[SNEAK PEEK] JUJURLAH NIKAHI AKU

9789670890289-medium
EBUKU Jujurlah Nikahi Aku Oleh Umie Nadzimah

HAI, sweetie. How are you?”

“Oh bos handsome, bos baik, bos wangi dah sampai!”

Nurin melatah. Terkejut benar apabila tiba-tiba sahaja badan tegap Zanif berada di sebelahnya. Dahlah kepala Nurin asyik khayalkan lelaki itu dua puluh empat jam sejak dua menjak ni. Itu yang boleh terluncur perkataan yang tak sepatutnya terkeluar. Nasib baik tak sebut I love you, boss. Mahu malu empat belas keturunan.

Salah bos juga. Semakin hari semakin romantis dan menggoda. Perempuan mana yang tak ditimpa perasan jika dilayan semanis itu? Hati gadis mana yang tidak terusik, bila diberi perhatian istimewa oleh jejaka hot idaman satu pejabat?

Zanif ketawa. Dia suka melihat wajah comel yang merapu itu. Tak sesuai langsung kalau orang-orang muda melatah, apatah lagi si gadis yang comel. Tapi kenapa Nurin nampak sangat menarik gayanya?

Seminggu dua ini, sampai sahaja ke pejabat, wajah Nurin yang dicari dahulu. Wajah inspirasi yang penuh ketenangan walaupun kadang-kadang sinar matanya nampak sayu sahaja. Zanif si kaki perempuan ni betul-betul sudah gila. Pilih punya pilih, satu dunia cari perempuan, alih-alih budak Jalan Kebun saja yang buat hatinya tercuit. Minah rempit pula tu.

Benarkah Zanif? Bukankah piawaian calon isterinya sangat tinggi? Dia mr. perfect. Setiap aspek harus sempurna. Seperti laporan akaun, perkara sekecil kuman pun kena ambil kira.

“Minta maaf, bos. Mulut saya macam tak sekolah.”

Zanif senyum meleret. “Eh, tak apa. I lagi suka bila ada yang ikhlas puji I ni handsome lagi wangi. Tak ada agenda tersembunyi, kan?” Matanya dikenyitkan.

“Tak… Tak. Betul tak ada niat bodek-bodek, encik!” Nurin tergagap. Panik. Janganlah bos tahu rahsia hatinya. Malu besar! Biar dia syok sorang-sorang, tak mengapa. Berangan tu dah jadi darah dagingnya. Tak boleh dipisahkan lagi. Tapi bab-bab yang menjatuhkan air muka ni, tak perlu orang lain tahu walaupun Si Alan.

“Kalau ada pun, saya tak rugi… Untung lagi ada…” balas Zanif dengan suara perlahan. Baginya, Nurin ini perempuan yang lambat menangkap hal-hal perasaan. Puas dia mengayat, si gadis masih di tahap blur. Kalau perempuan lain, sudah lama sambut.

Tubuh Encik Zanif masih berada dekat dengan tubuh Nurin. Wangian yang dipakai terus masuk ke rongga hidung lantas menggetarkan urat saraf Nurin. Aduhai…

“Errr… Encik cari saya kenapa, ya? Repot saya tak betul ke?”

Nurin merujuk kepada laporan yang dihantar sebaik sahaja Fathia melabuhkan punggung di atas kerusi pagi tadi. Semalam bos kata nak cepat. Nurin berusaha menyiapkannya di rumah malam semalam. Tidur dua tiga jam sahaja. Bersembang dengan Alan di tingkap pun dia tak sempat.

“Repot? Oh… Dah siap?”

Nurin angguk.

“Good. Tapi I cari you ni bukan fasal tu, dear.” Nurin dongak muka memandang wajah Zanif yang mula bagi senyum sengetnya. Habis tu kenapa? tanya dia dalam hati.

“Sebab I nak tengok muka comel you sebelum mula kerja,” jawab Zanif romantis. Seperti tahu-tahu apa yang Nurin omelkan dalam hati. Selepas mengucapkan ayat powernya, perlahan-lahan dia mengatur langkah ke biliknya.

Nurin terpanar. Waduh bos seorang ni, suka bikin dada perempuannya bergoncang kuat! Bikin jiwa jadi sasau!

Di ruangan menyambut tetamu, ada sekeping hati yang tengah membahang. Meluat sungguh Zurin melihat keakraban antara Zanif dan kakak yang dibencinya melalui dinding cermin. Perempuan tak sedar diri! Cacat-cacat pun masih ada hati nak pikat lelaki hebat, cemuhnya dalam hati. Cermin di dalam bilik dia orang tak cukup besar agaknya. Sebab itu tak nampak apa kurangnya diri Nurin. Nanti Zurin hadiahkan cermin besar penuh dinding supaya perempuan tu sentiasa nampak keadaan dia yang sebenar.

“Cik Zurin, sila ikut saya ke dalam sekarang, ya.”

Faiza, penyambut tetamu membawa Zurin ke bilik khas. Sempat dia memberi satu jelingan maut kepada si kakak apabila mata mereka bertemu di pertengahan jalan.

Nurin tergamam. Dia tidak tahu pun yang Zurin shallot akan datang ke pejabatnya pagi ini. Fathia ada menyebut yang adiknya telah dipanggil untuk ditemu duga, tetapi dia tidak tahu bila harinya. Tidak pula dia bertanya lanjut kepada Fathia tempoh hari. Kurang berminat. Dan Nurin kurang suka Zurin bekerja satu pejabat dengannya. Macam-macam hal boleh berlaku nanti. Tahulah perangai Zurin bagaimana.

Nurin mengagak, pasti adiknya akan gagal dalam temu duga tersebut. Cara Zanif bekerja berbeza dengan dengan cara Zurin. Zanif sangat serius dan komited waktu bertugas. Zurin pula jenis yang main-main saja dua puluh empat jam. Dia datang sini pun pastinya setelah dipaksa oleh emak, bukan daripada kemahuan sendiri. Zurin tidak ada keinginan untuk bekerja lagi. Emak yang selalu mendesak supaya dia cepat-cepat mencari pekerjaan. Emak mahu anak kesayangannya dipandang tinggi di mata orang. Supaya dia bangga apabila menceritakan fasal Zurin yang hebat.

Tepat sebagaimana telahan Nurin. Zurin ditemu duga dalam masa yang singkat sahaja dan dia keluar dari pejabat tersebut dengan muncung sedepa. Tak berapa lama kemudian, Fathia memaklumkan yang Zurin tidak bernasib baik. Bos marah-marah kerana buang masanya menemu duga orang yang tidak mempunyai kelayakan. Tidak profesional kerana memasukkan calon yang tidak sepatutnya untuk ditemu duga.

“Nurin tak tahu ke yang Zurin tidak mempunyai ijazah? Diploma pun dia tak ada. Sebab tu Encik Zanif bengang, naik angin. Dia marah kak sebab call candidate yang tak layak padahal itu kerja budak admin. Dia orang yang terlepas pandang, kak yang kena.”

Nurin pucat. “Ya ke, Kak Fathia?”

Berkali-kali dia beristighfar untuk menenangkan hati sendiri dengan perkhabaran yang tak enak didengar ini.

“Apa pula tak betulnya? Nurin tak tahu ke adik sendiri gagal belajar?”

“Hah?” Nurin geleng.

“Dia gagal tunjuk sijil original degree. Transkrip peperiksaan semester akhir pun dia tak ada, sedangkan bos kita sangat particular dengan detail-detail macam tu. Sudahnya adik Nurin mengaku dia tak habis belajar.”

“Owh…” Hanya itu yang mampu Nurin kata. Suaranya dengar tak dengar sahaja. Malu pun ada sebab dia yang menghantar permohonan Zurin tempoh hari. Nurin tidak melihat surat permohonan dan sijil-sijil Zurin kerana sampul tersebut sudah digam. Lagipun itu amanah orang, Nurin tidak boleh buat sesuka hati walaupun adik sendiri.

Nurin teringat kata-kata Alan. Betul tekaan Alan, Zurin pulang cepat ke Malaysia sebab tak lulus pengajian di Australia.

Tiba-tiba Nurin jatuh kasihan kepada emak. Harapan emak terlalu tinggi kepada Zurin. Tentu emak kecewa sangat jika dapat tahu berita ini. Emak sudah canang satu dunia yang anaknya berkelulusan ijazah dari universiti luar negara dan bakal menjadi seorang akauntan tidak lama lagi. Akhirnya, apa yang emak dapat?

Seharusnya Nurin berpuas hati apabila dengar Zurin gagal. Balasan untuk adik yang terlampau berlagak dan biadab, tetapi sebaliknya tidak begitu. Nurin sangat sedih mengenangkan perasaan emak.

Nurin nekad tidak akan buka mulut. Biarlah Puan Azah tahu sendiri dari mulut Zurin. Atau pun mungkin selama-lamanya emak tidak akan tahu. Yalah, bukankah Puan Azah tengah giat berusaha untuk dapatkan menantu kaya? Sudah tentu Zurin tidak perlu susah payah bekerja jika bersuamikan orang berharta.

Nasib Nurin terlalu jauh bezanya dengan nasib Zurin. Nurin terpaksa bekerja keras. Jimat sana, jimat sini untuk mengumpul duit untuk menyara kehidupan sendiri dan menghulur sekadar patut kepada ayah dan emak, sedangkan Si Zurin dengan mudah memperolehinya daripada emak. Walaupun mulut Puan Azah membebel-bebel, dalam masa yang sama, tangan tetap menghulur berkeping-keping not hijau dan ungu kepada Zurin. Sebab itu Zurin naik lemak. Tiada masalah menjadi penganggur terhormat.

MELANGKAH saja kaki Nurin masuk ke rumah, kelihatan Puan Azah sudah sedia tercegat berhampiran pintu utama dengan muka tegang. Si Zurin shallot juga turut berada di sisinya dengan wajah sinis seperti Nurin ada melakukan kesalahan yang amat besar.

Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Mesti ‘bom atom’ akan meletup sekejap lagi, desis hati Nurin. Sudah hafal akan riak wajah Puan Azah dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi. Darahnya terasa mula mengering. Bertengkar, bergaduh, perang dingin mahupun tidak dingin dengan Zurin tidak menjadi hal baginya, tetapi kalau dengan emak… Alahai, tak tahu Nurin hendak cerita segala perasaannya.

Rasa berdosa yang amat jika terlepas kata kepada emak, tetapi jika tidak membela diri sendiri, siapa lagi yang akan buat untuk dia? Namun, daripada sejarahnya, Nurin tidak pernah menang dalam kes pembelaan. Salah atau tidak, dia tetap bersalah pada mata Puan Azah.

Dengan tidak sabar-sabar, Puan Azah meluru ke arah Nurin apabila melihat tubuh anak sulungnya sudah berada di pintu rumah. Radang dia tengok rupa Nurin yang selamba tanpa riak bersalah dengan perbuatannya kepada adik sendiri.

Puan Azah menarik badan Nurin dengan rakus sekali, diheret, dan selepas memberikan penampar ke pipi, tubuh Nurin ditolak ke sofa kayu jati berhampiran.

Aduh! Sakitnya yang amat. Sudahlah kena tampar, belakang Nurin terhentak pula pada kayu pemegang sofa. Terhenyak Nurin di situ menahan sakit. Muka pedih, belakang badan nyilu. Laju air matanya keluar. Dia terkejut sangat apabila tiba-tiba mendapat ‘hadiah’ yang tidak dijangka langsung. Kalaulah dia tahu, sudah tentu dia menyusup ke rumah Alan terlebih dahulu. Biar Puan Azah putus asa menunggunya pulang dan Zurin sudah berambus ke kelab malam.

Lebih menyedihkan, Nurin tidak tahu hukuman ini untuk kesalahan apa. Setahunya, dia tidak buat sesuatu yang pelik hari ini. Keluar ke pejabat pun dia tidak bersarapan di rumah. Dia tidak bertegur sapa dengan sesiapa pun sebab masing-masing masih di tempat tidur. Fatin pun masih tidur. Maklumlah, cuti sekolah.

“Sakit? Rasakan. Kau ni, Nurin… Makin dibiar, makin melampau perangai. Sebab tu nak kena ajar sikit. Sanggup kau buat dajal kepada adik sendiri. Apa salah Zurin hingga kau fitnah dia macam-macam?!” marah Puan Azah dengan suara lantang. Puan Azah bercekak pinggang dengan mata garang menghadap sekujur tubuh Nurin di hadapan.

“Nurin buat apa, emak?” tanya Nurin perlahan. Dalam sakit-sakit dan takut, nak juga tahu apa salah dia hingga buat emak berang yang amat.

“Boleh tanya lagi?” Kepala Nurin pula ditunjal-tunjal dengan jari telunjuknya. “Aku tahu kau tak suka Zurin kerja satu pejabat, kan? Sebab sudah tentu Zurin mendapat pangkat lebih tinggi sebab kelayakan dia lebih baik daripada kau, kan? Hati kau busuk hingga sanggup buruk-burukkan Zurin dan kata dia tak lulus belajar. Sekarang, puaslah hati kau bila Nurin kena hina masa temu duga tadi, kan? Kakak apa kau ni hingga tergamak buat adik sendiri begitu? Kenapalah aku ada anak sejahat kau?!”

Nurin bungkam! Ya Allah… Begitu ceritanya. Zurin tidak dapat kerja sebab mulut Nurin yang jahat buat fitnah.

Zurin di belakang Puan Azah tersenyum sinis melihat kakaknya mendapat balasan. Padan muka! Puas hati dia. Air mukanya telah jatuh berdebuk-debuk di hadapan Zanif pagi tadi kerana terpaksa mengaku yang dia tidak habis belajar. Sekarang, baru hatinya gembira dan bahagia. Biar si cacat ini sama-sama menanggung luka hatinya.

“Nurin tak buat apa-apa, mak…” Nurin cuba nasib untuk membela diri.

“Habis? Kau nak kata anak aku yang reka-reka ceritalah? Zurin bukan macam kaulah! Kau dah buat salah, cerita yang bukan-bukan sana sini, kau nak kata pula Zurin yang jahat? Hei, aku kenallah hati kau tu macam mana dan hati anak yang aku sayang macam mana. Kau tu sedari kecil memang dah busuk! Dahlah cacat, hati yang dalam pun tak elok! Tak ada satu pun yang elok tentang kau ni, Nurin!”

Puan Azah terus menyinga. Marah dan bencinya kepada Si Nurin bukan makin berkurang, malah semakin bertambah dari sehari ke sehari. Tambahan pula setelah kepulangan Zurin, makin terserlah keburukan anaknya yang seorang ini. Darjah kebenciannya semakin mencanak naik hingga ada ketika, tidak tersimpan di dalam dada. Dia terpaksa hamburkan kepada tuan punya badan yang dia tidak suka itu.

“Nurin tak salah, mak. Nurin tak tahu apa-apa…”

Sekali lagi Nurin kena tempeleng! Puan Azah sudah dirasuk perasaan marah yang keterlaluan. Sungguh dia tidak dapat menahan sabar dengan Nurin. Baginya, anak bedebah ini sudahlah buat salah, lepas tu cuba untuk menafikan. Puan Azah mengangkat lagi tangan…

“Azah!!!”

Suara Encik Arshad bergema di muka pintu.

Puan Azah tidak jadi meletakkan tangan buat kali ketiga ke tubuh Nurin. Bukan kerana takut suami, tetapi kehadiran si suami sedikit sebanyak menyedarkan dia daripada kemarahan yang memuncak.

“Itu bukan caranya mengajar anak, Zah. Jika Nurin salah sekalipun, tegurlah dengan cara yang tak menyakitkan,” nasihat Encik Arshad. Walaupun dia tahu jika marah kepada anak sulung mereka, isterinya jarang ada timbang rasa. Main ikut nafsu amarahnya saja.

“Hesy! Awak apa tahu? Saya yang menghadap cerita budak-budak ni dua puluh empat jam. Hati Si Nurin ni buruk, seburuk orangnya. Jika dibiarkan, semakin menjadi-jadi. Nanti apa lagi yang dia aniaya Zurin,” balas Puan Azah garang.

Encik Arshad menggeleng kepala. Ada-ada sahaja cerita isteri dan anak-anak perempuannya. Rumah tidak pernah surut daripada masalah, malah bertambah-tambah sejak Zurin pulang dari luar negara. Kadang-kadang rasa bosan untuk balik ke rumah.

“Nurin, naik atas masuk bilik!”

Tidak sampai hati Encik Arshad melihat keadaan anak dara sulungnya. Selalu sahaja menjadi mangsa. Sebenarnya, dia sendiri kurang jelas apa yang berlaku. Betul atau tidak Nurin yang bersalah sepertimana yang dikata oleh si isteri.

Nurin segera patuh. Walau agak payah untuk bangun, dia berusaha untuk cepat pergi dari situ. Itu yang diharapkannya. Mujur ayah balik tepat pada waktunya. Tidak tahu apa akan terjadi jika ayah tidak muncul tika itu. Mungkin patah riuk tulangnya dan hancur kulit muka kena tampar dan tempeleng. Tangan Puan Azah yang tebal dan kuat tu boleh tahan penangannya apabila landing ke muka Nurin. Belum dikira tangan Si Zurin shallot lagi.

Fatin sudah sedia menunggu kakak kesayangan di sebalik pintu bilik. Dipeluk kakaknya erat-erat setelah pintu ditutup dan dikunci dari dalam. Sangat terharu dengan apa yang berlaku. Alangkah baiknya jika dia mampu menolong. Fatin akan sepak balik wajah Si Zurin yang jahat itu. Namun, apakan daya… Fatin hanyalah seorang adik kecil.

“Kasihan kakak…” Fatin meratap dan masih memeluk Nurin dengan kejap.

“Tak apa, sayang. Fatin percaya kakak pun dikira satu rahmat.”

“Kakak baik. Fatin sayang kakak. Abang apek pun sayang. Uncle Wong pun sayang kakak. Kakak baik. Emak dengan Kak Zurin saja yang jahat.”

“Sssyyy… Emak tak jahat, sayang. Dia sanggup tahan sakit lahirkan kita. Jadi, dia tak jahat.”

“Habis tu, kenapa dia pukul kakak?” Fatin tayang muka keliru.

“Mungkin emak ada masalah sendiri. Kadang-kadang kita anak-anak tidak dapat memahami apa masalah yang mereka hadapi. Jadi, kita tidak boleh menuduh mereka sembarangan.”

Perlahan suara Nurin memujuk Fatin. Walaupun hati sendiri remuk-redam dengan perbuatan emak terhadap dirinya, dia tidak mahu Fatin ada perasaan benci kepada Puan Azah. Seorang anak tidak seharusnya mempunyai rasa tersebut terhadap ibunya. Selagi seorang anak perempuan belum berkahwin, syurganya tetap di bawah telapak kaki ibu. Sama seperti anak lelaki. Sejahat-jahat mana pun perangai seorang ibu, dia tetap orang yang paling berjasa bagi seorang yang bergelar anak. Siapa yang boleh menafikan?

****

ARE you okay?”

Jawapannya dua ratus peratus Nurin tak okey. Teruk kena belasah, kena herdik dengan emak di hadapan bawang busuk, siapa kata boleh okey dalam masa satu jam? Nurin perlu masa untuk pulih. Bukan saja fizikal yang sakit, sengal dan lebam sana sini, mental lebih-lebih lagi. Trauma apabila teringat kembali. Mesti makan masa untuk kembali sembuh jadi normal semula.

