[SNEAK PEEK] WISH LIST

Wish List oleh Syamnuriezmil

SEKEPING not RM20 aku letakkan ke dalam jar. Kemudian sekeping lagi not RM5 aku letakkan ke dalam jar yang berisi khusus untuk duit not RM5. Fuh… Lega. Kalau tak, asyik nak terpakai aje duit tu. Oren hijau mata aku melihat jar yang sudah hampir penuh. Nak kena beli jar baru ni.

Ohhh…

Hampir aku terlupa.

Jar of… Quote of the day!

Aku ambil sehelai kertas dari dalam jar yang penuh dengan kata-kata semangat itu dan aku baca.

Better an oops… Than what if.

Ceh…

Petikan ni macam memerli aku aje.

Kertas itu kemudiannya aku letakkan ke dalam jar lain. Boleh recycle semula bila petikan kata-kata semangat dalam jar tu… Dah habis. Begitulah setiap hari.

Banyak sangat jenis jar yang aku simpan. Jar untuk duit pergi bercuti. Jar untuk duit beli telefon bimbit yang baru. Jar untuk tabung duit RM20. Jar untuk tabung RM5. Jar untuk petikan kata-kata… Kata-kata untuk motivasi, kata-kata untuk ketenangan… Kata-kata untuk setiap hari… Kata-kata untuk cinta.

Heh…

Ah… Safa, serius kau ni miss hopeless romantic!

Dan tak lupa…

Jar of wish list.

Ini jar yang paling penting dalam semua jar yang ada. Wish list dalam jar ni… Adalah senarai top secret dalam hidup aku. Sebab itu, jar ni… Aku tak letak sembarangan atas susunan koleksi jar aku. Bahaya… Takut orang baca. Yalah, hidup kalau tak ada impian dan keinginan… Buat apa kita hidup, kan? Dalam jar itu, terkandung semua impian yang aku mahu dalam hidup aku. Ya betul… Kalau setakat berharap aje tapi tak berusaha… Itu tak ada maknanya juga. Dalam jar ini, aku kumpulkan apa yang aku mahukan, jadi aku akan ingat apa yang perlu aku sempurnakan.

Antara wish list aku ni…

Aku nak beritahu pada Umair Wajdi yang aku cintakan dia!

Hmmm…

Dah lama aku simpan hasrat aku ni, sejak aku mula merasakan hubungan aku dan Umair Wajdi, bukan hanya setakat kawan baik. Tak tahulah apa yang aku rasakan ini wajar atau tak, tapi yang aku tahu, tak ada lelaki lain yang boleh hidup bersama aku kecuali Umair Wajdi. Dia segala- galanya. Dia mengenali aku lebih daripada papa aku sendiri. Papa pun tak faham aku macam Umair Wajdi. Dia selalu ada kalau aku gaduh dengan papa. Dia tenangkan aku. Dia selalu ada untuk aku. Dia dunia aku. Bayangkan kalau dia tak ada, dunia aku macam mana?

Ya…

Petikan better an oops than what if tu memang betul-betul mengena batang hidung aku. Tapi, macam mana aku nak cakap dengan Umair Wajdi kalau betul aku sukakan dia sejak sepuluh tahun aku berkawan dengan dia? Tak tahu bagaimana perasaan itu boleh muncul tapi, aku rasa… Aku dah jatuh cinta dengan dia sebelum aku kenal dia. Macam… Dah tercipta untuk ke syurga bersama. Persoalannya, adakah Umair Wajdi merasakan hal yang sama seperti aku? Kalau aku cakap… Buatnya dia tak ada perasaan apa-apa pun… Macam mana? Tak ke malu setepek! Lebih baik remain sebagai kawan baik. Aku tak kehilangan dia, dia tak menjarakkan dirinya dengan aku.

Tapi, kalau sebenarnya Umair Wajdi pun punya perasaan yang sama, macam mana? Ah… Dia lelaki… Pandailah dia mulakan langkah dulu. Kalau dia jatuh cinta pada aku, dia akan cakap lebih awal, kan? Tak perlu tunggu selama sepuluh tahun.

Kalau dia fikir seperti yang aku fikirkan… Mungkin dia tak nak hubungan ni terjejas selepas dia beritahu yang dia cintakan aku… Macam mana pula?

Ah…

Peninglah bercakap hal perasaan!

Baik laaa kita siap-siap pergi ke pejabat. Too much work to handle… Daripada fikir soal hati dan perasaan. Lagipun, bukan hati dan perasaan saja wujud dalam dunia ni. Banyak lagi perkara.

Speaking of the devil…

Telefon aku berbunyi dan nama Umair Wajdi muncul dalam skrin.

“Tak pergi kerja lagi?”

“Belum. Baru nak keluar. Kenapa?”

“Lambat hari ni?”

“Mana ada. Biasa aje. Awak kat mana?”

“Kat hati awak.”

“Kalau macam tu, awak tahulah kenapa saya lambat.”

“Kenapa?”

“Sebab teringatkan awak.”

“Ohhh, Safa… You’ve got me.”

Aku tergelak.

“Kereta Ummi tak ada… Dia dah keluar ke?”

Aku… Tersentak. Terus hilang ketawa.

“Eh… Mana tahu Ummi tak ada?”

Aku dengar suara Umair Wajdi pula ketawa. Sahihlah dia…

Terus aku buka pintu. Ternyata Umair Wajdi di luar… Senyum dan melambai pada aku. Suka tau… Buat kejutan macam ni. Macam tahu-tahu saja, aku teringatkan dia pagi ni. Gara-gara quote tadilah tu!

“Ada apa ni? Tiba-tiba muncul depan rumah.”

“Saja. Rindu.”

“Jangan pandai cakap saja… Tak pandai buat.”

Umair Wajdi ketawa. Aku kemudian membuka pintu pagar. Kereta Ummi memang dah tak ada. Awal lagi dia dah pergi ke kedai. Dia mempunyai sebuah kedai menjual bunga segar dan setiap pagi, seawal pukul 7, dia dah keluar sejak Zila, pekerjanya bercuti. Awal pagi lagi, selalu pembekal bunga dah muncul depan kedainya. Yalah, turun dari Cameron Highlands. Petang nanti, ke kedai dialah tempat aku lepak!

“Sarapan sama?”

“Boleh.”

“Naik kereta saya, nanti saya hantar ke pejabat. Petang nanti saya bawa awak ke kedai Ummi.”

“You spoiled me… Dah seminggu macam ni. Kenapa? Nak kata bulan hari jadi saya atau awak… Bukan pun.”

“Alahhh… Baru seminggu. Bukan selalu. Nanti bila saya tak ada… Awak bising, kenapa saya tak jumpa awak, kenapa saya sibuk sangat. Kenapa itu, kenapa ini? Awak kan banyak kenapa daripada banyak menerima.”

“Yalah… Yalah.”

Umair Wajdi membukakan pintu untuk aku. Such a gentleman. Manalah aku tak suka. Mana ada wujud lelaki seperti dia lagi dalam dunia ni. Dah pupus!

“Kenapa? Tak suka ke?” tanya dia sebaik saja masuk ke dalam kereta dan duduk sebelah aku.

“Eh… Suka. Lagilah sekarang harga minyak dah naik. Lebih seronok kalau ada yang tumpangkan. Cuma, tak susahkan awak ke?”

“Tak adalah. Minggu ni aje, minggu depan tak sempat nak buat macam ni.”

“Sebab?”

“Manalah tahu… Sibuk ke?”

“Sibuk sangatlah kerja lecturer tu ya…”

“Sibuk bila dapat jadi pensyarah kanan.”

“Whattt?!!!”

Aku terkejut. Umair Wajdi naik pangkat. Patutlah… Dia seronok sangat minggu ni dan banyak sangat masa lapang, nak ambil aku, nak hantar aku. Rupa-rupanya… Ada yang menggembirakan hati dia.

Umair Wajdi senyum.

“Sibuk macam mana nanti?”

“Akan ke KL selalu.”

“Ohhh… Kena pindah sana ke nanti?”

“Dan tinggalkan awak kat sini? Mana boleh!”

“So, you have to marry me la…”

Dan aku…

Terus menekup mulut.

Umair Wajdi memandang aku. Dia agak terkejut bila aku cakap macam tu. Haih, apa mulut aku ni… Kenapa terkeluar yang bukan-bukan pula ni? Malunya aku! Mana nak letak muka aku ni? Takkan nak letak dalam dashboard pula?

“Is that a wish list, Safa?”

“Lapar… Sekarang… Jalan.”

Umar Wajdi senyum.

Hesy, Safa Auliya… Buat malu seluruh perempuan dalam dunialah kau ni!

****

MALU…

Tersangat malu.

Tak tahu celah mana aku nak letak muka aku ni? Lagilah bila Umair Wajdi asyik senyum saja bila dia pandang aku. Terasa kena simbah cat merah pula ke muka aku. Bukan aku ada hutang dengan dia pun. Dia yang hutang perasaan dia dengan aku.

