[SNEAK PEEK] JIN- TINA

9789673693467-medium
EBUKU JIN- TINA Oleh Abdul Rahim Awang

Hujan rintik-rintik,
Buah nona masak merekah;
Anak dara cantik,
Anak teruna ajak menikah.’

Khairil tidak tahu mengapa pantun lama itu tiba-tiba muncul dalam ingatannya. Mungkin kerana hujan renyai mula turun membasahi bumi. Atau kerana dia terpesona dengan kecantikan Katrina yang berselisih dengannya ketika dia keluar dari pondok pengawal untuk memulakan rondaan tadi. Kombinasi kedua- duanya membuat dia tiba-tiba berasa romantik.

Katrina memang anak dara. Setidak-tidaknya masih belum berumah tangga. Sama ada masih dara ataupun tidak, sukar untuk ditafsirkan pada zaman moden ini. Tambahan pula, perwatakan Katrina tidak begitu memberi penekanan kepada nilai-nilai Islam walaupun dia memang beragama Islam. Katrina sering berskirt pendek hingga menampakkan pangkal paha atau berseluar ketat hingga menampakkan bentuk pinggul, malah ada kalanya keterlaluan ketatnya. Blausnya pula, ada kalanya terlalu ketat hingga menampakkan susuk tubuh atau bahagian dadanya terlalu luas, pada masa-masa lain pula terlalu jarang hingga memaparkan bentuk dan warna pakaian dalamnya. Tetapi Katrina memang cantik. Tidak pernah ditemuinya gadis secantik Katrina.

Tentang keperibadian Islamnya… pasti boleh dibentuk oleh suaminya apabila dia bersuami nanti.

Bersuami?

Anak dara cantik: Katrina. Anak teruna….

Dia memang teruna pada erti kata sebenar- benarnya, bukan sekadar belum berumah tangga. Tetapi dia tidak mungkin berani ajak Katrina menikah.

Dia tersenyum sendiri. Anak teruna ini tidak berani ajak anak dara itu menikah.

Bagaimana mahu diajak menikah sedangkan bercakap sama pun tidak pernah?

Lagipun, dia dilanda rasa bersalah apabila wajah

Nurul tiba-tiba muncul dalam ingatannya.

Tiba-tiba tubuhnya berasa seram sejuk. Mengikut kata orang-orang tua, hantu akan berkeliaran apabila hujan renyai turun pada waktu senja. Dan Menara Kuntum memang dikatakan berhantu.

Dia memandang sekeliling, Medan letak kereta lengang. Selain kereta-kereta Katrina dan Mona yang dikenalinya, cuma ada beberapa buah kereta milik pekerja bangunan dan peserta-peserta kursus tarian salsa di studio tingkat 20.

Lokasi dan suasana bangunan 45 tingkat yang dikenali dengan nama Menara Kuntum itu menyebabkan sukar untuk dinafikan kisah ke- berhantuannya. Malah, sepanjang yang diketahuinya, tidak pernah ada usaha untuk menafikannya.

‘Atau mungkin benar-benar berhantu,’ bisik hatinya. Bulu romanya mula meremang.

Berbeza dengan kebanyakan bangunan pencakar langit lain di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, Menara Kuntum terletak dalam sebuah kawasan berpagar seluas 15 hektar di lereng bukit. Di belakangnya hutan tebal yang kelihatan gelap dan menggerunkan pada waktu malam, di kiri kanannya paya yang ditumbuhi paku pakis dan pohon-pohon renek. Bangunan paling hampir dengannya adalah sebuah kondominum terbengkalai yang dikatakan tidak dapat disiapkan kerana berhantu juga. Di sebarang jalan, berhadapan dengan pintu pagar hadapan, terdapat sebuah kafeteria moden yang cuma beroperasi pada waktu siang kerana rata-rata pelanggannya terdiri daripada pekerja pelbagai peringkat di Menara Kuntum sahaja. Ada orang kata kafeteria itu dimiliki oleh pemilik Menara Kuntum.

Menara Kuntum sepi selepas waktu pejabat, hujung minggu dan hari-hari cuti awam kerana keseluruhan bangunan itu menempatkan pelbagai pejabat korporat, kecuali sebuah studio tarian di tingkat 20.

Hujan renyai telah berhenti, tetapi cahaya senja yang semakin kekuningan menambahkan keseraman suasana, lalu Khairil mempercepatkan langkahnya supaya segera ke pondok pengawal. Setidak-tidaknya dia tidak keseorangan apabila di sana.