Tapi… Takkan hendak mengada-ada dekat Zanif, kan? Zanif tu siapa? Nurin ni siapa? Sudah tentu bos telefon sebab hal kerja, bukan saja-saja untuk pujuk dia.

“Saya baik-baik saja. Ada hal apa Zanif call saya, ya?”

“Ya ke baik? Suara macam baru lepas nangis aje Nurin? You ada masalah ke?”

Suara Zanif penuh kelembutan dan perhatian. Nurin yang mulanya tidak mahu menggedik kepada bos terus bertambah sebak. Hati perempuannya terusik juga apabila ada yang cuba mengambil berat. Lebih-lebih lagi oleh orang yang mula disukai. Perasaan wanitanya mula tersentuh dengan perhatian demi perhatian yang dicurahkan walaupun lelaki ini tidak tahu realiti sebenar kehidupannya.

“Yaaa… Sungguh tak ada apa-apa.” Tetapi suara Nurin yang bercampur esakan memberikan jawapan sebenar. Ya… Dia tengah bersedih. Sedih sangat!

“Eh… Kenapa ni?” soal Zanif dengan nada sangat lembut.

Semakin teresak-esak Nurin jadinya. Dia sudah tidak dapat bertahan seorang diri.

“Nurin, I pergi jumpa you?”

Untuk Nurin, sifat gentlemannya entah kenapa, automatik saja jadi yang terbaik. Selalu tu, dia berkira-kira juga terhadap perempuan lain. Tak mahulah perempuan yang dia tak berkenan terlebih perasan terhadapnya. Susah pula nak lepaskan diri nanti. Dia sekadar ingin bersuka-suka saja, dapat sentuh ringan-ringan jadilah. Dia belum pernah terfikir yang serius.

Namun, anak-anak gadis sekarang ni mudah tawarkan diri. Jadi, tak perlu bekerja keras untuk ambil kesempatan. Lelongan murah aje setiap malam. Pandai-pandailah buat pilihan. Sebab itu ada lelaki yang tak kesah tak kahwin walau umur sudah mencapai usia emas. Sekadar penuhi nafsu serakah, bersepah-sepah ‘bini’ tanpa surat nikah.Tak kempunan kalau mati semasa bujang, cuma antara berani dengan tidak untuk galas dosa dan bersedia rentung dibakar api neraka.

“Eh… Jangan, encik! Jangan! Tak perlu datang!”

Lagi haru jika Encik Zanif datang. Ketar Nurin jika betul bosnya betul-betul sampai di rumah. Apa dia nak bagi alasan kepada emak yang tengah meletup macam gunung berapi Krakatau tu. Mahu lunyai tubuh Nurin kena belasah lagi. Nasib tak baik kena kerat dua puluh lapan bahagian.

“Then… tell me why are you crying?” soal Zanif dengan suara penyayang dan romantik.

“Tak ada. Errr… Tak ada masalah besar, bos. Cuma hal keluarga yang biasa-biasa saja. Saya ni yang galak terlebih emosi. Sikit-sikit nangis. Murah air mata sungguh. Balas dendam sebab teringin nak jadi pelakon air mata tapi tak ada director sudi ambil sebab hanya scene nangis saja yang saya tahu…”

Panjang dan laju jawapan Nurin untuk meyakinkan Encik Zanif supaya bosnya tidak menyerbu datang ke rumah. Bahaya betul bos dah tahu rumah. Sikit punya hal, bila-bila masa dia boleh terjah. Satu amaran untuk Nurin juga. Jangan sekali-kali buat kerja halai-balai, senang-senang saja bos serang rumah nanti.

Di hujung talian, Zanif sudah tertawa kuat. Senang dengan cara Nurin yang tidak mengada-ada. Sedikit pun tidak terkinja-kinja apabila mendengar dia hendak datang. Hmmm… I like! Bertambah nilai kredit untuk gadis ini. Mama pun pasti suka seratus peratus! Manis dan periang.

“Kalau begitu lega hati I. Pergilah rehat. Hentikan drama air mata tu sebab pengarah nak buat scene komedi pula. Scene air mata dah tak laku sebab orang lebih enjoy ketawa daripada menangis.”

Spontan Nurin tertawa halus. Terima kasih bos kerana berusaha menghiburkan hatinya. Sekurang-kurangnya, sakit yang ditanggung hilang sekejap.

“Errr… Repot yang saya hantar petang tadi tak complete ke Encik Zanif?” “Perfect. Cuma I call ni nak minta maaf pasal adik you. I tak terima sebab dia tak layak untuk jawatan tu. Harap you faham. To me, work is work, no compromise.”

“Saya faham, encik. No hard feelings… Don’t worry.”

Malah Nurin lagi suka ‘si bawang busuk’ kena tolak. Huru-hara pejabat kalau dia kerja di situ. Cukuplah di rumah dia buat onar.

“Good. Okay then… Take care of yourself, dear… Good night, sleep tight and dream of me. Your wangi boss… Hahaha…”

Waduh! Jiwa Nurin sudah terbang melayang-layang. Pergi segala kesakitan yang ditanggung. Mulut Zanif sangat manis. Terpujuk hati dengan perbuatan busuk Zurin.

Selepas letak telefon, Nurin bersemangat untuk mandi, bersihkan diri, tukar baju dan solat. Panjang dan lama doanya. Moga Allah terus berikan dia kekuatan demi kekuatan untuk terus berjuang menghadapi hidup yang kadangkala sungguh menyedihkan. Bertambah ketenangan yang diperolehi selepas mengadu kepada Si Dia.

Namun, sekejap kemudian sakit di tubuhnya semakin perit pula jadinya. Ditambah dengan keadaan badan yang tiba-tiba seram sejuk. Cubalah bertahan, badan. Takkan sedikit sahaja ujian, sudah jatuh ranap? Sumaiyah zaman Rasulullah dahulu diseksa dengan berbagai-bagai cara, masih mampu untuk pertahankan iman dan tetap bersyukur kepada Allah S.W.T.

“Kakak, abang apek telefon masa kakak mandi. Adik angkat.” Dalam mata tertutup, mulut Fatin bersuara.

Nurin senyum. Tidak tidur lagi rupa-rupanya si kenit ni. Nurin tanggalkan telekung di badan lalu dilipatnya tiga dan disangkut pada ampaian besi di dinding. “Heh, abang apek cakap apa dengan adik?”

“Dia tanya fasal kakak. Adik terus cerita yang kakak kena pukul teruk sampai biru pipi.”

“Hurm… Adik ni tak boleh simpan rahsia langsung!”

“Kenapa kena simpan? Selalu tu kita beritahu semua dekat abang apek. Dia kan sayang kita. Kakak dah ada abang lain ke? Tak suka abang apek lagi?” Fatin tak puas hati. Banyak soalan yang berlegar di dalam kepalanya dikeluarkan.

“Yalah, yalah. Tak apalah jika abang apek tahu. Jomlah tidur, kakak dah tak larat sangat ni.”

Nurin cepat-cepat tutup lampu lalu baring di atas katil dan menarik selimut. Nampak gayanya, Fatin pun dah pandai nak korek rahsia. Pasang telinga saja dia dari tadi agaknya.

“Kakak, abang yang telefon tadi baik macam abang apek ke? Yang hantar kakak hari tu, kan? Kakak boleh kahwin dengan dia? Kalau dengan abang apek tak boleh sebab lain-lain agama. Lagipun ayah dan emak tak suka. Kalau abang tu baik, tentu dia dapat jaga kakak. Fatin nak kakak gembira, tak kena marah, tak kena pukul dengan emak dan kakak jahat lagi.”

Fatin tetap membebel tak sudah…

Nurin diam tidak berkutik. Dia pura-pura sudah tidur, namun dia simpan senyum di dalam perut. Dalam tidak selesa badan, masih terasa lucu dengan keletah Fatin. Sejauh itu Fatin berfikir. Tersentuh pun ada. Fatin mengharapkan satu keajaiban untuk kakak malangnya. Dalam diam, Nurin juga mengharapkan keajaiban! Agak mustahil untuk hidup dengan Alan yang tertutup hatinya untuk percaya adanya Tuhan. Tetapi tidak mustahil untuk Zanif sukakan Nurin kut… sebab putik-putik kemesraan telah dirasa bersama. Nurin… Alangkah perasannya!

Sepanjang malam itu, tubuh Nurin terus-terusan tidak selesa. Sengal dan bisa sana sini. Suhu badan tidak konsisten. Sekejap panas berbahang, sekejap sejuk macam ketul ais. Dahsyat juga penangan tangan emak dan serangan mental Si Zurin kali ini. Tak tertanggung rasanya seorang diri.

Subuh menjelma. Dalam terketar-ketar, dia gagahkan diri untuk bangun. Motifnya? Pergi kerja. Boleh sahaja ambil cuti sakit, tetapi belum tentu dapat hidup aman di rumah ini. Di pejabat lagi selesa. Dia tahu marah emak masih bersisa. Maklumlah pada emak, dia yang menjadi penyebab Zurin tidak mendapat kerja di pejabatnya, sedangkan emak sangat berharap. Harapan penuh makna. Langkah pertama untuk emak menjadikan Zanif suami Si Zurin. Itu menantu impian Puan Azah untuk anak gadis kesayangannya.

Emak… Emak… Dalam ramai-ramai orang kacak lagi kaya, dengan Zanif juga dia tersangkut. Kasihanlah kepada anak sulung yang tak sedar diri ini yang memasang angan yang sama… Tolonglah emak cari jejaka lain untuk Si Zurin. Dia kan banyak peluang. Ramai lelaki di luar sana yang tentu berkenan anak emak yang jelita lagi bijak itu. Lainlah Nurin. Setakat ini Alan yang berfikiran bebas sahaja yang sanggup mendekatinya. Zanif tu baru saja mencuba-cuba, tetapi Nurin sudah mimpi hingga ke angkasa lepas. Tolonglah emak, beri Nurin peluang!

Bayangan wajah Zanif yang memberi kekuatan untuk Nurin bangun. Fizikal tak mampu tapi semangat untuk melihat wajah bos berkobar-kobar. Rindu ke tu?

Wajah Nurin?

Terkejut dia melihat wajah sendiri di cermin. Bukankah bos sudah kata, dia mesti lihat wajah comel Nurin sebelum mula kerja? Dengan wajah yang begini? Pucat lesi dengan kesan dua lebam! Semangat Nurin jatuh merudum. Ah… Air mata mulalah kembali bergenang. Pantang hati terusik sedikit. Manja.

Tak mengapalah. Kalau bos sibuk-sibuk tanya mengapa, jawab saja jatuh di dalam bilik air lalu muka cium mangkuk tandas. Atau pun boleh juga kata jatuh katil sebab mimpikan bos yang berbau harum. Tentu dia ketawa punya hingga lupa nak tanya soalan.

Sesudah berpakaian kemas dengan sepasang baju kurung biru dan tudung warna sedondon, perlahan Nurin menapak keluar dari rumah. ‘Ibu singa’ dan ‘anak singa’ nampak gayanya masih belum bangun. Semalam letih sangat mengaum agaknya. Fatin pula sudah ke sekolah untuk ke kem motivasi sewaktu Nurin di dalam bilik air tadi. Abah yang hantar Fatin.

Apabila melihat skuter merah jambu, badan rasa tak berdaya pula untuk menunggang lalu Nurin terus menapak ke perhentian bas berhampiran rumahnya. Naik teksi sajalah. Boleh terus sampai ke bangunan pejabat. Kalau dengan bas mahunya kalah dirempuh orang dengan badan yang lemah begini. Sampai di perhentian bas, tubuhnya terasa seram sejuk dan gelisah. Sungguh tidak selesa. Mata pula berpinar-pinar.

Mujur ada Alan yang terkocoh-kocoh sampai untuk menyambut tubuh Nurin sebelum jatuh di pinggir jalan raya. Kalau tidak, tak tahulah nak kata apa.

RAHANG Alan berlaga-laga. Sedari pagi dia cuba menahan marah di dalam dada. Mujur dia cepat keluar untuk mencari dan melihat keadaan Nurin. Dan mujur Nurin selamat rebah di dadanya. Bayangkan keadaan Nurin jika dia terlambat sedikit, apa-apa boleh terjadi.

Alan terus membawa Nurin ke klinik berhampiran. Kini, Nurin tengah nyenyak tidur sehingga tak sedar yang dirinya tidur di atas katil milik Alan. Tadi doktor telah memberi suntikan tahan sakit untuk merehatkan Nurin. Sebaik sahaja sampai di rumah Alan, Nurin tanpa banyak bicara terus baring ke tempat yang dicadang oleh Alan.

Tergamam Alan apabila melihat keadaan Nurin. Begitu teruk Nurin dikerjakan. Emak Nurin tu manusia ke binatang? Kucing pun tahu sayang anak. Ke mana perginya perasaan kasih seorang ibu, Puan Azah? Hingga kini, Alan masih belum bertemu jawapan, kenapa Nurin dilayan teruk oleh keluarga kandung. Logikkah sebab kekurangan yang tidak seberapa itu? Nurin bukannya terlantar di atas tilam dan menyusahkan hidup mereka. Sedangkan ramai ibu bapa yang punya anak kurang upaya, mereka menjaganya sebaik mungkin dengan penuhkasih sayang, malah ramai juga ibuibu yang sanggup berhenti kerja demi memberi perhatian kepada anak yang dilahirkan kurang sempurna. Darah daging mereka, zuriat mereka dan bukan salah anak itu jika dilahirkan begitu.

Sepicing pun Alan tidak dapat melelapkan mata semalam. Bimbangkan Nurin. Hanya keluarga dia sahaja yang tahu keadaan Nurin setiap kali kena belasah dengan Puan Azah. Alan selalu bertindak menyabarkan Nurin, memberikan semangat dan menyuntik pemikiran positif.

Tetapi untuk kali ini, diri Alan sendiri tidak mampu untuk bersabar lagi. Tidak sanggup untuk terus-terusan melihat Nurin didera.

“Alan nak buat police report, papa. Tak boleh tahan lagi tengok mereka buat sesuka hati dekat Yien.”

Alan berkata dengan serius kepada Uncle Wong yang baru datang dari arah dapur. Sebuah muk berisi air kopi yang masih berasap ditatangnya. Serius juga tindak balas muka Uncle Wong dengan apa yang didengarnya. Berkerut dahinya sedang memikirkan sesuatu.

“Kes serius, Alan. Kena bincang dengan Yien dahulu. Itu keluarga dia, kita tak patut masuk campur dalam-dalam.” Uncle Wong memberi pandangannya.

“Tapi emak dia sudah melampau, papa. Tambah-tambah bila Zurin balik, lagi teruk dia layan Yien. Itu Zurin betul-betul sau poh (perempuan gila), tak ada hati perut. Kerja dia asyik mengenakan Yien saja.”

Uncle Wong mengeluh. Muk di tangan diletakkan di atas meja. Sudah tak ada keinginan untuk menghirup kopinya. Sesal dengan apa yang dia lihat dan dengar. Begitu tak adilnya manusia di dalam dunia ini. Tuhan bagi anak, disia-siakan begitu sahaja sedangkan mereka cukup segala. Tidak seperti keluarga dia, walaupun tidak kaya, namun saling menyayangi antara satu sama lain. Bukankah kasih sayang keluarga yang paling bernilai? Tanpanya, duit berjuta-juta pun tiada makna.

“Abah Yien pun sama. Tak ambil berat langsung. Takut bini! Biar dia orang semua masuk penjara. Lebih baik kita jaga Yien daripada emak abah dia yang jaga,” tambah Alan lagi. Geram dan marah dia sudah sampai kemuncak.

“Sabar, Alan. Wait until she recover. Baru kita discuss. Jangan buat sesuatu yang tambah memburukkan lagi keadaan. Mana tahu Yien tak setuju? Memanglah dia sakit dan terseksa, but they still her parents. Tentu dia sayang sama parents dia.”

Alan merengus. “Huh! Apa ertinya sayang jika begitu? We must help her, papa…”

“I know, Alan. Mungkin kita boleh tolong dengan cara lain?”

“Like what?”

“Move her out from the house? Apart Yien from them?”

“Encik Arshad pasti tentang habis-habisan. Bukankah kita pernah cuba? Dia tak suka Yien tinggal tempat lain. Yang peliknya, dengan Yien boleh pula dia bertegas, dengan Puan Azah tak boleh!”

Alan kembali berbahasa Melayu. Berbual dengan papanya begitulah, banyak bahasa dia orang guna. Kusut dia memikirkan masalah Nurin hingga terpaksa mengambil cuti kecemasan hari ini. Namun, jika dia tidak bertindak untuk menyelamatkan gadis itu, siapa lagi yang akan buat? Jiran-jiran lain semuanya membisu. Si miskin ini sahaja yang sibuk hal orang. Habis, Nurin tu manusia dan Alan juga punya perasaan serta perikemanusiaan walaupun dia tidak mengaku adanya Tuhan. Kadang-kadang terfikir juga, mereka yang ada Tuhan ni, kenapa Tuhan tidak melindungi? Seperti Nurin, sangat kuat kepercayaannya, kenapa pula hidup dia begitu mengecewakan? Di mana Tuhan Nurin?

“Marry… It’s the best way for her.”

“Nurin? Kahwin? With whom?”

“You… Alan!”

Bulat mata Alan memandang wajah papanya. Bijak, memang bijak idea papa. Tapi bolehkah diaplikasikan? Nurin dan Alan berkahwin?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73731/jujurlah-nikahi-aku

 

[SNEAK PEEK] IMAM MUDAKU ROMANTIK

9789670890197-medium
EBUKU Imam Mudaku Romantik Oleh Izzah Haneefa

PAGI itu indah sungguh. Cahaya mentari menerobos menerangi seisi alam. Burung-burung berkicauan riang, mungkin sedang bertasbih memuji Sang Pencipta. Sangat malu kepada makhluk yang bernama manusia, yang dikurniakan akal untuk membezakan mana yang baik dan buruk, tidak mahu meluangkan masa walau sesaat pun untuk memuji Dia Yang Maha Esa! Setidak-tidaknya pun, lakukanlah solat duha sebagai tanda syukur kepada kepada Allah SWT

Muhammad Faqih meraup wajah. Selesai solat duhanya untuk hari itu. Syukur kerana diberi peluang lagi untuk memulakan hari ini. Moga hari ini lebih baik daripada semalam.

Namun, ah… Tiba-tiba datang pula mengantuknya. Merosakkan terus semangatnya untuk memulakan hari itu agar lebih baik daripada semalam. Tidak… Dia perlu tidur. Sebentar pun jadilah…

Katil bersaiz queen di dalam biliknya itu dihampiri. Perlahan-lahan tubuhnya direbahkan. Ahhh… Lega terasa tulang belakangnya sebaik mencecah tilam.

Tidak sampai beberapa ketika, dunianya gelap. Sepertinya, Faqih betul-betul menghayati tidurnya pada waktu duha itu.

TAUFIQ mengusap-usap dagunya yang licin tanpa sebarang bulu ataupun janggut itu. Matanya ralit memerhatikan awek cun yang berdiri di hadapannya itu dari atas ke bawah.

