuba menarik brek tangan itu ke atas semula. Tetapi brek tangan itu berat dan tidak mampu ditarik. Gear ke ‘D’ sendiri. Kereta itu berjalan sendiri.

Budi teringatkan pesan Abang Mael. “Tenang Budi, tenang.” Dia mengingatkan diri sendiri. Sebaik teringat mantera yang diajar Abang Mael, dia terus membacanya.

Kunci pintu kereta naik. Dia membuka pintu kereta. Sempat keluar sebelum pintu itu ditolak kuat dan tertutup semula. Keretanya berhenti bergerak kira-kira seinci dari gaung bukit. Budi lega bukan kepalang. Mengingati apa perkara seterusnya yang harus dilakukan, dia segera berdiri tetap lalu membaca mantera yang diajar Abang Mael.

Keretanya bergoyang kuat seperti ada sesuatu yang meronta-ronta di dalamnya. Di hujung manteranya terdengar cermin pecah dan suatu benda melesit pergi dari situ melanggar daun-daun pokok yang bergoyang kuat. Disertai raungan kesakitan yang menyeramkan.

Pantas Budi masuk semula ke dalam kereta dan pergi dari situ. Sepanjang jalan dia membaca mantera yang diberi Abang Mael sehingga sampai ke apartmen.

Perempuan tua itu tidak mengganggunya lagi. Dia berasa lega. Tetapi selepas sebulan, dia ternampak kembali kelibat perempuan tua itu di dalam apartmennya. Walaupun hanya nampak kelibat rambutnya, dia tahu ia milik perempuan tua itu. Yang anehnya selepas dia nampak perempuan tua itu sekali lagi dia ternampak kelibat lelaki tua yang dilihatnya di sisi keretanya dalam hujan dulu. Dia tertanya-tanya, adakah hantu yang mengacaunya dua ekor? Atau apa kaitan hantu lelaki tua itu dengan hantu perempuan tua itu?

Tidak senang duduk di dalam apartmen, Budi keluar melepak di restoran mamak. Pesan mi goreng dan teh tarik. Pesanan sampai selepas 15 minit. Dia kembali melayari Facebook, Instagram dan Twitter berhenti bermedia sosial. Cicip teh tarik dan jamah mi goreng.

Sebetulnya dia bukanlah lapar tetapi dia pesan juga mi goreng itu. Spontan. Entah apa yang difikirkannya waktu itu. Restoran mamak selalunya bukan kisah pun kalau pelanggan duduk berjam-jam. Lagi pula sebelum pulang ke apartmen dia sudah melantak nasi di restoran berdekatan pejabatnya seperti selalu.

Namun sebaik menjamah mi goreng itu, selera makanannya bangkit. Sedap satu hal dan perutnya yang berasa masih penuh tadi tup-tup seperti terasa sangat lapar. Tengah asyik menikmati makanan, dia berasa ada sesuatu di dalam mulutnya. Dia segera ke singki. Menunduk kepala. Sempat lagi tengok sekeliling. Kemudian baru luah. Gumpalan rambut kelihatan bersama mi goreng yang belum ditelan.

Dia membuka paip singki. Air mengalir melanggar gumpalan itu. Gumpalan mi berpisah dari gumpalan rambut itu. Dia melihat sekeliling. Kelihatan pekerja restoran itu bercekak pinggang mengawasi pekerja-pekerja lain.

“Anney!”

Penyelia restoran itu menoleh ke arah Budi.

“Mari sini.”

Penyelia restoran mamak itu datang. “Ada apa abang?”

“Kau tengok ni.” Tangan Budi menunjuk ke dalam singki.

Penyelia restoran itu melihat ke dalam singki.

“Kau rasa apa tu? Benda ni dalam mi goreng tu. Nasib baik aku tak telan.”

Sorry bang. Saya suruh tukang masak buat lain.”

“Tak payah. Tak selera aku nak makan lagi.”

“Ini mi abang tak payah bayar.”

Sejuk sikit hati Budi. Namun, dia tidak ke meja semula. Sebaliknya ke kaunter, membayar teh dan beredar dari situ. Pulang ke apartmen, menonton televisyen dan mula mengantuk. Seperti selalu, dia akan menggosok gigi sebelum tidur. Sambil menggosok gigi, dia akan merenung dirinya di dalam cermin.

Matanya terbeliak. Dia ternampak kelibat perempuan tua itu berlalu sangat pantas di belakangnya sebentar tadi. Dia terkaku sebentar dan pantas membaca mantera. Rasa cuak tadi perlahan-lahan hilang dan kelibat perempuan tua itu tidak muncul semula.

Dia menggosok gigi semula. Membuka pili air dan meludah ke singki. Terkejut mendapati air ludahan itu bercampur dengan gumpalan rambut. Air yang mengalir menghilangkan air ludahan dan membersihkan gumpalan rambut. Kali ini jelas kelihatan sifat rambut yang bergumpal itu. Ada helaian-helaian uban di dalam gumpalan rambut itu. Sah ia gumpalan rambut perempuan tua yang memang beruban itu!

Budi pantas berpaling. Sejurus dia berasa perempuan tua itu masih ada di situ. Ada bunyi pecutan air yang keluar dari kepala paip singki. Budi kembali melihat ke singki. Air yang mengalir dari kepala paip itu kelihatan sekejap perlahan dan sekejap laju. Seperti ada perubahan tekanan air. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Lampu bilik air terpadam. Sesaat kemudian terpasang kembali. Terpadam, terpasang, terpadam… Dalam sedetik itu Budi berasa mulutnya dipenuhi sesuatu. Pantas dia memasukkan jari ke dalam mulut. Menarik keluar apa yang memenuhi mulut. Terasa benda itu menjalar ke kerongkong. Menyesakkan nafasnya.

Lampu terpasang. Dalam sedetik cahaya itu Budi terkejut melihat apa yang ditarik keluar dari mulut ialah gumpalan rambut beruban. Lampu terpadam. Budi menggagau pemegang pintu. Dia mahu segera keluar dari situ. Tetapi yang dipegangnya adalah sesuatu yang amat dingin. Seperti kulit seorang manusia.

Lampu terpasang. Perempuan tua yang berdiri di hadapannya itu menyeringai ke arahnya. Budi menarik tangannya dari tangan perempuan tua itu. Lampu terpadam. Dia pantas berundur dan jatuh terlentang. Kepalanya melanggar bucu singki. Dia tidak menghiraukan kesakitan di kepala dan terus menjauhkan diri dari pintu. Lupa tentang mantera yang diajar Abang Mael.