“Kenapa senyum?

“Saja. Sedekah.”

“Bukan sengaja senyumkan saya?”

“Kenapa nak senyumkan awak?”

Umair Wajdi senyum lagi.

“There… You did it again.”

“Apa? Senyum aje kot!”

“Eleh…”

“Kalau ya pun senyumkan awak… Senyum sebab apa, eh?”

Cehhh…

Kura-kura dalam perahu…

Pura-pura tanya aku!

“Entah. Tak tahulah. Kenapa, eh?”

“You tell me…”

Senyum-senyum tak habis. Pantang silap sikit. Silap aje jadi bahan.

“Betul apa… Kalau tak nak tinggal kenalah bawa.”

“Tak kata tak betul. Tapi betul ke?”

“Entah. You tell me…”

Masuk saja pejabat, aku terus capai telefon dan telefon Ummi. Tak boleh tahan dah tahap malu aku ni. Tak boleh tahan nak simpan.

“Ya Allah, malu aku, Mi… Aku tak tahu laaa nak letak muka aku yang vogue ni kat mana. Hilang dah vogue, Mi… Hilang! Rasa macam nak berdiri depan kereta dia, suruh dia langgar aku bolak-balik… Bolak-balik tau.”

“Sat… Sat. Apaaa hang ni? Tiba-tiba aje telefon aku teruih pom pang pom pang macam kompang. Salam tak dak, helo pun tak dak, tiba-tiba malu yang hang dapat. Aku tak fahamlah. Cuba hang habaq kat aku satu per satu. Aku ni kerja kedai bunga aja, bukannya nak ke mana. Jangan kalut boleh dak? Suka duk buat kalutlah dia ni.”

Kan…

Dah kena bebel dengan mak tiri.

“Aduh, Mi… Aku tak tahulah aku ni dah buat silap besar ke tidak.”

“Silap apa ni?”

“Kau nak tahu tak, Mi… Aku pi ajak Umair kahwin dengan aku… Unintentionally!”

“Unintentionally? Maksud hang?”

“Aku terlajak ajak…”

“Hah?”

“Just slipped out of my mouth…”

“Apa hang kata… Hang terlepaih cakap? Terlajak ajak?”

“Haaa…”

Dan…

Ummi ketawa besar. “Bolehlah geng dengan Dato terlajak laris tu…”

Tak guna betul punya kawan!

“Ketawa pula.”

“Sat… Sat. Lagu mana boleh terlajak ajak? Takkan saja nak terkeluaq kalau tak terpikiaq, kan?”

“Alaaa… Ini semua quote of the day tu punya pasallah. Konon better an oops than what if… Sekarang memang oops… Tahap tercekik celah kerongkong dah ni. Malu aku, Mi… Malu. Macam mana aku nak berhadapan dengan Umair lepas ni? Mesti dia ingat aku apa-apa…”

“Laaa… Salahkan quote tu pula. Bukan selama ini memang hang berharap yang Umair kahwin dengan hang…”

“Eh…”

Memanglah menjadi salah satu impian dan harapan aku. Aku tahu, Ummi tahu. Ummi tu… Aku tak cakap pun dia tahu. Dia yang meneka aku ada hati dengan Umair Wajdi. Sejak itu, aku cerita apa saja pada Ummi tentang perasaan aku pada Umair Wajdi. Sekurang-kurangnya, tak adalah terbuku lama sangat rasa aku pada Umair Wajdi tu.

“Malu pi laaa 5 saat aje… At least dah lepaih beban. Kalau hang dah ajak… Dia buat bodoh gak lagi… Sahih dia tu kunyit.”

“Haippp!”

Ada pula kata Umair Wajdi aku macam tu. Tak laaa… Dia bukan kunyitlah. Dia tulen kot! Tapi, mungkin adalah yang menghalang dia daripada berterus terang dengan aku. Mungkin nak menjaga perasaan. Mungkin juga nak menjaga persahabatan.

“Ayam masak kunyit… Masak untuk makan malam ni pun sedap gak noh.”

Eh, Ummi ni…

“Kerap kali dia senyum dan tanya pada aku…”

“Tanya apa?”

“Is that your wish list?”

“Dan hang jawab apa?”

Nak jawab apa lagi?

Takkan nak jawab ya?

Kantoilah aku. Aku dahlah hampir kantoi… Belum lagi kantoi sepenuhnya. Kalau Umair Wajdi tahu kahwin dengan dia merupakan salah satu wish list aku yang aku rahsiakan daripada dia, matilah aku!

“Kenapa?”

“Saja nak tahu.”

“Mana boleh tahu. Kannn… Rahsia. Hanya bila semua wish list kita tu tercapai baru kita beritahu. Kan?”

“So… Kena kahwin dulu, barulah tahu sama ada kahwin tu dalam senarai ke tak, ya?”

“Haahlah…”

“Okay then… Let me rephrase the question.”

“Apa tu?”

“Is that a proposal?”

Dan aku ketawa…

Oh, Umar Wajdi… You’ve got me!

“Hang jawab apa, Safa?”

“Aku tak jawab. Aku gelak aje. So, aku dah kantoi ke, Ummi? Nampak macam aku kantoi ke? Nampak macam aku berharap ke? Hesy… Malu laaa aku, Mi. Malu gila.”

“Jangan risaulah, Saf.”

“Jangan risau kau kata?”

“Mana tahu, dia on the way nak beli cincin untuk hang. Entah-entah malam ni dia teruih melamaq hang. Kita pikiaq positif sudah.”

Positif.

Positif…

Positiflah sangat!

Mana nak boleh positif… Tak boleh nak positiflah, lebih-lebih lagi bila dapat mesej daripada Umair Wajdi tadi, dia kata dia nak jemput aku lewat sikit dan terus makan malam bersama. Huh… Takkan masin mulut Si Ummi kot? Takkan dia nak lamar aku?

“Cik Safa…”

Pintu bilik aku dikuak Fiona. Aku menoleh.

“Ya…”

“Hari ini Cik Safa ada meeting dengan Encik Zahier Adam… From De Kleding Apparel.”

“Ohhh… Dia yang nak sewa outlet kat mall kita, right? ”

“Haah. Ini akaun penting, sebab this company dari Belanda. Antara syarikat clothing yang terkenal di sana. Baru nak masuk pasaran kita. Tapi kat Asia… Dah agak terkenal.”

“So, I’m meeting with the Dutch, then…”

“Heh, Dutch celup!”

Aku tergelak. Pandai Fiona!

“Ini dokumen regarding that meeting. Cik Safa baca dulu nanti senang nak deal. Meeting nanti, lepas lunch tau. So, kalau boleh, have a quick lunch. The Dutch don’t like to wait.”

Hmmm…

Okey.

“Lagi?”

“Since bulan dua ni nak masuk bulan perayaan Tahun Baru Cina… Bos nak tahu plan Cik Safa. Jadi, dia nak Cik Safa bentangkan idea from marketing perspective macam biasa…”

“Okey… Okey. Ada lagi?”

“Ada beberapa outlet yang nak tamat tempoh sewaan. Ini butiran prestasi setiap outlet… Memudahkan Cik Safa untuk buat pilihan, sama ada nak sambung kontrak atau tamatkan.”

“Great… What can I do without you, Fiona? Belum suruh, dah buat.”

“Can you remark it at my KPI…”

Aku ketawa besar. Fiona pun tergelak.

Fiona sudah bekerja dengan syarikat itu dah lama. Sebab dia dah lama, aku minta dia jadi PA aku. Senang untuk dia, mudah untuk aku. Lagipun, dia dah biasa kerja dan menjaga aku yang sangat predictable. Sebelum apa-apa, aku suka buat kajian terlebih dahulu. Senang bila kita ada maklumat… Marketing without data is like driving with eyes closed. Susah kan nak drive macam tu? Begitu juga susah kalau kita nak jual kalau tak ada maklumat yang tepat dengan kajian yang konklusif.

So…

Ketepikan Umair Wajdi kejap. Fokus pada Zahier Adam from De Kleding Apparel. Akaun penting untuk syarikat.

“Okey, thanks Fiona. Saya tengok fail the Dutch ni dulu.”

“Good choice.”

Aku terus buka fail proposal tu di hadapan aku. Hmmm… Akaun penting untuk hati… Ah… That can wait!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/269431/wish-list

[REVIEW] CIK SERBA TAHU

CIK SERBA TAHU Oleh Syamnuriezmil
Bermacam-macam usaha yang Carl Adham buat untuk memikat hati Aerna, namun untuk menerima lelaki itu memang agak payah. Mana tidaknya, mereka baru saja bertemu. Tiba-tiba lelaki itu ajak dia bertunang kemudian bernikah? Gila ke apa???! Semua orang di ofis gelarkan Aerna sebagai Cik Serba Tahu sebab semuanya dia boleh tahu. Sebab benda yang diagak selalunya betul dan banyak rahsia yang dia tahu terutama rahsia Encik Ben dan Encik Bun. Dan disebabkan serba tahunya itu, bapaknya bimbang jika anaknya itu terlupa tentang diri sendiri. Bapak Aerna nekad untuk cepat-cepat mengahwinkan anaknya dengan sesiapa saja yang gentleman asalkan Aerna membuka hati untuk menerima cinta. Adakah Aerna akan bersedia membuka pintu hatinya seperti yang dipinta oleh bapaknya?