“Oi, pandangan kau tembus nampak! Suka hati kau aje, ya? Mana Faqih?” Wanita bertudung putih itu cuba berlagak garang. Timbul juga rasa tidak enaknya menyedari lelaki di hadapannya itu sudah meliarkan mata ke tubuhnya. Dia masih ingat pesan maknya agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Terutama mata mereka. Kata maknya, perempuan berselubung pun lelaki mampu ‘bogelkan’ dengan pandangan mereka!

Ohhh tidak… Tak mustahil aku dah ‘dibogelkan’! Wanita itu berdesis dalam hati. Gusar! Dia sedar pakaiannya agak ketat ketika itu. Ahhh, kenapa lelaki ini pula yang memandangnya sebegini? Ini semua untuk Faqih!

“Ohhh… hoho. Cari Faqih, ya? Hai… Faqih, Faqih… Kau punyalah syok nasihat aku. Rupa-rupanya belakang aku, kau simpan banyak cun punya awek. Kau buat lawaklah Faqih!” Taufiq ketawa pula. Hatinya memang geli walau tiada apa yang melucukan. Cuma dia macam tidak percaya saja yang Faqih, rakan serumahnya yang alim itu rupa-rupanya buas juga. Itulah… dah namanya pun lelaki. Tipulah kalau kebal dengan perempuan.

“Eee… Apa kau mengarut ni? Mana Faqih? Nanti sejuk pula makanan ni!” bebel wanita itu. Semakin tidak faham dengan apa yang terjadi. Dia hanya mahu berjumpa dengan Faqih. Hanya Faqih!

Taufiq membuntangkan biji mata. Baru dia perasan ada mangkuk tingkat sedang dijinjit oleh gadis di hadapannya itu. “Bagi abang ajelah, ya? Dia tidur lagi. Lagipun dia bukannya ambil sarapan sangat. Tak makan dua tiga hari pun tak ada hal. Jangan risaulah. Hehe…”

Wanita bertudung putih itu menyengetkan sebelah keningnya. “Hei, suka hati kau aje bahasakan diri abang! Sakit telinga aku tahu tak? Aku nak jumpa Faqih juga. Aku tak peduli!” Tiba-tiba dia geli-geleman mendengar kata-kata Taufiq. Tolonglah! Miang punya lelaki!

Taufiq menggeleng-geleng kepala kemudian disusuli tawa kecil. Seronok pula dia melayan ragam wanita yang entah kenapa beria-ia sangat hendak berjumpa dengan Si Faqih yang polos itu. Gila bayang agaknya! Pintu pagar yang agak tinggi itu dibuka sepenuhnya. Taufiq menadah tapak tangan. “Silakan masuk cik adik manis.”

Wanita itu merengus geram. Saja ditolak pintu pagar itu lebih kuat, hendak menunjukkan betapa menyampahnya dia dengan lelaki yang dianggapnya agak miang itu. Kemudian dia melulu saja masuk ke dalam rumah sambil membawa mangkuk tingkatnya untuk diberikan kepada Faqih, lelaki pujaan hatinya.

Dari belakang, Taufiq hanya memerhati dengan pandangan yang agak menyampah juga. Gedik punya perempuan! Tak malu ke apa masuk rumah lelaki? Hishhh… Bukan calon bini aku ni! Awek aku layaklah… Hati lelakinya berdesis begitu. Siap dengan mimik muka lagi.

“Oi! Mak datuk!!!” Bergegar seketika rumah itu tidak sampai beberapa saat selepas wanita bertudung putih itu masuk ke dalam rumah. Sepertinya, si gerangan yang menjerit di dalam rumah itu terperanjat sangat. Taufiq yang belum lagi masuk ke dalam rumah kerana mengomel seorang diri tadi terus membuka langkah seperti lipas kudung. Apa yang berlaku?

“Mak… awek mana kau bawa masuk ni, Taufiq?” tanya lelaki yang hanya bertuala di pinggang itu dengan biji mata yang terbuntang. Taufiq ketawa lagi. Banyak betul perkara yang telah menggeletek hatinya pada pagi itu. “Kimi, aku kenalkan… Makwe Si Faqih!”

Lelaki yang hanya memakai tuala itu menurunkan tapak tangan yang menutupi dadanya gara-gara malu tertembung dengan perempuan cun ketika keluar dari bilik air tadi.

“Makwe Faqih?”

Wanita bertudung putih itu turut menurunkan telapak tangannya perlahan-lahan daripada menutupi matanya. Bergetap-getap bibirnya… Mungkin sama terkejut dengan insiden tadi. “Errr… Faqih mana?”

“Kau dengar, Hakimi? Dia cari Faqihlah!” Taufiq tidak puas lagi ketawa.

Lelaki yang hanya bertuala itu terkebil-kebil seketika sebelum turut terjangkit dengan penyakit ketawa Si Taufiq itu. “Wah. Haha! Tak sangka aku kawan serumah kita yang alim tu ada awek lawa macam ni. Cik adik nak cari Faqih, ya?” Lelaki bertuala yang bernama Hakimi itu bercekak pinggang. Sambil matanya mengambil peluang meliar ke tubuh wanita itu dari atas ke bawah. Lelaki…

“Astaghfirullahalazim… Nana! Apa awak buat kat sini?” Lantunan istighfar yang agak kuat itu mengalihkan perhatian ketiga-tiga mereka. Serentak mereka berpaling ke arah tangga. Seorang lelaki berbaju Melayu dengan berkain pelekat sedang berdiri di situ menghadap mereka dengan pandangan yang penuh kegusaran dan kekejutan. “Ohhh… Nana namanya. Hei, Faqih. Apa cerita ni? Kau ada makwe cun bukannya nak share! Pandai kau simpan tembelang eh? Haha…” Taufiq bersuara sinis.

Faqih menggeleng-geleng kesal. Dia tidak peduli apa yang diperkatakan oleh Taufiq mahupun Hakimi. Lekas dia menuruni tangga kemudian menghampiri Nana yang nampaknya sudah meleretkan senyuman melihat kemunculannya.

“Nana, saya nak awak balik sekarang!” Agak kuat suara Faqih. Tidak boleh disimpan lagi rasa geramnya dengan perlakuan wanita bertudung putih itu. Baginya sudah agak melampau!

“Abang… abang tahu tak happynya Nana dapat jumpa abang? Kenapa nak suruh Nana balik pula? Ini, Nana ada bawakan makanan.” Sepertinya Nana tidak terkesan langsung dengan gertakan itu. Tiada rasa bersalah langsung terpancar di wajahnya.

Faqih menepuk dahi. “Astaghfirullahalazim, Nana! Awak tak malu ke masuk rumah lelaki? Awak tak takut ke apa-apa yang buruk terjadi kalau awak buat macam ni? Baliklah, Nana. Baliklah…”

“Abang Faqih, Nana percayakan abang. Nana tahu abang takkan buat apa-apa yang tak baik dekat Nana. Abang, please…” Nana tidak mahu mengalah kali ini. Dia tidak mahu kegiatannya menghendap lokasi tempat tinggal Faqih selama ini menjadi sia-sia. Ya, dia memang sudah gila bayang terhadap jejaka yang bernama Muhammad Faqih!

“Wow, Faqih! Apa yang kau dah menderem awek kau ni? Dahsyatnya kau!” sampuk Hakimi yang menjadi penonton setia bersama-sama Taufik dari tadi. Jejaka-jejaka tersebut sebenarnya masih tidak percaya yang Si Faqih, teman serumah mereka itu sebenarnya ada awek! Maklumlah, selama ini Si Faqih itulah yang sibuk menasihati mereka tentang betapa tidak eloknya berpasangan bagai. Nah, sekarang apa sudah jadi?

Faqih masih tidak mengendahkan kata-kata rakan serumahnya itu. Biarlah… Selepas ini dia akan jelaskan. Yang penting sekarang, dia perlu memujuk Nana supaya keluar dari rumah ini. Tidak… Nana tidak boleh berada di dalam rumah ini. Sangat-sangatlah bahaya!

“Nana, baliklah… Saya kata balik. Sekarang.” Faqih cuba mengendurkan suaranya.

Baik, tapi abang janji abang makan, ya?” Nana memasang syarat.

Faqih tersenyum. “Yalah. Lepas ni jangan datang lagi. Tak eloklah anak dara masuk rumah orang bujang. Tolong ya… Jangan buat macam ni lagi.” Bersungguhsungguh Faqih merayu. Bukannya apa, dia cuma risaukan keselamatan gadis itu. Di dalam rumah yang terdapat tiga orang lelaki bujang ini, apa-apa pun boleh terjadi. Terutamanya dengan Si Taufiq dan Hakimi. Bukan nak kata tetapi Faqih amat mengenali perangai rakan-rakan serumahnya itu.

“Kenapa pula, bang? Nana bukannya buat apa-apa pun. Nana nak jumpa abang aje.” Nana mencebir. Itulah senjata ampuhnya untuk menggoda dan meminta simpati.

Faqih tidak keruan. Bagaimana hendak menerangkan lagi? Takkanlah wanita berkelulusan farmasi daripada Universiti Sains Malaysia itu tidak boleh berfikir sendiri akan akibat daripada perbuatannya ini? Atau sengaja mencari penyakit?

“Nana yang manis… Abang boleh jelaskan kenapa Nana tak boleh datang sini lagi kalau Nana memang betulbetul nak tahu sangat! Pertama, Nana ni anak dara… Kalau masuk rumah orang bujang, apa pula kata orang, kan? Kedua, macam mana kalau ada orang repot jabatan agama? Kan aniaya tu? Tak pasal-pasal kena tangkap khalwat, Nana kena kahwin dengan kami bertiga! Haha… Dan yang terakhir, kami abang-abang ni tak tahan tengok ‘makanan’ yang sedap-sedap. Takutlah tak pasal-pasal nanti Nana yang manis ni kami ‘kendurikan’. Hehe… Faham tak cik adik?” Hakimi menyampuk. Panjang lebar dia menerangkan sebabmusabab kenapa wanita itu tidak patut datang lagi ke rumah ini. Sebab yang budak sekolah pun boleh fikirkan… Tapi entah kenapa wanita itu tidak mahu berfikir sendiri.

Hakimi dan Taufiq terus bergelak tawa. Dalam hati mereka sebenarnya sedang rancak mengutuk wanita itu. Hmmm… Perempuan, mudah benar terjerat dengan perasaan!

Faqih yang mulanya bermuka serius, tiba-tiba rasa nak tergelak pula dengan kata-kata Si Hakimi. Namun, dia perlu cover line. “Nana, saya kata balik sekarang.”

Nana mengherot-herotkan bibir. Tak guna punya jantan! Sudahlah menyibuk… Nampaknya dia tiadalah peluang untuk berlama-lama dengan Faqih.

Beberapa ketika kemudian, Nana menghilangkan diri, keluar dari rumah itu setelah puas dipujuk. Untung nasibnya baik… Masuk ke rumah orang bujang dan keluar tanpa ada sebarang cacat cela pada tubuhnya.

“So, Faqih… will you explain to us?” Hakimi sudah menuntut ‘haknya’ untuk merungkaikan segala persoalan dalam mindanya.

Taufiq terangguk-angguk. Dia juga mahukan penjelasan.

Faqih menarik nafas dalam. Langkahnya diatur sederhana menuju ke kerusi meja makan lalu duduk di situ. Ceritanya pun bermula satu demi satu.

AZAN asar berkumandang dari masjid berkubah putih itu, memanggil para Muslimin dan Muslimah agar sedar akan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah. Dua saf jemaah memenuhi ruang masjid untuk mendapat pahala dua puluh tujuh kali ganda pada petang itu. Alhamdulillah… Agak ramai daripada kebiasaan.

Takbiratul-ihram diangkat. Suasana hening menambah kekhusyukan kepada setiap minda yang berada di situ. Insya-Allah, mereka ialah orang-orang yang berjaya. Allah SWT sendiri telah berfirman di dalam al-Quran bahawa sesungguhnya berjayalah orang mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solat.

Lima minit kemudian, kedengaran salam pertama kemudian disusuli salam yang kedua. Selepas berwirid beberapa ketika, tangan pula ditadah untuk memohon doa kepada Dia yang tidak pernah jemu mendengar keluhankeluhan hamba-Nya.

Selesai. Alunan selawat pula bergema mengiringi sesi bersalam-salaman selepas itu.

Faqih melangkah meninggalkan ruang solat setelah bersalaman dengan jemaah yang lain. Senyuman kecil terukir di sudut bibir, menggambarkan ketenangan yang memercik dalam hatinya kini.

Selepas mengambil sesuatu daripada raga motosikalnya, Faqih berjalan ke satu arah. Ya, dia tidak pulang dahulu. Ada hal lain yang perlu dibereskannya seketika.

Faqih melangkah keluar dari kawasan masjid. Tidak jauh dari pagar besar masjid, di kaki lima, kelihatan seorang tua berbaju T putih lusuh, berkain pelekat serta bertongkat kayu sedang duduk di perhentian bas. Kelihatannya dia diam di situ, mungkin menunggu seseorang.

Faqih tersenyum lagi lantas lelaki tua yang agak tidak terurus itu dihampiri.

“Anak, kamu dah sampai? Hari ni nasi lauk apa?” Lelaki tua yang matanya terbuka tetapi tidak berfungsi itu bagai mendapat isyarat saja akan kehadiran Faqih di situ. Tidak perlu Faqih mengeluarkan sebarang kata. Mungkin bunyi derapan selipar itu saja sudah cukup membuatkan lelaki tua itu mengenali gerangan siapakah yang datang menghampirinya.

Faqih tidak membalas. Sebuah bungkusan polistirena dikeluarkan daripada beg plastik yang dijinjitnya lalu dibuka cermat. Aroma nasi panas dan kuah bergandingan menjadi wap menuju ke udara.

“Bismillahirahmanirahim…” Bagai tahu-tahu saja, lelaki tua itu dengan sendirinya menyebut lafaz bismillah. Tidak lama kemudian, sudu plastik yang berisi nasi itu dimasukkan ke mulutnya oleh tangan anak muda itu.

“Hmmm… Sedap, nak. Terima kasih banyakbanyak.” Ada riak kegembiraan terpancar pada wajah tua itu. Riak itu jelas walaupun hanya boleh dibaca melalui wajahnya, bukan sinar matanya. Kerana mata yang telah diambil nikmatnya oleh Allah untuk melihat indahnya dunia itu akan terus begitu…

Faqih terus mendiamkan diri. Hanya tangannya yang rancak menggaul-gaul nasi dengan sudu plastik tersebut lalu sesekali disuapkan ke mulut lelaki tua itu. Entah bilalah kali terakhir lelaki tua ini makan? Mungkin petang semalam ketika dia membawakan makanan.

“Nak… pak cik teringin nak dengar suara kamu. Kamu tak pernah bercakap dengan pak cik. Nak tengok wajah kamu memang dah tak ada peluang. Sekurang-kurangnya bagilah pak cik peluang nak dengar suara kamu.” Lelaki itu membuat permintaan lain pula. Permintaan yang selalu diulang-ulang. Namun sepertinya masih belum termakbul.

Faqih tergelak kecil. Entahlah… Biarlah dia tidak dikenali.

“Walaupun pak cik tak kenal siapa kamu, tapi pak cik bersyukur sebab Allah hantarkan orang macam kamu untuk bantu pak cik. Walaupun pak cik tak nampak, tapi mata hati pak cik kuat katakan yang kamu ni orang yang jujur. Pak cik tak dapat tengok wajah kamu, tapi pak cik tahu wajah kamu pun secantik keperibadian kamu. Semoga Allah meredaimu, nak.” Tulus, ikhlas dan penuh kerelaan kata-kata itu diungkapkan. Lelaki tua itu memang tidak main-main dengan perkataannya.

Faqih menggumam bibir. Hujung bajunya diangkat sedikit untuk menyeka kelopak mata yang terasa berair.Sungguh, dia tidak mampu hendak mengungkapkan dengan kata-kata tatkala menerima doa itu. Sekeping hatinya cukup tersentuh. Lafaz semoga Allah reda itulah yang menjadi sebab utama kenapa air matanya tidak dapat ditahan.

“Ketika orang lain pandang jijik dekat pak cik, masih ada kamu yang sudi suapkan makanan untuk pak cik. Pak cik tak mampu nak balas kebaikan kamu, nak. Cuma terima kasih yang pak cik mampu ucapkan.” Lelaki tua itu terus melimpahkan rasa hatinya yang paling dalam. Dia hanya mahu lelaki muda itu mendengar.

Selesai suapan terakhir, Faqih memegang tangan lelaki tua itu lalu sebuah botol mineral diberikan ke tangan itu. Tanpa berlengah, dia terus melangkah pergi meninggalkan lelaki tua itu. Insya-Allah, kalau berkesempatan, dia akan ke sini lagi esok.

“Inilah orang kita! Macam mana nak maju? Baru susah sikit dah nak mengemis! Tak ada usaha langsung nak majukan diri! Heiii… Orang macam ni tak sepatutnya biarkan bebas. Buat rosak pemandangan aje!” Agak kasar suara itu memecahkan ruang udara.

Faqih lantas memusing tubuhnya ke belakang semula. Tidak jadi hendak masuk ke kawasan masjid untuk mendapatkan motosikalnya. Hatinya tiba-tiba tergores dan berdarah apabila mendengar suara yang baginya amat menjengkelkan itu.

“Sampai bila kau nak mengemis, ha? Kau tak malu ke tahu meminta aje? Hei, agama pun tak bagi mengemislah! Kau tahu tak kau ni dah cemarkan masjid ni? Pergi tempat lainlah!” Lelaki berkot yang tampak elegan itu terus menghamburkan rasa jengkelnya yang berbaur

penghinaan terhadap lelaki tua yang berbaju lusuh itu. Wajahnya penuh riak tidak senang. Mungkin jijik melihat lelaki pengemis buta itu.

Dengan wajah yang angkuh, lelaki berkot elegan itu berjalan menuju ke pagar besar masjid, meninggalkan lelaki tua tersebut.

Faqih yang pada mulanya hendak menuju ke arah lelaki tua uzur yang hanya diam menikus itu berubah niat. Kini dia lebih berminat untuk menghampiri lelaki berkot hitam yang mungkin juga orang kaya itu.

“Assalamualaikum. Errr…” Faqih memberanikan diri menghulurkan salam.

Lelaki berkot itu memberhentikan langkah. Matanya meliar memandang gerangan lelaki muda yang menegurnya itu tanpa ada rasa hendak menjawab salam itu. “Hmmm… Aku Tan Sri Kamarul.”

Senyuman Faqih tersungging di sudut bibir. Sudah diagak… “Ohhh, Tan Sri! Kenapa jalan kaki? Kan bahaya orang berada macam Tan Sri ni terlalu terdedah kepada umum.”

Lelaki bernama Tan Sri Kamarul itu merengus kasar dengan anak mata yang cukup tajam tatkala diajukan soalan itu. Ada yang tidak kena nampaknya. “Kereta aku ada kat luar. Driver aku baru hilangkan diri lepas kebas duit aku. Heiii… Tak guna punya manusia! Dunia akhirat aku tak ampunkan!”

“Astaghfirullahalazim… Tan Sri tak buat laporan polis?” Faqih sedikit tersentak.

Lagi sekali Tan Sri Kamarul membuat muka tidak senang. “Aku tak berani bawa kereta! Macam mana nak buat repot? Balai polis lima kilometer lagi!” amuk lelaki berada itu. Jelas emosinya kini tidak stabil. Mungkin terlalu hampa dan kecewa akan perlakuan pemandunya yang mungkin menjadi orang kepercayaannya selama ini.