Tiba-tiba kedengaran satu jeritan kuat dan nyaring dari atas. Suara wanita, nyaring dan panjang. Gema suara itu sambut-menyambut antara bangunan dan bukit di belakangnya.

Dia berhenti melangkah dan mendongak. Dalam cahaya senja kekuningan kelihatan seorang wanita berpakaian putih sedang melayang… terbang. Rambutnya terurai ditiup angin. Tangannya menggapai-gapai.

Pada masa yang sama kelihatan satu lembaga hitam di tingkap studio tingkat 20. Seketika sahaja, kemudian menghilang.

Pontianak? Langsuir? Entah… dadanya mula berdebar kencang.

Bukan! Bukan terbang, tetapi sedang jatuh. Semakin lama semakin rendah.

Katrina! Katanya dalam hati apabila jarak ketinggian tubuh melayang itu sudah cukup rendah dan boleh dikenal pasti.

Dia ingin menyambut. Ingin menyelamatkan Katrina. Tetapi tidak sempat. Tubuh Katrina terhempas ke atas tarmac sebelum dia membuka langkah.

Dia tetap menerpa dan memangku Katrina.

Katrina masih bernafas. Mulutnya terkumat-kamit bagaikan mahu mengatakan sesuatu.

Dia merapatkan telinganya ke bibir Katrina untuk mendengar. Tiba-tiba bahunya ditarik dengan kuat dari belakang. Kata-kata Katrina tidak sempat didengar.

Dia berpusing dan melihat Subra berdiri di belakangnya bersama dua pengawal keselamatan lain.

“Pergi telefon ambulans!” Subra memerintah. “Tapi, Cik Katrina….”

“Bukan tugas engkau!” Subra memotong.

Dia terpaksa mengalah walaupun tahu Katrina mahu memberitahu sesuatu kepadanya.

“Telefon ambulan?” dia meminta kepastian.

“Tak payahlah! Aku dah telefon!” kata Basir, salah seorang pengawal keselamatan yang mengiringi Subra. “Lambat sangat! Kalau harapkan engkau, mungkin dah mati perempuan itu baru ambulan sampai.”

“Pergilah!” Subra membeliakkan mata ke arahnya. “Tunggu apa lagi?”

****

Khairil masuk ke dalam bilik pengawal dan menghenyakkan tubuhnya ke atas kerusi yang ada di situ. Hatinya mendongkol. Dia merasakan dirinya terlalu kerdil. Kehadirannya tidak dipedulikan dan kata-katanya tidak diendahkan sedangkan dialah orang pertama yang tiba di tempat kejadian. Dia kenal mangsa dan dapat mengagak apa yang telah terjadi.

‘Biarkan!’ katanya dalam hati.

Dia membuat keputusan untuk tidak memberitahu sesiapa pun apa yang diketahuinya. Apa yang terjadi sudah pun terjadi. Dia tidak mahu berpihak kepada sesiapa pun. Dia tidak mahu terlibat.

Rina… Katrina

Di ruang matanya terbayang apa yang dilihatnya tadi.

Dia seorang sahaja melihat tubuh Katrina melayang jatuh. Dia jugalah orang pertama merapati tubuh Katrina yang terbujur kaku di atas tarmac. Ketika itu Katrina masih bernafas dan boleh bersuara.

Ya, Katrina bersuara, seoalah-olah ingin mengatakan sesuatu kepadanya. Sayang, belum pun sempat dia mengamati dan memahami apa yang cuba dikatakan oleh Katrina, Subra dan beberapa pengawal keselamatan lain yang lebih berkuasa dan berpengaruh berbanding dirinya tiba. Dia terus diketepikan.

Tubuh Katrina melayang dari tingkat atas bangunan. Dia yakin dari tingkat 20, dari studio latihan tarian salsa di mana Katrina menyumbangkan khidmat sebagai guru tari.

Bagaimana Katrina boleh jatuh?

Soalan itu diajukan oleh setiap orang yang tiba di tempat kejadian. Tetapi dia mempunyai soalannya sendiri: Apa menyebabkan Katrina jatuh?

Dia ada jawapan. Dia yakin dia tahu bagaimana dan mengapa Katrina jatuh, tetapi dia tidak mampu berkongsi dengan sesiapa pun jawapan yang diketahuinya. Mendedahkan jawapan itu boleh diibaratkan mahu membunuh diri. Keselamatan dirinya akan terancam. Nyawanya mungkin melayang.

Tapi, sampai bila dia mahu merahsiakan apa yang diketahuinya?

Dia tidak tahu. Tidak ada siapa yang boleh dipercayainya.

Kalau ada pun, mungkin Juanita…

Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket..

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79600/jin-tina