Pada pendapat admin, cerita ni best and simple. Tak terlalu hard feeling sampai meleleh air mata. Okay laa kan untuk hilangkan stress. Jalan cerita yang santai dan watak heroin, Aerna Isyqee yang easy going tu memang jadi penarik kepada novel ini. Watak hero, Carl Adham yang cepat sangat suka kt Aerna tu jadi musykil sikit, Style penulis ni memang nak pembaca imagine ending dia macam mana. So, readers kene beli dan baca eBook ini ye!
So far, itu adalah ulasan buku yang dapat admin kongsikan kepada readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

Sejenak Bersama Syamnuriezmil

Pada sesi kali ini readers sekalian, kami berjaya menemu bual salah seorang penulis kita yang kini bersama 5 penerbit buat masa ini. Penulis yang kami bawakan kepada anda ialah….. Syamnuriezmil.

Antara soalan- soalan yang admin buat dengan susah payah mengalahkan soalan SPM ialah:

IMG-20160306-WA0018

 

   1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Syamnuriezmil menulis?

Ayah saya. Ayah saya yang mula-mula mencetuskan minat saya untuk menulis. Dia selalu suruh saya siapkan karangan setiap kali dia bawa kami sekeluarga pergi bercuti. Dia juga rajin meminjamkan buku di perpustakaan untuk saya baca. Sampai ke universiti dia akan hantar buku-buku untuk saya baca

 2. Apa makanan kegemaran Syamnuriezmil?

Saya tak cerewet. Saya makan apa saja yang boleh dimakan. Tapi, selalunya saya enjoy makan di mamak.

   3.  Siapakah penulis kegemaran Syamnuriezmil? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Jane Austen.

  4. Apakah novel kegemaran Syamnuriezmil? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Saya tak baca novel. Saya banyak baca buku jenis non-fiction. Mostly buku-buku bibliografi.

  5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Selain lipas dan cicak… saya membela dua ekor kucing. Ayyu Zarra dan Qal Benjamin. Dua-dua kucing saya, selalu cameo dalam buku-buku saya.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Syamnuriezmil mahu pergi dan mengapa?

 Is it cover my dialysis cost? Heh… saya dah pergi ke tempat yang saya nak pergi. Tapi, kalau cover duit dialysis, saya nak pergi ke Belanda.

7. Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Syamnuriezmil? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Novel terbaru terbit bulan Ogos ini bertajuk Perempuan Paling Bahagia. Sebuah novel yang telahpun dikeluarkan secara eksklusif sewaktu pesta buku. Jalan cerita novel yang menarik dan telahpun dipinang untuk adaptasi. Cerita ini antara yang mendapat sambutan di dalam blog saya mengisahkan seorang perempuan yang menjumpai seorang bayi dan kebetulan bayi itu merupakan cucu kepada majikannya. Namun bayi itu merupakan cucu tidak sah taraf. Untuk menjadikan cucu itu halal… bayi itu mestilah dijadikan anak susuan kepada anaknya. Nak tahu lebih lanjut, kenalah baca. Good info… Great story line. Ada suspen dan ada juga komedi.

8. Apakah pesanan Syamnuriezmil kepada pembaca di luar?

Pilihlah bacaan yang baik untuk menjadi seorang individu yang baik. You are what you read.

9. Pada pandangan Syamnuriezmil, apa istimewanya novel Syamnuriezmil berbanding novel lain di pasaran?

Selalu saya akan tulis cerita-cerita penyiasatan dan saya sering digelar Nancy Drew Malaysia. Setakat ini saya sudah keluarkan 34 dulu dan siap 100 cerita. Saya rasa, itu istimewanya saya berbanding dengan penulis lain sebab buku saya keluar every month dan cerita semua cerita lain-lain.

10. Apa rutin harian Syamnuriezmil? Ada yang rare tak?

4.00 pagi – bangun (hari selasa, khamis dan sabtu – ke hospital untuk dialysis. Saya merupakan pesakit buah pinggang kronik stage 5 yang perlu menerima rawatan hemodialisis selama 4 jam di hospital, setiap tiga kali seminggu. Hari isnin, rabu, jumaat dan ahad – saya akan start menulis start 4.00 pagi. Hari lain, saya menulis di hospital sambil dialysis atau lepas balik dialysis.)

7.00 pagi – masukkan karya dalam blog atau wattpad. Selalunya pembaca blog saya dah menunggu entry cerita baru.

10.00 pagi – off to THE CHAPTER BOOKSTORE, my bookstore. (hari selasa, khamis dan sabtu… saya akan balik ke rumah dan rehat)

4.00 petang – SETIAP RABU – saya ada kelas gitar dan piano.

9.00 malam – tidur. Saya tidak menulis waktu malam kecuali saya ada deadline.

11. Describe diri Syamnuriezmil dalam 3 patah perkataan?

Sempoi. Cepat. Disiplin.

12. Apa nasihat Syamnuriezmil kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Tulis yang baik-baik. Sebab tulisan kita akan mengadili kita nanti.

13. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Syamnuriezmil kuasai?

Saya sekolah arab di Kampung Jawa dan pernah ambil mandarin sewaktu di universiti.

PhotoGrid_1469833948909
Antara buku -buku yang sudah ditulis oleh Syamnuriezmil

Begitu la serba sedikit mengenai penulis anda yang bernama Syamnuriezmil. Admin harap sedikit sebanyak anda dapat mengenali penulis kegemaran anda.

Jika anda mahu mencari karya- karya daripada penulis ini, boleh klik di sini.

REVIEW MAGISNYA CINTA

9789670092013-medium
MAGISNYA CINTA OLEH SYAMNURIEZMIL

Cinta itu seperti magis. Sihirnya boleh membuat seseorang yang waras boleh jadi gila, hilang boleh cari, hati boleh diganti dan benci… boleh tinggal seinci. Ya, cinta itu magis. Hebat kuasa yang ada pada cinta, yang hanya bermula daripada rasa.
Kerana cinta, Adib Haiman sanggup melepaskan orang yang dicintai. Kerana cinta, Rose Khadeeja mengikut kata hati. Kerana cinta, Natasha Erynna sanggup berdendam. Kerana cinta, Megat Razeen sanggup mengambil kesempatan. Kerana cinta, Megat Waiz Yafiq sanggup pasrah dan reda. Kerana cinta, Cinta Alana sanggup mengikut kehendak orang tua. Kerana cinta, semuanya sanggup berbuat apa saja.
Namun…
Adakah semua kesanggupan itu ada nilainya? Akankah mereka bertemu dengan cinta sejati?
Semuanya bermula pada satu rancangan yang dibuat oleh Rose. Kononnya mahu menegakkan keadilan ke atas percintaan kawan baiknya, Natasha yang kecundang dengan Adib. Namun akhirnya, hati Rose pula yang tersangkut. Itulah, magisnya cinta buat benci bertukar sayang. Rupa-rupanya, Adib turut mempunyai perasaan yang sama terhadap Rose.


Manisnya, bak bulan jatuh ke riba… punyalah gumbira bila dapat peluk Magisnya Cinta..  Memang langsung tak dapat lupakan CRK ngan Adib Haiman. lagi  x boleh lupa pada jahatnya seorang Natasha. Tapi kali ini, rasa penuh gitu. bukan sahaja kisah Adib Haiman & CRK, muncul lagi kisah MWY dengan C. Alana, tambah lagi Megan Razeen ngan Natasha.. Perfect!!! hehehe

Sajian2 part depa masih gaduh2 manja tue mmg xleh dilupai.. comey angat!! Masuk plak part iman tertinggal la, mmg cair dan sengih sorang2.. hehehe

Senang kata, tak pernah mengecewakan!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79842/magisnya-cinta

 

[SNEAK PEEK] TUAN ANAS MIKAEL

9789670567549-medium
Ebuku TUAN ANAS MIKAEL Oleh Syamnuriezmil

YA Allah Ya Tuhanku… Kau tetapkanlah hati aku! Kau tebarkanlah rezeki Kau di mana-mana. Nanti aku usahakan sendiri. Insya-Allah. Kalau tak boleh, paksa sampai boleh!

Mak tengok jam di dinding kemudian memandang aku semula.

“Tak pi?”

“Tak.”

Selalu jam pukul lapan pagi, mak sudah keluar. Kalau aku nak kerja dengan Tuan Anas Mikael tu, aku kena keluar sama waktu macam mak keluar. Oleh kerana aku buat keputusan tak mahu kerja dengan Tuan Anas Mikael tu, aku pun melepaklah di rumah. Siap-siapkan sarapan.

“Sungguh ke ni?”

