[SNEAK PEEK] CHINTA UNTUK ALI

Chinta Untuk Ali Oleh M. Mariann

“TUYAH, tak payahlah. Aku nak balik weyh…” rengek Uya. Ada ke patut Tuyah ajak Uya menyiasat kegiatan teman serumah Tuyah.

“Ala kau ni… ini soal tanggungjawab kita sebagai manusia tahu. Aku dah lama suspek ni. Kau tak faham. Aku geram tapi aku risau juga apa-apa jadi dekat dia.”

Tuyah menarik tangan Uya. Berhati-hati dia menghendap teman serumahnya yang sedang menuju ke satu arah. Mereka mengekori dari belakang.

Suzana, itulah nama teman serumah Tuyah. Sebenarnya Tuyah agak pelik dengan tingkah Suzana akhir-akhir ini. Suzana jadi pendiam. Suzana juga asyik muntah-muntah. Perut Suzana juga sedikit buncit. Tuyah syak Suzana mengandung. Lagi-lagi bila Tuyah mendengar perbualan Suzana di telefon semalam.

“Tolong Ana… Ana tak tahu nak buat apa. Perut Ana nanti besar. Abang tolong Ana. Kita jumpa esok ya. Ana nak… isk… isk…”

Tuyah tak dengar perbualan akhirnya kerana Suzana sudah menutup pintu bilik dan hilang dalam esak tangisnya.

Pagi-pagi ini pula Tuyah nampak Suzana keluar dengan beg pakaian ketika Tuyah bersarapan dengan Uya di kedai Mak Cik Rosnah. Mereka baru lepas berjoging di hari Sabtu ni. Tuyah yang paksa Uya sebenarnya. Jadi apabila Tuyah teringat perbualan telefon Suzana semalam, terus tekad mengekori Suzana.

Suzana nak gugurkan anaknya ke? Tuyah tak boleh berdiam diri. Jadi dia paksa Uya ikut menyiasat.

Ali yang sedang berjoging ternampak dengan dua orang gadis sedang terhendap-hendap.

Apa bebudak tu hendapkan?

Dan sekarang Ali pula nak menyiasat.

Tuyah tertonggek-tonggek melihat Suzana yang seperti menunggu seseorang. Uya berdiri di belakang Tuyah sambil mengipas muka. Dia kepanasan.

Sedang Uya mengelamun, Uya nampak sebuah kereta melintasi mereka dan memarkir di tempat Suzana menunggu. Seorang lelaki keluar dari kereta dan mendapatkan Suzana.

Uya terkedu. Terasa bagaikan mimpi. Suasana seakan sunyi namun hatinya berderai. Suzana memeluk lelaki itu sambil menangis. Tiba-tiba Uya terasa ada telapak tangan menghalang pandangannya.

“Uyaa…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/344444

[SNEAK PEEK] Kedua

Kedua oleh Reen Syazreena

ZARA mengeluh sekali lagi. Kerja yang dilakukannya hari ini langsung tidak kena. Kepalanya dari tadi asyik mencengkam. Sudah dua minggu dia menyibukkan diri dengan kerja. Itu lagi baik daripada memikirkan fasal Tania. Dia teringatkan panggilan telefon yang diterima daripada Tania. Bagaimana Tania mendapat nombornya, dia sendiri tak tahu. Mungkin curi ambil dari telefon Amir.
“Aku nak kau lepaskan Amir,” arah Tania di hujung talian.
Zara menunjukkan reaksi jengkel mendengar itu. Minah ni sesuka hati je.
“Why?” Soal Zara berang.
“Sebab aku dah menang.”
“Jadi? Sama ada aku dengan Amir bercerai atau tak, tu bukan hal kau!”
Tania mengetapkan gigi. Berang betul dengan Zara. Dah kalah, buatlah cara kalah.
“I don’t care. Baik kau lepaskan Amir.” Tania tak mahu mengaku kalah.
“Dari kau suruh aku lepaskan Amir, lagi baik kau suruh Amir yang lepaskan aku. Tidak begitu, Tania?”
Tania menelan air liur. Menyuruh Amir menceraikan Zara? Tentunya Amir akan berfikir yang bukan-bukan tentangnya. Ah… tak akan! Dia tak akan dedahkan dirinya ini pada Amir.
“Aku susah nak jumpa dia sekarang ni.” Benar. Sejak kejadian Amir menampar Zara itu, agak susah baginya untuk berjumpa dengan Amir. Tan Sri Ridzuan akan selalu berada di pejabat selain Amir dikawal ketat oleh pengawal peribadinya. Ah… benci betul! Mereka hanya dapat berhubung melalui telefon sahaja. Itu pun tidak puas baginya.
“Padan muka!” Ayat yang dikeluarkan oleh Zara benar-benar membuat Tania bengang.
“Lepaskan Amir!” Tania tak mahu mengaku kalah.
“Aku mungkin takkan lepaskan dia.” Sengaja Zara berkata sedemikian. Mahu membuatkan Tania bertambah berang dengannya.
“What?” Tania terkejut. Dia salah dengarkah?
“You heard me. Aku tak akan minta cerai atau minta Amir ceraikan aku. Plus, kalau Amir nak ceraikan aku, dah lama dia buat but sekarang, nothing happened.”
“Kau tipu!” Tania tidak percaya.
Zara gelak. Sakit hati Tania mendengarkannya.
“Aku tak percaya cakap kau, Zara!”
“Whatever. Bye!” Talian dimatikan oleh Zara.
Ketukan di pintu mematikan lamunan Zara. Dipandangnya ke arah pintu. Kelihatan Alex sedang mengukirkan senyuman ke arahnya.
“Ni fail yang you kena sain.” Alex meletakkan fail di atas meja.
“Haii… Ros mana?” Soal Zara sinis tentang setiausahanya. Tiba-tiba je Alex melakukan kerja Ros.
“Dia pergi toilet. Alang-alang I free, so here I am.”
“Hmmm… macam mana dengan renovation kat rumah Datin Rosnani? Dah siap?” Soal Zara lagi sebelum menurunkan tandatangannya.
“Dah. By the way Zara, are you okay?” Soal Alex lagi. Risau dengan muka Zara yang pucat.
“Yes, I am. Jangan risau. Penat je kut.” Zara berbohong. Dia cuba menahan rasa sakit di kepalanya.
Alex mengangguk sambil mengambil fail di tangan Zara.
“Lupa nak tanya you, fail fasal renovation kat rumah anak Datin Rosnani tu kat mana? I cari semalam kat sini, tak ada,” soal Alex lagi. Tidak menjangka anak beranak menggunakan khidmat syarikat ini.
Zara mengeluh. Dia rasa dia tinggalkan fail itu di Villa Lilium. Dia bawa balik fail itu untuk semakan tiga minggu lepas.
“I rasa ada kat rumah I. Bila you nak?” Zara memandang Alex.
“Kalau ikut jadual, renovation akan dilakukan next week. Kalau boleh, minggu ni.”
Zara mengangguk. “Nanti I bagi.”
“Okey.” Alex beredar.

ZARA menyelerakkan fail-fail di atas meja itu. Dia mencari fail miliknya namun tiada di situ. Semuanya fail milik Amir. Dia harus jumpa fail itu sebelum Amir pulang. Nasibnya baik ketika tiba di Villa Lilium jam 4.20 petang tadi, hanya kelibat pembantu rumah yang kelihatan. Pembantu rumah itu yang dikenali dengan nama Yati itu akan datang mengemas rumah setiap hari kecuali hujung minggu. Arahan ibu mentuanya.
Ketukan di pintu mengejutkannya. Zara menoleh ke arah pintu. Risau juga jika gerangan yang mengetuk pintu itu adalah Amir.
Eh… Sejak bila mamat tu ketuk pintu nak masuk sini? Bukannya dia tahu aku akan datang ke sini pun.
Pintu terbuka. Zara mengeluh kelegaan setelah kelibat Yati muncul dari pintu.
“Puan, saya mahu pulang. Ada apa-apa lagi tak?” Soal Yati. Waktu kerjanya di rumah itu tamat pada jam 5.00 petang. Jadual kerjanya sebegitu. Dia akan dihantar ke kediaman mewah itu jam 6.00 pagi untuk menyediakan sarapan pagi dan pulang ketika jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Manakala hujung minggu, dia bercuti.
Zara menggeleng. Tangannya memegang kepalanya. Sakit!
“Puan tak apa-apa?” Soal Yati lagi. Risau juga melihat wajah majikannya pucat.
Zara menggeleng sekali lagi.
“Saya sudah sediakan minum petang, saya tinggalkan di dapur. Kalau puan mahu, saya boleh bawa ke sini.”
Zara geleng lagi. “Tak apalah. Nanti saya turun ke dapur.”
Yati mengangguk. “Saya keluar dulu.”
Zara mengangguk sambil memandang sahaja kelibat Yati beredar. Dia kemudian kembali mencari fail. Dibuka laci meja, ada beberapa fail di situ. Dibeleknya sebelum dia mengukirkan senyuman. Rupanya failnya berada di situ. Dia bersiap sedia mahu melangkah ke arah pintu apabila daun pintu terkuak. Kali ini Zara menelan air liur.
“Hai…” Amir bersuara memandang Zara di hadapannya. Nasibnya memang baik. Dia baru sahaja berniat mahu mencari wanita ini malam nanti namun Zara sudah berada di hadapan matanya. Langkah kanan betul! Tak payah nak bazir masa aku.
Zara menelan air liur sebelum dia mengambil keputusan tidak mahu hiraukan Amir. Dia berjalan ke arah pintu namun Amir menghalangnya. Dia cuba lagi, namun Amir masih menghalangnya. Dia menelan air liur sekali lagi bila melihat Amir mengunci pintu dari dalam. Apa yang lelaki ini mahu lakukan?
Amir melangkah ke arah Zara namun wanita itu mengundurkan dirinya ke belakang. Sengaja Amir berbuat begitu. Sengaja mahu menakutkan Zara.
“You nak apa?” Soal Zara dingin. Fail di tangannya di pegang kemas. Denyutan di kepalanya makin kuat.
“You tahu apa yang you dah buat, bukan?” Amir memandang Zara dengan bengang. Dia teringatkan panggilan Tania tadi.
“I tak boleh nak tahan semua ni. I tak nak menyusahkan you, tapi I memang tak boleh nak tahan hinaan ni lagi.” Kedengaran suara Tania seakan menangis di hujung talian.
“Hina? Apa yang you cakap ni? Cuba bagi tahu I.”
“Zara call I tadi. Dia tuduh I macam-macam. Dia kata I pelacur you. I just can’t accept this…” Kemudian, Tania mematikan talian tanpa menghabiskan ayatnya.
Dia cuba menghubungi Tania, namun tidak berjaya. Dia tidak menyangka sampai begini sekali Zara membenci Tania. Dipandangnya Zara di hadapannya. Langsung tiada rasa bersalah. Pandai betul kau berlakon ya, Zara Amani?
“Apa yang I dah buat?” Soal Zara hairan. Dia menelan air liur. Denyutan di kepalanya makin kuat.
“Stop acting, Zara! You gelar Tania pelacur, kan?”
Zara terkaku seketika. Pelacur apa yang dikatakan oleh Amir ini? Dia tidak dapat menangkap. Denyutan di kepalanya makin lama makin kuat. Dipandangnya Amir yang kini berdiri di hadapannya. Dia jarakkan sedikit dari lelaki itu.
“Pelacur apa yang you cakapkan ini?” Kedengaran lemah suara Zara. Jujur, dia tidak mampu untuk meneruskan perbualan ini. Dia mahu beredar dari situ. Apa yang terkeluar dari mulut Amir Haikal itu langsung tidak difahaminya.
Zara mengundurkan diri ke belakang lagi. Fail di tangannya terjatuh. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia tidak tahu kenapa penglihatannya makin lama makin kabur. Dia memandang Amir. Lelaki itu mendekatkan diri dengannya. Lama-kelamaannya, penglihatannya menjadi gelap.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340911/Kedua