Lampu terpasang. Perempuan tua itu sudah tiada. Lampu itu tidak terpadam lagi. Barulah Budi teringatkan Abang Mael. Segera dia beredar dari situ. Masuk bilik tidur dan capai telefon bimbit. Abang Mael dihubungi.

“Tolong saya bang…”

“Tenang. Baca mantera yang aku bagi tu.”

“Saya terlupa. Terkejut sangat tadi. Saya rasa dia ada lagi ni.”

“Kejap aku buat dari jauh.”

Diam setengah minit.

“Aku dah halau dia.”

“Baru saya rasa okey sekarang. Tak ada ke mantera lain yang lebih power bang?”

Terdengar Abang Mael ketawa di talian.

“Kau kena belajarlah.”

“Saya nak belajar.”

“Tapi tak boleh ambik secubit-secubit. Kena belajar satu peringkat ke satu peringkat.”

“Boleh bang. Bila abang free, saya jumpa abang. Lagi cepat dapat belajar lagi bagus.”

“Nak belajar tak payah jumpa aku. Aku pun bukan selalu ada di rumah.”

“Macam mana tu?”

“Belajar melalui…”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266822/radio

[SNEAK PEEK] AKU ALERGIK CINTA

AKU ALERGIK CINTA Oleh Ilyana Hani

PENAT Aizam berjalan menemani Aifa. Adiknya itu kalau sudah mula membeli-belah, bukannya satu kedai dijelajah, sepuluh kedai pun belum tentu dapat memuaskan hatinya. Masuk kedai pertama, tidak minat! Katanya baju terlalu ikut bentuk badan. Masuk kedai kedua, masih sama, tidak minat! Katanya baju terlalu banyak labuci. Masuk kedai ketiga, tidak minat juga! Katanya warna baju terlalu terang. Masuk kedai keempat, masih sama tidak berminat! Jika tadi baju terlalu terang, sekarang alasannya baju terlalu pudar.

Aduh, dia sendiri tidak tahu cita rasa Aifa. Susah benar mahu mencari baju yang menepati cita rasa gadis itu.

“Lambat lagi ke? Lepas ni, Aifa beli baju hujanlah. Senang sikit! Tak payah guna payung. Ataupun, Aifa beli baju tidur pergi kerja. Balik aje dari kerja, terus tidur. Bangun aje tidur, boleh terus pergi kerja. Tak payah nak beli baju banyak-banyak.”

Jelingan tajam yang dihadiahkan Aifa tidak dipedulikan. Perkara yang lebih penting sekarang, kakinya sudah kebas. Sudahlah Aifa berseronok membeli-belah, barang-barang yang dibeli dia juga kena pegang. Menonong Aizam mengikut langkah kaki Aifa. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan semua barang Aifa. Biar adiknya membawa barangnya yang berat berkilo-kilo itu sendiri.

“Kalau abang bosan, tinggalkan aje Aifa di sini. Nanti pandai-pandailah Aifa balik sendiri naik teksi,” ujar Aifa tanpa memandang sekilas pun pada Aizam.

Tumpuannya hanyalah pada baju yang menarik perhatiannya.

Aizam mencebik. Bolehlah adiknya bersuara begitu, kerana ibu dan ayah sudah memberi amanah untuk dia menemani Aifa membeli-belah hari ini. Kenapalah dalam banyak-banyak perkara yang boleh dibuat, ibu dan ayah meminta dia menemani Aifa membeli belah? Dia lebih rela mop lantai keliling pusat beli-belah daripada menyuruh menemani Aifa. Sama sahaja penatnya. Jika dia mop lantai, dia perlu mengelilingi pusat beli-belah hanya sekali. Tetapi jika menemani Aifa, dia perlu mengelilingi lebih daripada sekali.

Hati Aifa bukan boleh diduga. Andai hatinya kembali tertarik kepada baju yang dia lihat di kedai sebelumnya, dia akan mencari kembali kedai itu dan membeli baju berkenaan. Waimanya, berpusing-pusing kiri, kanan, atas dan bawah pun dia sanggup asalkan dia dapat membeli baju itu. Susah betul kalau membeli-belah dengan gadis bernama Aifa ni!

“Mengumpat dalam hatilah tu!” Aifa menyergah dari belakang.

“Dah tu, shopping mengalahkan anak jutawan. Kita keluar rumah pukul 2.00 tadi tau. Sekarang dah hampir pukul 5.00. Asar pun belum lagi ni. Jom pergi solat dulu. Lepas tu, kalau Aifa nak sambung shopping sampai subuh pun ikutlah. Tapi jangan lupa, solat maghrib dan isyak dulu,” bebel Aizam.

“Over!” Hanya sepatah Aifa membidas sebelum berjalan meninggalkan lelaki yang masih elok duduk di kerusi itu. Jeritan Aizam yang memanggil namanya tidak dipedulikan. Biarkan lelaki itu penat mengejarnya. Padan muka!

“Kebas kaki ni kalau ikut Aifa shopping. Lain kali, lebih baik shopping online aje. Badan pun tak penat, kaki tak letih, jiwa tak terseksa. Betullah orang cakap, kalau perempuan shopping memang susah nak diduga.” Mulut Aizam masih tidak berhenti membebel apabila dia berjaya menyaingi langkah Aifa. “Jom solat.” Dia kembali bersuara apabila Aifa masih diam.

“Abang pergilah solat. Aifa nak sambung jalan-jalan tengok baju.”

“Solatlah dulu. Baju tu, lepas solat boleh tengok.”

“Aifa cuti. Abang pergilah surau dulu. Nanti dah habis solat, abang telefon Aifa. Kita catch up dekat mana-mana, okey?”

Langkahnya kembali diatur laju meninggalkan Aizam. Baru tiga tapak melangkah, dia kembali menoleh ke belakang.

“Barang-barang Aifa tu abang pegang dulu ya. Abang seorang yang gentleman, kan? Tolonglah pegangkan, ya. Bye!” Tangannya dilambai-lambaikan, sengaja mahu menambah darjah kepanasan di hati Aizam.

“Nasib badan!” Aizam merungut. Inilah yang membuatkan dia malas mahu menemani Aifa membeli-belah. Sukar benar mahu penuhi keinginannya. Dia mengatur langkah ke surau.

AIZAM meletakkan barang-barang yang dibeli di kerusi sebelum dia duduk berhadapan Aifa. Makanan di atas meja dipandang dengan senyuman. Inilah kelebihan Aifa. Adiknya itu tahu benar cara mengambil hatinya. Makanan kegemarannya sudah siap berada di atas meja.

“Terima kasih sebab teman Aifa petang ni. Sayang abang!” Suaranya dilunakkan. Inilah strateginya, selepas membuli dia akan kembali membeli hati. Hebatkan Aifa Nabila? Kalau bukan Aizam yang menemaninya membeli belah, siapa lagi mahu diharapkan?