Faqih terangguk-angguk. “Habis, kenapa Tan Sri masuk masjid ni pula?”

“Hei… Kau ni banyak tanyalah! Aku nak mintak tolonglah sebab aku tahu orang masjid macam kau ni kan baik-baik. Aku nak mintak tolong bawa aku pergi balai polis!” Tan Sri Kamarul terus marah-marah.

Faqih mengangkat sebelah kening lalu berpeluk tubuh memandang lelaki berada itu. Orang masjid baik-baik? Hmmm… Tiada komen. “Tan Sri benarkan saya pandu kereta Tan Sri? Tapi kalau tak boleh, naik motor buruk saya pun tak apa. Saya tak kisah,” ujar Faqih sambil tersengih. Sengaja hendak menyindir sebenarnya.

“Hmmm… Ada lesen ke kau ni?” tanya Tan Sri Kamarul. Kedengarannya lelaki berada itu tidak melepaskan peluang sama untuk menyindir.

Faqih tergelak agak besar. “Jangan risaulah, Tan Sri. Lesen kereta ada, lesen motosikal pun saya ada. Semuanya sah di sisi undang-undang negara dan belum mati lagi.”

Tan Sri Kamarul mengherot-herotkan bibirnya beberapa ketika. Masih berfikir ataupun masih ragu-ragu.

“Okey, aku benarkan kau pandu kereta aku. Tapi ingat, kalau kau berani buat onar, dunia akhirat aku tak ampunkan! Dan tak pasal-pasal lepas ni, aku pandang orang masjid semua jahat-jahat. Semua hipokrit!” ugut Tan Sri Kamarul.

“Hmmm… Tan Sri boleh percayakan saya, insya- Allah. Saya takkan buat apa-apa pada harta Tan Sri. Saya tahu mana yang halal, mana yang haram. Kalau tak, sia-sialah saya buat ibadat selama ni.”

“Haaa… Bagus! Jom ikut aku!” Tan Sri Kamarul membuka langkah, meninggalkan kawasan masjid itu dengan wajah yang tetap kelat

****

MALAM, itu, kesemua ahli keluarga Dato’ Farhan berkampung di hospital. Sebaik saja Aisya disahkan memang sudah hendak bersalin, kesemua mereka tidak berganjak lagi dari ruang menunggu itu. Debaran dan rasa teruja yang bercampur baur kerana hendak menyambut ahli keluarga baru semakin terasa dalam jiwa mereka.

Termasuklah halnya dengan si pengantin baru… “Faqih, Khalisah… baliklah. Biar umi dengan abah yang tunggu abang dengan kakak kamu,” suruh Datin Salma. Tidak enak pula rasanya membiarkan anak menantunya yang masih dalam mood pengantin baru itu ‘bermalam pertama’ di hospital.

“Ya, Faqih. Baliklah. Kesian Khalisah.” Dato’ Farhan turut menyokong kata-kata isterinya itu sambil telapak tangannya terus menepuk-nepuk lembut punggung Firas, cucunya yang sudah terlentok di atas riba datuknya itu.

Faqih yang sedang duduk sambil berpeluk tubuh tu membuka matanya yang dipejam perlahan-lahan. “Tak apalah umi, abah. Faqih tunggu.”

Datin Salma dan Dato’ Farhan berpandangan sesama sendiri sebelum mengerling ke arah Khalisah, menantu mereka yang sedang duduk diam membatu di sebelah Faqih.

Wanita itu nampaknya relaks. Seperti mengiakan saja segala keputusan suaminya.

“Awak nak balik sekarang?” tanya Faqih kepada Khalisah di sebelahnya.

Khalisah menggeleng lalu tersenyum kecil. “Saya tak kisah. Nak tunggu pun tak apa.”

“Betul ni?”

Khalisah mengangguk. Biarlah… Dia tidak kisah pun. Lagi pula, tiada apa-apa pun yang hendak dikejarkan.

Faqih melepaskan keluhan kecil lalu menyandarkan semula belakang kepalanya ke dinding lalu menutup rapat matanya. Lelaki itu seperti sudah keletihan dan hanya mahu tidur tatkala ini.

Khalisah kembali membatu di sebelah suaminya itu. Sesekali pandangannya dilarikan ke arah ibu dan bapa mertuanya yang sedang termenung di kerusi bertentangan. Garis-garis kegusaran terpancar jelas di wajah mereka. Mungkin gusar menunggu khabar si menantu yang masih belum diterima.

“Atuk, lepas ni Firas ada adik baby, eh?” Suara Firas kedengaran tiba-tiba setelah agak lama juga sepi tadi.

Dato’ Farhan yang baru hendak memejam mata tidak jadi meneruskan niatnya. “Ya, Firas. Lepas ni Firas ada adik baby. Firas dah jadi abang, tak boleh nakal-nakal lagi.” Kepala cucunya itu diusap-usap.

Firas mencebik. “Tak bestlah, atuk!”

“Ai, kenapa pula tak best? Firas tak suka dapat adik?”

Firas menggeleng. Makin panjang muncungnya. Dalam kepalanya sekarang cuma terbayangkan yang papanya hanya akan memanjakan adik barunya nanti. Oh tidak, bagaimana dengan dirinya?

“Laaa… Kenapa pula tak suka? Kalau Firas ada adik, lepas ni Firas ada kawan nak main sama-sama.” Si datuk memujuk. Walau yang sebenarnya bukan dia kisahkan sangat pun kata-kata cucunya itu. Budak-budak banyak ragamnya.

Firas tidak membalas. Sebaliknya dia turun dari ribaan datuknya lalu bergerak menuju ke arah pak sunya yang semakin lena tidur sambil duduk itu. Mungkin marahkan datuknya yang seperti tidak memahami perasaannya.

“Pak su!” jerkah Firas.

Faqih yang baru hendak terlena sepenuhnya tersentak. Tercanguk-canguk lelaki itu hendak kembali ke alam nyata. “Errr… Firas! Kenapa sayang?”

“Lepas ni pak su bawa Firas main kat litar lagi tak?” Firas bertanya serius sambil berpeluk tubuh. Lagak macam orang besar.

Faqih menggaru-garu kepala. Pening seketika hendak menjawab soalan si anak buah. “Hmmm… Nanti pak su bawa, ya?”

“Janji?”

“Janji!” Faqih mengiakan saja. Dia sedang keletihan benar sekarang ini hendak bermesra-mesra atau beramahramah dengan sesiapa pun.

Khalisah yang hanya memerhati perlakuan si suami dengan anak buahnya itu hanya tertawa kecil. Entah kenapa… Lucu pula. Seketika kemudian, suaminya yang kembali melentokkan kepala ke dinding itu sempat dikerlingnya. Tenang… Wajah itu tenang saja.

Namun, entah kenapa hati Khalisah pula berdebar. Memerhatikan wajah lelaki itu seperti telah membuat tangkai jantungnya luruh. Betulkah lelaki ini sudah menjadi suaminya?

“Mak su, nanti mak su kena naik motosikal pak su tau? Motosikal pak su best! Motosikal Dua Kati, mak su!” Si Firas cuba pula meminta perhatian mak su barunya itu, setelah menyedari yang pak sunya juga tidak melayan keletahnya.

Khalisah menjegilkan biji mata. “Apa dia, Firas? Motosikal Dua Kati?”

“Ya, mak su. Nama motosikal pak su Dua Kati! Pak su yang panggil macam tu!” Bersungguh-sungguh Si Firas mengiakan.

Seketika kemudian, terlepas juga ketawa Khalisah mendengar celoteh anak buahnya itu. “Oh, ya ke?Hmmm… Firas pun suka motosikal, eh?”

“Suka! Papa ada belikan Firas pocket bike, mak su. Pak su selalu bawa Firas main kat litar. Nanti mak su ikut, eh?” Keletah Firas makin menjadi-jadi pula.

Khalisah mengangguk berserta senyuman lebar. Terhibur juga hatinya pada waktu-waktu begini. “Boleh, sayang. Mak su pun memang nak tengok Firas bawa motor. Urmmm… Siapa lagi hebat? Pak su atau Firas?”

“Mestilah Firas, mak su! Pak su pun belajar bawa motor daripada Firas tau!” Firas mengangguk-angguk kepalanya. Beria-ia saja dia.

Sekali lagi ketawa Khalisah meletus. Hai, seronok rupa-rupanya melayan budak-budak! Agak-agaknya bilalah dia boleh melayan keletah anaknya sendiri?

Sabar, Khalisah, sabar. Kau kahwin dengan dia belum lepas satu malam pun! Bisik hatinya.

Khalisah mengetap bibir. Hesy, ke situ pula perginya!

Suaminya itu dijeling… Lena benar lelaki itu tidur. Entah sedar ke tidak apa yang sedang berlaku…

Namun, Khalisah tidak sanggup hendak merenung wajah itu lama-lama. Entahlah… Dia masih malu. Di samping hatinya asyik berdebar-debar saja setiap kali memandang wajah tenang juga tampan itu.

Seketika kemudian, kedengaran bunyi kuakan pintu. Akhirnya!

Kesemua mereka yang seperti tidak bermaya menunggu dari tadi itu terus segar-bugar. Terbangun terus mereka dari tempat duduk.

Fahim keluar dari bilik tersebut. Senyumannya meleret ke hujung bibir.

“Papa!” Firas tidak menyempat-nyempat berlari lalu memeluk kaki papanya. Dari tadi dia menunggu, akhirnya papanya muncul juga.

“Firas? Hmmm… Firas dah jadi abang, sayang,” ucap Fahim. Kepala anak sulungnya itu diusap-usap.

“Ha, macam mana, Fahim?” tanya Datin Salma, tidak sabar-sabar lagi.

Fahim menarik nafas dalam sebelum bersuara. “Alhamdulillah. Aisya selamat. Umi dengan abah, dah dapat cucu sulung perempuan.” Nada teruja jelas kedengaran pada alunan suaranya. Teruja menerima kehadiran orang baru yang telah dinanti-nantikan semenjak sembilan bulan ini.

Datin Salma dan Dato’ Farhan berpandangan lagi lalu berpelukan bahu sesama mereka berserta senyuman kesyukuran yang semakin meleret ke tepi bibir. Alhamdulillah…

Begitu juga dengan Faqih. Akhirnya, dapat juga anak buah perempuan! “Alhamdulillah. Tahniah, bang!” Tapak tangan abang longnya itu disambar lalu digoncanggoncang. Teruja!

“Terima kasih. Errr… Faqih, kau pun cepat-cepat sikit tau! Abang dah tak sabar nak tengok anak kau pula!” Sempat juga Fahim mengusik adiknya itu.

Faqih mengerutkan dahi. Wajahnya tiba-tiba rasa panas saja.

Khalisah membulatkan biji mata sebelum menolehkan wajahnya yang kini memerah ke arah lain. Aduh, malunya!

“Alaaa… Tak syoklah adik perempuan! Nanti dia mesti tak nak main motosikal dengan Firas!” Firas terus meluahkan kekecewaannya sambil memuncungkan bibirnya, geram.

WAJAH comel itu diamati buat kesekian kalinya, masih tidak puas-puas. Faqih begitu teruja menyambut kelahiran anak buah barunya yang menjengah dunia tepat pada jam tiga pagi tadi. Terasa hendak menjadi ayah cepat-cepat pula setiap kali memandang wajah anak abangnya itu!

“Faqih, lepas ni giliran kamu pula tau!” Aisya yang perasan perlakuan adik iparnya itu mengusik.

Faqih memandang sekilas kakak iparnya yang sedang duduk berehat di atas katil wad hospital swasta itu. Senyuman kecil terseret ke tepi bibir. “Insya-Allah. Kak long doakanlah Faqih cepat-cepat dapat baby.” Serentak itu juga, dia mengerling ke arah Khalisah yang dari tadi berdiri tegak di sebelahnya.

Khalisah mengetap bibir. Ai, suaminya ini tidak malu pula bercakap soal anak. Walhal sebelum ini hendak pegang tangan si isteri pun malu!

Namun, Khalisah hanya tunduk. Dia tidak sanggup memandang senyuman lelaki itu. Jantungnya boleh gugur tidak pasal-pasal!

“Baguslah macam tu, Faqih. Boleh ramaikan lagi cucu-cucu umi dengan abah!” sampuk Fahim yang berdiri di sebelah kepala katil tempat isterinya duduk.

“Hehe… Khalisah, buat persediaan cepat-cepat, ya? Kalau nak apa-apa pertolongan ke, tunjuk ajar ke, boleh tanya akak. Akak sedia menolong.” Aisya mengusik pula birasnya itu. Namun, apabila diamati lagi kata-katanya seperti serius.

Khalisah mengangkat wajah dengan mata yang membulat. “Errr… Okey, kak.” Terketar-ketar bibirnya bersuara. Aduh, sampai bilalah rasa malunya ini akan terus menggila?

“Ermmm… Abang long, kak long, Faqih balik dululah, ya?” Faqih meminta diri. Sekian lama berada di hospital semenjak malam tadi, kini barulah dia terasa hendak pulang ke rumah. Badannya terasa sudah melekit-lekit kerana belum mandi lagi.

“Ha, yalah. Baliklah dulu. Kesian kau orang,” ucap Fahim.

Sebelum beredar, sempat Faqih mengamati buat kali terakhir wajah comel yang sedang nyenyak di dalam tempat meletak bayi itu. Subhanallah… Tidak tahulah kenapa hatinya tersentuh sangat melihat anak abangnya itu!

“Awak, jom!” ajak Faqih kepada isterinya itu.

Khalisah hanya mengangguk. Seketika kemudian, pasangan suami isteri itu beriringan keluar dari wad tersebut.

“Faqih, nak balik dah?” tegur Dato’ Farhan dan Datin Salma tatkala bertembung dengan anak lelakinya itu di luar wad.

“Ya, bah. Faqih dengan Khalisah balik dulu, ya?”

“Yalah, baliklah. Kamu dah lama sangat kat sini.” Datin Salma mengiakan saja. Kepala cucunya, Firas yang sedang lena di dalam dukungannya itu diusap-usap.

“Errr… Faqih bawa Firas balik sekali ya, ma?” pinta Faqih. Kasihan mengenangkan nasib anak buahnya itu yang juga semalaman berada di hospital.

“Eh, tak apa. Firas biar umi dengan abah yang jaga. Kamu baliklah dengan Khalisah,” balas Datin Salma. Tidak mahu menyusahkan lagi anak dan menantunya itu.

Faqih akur. Setelah bersalaman dengan umi dan abahnya, dia dan Khalisah meneruskan lagi langkah meninggalkan bangunan hospital swasta itu.

Sepanjang perjalanan pulang dengan menaiki kereta Mercedes Benz milik Dato’ Farhan, kedua-dua orang suami dan isteri itu hanya diam membatu. Sesekali apabila terasa kesunyian itu sudah berlangsung terlalu lama, barulah mereka kerling-mengerling antara satu sama lain. Mungkin meminta salah seorang untuk mengalah membuka mulut dahulu.

Namun, keadaan sepi tersebut terus berlalu hinggalah kereta itu selamat memasuki pekarangan banglo Dato’ Farhan.

“Kita dah sampai.” Barulah kedengaran suara Faqih.

Khalisah mengangguk lagi. Seketika selepas enjin dimatikan, dia sudah bersiap sedia hendak membuka pintu untuk keluar.

“Laila.”

Khalisah tersentak. Tidak jadi dia hendak keluar dari kereta apabila mendengarkan namanya yang jarang dipanggil itu berserta satu genggaman lembut di tangannya.

Pelan-pelan Khalisah menoleh. Serta-merta senyuman lelaki itu yang tenang memenuhi ruang pandangannya.

Lalu pandangan mata mereka bertemu.

“Errr… Awak…”

“Abang. Mulai sekarang Laila kena panggil saya abang,” ucap Faqih lembut.

Khalisah kaku. Ya Allah, mimpi apa lagi ini? Dia bingung! Dadanya tiba-tiba berdebar-debar semacam.

“Dan izinkan saya panggil awak, Laila. Boleh?” pinta lelaki itu sebelum sempat si isteri yang masih tercanguk itu bersuara.

Khalisah meneguk liur, tanpa banyak fikir dia hanya mengangguk. “Abang… Errr… Kenapa… Kenapa Laila? Khalisah tak sedap ke?” laju saja pertanyaan itu keluar dari mulutnya.

Faqih tertawa kecil lalu tunduk seketika sebelum mengangkat wajahnya semula. “Bukan tak sedap. Tapi, abang tahu tak ada orang panggil awak dengan nama Laila. Abang yakin, nama Laila tu disimpan untuk dipanggil oleh seseorang yang istimewa saja. Dan abang berharap sangat, abanglah orang istimewa itu.”

Khalisah terpempan. Kata-kata lelaki bergelar suaminya itu cukup membuatkan sekeping hatinya luluh. Luluh bukan kerana hiba, tetapi kerana terlalu terharu! Ya Allah, sekali lagi… Betulkah dia tidak bermimpi?

Senyuman ikhlas lelaki itu cukup menggambarkan kecintaan yang kini hadir sedikit demi sedikit. Khalisah tidak mampu menoleh wajahnya lagi. Dia sudah terpesona. Dia mahu menikmati senyuman itu puas-puas.

“Mari, abang nak tunjuk sesuatu dekat Laila.” Genggaman lelaki itu pada tangan si isteri tiba-tiba longgar. Seketika kemudian, dia keluar dari perut kereta.

Khalisah masih di awang-awangan. Termengkelan dengan apa yang baru berlaku. Namun, ajakan suaminya tidak mampu dilengahkan. Dia keluar juga dari perut kereta selepas itu.

“Jom!” Faqih kembali menggenggam telapak tangan si isteri lalu berjalan menuju ke garaj yang terletak di belakang halaman rumah mewah itu.

Seketika kemudian, alat kawalan jauh dikeluarkan dari kocek seluar jeannya. Lalu punat kecil pada badan alat itu ditekan. Serta-merta, pintu garaj yang terkatup itu terangkat perlahan-lahan ke atas.

Khalisah melongo. Matanya makin membulat memandang ke hadapan sebaik pintu garaj itu terangkat sepenuhnya. Sebuah kereta berjenama Peugeot 508 berwarna putih memenuhi ruang pandangnya.

“Selamat pengantin baru, sayang.” Faqih datang mendekat lalu berbisik lembut ke telinga Khalisah.

Khalisah menekup mulut. Matanya yang bundar kini bergenang. Bergenang dengan air jernih yang hangat. Bukan kerana Peugeot yang terparkir elok di dalam garaj itu, tetapi kerana sekeping kad besar yang tertulis I Love You, Laila di cermin hadapan kereta itu bersama lambakan ros merah di sekelilingnya yang membuatkan hati wanita itu langsung tersentap, tidak tahu hendak digambarkan bagaimana.