“Mak… Kalau kita buat sesuatu keputusan, kita kena confident. Kalau tak confident, macam manalah Tuhan nak tolong kita? Kalau mak takut mak tak dapat pencen, mak tok sah risaulah. Nanti orang dapat kerja, orang ganti balik

duit pencen mak tu. Bukan Tuan Anas tu saja boleh bagi. Ni, Puan Ayu pun boleh, haihhh… Mak tolong doa saja orang dapat kerja.”

Mak mencebik bibirnya. Kalau tak dapat restu ni, macam mana? Makan apa aku dengan mak nanti kalau aku masih tak dapat kerja?

“La ni kerja bukan senang, Ayu oi…”

“Adalah sangkut kat mana-mana nanti. Bukan sikit orang hantar resume tu, mak. Banyak. Kalau niat kita untuk majukan keluarga kita, insya-Allah, Tuhan tolong. Yakin saja. Mak sendiri bagi orang mengaji tinggi-tinggi, tak nak bagi anak mak kerja tukang cuci. Sekarang mak pula pusing niat mak. Mana boleh lagu tu!”

Mak diam.

“Dahlah. Tak payah nak kalutlah. Kalau dia tu berhati-perut, kan mak… Dia bagi mak pencen mak tu. Kalau tak, tak payahlah mak nak agung-agungkan majikan mak yang pasal tangga pun nak pecat mak tu!”

Tak habis isu salah tangga. Nak saja aku haramkan semua tangga di dalam Malaysia ni. Tapi, kalau tak ada tangga, macam mana nak naik bangunan pencakar langit tu? Lagipun, aku bukannya PM yang orang nak dengar kata aku.

“Suka hati Ayulah.”

“Tak apalah, mak… Rezeki ada kat mana-mana. Mana tau sat lagi ada panggilan kerja? Orang bukannya bodoh sangat sampai satu pun tak dak tersangkut. CGPA, 3.80 kut!”

“Mak sukalah dengan confident kamu tu, Ayu. Tapi jangan nak confident sangat… CG kaaa… PA kaaa… Kalau tak dak usaha, tak daklah mai kerja!”

Aku angguk-angguk. “Tau haih… Orang dah pelan pagi ni nak menghala ke mana. Kalau boleh nak cari kerja yang dekat-dekat dulu. Motor arwah ayah tu bukannya boleh buat jalan jauh. Nanti ada duit sikit, orang pi cari kereta second-hand.”

“Yalah.”

“Mak rehatlah. Tak payahlah kerja. Ini masanya orang balas pula jasa mak bagi orang berjaya sampai sekarang.”

Mak senyum. Nampak garis tua di pipinya. Aku peluk bahu mak. Aku suruh dia duduk dan menjamah nasi goreng yang aku buat. Adalah rezeki tu kat mana-mana… Tak dapat jadi penasihat kewangan kat bank… jadilah financial controller pun tak apalah. Tak dak semua tu akauntan bodoh buat buku tunai pun jadilah! Kalau nak jadi gabenor bank negara teruihhh… tak dak kekosongan lagi. Heh, tak agak-agak punya tahap keyakinan aku ni!

Seharian aku dekat kafe siber tengok JobStreet. Aku dah hantar semua resume. Sambil tu aku pusing-pusing rumah kedai berhampiran rumah aku, tanya nak pakai pekerja ke tak. Susah sikit pun tak apalah. Asalkan tak tunduk pada ego Tuan Anas Mikael tu.

Masuk… seminggu. Aku masih tak dapat juga kerja. Dapat temu duga tapi semuanya tangguhkan keputusan. Tak apa, aku masih bersabar. Duit tabungan masih cukup nak bagi makan mak lauk sedap-sedap lagi.

“Mak rasa, mak dah sihat. Mak pi cari kerja, ya? Tolong Ayu?”

“Eh, tak payah.”

“Tak apalah, Ayu. Mak kuat lagi ni. Kalau duduk di rumah, lagi sakit-sakit badan mak ni.”

Aku terdiam. “Mak nak pi cari kerja mana?”

“Tengoklah.”

“Jangan nak pergi rumah Tuan Anas mak tu.”

“Dia ada telefon mak semalam…”

“Dia call mak?”

“Ya…”

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap… anak Cik Su ada hutang tak berbayar. Bila nak bayar?”

Kurang ajarrr!!!

Memang tak makan dek ajar betul. Apa yang aku hutang dia? Setahu aku dah selesai semua. Kalau aku tak terima tawaran dia, mak aku diberhentikan kerja. Kan itu namanya hutang langsai. Apa masalah Tuan Anas ni?

“SAYA nak jumpa Tuan Anas Mikael. Ini kad pengenalan saya, pak cik!”

“Tuan Anas tak nak jumpa sesiapa terutamanya kamu.”

“Fine. Saya nak jumpa dia selesaikan hutang tapi dia tak nak jumpa saya. So, satu sama.”

“Apa? Nak selesaikan hutang?”

“Yalah.”

“Kalau macam tu, Tuan Anas menunggu kamu di dalam.”

“Pula!”

Dengar saja kata-kata aku nak jumpa nak bayar hutang, cepat saja pak guard kekwat tu kata aku boleh masuk. Sah, skrip ini dibuat oleh Tuan Anas. Sama kekwatlah macam majikannya juga!

“Tapi dengan syarat…”

“Apa syaratnya?”

“Penyelesaian hutang bukan dengan wang ringgit tapi dengan menggantikan tempat Cik Su.”

Macam mana dia tahu aku nak bayar ganti rugi rawatan dia pi hospital atau klinik atau bayaran kepada doktor peribadinya, gara-gara dia jatuh tangga kerana aku? Aku dah pecahkan tabung Hello Kitty aku tadi. Dapatlah dalam lima ratus ringgit. Takkan jatuh sikit nak kena pakai sampai lima ratus, kan… Paling kurang pun seratus lima puluh ringgit. Tapi, aku bawa jugalah lima ratus ringgit di dalam poket ni. Tuan Anas ni scan kepala otak aku ke?

“Hesy…”

“Macam mana?”

“Macam mana pun, saya dah tak boleh larilah ni?”

“Tak boleh. Hutang perlu dibayar!!!”

Suara Tuan Anas dari walkie-talkie pak guard kekwat tu, berbunyi. Ceh! Main cak-cak pula. Aku lantas memegang walkie-talkie tu dan memandang ke arah CCTV yang ada di atas kepala aku.

“Saya ada degree tau. Apa hal pula saya nak kena kerja tukang cuci dekat rumah tuan pula?!”

“Degree awak tu standard degree tukang cuci rumah saya saja.”

Memang kurang ajar betul mulut mamat tu! Penat-penat aku belajar, dia kata ijazah aku standard tukang cuci rumah dia. Haih, kalaulah ada cili api dekat tangan aku sekarang ni, memang aku cili walkie-talkie tu!

Kalau aku tak bayar dengan tulang empat kerat aku ini, sahlah Tuan Anas tu tak akan berhenti menggunakan tulang empat keratnya mengugut mak. Sudahlah mak tu tak boleh nak stres. Apabila stres, darah dia naik. Nanti aku juga yang susah hati. Kalau aku terima kerja dekat rumah Tuan Anas, aku pula yang stres dan darah aku pula yang naik. Tapi, biarlah darah aku yang naik… asal bukan mak. Lagipun aku bukannya ada kerja apa-apa. Duit simpanan pun semakin menipis.

Nak tak nak…

“Baiklah. Kali ini saya mengalah pada ego tuan. Hari ini, hari tuan.”

Aku dengar tawa Tuan Anas kuat dari corong walkie-talkie tu membuatkan aku betul-betul sakit hati. Ya Allah, Ya Tuhanku… Aku tak tahulah kenapa jalan ke rezeki ini yang Kau bukakan untuk aku. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Haipppp… Mungkin… Mungkin apa dia? Kau kena yakin, Ayu!

“HAI… Saya Kay.”

Aku berjabat tangan dengan seorang perempuan berskirt pendek dan berambut panjang. Sesuailah dengan nama dia yang moden itu.

“Saya PA kepada Tuan Anas. Segala hal di dalam rumah dan di luar rumah, saya yang akan laporkan kepada

Tuan Anas.”

Aku mengangguk-angguk.

“Pencen Cik Su telah pun saya masukkan ke dalam akaun Cik Su. Surat penamatan perkhidmatan Cik Su telah pun saya courier ke rumah. Ini pula surat pelantikan untuk Cik Ayu. Sila baca surat dan perjanjian ini kemudian tandatangan di muka surat paling belakang.”

Aku membaca surat itu dengan perlahan. Dahi mula berkerut. Kemudian aku pandang Kay. “Awak salah taip gaji ni kut…”

Kay tersenyum. Dia menggeleng.

“Takkan sepuluh ribu sebulan kut. Standard gaji tukang cuci yang saya tahu dekat Malaysia ni dalam sembilan ratus. Tu minima. Kalau ada pengalaman mungkin seribu hingga seribu lima ratus ringgit. Tak pernah dengar sepuluh ribu kut!”