[SNEAK PEEK] Sejuta Nafas Cintamu

Sejuta Nafas Cintamu oleh Kay Delaila

SETELAH penat mengulang kaji hingga ke subuh, Aufa menarik selimut. Dia ingin qada tidur hingga ke petang. Ada dan tiada dia di rumah pun, tiada siapa ambil peduli. Jadi biarlah ini menjadi rutin hidupnya kini. Bergelumang dengan buku untuk memperkemaskan diri menghadapi peperiksaan akhir tahun.
“Aufa Alia!!!” jerit Rais menggegarkan kesunyian rumah.
Album yang tadinya terletak kemas di dalam kotak berbalut reben indah itu kini sudah dicampak ke lantai. Sakit dan pijau urat saraf Rais ketika melihat kepingan gambar lucah Aufa bertaburan di lantai. Tangisan halus Dalilah yang turut sama melihat gambar itu buatkan rasa marah lagi membuak dalam diri Rais. Anak celaka!
“Kenapa ni, papa?” soal Azman yang berlari anak masuk ke dalam bilik bacaan Rais. Diikuti oleh dua lagi adiknya Adra dan Aida yang terpinga-pinga.
“Man. Kau tengok apa adik kau dah buat? Papa dan mama sibuk cari duit untuk membesarkan dia, dia pulak mengongkek liar di luar sana. Dah macam pelacur!” marah Rais.
Azman membongkok mengutip satu per satu gambar Aufa yang berselerakan di lantai. Adra dan Aida pun sama membongkok dan mengutip baki gambar. Terbeliak mata mereka. Mereka saling berpandangan.
Dada Azman mulai berombak marah apabila sekeping lepas sekeping gambar ditatapnya. Ini ke adiknya yang naif? Ini ke adiknya yang bijak? Ini ke adiknya? Arghhhhhh… Betina sundal! Marah hati Azman. Terus dia berlari naik ke tingkat atas. Bilik tidur Aufa menjadi sasarannya.
Pintu bilik Aufa ditendangnya hingga terbuka pintu. Terkejut Aufa yang sedang mamai di atas katil. Bingit telinganya mendengar jeritan tiba-tiba Rais tadi. Nak bangun mata pula tak terangkat. Mengantuk sangat.
Tangan kiri Aufa terus ditarik kasar oleh Azman. Aufa diseret hingga ke bilik bacaan yang terletak di tingkat bawah sebelah ruang tamu. Kesakitan diseret menuruni tangga taklah sesakit dibiarkan hatinya yang sunyi di rumah besar ini. Kerana dia sudah dapat agak, apa yang menyebabkan semua orang berperangai kasar padanya.
“Abang Man, apa ni? Sakitlah. Lepaskan Ufa. Nak suruh Ufa ke mana cakap saja, tak payah main seret-seret macam ni,” marah Aufa yang sakit tangannya dicengkam menuruni anak tangga. Nak nangis? Bukan pada hari ini. Itu tekad Aufa.
“Nak ke sini je kan, cakap jelah. Macam orang tak ada kaki.” Aufa mengomel geram sambil melihat pergelangan tangannya yang merah. Terkena kuku Azman agaknya.
“Kau diam! Perangai mengalahkan pelacur!” herdik Azman yang sudah hilang rasa sabar dalam dirinya. Kalau ikutkan hatinya, memang lunyai Aufa disepak terajangnya sepuas hati. Buat malu keluarga saja.
“Siapa pelacur? Ufa bukan pelacur,” tukas Aufa dengan suara yang mulai meninggi. Merah garang mata Azman, menala garang juga balasan daripada Aufa.
Belum pun sempat Azman menjawab, pipi Aufa menjadi sasaran penampar Rais di kiri dan kanan.
Terdiam Aufa seketika. Namun matanya tajam beralih pandang ke arah papanya.
Pipinya yang putih sudah berbekas tapak tangan yang merah. Tangisan halus Dalilah terhenti tiba-tiba. Tergores hati si ibu melihat anak bongsu yang ditatang bagai minyak yang penuh telah menconteng arang di mukanya. Rasa jijik sudah terbit di hati Adra dan Aida pada Aufa, adik kandung mereka sendiri.
Hanya melalui gambar, mereka menjatuhkan hukum padanya? Sungguh tidak wajar. Keluh hati kecil Aufa.
“Anak kurang ajar! Dah lama buat kerja ni? Papa suruh Ufa belajar, bukannya suruh Ufa jadi pelacur!” herdik Rais dengan menunjal kepala Aufa berkali-kali.
Aufa diam tak menangis. Melihat reaksi Aufa yang diam melawan itu lagi buatkan Rais panasaran. Ditamparnya sekali lagi pipi kanan Aufa. Berbirat terus pipi putih Aufa.
“Ufa bukan pelacur!!! Berapa kali Ufa kata Ufa bukan pelacur!” jerit Aufa tak mahu kalah.
“Kalau bukan pelacur, semua ni apa? Apa
Ufa? Cakap! Bukan pelacur ke ni?” soal Azman yang menunjal-nunjal kepala Aufa. Geram dan marahnya tak terkawal. Ikutkan hati, memang mati Aufa dibelasahnya.
“Shut up, Abang Man!” tengking Aufa.
Kesabarannya sudah hilang langsung. Semua terdiam. Aufa yang sebelum ini penuh santun dan cakap penuh tertib sudah berubah kulit.
“Ufa bukan pelacur… Dan Ufa tak pernah jadi pelacur. Ufa tak pernah ingkar cakap papa dan mama. Pernah Ufa melawan cakap papa? Cakap mama. Tak pernah! Tak pernah sekali pun Ufa meninggikan suara. Pernah Ufa lawan cakap Abang Man, Kak Adra atau Kak Aida? Tak pernah. Ufa pun tak pernah abaikan pelajaran Ufa. Semua yang diharapkan dan diimpikan oleh keluarga Dato’ Rais dan Datin Dalilah ni, Ufa turutkan tanpa banyak soal. Tapi pernah tak, sesaat dalam diri papa dan mama bertanya…. Ufa sihat ke kat rumah? Ufa makan ke kat rumah? Ufa buat apa kat rumah? Tak pernah! Tak pernah sama sekali. Ufa ditinggal bulat-bulat dengan bibik. Bibik itu. Bibik ini. Siapa Ufa ni? Anak siapa Ufa ni? Adik siapa Ufa ni? Cakap!”
Terdiam seketika semua. Terkejut amat agaknya dengan kelantangan suara Aufa yang bergema.
“Kenapa semua diam?”
“Kurang ajar!” Sekali lagi pipi Aufa ditampar oleh Azman pula namun sempat ditahan oleh Aufa.
“Ufa!” jerit Dalilah yang terkejut melihat reaksi Aufa yang agresif. Hilang terus sikap Aufa yang tenang, sopan dan pendiam.
Tangan Azman yang ditahan Aufa tadi dihempas kasar. Wajah Azman lagi menyinga dari tadi. Egonya sebagai abang dicabar oleh si adik bongsu yang naif.
Rais memandang tanpa kelip. Dia pun terkejut melihat perubahan sikap Aufa yang agresif. Adra dan Aida diam menikus. Aufa menjeling beberapa keping gambar di tangan kakak-kakaknya dan di atas meja di tepi papanya. Dia sengih di dalam hati. Dia yang hantar gambar-gambar itu ke alamat rumah sendiri. Biarpun dia bertopeng di dalam gambar itu, tapi dipastikan ada tanda yang jelas menyatakan itu adalah dirinya. Orang lain tidak tahu itu dirinya tapi papa dan mamanya pasti kenal.
“Ya. Itu memang gambar Ufa. Gambar Ufa dengan boyfriend Ufa. Salah ke? Ufa sunyi di rumah. Ufa hanya nakkan kasih sayang dan perhatian. Boyfriend Ufa je yang sudi luangkan masa untuk Ufa, sayangkan Ufa. Orang dalam rumah ni semua macam tak sayangkan Ufa. Semuanya sibuk hingga tak ada langsung masa walaupun lima minit untuk Ufa. Setiap hari Ufa menumpang kasih dengan bibik je di rumah. Ufa macam tak wujud langsung dalam rumah ni… Tak wujud langsung dalam hidup papa dan mama… I really hate this family. I really hate you, you, you, you and you!” jerit Aufa sambil tunjukan terakhirnya ke arah Rais.
“Ufa!!!” jerit Rais.
“Tak guna dah papa nak herdik dan tampar pipi Ufa ni. Tak guna dah mama nak marahkan Ufa. Kalau benda ni tak muncul, ada tak orang dalam rumah ni nak bertegur sapa dengan Ufa. Ada nak tanya Ufa ni sihat ke tidak? Tak ada! Tak pernah ada. Jadi salah ke Ufa lakukan semua ini agar semua orang dalam rumah ni sedar akan kewujudan Ufa. Salah Ufa ke? Salah Ufa ke nak dapatkan perhatian daripada keluarga Ufa sendiri?” soal Aufa.
Semua yang berada dalam bilik bacaan itu terdiam. Rais yang tadinya tegak berdiri kini sudah terduduk di kerusi kerjanya. Dalilah yang tadinya teresak sedih dan kecewa terhenti esakannya. Azman, Adra dan Aida tertunduk memandang lantai.
“Kenapa semua diam? Kenapa semua tunduk? Sebab baru tersedar kan? Baru tersedar yang dalam rumah ini masih ada lagi seorang anak remaja yang baru meningkat dewasa. Anak remaja ni perlukan kasih sayang, perhatian dan bimbingan untuk menentukan arah tuju hidupnya…” lepas Aufa sepenuh hatinya. Puas hatinya meluahkan apa yang terbuku selama ini. Memang ini yang dia rancang, yang dia nantikan. Jadi tidak nampak kegugupannya langsung. Bersedia sangat untuk menghamburkannya.
Haji Abbas dan Hajah Aminah yang baru sampai dari Pulau Pinang terdiam di luar pintu bilik bacaan. Setiap patah perkataan yang diluahkan Aufa begitu nyaring di telinga mereka. Setiap satu menusuk jantung hati tua mereka. Air mata dikesat lembut oleh Hajah Aminah sambil memandang pada Haji Abbas yang berubah kelat wajahnya.
“Kita balik ya bang,” bisik Hajah Aminah.
“Tak. Aku tak akan biarkan cucu aku dibiarkan sendiri macam tu. Kita masuk,” tegas Haji Abbas. Belum pun sempat Hajah Aminah nak bersuara, Haji Abbas terlebih dahulu menghulurkan ucapan salam.
“Assalamualaikum,” sapa Haji Abbas mengejutkan semua. Balasan salam pun lemah oleh mereka. Setiap satu wajah ditentang oleh Haji Abbas dan akhirnya jatuh ke wajah Aufa. Menunduk gadis remaja tersebut.
Rais yang melopong tadinya, terus bangun dan bersalaman dengan abah dan emaknya itu. Begitu juga dengan Dalilah, Azman, Adra dan Aida. Masing-masing terlupa yang hari ini memang telah dimaklumkan akan kedatangan Haji Abbas dan Hajah Aminah ke rumah mereka.
Aufa diam kaku tak bergerak. Haji Abbas berjalan menuju ke arah Aufa yang dah terkedu. Aufa sendiri, tidak menyangka yang Haji Abbas ada mendengar luahan katanya tadi. Tubuh Aufa ditarik dan dipeluk erat oleh Haji Abbas dengan deraian air mata. Esakan tanpa suara Haji Abbas buatkan hati keras dan degil Aufa cair. Air matanya turut berderai di pipi diiringi dengan esakan halus.
“Kenapa Ufa? Kenapa malukan keluarga macam ni?” soal Haji Abbas berbisik lembut. Dia ingin mencungkil kisah kehidupan dari sudut pandangan mata Aufa.
“Ufa terpaksa, atuk. Ufa terpaksa,” bisik Aufa lemah.
“Siapa yang paksa Ufa? Boyfriend Ufa?” soal Haji Abbas lagi. Pelukan dilerai.
“Bukan… Bukan sesiapa tuk. Tapi, keadaan dalam rumah ni yang paksa Ufa. Rasa sunyi dalam diri Ufa ni yang memaksa Ufa. Atuk rasa kalau Ufa tak buat macam ni, mereka ni semua akan ingat tak yang tiga bulan sudah adalah hari jadi Ufa? Papa dan mama tak ingat tuk… Semua tak ingat…” Sebaknya bergayut.
Sayu hati Haji Abbas mendengarnya. Dia pun tak ingat. Cucunya bukan seorang. Anaknya juga bukan seorang. Wajarlah dia tak ingat tapi Rais tak kan tak ingat ulang tahun kelahiran anak bongsu sendiri. Haji Abbas toleh seketika Rais yang senyap.
“Mereka ni semua tahu tak berapa umur Ufa sekarang?” Aufa menggeleng. Dia yakin, abang dan kakak-kakaknya tidak tahu pun sebab masa dia di tahun enam pun, tiada seorang pun yang bertanya berapa keputusannya. Orang pertama yang bertanya adalah bibik. Mama ada bertanya tapi ketika tergesa-gesa hendak menghadiri satu majlis. Hanya ucap tahniah dan terus pergi.
“Mereka tahu tak yang perawan Ufa hilang dalam majlis hari jadi yang dianjurkan oleh orang yang Ufa baru kenal.” Aufa sudah tidak malu lagi bercakap tentang kegadisannya di hadapan semua.
Dalilah mengesat hidung yang berair dan meleleh hingus. Tersentap hatinya ini. Macam-macam rasa ada sebenarnya.
“Mereka di luar sana lebih prihatin, mengambil berat dan sanggup berkongsi kasih sayang mereka dengan Ufa. Tiga tahun Ufa duduk diam, tuk. Tiga tahun Ufa perhati dan perhati. Ufa pernah merayu pada papa minta selitkan masa main golf papa tu dengan Ufa jadi kedi, tapi papa gelakkan Ufa… Ufa pernah desak untuk membeli masa mama yang sibuk di syarikat dengan menemani mama setiap pagi dalam perjalanan ke sekolah. Tapi mama kata, waktu kerja mama tak sama dengan waktu Ufa ke sekolah.”
Aufa biarkan air matanya menjujuh laju kali ini.
“Ufa pernah cakap pada Abang Man, Kak Adra dan Kak Aida untuk turut sama bersama mereka menonton wayang. Mereka balas, Ufa budak kecik, tak sesuai menonton wayang bersama mereka. Untuk menebus semua tu, papa bagi duit. Mama pun tinggalkan kredit kad. Abang Man tinggalkan duit. Kak Adra dan Kak Aida pun sama, tinggalkan duit pada Ufa. Alasan mereka mudah, Ufa keluarlah dengan kawan-kawan sekolah Ufa.”
Haji Abbas memandang pada Rais yang menunduk sekali lagi. Kemudian pandangan matanya berkalih pada Dalilah yang sedang ditenangkan oleh Hajah Aminah. Satu keluhan berat dilepaskan. Bukan niatnya nak campur tangan urusan anak-beranak Rais. Tapi, setelah mendengar cerita Aufa, hati kecilnya merintih pedih. Azabnya dugaan hidup cucu bongsunya ini. Hidup dalam rumah besar yang tersedia segala kemewahan hidup tapi kosong.
“Atuk minta maaf. Atuk tak tahu yang Ufa sunyi tinggal sorang-sorang di rumah. Kalau Atuk tahu, memang tiap-tiap minggu atuk datang sini.” Jenaka Haji Abbas yang sedang cuba membeli hati Aufa semula.
Aufa hanya geleng kepala. “Semuanya sudah terlambat, tuk. Nasi sudah jadi bubur.” Dia sudah tak punyai apa-apa sebagai gadis suci.
Semua diam mendengar perbualan Aufa dengan Haji Abbas. Rais membelek kembali gambar Aufa satu demi satu. Kemudian kepalanya digelengkan.
“Is akan hantar Ufa ke rumah pemulihan akhlak. Biar dibetulkan sikit kewarasannya berfikir tentang baik dan buruk sesuatu tindakan tu,” putus Rais.
Haji Abbas geleng kepala lagi. Ingatkan Rais nampak jalan penyelesaian yang terbaik buat Aufa. Rupanya tidak!
“Kau rasa betul ke, Is?” soal Haji Abbas yang sedang berusaha menyedarkan Rais.
“Betullah, bah. Rumah macam tu memang dibina untuk membentuk akhlak remaja yang terlanjur macam Ufa ni. Is dan Dali memang tak ada masa untuk buat semua tu. Masa kami memang tak boleh dikompromi dengan perkara remeh-temeh macam tu. Kami tak berdaya,” ucap Rais penuh yakin.
Masalah itu bukan kemampuannya. Masalah ini perlu disalurkan pada orang yang lebih berpengalaman. Dia punyai wang. Baginya, wang mampu selesaikan semua masalah.
Bertambah berdarah hati Haji Abbas mendengar kata-kata anak kandungnya itu. Aufa bukanlah orang lain. Itu darah dagingnya sendiri. Hajah Aminah tersentap mendengar kata-kata Rais. Mengalir air matanya. Pincangnya rumah tangga anak lelaki kesayangannya ini. Kemewahan, pangkat dan harta telah buatkan mereka lupa siapa diri mereka. Harta lebih penting daripada anak kandung? Mana perginya sifat kasih sayang yang diterapkan masa mereka kecil dulu? Semuanya mahu diselesaikan dengan wang ringgit!
“Rais!” seru Hajah Aminah penuh kecewa. Tidak tahan hatinya ini yang menggelegak.
“Ami,” panggil Haji Abbas sambil menggelengkan kepala.
Hajah Aminah terus tertunduk. Sedih dan kecewa hatinya bukan kepalang. Dalilah yang duduk di sisinya dipandang. Mana pergi menantunya yang lembut dan penuh kasih sayang sebelum ini? Mana perginya menantu yang dulu lantang bersuara memperjuangkan kasih sayang.
“Kau jangan hantar Ufa kat rumah pemulihan akhlak tu, Rais. Abah tak benarkan. Dia bukannya salah apa pun. Dia tersilap ambil langkah untuk katakan pada kamu yang dia perlukan kasih sayang. Abah takut bila dah masuk sana, dia akan jadi lebih teruk. Kamu tahu ajelah budak yang masuk dalam tu, pengalaman mereka mungkin lebih teruk dan buruk daripada Ufa,” nasihat Haji Abbas pada anak lelaki sulungnya ini.
Kedatangan kali ini, bagaikan merobek jantung Haji Abbas. Harapannya untuk duduk bersenang di laman rumah, sambil mendengar cerita Aufa tentang sekolah dan pelajarannya sudah hilang. Harapannya nak bermanja dengan anak cucu, musnah. Sekiranya dia lewat tiba tadi, memang lunyai Nur Aufa Alia dibelasah dek kerana geram dan marah.
“Abah, sekarang ni saya dan Dali memang tak ada masa untuk Ufa. Itu saja pilihan terbaik yang boleh saya fikirkan sekarang ni. Kami tak mampu nak pantau dia 24 jam. Itu saja jalan yang kami ada untuk kebaikan Ufa,” cerita Rais mengundang keluhan yang panjang buat Haji Abbas.
Anak sudah memprotes macam ini pun, dia masih tak nak fikir betul-betul. Betullah sudah sampai akhir zaman, duit dan kemewahan lebih penting daripada kasih sayang dan didikan agama buat anak-anak.
Aufa yang mendengar bagaikan sudah lali. Namun tetap pedih, malah terlebih dalam lukanya kerana bagaikan tiada jalan penyelesaian untuknya dengan pengorbanan gila yang telah dibuat tiga bulan lalu. Papa dan mamanya semakin mahu menjauhkan diri daripadanya.
“Rais….”
“Abah, saya terpaksa bah.”
“Kalau macam tu kata kau, biarlah Ufa ni tinggal aje dengan aku kat Penang sana. Biar saja aku dan mak kau yang jaga dia,” putus Haji Abbas yang tak sanggup melihat Aufa melakukan pemberontakan yang lebih hebat lagi. Budak tu betul-betul nekad untuk menuntut kasih sayang daripada ibu bapanya. Tapi tuntutannya tak berbayar. Malah dia disingkirkan pula daripada keluarga.
“Betul ke ni, bah? Abah tak malu ke ada cucu perangai macam Ufa tu?” Terus Rais menyoal.
“Malu? Astaghfirullahalazim. Kenapa pulak aku harus malu? Dan kenapa pulak kamu nak malu bila Ufa berperangai macam tu?” soal Haji Abbas yang sudah dapat menangkap maksud tersirat dalam hati anak sulungnya itu.
“Taklah, cuma terkilan. Terfikir juga Is, apa pulak kata kawan-kawan Is dan Dali, bila mereka tahu yang Ufa berperangai mengalahkan pelacur kelas atasan. Mana Is nak letak muka, bah? Anak Dato’ Rais perangai macam pelacur,” ucap Rais.
“Astaghfirullahalazim. Rais! Budak yang kamu hina ni, anak kamu. Darah daging kamu. Silap langkah dia, bukan salah dia. Tapi salah kamu sebagai mak bapak dia. Sudah Ami bawa Ufa ni naik atas. Kemas semua kain baju, kita balik Penang sekarang ni juga. Lagi lama aku duduk sini, lagi sakit hati aku. Anak aku ni memang dah mati hatinya. Semua mati disebabkan duit.”
Haji Abbas terlalu marah. Tiada siapa yang mampu bersuara, bila bekas pegawai polis ini bersuara. Ketegasan dan disiplin Haji Abbas memang semua ahli keluarga sedia maklum.
Aufa Alia terkedu mendengar bait kata Rais. Jatuh bersepai hatinya yang rapuh inginkan kasih sayang keluarga. Justeru itu, dia menurut saja perintah Haji Abbas. Hatinya cukup berdarah. Hatinya lebih sakit apabila mamanya pun tidak mahu membela dirinya. Mana perginya kasih seorang ibu pada seorang anak yang rindukan kasih ibu? Nak menangis air mata darah sekali pun, kekesalan tak mampu dipadam dalam benak hati Aufa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340913/Sejuta-Nafas-Cintamu