“Laila nak tahu kenapa abang hanya pakai motosikal selama ni? Sebab impian abang, apabila abang memandu, abang mahukan ada seorang isteri sebagai teman di sebelah abang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71826/imam-mudaku-romantik

REVIEW UNTUK SEPARA TUHAN

9789670719238-medium
EBUKU UNTUK SEPARA TUHAN OLEH Khalil Zaini, Arif Zulkifli, Lma Asmadi, Syaihan Syafiq, Wassim Fairuz, Siti Nazariah, Azhar Ibrahim, Fikri Misti, Nora Muharam, Ahmad Syukri, Ahmad Solihin, Raisya Nordin, Musalmah Munira, Farid Arif, Syafie Mahyani, Fatrim Syah, Ariff Masrom, Salleh Razak, Fatin Nadhira, Fikri Harun

Boleh jadi tanpa sedar kau dengan angkuhnya menganggap dirimu maha mengetahui – menjadikan kau manusia separa tuhan – menjatuhkan hukum benar dan wujud hanya pada apa yang kau lihat dan tahu, sedang selainnya semata-mata tipu dan palsu. Sedarlah kau tidak diciptakan tuhan yang separa dirimu itu dengan satu mata di hadapan dan satu lagi di belakang untuk melihat seluruhnya, bahkan akal pemberiannya yang membezakan kau dengan binatang itu juga punya daerah terlarang.


Jadi untuk ulasan buku kali ini bagi tajuk Untuk Separa Tuhan. Dinasihatkan kepada pembaca yang cepat loya JANGAN BACA kerana ada beberapa cerpen yang sedikit ganas dan akan membuatkan anda betul- betul mual.  Gabungan beberapa kisah dalam satu buku mampu membuat anda terfikir sejenak mengenai siapa Tuhan? Dan manusia yang berlagak menjadi tuhan. Pada pandangan saya, novel ini saya klasifikasikan sebagai buku ketuhanan dari sisi gelap. Perkara yang membuatkan kita terfikir betapa manusia sangat menggilai watak tuhan. Kuasa dan darjat yang ada disalahguna. Harta yang ada dibuang begitu sahaja. Akal yang dikurniakan tuhan letak di lutut. Begitulah jalan cerita yang bakal mencabar darjah ketertinggian ilmu anda.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/58212/untuk-separa-tuhan

 

 

 

[SNEAK PEEK] SEBELUM NAFAS TERHENTI

9789831246740-medium
EBUKU Sebelum Nafas Terakhir oleh Juriah Ishak

BUNGA-BUNGA mawar menari-nari dibelai angin. Harum baunya menyamankan. Taman mini di Vila Kencana Emas kini semakin berseri. Datin Rabiatul berjalan dari satu pasu ke satu pasu yang lain. Matanya asyik memerhati daunan yang tumbuh menghijau dan subur. Bibirnya mengukir senyuman. Hatinya berasa puas melihatkan bunga-bunga yang disemai di taman di halaman rumahnya mulai berbunga dan berdaun segar. “Alhamdulillah… Lisa, terima kasihlah kerana telah menjaga semua pokok-pokok kesayangan saya ni dengan baik.  Wah!  Semuanya dah mula hidup dengan segar kembali.  Hmm… tengok ni, bunga orkid ni dah mula keluarkan kudup untuk berbunga!” Datin Rabiatul bersuara dengan riang. Nurlisa hanya tersenyum. Tidak ada apa-apa yang dapat diperkatakannya. Namun hati kecilnya berasa gembira melihat keceriaan yang terpancar di wajah Datin Rabiatul.  “Alhamdulillah. Saya cuma menjaganya. Menjirus air,  letak baja. Dengan kehendak-NYA, semua bunga-bunga ini hidup subur dan berbunga lebat. Kurniaan ALLAH untuk kita kan, mak cik?” Nurlisa bertanya bagaikan pertanyaan seorang anak gadis kepada emak yang telah melahirkannya.  “Mak cik, boleh tak kalau Lisa ubahkan pasu-pasu ni?” Walaupun telah diberi tanggungjawab untuk menjaga taman itu, tidak manis rasanya jika membuat sesuatu tanpa meminta keizinan daripada tuannya. “Ubah?” Datin Rabiatul memandang ke wajah Nurlisa yang dibasahi peluh. Sudah hampir sejam mereka di situ. Matahari pagi sudah mulai menggigit.  Nurlisa mengganggukkan kepala sambil memandang ke wajah Datin Rabiatul yang sedang tersenyum mesra.  ‘Gadis ini memang pandai berbudi dan berbahasa. Keyakinannya terhadap kekuasaan ALLAH seolah telah bertunjang di dalam hatinya. Syukurlah kerana telah dipertemukan dengan gadis ini.’  Hati Datin Rabiatul berbisik sendiri. “Ikut suka hati Lisalah nak buat macam mana pun. Tapi Lisa tak bolehlah nak angkat pasu-pasu ni semua. Kaki Lisa pun belum sembuh sepenuhnya. Jangan sampai tercedera. Kalau nak ubah pasu, Lisa panggil Pak Dollah, ya,” kata Datin Rabiatul dengan nada lembut. Matanya mengerling pembantu rumahnya itu. Nurlisa berbaju T lengan panjang.  Berseluar sukan warna biru. Baju pemberian Datin Rabiatul.  Baju-baju yang tidak dipakai lagi oleh Adzman dan Aldi. “Hmm… bila lagi temu janji Lisa dengan doktor?”  tanya Datin Rabiatul lagi sambil menyembur semut yang mengelilingi pasu pokok keladi. Walaupun mempunyai ramai pembantu rumah, dia bukanlah jenis wanita yang suka bersenang lenang dan tidak mahu melakukan suatu kerja pun. Dua tiga minggu sekali dia akan melakukan sendiri semua kerja-kerja di rumah itu jika ada kesempatan. “Kaki saya sudah baik, mak cik. Hmm… tak payah jumpa doktor lagilah mak cik.” Nurlisa rasa keberatan memberitahu tarikh temu janjinya dengan doktor. Budi baik Datin Rabiatul sudah terlalu banyak terhadapnya.  “Hai! Sejak bila kamu dapat tauliah menjadi doktor ni Lisa?” Datin Rabiatul bersuara agak kuat. Namun tujuannya bukanlah untuk memarahi gadis itu. Gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Tambahan, dia pun tidak memiliki anak perempuan. “Kamu mesti pergi, Lisa! Sewaktu mak cik ambil Lisa untuk bekerja di sini, mak cik dah berjanji dengan mak Lisa untuk menjaga Lisa macam anak sendiri!” pujuk Datin Rabiatul.

“Yalah mak cik! Nanti saya pergi. Temu janji Lisa dengan doktor hari Rabu depan.” Nurlisa mencungkil-cungkil tanah di pangkal pokok asam batu yang berdaun seperti baldu itu.  “Hari Rabu depan. Hmm… Pak Dollah kena bawa mak cik dan datuk ke Pulau Langkawi. Tak apalah Lisa, nanti mak cik minta Adzman tolong bawakan Lisa.” Spontan, Datin Rabiatul memberi cadangan. Cadangan yang amat mengejutkan Nurlisa.   “Adzman?”  Seingatan Nurlisa dia belum sempat bertemu dengan anak lelaki Datin Rabiatul yang bongsu itu. Adzman pun balik ke rumah itu sekejap-sekejap sahaja. Kerap kalinya, sewaktu anak muda itu pulang ke rumah, Nurlisa sedang berada di biliknya atau melakukan kerja di belakang rumah.   “Tak apalah, mak cik. Nanti Lisa pergi sendiri.” Dia berasa serba salah dengan kehendak wanita itu. “Segan?” Datin Rabiatul menyoal pula.  Nurlisa hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda menyetujui apa yang diteka oleh Datin Rabiatul. Yang sebenarnya dengan Adzman pun dia tidak sempat berkenalan dan bertemu muka lagi. Hanya mendengar namanya sahaja. “Tapi, Adzman tu tak boleh diharap sangat. Selalu tidak balik ke rumah ini. Macam inilah. Lisa pergi dengan teksi. Boleh?” Datin Rabiatul memberi cadangan. “Seperkara lagi Lisa, mak cik benar-benar berharap supaya Lisa dapat membantu dan memujuk Aldi.” Datin Rabiatul sedikit mengeluh. Wajahnya muram seketika. Dia bimbangkan masa depan anak sulungnya itu. “Lisa bersabarlah dengan karenahnya, ya. Sebelum ditimpa kemalangan itu, Aldi tidak pernah bersikap kasar dengan sesiapa pun. Cuma dia tu keras kepala sikit. Tapi hatinya baik dan sangat mengambil berat terhadap orang lain.”  Sambil berkata, mata Datin Rabiatul memandang ke wajah Nurlisa.   Nurlisa mendengar dengan teliti apa yang diceritakan oleh Datin Rabiatul berkenaan dengan Aldi. Benarkah lelaki itu sama seperti apa yang digambarkan oleh emaknya? “Dia tu dulu tak banyak cakap orangnya. Kalau bercakap pun berhati-hati sangat. Tambah-tambah dengan mak cik ni, bercakap kasar memang tak pernah walaupun sekali. Bila dia jadi begitu, mak cik rasa mak cik dah kehilangan anak mak cik.” Nada suara Datin Rabiatul seolah bersedih. “Insya-ALLAH, mak cik. Saya akan cuba.” Nurlisa berjanji. Apa lagi yang hendak dikatakannya jika orang sudah berharap. Suara tengkingan Aldi seolah terngiang-ngiang di telinganya.  “Lisa tengok tu. Aldi sedang mengintai kita dari sebalik langsir di biliknya. Sedari tadi mak cik perhatikan. Dia tak bergerak-gerak dari belakang langsir tu. Sebenarnya dia ada keinginan untuk bersama kita semula tetapi dia tu dah jadi ego. Bongkak. Tak mau redha menerima ketentuan ALLAH!  Lisa pujuk dia perlahan-lahan, ya. Manalah tahu lembut hati anak sulung mak cik tu!” Datin Rabiatul menarik tangan Nurlisa supaya mengikutnya berselindung di sebalik pokok jambu yang rendang dan berbuah merah itu. Dari celahan daun-daun jambu itulah, kedua mereka mengintai pula telatah Aldi yang masih berada di sebalik langsir di jendela.  Datin Rabiatul tertawa kecil melihat telatah anaknya itu, namun Nurlisa hanya mendiamkan dirinya. Perasaan simpatinya semakin melebar. PAGI itu cuaca amat cerah sekali. Awan memutih, langit membiru. Bunga-bunga sudah berkembangan. Embun di taman sudah mengering tetapi kamar itu tetap berwajah muram dan bergedup. Langsir tidak pernah dirungkaikan daripada ikatannya. Kaca jendela tidak pernah bergerak dari gelansarnya.

Bunga-bunga di jambangan yang diletakkan di beberapa sudut sudah kering dan menghitam. Ada bau hapak dan pengap. Aldi akan mengamuk jika Bibik Sunarti ingin mengemas dan membuang bunga-bunga yang sudah mengering dan kehitaman itu. Aldi masih di atas kerusi rodanya. Matanya melihat ke hujung katilnya. Semalam sebelum tidur dia telah melonggokkan beberapa buah buku bersama sehelai blaus kesayangan Arishal. Pagi ini semuanya telah hilang daripada pandangan mata. Tempat longgokan bukunya semalam telah digantikan dengan senaskah al-Quran dan sejadah serta dua buah buku lagi yang tidak diketahui judulnya. Dia tidak berminat untuk menyentuhnya apatah lagi untuk membaca buku-buku itu.   Hatinya tiba-tiba menjadi berang. Teringat kepada gadis kecil molek itu. Mungkin dia yang meletakkan barang-barang itu di atas katilnya sewaktu dirinya masih lena. “Budak!” Pantas tangannya menekan punat interkom berhampiran meja kecil di sisi katil. Lalu suaranya bergema di seluruh ruang di rumah itu. “Budak!” Aldi terus memekik-mekik dari biliknya memanggil Nurlisa. Di perkarangan vila, Nurlisa sedang membedek-bedek bunga-bunga orkid yang sedang berkembangan terkejut mendengar jeritan Aldi. Terhencut-hencut gadis itu kembali ke dalam rumah. “Lisa! Tak payah naik ke atas sana! Biar dia menjerit begitu! Dia memang begitu. Nanti bila Lisa naik, dia akan mengusir Lisa keluar dari biliknya. Biar ibu saja yang menguruskan anak itu. Lisa teruskan dengan kerja di luar sana,” kata Sunarti. “Tapi, dia panggil saya!” Nurlisa menjadi serba salah seketika. Teringat pula janji yang telah dibuatnya bersama dengan Datin Rabiatul. Dia akan bersabar dengan karenah Aldi.  Membantunya sehingga dia sembuh.  Kalau boleh biarlah Aldi dapat menjalani kehidupan yang normal kembali. “Tak apa,” ujar Sunarti sambil melangkahkan kakinya menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas rumah itu. “Bibik, nanti Encik Aldi meradang!” Suara Nurlisa seolah meminta pengertian daripada wanita separuh umur itu. “Biarkan dia meradang! Kadang-kadang panggil, sekejapan kemudian sudah diusir kita seolah anjing!” Bibik Sunarti seolah merungut.   Mahu tidak mahu, Nurlisa terpaksa akur dengan nasihat Bibik Sunarti. Bukankah Bibik Sunarti orang yang lebih tua darinya. Tambahan pula dia telah lama bekerja di situ. “Kenapa ni Aldi! Pagi-pagi lagi sudah ribut-ribut, marah-marah?” Bibik Sunarti menghampiri Aldi yang masih tersandar di kerusi rodanya. Wajah Aldi yang murung dan masam mencuka direnungnya.   “Kenapa bibik yang naik ke sini? Budak itu mana?”   Sunarti pula dimarahi Aldi. Dia menjegilkan matanya apabila memandang Bibik Sunarti. Nafasnya kencang tanda perasaan berangnya sudah mulai membakar hati. “Budak mana?” Sunarti berpura-pura tidak mengerti.  Matanya merenung Aldi yang duduk di kerusi roda.

Aldi kelihatan gelisah. Sepagi ini dia belum melihat wajah gadis itu. Mungkin awal pagi tadi Nurlisa ada datang ke bilik untuk mengejutkannya tetapi dia masih lena. Kerusi roda digerakkannya ke depan dan ke belakang. “Buang tu semua! Aku tak mahu tengok! Tak mahu!!!”  Aldi terus memekik sambil menudingkan tangannya ke arah sejadah, buku serta al-Quran yang terlonggok di sudut katilnya.  “Masyaallah! Aduh! Aduh! Anak ini! Kerana sehelai sejadah dan al-Quran marah-marah begini, ya?” Sunarti mencapai sejadah tersebut lalu menyimpannya di dalam almari. Al-Quran dan buku-buku diletaknya kembali di almari buku. Setelah itu wanita tua itu terus meninggalkan Aldi bersendirian.   Aldi menolak kerusi rodanya ke tepi jendela. Dari sebalik langsir berwarna ungu muda itu, dia mengintai ke perkarangan rumah. Dia memerhatikan gadis tempang itu menyiram pokok-pokok bunga yang banyak tertanam di sekeliling vila itu. Semenjak dipelihara rapi, pokok-pokok bunga itu berbunga lebat. Mawar, orkid, bunga raya bermacam warna, bunga kertas dan semuanya nampak berseri dan berwarna warni.  Dia juga dapat mendengar dengan jelas suara tawa Nurlisa yang sedang bergurau dan berbual dengan Wak Dollah sambil menyiram bunga. Hatinya bagai disiat-siat. Sudah lama dia tidak merasai keriangan itu. Segala keriangan seolah sudah berakhir di hatinya. “Bibik!” Wanita tua itu pula yang dipanggil. Beberapa ketika kemudian, Bibik Sunarti sampai di sisinya. “Bibik! Saya mahu ke taman! Panggil budak itu ke sini!” Aldi memberi arahan. “Alah! Kalau nak Aldi mahu ke taman, bibik pun boleh tolakkan kerusi ni. Si Lisa kan kakinya masih belum sembuh betul. Kasihan dia.” Sunarti membujuk dengan suara yang lembut. Mujur pemuda itu dapat menerima pujukan daripada Bibik Sunarti.  Dia hanya mendiamkan diri apabila pembantu rumahnya itu menolak kerusi rodanya dan membawanya ke taman di Vila Kencana Emas itu. “Tinggalkan saya di sini, bibik!” Aldi memberi arahan apabila kerusi rodanya yang didudukinya sudah berada hampir dengan  kolam di tepi rumah. Suaranya tetap seperti selalu. Tegas dan tegang. Sepeninggalan Sunarti, Aldi cuba menggerak-gerakkan kerusi rodanya sendiri di atas rumput-rumput di halaman vila itu. Dari kejauhan, dia memerhatikan Nurlisa melakukan kerja dengan tekun. Menyiram pokok bunga dan mengubah kedudukan pasu-pasu mengikut kesesuaiannya walaupun dalam keadaan yang amat payah.  Apabila hendak bergerak jauh, gadis itu akan menggunakan tongkat. Bila hendak bergerak dengan jarak yang dekat, dia akan berpaut kepada para-para yang menempatkan pasu-pasu di taman itu. Sekiranya dia ingin mengubah pasu yang berada di kedudukan atas tanah, gadis itu akan duduk dan mengesot perlahan-lahan sambil menolak pasu dengan tangannya. “Wak! Tolong angkat pasu yang ini!”  Terdengar suara Nurlisa di telinga Aldi. Suara gadis itu kedengaran riang dan ceria. Pada waktu itu Nurlisa sedang duduk di atas rumput. “Perlahan-lahan, Wak. Di depan tu ada lubang.”  Jeritan kecil Nurlisa itu menarik perhatian Aldi yang berada beberapa meter dari tempat Wak Dollah dan Nurlisa sedang bekerja. Lelaki tua itu tidak menghiraukan pesanan daripada gadis itu. Dia mengangkat pasu dan melangkah dengan gagah. “Allah hu akhbar…” Kaki Wak Dollah terseradung timbunan tanah lalu terjatuh. Pasu yang ditangan terlepas dan tergolek di atas tanah. Dia terjatuh bagaikan seekor katak. “Wak!” Nurlisa menerpa dengan merangkak ke arah lelaki separuh umur itu.

