[SNEAK PEEK] SEMUSIM KASIH

SEMUSIM KASIH Oleh Adzra Sue

“Olynn, cuba kau tengok iklan ni!”

“Apa tu?”

“Ni… ada uji bakat reality show.

“Alah… apa nak dihairankan? Berlambak-lambak dah reality show kat TV sekarang.” Omel Olynn tanpa mahu memandang tulisan di majalah yang dipegang oleh Nadia.

“Yang ni lainlah. Bukannya nyanyian ataupun tarian tau.” Geram juga hati Nadia apabila Olynn langsung tidak berminat mahu ambil tahu apa yang cuba disampaikannya.

“Habis tu, apa?” Malas sungguh Olynn mahu membaca apa yang tertulis di naskhah itu buat masa ini.

“Rancangan realiti TV Pilihan Hati. Kau dengar ni… ‘seorang lelaki bujang mencari seorang gadis untuk dijadikan teman hidup. Terbuka untuk gadis-gadis dari umur sembilan belas tahun dan ke atas’.” Bersungguh-sungguh Nadia membaca iklan yang tertera.

“Eh… Dulu kan dah pernah ada kat TV3? Dah lama dah… apa tu? Err… kalau tak silap aku, ‘Mencari Cinta tajuknya,” Olynn menjawab sambil mencongak-congak. Cuba memerah otak mengingatinya. Dia cukup yakin dengan tajuk yang baru disebutnya tadi.

Olynn masih ingat lagi dengan rancangan realiti Mencari Cinta’ sewaktu dia masih lagi di sekolah menengah. Walaupun tidak berapa mengikuti rancangan di TV3 yang bersiaran setiap minggu itu, serba sedikit dia ambil tahu juga. Sebabnya, itulah kali pertama kisah mencari jodoh disiarkan di kaca TV. Memang agak janggal apabila seorang gadis Melayu yang penuh adab dan sopan mencari pasangan hidup. Bagaikan perigi mencari timba pula rasanya.

“Yalah, aku pun tahu pasal rancangan tu. Dulu, perempuan cari pasangan hidup. Yang ni pulak, lelaki. Eh! Aku macam pernah dengarlah nama lelaki ni… Tengku Budriz Aizuddin Tengku Mahmood. Dahsyat tu!” Nadia menekankan suaranya saat menyebut nama hero rancangan realiti itu.

“Apa nama dia? Panjang giler!” Mendengar nama si hero, barulah Olynn tampak berminat.

“Yang Mulia Tengku Budriz Aizuddin.” Nadia mengulangi sekali lagi.

Terangkat kening Olynn. ‘Tengku?’

“Peliknya! Kan ramai anak-anak raja kat Malaysia ni? Takkanlah sorang pun Tengku tu tak boleh pilih untuk jadikan pasangan hidup dia? Buat apa susah-susah nak masuk rancangan realiti?” Olynn panjangkan leher ke kolum yang dibaca oleh Nadia.

****

Olynn terpempan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dia nampak. Lelaki yang sama dia nampak bersama Busu Reza semasa dia ditahan di wad psikiatri HUKM. Tengku Budriz!

“Abang!!!” Laju Olynn menerpa ke arah lelaki itu. Pinggangnya Olynn peluk kejap dan labuhkan kepala ke dadanya.

“Abang… abang pergi mana? Kenapa baru sekarang abang nak balik tengok anak kita?”

Air mata Olynn deras mengalir membasahi dada kemeja yang berwarna biru lembut dan bergaris halus. Warna kegemaran Tengku Budriz sejak dulu. Dia juga dapat rasakan tangan lelaki itu memeluknya erat dan mengusap-usap belakangnya. Dia tidak peduli jika orang ramai yang sedang keluar masuk ke pintu utama merenung ke arah mereka. Tengku Budriz suaminya!

“Maaf puan. Saya tak kenal puan.”

Olynn mendongak. Keliru. Mengapa suaminya memanggil dia dengan gelaran puan?”

Ya Allah! Baru Olynn sedar yang Tengku Budriz sudah arwah. Pantas dia lepaskan rangkulan tangan di pinggang lelaki itu.

“Saya kena pergi. Maafkan saya. Jumpa lagi, puan.” Lelaki itu senyum sekilas dan meminggir ke tepi. Melepasi tubuh Olynn dan langkahnya dilajukan ke pintu kaca automatik tanpa menoleh ke belakang.

Olynn terpaku di atas kaki sendiri. Kalau lelaki itu tidak mengenalinya, mengapa tadi lelaki itu juga memeluk tubuhnya dengan erat sekali?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97224/semusim-kasih

[SNEAK PEEK] CERITERA CINTA DARWIESHA

9789670657974-medium
EBUKU Ceritera Cinta Darwiesha Oleh Adzra Sue

BUAT pertama kalinya, aku hadiri temu duga untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai kerani akaun. Walau tak setimpal dengan Ijazah Perakaunan yang baru aku terima beberapa bulan lepas, aku bersyukur juga dengan rezeki yang ada. Bukan senang mahu mencari kerja sekarang. Bukan sedikit juga graduan sepertiku yang masih lagi menganggur dan masih menunggu panggilan temu duga.