[SNEAK PEEK] Mr. & Mrs. Hot

Mr. & Mrs. Hot oleh Amarilis Rahim

ANAK bujang Puan Julia masuk ke rumahnya dengan langkah lesu. Telefon bimbit dan kunci kereta diletakkan ke atas meja sudut sebelum dia duduk menyandar di sofa panjang. Perasaan penat mula menjalar di dalam diri malah semakin tegar menguasai urat-urat sarafnya. Paling tenat sekali adalah hatinya yang nazak menanggung bebat-bebat rindu di pundak kalbu.

“Eilmi mabuk ya pagi tadi?” tanya Puan Julia agak meninggi. Anak mudanya yang hampir saja terlelap itu kembali terjaga. Renungannya membidik muncung di mulut Puan Julia. “Eilmi tak mabuklah mama,” jawab lelaki itu lemah. Tangannya menopang di ruas dahi.

“Dah tu… Zara mengadu dengan mama! Dia jumpa Eilmi keluar dari pub di Bangsar sebelum kejadian pagi semalam!”

Zara langsung menampakkan diri setelah namanya disebut-sebut. Penampilannya jauh berbeza dengan apa yang dilihatnya kira-kira lima jam lepas. Sopan dengan baju kurung.

“Answer me!” tengking Puan Julia seraya menggoncang kasar bahu anak bujangnya yang hampir saja ketiduran. “Dalam situasi begini pun, mama lebih percayakan orang luar daripada anak kandung mama sendiri,” suara Eilmi memuput kecewa sebelum kelibatnya bingkas dari sofa itu. Langkahnya menyusun terus ke anak-anak tangga.

“Habis tu, kenapa bila Zara tegur Eilmi, Eilmi boleh tak kenal dia?” Puan Julia masih ingin bertekak. Eilmi menggisal rambut di kepala. Soalan demi soalan yang diajukan oleh Puan Julia membuatkan fikirannya jadi tertumpu terus pada peristiwa beberapa jam lepas.

“Eilmi ingat Eilmi salah orang. Eilmi kira perempuan yang Eilmi lihat semalam pelanduk dua serupa. Bukan main mesra lagi, berpelukan macam suami isteri tapi Eilmi kenal sangat dengan lelaki tu. Anak sulung Datuk Ungku Ismail! CEO Emerald Butique! Dan Eilmi tak sangka, rupanya perempuan tu anak gadis kesayangan Datin Nora. Rasa-rasanya, mama kenalkan mereka tu?” tanya Eilmi sinis. Pandangan matanya mencerlung ke wajah Zara.

“Jangan fikir saya cemburu, Zara. Sekelumit rasa pun tak ada. Awak nak berpeluk sampai berguling atas lantai pun, itu hal awak cuma saya minta kita putuskan pertunangan kita secara rasminya!” sambung Eilmi lagi. Kali ini renungannya berpindah ke muka Puan Julia.

“Eilmi dah jawab kesemua soalan dengan jelas dan terang. Puas hati Puan Julia?” soal Eilmi sinis sebelum kakinya melangkah naik ke tingkat atas. Puan Julia tergamam. Pandangannya singgah tepat ke muka Zara.

“Betul ke ni Zara? Kenapa Zara sanggup buat macam ni? Kenapa Zara tak berterus terang saja dengan mama? Mama tak pernah nak paksa Zara kahwin dengan anak mama. Kalau Zara dah ada pilihan lain, Zara patut beritahu mama. Jangan sembunyi-sembunyi macam ni,” suara Puan Julia bersama sebak di dada.

“Maafkan Zara, mama. Zara tahu dalam hal ni, Zara yang bersalah. Zara janji akan pulangkan cincin pertunangan kami secepat mungkin,” jawab gadis itu lalu beredar keluar dari kediaman Puan Julia dengan langkah yang tergesa-gesa. Puan Julia terduduk di sofa panjang. Kepalanya bertambah pusing.

“Lepas satu, satu masalah yang menimpa, Ya Allah,” rintih wanita itu. Air matanya menitis jatuh. Kasihan Eilmi… bisik hatinya berkali-kali.

“Dari dulu lagi saya dah cakap dengan awak. Hubungan mereka tu memang dingin tapi awak nak juga mereka mencuba hingga berhasil. Sudahnya, beginilah…” Syarahan yang tiba-tiba daripada Tuan Zakarian mengembalikan suasana yang tidak sunyi. Puan Julia tidak berupaya lagi untuk membahaskan perkara yang sama.

“Dah cukup pening saya ni, bang. Janganlah abang tambahkan lagi,” rayu wanita itu dalam tangis sendunya. Tuan Zakarian meletakkan punggungnya di sebelah isteri kesayangannya. Bahu itu dipaut erat bila simpatinya sudah mula melurut jatuh.

“Abang cuma meluahkan apa yang abang perhatikan selama ini, bukannya abang suka-suka nak membebel. Sayang pergilah berehat. Nanti naik pulak darah tinggi sayang tu,” nasihat Tuan Zakarian penuh perhatian dan cinta. Puan Julia tidak berdaya untuk bangun. Dia langsung baring di pangkuan suaminya. Sedu sedan rasa di jiwa turut sama terperuk di situ.