“Waktu sekarang baru nak sayang abangkan? Kalau tak, asyik cari gaduh aje.” Dia bersuara tanpa memandang sekilas pun pada Aifa. Tumpuannya sudah beralih ke arah makanan yang berjaya membuatkan perutnya bertukar irama keroncong.

“Gaduh-gaduh sayang tu perlu, supaya kita jadi lebih mesra.” Mata Aifa dikenyit nakal.

Dia tahu… jauh disudut hati, Aizam benar-benar menyayanginya. Cuma, biasalah bebelan kecil kerana letih menemaninya membeli-belah itu selalu didengarnya. Kerana itulah ibu dan ayah jarang benar mahu menemaninya membeli-belah.

“Aifa, dah tahu ke belum esok ada orang baru nak masuk rumah Syafiq?” Aizam mengubah topik perbualan. Malas dia mahu mempersoalkan mengenai letih menemani adiknya yang seorang itu. Kalau sejuta kali dia menyebut letih sekalipun, dia masih perlu menemani Aifa juga. Eh, bukan perlu tetapi wajib! W.A.J.I.B.

“Fiq nak kahwin ke?” soal Aifa teruja. Sudu dan garpu diletakkan di bibir pinggan. Dia mahu fokus mendengar berita panas ini.

“Agak-agaklah kalau nak tanya soalan.” Aizam melepaskan tawa, menampakkan barisan giginya. Kelakar benar soalan Aifa.

“Apa yang lawaknya?” Aifa bengang. Betullah soalan yang dia tanya.

“Tak logik betul! Esok dah masuk orang baru, tiba-tiba tanya Fiq nak kahwin ke? Tak mungkin dia kahwin dalam masa sehari aje. Tak jemput kita pula tu!” Tawa Aizam masih bersisa.

Aifa mencebik. Menyampah dia dengar tawa yang masih bersisa itu. “Siapa tahu kalau tiba-tiba Fiq kahwin tak jemput kita.” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.

“Fiq tu nama aje ada girlfriend, tapi ura-ura nak kahwin tak dengar langsung,” bidas Aizam.

“Siapa tahu kalau mak ayah dia carikan calon? Sekarang ni pun masih ada orang kahwin dengan calon pilihan mak dan ayah. Bahagia sampai ke akhir hayat tau,” bidas Aifa, masih tidak mahu mengalah. ‘Ini Aifa! Pantang menyerah! Juara petah bicara sewaktu zaman tadika tau!’

“Kalau macam tu, bolehlah abang suruh ibu dengan ayah carikan jodoh untuk Aifa. Kahwin, dan insya-ALLAH bahagia sampai ke akhir hayat.”

Aifa menjeling Aizam dengan tajam. Alamak, dia tersalah cakap lagi! Pantang betul adiknya itu diutarakan topik seperti ini. Entah bila prinsip Aifa akan berubah?

“Nak sambung kes pagi tadi ke?” Sinis soalan yang ditanya. Kalau lelaki di hadapannya ini mahu meneruskan gelanggang perdebatan, dia sanggup!

“Abang mengalah!” Kedua-dua tangan, Aizam angkat. Lemah benar dia dengan isu ini.

Aifa tersenyum. “Abang, nampak tak kedai buku dekat tingkat atas tadi?”

“Tak payah buat soalan poyo, cakap ajelah nak abang temankan beli novel baru. Jom! Lepas ni cakap tu biar terang, tak payah nak belok-belok. Abang dah kenal Aifa luar dan dalam. Cakap belok kiri kanan pun abang faham maksud dia.”

Aifa tersengih. Oh, inilah abang terbaik di dunia! Sudah arif benar dia dengan niat adiknya. Dia bangun saat Aizam sudah mula menapak keluar daripada food court itu. Baru sahaja dia mahu mengatur langkah, tubuhnya dilanggar dari belakang dan serentak itu dia merasakan tubuhnya sejuk disiram air.

“Maaf, saya tak sengaja. Cik okey ke?”

Suara lelaki memohon maaf jelas kedengaran di telinganya. Aifa pantas berpaling ke belakang. Sakit hatinya. Habis baju putih bercorak bunga kecil bertukar menjadi tompok-tompok perang. Tak pasal-pasal petang ini dia dimandikan dengan air teh ais!

“Maaf kau kata? Kau buta ke apa? Tak nampak aku nak jalan tadi?” Mencerlang matanya memandang lelaki yang memandikannya tadi.

“Maaf… saya betul-betul tak sengaja, cik. Cik yang jalan mengejut tadi. Tak sempat saya nak brek. Sebab itu saya terlanggar. Saya minta maaf sekali lagi.” Tisu yang kebetulan berada di tangan, digunakan untuk mengesat baju gadis di hadapannya.

“Kau dah kenapa? Ambil kesempatan nak raba badan aku ke?” Suara Aifa kembali menyinga. Tidak dipedulikan orang sekeliling yang memandang pelik ke arahnya.

Aizam yang melihat adegan sebabak itu terus berpatah balik mendapatkan adiknya. Aifa ini tidak boleh dibiarkan berseorangan dengan lelaki. Nanti habis semua lelaki akan dibuat musuh. Apatah lagi dengan lelaki yang mula mencipta sejarah buruk pada kali pertama bertemu seperti ini.

“Saya cuma nak kesat air, itu aje. Tak adanya saya nak ambil kesempatan.” Lelaki tu membela diri. Gadis di hadapannya dipandang dengan riak terkejut. Masih wujud golongan garang seperti ini! Hanya kerana tertumpahkan air, garangnya bagaikan ibu singa yang mengamuk kerana anaknya diganggu.

Aizam segera mendekati Aifa. “Sudahlah tu. Jom balik” Tangannya menarik lengan Aifa mengisyaratkan untuk balik tetapi gadis itu masih tidak berginjak seperti tadi.

“Kesat air konon. Macam aku tak tahu jenis lelaki macam kau ni memang suka ambil kesempatan pada kaum wanita. Tapi kau silap oranglah nak try. Aku bukan jenis perempuan macam tu. Faham!” Jari telunjuknya dihalakan tepat di hadapan wajah lelaki yang menumpahkan air tadi.

Tangan Aizam yang sedari tadi menarik lengannya agar mengikut dia beredar dari situ langsung tidak dihiraukan.

Aizam menggeleng kesal. Nampaknya Aifa kembali memulakan sengketa. Tanpa segan atau malu memulakan drama sebabak di food court. Tiba-tiba dia pula yang berasa malu kerana menjadi perhatian orang ramai.