Aku amati sekeliling. Agak besar juga pejabat developer ni. Maklumlah, namanya agak terkenal.

Di sofa di hadapan sebuah bilik sederhana besar, dua orang gadis sedang menunggu. Kedua-duanya lengkap dengan sut skirt dan jaket. Sungguh bergaya dan nampak elegan juga seperti sudah punya banyak pengalaman. Aku tunduk meneliti pakaian di tubuhku. Dengan seluar hitam dan kemeja lengan panjang, terlalu simple. Agak-agaknya sempat tak aku balik rumah sekejap untuk tukar baju?

‘Isy… kau gila? Mana sempat!’ marahku dalam hati.

Calon pertama sudah dipanggil. Aku dan seorang lagi gadis anggun tadi saling berpandangan. Aku lemparkan senyuman buatnya, tapi tidak mendapat balasan. Segera anak matanya dialihkan ke arah lain.

‘Macamlah kau tu lawa sangat!’ Hehehe… sempat juga aku mengutuk. Tapi dalam hati sajalah!

Bila calon yang pertama tadi keluar dengan bibir yang muncung dan muka kelat bagaikan terkena getah buah nangka, debaran di dada semakin memuncak. Calon kedua pula dipanggil masuk. Tak sampai lima belas minit di dalam, gadis sombong tadi keluar. Juga, lebih kurang sama reaksinya dengan calon yang pertama tadi.

Oh! Aku mula buat kesimpulan. Maknanya, peluang untuk aku pun sembilan puluh peratus dah ‘out’. Selepas ini, giliranku. Perlu ke aku menyerah kalah saja?

“Dahlyana Darwiesha!” Aku tersentak. Namaku dipanggil. Detak jantung mula tak tentu hala. Rentak iramanya dah sumbang mambang. Sekejap irama rock, beralih ke lagu blues dan pengakhirannya bertukar ke rentak zapin.

“Saya, puan.” Perut mula menggelegak. Seram sejuk tanganku. Aku bingkas bangun dan menuju ke arah penyelaras temu duga untuk hari ini. Wanita yang menyeru namaku tadi kelihatan anggun dengan sepasang baju kurung batik asli bercorak digital terkini.

Pintu dibuka seluasnya dan aku dipersilakan masuk. Dengan tertib aku mengucapkan salam. Dua orang penemu duga yang berada di dalam sudah aku tahu namanya. Ada tertulis nama mereka berdua di surat panggilan interviu yang aku terima seminggu yang lepas. Berbangsa Melayu dan kedua-duanya lelaki. Mesti garang gila. Jika tidak, mana mungkin dua calon yang perasan bagus tadi keluar dengan muka masam mencuka?

“Sila duduk!” Serentak mereka membalas salamku dan mempersilakan aku duduk di kerusi yang dikhaskan di depan mereka.

“Terima kasih, encik.” Dua pasang mata merenung wajahku tanpa berkelip hinggakan aku dilanda resah. Ada yang tak kena ke dengan solekan pada wajahku? Terlalu tebalkah eyeshadow di kelopak mataku atau terlalu merahkah blusher di pipiku? Entah-entah, blaus yang tersarung di tubuhku ini, butangnya senget agaknya?

“Cik Dahlyana Darwiesha binti Dahlan?” Salah seorang daripada dua lelaki di depanku ini menegurku. Aku tidak pasti yang mana satukah Encik Syaifuddin dan yang mana satu Encik Zafrul Amri. Sudah kuhafal nama-nama mereka berdua sejak beberapa hari lepas dan sudah melekap di kepalaku.

“Saya, encik.” Mata aku fokuskan kepada yang menyeru namaku tadi. Bersedia untuk disoal.

“Cantik nama.” Tambahnya lagi memuji namaku. Eh! lelaki ni… nak interviu ke, atau nak berkenalan denganku? Yang peliknya, hanya itukah yang mampu ditanyakan kepadaku? Dia ni, betul ke menyandang jawatan sebagai pegawai HR?

“Ehemmm!!!” Fuhhh! Mujurlah lelaki di sebelahnya mencelah di antara ruang bisu kami berdua.

“Saya nak panggil awak apa? Panjang sangat nama awak ni.” Lelaki yang berdeham tadi menambah.

“Terpulanglah pada encik. Dahlyana boleh, Darwiesha pun boleh.”

“Saya suka dengan nama Darwiesha. Saya Syaifuddin dan di sebelah saya ni, Encik Zafrul Amri. Cik Darwiesha tak pernah bekerja sebelum ni?” Terasa kekok pula kerana jarang sungguh orang memanggilku dengan nama itu padahal tadi aku yang menyuruhnya berbuat demikian. Konon-konon mahu beretika semasa ditemu duga. Jangan nak tunjuk lagak pula di depan penemu duga. Silap-silap membantah, peluang yang berbaki sepuluh percent tadi pastinya akan tinggal satu percent saja jadinya nanti.