“Sayang cuma nak tengok anak kita bahagia bang, sebelum mata sayang ni tertutup,” luah Puan Julia. Tuan Zakarian terkesima. Dia tidak suka hal-hal yang berkaitan dengan kematian dibangkit. Dia pernah merasai kehilangan yang besar tika kedua-dua orang tuanya pergi menemui Ilahi. Dan untuk merasai kehilangan yang sebegitu berat buat kesekian kali, dia masih belum bersedia!

Julia adalah satu-satunya wanita yang dimilikinya hingga ke saat ini. Tempat untuk dia bergantung kasih selagi usianya ada. Suka duka yang mereka tempuh hampir 40 tahun bersama dalam mendirikan mahligai rumah tangga merupakan kenangan terindah yang tak bisa diluputkan daripada ingatan. Biarpun sepanjang usia dan kerjayanya, dia acap kali digoda oleh perempuan yang jauh lebih muda namun cintanya tidak pernah tercalar.

“Eilmi tu macam suka dengan Widad lah bang. Saya boleh nampak perasaan dia pada Widad. Kita pinang sajalah si Widad tu untuk dia, ya bang,” usul Puan Julia tiba-tiba. Tuan Zakarian nampak mengangguk walau lamunannya tadi masih belum berkesudahan.

“Secepat mungkin tahu bang. Kalau boleh minggu ni juga,” sambung wanita itu.

Tuan Zakarian mengangguk lagi walau hatinya berasa kurang setuju dengan tindakan terburu-buru isterinya. Putus tunang pun belum lagi secara rasmi, baru cakap di mulut, dah nak pinang anak dara orang lain pulak. Julia… Julia… keluh hatinya sendiri tanpa dapat diperangi, takdir yang melingkari hidup anak bujangnya. Siapa lagi kalau bukan si bertuah tu, Tuan Eilmi Zahrin!

TINGKAP kayu di ruang tamu masih jua dibiarkan terbuka. Angin malam yang menerpa masuk ke teratak itu membuai lembut rambut Widad yang ikal beralun. Yong Lijah baru usai daripada solatnya. Dia langsung duduk di kerusi rotan demi membuang lelah yang sedikit. Sesekali, batuknya kedengaran. Batuk yang berjejeran hingga menarik perhatian Widad.

“Opah dah makan ubat?” Pertanyaan Widad bercampur nada-nada risau. Yong Lijah mengangguk walau batuknya masih belum berhenti. Widad langsung meluru turun ke dapur. Air suam panas ditatang dengan langkah yang cepat, dihulurkan kepada wanita tua di hadapannya. Yong Lijah meraih cawan itu lalu diminumnya juga seteguk dua.

Widad meletakkan cawan batu ke tepi dinding. Belakang Yong Lijah dilurut lembut hingga batuknya beransur-ansur hilang. Dia jadi lega dengan situasi itu. Kemudian, Widad duduk melutut di hadapan opahnya. Senyuman di bibir dibiarkan menipis bersama secangkir rasa yang sangat manis. Yong Lijah hanya meramas-ramas kepala lututnya.

“Tua sangat dah opah ni, Widad.” Suara wanita itu serak kesan dari batuknya tadi. Widad kembali menayang senyum yang sama. Tangannya turut sama meramas lembut lutut Yong Lijah yang sudah keras kematu.

“Tua-tua opah pun, opah masih kuat lagi,” tepis Widad sekadar menyedapkan hati. Wanita berusia lewat tujuh puluhan itu menggeleng. Sepertinya, dia tidak bersetuju dengan kenyataan yang keluar dari mulut mongel Widad tadi. Matanya merenung sayu ke wajah cucu kesayangannya.

“Orang kampung dah mula bertanya pada opah… bila lagi nak dilangsungkan pernikahan kamu yang tertunda hari tu,” cerita Yong Lijah. Widad terkedu. Difikirnya tadi Yong Lijah tidak akan membangkitkan hal tersebut. Dek kerana itu, pandangan Widad terlari terus ke sudut lain.

“Dah tiga bulan lebih dah ni, Widad. Mulut-mulut orang kampung pun dah tak boleh nak tutup. Ada je yang bercerita itu ini. Mereka sudah mula berfikir yang bukan-bukan. Ramai juga yang bertanya keadaan bakal suami kamu tu pada opah akibat daripada kemalangan tu tapi opah hanya boleh menjawab yang dia masih belum pulih sepenuhnya. Apa lagi yang opah boleh cakap?” tanya Yong Lijah terus kepada Widad. Gadis itu terkemam lagi. Terasa berat mulutnya untuk menceritakan hal yang sebenar.

“Pernikahan yang kita tunggu-tunggu tu takkan berlangsung, opah. Sebenarnya, Aaron tak kemalangan pun. Itu cuma cerita bohong Wafa untuk menutup malu kita pada hari besar tu setelah Aaron membatalkan pernikahan kami tanpa sebab.”

Yong Lijah tercengang. Direnungnya wajah Widad dengan mata yang mencari. Mencari sebuah kepastian mungkin.

“Kenapa pula dia batalkan? Apa salah kita?” Yong Lijah bertanya setelah Widad masih bersikap mendiamkan diri. Gadis itu menggeleng sebak. Air matanya menitis jatuh. Berlinang menelusuri susur lekuk di muka dengan derasnya.

“Widad juga tidak tahu kenapa. Tiba-tiba saja opah, dia membuat keputusan begitu.”

Yong Lijah mengemam bibir yang kering. Pandangannya terbawa ke sudut lain bila kelopak matanya turut menakung titis-titis jernih. Hatinya makin dipaut bimbang. Andai pernikahan yang tertunda itu tidak akan berlangsung, apa lagi yang nak diharapkan dari lelaki itu? Bagaimana pula dia mahu menutup mulut-mulut murai di kampungnya?

“Opah jangan menangis. Kita tak rugi apa pun. Widad masih punya maruah diri. Widad tak pernah menodai kesucian Widad sebagai seorang gadis. Widad selalu ingat pada pesanan opah yang satu itu.” Widad minta dipercayai. Yong Lijah mengangguk. Diraihnya kepala Widad sebelum dahi itu diciumnya berkali-kali.

“Opah tak malu kalau dia batalkan pernikahan kamu tapi opah akan malu kalau kamu memberikan kegadisan kamu kepada yang bukan hak. Opah bangga dengan kamu Widad. Walau bertahun-tahun lamanya kamu tinggal di negara orang tapi pesan opah kamu tak pernah abaikan. Opah doakan semoga jodoh kamu dengan orang yang baik-baik seperti anak lelakinya Hajah Basra,” ucap Yong Lijah sambil melurut-lurut rambut cucunya.

Widad terdiam. Dia cuba untuk senyum tapi kata-kata terakhir pada ucapan Yong Lijah itu mengingatkannya pada rombongan meminang Puan Hajah Basra semalam.

Pelik pula dia. Opah tahu dia masih ‘tunangan’ orang tapi kenapa menerima rombongan meminang itu? Resah yang bertumpu di wajah gagal disingkir jauh bila senyuman manis Eilmi terimbau di dalam kenangan. Widad jadi rindu pula. Rindu yang sangat hebat hingga igauan itu membebat jenak malamnya.

“Opah,” panggil Widad. Yong Lijah pantas saja menghadapkan mukanya ke muka Widad. Pipi yang kebasahan itu diseka dengan ruas ibu jarinya. “Cincin yang Hajah Basra bawa semalam, tak muat di jari manis Widad,” sambungnya teragak-agak. Nadanya berbaur di hujung. Yong Lijah menguntum senyum bersama raut muka yang sangat melucukan.

“Siapa kata cincin tu untuk Widad?” tanya Yong Lijah memutik rasa hairan. Widad terpinga. Direnungnya wajah itu dengan renungan yang tidak mengerti. “Hajah Basra datang semalam untuk meminang Wafa sebagai calon isterinya Imam Maliq. Kan mereka hanya tahu tunang Widad tak guna tu kemalangan, bukan batalkan. Gila apa, mereka nak meminang ‘tunang’ orang,” jelas Yong Lijah lanjut.

Widad panar pula. Benarkah? Hatinya mencarik tanya. Lama-lama kemudian, dia tersenyum lucu. Betul juga penjelasan opahnya ini. Kenapalah dia bodoh pula kali ini?

Yong Lijah tersenyum lagi. “Wafa tak pernah beritahu Widad tentang hubungan cintanya dengan Imam Maliq?” Pertanyaan Yong Lijah masih dipaut hairan. Widad menggeleng. Ingatannya mempamerkan beberapa wajah. Kalau Wafa bernikah dengan Imam Maliq, makanya dia punya peluang untuk bernikah dengan Eilmi. Hati kecilnya membuat kesimpulan. Dia perlu kembali ke Kuala Lumpur dalam kadar yang segera demi sebuah penjelasan yang lebih.

Dan jika itu kebenarannya, tidak perlulah dia rasa bersalah terhadap ‘kebenaran’ yang tertutup oleh dirinya seorang. Kisah di Cherating. Kisah gadis bergaun merah dan berambut keriting. Tutup cerita itu!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/339693/Mr-Mrs-Hot’

[SNEAK PEEK] Kan Ku Kejar Cinta Kamu

Kan Ku Kejar Cinta Kamu oleh Fauziah Ashari

“HEI!” Qistina menjerit seraya terkejut apabila kepalanya dijirus air oleh seseorang. Terkaku seketika sebelum bangun mendadak dan meradang. Di saat itu hampir semua tetamu restoran memandang ke arah mereka. Terkejut beruk!

Alma tersenyum sinis dan bersahaja berdiri di antara pasangan yang diandai sedang bercinta. Kalau tidak, masakan si lelaki memaut pinggang si gadis ketika mula masuk ke dalam restoran. Jika tidak, masakan tangan si gadis begitu asyik mengusap-usap lengan si jejaka.

Miang!

Raiyan pun satu, suka sangat diusap dek tangan gatal tu. Leka betul dengan sentuhan-sentuhan mengada-ada si betina. Kalau isteri dia okeylah. Ini tak, perempuan mana agaknya yang rela jadi bini dia. Memang betina!

Dan Raiyan memang jantan lupa daratan. Dengan aku boleh, esok nak kahwin dengan perempuan lain pulak dan sekarang sibuk dengan betina lain! Alma betul-betul panas. Geram dan sakit hati. Dua-dua gatal!

“Ray…tengok apa yang perempuan ni buat kat I.” Qistina mengadu manja. Dalam hati, mahu sahaja dia lempang perempuan kurang ajar di hadapannya. Tapi, terpaksa kontrol diri sopan dan ayu di hadapan bakal kekasihnya. Malu kalau dianggap kasar oleh Raiyan. Pasti ditolak terus ke tong sampah!

Raiyan hanya terpaku sejak tadi. Memang dia terkejut dan hampir tergelak melihat Qistina basah dari kepala hingga ke sebahagian bajunya terutama bahagian dada tapi melihat babak itu buat dirinya terkaku tanpa reaksi kecuali bagaikan pernah melalui situasi itu.

Kian tergamam tatkala terpandang wajah Alma sedang tersengih. Langsung tanpa rasa bersalah. Wajah yang lama tidak dilihat olehnya. Wajah yang tidak pernah dia lupa. Wajah yang buat dia teruja dalam meniti kehidupan kaburnya. Tambah manis. Tambah cantik, bisiknya nakal dan tersenyum sedikit melihat panjangnya rambut Alma.

Apa-apa yang dia buat semuanya selamba. Tak takut. Tak rasa bersalah. Betul-betul berkeyakinan di pihak benar, gumam Raiyan tanpa mengalih pandangannya.

“Maaf, saya tak sengaja. Hampir tersandung, tu yang tertumpah kat cik.”

“Kau bohong. Aku tau kau sengaja nak jirus kepala aku. Apa salah aku? Aku tak kenal kau pun!” Qistina mula melenting. Sudah terasa lekit kulit kepala dan badannya dek air manis.

Rengekannya langsung tidak dilayan Raiyan. Qistina juga tidak peduli pandangan tetamu. Tambah sakit hati apabila Raiyan hanya memandang wajah perempuan kurang ajar di hadapannya ini tanpa kelip.

Entah siapa perempuan ini dia tidak tahu. Dia tak peduli. Barangkali salah seorang teman wanita lelaki kacak di hadapannya ini. Peduli apa! Pentingnya dia mesti balas dendam. Tanpa semena-mena dia ambil jus di atas meja. Ingin disimbah pada perempuan itu.

Di waktu sama, pengurus restoran datang ke meja mereka. Alma yang bersedia terus mengelak.

Purr!!!

“Woo…” Serentak tetamu restoran tergamam. Pengurus restoran terpejam dan terkebil-kebil apabila muka dan bajunya basah terkena air.

Raiyan masih terpaku. Sudahnya senyum dia tambah lebar. Rasa mahu terkoyak pula mulutnya. Alma turut ketawa kecil. Hanya Qistina yang melopong terperanjat.