“Saya tak ada niat lain. Kalau cik nak double minded bukan dengan saya sebab saya ni jenis straight to the point, tak pandai nak kelok-kelok. Kalau betul saya nak ambil kesempatan sekalipun, saya tak akan buat dekat orang macam cik. Saya tak berminat, maaf.” Suara lelaki itu yang pada mulanya keras mula berubah menjadi nada sinis. Masih wujud perempuan seperti ini? Kolot benar fikirannya.

“Maaf, encik! Kami pergi dulu. Maafkan adik saya.” Aizam yang sedari tadi diam mula bersuara apabila melihat drama sebabak adiknya bertambah kecoh. Tangan Aifa ditarik agar mengikuti langkahnya. Semakin lama dia membiarkan Aifa di situ, semakin teruk adegan sebabak itu akan berlangsung. Cukuplah Aifa menjadi pelakon tak berbayar di situ tadi.

Lelaki itu sekadar memandang gadis singa tadi ditarik oleh abangnya. Secara tiba-tiba dia merasakan hatinya berdebar laju. Kenapa ya? Mungkin berdebar kerana malu apabila melakonkan adegan sebabak tadi.

Gadis singa, wajahnya manis dan cantik dipandang. Tetapi perangai bengisnya itu menyesakkan jiwa. Gadis singa yang cun, sedap nama tu! ‘Ah, biarlah!’ Lelaki itu meninggalkan gelas teh ais yang masih berbaki separuh sebelum berjalan meninggalkan food court tersebut.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/75675/aku-alergik-cinta

Sejenak Bersama Azleya Shadzalin

Antara hasil karya Azleya Shahdzlin dalam industri buku

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Bagi bulan ini, admin berjaya menemu bual seorang penulis novel yang kini telah menghasilkan 5 buah novel keseluruhannya.

Saya Azleya Shadzalin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Sebelum ini saya bernaung di bawah rumah penerbitan KarnaDya. Selepas itu bersama Alaf 21 (Karangkraf) sehingga sekarang.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Azleya Shadzalin menulis?

Sebelum menjadi penulis saya memang peminat novel. Saya gemar membaca. Jadi secara keseluruhannya saya mendapat inspirasi dari pembacaan novel penulis-penulis senior dan rakan-rakan penulis yang lain.

2. Apa makanan kegemaran Yatie Atiqa?

Saya amat menggemari sate, rojak manis, western food dan sudah tentu sebagai orang Johor, asam pedas merupakan salah satu makanan kegemaran saya.

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Aina Emir, Aisya Sofea, Hani Fazuha, Melur Jelita dan semua penulis secara amnya. Saya kan minat membaca jadi semua penulis saya suka. Tak kira penulis senior atau penulis baru.

4. Apakah novel kegemaran Azleya Shadzalin? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak! Antaranya novel-novel Aina Emir, novel-novel Aisya Sofea, novel-novel Melur Jelita dan banyak lagilah.

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Ada. Kucing.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Saya suka ke Mekah dan Madinah. Tenang dan banyak memberi inspirasi dari segi jiwa dan nurani. Tapi itu tidak dikira melancong kan? Jadi, jika destinasi pelancongan, saya memilih Korea, Indonesia, negara Timur Tengah atau negara Eropah sebab banyak tempat menarik dan situasi yang boleh membuahkan idea selain dapat bercuti dan bersantai.

7. Apakah Azleya Shadzalin merancang untuk menulis dan produce novel terbaru? 

Ya, sudah semestinya. Sebagai penulis saya sentiasa mahu hasilkan sesuatu untuk tatapan pembaca dan untuk kepuasan diri sendiri bila dapat menjadikan idea yang terangka di minda dalam bentuk cetakan.

8. Apakah pesanan Azleya Shadzalin kepada pembaca di luar?

Apa yang mampu saya katakan, terimalah apa yang penulis hasilkan seadanya. Kami penulis ni sudah cuba sedaya upaya untuk hasilkan karya yang terbaik dan memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Maafkan saya dan penulis lain jika hasil karya kami tidak menepati citarasa. Tegurlah sebaiknya agar kami boleh perbaiki dari masa ke masa.

9. Pada pandangan Azleya Shadzalin, apa istimewanya novel Azleya Shadzalin berbanding novel lain di pasaran?

Saya hanya penulis kecil. Tiada yang istimewa tentang penulisan saya. Masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari. Apa yang saya tulis setakat ini adalah berdasarkan kisah benar jadi saya berharap agar karya saya mampu menyentuh jiwa pembaca dan moga ada sedikit pengajaran yang dapat pembaca perolehi dari penulisan saya.

10. Dari mana Azleya Shadzalin selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Secara keseluruhannya saya banyak mendapat idea dari perkongsian cerita kawan-kawan dan kenalan. Selain itu dari pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Saya suka perhatikan keadaan dan situasi yang berlaku tak kira di mana saja.Ada juga sedikit pengalaman sendiri yang saya selitkan dalam penulisan sebagai kenangan.

11. Apa rutin harian Azleya Shadzalin? Ada yang rare tak?

Tak ada yang rare pun. Saya mempunyai pekerjaan tetap jadi masa saya memang sentiasa terisi dengan tugasan dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Di sebelah malam pula selepas meluangkan masa bersama anak-anak dan keluarga, barulah saya menulis. Itu pun jika tidak terlalu letih. Menulis dan membaca novel merupakan hobi yang mampu buat saya release tension bekerja selepas menghadapi hari yang panjang dan melelahkan.

12. Describe diri Azleya Shadzalin dalam 3 patah perkataan?

Saya suka cabaran.

13. Apa nasihat Azleya Shadzalin kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Menulis ni ibarat percaturan nasib. Kadang di bawah dan kadang di atas. Tak semua pembaca dapat terima hasil karya kita. Jangan putus asa dan teruslah berkarya. Menulislah dari hati. Ikhlas dalam berkarya. Bukan semata-mata mengejar glamour dan populariti. Intergrati dan maruah dunia penulisan kenalah jaga.

14.  Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Azleya Shadzalin kuasai?

Tiada.

Kami berharap agar cik Azleya Shadzalin akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarik dan bermutu. Jika anda berminat dengan tulisan beliau, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya.