“Ini gaji awak, Cik Ayu. Gaji awak setimpal dengan kerja yang awak kena buat. Bacalah JD awak tu…”

Aku terdiam. Memang berhelai-helai job description yang aku kena buat tu… tapi…

“Sebelum saya sain, saya nak tahu, Tuan Anas ni bukannya pengedar dadah, kan? Saya bukannya kena jadi keldai dadah, hantar dadah ke Afrika, kan? Atau cuci duit dia daripada duit haram kepada duit halal?”

Kay ketawa. “Tak adalah. Tuan Anas bukan seperti yang Cik Ayu fikirkan.”

“Manalah tahu. Kaya sangat sampai tak tahu duit tu nak buat apa. Sampai bagi gaji mengarut-ngarut. Mana tahu nak bersihkan duit…”

Selamba saja aku menuduh. Bukannya nak toleh,

kanan kiri. Sekali…

“Kenapa? Kalau awak rasa waswas, saya boleh saja kurangkan satu kosong!”

Tuan Anas muncul. Aku terdiam. Itulah, mulut tak ada insurans!

****

BANYAK kut perbezaan kalau buang satu kosong. Memang taklah aku nak tolak. Sudah pasti aku akan terima punya. Kawan-kawan aku yang grad sama dengan aku pun belum tentu boleh dapat gaji banyak macam tu. Kalau jadi pegawai bank pun dalam dua ribu lima ratus ringgit gitu. Tapi aku boleh dapat sepuluh ribu! Nampaknya, bulan pertama gaji saja dah bolehlah aku beli kereta dan rumah sendiri nanti. Mulalah tu nak berangan.

Tapi…

Untuk mendapatkan gaji sepuluh ribu sebulan tu bukan kerja senang. Bukan hanya menjadi tukang cuci. Sahlah kerja pun kerja yang berharga sepuluh ribu sebulanlah. Tengoklah JD yang diberikan kepada aku. Mak yang baca pun… tak tertelan air liurnya! Mulanya aku pun tak yakin tapi oleh kerana aku tak ada pilihan lain, aku sain sajalah. Boleh ke tak boleh ke… itu belakang kira! Paling teruk pun kena pecat saja. Kalau kena pecat, lebih baiklah! Tak payah kerja dengan Tuan Anas Mikael kekwat meluat tu!
Job Description.

Ayu Maisarah binti Ayman.

Kerja bermula pukul empat pagi, berakhir pada waktu tidak diperlukan.

Aku baca itu saja, aku dah menelan air liur. Empat pagi tu tak apa lagi, tapi berakhir pada waktu tidak diperlukan? Itu memang gila. Aku dapat bayangkan dua puluh empat jam aku akan duduk bersebelahan dengan dia. Mana taknya, kalau tengok senarai JD aku… dah macam kerja jadi isteri dia pula.
1. Jam empat pagi, ketuk pintu bilik. Kejutkan bangun pagi. Sediakan pakaian untuk bersenam.

2. Rumah perlu dibersihkan sebelum jam tujuh pagi. (Sila tengok lampiran.)

Aku buka lampiran. Cadar perlu ditukarkan setiap hari Ahad, setiap lima bilik. Lantai perlu disapu dan mop setiap hari. Susun atur jangan diubah. Kalau senget, sengetlah! Dahi berkerut… Pula?
3. Sarapan perlu disediakan sebelum jam tujuh setengah pagi. (Sila tengok menu di lampiran.)

Menu! Makkk aiii…

Ni semua aku kena masak ke? Apa kejadah? Green Chile Tortilla Scramble? Errr… Pesto Scrambled Eggs? Tak boleh ke roti canai cecah kari?
4. Siapkan baju untuk ke tempat kerja setiap jam lapan pagi. Sila pilih baju mengikut kod. (Sila tengok senarai kod di lampiran.)

Aku selak lampiran. Sekali lagi aku menelan air liur. Sebulan punya senarai. Isnin lain… Rabu lain… Hari-hari lain! Berapa besar mamat tu punya almari baju? Huh!
5. Update semua appointment dengan Kay.

6. Siapkan makan tengah hari sebelum pukul satu petang. (Sila tengok menu di lampiran.)

Menu lagi…

Tak ada maknanya mamat ni makan makanan Melayu! Semua makanan berbelit-belit nak menyebutnya. Dah serupa menonton MasterChef dah! Kalau dah namanya orang kaya berlagak… macam inilah, Ayu oiii… Apalah kau nak harapkan?
7. Hantar dobi, ambil dobi. Baju semua dry clean. Sila susun ikut kod.

8. Sediakan makan petang tepat jam lima petang. (Sila tengok menu di lampiran.)

Kuat betul mamat ni makan. Kali ini makanan untuk minum petang tak panjang. Satu saja. Karipap inti daging cincang dan kentang. Itu sajalah masakan Melayu yang aku tengok. Hemmm… Ada apa dengan karipap inti daging cincang dan kentang ni?
9. Semua kenderaan di basement perlu berjalan dua kali sebulan. Pastikan semua kenderaan mempunyai minyak secukupnya. Jangan lupa untuk cuci dan servis bila tiba masanya. Take note bila kena renew road tax dan insurans. (Senarai ada di lampiran.)

Aku buka lampiran. Kenyang telan air liur sendiri! Sepuluh buah kereta dan lima buah motor berkuasa besar… Gila!
10. Bersihkan set golf setiap kali selepas permainan.

11. Makan malam pukul tujuh malam. Segelas susu dan sekeping biskut oat.

12. Pastikan rumah berkunci dan alarm on sebelum tidur.

13. Kerja-kerja adhoc lain.

Huh!

Nampak macam sikit. Nampak macam senang. Tapi, aku rasa sangat sibuk. Setiap jam ada saja kerjanya. Nombor tiga belas tu paling nayalah. Seram pula apabila aku fikirkan hari esok!

Tapi, sepuluh ribu punya pasal…

“Kenapa? Kalau awak rasa waswas, saya boleh saja kurangkan satu kosong!”

“Tak baik kalau dah bagi, tarik balik. Buruk siku kepala lutut namanya!”

Tuan Anas Mikael serius saja memandang aku. Dia langsung tak senyum. Sikit pun tak ada. Aku dengar dia gelak pun dari walkie-talkie tu. Itupun aku tak yakin dia yang gelak. Mungkin dia suruh sesiapa menyamar. Boleh ke dia gelak kalau dia serius saja macam ni? Tangannya asyik berpeluk tubuh. Bererti dia ialah seorang yang sangat kejam. Orang yang suka berpeluk tubuh ni orang yang tak ada keyakinan diri. Tapi mata redup dan tajam memandang dengan kening lebat dan tersusun. Buat lagi seram! Tapi setakat dia ni… apa ada hal? Aku lagi takut Tuhan!

“Jangan lupa buat full medical check up selepas ini sebelum dia sain surat ni, Kay. Takut kita lantik orang kepala otak tak betul buat kerja! Jangan buat rugi 0.0001 peratus duit saya!”

“Kalau saya tak betul pun, bukan kerana dilahirkan tak betul. Tapi ditakdirkan berjumpa dengan tuan,” bebel aku perlahan.

“Apa awak cakap?”

“Terima kasih tuan sebab bagi saya kerja.”

Aku pusing. Heh… Mampuih kalau dia dengar!

“Dalam rumah ni ada banyak CCTV. Kalau awak buat macam-macam, Cik Ayu… Awak tahulah nasib awak. Pergi buat medical check up. Kalau approved, sila sain surat itu. Pindah masuk hari ini juga dan bersedia untuk bayar hutang awak esok!”

Keras arahan Tuan Anas Mikael. Jadi, tadi Kay bawa aku pergi klinik dan buat pemeriksaan kesihatan. Aku lulus dengan cemerlang dan bolehlah Tuan Anas Mikael tu nak belasah tulang empat kerat aku yang terlebih kalsium ni.

“Tuan Anas tu baik orangnya.”

“Ada CCTV ke dalam kereta ni, Kay?”

Kay ketawa. “Saya memuji bukan sebab saya nak gaji lebih. Tapi dia memang seorang majikan yang baik hati. Dia prihatin dengan kesihatan Cik Su. Itu sebab dia suruh Cik Su buat kerja ringan-ringan saja. Kalau tak siap pukul sepuluh pagi, rehat, pukul dua belas tengah hari buat pula.”

Aku terdiam.

Yalah tu. Baik ada maknaaa…

AKHIRNYA, aku dan mak aku pindah juga ke rumah Tuan Anas. Mak… seronok. Rumah yang aku dan mak duduk itu memang bersambung dengan rumah Tuan Anas. Bahagian dapur ke dapur. Agak besar juga. Cukuplah aku dengan mak. Rumah sedia ada yang aku dan mak tinggal pun rumah sewa saja. Tak apalah. Nanti gaji, kumpul-kumpul, aku beli rumah untuk mak.