“Maaf, saya harap tiada apa-apa yang serius berlaku di sini. Tuan, puan-puan semua, harap tolong jaga keharmonian restoran ini,” pinta pengurus restoran dalam geram yang tersembunyi.

“Maafkan saya…” ucap Alma pada pengurus restoran. “…tapi…” Alma geram. “… perempuan ni memang patut dijirus air. Lain kali jangan nak menggatal dengan suami orang,” tekan Alma tanpa menoleh pada Raiyan.

Sengaja tidak mahu memandang. Apa guna memandang kalau Raiyan tidak kenal dengannya. Cukuplah melihat dari jauh tadi. Entah terlerai entah tidak rindunya, dia tidak pasti. Semuanya kerana berselang-seli dengan rasa mual dan menyampah terhadap Raiyan. Yang pasti dia hampir tergoda dengan penampilan baharu suaminya. Masalahnya, satu per satu tembelang Raiyan terbongkar sejak amnesia ni. Ee…geram!

Alma terus pergi setelah ujarannya tadi. Baru beberapa langkah, kakinya bagai digam di jubin restoran tatkala mendengar suara perempuan itu menjerit.

“Hei perempuan! Kau siapa, ha? Apa hak kau? Aku tak keluar dengan suami orang!” Qistina membentak.

Pantas Alma berpaling dan mara semula. Dia tatap perempuan yang berdiri di hadapannya. Rasa kecil aje dia lihat perempuan itu. Kemudian, dia lihat Raiyan yang terdiam dan masih duduk. Langsung tak gentleman. Tidak mempertahankan perempuan yang didampingi.

“Cuba kau tanya dia, dia dah kahwin atau belum?”

“Setahu aku dia memang nak kahwin dengan pilihan keluarga dia. Tapi dia belum kahwin lagi. Apa hak kau nak sibuk hal kami!” marah perempuan itu. Menggigit nadanya.

“Cuba tanya, dia dah kahwin ke belum?” Alma tegas. Dia pandang Raiyan. Pandangan bertaut. Alma sedikit gabra tapi cepat dia toleh perempuan itu semula.

Qistina sedikit pelik. Seolah-olah ada sesuatu yang dia tidak ketahui. Terus sahaja dia menujah matanya ke arah Raiyan, ingin penjelasan.

Raiyan jadi gamam. Dia pandang Alma seketika walaupun Alma langsung tidak menolehnya lagi. Cerita di Menara Raqib dan album-album tertayang di anak mata. Kemudian, dia pandang pula pada Qistina, perempuan yang dikenali ketika sama-sama menjalinkan kerjasama dalam perniagaan dan berlarutan hingga ke kelab dan makan malam begini.

“Ray!” Qistina naik lemas. Jawapan yang dipinta masih tiada.

Spontan Raiyan geleng kepala. Dia malu melihat semua orang menjadi penonton. Malunya hendak dijaga. Egonya juga harus dijulang tinggi. Wajahnya pernah dipampangkan di Kompas. Mungkin sahaja ada antara penonton mengenalinya.

Qistina tersenyum menang. “Hmm…kau dah ada jawapan, kan?” sinis nadanya. “Kau! Tunggu surat lawyer aku,” gertaknya pula sambil menunjuk tepat jari telunjuk ke muka Alma. Alma hanya senyum bersahaja biarpun hatinya bagai dicencang lumat. Dek kerana geram, dia terus ambil gelas di hadapan Raiyan. Tanpa fikir, dicurahkannya ke kepala Raiyan.

“Kau!” Qistina terkejut. Terus ternganga melihat Raiyan yang basah kuyup. Tidak terkata apa lagi. Raiyan lagilah, tak tersuara langsung. Terkatup mulutnya. Alma letak kembali gelas di atas meja. Berwajah selamba sambil menepuk tampar kedua belah tapak tangannya.

“Ini balasan untuk orang yang bohong,” ucapnya rapat ke telinga Raiyan yang basah seluruh muka dan sebahagian bajunya. Tak kan Raiyan bodoh sangat, tak faham makna foto-foto yang diberi dahulu. Antaranya gambar pernikahan mereka.

Kemudian dia pandang teman wanita Raiyan. “Kau, kalau nak saman aku, kau tanya dia, mana aku tinggal. Sebab dia tau mana nak cari aku. Sejak dulu lagi, dia selalu cakap, dia tau mana nak cari aku.” Usai berkata-kata, dia pandang dua rakannya. Memberi isyarat untuk pulang.

“Encik, tolong ambik order air untuk lelaki di meja sana. Masukkan bil dalam akaun saya. Air aje, makan biar dia bayar sendiri.” Dalam marah teringat dia ‘meminjam’ air lelaki tadi. Pengurus restoran hanya mengangguk sahaja.

Kemudian, Alma terus keluar dari restoran. Tidak peduli pada Raiyan dan pasangannya.

Raiyan pula masih terkebil-kebil. Tak menyangka sama sekali. Memandang perempuan-perempuan itu keluar dari restoran. Semuanya dia kenal.

“Jangan cakap apa-apa. Aku nak rehat.” Alma beri amaran sebaik semua berada dalam kereta. Dia pejam mata. Tidak peduli pada Marlisa dan Adelea di hadapan.

“Lea, di Raqib ada kerja kosong tak?” Tiba-tiba Alma bertanya setelah lima minit perjalanan pulang. Dia selitkan dirinya di antara dua seat di hadapan.

“Kau nak kerja dengan suami kau, ke?” Adelea sudah pening dengan kerenah Alma.

“Dah fikir panjang? Abah aku tentu tak kasi. Belum lagi Nek Bonda tau.” Marlisa pula seolah-olah beri amaran.

Usai mendengarnya, Alma menyandar kembali. Ugutan perempuan itu menerjah-nerjah ke kepala otaknya. Faris jadi mangsa. Rasa sedihnya ditahan-tahan. Rindu pada keluarga sendiri dibiarkan berlalu.

Alma tidak bersuara apa-apa lagi. Tidak peduli pada Marlisa dan Adelea yang terpinga-pinga dan seakan-akan mengerti masalahnya. Dia terasa kalah pula. Dia pejam mata kembali. Senyum Raiyan datang lagi. Keletah suaminya muncul lagi. Kemesraan bersama mencolek- gamit sanubarinya.

I cinta kamu, bisiknya dalam sendu yang dalam. Tanpa sedar air matanya bergenang di tubir mata. Sesungguhnya dia tidak pernah mencampak Raiyan keluar dari hatinya. Dua tahun mengenal Raiyan, cukup menggembirakannya.

Benarlah kata madah cinta, ‘hanya diperlukan waktu seminit untuk mentafsir seseorang, sejam untuk menyukai seseorang dan sehari untuk mencintai seseorang, tetapi diperlukan seumur hidup untuk melupakan seseorang’.

Aku mengenal Raiyan dua tahun, bererti lebih berminit-minit, lebih berjam-jam, lebih daripada sehari. Jadi, bagaimana aku mahu melupakannya sedangkan baru berpisah lebih kurang dua tahun. Belum cukup lama lagi. Mungkin setelah 10 tahun berpisah baru boleh lupa. Barangkali juga setelah aku sudah berumah tiang dua baru ingatan tentang Ray terhapus.

Ah, Ray… I cinta kamu. I cinta kamu. I cinta kamu. ucap hatinya berkali-kali. Rindunya berkobar-kobar.

“Kalau Ray tak amnesia, dah lama aku tinggalkan dia,” katanya separuh berbisik. Seolah-olah berkata pada diri sendiri tetapi kata-katanya seakan-akan memberitahu rakan-rakan di hadapan.

Adelea dan Marlisa hanya dengar. Bimbang untuk mencelah. Takut Alma tidak luahkan lagi.

“Aku memang tau Ray cucu Datuk Raqib. Tapi kerana cinta kami lupakan segala-galanya. Cinta. Hah…mereka tak faham barangkali apa erti cinta. Agungnya Allah beri hambaNya menikmati rasa cinta. Rasa ingin memiliki dan dimiliki. Berkasih-sayang. Itu yang kami rasa tapi kami teruskan juga kerana kami yakin keikhlasan dan kejujuran kami akan melunturkan tembok keras yang jadi benteng keluarga Datuk Seri Hakim dan keluarga Datuk Raqib. Papa tak pernah cerita kenapa tapi papa adalah papa terbaik yang pernah aku kenal. Penyayang, bertanggungjawab dan ketua keluarga yang sangat baik.”

Marlisa toleh Adelea. Masih tidak bersuara apa-apa. Sebak Alma dapat mereka rasa.

“Tapi, papa memang ada beri amaran. Katanya, jangan dekat dengan keluarga Datuk Raqib. Hah…memang ini balasan untuk aku agaknya. Ingkar perintah papa. Sudahnya, Ray macam tu, aku macam ni.” Nada Alma sedikit ceria. Ketawa kecil dan seolah-olah tak kesah.

“Eh, tak kan dah berputus asa kut!” Marlisa mencelah dengan selamba. Yakin boleh mengusik apabila Alma tergelak kecil. Entah mengapa, dia suka pada Alma.

Keselambaan kakak iparnya itu barangkali mengikat hatinya. Tambah pula Adelea selalu menyogok cerita-cerita manis dan lucu saat mereka bersama. Barangkali kerana prinsip-prinsip Alma menarik hatinya.

Alma terdiam seketika. Macam berfikir pula. Kemudian dia geleng dengan pantas. Kata-kata semangat Kalsom terngiang-ngiang pula, ‘kalau masih ada rasa cinta, rebutlah kembali. Kau bukan aje kekasihnya tapi isterinya’.

“Aku tak putus asa. Seperti yang aku kata, kalau dia tak amnesia dah lama aku tinggalkan dia. Masalahnya dia amnesia. Jadi aku kena dapat keputusannya dalam keadaan dia dah normal, bukan tak betul macam tu, tak ingat apa-apa.” Ulasan Alma sedikit geram. Terbayang-bayang pelukan Raiyan ke pinggang perempuan tadi.

“Kalau dia tak amnesia, mungkin yang berlaku bukan macam ni. Mungkin lain yang tak diduga oleh kita. Mungkin kau makin susah nak tinggalkan Abang Ray. Hidup dengannya tapi merana seumur hidup. Kau digantung tak bertali, dia sedap-sedap berkepit dengan bini muda dia,” balas Marlisa. Teringat kuasa veto dan keangkuhan Nek Bondanya. Sedangkan mungkin abangnya cinta sangat pada Alma.

Mana mungkin Alma dan Raiyan senang-lenang walaupun tidak amnesia. Biarpun siapa Raiyan tapi dia kenal abangnya yang lembut hati kalau berbicara dengan Nek Bonda. Silap hari bulan, dipaksa cerai oleh Nek Bonda. Kalau tak cerai pun, pasti Alma dimadukan oleh Raiyan atas desakan Nek Bonda. Hah! Kalau Dilaila tak mahu, ada aje perempuan lain yang seribu kali sudinya.

“Apa-apa pun yang berlaku pasti ada sebab yang tersendiri. Barangkali memang balasan untuk kau. Reda, muhasabah aje la…” Adelea ambil jalan tengah. Separuh nasihat, separuh menyindir. Memujuk hati rusuh seorang sahabat.

Alma tidak terkata. Mahu sahaja dia berkata lantang, ‘kalau Ray kahwin lain, dia mesti ceraikan aku’. Tapi, Alma bimbang riak dan kesombongan hati serta kata-katanya terpalit semula ke mukanya. Mana tahu celopar mulutnya buat dia tak boleh lupa langsung pada Raiyan walaupun suaminya kahwin lain. Mana tahu kena minyak dagu! Selisihnya…

Eee…kawan-kawan aku ni… bukan nak bagi semangat. Cakap, menakutkan aku aje. Hati Alma mula mendongkol. Eh! Aku dah iktiraf dia kawan aku, ke? Alma jeling seketika pada Marlisa yang tenang memandu.

Kemudian dia memejam semula. Teringat pula ujaran Adelea. Dia menghambur keluhan. Memang ada sebab. Sebabnya, aku dapat tau siapa Ray sebenarnya, bisik Alma. Dalam geram ada rindunya. Dalam sakit hati, ada cinta bergumpal-gumpal di dadanya. Dia tahu sukar mahu mengusir rasa cintanya…

Sudahnya, cerita Raiyan tak hilang-hilang di kepala. Kisah mahu kahwin lain datang tanpa dipinta. Dia menggelisah pula. Mahu cakap besar, takut dikena balik pulak. Riak! Minta dihindari. Dia masih ingat riak adalah sifat setan, iblis, dajal dan seangkatannya.

Malah, dia juga masih ingat kata-kata ustazahnya, riak akan memusnahkan diri, riak akan menjauhkan diri dengan Allah, riak akan menghasut diri agar ingkar, riak akan menggelapkan hati, riak akan membuka jalan luas ke neraka, riak akan memisahkan diri dengan manusia dan riak akan membuat diri alpa! Subhanallah, jauhkan aku dari sifat riak.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/339692/Kan-Ku-Kejar-Cinta-Kamu

[SNEAK PEEK] Kasihi Aku Cintai Aku

Kasihi Aku Cintai Aku oleh Rass Lestari

MAJLIS bacaan tahlil dan bacaan Yasin yang berlangsung di kediaman Engku Badariah berjalan dengan lancar.