“Belum pernah lagi, encik. Inilah pertama kalinya saya dipanggil interviu. Saya baru sahaja menamatkan pengajian saya di universiti.” Dengan teratur aku menyusun ayat-ayat formal Bahasa Malaysia sebaik mungkin. Mujurlah sebelum tamat pengajian di kampus, kami sudah pun diberi taklimat bagaimana mahu menghadiri temu duga kerja.

“Baiklah Cik Darwiesha. Kami sudah pun meneliti sijil-sijil dan juga surat daripada majikan tempat awak praktikal sebelum ini. Amat memberangsangkan. Well… jika kami ambil Cik Darwiesha bekerja di syarikat kami, bolehkah awak berjanji yang awak akan beri yang terbaik pada kami?”

“Saya tak berani berjanji tapi Insya-Allah, encik. Saya akan buat yang termampu.”

“Bagus. Kata-kata macam tulah yang kami mahu dengar. Boleh awak mula bekerja hari Isnin nanti?” Encik Syaifuddin puas hati dengan jawapanku. Dia tersenyum akhirnya.

“Maksud encik, saya diterima?”

“Ya… tahniah. Tolong jangan hampakan kami. Kalau Cik Darwiesha nak tahu, dua orang yang di interviu tadi sudah ada pengalaman. Akan tetapi, saya mahu beri peluang pada awak. Awak boleh balik sekarang. Prepare untuk hari Isnin nanti.”

“Terima kasih encik, terima kasih banyak-banyak!” Hati melonjak riang. Yang menghairankan aku, encik Syaifuddin yang lebih banyak bercakap sedangkan lelaki yang bernama Zafrul Amri hanya mendiamkan diri dan mendengar sahaja apa yang diterangkan Encik Syaifuddin. Selebihnya Encik Zafrul lebih banyak merenung wajahku.

Kenapa ya? Aku tak percaya kalau dia mahu memikatku. Isy… tak mungkinlah! Takkan lelaki bergaya dan berpangkat seperti dia masih belum berpunya? Nak jadikan aku isteri kedua? Mintak simpang jauh-jauh! Yang aku terperasan lebih ni, kenapa? Kau ingat kau cantik sangat, Lyana?

KELUAR DARI bilik temu duga, hati merasa sungguh lapang dan gembira bukan kepalang. Alhamdulillah! Segera aku teringat gurauan along yang aku bakal gagal untuk mana-mana interviu. Along tu memang sengaja provoke aku. Seboleh-bolehnya dia mahu aku bekerja di syarikatnya walaupun puas aku menolak. Mahu bekerja di syarikat abang sendiri? Bagiku belum tiba masanya. Biarlah aku belajar berdikari dulu. Kalau sudah ditakdirkan aku tidak diterima bekerja oleh mana-mana syarikat, jalan terakhir barulah aku berpaling pada tawaran along.

Ahaa… Baru aku teringat! Ada peluang la aku menuntut janji along untuk belanja aku makan malam di Restoran Angkasa, Menara KL. Siaplah along… rabaklah poketmu dua tiga ratus! Hehehe…..

“Darwiesha… tunggu!” Saat aku sudah melepasi pintu kaca di tingkat paling bawah, aku dengar suara lelaki melaung namaku agak kuat. Segera aku berpaling.

Terkejut aku melihat Encik Zafrul Amri termengah-mengah. Aku memandangnya pelik. Untuk apa dia mengejarku? Agaknya ada barangku yang tertinggal di dalam bilik temu duga tadi, tak?

“Darwiesha…”

“Saya, Encik Zafrul. Ada apa?” Wajahnya yang memerah aku renung. Kacak! Dengan rambut tersisir rapi, kemeja berjalur di dalam kot biru gelap menampakkan keterampilannya sebagai seorang ketua yang berdedikasi. Tambahan lagi, aku suka dengan kumis tipis di atas bibirnya. Tampak lebih menawan dan… macho!

“Kita pernah jumpa ke sebelum ni?” Tercantas kelekaanku yang sedang asyik meniliknya tadi.

“Maaf encik. Rasa-rasanya, tak pernah.”

“Tapi… saya rasa macam pernah kenal awak.”

“Encik Zafrul salah orang agaknya. Mungkin pelanduk dua serupa. Saya nak cepat ni… kawan serumah saya dah tunggu lama kat kereta. Maaf ya, Encik Zafrul. Saya mintak diri dulu. Jumpa lagi.”

“Darwiesha, tunggu sekejap. Boleh saya belanja awak makan… er… sekarang?” Aku semakin hairan melihat gelagatnya yang seolah-olah berat mahu melepaskan aku pergi.

“Terima kasih saja. Saya betul-betul terpaksa pergi. Kawan saya kena masuk kerja semula.”

“Kalau macam tu, biar saya yang hantar awak balik. Minta kawan awak ke tempat kerja dia dulu.”