“Tidurlah. Esok nak bangun pukul empat pagi.” Mak menguak pintu bilik aku.

“Hemmm…”

Aku masih melipat baju kemudian masukkan ke dalam almari. Aku baru selesai membaca senarai kerja itu sekali lagi. Sajalah… Sambil lipat baju, sambil rancang apa yang aku nak buat esok. Aku memang suka merancang dulu. Jadi, tak adalah kelam-kabut dan tak yakin dalam menyiapkan kerja.

“Kerja elok-elok, Ayu. Jangan sia-siakan peluang ni. Walaupun kerjanya renyah, setimpallah dengan apa yang Ayu dapat.”

“Orang kaya, mak… Kalau tak dapat nak belit, bukan orang kayalah, mak. Tapi kalau orang beriman, maaf itu sudah cukup. Orang yang memberi maaf itu bukan saja menghapuskan dosa, tapi memudahkan jalan ke syurga tau!”

Mak senyum. “Jadi… anak mak kenalah mula dulu. Maafkanlah dia!”

Memang taklah!!!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66769/tuan-anas-mikael

 

[SNEAK PEEK] PA UNTUK DIA

9789670567648-medium
EBUKU PA UNTUK DIA Oleh Syamnuriezmil

SEBAGAI seorang PA, setiap pagi kerja aku adalah membeli kopi untuk bos. Bos nak kopi Mocha Arabica kurang manis tapi harga murah. Pekerja kedai kopi tu pun dah tahu pukul berapa aku akan datang. Dan aku tak perlu nak beratur panjang. Sampai saja di kedai kopi tersebut, dia orang akan jerit memanggil nama aku.

“Yara… Kopi kau.”

Aku akan tersenyum malu. Walaupun sebenarnya tak adalah malu sangat pun. Padan muka mereka kena beratur, aku tak perlu. Nasib baiklah ada Onn.

“Terbaik, beb.”

“Ini untuk kau. Kopi O ais, manis!” “Tapi aku tak oder pun…”

“Aku belanja.”

“Hesy… Habis duit gaji kau asyik belanja aku saja.”

“Tak apa kalau untuk kau, Yara.”

“Kalau kau bankrap, jangan salahkan aku, Onn.”

“Jangan lupa call.”

Aku hanya senyum. Seperti biasa, Onn akan meninggalkan nombor telefonnya dan ikon senyum pada cawan kopi itu. Selama setahun aku kerja membeli kopi untuk bos, selama itulah aku dapat nombor telefon dekat cawan tu. Tak pernah pula terlintas dalam hati nak telefon. Hesy… Apa kes perempuan pula nak telefon? Memang taklah!

Masuk saja ke pejabat, aku akan terus masuk ke dalam bilik bos. Ini yang mula-mula Kak Shima ajar aku setahun yang lepas sebelum dia pencen. Aku kena hidupkan pendingin hawa dan lampu. Buka bidai biar cahaya masuk dari luar. Bos suka melihat keadaan tenang bandaraya Ipoh. Walaupun tak nampak keseluruhan bandar, tapi sekurang-kurangnya nampak jalan di hadapan bangunan ini.

Aku kena letakkan kopi yang aku beli tadi di sebelah kanan meja, bersebelahan dengan gambar keluarganya. Kata Kak Shima, apabila minum kopi ini, bos akan ingat dia sedang minum bersama keluarganya. Bos memang lelaki yang mementingkan keluarga. Bukan sikit gambar keluarga dekat atas meja ni.

Dokumen yang belum ditandatangani, aku letakkan betul-betul di atas meja menghadap kerusi. Jadi, apabila bos masuk, dia akan terus tengok kerjanya yang bertingkat-tingkat tu. Surat khabar bahagian perniagaan, letak paling atas sekali antara semua dokumen. Bos akan baca berita itu dulu sebelum memulakan kerja. Jadi, apabila dia pergi mana-mana mesyuarat, adalah hal perniagaan yang dia tahu. Senanglah nak buat club deal.

“Siappp!!!”

Aku pun terus keluar lalu duduk di tempat aku. Kerja aku seterusnya adalah menunggu bos masuk. Setengah jam selepas bos masuk ke dalam biliknya, aku akan masuk ke bilik bos dan aku perlu ingatkan apa yang perlu dia buat hari ini. Perlu hadir mesyuarat ke, hadir janji temu ke… Kemudian tunggu dia bagi arahan seterusnya.

Itulah kerja aku. Kerja PA untuk dia. Tak banyak, tak susah. Bos bukanlah seorang yang cerewet. Kalau aku buat silap pun, dia akan tegur dengan baik. Kalau ada staf lain buat silap pun, dia akan tegur juga dengan baik. Bos memang bos yang baik. Isteri bos juga baik. Tak pernah datang dan kacau hal bos. Selalu isteri bos buat kejutan, suruh aku buatkan janji temu untuk bos masa makan tengah hari ke, makan malam ke… Yalah, bos sibuk. Selalu tak ada masa. Sebab itu isteri bos suka buat kejutan.

Aiseh…

Romantik betul.

Tua-tua pun nampak comel.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul sembilan pagi. Sepatutnya bos aku dah masuk kerja. Tapi, sampai pukul sembilan tiga puluh minit pagi, bos tetap tak masuk lagi. Pukul sepuluh pagi pun, tak sampai lagi. Aik… Ini bukan perangai bos ni. Pelik, pelik yang amat.

“Yara!!!”

“Oiii…”

“Mana bos kau? Tak masuk kerja ke?”

“Bos aku bukan bos kau ke Mel?”

Mel tersengih-sengih. “Aku nak ambil cek ni, dia dah sain belum? Supplier dah memekak-mekak kat aku.”

“Bos belum masuk, macam mana nak sain?”

“Aduh… Call la bos.”

Satu kepantangan bos, aku tak boleh suka-suka hati telefon dia. Kalau penting, betul-betul penting, baru boleh telefon dia. Bos tak suka sekiranya telefonnya berbunyi sewaktu dia bersama keluarga. Kalau dia telefon, tak apa. Aku aje yang tak boleh telefon dia.

“Tak boleh.”

“Ini urgent, Yara. Kalau tak call, kau mesejlah dia.”

“Sabarlah. Bos tak pernah lewat pun. Kalau dia ada apa-apa, mesti dia telefon. Nanti apa-apa aku call kau, eh… Pi balik tempat kau.”

Mel mencebik. Dia terus berlalu. Aku masih setia menunggu. Risau juga ni. Apa kes, dah pukul sebelas pagi pun belum masuk. Janji temu terdekat pukul sebelas setengah pagi dengan Dato Zakuan. Hesy… Nanti Dato Zakuan datang, dia tak mai lagi. Bos tak pernah buat kerja macam ni!

Tiba-tiba, ada seorang lelaki muda masuk ke tempat aku lalu terus menuju ke bilik bos. Aku terus bangun lantas menghalang lelaki tersebut membuka pintu bilik bos. Eh mamat ni… selamba tenuk saja nak buka bilik bos. Tak nampak ke aku ni PA bos? Baju belang-belang, seluar Kpop… Apa dia ingat ni, show Running Man?

“Eh, eh… Encik nak buat apa ni?”

“Saya nak…”

Aku tolak tangannya yang mahu menolak pintu bilik untuk masuk.

“Tan Sri tak ada, encik. Dia belum masuk. Encik tak boleh simply nak masuk. Ini bukan encik punya territory… Celcom pun bukan. Sorry eh, encik.”

“Tapi…” Lelaki itu mengeluh.

“Tak ada tapi-tapi. Kalau encik nak apa-apa, buatlah appointment dulu. Mengikut jadual saya, Tan Sri tak ada appointment dengan sesiapa pukul sebelas pagi.”

Lelaki itu memandang aku. Muka dia ni… macam biasa aku nampak. Tapi, kat mana eh?

“Awak ni siapa nak halang-halang saya?”

“Saya Yara, saya PA Tan Sri. Memanglah wajib saya halang encik, encik ni entah siapa-siapa. Encik, sila beredar. Kalau tidak saya panggil pak guard.”

“Hesy…”

“Apa hesy hesyyy…”

Pemuda itu menyeluk poketnya. Aku pula yang seram.

“Encik… saya ni, nampak saja macam ni, saya ada tekwando, tali pinggang hitam bercalit-calit tau, encik. Sekalipun encik keluarkan pistol, saya boleh tepis macam cerita Bulletproof tau! Encik jangan main-main…”

“Saya nak ambil kad pengenalanlah…” Dia mengeluarkan dompet kemudian memberikan kad pengenalannya kepada aku.

Aku membacanya perlahan-lahan… Hanania Widad bin Wazir. Huih…

“Dah, tak payah nak tengok lama-lama. Awak dah tahu saya siapa, kan? Untuk makluman, Tan Sri Wazir masuk hospital. Sekarang awak PA saya. Sila ke tepi, boleh tolong bagi saya buat kerja saya tak?”

Errr… PA untuk dia?

Ceh!