Mujahid duduk bersendirian di dalam bilik arwah Engku Badariah. Mengimbas kembali kenangan yang masih tersisa di dalam bilik itu, dia seakan-akan melihat Engku Badariah duduk di kerusi berdekatan tingkap bilik di hujung sana sambil membaca surat khabar. Memandangkan setiap pagi pasti di situlah menjadi tempat kegemaran nendanya.

Walaupun semuanya sekadar khayalan belaka tapi sekurang-kurangnya hatinya sedikit tenteram. Dia mencapai gambar yang berada di atas meja solek Engku Badariah.

Dalam banyak-banyak gambar, gambar ni yang nenda letak, bisik hati Mujahid apabila teringat bingkai gambar tersebut adalah hadiah terakhir daripadanya pada Engku Badariah sewaktu menyambut hari kelahiran pada beberapa tahun yang lepas.

Gambar Engku Badariah bersama Issabella ditenung lama kemudian Mujahid membuka gambar tersebut dari bingkainya lantas mengoyakkan gambar itu menjadi dua bahagian. Bahagian yang ada gambar Issabella dia buang ke dalam tong sampah, seperti mana perasaan cinta yang dulunya ada di hatinya kini terpadam untuk wanita itu.

“Muja, tetamu dah nak balik. Jom turun.”

Mujahid mengikut rapat di belakang Datuk Khuzair untuk turun ke ruang tamu apabila tetamu yang hadir beransur pulang. Hanya tinggal Balqis dan Ayisha sahaja yang belum balik. Doktor Murad sekeluarga dan Haikal terpaksa balik awal memandangkan mereka mempunyai tugas yang harus digalas malam ini.

“Aunty Zai kena banyak bersabar, saya akan doakan agar Engku Nenda ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman, Insya-Allah,” pujuk Ayisha apabila melihat wajah sugul Engku Zaiton yang masih tidak dapat melupakan kesedihannya.

“Umi berterima kasih pada Ayisha dan Balqis, seharian kamu di sini. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Maimon apabila segala persiapan majlis tahlil dan bacaan Yasin di uruskan oleh Ayisha dan Balqis. Mereka berdua bukannya ahli keluarga Engku Badariah tapi mereka berdualah yang bersusah payah menguruskan semuanya di kala dirinya masih lagi keliru dengan apa yang terjadi.

“Umi tak perlu nak cakap macam tu, umi sekeluarga kena banyak berehat. Biar selebihnya saya dan Balqis yang uruskan. Lagipun Mak Lah kan ada.”

“Betul kata Ayisha tu, jom saya bawa awak berehat. Khuzair, bawa Zai naik atas. Kalau terus macam ni, kamu berdua pula yang jatuh sakit nanti.” Engku Kazmi memimpin Maimon ke bilik. Begitu juga dengan Datuk Khuzair, tangan Engku Zaiton dipimpin menuju ke bilik.

Sementara Balqis dan Ayisha sibuk mengemas di ruang tamu dan dibantu oleh Mak Lah, seorang pembantu rumah yang selama ini setia bersama dengan Engku Badariah. Tak lama kemudian Mujahid datang untuk membantu.

“Tak payahlah doktor, biar kita orang yang buat. Doktor pergilah berehat,” tegah Ayisha.

“Panggil Muja je, tak perlulah nak formal sangat dengan saya. Awak pun macam tu, Balqis.” Bukan sekali ini dia tegur. Beberapa kali juga dah.

Ayisha dan Balqis tersenyum, sementara Mujahid mengambil kain lap untuk mengelap meja sisa air minuman yang tertumpah.

“Eh, tak apa. Biar saya yang buat, doktor.”

Mujahid menatap Ayisha dan serta-merta Ayisha menundukkan pandangannya.

“Maksud saya, Muja tak perlu buat semua ni. Saya dan Balqis boleh buat,” sambung Ayisha diiringi dengan cuitan daripada Balqis yang begitu senang dengan panorama sedang terpapar sekarang.

“Tak apa, lebih baik saya sibukkan diri daripada duduk kat bilik tu. Mata saya pun belum mengantuk lagi.” Mujahid meneruskan kerjanya sehinggalah semuanya selesai.

Jam menunjukkan pukul 10.30 malam, Ayisha dan Balqis bersiap sedia untuk balik.

“Saya hantar awak berdua,” pelawa Mujahid sambil mengambil kunci keretanya dari laci meja.

“Tak payahlah, saya bawa kereta lagipun Balqis tidur kat rumah saya malam ni.”

“Betul tu Muja, lagipun awak kena banyak berehat. Tengok wajah awak tu dah tak kacak lagi tahu tak,” seloroh Balqis saja untuk menceriakan suasana yang dibelenggu kesedihan. Tidak sangka dia boleh bermesra begini dengan seorang doktor yang dihormati dan senior mereka.

Ayisha memandu kereta keluar dari kediaman Engku Badariah. Selepas kereta Ayisha hilang dari pandangannya, barulah Mujahid masuk dan terus menuju ke biliknya. Tidak lama kemudian telefon pintarnya berdering.

“Haikal. Kenapa?” Soal Mujahid hairan apabila Haikal tiba-tiba menelefonnya.

“Kau okey tak ni?”

“Aku okey, kenapa? Kau ingat aku akan buat benda-benda bodoh ke?”

“Tak lah sampai macam tu, cuma aku tak nak kau sedih sangat dan lagi satu aku cuma nak khabarkan kat kau, Encik Arif sempat kritikal sekejap tapi sekarang dah okey dah, jadi kau janganlah risau sangat. Kau rehat aje,” ujar Haikal sekadar ingin memaklumkan perkembangan terkini agar rakan sekerjanya itu dapat berehat dengan hati yang tenang.

Setelah mengetahui peguam itu koma, Mujahid amat bersimpati pada ahli keluarganya. Dia takut kalau-kalau lelaki itu tidak dapat diselamatkan seperti nendanya.

“Esok aku datang ke hospital, dan tengok macam mana keadaan dia.”

“Kau ni… Kenapa tak ambil cuti buat sementara waktu ni? Tenangkan dulu emosi kau tu.”

“Jangan risaulah, aku tak akan campur adukkan masalah peribadi aku dengan kerja,” bidas Mujahid.

“Yalah…aku tahu Doktor Mujahid ni seorang doktor yang sangat profesional. Kau berehatlah, aku tak nak ganggu kau sebab esok aku nak kau datang dengan wajah yang bersemangat. Kalau tak, aku larang Doktor Murad izinkan kau merawat pesakit,” ancam Haikal sekadar untuk memberi motivasi untuk rakannya itu sebelum menamatkan panggilan.

IRIS membawa dulang berisi bubur dan susu untuk sarapan Issabella pagi ini. Lama dia mengetuk pintu bilik Issabella tapi tiada jawapan. Masih tidur? Agak Iris lalu dia membuka pintu bilik dan melihat katil Issabella sudah pun berkemas. Hairan dia sambil meletakkan dulang sarapan di atas meja lalu mencari Issabella di bilik air tapi kelibat Issabella tidak kelihatan.

Iris turun ke ruang tamu lalu menjenguk keluar dengan keadaan yang panik. Kereta Issabella yang diparkir di garaj semalam turut menghilang. Dia mencapai telefon pintarnya untuk menghubungi Issabella namun panggilannya langsung tiada jawapan.

“Ke mana dia pergi?” Iris ligat memikirkan ke mana agaknya arah tuju Issabella dengan keadaannya yang masih lemah. Dia risau kalau-kalau ada sesuatu yang buruk akan menimpanya.

Rupanya pagi itu, Issabella sudah berdiri di hadapan pagar rumah Engku Badariah. Lama dia di situ sebelum jarinya menekan loceng. Tak lama selepas itu seorang wanita bersarung kain batik keluar.

“Puan Issabella, puan buat apa di sini?” Mak Lah terkejut. Risau juga dia.

“Saya nak jumpa dengan Mujahid.”

“Maaf puan, tapi Engku tak ada sekarang.”

“Siapa Kak Lah? Siapa yang datang tu?” Tak lama kemudian Maimon pula yang keluar. Pintu pagar terbuka sedikit demi sedikit.

“Issabella!” Terkejut Maimon sebaik sahaja dia melihat Issabella berdiri di situ dengan muka yang tebal tanpa segan silu. Memang perempuan tak tahu malu!

“Maaf. Saya nak jumpa dengan Mujahid, dia ada?” Tanya Issabella yang sedar betapa kecilnya dia pada pandangan wanita tersebut. Akan tetapi semua itu harus dia tahan. Dia tidak boleh mengalah demi anak yang dia kandung ketika ini.

“Awak memang perempuan yang tak ada maruah kan, berani awak jejak kaki awak ke sini lepas apa yang awak buat pada nenda, pada kami semua. Saya memang tak percaya!!!” sindir Maimon tanpa ada lagi belas kasihan pada Issabella. Kalau dulu Engku Zaiton yang kejam tapi saat ini dia lebih kejam daripada Engku Zaiton.

“Saya ada perkara nak jelaskan.”

“Ha! Kami tak nak dengar penjelasan daripada awak dan Muja pun tak nak dengar sepatah pun yang keluar daripada mulut pembunuh macam awak ni. Sekarang awak pergi dari sini! Jangan sesekali pijak kawasan rumah saya lagi, faham? Mak Lah! Tutup pintu pagar ni rapat-rapat jangan biar orang jahat tu masuk ke sini,” arah Maimon.

Sedar ini adalah peluangnya yang mungkin terakhir untuk menjelaskan segala-galanya, Issabella memegang tangan Maimon.

“Saya cuma nak bagi tahu yang saya…”

Dengan kasar Maimon menolak Issabella hingga dia jatuh tersungkur.

“Saya dah banyak bersabar dengan awak, Issabella… Jangan sampai saya hilang sabar. Saya tak nak buat dosa tapi bila nampak muka awak tu buatkan saya meluat tahu tak!” herdik Maimon lagi lalu menekan alat kawalan jauh dan secara perlahan pintu pagar itu tertutup rapat .Bagai satu simbolik yang mengatakan pada Issabella bahawa kehadirannya di situ sememangnya tidak akan di terima lagi.

“Puan Maimon, tolong bagi saya peluang, saya akan jelaskan apa sebenarnya yang berlaku! Saya tak ada niat untuk mengorbankan Engku Badariah, saya dah…”

“Cukup!!!” Sekali lagi tengkingan Maimon menerjah Issabella.

“Tak perlu nak jelaskan pada saya, awak ni wanita yang memang tidak berhati perut! Pergi dari sini!!! Awak ni lebih hina daripada anjing tahu tak. Anjing pun ada yang setia pada tuannya tapi awak! Memang tidak mengenang budi!!!”

Maruah Issabella bagaikan dipijak-pijak sehinggakan tiada langsung yang tinggal kini. Tapi, jikalau ini penderitaan yang dia mesti lalui untuk kebahagiaan bayi yang dikandungnya, Issabella sanggup. Semua ni tak akan menjadikan dia mudah berputus asa. Dia akan cuba segala cara untuk memastikan bayinya mempunyai seorang ayah…

Selepas dihalau ibu mentuanya, Issabella pandu keretanya menuju ke Hospital Iman Damai. Sampai sahaja di hospital, Issabella menuju ke kafe seperti mana yang ditunjukkan oleh salah seorang jururawat di situ. Tanpa memerhatikan dan mempedulikan mata-mata yang memandangnya, Issabella terus berjalan menuju ke meja Mujahid.

“Engku, kita perlu bincang,” sapa Issabella sebaik saja dia berdiri di hadapan Mujahid.

Terkejut Mujahid akan kedatangan Issabella. Meluat dia melihatnya.

“Saya tak ada apa nak bincang dengan awak. Lagipun saya dah pernah kata kan, saya tak nak nampak muka awak lagi.” Tajam kata-kata Mujahid menusuk ke cuping telinga Issabella.

“Jom Haikal, kita ada pembedahan lepas ni.” Mujahid berdiri dan beredar dari situ tanpa mempedulikan Issabella yang kaku berdiri mengharapkan ada sekelumit ruang untuknya menjelaskan perkara sebenar.

Ayisha hanya diam melihat perang dingin antara Issabella dan Mujahid. Berlainan dengan Balqis yang nampaknya suka dengan apa yang dia lihat sekarang. Hatinya terus mengira kadar peratus untuk Issabella dan Mujahid akan bercerai.

“Mujahid!”

Bunyi kuat diselangi dengan teriakan Issabella membuatkan langkah Mujahid terhenti. Dia menoleh ke belakang dan melihat Issabella memecahkan apa saja yang dia dapat capai sehinggakan beberapa orang doktor yang berada di situ terkena percikan air daripada gelas yang jatuh. Keadaan di kafeteria menjadi huru-hara apabila Issabella semakin rancak memusnahkan apa sahaja yang ada dia hadapannya.

“Awak dah gila ke ha!” Mujahid merentap tangan Issabella dengan kasar. Semua doktor yang ada di situ mula bercakap sesama mereka.