Wak Dollah bangun dan ketawa berderai. “Dah lama Wak tak tangkap katak!”  Dia cuba bergurau dengan gadis itu sambil ketawa.   Nurlisa turut ketawa bersama. Suara tawa mereka membuatkan hati kecil Aldi berasa cemburu. “Nasib baik Wak tak terbaham tanah.” Dia ketawa tanpa menyedari ada sepasang telinga yang sedang mencuri dengar tawa riangnya. Tanpa disedari, Aldi sudah menggerakkan kerusi rodanya hampir dengan mereka. Ketawa Nurlisa terhenti.  Wak Dollah terus menyapa Aldi yang berwajah muram. “Budak tu rajin dan kuat semangat!” Suara Wak Dollah tiba-tiba menyinggahi telinga Aldi. Wak Dollah kelihatan berpeluh-peluh kerana menyapu daun-daun kering di sekitar taman mini di situ.   Aldi tidak mengulas apa-apa. Dia terus memerhatikan Nurlisa. “Dia melakukan segalanya tanpa rungutan dan bersabar.”  Wak Dollah terus memuji-muji Nurlisa di hadapan Aldi. “Kecacatannya diterima dengan redha!”  Kata-kata Wak Dollah langsung tidak menarik perhatian Aldi. Yang lebih menarik perhatiannya hanyalah gadis itu.  Gadis yang terhencut-hencut berjalan ke sana dan ke sini menyelesaikan tugas yang diberi dengan senyuman. “Saya nak balik ke bilik saya!” Aldi benar-benar berasa malu dengan dirinya sendiri. Apabila mendengar kata-kata pujian Wak Dollah terhadap Nurlisa dan melihat telatah gadis itu yang cukup tabah melakukan itu dan ini, dia merasakan yang dirinya terlalu lemah. Mahu tak mahu lelaki itu berusaha sedaya upaya menggerakkan tayar kerusi rodanya dengan seluruh kudratnya yang ada. Dirinya terasa amat kecil. Mampukah dia terus bertahan dalam keadaannya yang seperti itu? PEJAM celik, pejam celik sudah hampir empat bulan Nurlisa bekerja sebagai pembantu rumah di Vila Kencana Emas itu. Setiap hari dia menjalankan tugas rutin di kamar Aldi.  Namun kerap kalinya Aldi menghalangnya. Lelaki itu lebih rela keadaan biliknya berselerak, muram dan hapak. Suasana bilik seolah menggambarkan hatinya yang gelap dan tidak bercahaya. “Encik Aldi, boleh saya buka tingkap bilik encik?”  Nurlisa memberanikan diri meminta kebenaran daripada Aldi pada suatu pagi. Dia berasa rimas dengan keadaan bilik itu.  Mujurlah bukan dirinya yang menghuni bilik itu. Dia hanya datang sekejap-sekejap untuk menjenguk Aldi sekiranya ada perkara yang perlu dibantu.  Namun kadangkala, lelaki itu yang akan memanggilnya melalui interkom yang suaranya berkumandang di seluruh rumah itu. Budak! Itulah yang akan dilaungkan oleh Aldi dan gadis itu akan terhencut-hencut dengan kakinya yang tempang menaiki tangga menuju ke tingkat atas. “Tak usah!” Aldi melarang tegas. Dia yang sedang duduk di atas kerusi rodanya memandang ke wajah gadis itu sekilas. Nurlisa mempunyai kecantikan yang tersendiri.  Berkulit cerah dan berwajah tenang serta bersih. Matanya yang lembut dan redup dihiasi dengan bulu mata panjang lurus. Tanpa mengukir senyuman pun, wajah gadis itu tetap kelihatan manis. Mungkin kerana lesung pipit yang comel di hujung kedua bibirnya itu. Menggerakkan bibirnya untuk mengucapkan sesuatu pun, dia seolah sedang tersenyum. “Encik, sudi tak jika saya bawa encik bersiar-siar ke taman.” Nurlisa cuba memujuk dengan lembut dan sabar.  Wak Dollah telah memberitahunya bahawa Aldi sudah lama tidak keluar dari bilik itu. Bukan itu sahaja. Aldi juga tidak berbual dengan orang lebih lama daripada itu. Bercakap sekadar yang perlu sahaja. Selebihnya dia akan mendiamkan diri dan berkurung di dalam bilik itu.

Sepanjang tempoh dia bekerja di situ, Aldi hanya keluar dari bilik itu ke halaman rumah dua kali. Iaitu pada hari pertama Nurlisa bertugas di situ dan hari Wak Dollah terjatuh kerana mengangkat pasu. Selepas hari itu, Aldi tetap berkurung di dalam bilik dan termenung di sisi jendela tanpa jemu. “Tak mahu! Pergi! Aku tak mahu diganggu! Leave me alone!” Aldi bersuara agak kuat dan keras nadanya. Matanya terus memandang keluar jendela tanpa berkelip. Sebenarnya dia sentiasa menunggu-nunggu dan sentiasa memerhatikan kehadiran gadis itu di muka pintu. Apabila gadis itu berada di dalam kamarnya, dia berpura-pura tidak menginginkan kehadiran gadis itu.   “Tapi…” Nurlisa merenung wajah Aldi yang sedang menggerakkan kerusi rodanya ke arah almari buku yang bercermin kaca tidak jauh dari jendela. “Leave me alone!” Bagai petir, suara Aldi memekik sambil menghentak cermin kaca pada almari berkali-kali.  Bergemerincingan bunyi kaca itu pecah dan berderai di atas karpet. “Keluar!!!” Sekali lagi dia bersuara seumpama petir mengusir Nurlisa dari biliknya. Nurlisa terkejut. Untuk mengelakkan Aldi semakin mengganas dan kemungkinan mencederakan dirinya, gadis itu terpaksa keluar dari bilik itu. Namun kekerasan suara Aldi kali ini tidak lagi boleh merebakkan kolam matanya.   “Bibik! Bibik! Tolong bibik!” panggil Nurlisa sebaik sahaja melihat kelibat Bibik Sunarti di dapur. “Mengapa? Orang itu mengamuk lagi?” Sunarti cuba meneka. Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya. “Bibik! Dia tumbuk almari buku. Habis pecah cermin kaca! Jomlah bibik, tolong tengok. Tangannya sudah berdarah tadi!” Nurlisa mengadu kepada Bibik Sunarti dengan suara yang cemas dan risau.   “Eh! Anak itu tak habis-habis amuknya! Lisa pergi naik dulu, sekejap lagi bibik pergi tengok!” Bibik Sunarti bersuara perlahan. Dia sudah bosan dengan amukan dan sikap panas baran Aldi.  Dengan perasaan yang berbelah bahagi, Nurlisa gagahkan diri masuk ke bilik Aldi. Perlahan-lahan daun pintu bilik itu dikuak sambil menjengukkan kepalanya memerhatikan keadaan Aldi yang masih berada di tempat tadi, tidak bergerak walau seinci.   ‘Astaghfirullahaladzim!!!’ bisik Nurlisa di dalam hatinya apabila melihat keadaan Aldi. Kanan dan kiri telapak tangannya dipenuhi darah. Dia rasa sangat bersalah. Kalau tidak kerana dia membantah percakapan Aldi tadi, sudah tentu perkara itu tidak berlaku. “Aldi! Subhanallah! Mengapa jadi begini nak oiii!!!”  jerit Bibik Sunarti yang baru muncul di bilik itu. Dia mencapai tangan Aldi dan melihat kecederaannya. “Lisa, pergi ambil vakum dan bersihkan semua kaca-kaca ni! Biar bibik bersihkan luka Aldi. Nanti bawa kotak ubat sekali.”  Bibik Sunarti mengarahkan Nurlisa yang sedang mengutip kaca yang jatuh di pangkuan Aldi.  “Lisa?” Aldi yang sedari tadi mendiamkan dirinya bersuara kuat dan matanya mencerlang pada Bibik Sunarti apabila mendengar kata-kata wanita itu. Kemudian matanya beralih ke kaki Nurlisa. Nurlisa yang berdiri di hadapannya dengan tongkat di celah ketiak kirinya. “Aduh! Bibik lupa! Maaf! Tak apa! Biar bibik yang pergi ambil. Lisa cucikan luka di tangan Aldi.” Bibik Sunarti membantu menolakn kerusi Aldi ke singki yang berhampiran diekori Nurlisa. Permaidani yang berselerakan dengan kaca dilipat dua untuk mengelakkan Nurlisa terpijak kaca sewaktu berjalan terhencut-hencut dengan tongkatnya. Wajah Aldi masam mencuka. Perasaannya bercampur baur. Sesal. Marah. Kecewa dengan diri sendiri. Namun hatinya akan terlebih sakit lagi jika dia bersama wanita Indonesia itu di dalam kamarnya.

Nurlisa semakin rasa serba salah dengan tugas barunya itu. Perasaan malu mengintip di kalbu. Walau bagaimanapun, dia mencapai juga tangan Aldi dan membuka paip di singki dengan aliran air yang perlahan. Di bawah aliran air itu dia mencuci tapak tangan Aldi yang luka dengan berhati-hati dan penuh kelembutan. “Aduh!” Aldi terjerit kecil apabila terasa tapak tangannya ada benda yang mencucuk dan menghiris.   Nurlisa memberhentikan cuciannya. Wajahnya ditundukkan untuk melihat tapak tangan Aldi dengan jarak yang lebih dekat. “Ada kaca ni! Saya keluarkan. Minta maaf encik, saya terpaksa tekan tapak tangan ni!” Dengan penuh kelembutan, Nurlisa cuba mengeluarkan sisa kaca daripada tapak tangan lelaki itu. Telapak tangan Aldi didekatkan dengan matanya untuk melihat serpihan kaca yang halus itu. Hembusan nafasnya menyentuhi tangan lelaki itu.   Dahi Aldi berkerut-kerut menahan pedih sewaktu Nurlisa cuba mengeluarkan serpihan kaca. “Nah! Lisa, ada ubat luka dan plaster serta kapas. Lepas cuci dengan air tu, cuci dengan anti kuman ni. Setelah itu, letak ubat luka dan balut.” Selepas itu, Sunarti meneruskan tugasnya menvakum bilik itu dan mengutip semua kaca-kaca yang tidak mampu disedut oleh vakum. Aldi diam seribu bahasa. Satu demi satu tangannya dibersihkan oleh Nurlisa. Dia hanya memerhatikan wajah gadis itu dari jarak yang amat dekat. Alisnya, bulu matanya yang panjang dan lurus serta lebat, bibirnya, pipinya, giginya yang kelihatan apabila dia bersuara bagaikan mutiara yang tersusun. Segala-gala yang ada pada diri gadis itu menarik hatinya.  Nurlisa tersenyum setiap kali pandangan mata mereka bertemu. Senyuman itu begitu indah.  Menatap indahnya senyuman di wajah gadis itu, membuatkan Aldi terdiam dan terpaku. Hanya senyumannya yang membeku. Dia tetap berwajah kering dan selamba. “Bibik!  Saya belum sarapan!”  Terasa perut berkeroncong, barulah lelaki itu bersuara tatkala Nurlisa sedang meletakkan ubat luka di tapak tangan dan jari jemarinya dengan sabar. “Oh! Bibik terlupa. Sebentar ya. Bibik siapkan ini dulu.  Nanti bibik bawa naik ke sini,” jawab Sunarti. “Budak! Suap aku makan!” Aldi bersuara garang sebaik sahaja Nurlisa selesai merawat tangannya dan makanan telah dihidangkan Bibik Sunarti di meja makan di bilik itu.  Nurlisa dan Bibik Sunarti saling pandang memandang.  Sunarti menganggukkan kepalanya lalu meninggalkan mereka berdua di situ. Sukar sungguh memahami anak lelaki majikannya itu.  Nurlisa mengambil sudu dan mencedokkan makanan yang disajikan menggunakan sudu. Sudu yang berisi makanan disuakan ke mulut Aldi. Lelaki itu merapatkan bibirnya. Berkali-kali Nurlisa cuba menyuap tetapi Aldi enggan membuka mulutnya.  “Kenapa, encik?”  Nurlisa menyoal dengan lembut sambil bibirnya tersenyum lagi.  Matanya memerhati makanan yang tersaji. Spageti goreng itu nampaknya menyelerakan tetapi mengapa Aldi enggan makan? “Suap dengan tangan!”   Permintaan daripada Aldi seolah meruntuhkan perasaan Nurlisa. Masakan lelaki itu mahu makan, makanan yang disuap oleh tangannya.  Kalau makan nasi, tidaklah menjadi halangan. Mahu atau tidak, permintaan itu diturutinya juga. Dia menyuap Aldi dengan sabar. Tambahan pula mengenangkan yang tangan lelaki itu mengalami kecederaan.

****

“BUAT apa kamu datang ke sini?” Aldi terkejut dengan kehadiran Nurlisa yang tiba-tiba muncul di hadapannya pada pagi itu. Dia sedang bermenung di balkoni. Lamunannya terhenti tiba-tiba. Yang dilamunkannya pun hanyalah gadis itu. Gadis yang tabah dan sabar, miliki keistimewaan yang tersendiri.  Hatinya mulai rindu jika tidak dapat merenung wajah gadis itu dalam sehari. Bukan sahaja sehari. Bahkan sejam pun dia berasa sudah terlalu lama. Bibirnya mengukir senyuman apabila terkenangkan detik-detik gadis itu mencuci tangannya sewaktu dia mengalami kecederaan semalam. Saat itu amat indah dirasakannya. Namun senyuman itu segera hilang apabila menyedari Nurlisa berada di sampingnya.  Wajahnya kembali serius.  “Bibik suruh tanya encik, tengah hari ini encik nak makan apa?” Nurlisa bertanya dengan lembut. Matanya menatap wajah Aldi.  Aldi diam. Nurlisa menunggu dengan sabar. Aldi menggerak-gerakkan kerusi rodanya di sekitar balkoni.  “Terubuk bakar!” Suara Aldi agak perlahan.  “Yang lain encik?” Nurlisa bertanya lagi. Bimbang jika disaji makanan yang tidak bertepatan dengan seleranya, makanan yang disajikan akan menjadi santapan permaidani.   Aldi hanya diam. “Saya beritahu bibik, ya.” Nurlisa melemparkan senyumannya kepada lelaki itu walaupun tidak pernah mendapat balasan sebelum beredar dari situ. Beberapa minit kemudian, gadis itu muncul lagi.   “Err… encik! Bibik suruh saya…”  Nurlisa tergagap-gagap apabila Aldi merenung tajam kepadanya. “Bibik suruh saya cuci luka di tangan encik!” Sambungnya. Dia bimbang, Aldi akan melenting dengan permintaannya itu.   Aldi diam, namun perlahan-lahan dia menggerakkan kerusi rodanya menuju ke bilik dan terus ke singki. Di situ Nurlisa telah menyiapkan peralatannya.  “Alhamdulillah. Luka-luka di tapak tangan encik ni, tidak bernanah,” ujar Nurlisa sambil matanya menumpu kepada tapak tangan Aldi yang luka masih ada calar-calarnya.   Aldi memasamkan mukanya. Tidak memberi respons kepada kata-kata gadis itu. “Nanti kamu suapkan aku makan tengah hari!” Dia memberi arahan sebaik sahaja Nurlisa menyelesaikan tugasnya dan beredar daripada bilik itu.   Nurlisa tidak menjawab. Dia akur dengan kehendak Aldi kerana memahami situasi lelaki itu pada waktu itu.  Kedua-dua tanganya luka. Jari jemarinya pun luka. Hampir kesemua jarinya dibalut dengan plaster.   TERUBUK bakar sudah tersaji di atas meja. Air asam yang disediakan oleh Sunarti begitu menyelerakan sekali. Sayur campur goreng mungkin akan membuka selera Aldi kerana warna-warna sayurannya.  Kuahnya likat. Udang serta sotong menjadi rencahnya. Pencuci mulut, puding sago berkuah.   Nurlisa menanti dengan sabar arahan lelaki itu. Pinggan nasi sudah berada ditangannya. Sekiranya Aldi enggan duduk di meja makan, tugasnya menjadi rumit. Bagaimana hendak menyuap nasi berlaukkan terubuk bakar yang banyak tulang itu, yang pastinya perlu dicicah dengan air asam terlebih dahulu? Kalau dicurahkan dengan air asam awal-awal,  ikannya akan menjadi kembang pula dan tidak menyelerakan lagi.

Dengan lafaz bismillah, dia memulakan tugasnya menyuap Aldi. Nurlisa melakukan segalanya dengan sabar tanpa bersuara. Tugasnya dilakukan tanpa rungutan. Dia bersyukur kerana Aldi nampaknya berselera untuk makan. Mudah-mudahan dia segera sembuh. Diberi pertunjuk dan hidayah oleh ALLAH dan kembali seperti dulu. Begitulah doanya di dalam hati dan setiap kali selepas bersolat. Sama ada solat wajib atau solat sunat. Dia mendoakan untuk semua orang.    Aldi memerhatikan gelagat Nurlisa memisahkan tulang ikan terubuk daripada isinya tanpa berkelip dan bibir yang terkunci. Gadis itu melakukan segalanya dengan sabar dan tekun. Sebelum gumpalan isi ikan terubuk itu dicicahkannya dalam air asam, Nurlisa memperhatikannya sekali lagi kalau-kalau ada tulang yang masih terlekat. Barulah disuapkannya ke dalam mulut Aldi yang mengangakan mulutnya macam anak burung. “Minta maaflah encik, kalau masih ada tulang yang saya tidak nampak,” ucap gadis itu sambil tersenyum apabila memandang Aldi.   Aldi tetap berwajah selamba sambil mengunyah perlahan gumpalan nasi bercampur lauk yang telah menghuni mulutnya. Tiba-tiba kunyahannya terhenti. Ada tulang yang mencucuk lelangitnya. Dia tersedak.   “Tulang ke encik? Maaf, saya tak nampak.” Suara Nurlisa agak terketar.  Dia bimbang Aldi akan mengamuk lalu menolak serta menepis pinggan mangkuk yang di sisi lengannya.  Namun lelaki itu tidak menunjukkan wajah marah.   “Tapak tangan kamu!” Aldi bersuara kasar sambil menolak tulang dari dalam mulutnya ke hujung lidahnya lalu dikapit dengan gigi kacipnya. Tanpa membantah Nurlisa menadah tapak tangannya di tepi bibir lelaki itu. Lantas, tulang-tulang halus yang terkumpul dua tiga diluahkannya di atas tapak tangan gadis itu.   Nurlisa membuang tulang-tulang itu ke dalam bekas yang disediakannya dari tadi lalu membasuh tangan. Tugasnya untuk menyuap lelaki itu makan diteruskan semula dengan sabar dan senyuman. “Nak tambah nasi lagi, encik?” Barulah dia bersuara sebaik sahaja sampai ke suapan yang terakhir.   Aldi menggelengkan kepalanya.  Nurlisa menghampirkan pula gelas minuman ke bibir Aldi. Bagaikan anak kecil yang disuapkan oleh ibunya, Aldi mencicip air minuman itu perlahan-lahan. Dia memandang ke arah lain, apabila gadis itu merenungnya. “Encik nak makan puding?” soal Nurlisa sambil matanya merenung ke wajah lelaki itu. Mata mereka bertentangan lagi. Kali ini Aldi membalas renungannya seketika sebelum membuang pandangan ke arah lain. “Sikit saja!” Aldi menjawab agak perlahan. Nadanya masih seperti selalu. Keras dan tegang. Tiada kemesraan. Segalanya seolah asing. Lelaki itu hanya membatukan dirinya apabila Nurlisa mengesatkan sekitar bibirnya yang basah dengan tisu. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia meninggalkan Nurlisa seorang diri di meja makan itu.    Nurlisa memahami yang Aldi tidak mahu makan lagi. Dia menyusun pinggan mangkuk ke atas troli dan ingin beredar dari bilik itu. Sebentar lagi, Sunarti akan membawa turun semua pinggan mangkuk itu ke dapur. “Jangan pergi!”  Aldi tiba-tiba bersuara. Tanpa gadis itu di sisinya dia berasa kesuraman di hatinya bertambah menebal.  Kesuraman jiwanya kian lama seolah disuluhi cahaya apabila gadis itu berada di sampingnya. Hatinya berasa tenang dan damai untuk beberapa ketika. Apabila ditinggalkan keseorangan, dia berasa seolah ditusuk buluh runcing yang amat tajam. Tusukan itu membawa rasa sakit ke seluruh urat sarafnya. Perasaan itu sudah dirasakannya lama. Sejak kali pertama melihat gadis itu.  Perasaan itu bertambah dari saat ke saat. Hari demi hari.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66604/sebelum-nafas-terhenti

[SNEAK PEEK] PERSIS BIDADARI SYURGA

9789831247396-medium
EBUKU Persis Bidadari Syurga oleh Ummu Wafa

Pandangan mata selalu menipu. Pandangan akal selalu tersalah.Pandangan nafsu selalu melulu. Pandangan hati itulah yang hakiki. Jika lahir dari  iman dan taqwa. Nur Asiah telah nekad. Dia harus pergi dari rumah ini. Rumah puaka yang tidak pernah menjanjikan kebahagian untuknya. Rumah yang cantik seumpama sangkar emas.Rumah yang memenjarakan dirinya dengan berbagai penderitaan. Cukuplah selama ini dia menjadi hamba sahaya kepada suami dan madunya. Sesabar manusia pun ada juga batasnya. Dia bukan Malaikat untuk terus bersabar dengan segala kekejaman yang dilakukan oleh suaminya. TUHAN-ku! Ampunkanlah aku kerana meninggalkan rumah tanpa keizinan suami. Janganlah aku dianggap isteri yang nusuz kerana melarikan diri dari suami. Sesungguhnya aku sedang menyelamatkan diri agar nyawaku tidak terancam. Dalam kepekatan malam, dia menjinjing beg pakaiannya. Dia hanya mengambil apa yang perlu dan penting saja. Dia perlu segera beredar, takut-takut suaminya terjaga dari tidur. Barang-barang pemberian yang pernah dihadiahkan oleh suaminya satupun dia tidak ambil. Dia tidak memerlukan itu semua. Yang dia mahu ialah ketenangan dan kebahagiaan.   Sebentar kemudian teksi berhenti di hadapan rumah dan Nur Asiah bergegas masuk. Tanpa menoleh lagi dia meninggalkan rumah itu bersama kepekatan malam yang kian sunyi. Sebaik saja teksi berhenti di hadapan rumah Suriani, Nur Asiah keluar dari perut teksi dan dia dapati Suriani sedang tercegat menunggunya di muka pintu walaupun malam sudah dinihari. Dia bersyukur Suriani mahu menerimanya untuk menumpang di rumah itu buat sementara waktu. “Masuklah, Nur. Kau buatlah macam rumah sendiri. Aku gembira sangat. Akhirnya kau dengar juga cakap dan nasihat aku.” “Tapi Su, tidakkah nanti aku akan menyusahkan kau?” “Apa ke susahnya. Lagipun selama ini aku hanya duduk sorang aje! Sekarang aku taklah boring sangat sebab ada kau.” Suriani dengan gembira menerima kedatangan Nur Asiah.