****

“YA. Baik, Puan Sri. Kirim salam dekat Tan Sri. Suruh dia jangan risau tentangkerja, saya tahulah macam mana nak handle. Jaga diri baik-baik ya, Puan Sri. Assalamualaikum.”

Aku meletakkan telefon. Sebaik saja aku tahu bos masuk hospital, terus aku telefon Puan Sri. Bos pun satu, apa pasallah tak info aku awal-awal? Sekurang-kurangnya mesejlah aku awal-awal, tak adalah aku menunggu. Haih, selalu aku tengok elok saja bos. Alih-alih kena serangan jantung pula. Apa hal? Apalah benda yang bos fikir ni? Rasanya tak ada masalah di pejabat yang buat jantung dia sakit. Kasihannn… bos.

“Macam mana?”

“Haih, kau orang ni, kalau bab gosip kan…”

Mel dengan Sofea tersengih-sengih di depan aku. Eloklah, seorang bahagian kewangan, seorang bahagian HR, senang kerja aku.

“Tan Sri kena heart attack. Bukan major tapi minor. So, dia kena rehat seminggu dua dan dia tak nak terima apa-apa visitor. So, kau orang inform bos kau orang senyap-senyap saja. Jangan beritahu klien ke, supplier ke…siapa-siapa. Nanti aku yang kena pula.”

“Habis tu, mamat kat dalam tu?” Sofea menggerak-gerakkan keningnya.

“Kau ni nak tahu pasal bos ke mamat kat dalam tu? Dah dah… Pi buat kerjalah.”

Sofea mencebik. “Jomlah… PA bos dah bising.” Sofea menarik lengan Mel.

“Suruh dia sain cek tu, aku nak bagi dekat Mister Wong karang,” suruh Mel.

“Eh, dia boleh sain ke?”

“Boleh. Bukan kau kata, dia Hanania Widad? Hanania Widad pun director. Bolehlah sain.”

“Nanti aku cakap dekat dia.”

“Lepas tu call aku. Aku datang ambil cek.”

Aku mengangguk. Aku kenal sangat dengan Mr. Wong. Selagi tak dapat cek tu, sanggup duduk berjam-jam dekat lobi. Tak pernah lewat pun nak bayar tapi Mr. Wong memang macam tu. Cukup masa, sampailah…

Seperti yang dipesan oleh Puan Sri, aku perlu membatalkan semua janji temu Tan Sri Wazir hari ini. Tan Sri yang suruh. Cepat saja aku menelefon PA Dato Zakuan. Sebab itu merupakan janji temu yang paling awal. Kemudian aku telefon klien yang lain. Mujurlah sempat nak batalkan!

Sungguhpun mamat tu direktor, tapi dia bukan tahu hal-hal pejabat ni. Kalau nak harapkan Encik Redza pun, pengurus aku tu, dia ke Korea, bercuti. Kebelakangan ni, ramai sangat orang pergi bercuti di Korea. Apa kes, eh? Harga tiket kapal terbang murah eh sekarang?

Jadi, aku sajalah harapan nusa dan bangsa setakat ini. Dah tak ada orang lain yang lebih layak. Aku seorang sajalah yang mampu. Lagipun apa yang aku tak tahu? Sampaikan pasal kelapa sawit pun aku tahu. Jadi aku rasa, aku layak jadi pemangku bos setakat ini.

Ceh…

Poyo!

Kau tu PA saja, Yara… tok sah dok berangan!

Patutlah, aku biasa nampak mamat tu. Berlambak gambar mamat tu kat atas meja bos, aku boleh pula tak perasan. Malu dah setepek! Tapikan… setahu aku, mamat tu kan tak duduk di Malaysia. Bila balik, eh? Atau disebabkan dia balik, bos aku terus sakit jantung? Sahlah… Hanania ni yang jadi hantunya!

“Apa yang awak buat?”

“Subhanallah, terkejut saya!” Aku mengusap dadaku. Baru sebut dah muncul. Kambing betul! Bagilah salam ke apa ke, ini tiba-tiba muncul! Sudahlah aku sedang fikirkan tentang dia. Nasib baik aku tak sebut apa-apa…

“Apa yang awak buat? Dari tadi saya call engaged aje?”

“Saya on the phone.”

“Mentang-mentang Tan Sri Wazir tak ada, awak bergayut pula, ya?”

“Hah? Eh… Tak adalah. Saya buat kerjalah, encik. Saya batalkan semua appointment.”

“Why?”

“Errr… Sebab…” Sebab mata mamat tuterbeliaklah, aku jadi gagap. Ceh… Kau takut ke, Yara?

“Awak ingat saya tak boleh kerja?”

“Tak.”

“Awak ingat saya tak qualified?”

“Itu saya tak sure.”

“Awakkk tak sure?”

Mata dia terbeliak lagi. Kali ini aku tak takut. Aku bukan PA dia, aku masih PA kepada bos, Tan Sri Wazir. Kenapa nak takut?!

“Yalah… Mana saya tahu…”

“Awak nak tengok sijil-sijil saya pula ke?”

“Eh, tak apalah, encik. Saya banyak kerja nak buat ni. Tak ada masa nak membelek sijil-sijil encik pula. Lagipun, saya hanya terima arahan Tan Sri saja, encik. Tan Sri yang suruh saya batalkan semua appointment dia, jadi saya pun buatlah.”

Mamat tu merengus. Dia terus masuk ke dalam bilik. Kekwat sangat… Tunjuk sijil konon. Aku tunjuk sijil kesetiausahaan aku ni karanggg… Haaa… Baru rasa ada akai. Helo, Encik Hanania… Keturunan tidak menjaminkan yang kita boleh berjaya macam ayah atau mak kitalah. Ingat dia anak Tan Sri, dia boleh hebat macam Tan Sri ke? Tak ada maknanyalah kalau tak ada usaha.

Elok saja aku cakap macam tu…

“Nah.”

“Errr… Apa ni, encik?”

“Cakaplah.”

Aku letakkan telefon bimbit itu ke telinga aku.“Helo.”

“Yara.”

Suara Tan Sri Wazir memeranjatkan aku. Tadi, sewaktu telefon Puan Sri, aku tak boleh cakap dengan Tan Sri. Tan Sri tengah dirawat. Huh… Lega rasanya dapat dengar suara walaupun hanya perkataan Yara. Rasa seronok hati apabila suara Tan Sri muncul. Bila nak masuk kerja? Hesy tak agak-agak… Member baru kena serangan jantung kut!

“Eh, Tan Sri sihat ke?”

“I’m fine, Yara. At this moment, saya lantik anak saya, Han, Hanania Widad sebagai pengarah urusan syarikat. Minta Sofea keluarkan surat memangku. Surat yang menyatakan Hanania Widad memegang jawatan saya untuk sementara.”

“Okey. Baiklah, Tan Sri.”

“Appointment…”

“Saya dah batalkan. Puan Sri suruh saya batalkan. Katanya Tan Sri yang suruh.”

“Yes. Saya ingat dia tak masuk pejabat hari ini, itu sebab saya suruh batalkan. Tapi, don’t worry, Yara. Buat appointment semula. Let Han handle all. Buat sementara waktu, awak ikut saja arahan Han dulu.”

“Okey, bos. Anything for you, boss.”

“Thanks, Yara. Please keep me updated…”

“Haippp… Abang tu baru nak sihat. Jangan, Yara. jangan buat apa yang dia suruh!” Jeritan Puan Sri Hani buat aku tersengih.

Klik.

“So…”

“Saya akan buat semula semua appointment tadi.”

Mamat tu terus mengambil telefon bimbit dari tangan aku lalu masuk semula ke dalam bilik. Eleh, syoklah tu… aku kena buat kerja dua tiga kali. Seronoklah tu dah menang. Baru saja aku hendak mengangkat telefon, dia keluar semula.

Pappp!!!

Secawan kopi yang aku beli tadi untuk bos diletak di atas meja aku. Aku terkejut lagi.

“I am not a coffee person. I nak tea. English Breakfast for morning and Earl Grey for evening. Please, no sugar. Ingat… No sugar!”

“Errr…”

“I want it now!!!”

“Okey… Okey. I’ll find it for you.”

Mana pula nak cari sekarang ni? Teh Boh adalah kat pantri! Tak pasallah aku kena telefon Onn. Orang Melayu, perasan macam orang Londonnn… Menyampah! Haih, janganlah PA untuk dia… selamanya!

****

SEDANG aku teman ayah menonton TV, ayah menerima panggilan telefon. Mak pula dah selamat tidur. Yalah… Pukul berapa dah ni. Ayah pula memang tidur di depan TV. Dah kaki tak boleh nak bergerak, senang duduk di depan TV saja. Lagipun aku dah letak katil bujang betul-betul di depan ruang tamu. Semak sikitlah tapi tak apalah, senang dia nak bergerak ke bilik air. Kalau di dalam bilik susah pula. Bukannya jenis bilik yang ada bilik air.