“Ya! Saya memang dah gila! Kalau Engku nak gelar saya dengan apa gelaran sekalipun saya tak kesah, tapi boleh tak Engku dengar dulu apa yang saya cuba nak jelaskan. Atau Engku nak saya merayu pada Engku baru Engku nak dengar…” Suara Issabella semakin menurun setelah awal tadi meninggi. Matanya telah pun berair. Bukannya sebab malu diperlakukan seperti itu tapi dia risau kalau dia tak dapat bertahan dengan sikap Mujahid yang nampaknya memang sudah sangat membencinya.

“Awak merayu atau tak, tidak akan bawa apa-apa perubahan. Awak hanya membuang masa, Bella. Masa saya dan juga masa awak. Awak tak perlu nak jelaskan apa-apa pada saya sebab semua tu juga tak akan membawa sebarang perubahan. Satu saja yang saya rayu pada awak, tolong pergi dari sini. Saya dah tak boleh tengok muka awak lagi, lagipun awak tentu dah terima surat cerai kan?”

“Ya saya dah terima, tapi saya tak nak bercerai dengan Engku, tak akan sesekali. Tolong Engku, dengar apa yang saya nak cakap dengan Engku. Saya sebenarnya…” Issabella pandang ke bawah, melihat perutnya… Dia tersenyum. Namun sebaik dia angkat mukanya…

“Issabella Fedriz binti Ahmad Anderson, saya ceraikan awak dengan talak satu.” Bagai halilintar, suara Mujahid menjatuhkan talak menusuk ke pendengaran Issabella.

Issabella memandang mata Mujahid, mencari kebenaran di sebalik ucapannya tadi. Jelas, Mujahid memang maksudkannya. Namun demi anak yang dia bakal lahirkan, Issabella akan bertahan tak kira apa yang Mujahid ingin katakan padanya.

“Engku tak boleh buat macam tu pada saya. Tak boleh…” Issabella mencapai tangan Mujahid dan menagih simpati lelaki itu.

“Saya tak nak bercerai dengan Engku,” tuturnya namun dengan kasar Mujahid menarik tangannya daripada genggaman Issabella.

Ayisha tak percaya dengan apa yang dia dengar sebentar tadi. Teganya di hadapan semua orang, Doktor Engku Khairuz Mujahid menjatuhkan talak pada isteri.

Apa semua ni? Monolog Ayisha.

Di hadapan semua orang, buat pertama kalinya Issabella melutut ke lantai. Segala maruah dan egonya dibuang jauh.

“Saya merayu pada Engku, tolong jangan ceraikan saya,” rayu Issabella bersungguh-sungguh meskipun semua yang ada di situ memandang sinis padanya.

“Memang tak malu betul, mentang-mentanglah Doktor Mujahid anak orang berada. Takut nak hilang duit poketlah tu.”

Issabella memekakkan telinga, kata-kata orang tidak diendahnya.

“Tolong jangan ceraikan saya, demi anak…”

Pang!!! Tangan Engku Zaiton mengena di pipi Issabella. Mujur dia datang tepat waktunya. Dia mengekori Issabella tadi apabila tahu Issabella datang ke rumah Engku Badariah.

Mujahid yang terkejut dengan tindakan pantas Engku Zaiton tergerak untuk membantu Issabella namun gerak hatinya terbantut apabila bayangan Engku Badariah yang terhempap dengan serpihan bahan binaan merayu meminta tolong tapi sedikit pun Issabella tidak tergerak untuk membantu. Malahan dia meninggalkan Engku Badariah menderita kesakitan.

“Hei perempuan, apa lagi yang kau nak? Tak cukup lagi dengan syarikat kami yang kau ambil kemudian bonda aku yang kau bunuh tanpa belas kasihan. Semua tu tak cukup lagi? Atau kau nak duit? Datang tiba-tiba ke sini sebab kau dah bankrap di Paris tu! Baiklah aku boleh bagi, cakap berapa yang kau nak? 10 juta? 20 juta? Cakaplah!” teriak Engku Zaiton dengan angkuh sekali sambil melemparkan beberapa not duit ke arah Issabella, layaknya seperti barang yang didagangkan.

Tak puas apabila Issabella langsung tidak memberi reaksi, Engku Zaiton mengambil cawan yang berisi air dari atas meja lalu menyiram ke arah Issabella. Gelas yang kosong turut dihumban sekali ke arah Issabella sehingga terkena tepat di perutnya.

Cahaya kamera daripada telefon pintar bersilih ganti berkelip. Lumrah manusia, bukannya untuk menolong, sebaliknya seronok mencari ‘bukti’ walaupun tidak tahu hujung pangkal. Tiada belas kasihan terhadap Issabella kecuali Ayisha yang cuba untuk membantu Issabella tapi dihalang oleh Balqis.

Issabella memegang perutnya apabila dia dapat merasakan seperti dicucuk dengan benda tajam. Sakit teramat sakit. Dia memandang ke arah Mujahid buat kali kedua tapi pandangan lelaki itu masih sama. Kosong…

Issabella cuba untuk berdiri namun sekali lagi perutnya terasa begitu perit sehinggakan dia terduduk semula dan tidak lama selepas itu, sehelai kot membalut tubuh Issabella.

“Apa yang you buat ni Issabella? I tanya, apa yang you buat ni!” tengking Lee Woon sambil menggoncangkan bahu Issabella. Rambutnya yang basah disimbah air, dengan bibirnya yang berdarah membuatkan Lee Woon tidak dapat mengawal dirinya.

“Mana Issabella yang I kenal? Issabella yang I kenal tak akan biarkan dirinya jadi macam ni. Dia tak akan membiarkan orang lain memandang hina padanya. Mana ada selama ini orang lain pijak maruah you? You kena sedar Issabella!” tambah Lee Woon lagi namun Issabella langsung tidak memberikan sebarang respons.

“Cukup Bella, jangan buat macam ni.” Lee Woon memaut bahu Issabella, membantunya untuk berdiri.

“Uncle Park, bawa Bella balik,” arah Lee Woon dan Uncle Park patuh.

Issabella menapak perlahan sambil dipapah oleh Uncle Park keluar dari kafe tapi hatinya bagai tidak sanggup untuk pergi dari situ. Masih berharap Mujahid memberinya peluang terakhir ataupun apa sahaja asalkan dia dapat kekal berada di sisi lelaki itu

“Muja… Kali ni, tolong maafkan saya…”

“Saya bencikan awak Bella… Saya sangat bencikan awak! Pergi dari sini.”

Rayuan Issabella sekali lagi dibalas dengan kata-kata yang menyiat-nyiat hati dan perasaannya. Memandang api kebencian yang begitu marak di dalam mata Mujahid, membuatkan Issabella sedar betapa tingginya angan-angan yang cuba dicapai sedangkan kenyataan yang patut dia hadapi adalah tiada rasa cinta di hati lelaki itu untuknya.

“Cik Bella, mari kita pergi.” Langkah Issabella yang berat untuk meninggalkan tempat itu dipaksa juga oleh Uncle Park.

Berderu nafas Lee Woon melihat Issabella nampak begitu lemah di hadapan Mujahid.

“Kalau Issabella nak, dia boleh beli hospital ni dan walaupun saya tak tahu berapa harga cik puan ni tapi berapa pun harganya Issabella mampu beli, saya pasti!” Kata-kata Lee Woon perlahan tapi cukup pedas di telinga Engku Zaiton sehinggakan naik merah mukanya.

“Shut up!” teriak Engku Zaiton namun Lee Woon sekadar tersenyum nipis sambil menguis- nguis rambutnya.

“You shut up!” bidas Lee Woon keras.

Dia menghampiri Engku Zaiton selangkah demi selangkah dan apabila semakin hampir, Engku Zaiton berundur selangkah ke belakang. Tapi Lee Woon masih lagi menapak ke hadapan menghampiri Engku Zaiton yang semakin kalut.

“Kenapa nak kasi dia duit? Hei perempuan tua, you tahu atau tak apa jadi pada Magritha?”

Terasa disindir, Sekali lagi Engku Zaiton mengangkat tangannya untuk menampar Lee Woon namun kali ini, dia tidak berjaya apabila Lee Woon memegang kemas tangan Engku Zaiton. Meronta bagaimanapun untuk melepaskan genggaman, Lee Woon semakin kuat mencengkam tangan Engku Zaiton.

“Hei! Keluar dari sini sebelum aku panggil sekuriti untuk tunjukkan kau pintu keluar,” ancam Mujahid, kasar juga. Tiba-tiba dia benci melihat Lee Woon yang muncul bak wira di hadapan Issabella. Lelaki bermata sepet yang dia tidak kenal langsung tapi boleh pula berbahasa Melayu.

Lee Woon melepaskan tangan Engku Zaiton dengan kasar. “Huh! Orang macam kamu semua ni memang pengecut. Takut untuk berhadapan dengan perkara yang sebenar. Tapi you jangan risau, I ataupun Issabella tak akan muncul lagi di hadapan you.” Lee Woon berjeda sebelum anak matanya menikam anak mata Mujahid sebagai tanda amaran.

“Jadi kau ni kekasih dialah.”

“Lebih daripada kekasih. Dia segalanya bagi I.”

Menggelegak darah Mujahid. “Aku dah nampak dia siapa sebenarnya. Memang layak dia diceraikan hari ini. Berhambus kau dari sini!” Mujahid beredar dari situ dan bahu mereka sempat bersentuhan.

“Kadang-kadang kasih sayang yang ikhlas susah untuk kita tafsirkan sebab itu mata you langsung tidak boleh menilainya dan kadangkala juga apa yang you nampak tu bukanlah perkara yang sebenar,” tambah Lee Woon lagi membuatkan Mujahid berhenti sejenak.

Lee Woon berpaling memandang ke arah Mujahid.

“I kenal Issabella jauh lebih lama daripada you kenal dia. I tahu dia jenis macam mana. I tahu apa yang telah dia lalui dan I tahu apa yang dia korbankan untuk orang yang dia sayang. You pulak? You tahu semua itu? I nak tanya you, you kenal ke siapa wife you tu sebenarnya? Upsss… I lupa, ex-wife. You kenal ke dengan dia?”

Kata-kata Lee Woon terus berlegar-legar di gegendang telinga Mujahid meskipun sudah hampir beberapa jam perkara itu berlaku.

Betulkah aku tak tahu apa-apa tentang dia? Mujahid tertanya-tanya sendiri. Wajah Issabella terpampang sekilas di tubir matanya. Cara wanita itu merayu dan meminta padanya membuatkan dirinya seperti begitu kejam sehinggakan dia sendiri tidak tahu sama ada dia akan menyesal dengan perbuatannya esok hari atau tidak.

Mujahid menundukkan wajahnya, menyembunyikan air mata yang menitis satu per satu. Hanya Allah saja yang tahu betapa seksanya dia untuk melafazkan ucapan yang langsung tidak terlintas di fikirannya.

“Muja…” Haikal memegang bahu Mujahid yang kelihatan begitu sugul.

“Ada baiknya kau balik dulu, tenangkan fikiran kau tu.”

Kalau dia di tempat Mujahid sekarang ini, kemungkinan dia akan buat perkara yang sama. Melihat orang yang disayangi mati disebabkan oleh wanita yang sangat dicintai adalah satu kenyataan yang amat memeritkan. Apatah lagi apabila terpaksa memilih antara cinta dan kasih. Walhal, kehilangan salah satu daripada dua pilihan itu membuatkan hati menjadi pincang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/339691/Kasihi-Aku-Cintai-Aku

[SNEAK PEEK] Kerana Satu Janji

Kerana Satu Janji oleh Ameera Ameer

AZRYL memandang Ricky dengan kerutan di dahi seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Macam tak masuk akal pun ada tapi kemungkinan itu memang ada.

“You’re joking, aren’t you?”

Ricky menggeleng. “Tak. Berita ni memang sahih,” balasnya bersungguh.

“Mana kau dapat info ni?”

“Dari peguam Datuk Hamdi.”

Azryl terdiam cuba mencerna kata-kata sahabatnya itu.

“Kalau menurut info yang kau dapat maknanya lelaki yang jadi suami Hannah tu dibayar? Macam tu?” Tidak berpuas hati Ricky disoal lagi untuk mendapatkan kepastian.

Ricky angkat bahunya. “Yang tu aku tak tahu. Apa yang aku tahu Hannah tolong lelaki tu selamatkan adik dia dari dipenjara dan ada kemungkinan juga lelaki tu berkahwin dengan dia sebab tu,” terang Ricky panjang lebar, sekali gus membuatkan otak Azryl ligat memikirkan sesuatu.

Azryl tersenyum. Pandai kau Hannah menggunakan cara ni untuk mengelak daripada perkahwinan kita. Kau ingat aku akan diam? No way dear… No way! Jeritnya dalam hati. “Tahu tak siapa peguam adik lelaki tu?”

“Elyna.”

Azryl terdiam. Jarinya diketuk-ketuk di atas meja. Kalau Elyna orangnya memang susahlah dia nak mendapatkan maklumat. Tak mungkin Elyna akan berpaling tadah kepada kawan sendiri.