Karya terbaru Azleya Shadzalin boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_28_azleya-shadzalin/~

Sejenak Bersama Yatie Atiqa

Antara judul yang ditulis oleh Yatie Atiqa

Nama sebenar saya Nor Hayati binti Mohamad. Saya dilahirkan dan membesar di Kuala Lumpur. Saya merupakan anak kedua dari sembilan orang adik beradik. Saya bersekolah di Sek Ren Jalan Pasar 2, Sek Men Puteri Jaya dan Sek Men Aminuddin Baki Kg Pandan. Sebaik saja tamat tingkatan 5 saya mengambil kelas menaip dan kesetiausahaan di kolej swasta. Dengan berbekalkan sijil yang diperolehi saya berjaya mendapat pekerjaan pertama di sebuah syarikat swasta di Subang Jaya. Saya telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak lelaki. Kini telah punya 2 orang menantu dan 2 orang cucu yang berusia 3 tahun dan 2 tahun.

Saya meminati bidang penulisan sejak dibangku sekolah. Apatah lagi saya mengambil aliran sastera semasa ditingkatan 4 dan 5. Oleh kerana kesibukan tugas harian di pejabat dan urusan rumahtangga, saya terpaksa melupakan bidang penulisan buat sementara waktu. Akhirnya setelah berhenti kerja kerana masalah penjagaan anak, minat menulis datang semula. Apabila anak-anak semakin membesar dan banyak waktu terluang maka tercetus ilham untuk berkarya. Tahun 2010 saya mula serius menulis dan novel pertama saya diterbitkan pada tahun 2011 bertajuk Irama Semalam. Novel kedua lahir pada 2013 bertajuk Helo, si Merah Jambu dan yang ketiga pada 2015 bertajuk Terbaik untukmu. Kesemua novel-novel saya lahir di bawah terbitan Alaf 21.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Yatie Atiqa menulis?

Keluarga dan kawan-kawan terdekat.

2. Apa makanan kegemaran Yatie Atiqa?

Mee goreng dan western food.

3. Siapakah penulis kegemaran Yatie Atiqa? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Norhayati Brahim, Ramlee Awang Murshid dan Aisya Sofea,

4. Apakah novel kegemaran Yatie Atiqa? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Tenggelamnya Kapal Van Dervick karya Hamka

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Dulu ada. Kucing. Tapi dah serik nak bela sebab kucing kesayangan mati kerana sakit dan lama bersedih.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Yatie Atiqa mahu pergi dan mengapa?

New Zealand kerana pemandangannya yang cantik.

7. Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Yatie Atiqa? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Ya. Tetapi buat masa ini diperam dahulu kerana dunia novel agak sejuk sekarang ini.

8. Apakah pesanan Yatie Atiqa kepada pembaca di luar?

Nilailah karya penulis dengan membaca tulisan mereka. Ramai penulis-penulis hebat dengan karya-karya hebat tetapi kurang menonjol kerana terlalu banyak saingan.

9. Pada pandangan Yatie Atiqa, apa istimewanya novel Rehan Makhtar berbanding novel lain di pasaran?

Saya hanya penulis kecil. Karya-karya saya sama seperti karya-karya lain yang ada dipasaran. Masing-masing ada keistimewaan yang tersendiri. Istimewanya novel saya kerana ia adalah kisah cinta. Ia lahir dari sudut hati yang paling dalam dan dicampur aduk dengan pengalaman sendiri.

10.Dari mana Yatie Atiqa dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham datang hasil dari banyak membaca dan sudah tentu dari pengalaman sendiri juga.

11. Apa rutin harian Yatie Atiqa? Ada yang rare tak?

Buat masa sekarang tidak ada yang rare selain dari meluangkan masa bermain dengan cucu-cucu yang semakin lasak dan nakal. Di samping itu saya menguruskan emak pengidap kencing manis dan menjalani dialysis 3 kali seminggu. Bapa saya baru saja meninggal dunia 2 bulan lepas. Sebelum ini rutin saya setiap pagi menguruskan arwah bapa yang menghidapi penyakit stroke.

12. Describe diri Yatie Atiqa dalam 3 patah perkataan?       

Tidak banyak bercakap.                

13. Apa nasihat Yatie Atiqa kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Nasihat saya, konsisten dalam menulis. Tulislah walau sebaris ayat setiap hari. Dan rajin-rajinlah membaca karya penulis-penulis lain supaya ilham lebih terbuka dan meluas.

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Yatie Atiqa kuasai?

Sedikit bahasa tamil. Semasa saya kecil tinggal di kawasan kuaters dan berjiran dengan keluarga india.

Kami berharap agar cik Yatie Atiqa akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarika dan bermutu. Jika anda berminat dengan tulisan beliau, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya

Karya terbaru Yatie Atiqa boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_36575_yatie-atiqa/~

 

Sejenak Bersama Herna Diana

Antara hasil karya Herna Diana

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Bagi bulan ini, admin berjaya menemu bual seorang penulis novel dimana salah satu daripada novel beliau sedang ditayangkansebagai drama di Singapura. Novel yang kami maksudkan ialah Mr. London Ms. Langkawi.

Kalau readers nak tahu lebih lanjut mengenai cik penulis kita Herna Diana, ikuti perbualan kami di bawah.

Ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Herna Diana. Kami akan kongsikan kepada peminat Herna Diana juga info ini.

Seorang novelis yang bernaung di bawah Karangkraf. Beliau berasal dari Utara Malaysia. Setakat ini mempunyai empat buah novel iaitu:

  • Cinta 3 Suku
  • Sayang Cik Tiramisu
  • Oh, Mama Tiriku!
  • Mr. London Ms. Langkawi

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Herna Diana menulis?

Boleh dikatakan sebenarnya saya bermula sebagai seorang pembaca novel. Minat menulis tu memang ada sejak dari sekolah lagi. Tapi tak pernah serius pun. Sekadar suka-suka saja. Cuma pada tahun 2008, tiba-tiba terasa nak cuba hasilkan sebuah novel. Masa tu tak terniat langsung sampai nak dibukukan. Hanya nak buat simpanan peribadi. Tapi bila manuskrip tu dah siap, abang saya bagi cadangan supaya hantar ke syarikat penerbitan. Mulanya memang saya menolak sebab saya tak yakin langsung. Tapi bila didesak beberapa kali, saya pun macam…ah, cuba jelah. Mungkin dah tertulis rezeki, manuskrip saya tu diterima dan akhirnya pada tahun 2010 terbitlah manuskrip saya tu atas judul CINTA 3 SUKU. Itulah novel pertama saya.

2. Apa makanan kegemaran anda?

Saya bukanlah orang yang jenis memilih makanan. Asal boleh saya bedal (janji Halal). Hehe… Tapi jika antara makanan pedas dan manis, saya lebih memilih makanan pedas. Jika antara masakan kampung atau western, selera saya lebih kepada masakan kampung.

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Jujurnya, saya tak ada penulis kegemaran. Sebab saya baca semua genre novel. Semua penulis ada kelebihan masing-masing dan saya hormati semua insan yang bergelar penulis.