Eh… Pelik sungguh dia ni. Mulanya pelawa aku makan, selepas itu sanggup nak hantar aku balik pula? Takkanlah baru berkenalan tak sampai dua jam, terus nak buat permintaan yang bukan-bukan? Isy… takut aku!

“Maaf, saya terpaksa menolak. Saya pergi dulu.” Aku berpaling pergi. Sempat telingaku menangkap keluhan berat yang dilepaskan Encik Zafrul. Tak kisahlah dia nak kata apa pun. Bukannya aku jual mahal, tapi… tidak relevan rasanya mahu menerima pelawaannya.

MALAM ISNIN, handphone kesayanganku berdering. Nombor yang terpampang di skrin tidak aku kenali. Siapa pula yang call aku malam-malam buta macam ni?

“Helo Darwiesha?”

“Ya, saya Darwiesha…. siapa di sana?” Aku langsung tak kenal dengan suara empunya diri. Nak kata kawan lamaku semasa di IPT, rasa-rasanya tak mungkin.

“Saya bakal bos awak, Zafrul Amri.” Hah? Encik Zafrul Amri yang kacak lagi macho tu sedang bercakap denganku sekarang? Rasa nak pengsan! Kalau Haslina tahu ni, harus kecoh satu rumah!

“Encik Zafrul? Mana Encik Zafrul dapat nombor telefon saya?”

“Awak lupa ke saya yang interviu awak Jumaat lepas?”

“Oh er… er… saya minta maaf, encik. Saya tak perasan.” Aduhai… macam manalah aku mahu ingat? Encik Zafrul lebih banyak merenungku daripada bercakap hari itu. Kemudian dia mengejarku di bawah bangunan pejabat. Itu pun sekejap sahaja aku bercakap dengannya. Suaranya pun aku sudah ingat-ingat lupa!

“Tak perlu minta maaf. Saya nak tanya, jadi ke awak masuk kerja esok?”

“Insya-Allah Encik Zafrul, kalau tak ada apa-apa aral.”

“Panggil saya Zafrul.”

“Tapi encik… saya kan, bakal pekerja encik?”

“Sekarang bukan waktu kerja. Jadi, awak tak perlu nak ber ‘encik-encik’ dengan saya.” Aku terdiam. Isy… ini apa kes pulak sampai tak benarkan aku panggil dia, ‘encik’?

“Darwiesha…” serunya sekali lagi.

“Ya encik…”

“Saya ingat awak dah letak phone. Awak tahu kenapa saya call awak?” Satu pertanyaan lagi menerjah telingaku. Apa sebab Encik Zafrul call aku? Teka-teki apa pula ni?

“Er… saya agak sebab encik nak pastikan saya masuk kerja esok ataupun tidak?”

“Itu salah satunya. Satu sebab lagi, saya nak beritahu awak yang saya dah terpikat pada awak dan saya nak mengurat awak, boleh?” Hahh!!! Gila ke apa Encik Zafrul ni? Aku tekan butang merah.

Rasa tak sanggup mahu mendengar bakal bosku merapu lagi. Esok, bagaimanalah agaknya aku mahu mulakan kerja kalau perangai bos sebegini pelik? Huwaaaa… tolong!!!

SUASANA FORMAL saja pada hari pertama aku melaporkan diri di RME Development. Encik Syaifuddin memperkenalkan aku dengan kakitangan di bahagian pentadbiran dan kewangan. Letih tanganku bersalam dengan semua orang dan jadi burung belatuk. Kejap-kejap angguk, kejap-kejap angguk. Padahal bukannya aku dapat mengingati setiap butir bicara pegawai HR itu.

Betapa susahnya mahu lekat nama-nama mereka di kepala. Otakku juga sudah merewang entah ke mana. Berharap sangat-sangat aku segera dibawa ke meja kerjaku. Lenguh betisku ini walaupun hari ini aku hanya memakai kasut tumit hanya dua inci tingginya.

Nah! Di sinilah tempatku. Sebuah meja yang sangat kemas dan kosong, di ruang terbuka dan setiap meja dipisahkan dengan kubikel rendah. Agaknya setaraf dengan kerani cabuk. Nak buat macam mana, dah nasib badan! Terpaksa terima sajalah. Kelayakan yang aku ada, tidak menjamin peluang kerja yang bagus pada zaman ekonomi yang tidak berapa stabil ketika ini.

Baru saja aku labuhkan punggung ke kerusi, interkom di atas mejaku berdering. Aduh…. tak boleh ke bagi aku masa untuk berehat seminit dua? Bimbang tidak mahu mengganggu kakitangan yang lain di tingkat satu ini, aku segera angkat gagang.

“Darwiesha, Encik Zafrul nak jumpa you.” Suara setiausaha peribadi Encik Zafrul yang kenalkan dirinya sebagai Kak Zaty kedengaran tanpa sebarang salam. Sungguh tak beretika.