“Su, aku rasa terharu sangat sebab kau sudi terima aku, sedangkan suami aku sendiri tak suka dan benci dengan aku.” Air mata Nur mula menitis di pipi, kelam jiwanya disaat ini mengenangkan nasibnya yang tak pernah kurang dikunjung malang. “Sudahlah, Nur. Kat sini kau selamat. Laki kau tak dapat cari kau lagi. Bermula saat ini tak ada siapa lagi yang akan mendera kau. Aku akan sentiasa berada disisi kau. Sudahlah, esok aku akan bawa kau jumpa doktor. Kita ambil laporan doktor lepas tu kita pergi balai polis buat repot.” “Eh, tak nak. Aku bukan nak suruh suami aku masuk penjara.” Nur Asiah menggeleng. Rupanya masih ada secuit kasih untuk suaminya walaupun tanpa cinta. “La! Sapa pula nak suruh laki kau masuk penjara. Kita buat ni sekadar ikut prosedur biasa. Takut nanti ada kes yang berbangkit, bolehlah kita guna report tu sebagai bahan bukti. Kau ni muka dah hancur lebur pun masih nak bela laki kau yang tak berguna tu.” “Walau seburuk manapun, dia tetap laki aku.” “Eeeee… geramnya kau ni, terlalu naif.” Suriani menunjukkan rasa geramnya.  Manakala Nur Asiah menggerakkan bibir untuk senyum pahit walaupun masih terasa peritnya. Malam itu dia merasakan tidurnya cukup puas dan nyenyak sekali. Buat pertama kalinya dia tidak terbangun pada waktu malam. Kalau sebelum ini tidurnya sering terganggu sebab sering berfikir-fikir apakah perkara buruk yang bakal dilakukan oleh suami dan madunya keesokkan hari. Hidupnya penuh dengan ketakutan. TUHAN-ku! Terima kasih diatas rahmat-MU. AIMAN terjaga dari tidur. Rasanya dia kesiangan. Memang semalam dia pulang agak lewat. Setelah makan malam dengan Adura, mereka bertemu pula dengan kawan. Sedar tak sedar dah pukul 1.00 pagi. Mana tak mengantuk dan kesiangan, tapi kenapa pula si Nur ni tak kejut. Selalunya dia yang akan ditugaskan untuk mengejutkan mereka dari tidur. Hisy… si Nur ni nak kena lagilah tu. Tak tahu serik. Selalu saja nak buat aku naik darah. Ini kalau dah bangun lewat, mestilah pergi kerja pun lewat. Aiman menyelak selimut yang membaluti tubuhnya.Dia mula turun dari katil. Suasana pagi yang cukup aman dan damai. Tidak kedengaran berbagai bunyi dari arah dapur seperti selalu. Bunyi yang tidak asing dia dengar pada waktu pagi. Bunyi kerentung kerentang Nur Asiah memasak. Tapi pagi ini terlalu lain rasanya tanpa bunyi bising di dapur. Kenapa si Nur Asiah ni tak bangun lagi?  Dia bergegas ke bilik sebelah untuk mengejutkan Nur Asiah. Kalau Nur Asiah lewat masuk dapur, jawabnya taklah sempat dia bersarapan pagi, sedangkan dia memang suka bersarapan di rumah. Tapi apa pula yang si Nur Asiah tu nak masak? Sedangkan semalam Nur memberitahunya tidak ada benda yang boleh dimasak. Ah… memang salah aku.  Aiman  berjalan menuju ke bilik Nur Asiah dan menolak daun pintu untuk memastikan Nur Asiah ada dibiliknya.  Kalau tak ada benda yang nak dimasak sekali pun Nur Asiah masih boleh membancuh air Milo untuknya dan dia ingin memberitahu Nur Asiah petang nanti dia akan singgah di supermarket untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Sebaik saja pintu bilik Nur Asiah ternganga, Aiman mendapati bilik itu kosong. Nur Asiah tiada disitu. Yang ada hanya bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Dia masuk ke dalam dan mengetuk pintu bilik air, tiada pun tanda-tanda yang Nur Asiah berada di dalam bilik air. Hatinya mula berteka-teki. Ke mana  pula si Nur ni? Jangan-jangan dia pengsan sebab semasa dia dan Adura meninggalkan Nur  Asiah malam tadi, Nur Asiah jatuh tersungkur. Entah-entah Nur Asiah mati. Eh! Minta jauh. Ini dah jadi kes pembunuhan. Ya ALLAH… mana pula minah ni? Aiman  berlari turun ke tingkat bawah, terus menuju ke dapur. Sepi dan kosong. Tiada Nur Asiah di situ. Dia  mencari di bilik air bawah, Nur Asiah juga tiada. Hatinya mula marah bercampur cemas. Di kepalanya mula bercambah berbagai soalan. Kemana minah kampung ni pergi? Siaplah nanti kalau jumpa. Memang kena nanti. Tak cukup lagi ke dengan pelempang malam tadi? Nak main sorok-sorok pula. Ingat aku tak ada kerja lain ke. Nak cari dia ke sana ke mari. Aiman naik semula ke tingkat atas. Dia perlu sembahyang subuh walau pun subuhnya sudah subuh gajah. Entah mengapa tiba-tiba dia merasakan sesuatu miliknya telah hilang daripada genggaman. Rasa hilang, sepi dan kosong.  Sebaik saja dia selesai solat subuh, dia mengejutkan Adura yang masih enak berbungkus dengan selimut. “Sayang! Bangun… kita dah lambat ni. Cepat bangun!”   Dengan separuh mendengus, Adura bangun lalu terus menuju ke bilik air. Aiman ke bilik Nur Asiah untuk mengambil pakaiannya yang selalunya sudah tersedia di atas katil. Bila dia membuka lampu bilik, tak ada pun pakaiannya tersedia seperti biasa. Dia melilau-lilau mencari, entah apa yang dia cari. Tiba-tiba dia terpandang sehelai kertas yang terletak di atas meja solek

Nur pergi. Jangan cari Nur. Halalkan makan minum Nur selama ini. Semoga abang berbahagia selalu.

Terduduk Aiman bersama kertas di tangannya. Entah mengapa hatinya bagai diragut keras. Dia sendiri tidak dapat menceritakan bagaimana perasaannya dikala ini. Marah ke? Bengang ke? Sedih ke? Kehilangan ke? Dia tidak dapat menyatakannya.Ternyata dia terasa kosong dan hatinya dibawa pergi bersama. Kenapa macam ni? Selalunya dia sentiasa merasa menyampah bila melihat Nur Asiah. Walaupun wajah Nur Asiah cantik dan punya pekerti yang baik, tapi hatinya seakan tertutup untuk memiliki hati Nur. Kadang-kadang dia merasa geram melihat sikap Nur Asiah yang selamba dan buat bodoh bila dimarahi atau dipukul. Seolah-olah Nur Asiah tak ada perasaan dan merasa sakit. Dia merasakan Nur Asiah selalu mencabar kesabarannya dalam diam. Walaupun Nur Asiah tak pernah menjawab dan melawan tapi sikap Nur Asiah yang diam membatu seperti patung itulah yang lebih membuatkan  Aiman sakit hati.  Aiman masih terpaku di atas katil. Dia terasa ingin menangisi kehilangan Nur Asiah, tapi untuk apa? Bukankah selama ini dia memang tidak peduli tentang apa yang Nur Asiah rasa. Dia melihat bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Disinilah dia sering meninggalkan Nur Asiah sendirian bertemankan bantal-bantal sepi dan sejuk. Dia lebih suka berada di bilik Adura. Adura yang hangat, Adura yang penuh keghairahan, Adura yang sering mendesak dan Adura yang ingin memiliki dirinya secara mutlak dan tidak suka berkongsi. Dia sedar, dia sering tidak berlaku adil pada Nur Asiah. Dia bermalam di bilik Nur Asiah sekiranya dia memang menginginkan Nur Asiah. Itu pun setelah Adura nyenyak tidur. Memang ia tidak adil. Selama ini pun dia sering membiarkan Adura membuli Nur Asiah. Nur Asiah yang lemah lembut dan tidak pandai melawan. Nur Asiah seperti hamba di dalam rumahnya sendiri. Dia membuka almari pakaian. Alangkah terkejutnya dia.Nur Asiah memang telah pergi. Semua pakaian Nur Asiah telah tiada. Yang tinggal hanya pakaian yang dia hadiahkan untuk Nur Asiah. Dia terasa sedih ditinggalkan. Bagaikan anak telah ditinggalkan oleh si ibu. Hilang kosong dan hampa.  Dia mengambil baju dan seluar yang tergantung. Cukup susah rasanya untuk memadankan pakaian yang hendak dipakai. Selama ini Nur Asiah yang buat semuanya. Nur Asiah yang tentukan apa yang dia akan pakai, dari tie hinggalah ke stoking. Kadang-kadang stoking dia pun Nur Asiah yang pakaikan. Adura tidak pernah ambil tahu itu semua sebab pakaian dia pun, Nur Asiah yang basuh dan gosokkan. Ke manakah kau pergi Nur Asiah?  “Eh… Siah! Gosokkan baju aku. Cepat sikit, kami dah lambat ni!” Tiba-tiba Adura menjerit dari depan pintu bilik Nur Asiah. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Nur Asiah.  Aiman dengan muka separuh sendu menghulurkan kertas nota perpisahan dari Nur Asiah untuk tatapan Adura. “Ha… ha… ha… ha… kalah juga akhirnya orang kampung bodoh tu. Hah… baru puas hati aku. Tak sedar diri. Ha… ha…” Sukanya hati Adura dengan ketiadaan Nur Asiah.  Aiman melihat wajah Adura. Jauh berbeza daripada wajah Nur Asiah yang putih bersih penuh keikhlasan. “Hah… abang ni kenapa pula? Macam ayam berak kapur saja. Sedih sangat ke bini kampung abang tu lari?” Tanpa menunggu reaksi suaminya Adura melenggang meninggalkan bilik Nur Asiah. “Abang!!! Tolong gosok baju saya!” Adura menjerit dari bilik sebelah.  Aiman buat tak dengar saja. Hatinya mula merasa keliru dan celaru. “Abang… cepatlah. Saya tak tahu gosok baju!” Adura yang manja memang tidak tahu menggosok baju.  “Gosoklah sendiri. Awakkan perempuan.” “Saya mana pernah gosok baju. Selama ini pun saya tak pernah gosok baju. Semuanya diuruskan oleh mami dan bibik.” “Mulai sekarang belajarlah kerana hanya ada awak dan saya. Awak  juga akan mengambil alih segala tugas yang Nur buat selama ini, faham?” Suara Aiman bernada tegas.  Adura dengan wajah masam mencuka berjalan sambil menghentak kaki menuju ke biliknya. Ternyata mereka benar-benar lewat hari ini.

***

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, dan menjaga kemaluannya daripada mengerjakan perbuatan haram dan dia taat kepada suaminya, maka dipersilakanlah dia masuk ke dalam syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.” (Riwayat Ahmad dan Thabrani)    SUDAH dua hari Aiman mengambil cuti sakit. Jarang sekali dia mengambil cuti. Baginya menyelesaikan kerja dengan tidak bertangguh adalah kemestian, tapi bila dah sakit begini, badan perlu dilayan dan diberi rehat. Dia sememangnya sedang sakit. Sakit hati dengan kerenah dan perangai Adura yang semakin menjadi-jadi. Sakit rindu dan penyesalan pada Nur Asiah yang sudah tak tertanggung dan sakit badan yang kian menyucuk-nyucuk. Walaupun sudah makan ubat tapi kebahnya tak mahu juga.  Aiman terlentang di ruang tamu keseorangan. Adura dengan alasan yang sama macam semalam telah lama pergi meninggalkan Aiman keseorangan. Kenapa Adura begitu tega melakukan demikian? Adakah ini hukum karma? Entahlah… mungkin juga kerana dia dulu lebih daripada tega memperlakukan Nur Asiah. Sebuah kereta masuk ke garaj memecah keheningan dan kesunyian rumah tersebut. Penghuninya terbaring lesu. Bila pintu dikuak dan salam diberi, baru Aiman tahu, mamanya yang datang menziarahi. Mana mama tahu dia tak sihat? “Ya ALLAH, Aim, kenapa teruk sangat ni? Dah jumpa doktor ke belum?” cemasnya Puan Jamaliah melihat anak kesayangan terbaring lesu. “Dah mama tapi tak juga kebah.” “Biasalah tu demam tengah naik. Kadang makan ubat pun tak jadi.” “Sakit sangat badan Aim, mama.” Aiman mengadu lemah. Segala tenaganya menjadi hilang. “Memanglah kalau demam semua sendi-sendi kita rasa sakit. Sabarlah.” “Mana mama tahu Aim demam?” “Sebenarnya, mama rasa tak sedap hati bila call Aim tak dapat-dapat. Hati mama resah semacam saja bila ingat Aim. Tu yang mama datang ni. Itulah hubungan batin antara ibu dan anak.” Aiman termenung seketika. Adakah Nur Asiah akan merasai perasaan yang sama terhadap dia? Hubungan batin antara suami dan isteri? Tahukah Nur Asiah yang dia sedang sakit begini? Ah… mungkin tidak!  Dia termalu sendiri. Tak mungkin Nur Asiah akan mengingatinya, seorang suami yang kejam dan pembengis, seorang suami yang busuk hati dan kuat cemburu, yang selalu menyeksa mental dan fizikal Nur Asiah. Nur, maafkan abang! Abang menyesal. Kembalilah pada abang! Air mata Aiman tumpah satu per satu. Terkenang dosanya yang terlalu banyak. Makin lama makin banyak air yang turun di lurah pipi.

“Kenapa Aim? Sakit sangat ke?”   Aiman hanya menggeleng, tak mampu untuknya bercerita tentang derita hatinya. Semenjak Nur Asiah pergi, hatinya tak pernah tenteram dan bahagia. Anehnya perasaan, bila dah tak ada, baru rasa kehilangan.  “Aim, kenapa nak? Ceritalah dengan mama.”   “Tak ada apa mama. Mama boleh tak ambilkan air untuk Aim.” Aiman mengubah tajuk. Dia tak bercadang untuk berkongsi masalah hati dengan mamanya kerana dia tahu mamanya tak akan faham.   Puan Jamaliah berlenggang menuju ke dapur dan kemudian datang dengan segelas air. “Aim, kenapa dapur tu banyak sangat habuk? Tak pernah sapu ke?” “Sejak Nur tak ada, tak ada siapa yang menyapu,” terus-terang Aiman. “Habis Adura tak masuk dapur?” terkejutnya Puan Jamaliah. “Tak, mama. Dapur tu tak pernah berasap lagi.”  Biarlah mama tahu tentang menantu kesayangannya, yang dibanggakan selama ini. “Mana Adura pergi ni?” “Kerjalah, mama.” Malas rasanya Aiman melayan cakap dengan mamanya. Badan yang sakit ni pun tak tertanggung. “Hai dah senja macam ni pun tak balik lagi? Kerja apa tu?”   “Mama, selagi tak malam dia tak balik. Dia buat rumah ni macam hotel. Sesuka hati dia bila nak balik.” Aiman tidak kisah lagi. Biarlah dia membuka pekung sendiri di depan mamanya. Biar mama tahu menantu kesayangannya tak sebaik manapun kalau nak dibandingkan dengan Nur Asiah.Bagaikan langit dengan bumi. “Hah… betul ke Aim?” ternganga Puan Jamaliah. Kenapa tak percaya ke? “Buat apa Aim tipu mama? Apa Aim dapat? Dah dua hari Aim demam, ada dia peduli? Itulah menantu yang mama pilih. Itulah menantu kesayangan mama. Kalau ada Nur, dia tak akan benarkan Aim sakit sendirian. Nur akan jaga Aim,”  sayu mata Aiman membuang pandangan di luar laman dan Puan Jamaliah sepi seketika, terpukul dengan kata-kata Aiman. SEBAIK saja azan maghrib selesai berkumandang, barulah nampak batang hidung Adura. Hatinya menjadi kecut bila melihat kereta ibu mertuanya ada di garaj. Bila pula orang tua ni sampai? Bukan dia heran sangat dengan Puan Jamaliah tu, tapi takut lakonannya selama ini terbongkar. Hisy… kacaulah orang tua ni. Datang tak bagi tahu. Ah… lantaklah dia nak cakap apa pun. Kalau tahan, tadah telinga. Kalau rasa dah menanah saja lubang telinga ni, tahulah apa aku nak buat. Bila saja Adura melangkah masuk ke dalam rumah, ibu mertuanya sudah siap sedia tercegat macam polis trafik, manakala Aiman tersandar di sofa. “Hai… mama. Dah lama sampai.” Adura  berlagak macam biasa, tunjuk muka tak bersalah.