“Terima kasih tanya khabar pak cik. Okey, tak ada masalah. Hari ini mulalah timbul bengkak-bengkak tu, macam yang doktor cakaplah. Tapi tak apa. Sikit hari lagi, okeylah tu. Ya, baiklah. Okey. Waalaikumussalam.”

Aku lihat ayah. Kemudian aku lihat pula jam. Dah pukul sepuluh malam. Siapa yang telefon pukul sepuluh malam lepas tu tanya kesihatan ayah ni? Kalau adik… tak mungkin ayah bahasakan diri ayah, pak cik. Aku melihat ayah sekali lagi.

“Siapa call?”

“Han.”

“Hantu mana call ayah malam-malam ni? Ayah kan kena berehat.”

“Han bos kamulah.”

Aku tercengang. Pula dah!

“Hari ini saja dekat tiga kali dia call ayah. Tanya khabar ayah. Ini belum jadi menantu. Kalau jadi menantu, dok bawah ketiak ayah agaknya.”

Aku tercengang lagi. Amboi… Aku pun tak telefon ayah sampai tiga kali sehari.

“Tak payah nak beranganlah ayah, dia tu ada girlfriend. Esok, orang nak pergi pilih cincin untuk girlfriend dia tu.”

Apa kenalah dengan orang tua aku ni? Semalam mak, malam ni ayah pula. Kalau berangan berpijak dekat bumi ni tak boleh ke? Ini meloncat sampai ke planet Pluto. Tak agak-agak betul.

“Haaa… Ada girlfriend dah?”

“Haaalah. Takkanlah tak dak. Anak orang kayalah, dah tentulah ada.”

“Tak apalah. Dah ada tak apa. Boleh buat jadi anak angkat.”

Aku menepuk dahi. “Ayah oiii… Orang tu langgar ayah, takkanlah ayah nak buat anak angkat? Kalau ada pencuri yang curi masuk rumah kita, ayah tangkap dia, ayah nak buat anak angkat ka?”

Ayah tergelak. “Sudahlah. Pi tidurlah. Bercakap dengan kamu ni, sampai esok pun tak selesai.”

Aku mencebik. Anak angkat konon. Anak sendiri dah ada, nak anak angkat. Aku pi cari ayah angkat baru dia tau. Betapa kecilnya hati aku ni. Ceh… Konon! Nak kecil hati pasai pa pula? Jangan nak sensitif sangatlah, Yara. Geli ketiak aku tau bila kau dalam mood sensitif ni.

Aku bingkas bangun menuju ke bilik selepas bersalaman dengan ayah. Elok saja aku nak baring di atas peraduan aku yang serba biru tu, tiba-tiba telefon aku berbunyi. Tengok nombor… Aih, Onn?

“Helo, Onn.”

“Helo, Yara.”

“Haaa… Apa kes call aku malam-malam ni?”

“Aku nak cakap esok kedai tutup. Aku takut kau datang esok, terkejut pula tengok kedai aku tutup.”

“Aik… Tiba-tiba saja tutup ni? Setahun aku datang, tak pernah tutup. Bila tukar kopi jadi teh, terus tutup pula kedai kau ni.”

Onn tergelak. “Kedai tu dah lama, anai-anai dah membukit kat belakang tu. Nak tak nak, kenalah buat pembersihan. Dah teruk sangat. Habis almari semua dia makan. Jadi, tiga hari aku tutup. Isnin nanti aku buka balik. Jangan tak datang.”

“Okey… Okey.”

“Aku tunggu.”

“Ya… Thanks sebab inform.”

“Of course.”

“Kau okey tak, Yara? Susahkan kau ke?”

“Eh, taklah.”

“Kau nak aku hantarkan uncang teh tu kat kau?”

“Ehhh… Tak payahlah. Esok minum sajalah tehbiasa. Jangan susah-susahkan diri. Thanks eh, Onn.”

Lepas Onn letak telefon, aku jadi kusut. Mana aku nak cari English Breakfast pagi-pagi? Kedai Onn sajalah harapan aku. La ni tak ada Onn, pada bahu siapa aku nak bersandar? Ceh. Bahu siapa konon. Tadi Onn dah tawarkan, kau tak nak pula. Hesy, menyusahkan dia pula. Matilah aku esok. Mati… Memang mati.

Aku mundar-mandir di dalam bilik sendiri. Telefon bimbit aku pegang. Nombor telefon Encik Han ni aku bolak-balik tengok. Nak telefon ke tak nak?

Haih…

Kalau aku tukar teh lain, agak-agaknya dia perasan tak? Sahlah dia perasan. Haih, macam mana ni? Aku kenalah mengaku saja. Tapi kalau mengaku esok, dia nak minum apa? Boleh ke minum Earl Grey pagi-pagi? Itu saja uncang teh yang ada dekat pantri. Tak terbeli pula English Breakfast hari tu.

Alaaa…

Kusut!

Kusuttt!!!

Hah, selamba sajalah, Yara. Telefon sajalah Encik Han tu. Bukan mati pun kalau tanya dia. Lagipun bukan dia boleh cekik aku dalam telefon. Belum ada lagi telefon 3D ke 4D ke… boleh keluar tangan, cekik orang sampai kiok.

Aku pun menekan nombor telefon Encik Han. Tak sampai lima saat menunggu, panggilan aku diangkat.

“Helo… Assalamualaikum, Encik Han.”

“Waalaikumussalam.”

“Saya ni, Yara.”

“Yes, Cik Yara. Kenapa awak telefon saya malam-malam ni?”

Ceh… Kau telefon ayah aku malam-malam boleh pula!

“Tadi Onn telefon saya.”

“Onn… Who?”

“Tuan kedai kopi yang selalu saya beli teh untuk Encik Han tu. Dia kata kedai dia tutup esok. Jadi, esok saya tak boleh nak dapatkan Encik Han air teh English Breakfast tu. Boleh tak kalau saya beli kopi McD?”

“No coffee…”

“Errr…. Teh McD plus breakfast. Saya belanja!”

Wah tak agak-agak aku nak rasuah.

“I don’t like McD. Lagipun, teh McD, teh Boh.”

Aduh… Banyak akal betul mamat ni. Mati ke kalau minum air teh lain?

“Kalau macam tu, air suam sajalah esok, Encik Han. Mydin pun buka pukul berapa kalau nak cari English Breakfast tu. Nanti saya lambat masuk pejabat, Encik Han marah pula.”

“Teh ros will do.”

“Hah?”

“Esok bawa saja teh ros dari rumah awak tu. Final. Assalamualaikum. Selamat malam Cik Yara.”

Klik.

Hah… Teh ros? Mimpi ke aku ni?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79484/pa-untuk-dia

REVIEW ISTERI UNTUK DISEWA

9789670890173-medium
ISTERI UNTUK DISEWA OLEH SYAMNURIEZMIL

Dia bukan seorang perempuan yang menjual maruahnya tapi dia ialah Nur Adreiana, minah merah jambu. Akibat perniagaan perkhidmatan sewanya itu, tiba-tiba saja hatinya itu dituntut untuk dimiliki empat jejaka. Namun, Nur bukan lelaki yang boleh berkahwin empat.
“Nur pulangkan cincin ini apabila Nur bersedia untuk tidak menjadi isteri abang ya, sayang…” – Noah Ryzal, pelanggan.
“Ini cincin pilihan saya, untuk awak. Tak apa… Kalau tak suka, banyak lagi boleh pilih! Cubalah untuk terima saya, Cik Nur!” – Putera Raiyan, CEO.
“Cincin ini untuk Nur, dan akan hanya jadi milik Nur. Bukan Isabella, bukan sesiapa. Titik.” – Imtiyaz Irdad, kawan baik.
“Ini cincin daripada ayah kepada ibu saya. Nanti, kalau parents awak setuju, kita kecilkan sikit.” – Suffi Naufal, Remy Ishak celup.
Antara pelanggan, CEO, kawan baik dan Remy Ishak celup, mana satu yang dapat menyewa hati Nur dengan ringgit cinta? Dalam hidup, hanya ada dua pilihan, tanpa dia, kita boleh hidup atau, tanpa dia, kita tak boleh hidup. Yang mana satu… pilihan Nur?


Bayangkan watak gadis yang kasar dan meminati warna merahjambu dan suka memakai jersey menjadi agen yang membantu masalah perhubungan. Kelakar bukan jalan penyelesaiannya.

Nur yang sudah biasa disewa, memang sudah biasa dengan kitaran hidupnya menjadi isteri yang bakal disewa untuk beberapa hari sebelum diceraikan selepas beberapa jam mereka berkahwin. ‘Bercinta’ dan ‘berkahwin’ dengan ramai lelaki membuatkan Nur masak dengan perangai lelaki. Tidak diduga yang disewa adalah bakal suaminya dalam dunia sebenar. HAHA!

Kalau nak tahu Nur pilih siapa sebagai pasangan hidupnya. Kena baca ebuku sepenuhnya bersama kami di e- sentral.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71833/isteri-untuk-disewa