Malangnya aku yang merasa gementar. Belum apa-apa lagi aku sudah dipanggil ke biliknya? Terus sahaja aku teringat kata-kata Encik Zafrul sewaktu menelefonku malam tadi. Air liur terasa kelat di kerongkong. Hanya dengan satu ketukan sahaja, terus aku menolak daun pintu bilik Encik Zafrul. Aku pasti dia sudah pun menunggu kedatanganku.

“Selamat pagi Encik Zafrul.” Dari aku melangkah masuk tadi, anak mata ketuaku itu tidak lepas merenung aku sampailah aku berdiri di depan mejanya. Gementar di dalam dada, tak usah cakaplah. Boleh tak kalau aku buat-buat pengsan sekarang ni?

“Good Morning. Sila duduk.” Aku akur dengan arahannya. Lambat-lambat aku labuhkan punggung di kerusi.

“Selamat datang ke RME Development.

“Terima kasih Encik Zafrul.” Kemudian dia diam, Wajahnya serius sahaja. Aku tak senang duduk apabila ditenung tak habis-habis.

“Awak tahu tak Darwiesha, awak dah buat kesalahan besar?” Aku terkedu. Apa salahku? Aku belum sempat menyentuh sebarang akaun atau apa-apa pun jua. Hanya sebuah komputer yang berada di atas mejaku tadi. Itu pun aku tak sempat menekan suisnya lagi.

“Apa salah saya? Saya baru saja selesai melaporkan diri pada bahagian HR tadi. Belum lagi diarahkan buat sebarang kerja.” Mata Encik Zafrul tetap melekat pada anak mataku. Tajam renungannya jadikan aku semakin tak senang duduk.

“Kesalahan pertama, sebab awak matikan telefon malam tadi sebelum saya habis bercakap.” Aku tundukkan wajah. Itu kesalahan besar ke? Ada ke termaktub dalam undang-undang syarikat yang pekerja tidak boleh matikan talian jika bosnya menelefon?

“Yang keduanya, sebab awak dah curi hati saya. Dan saya tak akan ambil balik. Saya nak biarkan hati saya lekat pada hati awak. Boleh ke?” Aku terpempan. Ucapan Encik Zafrul tidak masuk akal langsung. Dia ni… otak betul atau tak?

“Encik Zafrul, saya baru saja masuk kerja hari ni. Boleh tak encik serius sikit?”

“Cik Darwiesha… Awak nampak saya main-main ke? Selagi awak tak beri jawapan, setiap pagi saya akan panggil awak untuk tanyakan soalan yang sama sampai awak terima saya. Atau… awak nak hilang kerja awak?” Ni dah kira ugutan ni!

“Encik Zafrul tak patut buat macam ni. Encik paksa saya!” Encik Zafrul tergelak-gelak. Rasa tak bersalah aje gayanya.

“Awak boleh pergi sekarang. Buat permulaan, hari ni saya nak awak lunch dengan saya. Ini arahan!” Lambat-lambat aku alihkan punggung dari kerusi. Bibir aku ketap dengan kuat. Rasa mahu menjerit di sini juga.

Eiiiii… Geramnya aku dengan ketuaku ni. Baru hari pertama bekerja, Encik Zafrul sudah mahu cari pasal. Kenapa dengan aku ni?

“Wiesha… apa bos nak?” Rakan sekerja di sebelah meja menjenguk ke tempatku.

“Dia… er… Encik Zafrul nak ucap selamat datang aje.”

“Itu aje ke?”

“Haah… yalah… Itu aja… kenapa?”

“Peliknya, jarang sekali dia panggil staf masuk bilik dia. Kalau nak tahu, Encik Zafrul mana nak bercakap sangat dengan staf? Apa-apa arahan, dia sampaikan melalui Kak Zaty. Dia tu serius dua puluh empat jam!”

“Ya ke?” Suraya mengangguk. Kerutan di dahi Suraya menandakan dia sedang memikirkan sesuatu.

“Dahlah awak… tak usah fikir pasal dia. Tak jadi kerja nanti.” Aku lemparkan senyuman kepada Suraya. Lantas membuka fail yang aku bawa dari bilik Encik Syaifuddin tadi. Tugasan pertama untuk hari pertamaku.

“Mujurlah untuk permulaan, aku hanya diberikan kerja-kerja ringan mengemas kini akaun yang ada. Larut dalam kerjaku, aku tidak sedar sudah sampai waktu makan tengah hari.

ENCIK ZAFRUL benar-benar menagih arahannya. Arahan untuk keluar makan tengah hari bersamanya walaupun hati ini sungguh tidak rela.

“Darwiesha, ikut saya lunch sekarang. Saya dah lapar.” Munculnya secara tiba-tiba di belakangku. Tergesa-gesa aku ‘save’ fail excel yang sedang aku teliti di komputer. Buka laci, menarik purse dan juga telefon bimbit dari dalam beg tanganku.

Sewaktu aku berdiri, dua tiga orang staf di ruang ini memanjangkan leher. Ada yang berpandangan sesama sendiri. Sudahlah jam baru menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Takkan seawal ini mahu keluar makan? Ah! Dia bos. Suka-suki ajelah mahu buat apa. Dengan muka tebal, aku ikut langkah laju Encik Zafrul ke pintu kaca.