4. Apakah novel kegemaran Herna Diana? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak sangat.

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Saya sukakan kucing. Dulu ada pelihara kucing. Tapi sekarang dah tak ada.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Mana-mana pun boleh. Janji melancong. Haha…

Untuk persoalan mengapa, setiap tempat ada keindahan tersendiri. Dan saya amat hargai jika saya berpeluang menikmati keindahan tersebut.

7. Apakah Herna Diana merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Saya masih menulis dan akan terus menulis selagi diberikan ilham dan selagi masih ada yang sudi membaca karya saya. Tentang novel baru, ianya masih di peringkat awal. Tajuk pun belum ada.

8. Apakah pesanan Herna Diana kepada pembaca di luar?

Jadi pembaca yang bijak. Jangan hanya membaca tetapi kosong. Baca dan ambillah pengajaran yang tersurat dan tersirat di dalam bahan bacaan anda.

Kepada pembaca karya2 saya, terima kasih kerana menjadi warna-warna yang menceriakan kanvas kehidupan seorang Herna Diana.

9. Pada pandangan Herna Diana, apa istimewanya novel Herna Diana berbanding novel lain di pasaran?

Setiap novel ada keistimewaannya. So, saya tak pernah membuat sebarang perbandingan.

10. Dari mana Herna Diana selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Dunia sekeliling saya. Ada juga sedikit pengalaman sendiri yang saya kongsikan dalam karya saya.

11. Apa rutin harian Herna Diana? Ada yang rare tak?

Saya orang biasa. So rutin harian saya juga biasa-biasa sahaja.

12. Describe diri Herna Diana dalam 3 patah perkataan?

Saya Anak Malaysia

13. Apa nasihat Herna Diana kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi nasihat kerana saya juga masih baru. Masih dalam proses belajar. Cuma seperkara yang boleh saya kongsikan. Jadilah penulis yang bertanggungjawab dalam setiap karya anda. Kerana setiap apa yang ditulis akan terpikul di bahu anda sehingga ke akhirat kelak. Jadi, tulislah yang baik-baik ya.

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Herna Diana kuasai?

Loghat utara (Boleh diterima pakai tak? Hehe…)

Sekian saja dari kami. Kami mendoakan semoga Herna Diana akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Herna Diana, mahu lebih banyak judul daripada beliau

Novel yang sedang diadaptasi ke drama di sebuah stesen TV di Singaura. Membariskan Zul Arifin dan Izzara Aishah sebagai pelakon utama.

Karya terbaru Herna Diana boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_52482_Herna-Diana/~