“Ada kenal sesiapa tak yang boleh korek rahsia daripada Elyna?”

“Kau kan kenal Elyna, cubalah tanya dia,”usul Ricky.

Azryl mencemik. “Jangan harap Elyna akan pecahkan rahsia. Kau bukan tak kenal siapa Hannah dengan Elyna tu… BFF,” ulasnya mengingatkan Ricky.

Ricky tergelak. “Aku tak kenal sesiapalah di firm dia tu.”

Azryl terdiam lagi. Rambutnya diraup kasar. Otaknya pula ligat memikir strategi.

“Cari sesiapa yang boleh dapatkan info. Aku sanggup bayar berapa saja yang dia nak asalkan aku dapat apa yang aku mahu,” arah Azryl keras.

“Susahlah bro.”

“Aku bayarlah,” bidasnya keras.

“Aku tahu tapi…” Ricky cuba menolak, namun pantas Azryl memintasnya.

“I’ll pay you for that.” Azryl tetap berkeras mahukan Ricky melakukan sesuatu untuknya.

Ricky mengeluh perlahan. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Pening dengan permintaan sahabatnya itu. Lama dia terdiam sebelum akhirnya dia mengangguk bersetuju.

“Aku cuba, tapi aku tak janji.” Ricky terpaksa mengakur walaupun tidak rela dengan permintaan berat Azryl.

“Kalau boleh dapatkan info secepat yang mungkin,” arah Azryl lagi.

Ricky menggeleng. Sudahlah main paksa, lepas tu nak cepat pula. Masak melayan anak orang kaya yang satu ini. Bebelnya di dalam hati. “I’ll try, but I can’t promise you anything,” ucapnya lagi mengulang katakatanya tadi.

Azryl buat riak tak peduli, yang penting dia dapat apa yang dia inginkan. Dan yang pastinya hidup Hannah Ayuni tak akan senang selepas ini. Jangan kau harap akan terlepas Hannah! Tekadnya lagi.

“Ryl, kenapa kau tak biarkan saja Hannah dengan hidup dia? Kau pun bukan jenis lelaki yang tak laku. Berlambak awek yang sibuk nak dekat dengan kau. Kau pilih aje yang mana kau suka, kenapa Hannah juga yang kau nakkan sangat?” Soal Ricky dengan dahi berkerut. Tak faham dia kenapa perempuan sombong yang macam Hannah itu juga yang dikejar. Rasanya ramai lagi perempuan yang lebih cantik daripada Hannah yang diusung ke hulu ke hilir selama ini tapi Hannah juga yang diigaukan siang malam.

“Yang jual mahal itulah yang syok bro. Barulah mencabar. Kalau yang asyik nak menyendeng aje tu kau tak payah kejar pun dia datang. Itu jenis pakai buang bolehlah,” balas Azryl dengan gelak kecil menghiasi bibir. Air fresh orange di atas meja dicapai dan dihirup.

Ricky menggelengkan kepalanya perlahan. “Lantak kau lah bro, malas aku nak campur. Jangan sampai kena belasah macam hari tu lagi sudahlah,” ucapnya mengingatkan. Tak serik-serik agaknya Azryl kena hentam dengan Ilham tempoh hari. Lunyai dikerjakan Ilham pun masih dia berani hendak mengganggu Hannah lagi. Apalah yang ada pada Hannah Ayuni sampaikan Azryl tidak jemu mengganggunya?

“Kita tengok siapa yang kena belasah pulak kali ni. Aku atau dia!” Keras kata-kata itu diucapkan. Gelas di tangannya diletakkan kasar di atas meja. Teringatkan peristiwa yang berlaku beberapa minggu lepas, bukan main membara lagi hatinya. Nanti kau, tahulah nasib kau! Bisiknya dalam hati.

“ Malam ni nak jumpa di club ke?” soal Ricky sebaik gelas di tangannya diletakkan semula ke atas meja.

Azryl mengangguk. “Macam biasa. Aku dah janji dengan Diana,” balasnya datar.

Tidak bertanya lagi, Ricky hanya mengangguk sahaja. Tiap-tiap hari mengusung bermacam jenis perempuan pun masih tak puas hati lagi. Masih Hannah juga yang disibukkannya. Memang dia tak faham!

 

“BUAT susah-susah aje Su hantar kuih ni.” Lembut Mak cik Lela bersuara. Bekas yang dihulurkan Suraya dicapai. “Mari masuk,” pelawanya sopan.

Suraya tersenyum seraya mengangguk. Langkah Mak cik Lela dibuntuti. “Tak susah pun mak. Abang Ilham kan suka makan lepat pisang. Kebetulan Su buat banyak, jadi Su hantarlah sikit ke sini,” tuturnya perlahan.

Mak cik Lela tersenyum. Sejuk rasa hati melihat gadis di hadapannya itu. Sudahlah cantik, sopan santun, baik, pandai memasak pula tu tapi sayang bukan rezekinya untuk mendapat menantu sebaik itu.

“Mak Su tahu tak Su datang sini?” Mak cik Lela memandang gadis itu sekilas. Bekas yang dibawa oleh Suraya tadi diletakkan di atas meja.

S uraya tersenyum hambar. Kepalanya digelengkan perlahan.

“Kenapa tak beritahu? Kalau mak Su tahu mesti mengamuk orang tua tu nanti,” tegur Mak cik Lela seraya menghela nafas berat.

“Kalau Su beritahu mesti mak tak bagi Su datang,” keluhnya sambil merenung sayu ke arah Mak cik Lela.

“Sejak Abang Ilham kahwin, Su tak pernah jumpa mak. Rindu pulak nak bersembang dengan mak.”

Mak cik Lela terdiam. Tambah sejuk hatinya kerana Suraya tidak hilangkan perkataan ‘mak’ di bibir walaupun sudah putus tunang dengan Ilham.

Mak cik Lela juga faham sangat dengan perangai besan tak jadinya itu. Dia sendiri pun sudah naik cemuh mendengar fitnahfitnah yang dilemparkan oleh Mak cik Seri terhadap keluarganya tapi dibiarkan saja. Selagi dia mampu bertahan, dia akan bersabar. Itulah pesan arwah suaminya dulu, biar orang buat kita, jangan kita pun sama jadi macam mereka juga. Dan pesanan itu jugalah yang sering diingatkan kepada anakanaknya selama ini untuk diikuti.

“Abang Ilham mana, mak?” Suraya bertanya sambil matanya melilau memandang sekeliling, sengaja hendak mengubah topik perbualan tadi. Kelibat Hannah juga tidak kelihatan di rumah itu. Tiba-tiba rasa tidak senang di hatinya dengan keadaan itu.

“Ilham pergi KL jemput Hannah balik.”

“Hannah balik KL?” soalnya dengan dahi berkerut.

Mak cik Lela mengangguk. “Ada urusan di KL katanya. Malam tadi dia call Ilham beritahu nak balik dan pagi-pagi tadi Ilham naik KL ambil dia.” Jujur Mak cik Lela bercerita.

“Abang Ilham ambil Hannah? Kenapa dia tak balik sendiri?” Nada Suraya seolah-olah tidak berpuas hati. Mak cik Lela tersenyum.

“Hannah itu kan isteri dia Su. Lagipun Ilham tak bagi Hannah balik sendiri.” Pahit untuk Mak cik Lela menerangkan semua itu. Namun, dilayankan saja pertanyaan Suraya. Dia sendiri pun kecewa dengan apa yang berlaku. Tetapi, ketentuan Dia tiada siapa yang mampu menolak.

Suraya terdiam. Kecewa mendengar katakata Mak cik Lela tadi. Kahwin terpaksa tapi sanggup bersusah payah begitu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia mula rasa goyah dengan perhubungan antara Ilham dan Hannah.

Dia boleh maafkan Ilham setelah melihat kemesraan antara Ilham dan Hannah minggu lepas. Dia masih berfikiran positif, mungkin kaki Hannah sakit. Namun, melihat rupa paras Hannah dia mula rasa tergugat. Bimbang Ilham tak mampu mengawal hati apabila berada dengan isterinya yang cantik itu. Hurm… Mana ada kucing yang sanggup menolak ikan, bisik hati kecilnya mengingatkan diri sendiri.

Tapi dia tetap tak kisah kerana mereka halal. Yang dia kisahkan adalah, janganlah Ilham jatuh cinta pada Hannah!

“Su…” panggil Mak cik Lela perlahan.

Suraya tersentak dan berdeham perlahan. Nafasnya dihela untuk meredakan hatinya yang mula dikuasai perasaan cemburu yang tidak bertepi itu.

“Bila Abang Ilham balik?”

Mak cik Lela mengeluh perlahan. Faham dengan riak yang ditunjukkan oleh gadis di hadapannya itu. “Sekejap lagi sampailah agaknya. Esokkan Ilham ngajar.”

Suraya mengangguk sahaja. Sudah hilang semua perasaan teruja sebelum sampai ke situ tadi. Sangkanya dapatlah dia melihat wajah kekasih hati yang dirinduinya itu tapi hampa.

 

“HURM… Macam kenal aje kereta yang kat depan rumah awak tu,” ucap Hannah sambil menala pandang ke arah kereta Iswara Aeroback yang terparkir elok di halaman rumah suaminya itu.

Ilham hanya membatukan diri sahaja sambil mata meliar memandang ke arah kereta bekas tunangnya itu. Jauh di sudut hati terasa berdebar juga dengan kedatangan gadis itu. Untuk apa agaknya Suraya datang ke situ?

“Mesti dia cari awak, kan?” Hannah sengaja hendak memancing bicara suaminya itu.

“Entah… Mana saya tahu,” balas Ilham malas-malas. Keretanya terus diparkirkan ke dalam garaj. Enjin kereta dimatikan sebelum dia terus keluar.

Hannah hanya memandang sahaja perlakuan suaminya itu dengan cemikan. Buat-buat tak tahu konon! Dia turut keluar. Langkah suaminya dibuntuti.

“Pergilah cari mak kat dapur, saya letak beg dalam bilik dulu,” arah Ilham perlahan.

Hannah menurut. Dia tahu mesti perasaan Ilham sedang kacau bilau sekarang. Dulu tentu seronok bertemu kekasih hati. Tapi sekarang mesti rasa terseksa agaknya. Melihat air muka Ilham saja dia boleh baca. Kaulah punya fasal Hannah! Tengok sekarang apa dah jadi? Huru hara semuanya! Marahnya pada diri sendiri.

“Assalamualaikum,” sapa Hannah sopan sebaik menjengah pintu dapur.

Mak cik Lela dan Suraya yang sedang leka berbual ketika itu terus berpaling. Salam Hannah disambut serentak.

“Panjang umur. Mak dengan Su baru sebut-sebut,” ucap Mak cik Lela dengan senyuman.

Hannah turut tersenyum. Ibu mentuanya itu dihampiri. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman.

“Awal sampai?” soal Mak cik Lela sebaik salam Hannah dileraikan.

“Ilham ajak balik awal, mak. Dia kata ada banyak kerja nak buat,” balas Hannah sambil menghulurkan salam ke arah Suraya pula. Salamnya disambut.

“Ilham mana?” Mak cik Lela terus bertanya apabila kelibat anaknya tidak kelihatan.

“Letak beg dalam bilik,” tuturnya sopan.

Mak cik Lela mengangguk. Baru saja dia ingin bersuara lagi, tiba-tiba terdengar suara Ilham memberi salam di muka pintu. Dia terus menoleh dan anak lelakinya itu dipandang dengan senyum terukir di bibir.

Ilham terus menghampiri ibunya dan jemari ibunya disalami.

“Ha, kebetulan kamu dah balik mari kita minum sekali. Su ada bawa lepat pisang ni,” ajak Mak cik Lela lembut. “Biar mak buat air dulu.”

Suraya terus bangun. “Biar Su aje yang buat, mak.” Pantas Suraya menawarkan diri. Jemari Mak cik Lela terus diraih dan disuruh duduk semula.

“Tak apa. Su kan tetamu.” Perlahan Mak cik Lela menolak tawaran Suraya.

“Tetamu apanya mak, biasanya kan Su yang buat air kalau Su datang sini. Mak duduk biar Su aje yang buat,” balas Suraya bersungguh sambil mengerling Hannah yang sedang terkebil-kebil memandangnya dan Mak cik Lela ketika itu. Puas rasanya dalam hati berjaya membuat Hannah terpaku begitu. Walau apapun keadaannya, dia tetap akan berusaha mendapatkan haknya kembali.

Malas hendak berbalah, akhirnya Mak cik Lela mengalah. Dibiarkan saja Suraya melakukan apa yang diingini. Ilham yang memerhati sedari tadi semakin serba salah dibuatnya.

Hannah pula hanya beriak selamba sahaja seolah-olah tidak terkesan dengan apa yang berlaku padahal dalam hati bukan main menyampah lagi. Ingat aku heran dengan kerajinan kau? Poyos! Macamlah aku nak ambik tunang dia. Macamlah aku nak sangat dengan Ilham tu? Bebelnya geram.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/331373/KERANA-SATU-JANJI