Encik Zafrul bawa aku ke restoran berhampiran dengan bangunan pejabat RME Development. Restoran Kampung masih lengang ketika ini. Aku yang duduk bertentangan dengan Encik Zafrul sungguh-sungguh rasa tidak selesa.

“Saya nak awak temankan saya makan setiap hari, kecuali jika saya tak ada kat pejabat.”

“Hah! Mana boleh macam tu, Encik Zafrul. Seganlah saya dengan staf lain. Saya pekerja baru… saya tak mahu dituduh macam-macam.”

“Tuduh macam-macam tu, macam mana? Apa maksud awak?” Lah… dia ni! Takkan itu pun susah sangat nak faham? Atau… Encik Zafrul ni, sengaja mahu mendugaku?

“Maksud saya… nanti staf lain fikir saya ada affair dengan Encik Zafrul pulak.”

“Kalau ada affair pun, apa salahnya? Saya bujang lagi dan awak pun masih single. Awak mengaku saja pada mereka yang bertanya, memang kita ada hubungan.” Sekali lagi soalan yang sama berlegar dalam fikiranku. Kenapa aku? Kenapa tidak gadis lain?

“Tapi Encik Zafrul…” Aku ingin membantah. Kerja gila namanya kalau setiap hari aku harus temankan dia makan tengah hari. Canggungnya aku mahu berdua-duaan dengan bos sendiri. Lagilah kalau kena bersopan santun ya amat bila mahu makan. Mana boleh kenyang lagu tu?

“Stop arguing. Masa untuk makan.” Encik Zafrul capai sudu serta garpu dan lapkannya menggunakan tisu. Kemudian dihulurkan kepadaku. Setelah itu dia melakukan perkara sama sekali lagi dan letakkannya ke dalam pinggannya pula.

“Makanlah… awak nak tengok aje saya makan ke? Saya tahu saya kacak hari ini, tak perlulah tenung saya lama-lama.” Aduh… kenapalah aku boleh terleka sekali lagi menilik dirinya?

‘Kau ni kenapa, Lyana?’ desis hatiku.

Encik Zafrul menahan senyum sedangkan wajahku sudah merona merah agaknya. Nasi Ayam Hainan di pingganku, aku suap perlahan. Encik Zafrul pula makan dengan berselera. Dia ni, tak ambil sarapan ke pagi-pagi? Nampak lapar benar!

Walaupun aku berjalan di belakang Encik Zafrul sewaktu masuk ke pejabat semula, banyak mata yang memandang ke arah kami. Selepas sahaja pintu bilik Encik Zafrul di hujung sana sudah tertutup rapat, Amy geng sekufu Suraya mencuit bahuku.

“Darwiesha… saya tanya sikit, boleh?”

“Apa halnya?” Berdebar juga dadaku. Rasa-rasanya aku dapat meneka apa yang Amy mahukan daripadaku.

“Awak dan lama ke, kenal dengan Encik Zafrul? Nampak macam mesra aje?”

“Er… begini. Encik Zafrul tu, kawan seuniversiti dengan abang sulung saya.” Bernas juga idea spontan yang terpacul dari mulutku. Statement cover line, beb!

“Jadi… awak dapat kerja sini sebab ada orang dalam la ya? Untunglah awak, kan. Tak payah susah-susah nak turun naik pejabat, temu duga sana sini untuk dapatkan kerja. Macam saya dulu…” Kenyataanku memakan diri. Terpaksa sajalah aku mengiakan.

“Nasib saya baik agaknya.” Haaa… padan muka aku. Siapa suruh menipu!

****

TIDAK cukup dengan hanya menemani makan tengah hari selama seminggu ini, ada sahaja Encik Zafrul mencari pasal denganku.

“Darwiesha, masuk sekejap!” Menonong aku ke biliknya setelah mendapat arahan melalui interkom. Hanya hari pertama dia menyuruh setiausaha peribadinya memanggilku. Selepas itu dan hari-hari yang berikutnya, Encik Zafrul interkom aku terus dari mejanya.

“Masuk!” Suara tegas Encik Zafrul kedengaran setelah aku mengetuk pintu biliknya.

“Awak dah sarapan?”

“Sudah, Encik Zafrul. Kat rumah tadi dengan housemate saya.”

“Saya tak sempat sarapan. Awak boleh tolong turun belikan saya kuih dan tolong buatkan saya kopi?”

“Tapi encik… Kak Zaty kan, ada?” Aku merujuk kepada setiausaha peribadinya.

“Saya mahu awak yang buat. Kalau saya nak Zaty bancuh kopi saya, tak perlulah saya mintak awak datang sini.” Aku terkedu dibidas sinis. Not sepuluh ringgit diunjurkan kepadaku dan aku ambil dari tangannya tanpa berlengah lagi.

Aku berpaling ke pintu tapi tersedar sesuatu. Pantas aku pusingkan tubuh ke arahnya semula.