[SNEAK PEEK] ‘PLAYBOY’ PALING ROMANTIK

‘PLAYBOY’ PALING ROMANTIK Oleh Azalea Eshal

QISHA Delisa menanti dengan penuh sabar di ruangan menunggu di syarikat Hadif Fayyadh. Dia sudah berjanji untuk mencari baju nikah sebentar lagi bersama lelaki itu. Ketika sedang menunggu, tiba-tiba dia
ternampak Wan Firaz baru sahaja melangkah masuk ke ruangan itu. Tidak sempat dia mahu melarikan diri kerana lelaki itu sudah perasan kehadiran dirinya.
“Qisha,” panggil Wan Firaz, tidak menyangka akan bertemu dengan kekasih hatinya itu di sini.
Lagipun dia datang untuk berjumpa dengan Dato’ Malik atas urusan perniagaan.
“Oh, kau,” ujar Qisha Delisa, bersahaja.
Pada hari itu dia hanya mengenakan seluar jeans biru yang sedikit longgar dan blaus berwarna putih berlengan panjang. Rambutnya yang panjang dan sedikit ikal, dibiarkan bebas.
“Qisha, maafkan Risya. Abang dah ajar dia cukup-cukup. Sanggup dia buat orang yang abang sayang sampai jadi macam ni. Abang dah pukul dan bagi amaran kat dia,” ujar Wan Firaz tanpa rasa bersalah.
Memukul isteri demi orang luar? Itulah Wan Firaz. Lelaki itu cuba menyentuh wajah Qisha Delisa tetapi ditepis.
Menggigil seluruh tubuh Qisha Delisa apabila mendengar perkataan pukul. Itulah sikap Wan Firaz yang paling dibencinya. Dia selalu dipukul dan didera Wan Firaz.
Aku takut! Aku takut! Hadif, cepat selamatkan aku. Aku tak kuat! Jerit Qisha Delisa dalam hati.
“Qisha okey?” soal Wan Firaz, bimbang melihat wajah di depannya yang kelihatan sedikit pucat.
Kenapa? Tadi elok aje mukanya ceria. Sekarang nampak macam nak demam aje.
“Aku okey,” jawab Qisha Delisa, perlahan.
“Qisha, kita kahwin? Abang akan jaga Qisha dengan baik macam dulu,” ujar Wan Firaz, penuh penyesalan.
“Dahlah! Aku tak nak!” tolak Qisha Delisa tanpa memandang wajah Wan Firaz.
Dia berundur ke belakang sedikit.
“Hai, Firaz. Sayang, maaf sebab kena tunggu I lama sangat. Ada hal sikit tadi,” ujar Hadif Fayyadh, tiba-tiba muncul.
Dari jauh dia melihat Wan Firaz ingin menyentuh Qisha Delisa. Sakit benar hatinya.
Berani lelaki tu cuba sentuh kekasih hati aku. Mana boleh aku biarkan macam tu aje. Eh, kenapa tubuh Qisha nampak menggigil? Kenapa Qisha takut sangat dengan Firaz? Kenapa? Soal Hadif Fayyadh dalam hati.
Kacau daun aje mamat ni. Setiap kali aku nak cakap dengan Qisha, dia suka sangat menyibuk, getus hati Wan Firaz sambil memaniskan wajah.
“Hai, eh tak apalah. Saya pergi dulu,” ujar Wan Firaz, sakit hati melihat aksi-aksi mesra mereka berdua.
“Tunggu dulu, Firaz. Ni ada kad untuk kau. Jangan lupa datang malam Jumaat ni. Itu pun kalau kau sudi. Hanya orang istimewa aje yang dijemput tau. Okeylah, bye,” ujar Hadif Fayyadh sambil menghulurkan sekeping kad berwarna ungu.
Kad itu sudah lama siap. Sengaja disimpan satu untuk diberikan kepada orang yang tidak tahu malu ini.
Qisha Delisa seperti dapat meneka kad itu. Kalau Wan Firaz baca, pasti lelaki itu mengamuk.
Tapi siapa dia untuk mengamuk? Aku dah tak ada apa-apa kaitan lagi dengan dia. Tolong jangan ganggu aku lagi!
“Jom kita pergi, sayang,” ajak Hadif Fayyadh, mesra.
Wan Firaz mengambil huluran kad itu sambil melihat pasangan itu berlalu pergi dengan hati yang sakit.
“Apa? Jemputan perkahwinan?”
Menggigil tangan Wan Firaz membaca nama yang tertera di atas kad itu.
“Qisha Delisa kahwin dengan Hadif Fayyadh?”
Hatinya semakin sakit. Kad jemputan itu dikoyaknya lalu dibuang ke dalam tong sampah berdekatan.
Aku takkan biarkan mereka kahwin dengan mudah. Susah payah aku cari Qisha. Tapi bila dah jumpa, dia dah nak kahwin dengan orang lain pulak. Mana boleh, Qisha. Kau tak boleh buat aku macam ni. Mungkin silap aku dulu tapi aku nak kau maafkan aku dan kau akan kembali ke sisi aku macam dulu, Qisha, bisik hati Wan Firaz.
Wan Firaz pulang ke rumah dalam keadaan marah. Marah kerana Qisha Delisa akan berkahwin dengan lelaki lain. Dia duduk di atas sofa di ruang tamu. Pasu kristal yang berada di atas meja diambil lalu dicampak ke dinding.
Bunyi kaca yang pecah mengundang Farisya ke ruang tamu. Sejak dia berkahwin dengan Wan Firaz, jangan harap dia boleh buat sesuka hati. Mahu membeli-belah pun tidak boleh. Dunianya hanya di dalam rumah. Dulu, pantang matanya celik, pasti kelab malam menjadi persinggahannya. Pusat-pusat membeli-belah tempatnya menghabiskan wang tetapi kini, rumahku, duniaku. Dia takut kalau dia keluar, pasti dia akan dipukul.
“Argh!” jerit Wan Firaz sekuat hati.
Apa yang aku boleh buat untuk pisahkan mereka? Soal Wan Firaz dalam hati sambil meraup wajah berkali-kali.
“Ingatkan dah tak reti nak balik rumah,” sindir Farisya.
Sejak dia dipukul Wan Firaz kerana mencederakan Qisha Delisa, suaminya tidak lagi ambil kisah tentang dirinya.
“Kau diam! Nanti tak pasal-pasal makan penyepak aku pulak!” tengking Wan Firaz, sedikit pun tidak memandang wajah Farisya.
Wanita itu tidak lebih daripada menjadi boneka nafsunya. Jika dia mahu melepaskan nafsunya, Farisya dicarinya. Jika tidak, dia buat tidak tahu. Dato’ Darwish pun tidak mempedulikan Farisya. Farisya hanya anak tirinya sahaja.
“Sudahlah! Qisha akan kahwin dengan Hadif. Dia akan hidup bahagia dengan lelaki tu nanti,” ujar Farisya, sengaja mahu membakar hati suaminya.
Padahal hatinya juga sakit kerana Hadif Fayyadh jadi berkahwin dengan perempuan tidak tahu malu itu. Tetapi ini semua salahnya. Layakkah dia mempertikaikan soal perkahwinan mereka?
“Aku kata diam! Kau tu yang sepatutnya kahwin dengan Hadif. Bukan Qisha!” jerit Wan Firaz lagi.
Kata-kata itu membuat dia tidak senang duduk. Dia merancang sesuatu untuk pisahkan mereka.
“Tapi kalau kau tak kahwin dengan aku pun, kau takkan jumpa Qisha, kan?” soal Farisya.
“Kita patut rancang sesuatu untuk pisahkan mereka,” ujar Wan Firaz, ligat berfikir.
“Tak payahlah susah-susah nak fikir. Kau tunggu dia kahwin, pasti pergaduhan dan penceraian akan berlaku,” duga Farisya.
Dia seperti boleh mengagak dengan perangai gila Wan Firaz. Ah! Kenapa dulu aku tak nampak sikap gila mamat ni? Menyesal sungguh aku kahwin dengan dia! Nak menyesal pun dah tak guna. Inilah jodohnya. Inilah takdirnya!
Farisya memandang ruang tamu dengan perasaan sepi. Inilah dunia aku. Dia terus berlalu ke bilik.
HADIF Fayyadh berasa bimbang dengan keadaan Qisha Delisa. Dari tadi gadis itu hanya diam membisu. Apabila disuruh menukar baju pengantin, gadis itu hanya menurut. Kelihatan gadis itu seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kau okey tak, Qisha?” soal Hadif Fayyadh sambil melangkah masuk ke tempat persalinan Qisha Delisa.
Gadis itu baru sahaja ingin membuka zip gaun pengantin di bahagian belakang.
“Hoi, Hadif! Agak-agaklah kalau ya pun! Keluar! Keluar!” jerit Qisha Delisa.
“Aku ingatkan kau nak aku tolong bukakan gaun tu,” ujar Hadif Fayyadh dari luar tempat persalinan yang hanya dipisahkan dengan sehelai kain tirai berwarna coklat cair.
“Gila ke apa! Kau ni memang playboy, kan!” marah Qisha Delisa.
“Haa… macam nilah baru Qisha aku,” ujar Hadif Fayyadh gembira kerana Qisha Delisa sudah kembali normal.
“Yalah tu,” sindir Qisha Delisa.
Selepas menukar pakaian, mereka berdua menuju ke ruang perbincangan. Pakaian pengantin sudah ditempah. Tiada masalah untuk mencari saiz tubuh Qisha Delisa.
Selesai sahaja urusan memilih baju pengantin, mereka membeli barangan untuk dibuat hantaran.
“Kau bagi aku 11 dulang, aku pulak bagi kau sembilan dulang. Banyak tu, jadi kau nak aku bagi apa?” soal Hadif Fayyadh sambil berjalan di pusat membeli-belah.
“Aku nak kau. Ada kau dah cukup,” jawab Qisha Delisa, selamba.
Hadif Fayyadh tersentak tetapi tidak lama kemudian dia tersenyum kembali.
“Kau nak letak aku kat atas dulang ke? Nanti siapa pulak yang nak kahwin dengan kau?” usik Hadif Fayyadh.
Qisha Delisa ketawa kecil. Dia dapat membayangkan Hadif Fayyadh yang duduk di atas dulang hantaran. Alahai, sweetnya!
“Kau bagi ajelah apa-apa pun. Aku terima.”
“Kalau macam tu, aku nak bagi kau gaun malam yang seksi dan satu set pakaian dalam wanita yang seksi. Alah, yang tali halus tu. Mesti seksi gila bila kau pakai. Lagi…” ujar Hadif Fayyadh, berhenti untuk berfikir.
Belum sempat Hadif Fayyadh menyambung kata, Qisha Delisa mencubit lengan lelaki itu. Geram!
“Jangan nak mengarut kat sini ya!” getus Qisha Delisa.
“Mengarut apanya? Aku cuma nak isteri aku ni seksi supaya aku tak cari lain. Aku nak tengok dia aje,” ujar Hadif Fayyadh, semakin kuat mengusik.
Dia mahu Qisha Delisa memarahinya. Itulah baru Qisha Delisa, bakal isterinya.
“Mengarut! Okeylah, aku nak beg tangan, satu set barang kemas, jam tangan perempuan, kain telekung, kain pasang, satu set alat mekap. Dah berapa barang tu? Lagi, aku nak tudung. Aku nak pakai tudung lepas kahwin. Kau izinkan aku pakai tudung, kan?” soal Qisha Delisa.
Memang dari dulu lagi dia sudah berniat. Jika dia berkahwin, dia mahu memakai tudung.
“Qisha, kalau tu mendatangkan kebaikan dalam hubungan kita, aku izinkan. Aku kahwin dengan kau pun bukan sebab game love aje tau tapi aku sayang kau,” ucap Hadif Fayyadh, romantis.
“Dah keluar dah ayat playboy dia,” ujar Qisha Delisa.
Hadif Fayyadh mengeluh. Inilah Qisha Delisa. Saat dia luahkan perasaan, gadis ini tidak pernah mahu ambil serius. Geramnya! Sampai bila harus begini?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95905/playboy-paling-romantik