“Mama dah separuh hari kat sini, kau baru balik? Kau dari mana? Dah malam baru sampai rumah. Apalah jauh sangat tempat kerja kau di Kuala Lumpur tu dengan Cheras ni?” “Alah, Adura keluar makan dengan kawan-kawan lepas kerja, bukannya ke mana pun! Mama pun nak datang tak bagi tahu. Kalau tak bolehlah Adura balik cepat.” “Hei… mama tak fahamlah dengan kamu ni. Sanggup kamu pentingkan kawan-kawan kamu sedangkan suami kamu sakit kat rumah. Isteri jenis apa kamu ni?” Puan Jamaliah kesal sungguh dengan sikap Adura. “Sebelum mama tuduh Adura, mama tanya dulu anak kesayangan mama ni. Ada dia pentingkan Adura? Sejak si bodoh tu keluar dari rumah ni, Aiman dah tak pedulikan Adura lagi. Asyik menilik gambar si bodoh saja. Tiap-tiap minggu keluar pergi cari si bodoh tu, sampai ke Melaka. Apa yang dia nak dari perempuan kampung yang bodoh itu pun Adura tak tahu. Dia ingat Adura ni apa? Patung cendana? Tak ada perasaan? Hah… sekarang, mana tak jatuh sakit kalau dah ke hulu ke hilir mencari bini dia yang bodoh bongkong tu. Padan muka! Serve you right!  Aiman mencerlun ke arah Adura. Rasa nak saja dia menampar mulut kecil comel tu. Bukan dia tak larat nak mengangkat tangan, tapi dia dah berjanji dengan dirinya. Dia tak akan mengulangi kesilapan yang sama.  Puan Jamaliah tercengang dengan cerita yang baru dia dengar. Tak sangka dan tak tahu nak cakap apa. Dia terpempan langsung terduduk di sofa.  Manakala  Adura senyum sumbing, tanda  mengejek.  “Tapi, Adura tak boleh biarkan Aiman sakit sendirian. Kalau jadi apa-apakan susah. Lagipun, buat apa pergi keluar jumpa kawan-kawan. Adurakan dah kahwin. Berilah tumpuan pada rumah tangga. Tengoklah rumah ni, macam tak bertuan.Berhabuk sana, berhabuk sini. Sampai bila Adura nak jadi perempuan manja yang tak tahu buat kerja?” Ikhlas Puan Jamaliah menasihati menantunya, bagai sedang menasihati anak sendiri.  Bulat mata Adura mendengarnya. “Hello… what do you mean? Mama nak suruh Adura buat semua kerja-kerja rumah ni? Oh… no! Dunia Adura bukan terkurung saja dalam rumah, tapi outdoor, ada faham… I’m a career woman.  Adura tak akan buat kerja-kerja bodoh tu dan Adura tak  akan jadi macam perempuan bodoh tu.” “Patutlah selama ini you tak pernah buat kebaikan pun pada I sebab itu semua kerja bodoh?” Aiman menempelak.  Adura tersenyum sumbing. “Yalah buat apa I nak buat kerja untuk orang.” “Bagus, mama dah  dengar, kan… dan tengok sendiri, kan? Betapa hebatnya menantu kesayangan mama ni. Sekarang ni dia dah tak mampu berlakon lagi. So, dia dah menjelma dalam bentuk asalnya.”   Berasap telinga kedua-dua perempuan itu mendengar sindiran berbisa daripada Aiman. Mereka saling  berpandangan dengan bahasa hati. Hanya mereka yang tahu isi hati masing-masing.  ‘Celaka kau Aiman!’ Adura menyumpah seranah dalam hati, tunggu dan lihatlah apa yang akan aku buat.

“Ya, memang inilah diri I yang sebenarnya. Kenapa, menyesal kahwin dengan I? Eh… boleh jalanlah! Boleh blah… Kalau setakat you, melambak I boleh cari.” Adura sudah hilang pertimbangan dan rasa hormat kepada ibu mertuanya. Dia tidak suka dirinya diperkotak-katikkan oleh sesiapa. Dia akan melepaskan apa yang dia tidak suka.  Menitik air mata Puan Jamaliah bila mendengar bahasa menantu yang dia sayang selama ini. Betapa dia terlalu buta dalam menilai antara kaca dan permata. Orang bandar yang disangka berpendidikan dan bertamadun, tapi inilah watak yang mampu dipertontonkan oleh Adura. “Selama ini pun bukan I tak tahu you main kayu tiga,” kata Aiman. Kata-kata itu cukup memeranjatkan Adura. Macam mana Aiman boleh tahu?  Dan kata-kata itu juga membuat Puan Jamaliah ingin tumbang dan nafasnya seakan sesak. Kejutan demi kejutan, membuatkan dia tidak tahan lagi. Air matanya semakin laju. Aiman! Maafkan mama. Mama telah runtuhkan masjid yang kamu bina dan inilah balasannya. Maafkan, mama! “Sekarang you dah tahu, so, you nak buat apa?”  angkuhnya Adura.  Aiman hanya tenang. Dia perlu belajar bersabar. Bertindak dalam keadaan marah amat buruk padahnya. “I tak akan buat apa-apa, terpulang pada you. You sendiri tahu you masih isteri orang dan apakah hukum bagi isteri yang curang.

***

SURIANI bagaikan mendengar orang yang sedang menangis, dalam mimpi ke alam nyata? Lalu dia terpisat-pisat bangun dan menenyehkan matanya. Dia melihat jam, baru pukul 10.00 malam. Rupanya dia tertidur awal. Bunyi esakkan masih kedengaran, yang pasti itu suara Nur Asiah. Eh… dah sakit ke? Dah nak bersalin ke? Terkocoh-kocoh Suriani berlari dan membuka pintu bilik Nur Asiah. “Nur kau dah sakit ke?”   Nur Asiah hanya menggeleng. “Dah tu kenapa menangis?”    “Aku baru habis bercakap dengan mak aku. Aku sedih sangat kerana tak mampu berterus terang mengenai masalah aku ni.” “Kenapa kau tak cakap saja Nur?” “Aku tak sampai hati Su. Aku tahu mak dan ayah aku pasti kecewa dengan kegagalan rumah tangga kami dan mereka pasti sedih seandainya mereka tahu Aiman buat aku begini.” “Habis kau tak bagi tahu kau mengandung?” “Dah.” “Apa mak kau cakap?” “Dia suka sangat. Dia dah tak sabar nak menimang cucu. Mak suruh aku balik. Katanya semua keluarga aku rindukan aku, terutamanya ayah aku. Hari-hari dia sebut nama aku. Aku pun rindu sangat dengan mereka, tapi apakan daya,” tangisan Nur Asiah semakin pecah dan berlagu sayu.  “Dahlah Nur, jangan nangis lagi. Aku bab-bab lihat orang nangis ni, memang tak tahan. Karang dengan aku sekali meraung. Mak aku kata, aku ni macam Neng Yatimah, pelakon zaman dulu yang suka sangat berendam air mata. Badan besar macam gajah, tapi hati kecik macam nyamuk.” “Aku sedih sangat Su. Dah tak tertanggung rasanya derita ini.”

 “Macam nilah Nur, minggu depan aku temankan kau balik Melaka, jumpa keluarga kau. Kau jangan takut, aku sentiasa ada di sisi kau. Apa-apa jadi pun kita hadapi bersama. Dah… jangan nangis lagi.” “Betul Su?” Nur Asiah menyapu lelehan air matanya. “Ya betul, aku akan temankan kau.” “Su, kaulah sahabat aku dunia dan akhirat.”  Mereka berpelukan.  Suriani menahan air matanya yang hampir gugur kerana sebak. “Sekarang aku nak kau tidur. Jangan fikir yang bukan-bukan lagi. Esok nak kerja. Kau kena banyak berehat. Kalau tak perkembangan bayi tak bagus. Kau dah minum susu?” “Ya, doktor. Terima kasih, doktor. Selamat malam, doktor.”  Ketawa Suriani dengan sindiran Nur Asiah, sedangkan Nur Asiah hanya menyengih. Dia bersyukur sangat dipertemukan dengan Suriani. Suriani yang terlalu mengambil berat tentang diri dan kandungannya sehinggakan kadang-kala menimbulkan rasa lemas dengan pantang larangnya. Entah ya entah tidak. Katanya emak dia yang cakap. Kalau tak ikut pasti kena marah. Dah rasa duduk dengan nenek tua. Penuh pantang larang dan petua.  Nur Asiah tersenyum sendiri sambil menarik selimut bagi menutupi tubuhnya, lalu dia mengucapkan selamat malam pada bulan. Moga tidurnya diulit mimpi yang indah. SEAWAL pagi selepas saja solat subuh, kedua orang wanita itu telah pun bersiap sedia untuk bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka. Walaupun Melaka dengan Kuala Lumpur bukanlah jauh sangat, tapi si pemandunya tetap tergesa-gesa di awal pagi. “Kenapa kau nak bertolak awal? Kelam kabut aku dibuatnya.” Nur Asiah geram dengan Suriani. “Kan elok berjalan di awal pagi,” jawab Suriani. “Ya… tapi taklah pagi-pagi buta macam ni. Kau pun bukannya ada temujanji dengan sesiapa pun.”   Suriani ketawa. “Mak aku kata, kalau nak berjalan biarlah di awal pagi, bertolak sebelum matahari naik. Barulah perjalanan lancar. Tak baik bertangguh-tangguh.” “Alah… mak kau bukannya ada kat sini. Dia tak nampak  pun pukul berapa kita bertolak. Aku ni hah… tak sempat nak melabur pagi ni sebab kau tergesa-gesa sangat.” “Hmm… perkara kecik aje tu. Kat mana-mana pun boleh lepaskan hajat kau tu. Kita singgah kat mana-mana hentian R&R, ya.” Suriani memberi cadangan. “Kalau perut aku ni meragam dalam perjalanan yang tak ada hentian, macam mana? Siapa nak jawab?” “Kaulah jawab, barang kau punya?” Suriani ketawa mengekek dengan jawapannya dan Nur Asiah juga ketawa

Suriani memandu dengan tenang, menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan. Di awal pagi tak banyak kereta yang bertali arus, namun dia tetap berhati-hati memandu.  Nur Asiah di sebelah mula membuka bekalnya yang banyak.  Suriani menjeling sambil tersenyum. “Mak oii! Banyaknya bekal kau. Macamlah perjalanan ni selama sepuluh jam.” Nur Asiah menyeringai sambil memasukkan kuih Tausar kesukaannya ke dalam mulut. “Aku lapar. Pagi-pagi lagi perut aku dah berkeroncong. Lagipun aku dah biasa. Bila berjalan mesti bawa bekal.”  Suriani ketawa. “Bila masa pula kau berjalan? Naik kereta adalah.” “Maksud aku, bila aku travellah bendul! Aku selalu makan sebab nak hilangkan mengantuk dalam perjalanan. Aiman selalu marah kalau dia bawa kereta, aku sedap-sedap tidur.” Terbit rasa rindu Nur Asiah pada Aiman bila nama itu disebut. “Hai… takkan itu pun nak marah?” “Yalah, dia rasa sunyi bila tak ada orang nak bersembang. Jadi kau tak marah, bila orang sebelah tidur?”  “Orang dah nak tidur, biarlah…” tenang saja Suriani menjawab. “Kalau macam tu, bolehlah aku tidur lepas aku makan ni ya!”   “Hoi… mak cik. Kau nak suruh aku bawa kereta sorang-sorang. At least tunjuklah jalan. Aku mana tahu jalan nak ke rumah kau. Ni first time aku datang Melaka tau. Karang sesat, padan muka kau!” “Huh… dengki betullah kau ni. Orang nak tidur pun tak boleh. Bukannya susah nak jalan, tengok saja signboard, sampailah nanti.” “Dah jangan tidur!” “Aik! Tadi kata tak marah? Cepat sangat lupanya. Itulah…banyak sangat makan kepala ikan!”  Mereka berdua ketawa geli hati. Tiba-tiba handphone Suriani berbunyi. Dia menjawab dengan wajah yang ceria sekali. Pasti ada cerita di sebaliknya. Perbualannya tak lama sebab Suriani memberitahu dia sedang memandu tapi wajah yang ceria dan senyumnya yang lebar bak upih pinang masih tertera dibibir.  “Siapa call?” tanya Nur Asiah. “Tak ada siapalah.” Senyum Suriani masih berbunga. “Nak cakap ke tak?” Nur Asiah menghulurkan tangannya untuk mencucuk pinggang Suriani.  Suriani menjerit kegelian. “Aku tengah drive ni. Nak mati ke?”  “Cakap dulu, kalau tak aku cucuk lagi.” Nur Asiah ketawa mengekek. “Okeylah… aku cakap. Roslan yang telefon. Dia nak ajak aku makan.”

“Maksud kau dating?”  Suriani mengangguk. “Alhamdulillah… aku harap inilah jodoh kau. Moga-moga Roslan tu baik dan bertanggungjawab.” “Terima kasihlah kerana menyokong aku. Sebenarnya aku tak yakin dengan diri sendiri. Kau tengoklah aku… tak serupa orang. Badan besar, tak cantik, kerjaya tak sebaik mana. Siapalah yang nakkan aku.” “Tapi hati kau cantik. ALLAH melihat hati kau, bukan rupa paras kau. Nabi pun ada beritahu. Sebenarnya soal jodoh itu semua kerja ALLAH. Dialah yang telah menetapkan jodoh kita dengan siapa, walaupun kita berusaha mengelaknya atau bersungguh-sungguh menginginkannya. Hidup mati kita ni berada dalam genggaman ALLAH. Jadi kau jangan risau, akan ada jodoh untuk kau,” nasihat Nur Asiah. Perbualan mereka terhenti sebaik saja mereka melihat jalan susur keluar ke Plaza Tol Alor Gajah. Suriani menyusuri jalan ke plaza tersebut. Kemudian dia mengikuti saja jalan yang ditunjuk oleh Nur Asiah untuk menuju ke Bandar Masjid Tanah. Dari Masjid Tanah mereka akan memandu kira-kira dalam 15 kilometer lagi untuk sampai ke Kampung Kuala Sungai Baru. Bila tiba saja di pantai peranginan Pengkalan Balak, perasaan Nur Asiah menjadi lebih teruja, mengalahkan Suriani yang memang tak pernah hidup di tepi laut. Dia menurunkan tingkap kereta untuk membolehkan deruan ombak kedengaran di telinganya. Semilir angin laut dingin menyapa wajahnya. “Wei… nak berhenti ke tidak ni?” Suriani bertanya bila keretanya membelok ke kanan untuk perjalanan seterusnya. “Tak payah berhenti, jalan ja terus…” “Tapi, aku nak tengok pantai Pengkalan Balak ni. Kat sini ramai pengunjung, mesti best.” “Su… sepanjang perjalanan kita nanti, kau akan nampak pantai dan chalet-chalet  murah untuk disewa kerana di sini adalah tempat pelancongan. Jadi tak payahlah berhenti. Kita tengok saja pemandangan dari dalam kereta.”  “Cantiknya kampung kau. Aman dan mendamaikan, hilang serabut!”  “Tahu tak apa. Sebab tulah aku selalu rindukan suasana kampung aku.” “Jauh lagi ke rumah kau?” Suriani dah tak sabar nak melihat rumah Nur Asiah yang berada di tepi pantai seperti yang diceritakannya. “Tak adalah jauh lagi. Nanti kau belok kiri, naik jambatan kecil. Dari situ kau akan nampak jeti tempat nelayan-nelayan  simpan bot dan naikkan tangkapan mereka. Dulu ayah aku pun letak bot kat situ juga.” “Wah… terujanya aku. Cuma aku tak tahan dengan bau sikit.” Suriani memicit hidungnya sendiri. “Bau apa?” hairan Nur Asiah. “Entah… bau busuk masin, macam bau busuk ikan dan wap laut pun ada.”

Nur Asiah ketawa. “Betullah tu… bagi orang yang tak biasa dengan udara tepi pantai dan nelayan, dia tak tahan baunya, terutama kalau pantai tempat nelayan bawa naik ikan. Tapi bagi kami yang dah biasa, semua tu dah lali.” “Ini ke pekan Kuala Sungai Baru?” Berhati-hati Suriani membawa keretanya. Sibuk juga jalannya. “Ya… sekarang kau belok ke kiri, jalan terus dan belok ke kanan.” “Berapa banyak kali nak beloklah?”  “Alah sikit saja lagi. Lepas ni, kau akan jumpa Restoran Terapung Ikan Bakar. Jalan terus ke depan. Hah… situlah kampung aku. Kau pasti suka punya.” “Kau ni asyik jalan terus, jalan terus, tapi sampai tak juga.” bebel Suriani.  “Sabarlah beb! Takkan larinya pantai tu kalau kau kejar. Hah… lagi satu, jalan kat sini, kau jangan bawa laju-laju…sebab jalannya sempit. Karang habis budak-budak yang main tepi jalan kau rembat.”  Nur Asiah memberi peringatan pada Suriani.  “Yalah… apa pasal kampung kau ni jalannya sempit sangat?” “Entah… mana aku tahu. Sewaktu mak aku lahirkan aku dulu pun, jalan ni dah sempit.”   Ketawa Suriani dengan jawapan Nur Asiah. “Mana satu, rumah kau?” “Alah depan lagi, jalan terus…” Senyum Nur Asiah sedang mekar di bibir.Tergambar dilayar hati wajah mak yang dirindui. “Dari tadi tak habis-habis, jalan terus, jalan terus, tak juga sampai-sampai. Heh… minah! Apa nama kampung kau sebenarnya?” “Kampung Hilir. Hi… tak menyabar langsung, karang dah jumpa laut, tak nak naik-naik ke darat, terus tukar jadi dugong.”  Suriani menjelirkan lidahnya. “Tak apa, kau katalah aku lagi. Sampai nanti, siap kau!” “Weh… Stop! Stop! Itu rumah aku, terus masuk ke laman.” Berseri-seri wajah Nur Asiah bila disalami angin pantai yang nyaman. Suriani keluar dari keretanya. Meluruskan kakinya, membetulkan urat-urat tengkuk dan meregangkan otot-otot yang ketat. “Wah! Cantiknya kampung kau! Rumah kau pun cantik. Walaupun rumah kayu, tapi sesuai dengan panorama di tepi laut. Nur… aku suka kampung kau. Aku nak pergi pantailah!” “Mak cik… naik dulu, rehat, makan. Tak payah nak teruja sangat. Sekarang ni pun matahari tengah tegak atas kepala.Karang tak pasal-pasal tertukar dengan Aci Malaswari. Panas matahari laut ni, semacam jelaganya tau tak? Hah… petang karang kau turunlah. Nak tengok matahari yang terbenam ke, nak termenung di atas benteng pemecah batu ke, suka hatilah!”  Suriani hanya menyengih macam kerang busuk. Kemudian mereka membawa barang-barang naik ke rumah. “Assalamualaikum! Mak… Nur balik ni.” Nur Asiah melaung.

Kemudian muncul Mak Esah yang masih basah lagi mukanya. Mungkin baru keluar dari bilik air. “Waalaikumussalam!  Ya ALLAH… kau balik nak.” Dia menerpa dan memeluk Nur Asiah dengan perasaan penuh rindu. “Mak, ini kawan Nur, Suriani,” ujar Nur Asiah. “Apa khabar mak cik?” “Baik… Mana Aiman?” Macam ada yang tak kena saja, detik hati Mak Esah.  Nur Asiah hanya diam kemudian mengalihkan persoalan. “Ayah mana mak?” “Entahlah, tadi ada kat bawah.” Hati mak Esah digaru rasa curiga. Ini mesti ada sesuatu yang terjadi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66600/persis-bidadari-syurga