“Er… maaf Encik Zafrul. Encik gemar makan kuih apa?” Aku harus bertanya dulu kerana inilah kali pertama aku diberikan tugas sebegini walaupun ia di luar bidang kerjaku. Mengalahkan P.A.nya pula.

“Saya makan saja apa yang awak pilih. Saya nak tahu juga kuih kesukaan awak. Tak salah kan saya nak kenal awak lebih mendalam lagi?”

Erk!!! Salah tu tak salah. Ada tapinya… untuk apa?

Aku melewati deretan kubikel untuk ke pintu kaca sebelum turun ke tingkat bawah. Sampai sahaja di pintu, aku bertembung pula dengan Umairah yang baru naik ke aras ini.

“Awak nak pergi mana, Wiesha?”

“Er… nak turun bawah. Encik Zafrul mintak saya belikan kuih.”

“Hah! Biar betul Wiesha? Sebelum ni, mana pernah dia buat perangai manja macam gitu? Kak Zaty pun tak pernah belikan Encik Zafrul sarapan. Eh, awak dengan Encik Zafrul ada apa-apa hubungan ke?” Hah! Terbuka mulutku. Apa motif Encik Zafrul sebenarnya? Peliknya…

“Isy… mana ada apa-apa. Saya pekerja, dia bos. Mestilah saya kena buat apa saja kerja yang diarahkan.”

“Entah-entah, Encik Zafrul suka kat awak tak?” Umairah angkat-angkat kening. Aku mencebik. Bukan entah-entah lagilah Umairah. Encik Zafrul sudah pun mengaku. Aku saja yang belum lagi ‘ter’suka kepada ketuaku itu.

“Mengarut ajelah awak ni. Saya dah lambat ni. Nanti lama pulak Encik Zafrul tunggu nak sarapan.”

“Alah… kalau dia suka kat awak pun, apa salahnya? Kat floor bawah, dah ramai yang soksek-soksek pasal korang berdua. Encik Zafrul punyalah kacak, takkan awak nak tolak lelaki bergaya macam tu?”

“Eei tolonglah! Saya datang sini, nak kerja tau, bukan nak cari teman lelaki.” Serta-merta aku tarik muka masam dan bergerak ke tangga mahu turun ke tingkat bawah.

NAIK KE tingkat satu semula, aku terus ke pantri untuk membancuh kopi yang diinginkan Encik Zafrul. Kali ini, Kak Lela pula yang memandangku agak pelik.

“Wiesha buat air untuk siapa?”

“Untuk Encik Zafrul, kak.”

“Eh… selalunya Kak Lela yang selalu bancuh dan hantar ke bilik dia.”

“Entahlah kak. Saya pun tak tahu. Agaknya, hari ni angin sepusing dia datang kut.” Aku tergelak dengan telahanku sendiri.

“Macam-macamlah Wiesha ni. Kuih ni nak letak dalam piring?”

“Haah Encik Zafrul yang mintak tolong saya belikan tadi.”

“Aik… peliknya Kak Lela dengan perangai dia sekarang? Lagi satu Kak Lela perasan, sejak Wiesha mula kerja kat sini, dia dah banyak berubah tau.”

“Berubah? Dulu… Encik Zafrul macam mana?” Teruja juga aku mahu mengorek rahsia Encik Zafrul. Alang-alang bakal dapat informasi percuma, apa salahnya tadah telinga?

“Sebelum ni, Encik Zafrul serius sangat. Garang semacam sampaikan tak pernah senyum, tak pernah ketawa. Sekarang Kak Lela tengok, muka Encik Zafrul berseri-seri. Agaknya Wiesha ni datang bawak sinar kepada RME Development kut?”

“Sinar apa Kak Lela? Saya tengok bilik dia sama aje. Malap aje lampu kat dalam bilik dia tu?” Kak Lela tergelak aku menjawab begitu.

“Maaflah! Kak Lela mengarut saja pagi-pagi ni. Dah… pergi cepat hantar kopi Encik Zafrul tu. Kalau dah sejuk, tak sedap pulak.”

Aku senyum separa ikhlas. Kepalaku mula memikirkan Encik Zafrul. Benarkah apa yang diceritakan Kak Lela tadi? Encik Zafrul sebelum ini garang? Tapi, cara dia loyar buruk denganku macam bukan seorang yang garang aje.

Sejak itu, semakin bertambah kerjaku. Dari peneman Encik Zafrul makan tengah hari, setiap pagi aku harus menyediakan sarapan dan juga kopi sebaik sahaja dia sampai di pejabat. Jika Encik Zafrul ada mesyuarat di luar dan akan masuk di sebelah petangnya, pagi-pagi lagi dia akan berSMS denganku. Kadang-kadang terfikir juga aku. Jawatanku di sini sebagai pembantu akaun ataupun setiausaha peribadinya? Kak Zaty pula, apa peranannya?