Sejenak Bersama Murni Aqila

img_8763

Hello readers!! Pada bulan ini, penulis yang kami berjaya temu bual ialah Murni Aqila!

Sedikit latar belakang mengenai Murni Aqila ialah, seorang novelis yang bernaung di bawah label Alaf 21 sejak terbit novel pertama pada tahun 2008. Sehingga kini mempunyai 8 buah novel iaitu:

1. Sebutlah Namaku

2. Ucapkan Kau Rindu

3. Cinta Aku Seadanya

4. Ingat Janji Kita

5. Sayang Awak Sayang

6. Awak Jangan Nakal

7. Gila Tak Rindu

8. Tunang Tak Guna

Lahir di Pahang tetapi bersekolah dan membesar di Johor. Merupakan anak bongsu daripada 7 orang adik-beradik. Pernah menuntut di UiTM dalam jurusan Mass Communication.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Murni Aqila menulis?

Saya membaca novel sejak sekolah rendah. Semua novel yang saya baca itu memberi inspirasi untuk saya menulis.

2. Apa makanan kegemaran Murni Aqila?

Tak cerewet soal makan. Tapi antara makanan yang selalu menjadi pilihan ialah asam pedas, char kue tiau, bibimbap dan buah-buahan. Juga suka mencuba makanan yang hipster. Huhuu…

3.  Siapakah penulis kegemaran Murni Aqila? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Ramlee Awang Murshid – disebabkan teknik penulisannya yang brilliant.

Dato’ Shahnon bin Ahmad – disebabkan penggunaan bahasa yang indah. Ada yang berkias dan ada yang lantang.

4. Apakah novel kegemaran Murni Aqila? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Semua novel saya suka. Yang terbaru novel Tunang Tak Guna. Hehehee…

  5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tiada.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Murni Aqila mahu pergi dan mengapa? 

Disebabkan percuma saya takkan memilih ke Makkah. Saya memilih ke Saariselkä, Finland. Di sana saya mahu menyaksikan kejadian alam yang sangat indah yang dipanggil aurora. Ia merupakan kejadian pancaran cahaya berwarna-warni dan berkilauan kelihatan di awan pada waktu malam musim sejuk. Serius, sangat sangat cantik subhanallah. Di sana juga saya mahu menetap di dalam igloo.

7. Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Murni Aqila? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Tajuk novel ke-9 saya yang bakal terbit pada 2017 masih menunggu persetujuan daripada editor. Mengisahkan Hani yang jatuh cinta dalam diam-diam dengan sepupunya, Jay. Dia jatuh cinta pada Jay sejak berusia 8 tahun kerana Jay yang tua 3 tahun daripadanya telah menyelamatkan dia daripada mati lemas di sungai. Tanpa disangka-sangka setelah 15 tahun berlalu, dia dijodohkan dengan Jay oleh ibu bapa Jay yang ada muslihat. Tapi malangnya, Jay cintakan perempuan lain. Hani hanya tahu perkara itu selepas berkahwin dengan Jay. Jadi, apa tindakan Hani yang rupa-rupanya selama ini dicintai sahabat baik sendiri? Haa… kalau nak tahu kena tunggu kemunculannya di pasaran. Cewah!

8. Apakah pesanan Murni Aqila kepada pembaca di luar?

Moga kepada pembaca-pembaca novel sudi membaca karya-karya saya dan mengambil nilai-nilai murni yang ada di dalamnya. Kepada pembaca yang menjadikan novel-novel saya sebagai koleksi, terima kasih banyak-banyak. Tanpa sokongan anda, saya mungkin takkan bergelar novelis. Jangan berhenti menyokong saya sampai bila-bila ek? Muah ciked!

9. Pada pandangan Murni Aqila, apa istimewanya novel Murni Aqila  berbanding novel lain di pasaran?

Watak heroin setiap novel saya adalah wanita yang karakternya memberi aura positif pada pembaca. Membuatkan pembaca wanita mahu berusaha menjadi wanita yang memberi inspirasi kepada sesiapa saja. Walau banyak dugaan dan cabaran, semangat mahu bangkit semula berkobar dalam jiwa.

10. Dari mana Murni Aqila selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham datang dari pelbagai cara. Pengalaman sendiri pun ada tapi saya lebih suka mengambil pengalaman orang di sekeliling. Selain itu dari bahan yang dibaca dan bahan yang ditonton.

11. Apa rutin harian Murni Aqila? Ada yang rare tak?

Saya seorang novelis sepenuh masa selain menguruskan bisnes sendiri. Tiada yang rare. Kira normal la. Kah!

12. Describe diri anda dalam 3 perkataan?

Mudah tersentuh – suka ketawa – pemalu.

13. Apa nasihat Murni Aqila kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Tak meniru cara penulisan novelis lain, bertanggungjawab dengan hasil tulisan sendiri dan berani berubah mengikut selera pembaca.

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Murni Aqila kuasai?

Bahasa rojak. Hurhurr…

Kami harap Murni Aqila akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Murni Aqila

Lebih banyak eBook boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_41603_murni-aqila/~