SUDAH LEBIH tiga minggu di sini, Encik Zafrul tidak sekali pun mendesakku tentang hal berkaitan hati dan perasaannya. Aku lega juga kerana sememangnya aku tidak bersedia langsung mahu memberikan jawapan. Selama tiga minggu ini juga, aku melaksanakan tugas yang diarahnya tanpa banyak soal.

“Wiesha…. Saya nak awak pergi bank. I need a cash.” Sekeping cek tunai dihulurkan kepadaku. Aku ketap bibir.

Ini lagi tak boleh ‘blah’ punya arahan. Cek peribadi dia pun, nak aku juga yang tunaikan? Sibuk sangat ke Encik Zafrul ni, sampai tak boleh ke kaunter bank sendiri?

“Kenapa buat muka cemberut macam tu? Awak tak boleh tolong ke?”

“Bukan tak boleh tolong, Encik Zafrul. Tapi bank ni, bukan dekat-dekat opis. Jauh juga kalau saya nak menapak.”

“Awak ada lesen memandu, kan? Nah kunci kereta saya. Agak-agak dah balik sini nanti, tunggu saya kat restoran macam biasa. Call saya kalau awak dah sampai.”

“Encik Zafrul nak suruh saya drive kereta encik? Encik tak takut ke, kalau jadi apa-apa pada kereta encik?”

“Awak kena biasakan diri dengan kereta saya. Awak kan buah hati saya…”

Hah?” Aku buah hati dia? Sedap-sedap mulut saja dia declare begitu. Melampau sungguhlah Encik Zafrul ni.

“Don’t think so much. Just go! Ingat… bila dah balik sini semula, terus call saya dan tunggu kat restoran macam selalu.”

“Tapi Encik Zafrul…” Aku masih lagi keberatan. Sudahlah aku disuruh ke bank atas urusan peribadinya, ditambah pula kerisauan aku dengan cek bernilai RM15,000.00. Bukan sedikit oiii! Kalau hilang atau tercicir kat mana-mana, masak aku mahu menggantinya.

“Saya ada meeting dengan lembaga pengarah sekejap lagi. Saya tak ada masa nak layan bertekak dengan awak.” Dalam keterpaksaan aku ambil kunci kereta di atas mejanya. Sempat juga aku mengerlingnya tajam. Bengang!

BUKANNYA SUSAH mahu mencari kereta Encik Zafrul di tempat letak kereta yang dikhaskan untuknya. Acap kali juga Encik Zafrul membawaku makan tengah hari agak jauh dari bangunan pejabat RME Development. Sudah tentu aku tahu di mana keretanya berada setiap hari.

Remote Mercedez Benz CLK berwarna kelabu aku picit. Dengan ucapan Bismillah, aku masuk ke keretanya. Cuba membetulkan seat dan laraskan cermin pandang belakang. Tubuhku yang terbenam di kerusi empuk, aku tegakkan. Mujurlah abah juga memiliki kereta sama jenisnya dengan yang ini dan aku sudah biasa disuruh abah memandu jikalau keluar bersama kedua-dua orang tuaku. Yang Encik Zafrul pula, confident sangat ke aku boleh bawa kereta mahal ni? Tak takut ke kalau-kalau keretanya calar?

Benar bagai dikata oleh Encik Zafrul. Jalan raya sudah mula sesak walaupun masa belum lagi menginjak ke tengah hari. Terpaksa berhati-hati dengan jalan sempit di hadapan bank yang aku mahu tuju. Tempat letak kereta juga penuh. Aduhai… kenapalah Encik Zafrul jadikan aku balaci hari ni? Ingat aku tak ada kerja ke kat pejabat tu. Kalau macam ni, baik aku jadi P.A.nya sahaja. Lagi baik kalau jadi bini terus! Hahahaha… mengarut sungguh la kau Lyana. Hati kata tak suka, boleh pula berangan nak jadi isteri bos, huh!

Terpaksa pula aku berpusing dua kali di jalan sehala yang sama untuk mencari parkir kosong. Akhirnya, nampak juga satu kereta yang baru mengundur dan menderu meninggalkan kawasan ini. Berhati-hati aku masuk ke petak yang ditinggalkan. Sudahlah sempit, kiri kanan kereta pula diparkir begitu rapat dengan garisan kuning. Cermin mata hitam aku sangkutkan ke telinga. Panas terik dan membahang hingga silau mataku. Kalau tak fikirkan bos yang memberi arahan untuk aku ke sini, tak ada maknanya aku mahu menempuh jalan sesak dan berpanas terik begini.

Final check! Sambil melangkah aku tunduk membelek kepingan cek tunai di dalam beg tangan yang aku sandang. Lega… masih ada lagi dan terletak elok di dalamnya. Cek tunai RM15,000.00. Siapa tak bimbang kalau hilang?

“Cik… watch out!!!” Jeritan nyaring satu suara mengejutkan aku. Serentak bunyi hon yang panjang kedengaran dan aku tidak sedar bila masanya tubuhku terkalih ke bonet kereta yang aku pandu tadi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79507/ceritera-cinta-darwiesha